Saturday, December 25, 2010

Perempuan Berkalung Sorban



Perempuan Berkalung Sorban

sitijarum

TAHUN lalu semasa Siti ke Jakarta, Siti berpeluang menonton filem Perempuan Berkalung Sorban. Ini sebuah filem tentang Islam yang mengambil latar pengajian pondok di Indonesia.

Filem arahan Hanung Bramantyo adaptasi novel karya Abidah Khalieqy berkisar mengenai dunia pengajian pondok di pendalaman Indonesia.

Siti sangat terpikat dengan filem ini. Tertanya-tanya juga kenapa filem sehebat ini tidak ditayangkan di negara ini? Kenapa stesen televisyen asyik menayangkan drama-drama sampah dari Indonesia? Visual dan nilai estetika Perempuan Berkalung Sorban tidak ada dalam drama-drama sampah yang Indonesia eksport ke sini.

Tapi yang hebatnya bukan saja visual. Hebatnya ada pada persoalan Islam, kefahaman sekaligus wujud eksploitasi atas nama Islam. Fuh, isunya besar dan tidak remeh. Ia merungkai persoalan definisi yang ditutup dan dibuka biarpun kedua-duanya Islam. Hebat sekali pembongkaran di mana definisi yang sempit dan luas boleh membelenggu sekaligus memberikan imej buruk tentang Islam.

Persoalannya kenapa filem ini tidak ditayangkan di sini? Adakah sebahagian besar penonton lebih berselera “sampah”? Adakah penonton kita telah lama “dihantukan” oleh filem-filem hantu yang hasilnya macam hantu, maka kita menutup diri dari filem-filem yang mengemukakan persoalan Islam seperti Perempuan Berkalung Sorban?

Tapi Siti gembira apabila stesen televisyen baru, TV AlHijrah akan menayangkan Perempuan Berkalung Sorban Selasa ini pukul 8.30 malam. Macam tak percaya ada pengendali stesen televisyen yang jauhari kerana mengenal manikam. Siti sangat terharu dengan keterbukaan stesen ini untuk memberi santapan minda kepada penonton tentang eksploitasi yang dilakukan secara terhormat oleh pihak yang tak bertangungjawab.

Nah, jangan lepaskan peluang untuk menonton filem ini. Di dalamnya kita akan temui kemurnian dan kesucian Islam membuka ruang kepada pihak memesongkan definisi dan membuat interpretasi yang menguntungkan diri. Bagi Siti filem ini mengangkat darjat wanita, melepaskan mereka dari kepungan serta merungkai ikatan yang memijak wanita Islam atas nama agama.

Kita juga akan temui bagaimana “orang agama” menggunakan kuasa wang untuk menguasai pihak yang kurang mampu. Dalam kalangan “orang agama” juga wujud intrig dan konspirasi kerana agama itu difahamkan kepada penduduk kampung mesti “lebih banyak mendengar daripada menyoal”.

Penduduk kampung dilarang membaca kecuali kitab-kitab. Membaca buku-buku seperti Bumi Manusia karya Pramoedya Ananta Toer menjadi kesalahan besar di pondok itu. Kenapa? Latarnya 1997. Kenapa 1997 menjadi latarnya? Kenalah cari dalam filem ini.

Wanita harus berbangga menonton filem ini. Watak-watak wanita ditampilkan dengan kekuatan untuk keluar dari kepungan. Siti fikir, walaupun banyak yang minat filem “hantu Malaysia”, sesekali alihlah selera kepada filem yang boleh memberi kekuatan kepada kita. Tak rugilah.

SITI JARUM: Pakai selendang.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm

No comments:

Post a Comment