Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Monday, December 20, 2010
Menghayati Revolusi Ashura’ di Hari Karbala
Hari Ashura (10 Muharram) atau Hari Karbala sebenarnya perlu disambut melebihi hidangan bubur ashura atau memukul diri kerana memperingati pengorbanan Imam al-Husein. Falsafahnya adalah lebih jauh daripada itu.
Hari Ashura sepatutnya memperingatkan kita kepada revolusi yang dilakukan ke atas pemerintah maha zalim. Imam al-Husein syahid ketika memimpin gelombang reformasi menentang kediktatoran Yazid bin Mu'awiyah. Semua ulama' Sunni bersetuju dengan fakta ini. Membaca sejarah zaman fitnah ini perlu diiringi dengan sikap berhati-hati kerana banyak sumber telah mencampuradukkan fakta yang bersumberkan Shi'ah bahkan musuh Islam itu sendiri.
Menentang Pemerintahan Yang Zalim
Sebab utama mengapa Imam al-Husein melakukan revolusi ini ialah kerana menentang sikap Yazid yang menolak syura untuk melantik khalifah selepas Mu'awiyah. Beliau melantik dirinya sendiri sekaligus memulakan institusi monarki perwarisan tahta di dalam pemerintahan umat Islam.
Selain itu, Yazid juga bersikap diktator di dalam pemerintahannya. Atas dasar inilah Imam al-Husein, walaupun tidak dipersetujui oleh sebahagian sahabat-sahabat kanan, memulakan revolusi seraya berkata :
"Tujuanku ialah untuk melakukan reformasi umat datukku (nabi Muhammad SAW). Ianya akan menamatkan segala korupsi dan kebatilan sehinggalah umat akan bersatu semula. Kesatuan umat tidak boleh terlaksana di dalam amalan korupsi, kerana nabi Muhammad pernah bersabda, "Tidak akan bersatu umatku di dalam menyokong korupsi.""
Ijtihad beliau untuk keluar berperang mungkin dilihat sedikit berbeza dengan pendekatan al-Hasan yang bersatu dengan bertoleransi dengan Mu'awiyah, akan tetapi gugurnya beliau akhirnya membawa kepada kesatuan ummah dan usaha reformasi beliau dihargai selepas kejadian itu.
Sunni dan Shi'ah bersetuju di dalam fakta di atas. Akan demikian, berbeza dengan Sunni, Shi'ah lebih percaya akan amalan teokrasi dengan mengandaikan khilfah atau pemerintahan itu telah ditentukan oleh Allah SWT. Mereka percaya yang Allah telah melantik khalifah kepada umat Islam, lantas menolak idea syura ummah dan demokrasi untuk melantik pemerintah di kalangan mereka.
Di dalam kepercayaan yang mempunyai mekanisme yang kompleks terhadap konsep pemerintahan berwarisan atas ketetapan Allah ini, dikalangan Shi'ah sendiri, mereka mempunyai perbezaan pandangan. Ada yang bersederhana, dan ada juga yang mengambil sikap melampau sehingga sanggup mengkafirkan sahabat-sahabat yang lain selain penyokong keluarga Rasulullah atau ahlulbait. Ada juga yang sewenang-wenangnya mengutuk para sahabat yang telah pun meninggal dunia bertahun-tahun sebelum peristiwa hari Karbala itu sendiri.
Nostalgia dan Kesedihan
Shi'ah kini sedang menunggu kelahiran imam ke-12 mereka. Sementara menunggu ketibaan imam ke-12 mereka, mereka hidup penuh dengan nostalgia dan kesedihan. Saya melihat sendiri di Prayer Room (surau) University of Aberdeen, selepas meraikan Hari Ashura, banyak risalah disebarkan yang kebanyakannya bertemakan nostalgia dan kesedihan. Ada juga yang melampau dengan mengutuk Abu Bakar, Umar dan Uthman, sedangkan hari Karbala berlaku selepas mereka semua telah meninggal dunia.
Pengorbanan dan Perjuangan
Sesungguhnya, peristiwa Karbala adalah sambutan yang perlu diperingati oleh semua Muslim sebagai hari pengorbanan dan perjuangan menentang pemerintah yang zalim. Ianya perlu disambut untuk membangkitkan semangat perjuangan kita, dan bukannya untuk meningkatkan dendam, atau meneruskan hidup dalam nostalgia, apatah lagi untuk meraung kesakitan serta kesedihan.
Pemergian Imam al-Husein adalah simbolik kepada perjuangan menentang kezaliman. Itu adalah jihad yang utama. Beliau juga merupakan imam dan ketua kepada kita semua, baik Sunni atau pun Shi'ah, walaupun memang benar dalam sumber sejarah menyatakan bahawa hanya minoriti sahabat sahaja yang bersama-sama dengan al-Husein berperang dengan Yazid, termasuklah kumpulan Shi'ah sendiri.
Perjuangan al-Husein diteruskan oleh ulamak selepas beliau. Atas sebab itulah Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Malik berkonfrontasi dengan khalifah di zaman mereka. Dan atas sebab itulah juga Imam al-Shafi'e pernah berkata, "sekiranya menyokong keluarga Rasulullah/ahlulbait itu dianggap sebagai pemberontakan, maka biarlah manusia dan jin bersaksi yang aku ini merupakan pemberontak."
Selain menghayati peristiwa Karbala, umat Islam turut dianjurkan berpuasa sunat. Bahkan, umat Islam turut digalakkan berpuasa pada hari kesembilan untuk membezakan mereka dengan puasa Yahudi. Ini adalah berdasarkan hadith sohih berikut:
"Sekiranya aku hidup lagi pada tahun hadapan, nescaya aku akan berpuasa pada hari kesembilan. Berkata Ibn Abbas yang dimaksudkan dengan hari kesembilan itu ialah sembilan Muharram bersama dengan hari Ashura."
Orang Yahudi turut merayakan hari Asyura sebagai memperingati peristiwa nabi Musa dan bani Isral diselamatkan Allah daripada kezaliman Firaun. Untuk membezakan kita dengan mereka, maka dianjurkan puasa tambahan sehari sebelumnya, bahkan ada para ulamak yang turut menganjurkan puasa sehari selepasnya.
Marilah sama-sama kita meraikan hari revolusi umat Islam pada hari Ashura ini dengan penuh penghayatan bersumberkan fakta yang tepat dan jauh dari kesesatan.
- Artikel iluvislam.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment