Sunday, August 7, 2011

The Sealed Nectar







Pada tahun 1976, persidangan pertama tentang Sirah Nabi Muhammad S.A.W telah berlangsung di Pakistan yang ditaja oleh Liga Muslim Dunia. Liga ini telah menganjurkan pertandingan menulis Buku Biografi junjungan besar Muhammad S.A.W. Pemenang akan membawa pulang wang tunai berjumlah 50000 Saudi Riyal (RM60000-RM65000).

Akhirnya, ar-Raheeq al-Makhtum (The Sealed Nectar) telah memenangi pertandingan ini dengan mengenepikan 170 manuskrip biografi Rasulullah S.A.W yang lain.

Tentang Penulis

Safiur Rahman al-Mubarakpuri ialah ulama' besar di Universiti Islam Madinah. Beliau lahir di Mubarakpur, India.

Tentang Buku

Manuskrip setebal 584 muka surat ini memberikan gambaran yang jelas terhadap perjalanan hidup Nabi Muhammad S.A.W sehingga Baginda S.A.W wafat. Permulaan buku ini membawa pembaca menelusuri susur galur keturunan Baginda S.A.W dan diakhiri dengan mengenal karakter dan akhlak Nabi Muhammad S.A.W.

Buku ini juga menerangkan kronologi peristiwa pada zaman Nabi Muhammad S.A.W dengan kaedah yang begitu tersusun. Insya-Allah, jika anda mula memegang buku ini, anda akan merasakan payah untuk menutupnya kembali. Anda akan terkesima dengan hebatnya peribadi Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya. Percayalah, titisan air mata akan mengalir dari kedua-dua bola mata anda.

Banyak kisah sirah yang saya terlepas pandang selama ini. Dahulu, saya sangka nasyid ahli Madinah "Tola'al Badru 'Alaina" itu, dinasyidkan oleh penduduk Madinah semasa ketibaan Rasulullah S.A.W tatkala berhijrah. Namun, saya tersasar. Rupa-rupanya, nasyid ini dialunkan semasa ketibaan pulang Rasulullah S.A.W dan para sahabat dari medan Tabuk.

Malah, peristiwa perang Uhud amat menyentuh perasaan. Rasulullah dilindungi oleh sembilan orang sahabat (tujuh Ansar dua Muhajirin) semasa serangan balas pihak Quraish. Tujuh orang Ansar syahid, manakala Saad bin Abi Waqqas R.A dan Talhah bin Ubaidillah R.A mempertahankan Nabi dengan bersungguh-sungguh.

Sehingga Abu Bakar R.A mengatakan Hari Uhud ialah Hari Talhah R.A. Manakan tidak, Talhah R.A. tercedera di tangan dan terputus jarinya kerana melindungi Rasululah S.A.W. Tidak hairanlah, Saad R.A dan Talhah R.A tergolong dalam sepuluh orang yang dijanjikan Syurga.

Kesimpulan

Sesungguhnya, jiwa setiap Muslim itu pasti mencintai junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Kerana apa? Kerana, melalui Baginda kita dapat mengenal Islam dan beriman kepada Pencipta sekalian alam yakni Allah azzawajalla.

Memupuk cinta kepada Rasulullah S.A.W amat penting seperti yang difirmankan oleh Allah di dalam al-Quran:

Katakanlah (wahai Muhammad), jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutlah aku (yakni Islam, ikut al-Quran dan As-Sunnah), maka Allah akan mencintai kamu. (Ali Imran:31)

Marilah sama-sama memperbanyakkan selawat pada Baginda Rasulullah S.A.W. Dengan memperbanyakkan selawat, itu tandanya kita mencintai Baginda.

"Allahumma Solli 'Ala Muhammad, Wa'ala ali Muhammad"

Ringkasan

Tajuk Buku: Ar-Raheeq Al-Makhtum (The Sealed Nectar)

Penulis: Safiur Rahman Al-Mubarakpuri

Terbitan: Darussalam Riyadh, Saudi Arabia

Muka Surat: 584

Harga: RM30-35

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment