Monday, August 1, 2011

Dipercayai Lebih Utama Daripada Dicintai








Ramai sahabat yang menggiat agar saya mengulas isu-isu politik kontemporari. Tetapi saya belum tergerak untuk itu. Sikap tidak berpihak kepada mana-mana parti politik bukan ertinya saya tidak berpendirian. Tetapi itulah pendirian saya.

Politik terlalu kompleks dan saya tidak punya ilmu, maklumat dan pengalaman mendalam mengenainya. Jadi biarlah saya menulis sesuatu yang benar-benar saya fahami, hayati dan rasai. Biarlah orang yang benar-benar "ahli" menanganinya. Jika tidak, yang keruh akan bertambah hodoh!

Pernah saya mendapat teguran daripada seorang pengunjung blog yang menyifatkan jalur dakwah berbanding siasah yang saya pilih sekarang adalah suatu langkah yang tidak praktikal dan tidak sunnah.

Saya diamkan saja, namun tegurannya saya paparkan. Tentu dia punya sebab untuk berkata demikian, saya hormatinya. Dan saya juga ada sebab untuk bersikap begini. Saya harap pendirian saya juga dapat difahami. Mudah-mudahan kita semakin matang menguruskan perbezaan dan memanfaatkan persamaan.

Sebahagian pandangan politik saya telah saya jelaskan dalam buku Dilema Melayu - Islam : Kurang Fikir Atau Kurang Zikir? Insya-Allah, sedikit sebanyak input-input dalam buku itu mula dihadam oleh khalayak. Soal diterima atau ditolak, itu soal kedua. Sekurang-kurangnya saya sudah berbuat sesuatu untuk menyatu padukan saudara seagama dan sebangsa.

Selain itu saya terus melaksanakan berbagai-bagai program latihan dalam agensi swasta, badan-badan korporat dan kerajaan serta tazkirah-tazkirah di surau masjid. Dengan keterbatasan waktu, saya turut menulis beberapa buah buku dan artikel-artikel di dalam majalah. Mudah-mudahan, dalam usaha memperbaiki diri sendiri, dapat disepadukan untuk menyeru orang lain.

Mudah-mudahan Allah izinkan kita semua memainkan peranan untuk Islam walau di mana, di bidang apa dan sebagai apa jua pun peranan kita dalam masyarakat. Kecil sekalipun jika ikhlas pasti berbekas. Insya-Allah.

Kita perlu akui bahawa semakin sukar mencari pemimpin yang boleh dipercayai. Padahal kalau ditanyakan apakah syarat utama untuk menjadi seorang pemimpin? Jawabnya ialah kepercayaan. Itulah yang cabarannya. Terlalu sukar untuk mempercayai seseorang pada masakini. Di Amerika, dengan nada sindiran ada yang mengungkapkan:

"We thought we could trust the military,
but then came Vietnam,
We thought we could trust the politicans,
But then came Watergate,
We thought we could trust the engineers,
But then came the Challenger disaster.

Tanpa kepercayaan, kita hilang segala-galanya. Kepercayaan adalah faktor paling utama yang menentukan kejayaan dalam satu-satu perhubungan, samada yang berbentuk personal mahupun profesional. Bila ada kepercayaan, prasangka, cemburu, marah, hasad dengki dan lain-lain sifat mazmumah yang boleh menggugat perhubungan akan dapat diatasi.

Bagaimana membina kepercayaan? Jawabnya, cakap dan sikap kita mesti selari. Itulah integriti – sifat amanah, jujur dan tulus yang dipraktikkan dalam apa jua keadaan dan masa. Itulah asas untuk orang mempercayai kita atau sebaliknya. Pengikut mesti percayakan pemimpinnya. Bila orang mempercayai kita, pengaruh kita akan meningkat. Bila pengaruh kita meningkat, kita akan berjaya dalam memimpin.

Ingat, kepimpinan adalah pengaruh. Inilah rahsia kejayaan kepimpinan Rasulullah s.a.w. Keunggulan kepimpinannya diawali oleh kepercayaan masyarakatnya sehingga bagainda digelar Al Amin sebelum kerasulannya dan diperkukuhkan lagi dengan sifat siddiq (benar) dan amanah selepas itu.

Kata bijak-pandai, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Kita selalunya merasa bertuah apabila dicintai, samada oleh isteri, ibu-bapa atau sahabat-sahabat. Tetapi percayalah, jika kurang dipercayai, lama kelamaan cinta orang kepada kita akan terhakis. Lihatlah betapa banyaknya perhubungan yang terputus antara ibu-bapa dengan anak, suami dengan isteri, pemimpin dengan pengikut, justeru hilangnya kepercayaan.

Apabila hilang kepercayaan, rasa cinta, hormat, kasih dan taat akan musnah. Sampai bilapun manusia lebih mempercayai mata berbanding telinganya. Maksudnya, apa yang dilihat (perbuatan) lebih berkesan untuk meraih kepercayaan berbanding apa yang didengar (percakapan) – action speaks louder than words.

Jadi apabila kita merasakan orang bawahan (subordinate) kita samada isteri, anak, pekerja mahupun pengikut, semakin sukar memberi ketaatan, kerjasama dan kesetiaan itu adalah petanda kita sudah hilang pengaruh. Hilang pengaruh, kerana hilangnya kepercayaan dan hilangnya kepercayaan bila tidak ada integriti.

Tegasnya, kita tidak boleh memimpin hanya berbekalkan cinta, apatah lagi harta atau kuasa. Kepercayaan lebih utama!

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment