DI kalangan qiraat tujuh terdapat qiraat yang tidak lagi diamalkan seperti Qiraat Ibn Kathir, Ibn 'Amir, Imam Hamzah dan Qiraat al-Kisai.
Namun Qiraat al-Kisai melalui dua perawinya Abu al-Harith dan al-Duri masih boleh dipelajari melalui talaqqi dengan guru yang mempunyai sanad.
Semua usul Qiraat Tujuh dan khilaf kalimah dalam surah atau disebut Farsy disenarai dan dicatat dalam bentuk nadham oleh tokoh ilmu qiraat iaitu Imam Syatibiy (meninggal pada tahun 590 hijrah) melalui kitabnya Hirz al-Amani wa wajh al-Tahani atau terkenal dengan Matan Syatibiy.
Metod pengajaran ilmu Qiraat pula mestilah menghafaz matan Syatibiy ini dan guru akan memperkenalkan kaedah membaca qiraat secara jamak.
Dengan maksud semua khilaf qiraat yang ada dalam sesuatu ayat akan dibaca pelajar bermula dengan Qiraat Nafei hingga Qari yang ketujuh iaitu Imam al-Kisai.
Maksud penulis, Qiraat al-Kisaei tidak diamalkan dalam sudut menjadikannya bacaan rasmi negara Islam sebagaimana riwayat Hafs daripada Imam 'Asim yang kebanyakan dunia Islam membacanya.
Begitu juga riwayat Warsy yang mendominasi negara Islam di utara Afrika atau riwayat Qalun yang menjadi bacaan umat Islam di Libya. Namun Qiraat al-Kisaei kini tidak dijadikan riwayat rasmi di mana-mana negara Islam.
Walaupun begitu, Qiraat al-Kisaei pada satu masa dahulu diamalkan di Kufah iaitu tempat Imam al-Kisaei bermukim. Ramai ulama meriwayat Qiraat al-Kisaei melalui perawinya Abu al-Harith dan al-Duri.
Secara umumnya bacaan al-Kisaei ada persamaan dengan bacaan gurunya Imam Hamzah khususnya pada imalah kalimah yang mempunyai huruf ya diakhirnya.
Kelainan Qiraat al-Kisaei berbanding Qiraat Tujuh yang lain adalah membaca imalah pada ha ta'nith yang berada pada akhir kalimah seperti al-malaikah.
Perawi pertama yang meriwayat Qiraat al-Kisaei ialah Abu al-Harith al-Baghdadi. Menurut Al-Dani, Abu al-Harith adalah murid terunggul al-Kisaei dan bertalaqqi dengannya.
Abu al-Harith menjadi penyambung penyebaran Qiraat al-Kisaei. Ramai yang bertalaqqi dengannya antaranya Salamah Ibn 'Asim, Muhammad Ibn Yahya al-Kisaei al-Soghir dan al-Fadhl Ibn Syazan Ya'qub Ibn Ahmad. Abu al-Harith meninggal dunia sekitar tahun 200 hijrah.
Perawi kedua al-Kisaei ialah Abu Umar al-Duri. Jika dilihat senarai para perawi Qiraat bermula dari perawi Imam Nafei' hinggalah perawi Imam Ketujuh Imam al-Kisaei kita dapati semuanya orang yang berbeza. Kecuali al-Duri yang menjadi perawi Imam Abu Amru dan al-Duri juga adalah perawi kepada Imam al-Kisaei.
Al-Duri meriwayat Qiraat Abu Amru melalui perantaraan yang merupakan murid kepada Abu Amru iaitu Yahya al-Yazidi. Manakala Qiraat al-Kisaei, beliau meriwayat secara talaqqi daripada gurunya al-Kisaei.
Justeru dalam buku Qiraat apabila menyatakan tentang bacaan al-Duri, mereka akan menyebut al-Duri al-Kisaei atau menyebut al-Duri Abu Amru bagi mengelak kekeliruan mana satukah al-Duri yang dikehendaki.
Dengan berakhirnya cerita Imam al-Kisaei dan perawinya maka sempurnalah pengenalan Qiraat Tujuh yang merupakan qiraat mutawatirah dan kesemuanya sah dibaca dalam sembahyang.
No comments:
Post a Comment