Thursday, May 5, 2011

Jakim laksana dakwah berterusan


Paimuzi Yahya (kiri) dan Hamdan Jar'ee bertukar-tukar dokumen selepas menandatangai memorandum persefahaman Diploma Tahfiz Wa Dakwah di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.



RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah sedaif-daif iman. (riwayat Muslim)

Dakwah adalah kewajipan yang terletak di atas bahu setiap individu Muslim. Bagi memastikan dakwah itu berkesan, ia memerlukan kepada strategi yang tepat.

Antara strategi itu adalah mengetahui siapakah sasaran (mad'u) dan apakah pendekatan yang digunakan bagi mendampingi mereka. Yang pasti, matlamat utama adalah menarik mereka kepada Islam.

Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempelbagai dan mempertingkatkan program dan aktiviti dakwah mereka. Ia merangkumi dakwah bil lisan dan juga dakwah bil hal.

Berikut adalah beberapa program Jakim yang diadakan baru-baru ini.

nJakim prihatin OKU penglihatan

Dilahirkan tanpa dapat melihat keindahan alam maya dan juga tanpa dapat melihat dan membaca al-Quran bukanlah alasan untuk tidak menuntut ilmu dan menyalahkan takdir.

Jakim yang prihatin tentang hal ini terutamanya di kalangan orang kelainan upaya mengadakan Kursus Peningkatan Profesionalisme Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan pada 15-17 April lalu.

Ia diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi, Selangor dengan kerjasama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Malaysia (Pertis).

Kursus ini antara lainnya bertujuan meningkatkan sahsiah dan profesionalisme penjawat awam dan swasta khasnya OKU penglihatan.

Ia juga bertujuan menerapkan penghayatan nilai-nilai Islam dalam tugas seharian di samping meningkatkan pengetahuan Islam di kalangan para peserta.

Seramai 55 ahli PERTIS yang terdiri daripada penjawat awam dan swasta menyertai kursus ini.

Majlis perasmian Penutupan kursus dilakukan oleh Pengarah Bahagian Dakwah Jakim, Datuk Anan C. Mohd.

Turut hadir, Setiausaha Dewan Negara merangkap Penasihat Pertis, Datuk Zamani Sulaiman.

Dalam ucapannya, Anan menggesa para peserta berusaha melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan supaya menjadi mukmin profesional yang menyeimbangkan keperluan dunia dan akhirat.

"Jangan sekali-kali menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk berjaya," katanya.

n Dakwah susulan Jakim di Pasar Tani

Dakwah Bil Hal Pasar Tani bertempat di Pasar Tani Putrajaya untuk siri 2 pada 29 April 2011.

Program sebegini dirancang untuk mendidik masyarakat khususnya golongan peniaga dan pembeli bermuamalat mengikut ketentuan syarak.

Pelbagai pengisian menarik dilaksanakan sepanjang program. Antaranya, klinik al-fatihah, bicara agama, edaran bahan bacaan percuma kepada pengunjung dan solat asar, maghrib dan isyak berjemaah.

Pelbagai pihak menyambut baik program ini dan berharap ia dapat diteruskan untuk masa-masa akan datang.

Bahagian Dakwah merancang mengadakan program sebegini setiap dua kali sebulan untuk lebih mendekatkan lagi masyarakat dengan pihak Jakim.

Program ini mendapat kerjasama Perbadanan Putrajaya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Persatuan Peniaga dan Kelab Sahabat Dakwah Jakim.

nPengambilan pelajar diploma tahfiz 14 Mei ini

Permintaan yang semakin tinggi terhadap para huffaz mendorong Darul Quran (DQ) Jakim di Kuala Kubu Bahru, Selangor melebarkan sayapnya ke Sarawak.

Ia hasil kerjasama dengan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) yang dimeterai pertengahan April lalu.

Memorandum persefahaman (MoU) itu ditandatangani oleh Pengarah DQ, Paimuzi Yahya, dan Pengetua IKMAS, Hamdan Jar'ee.

Melalui MoU itu, program Diploma Tahfiz Wa Dakwah ini dapat dilaksanakan di Sarawak dan pengambilan kumpulan pertama pelajar diploma adalah pada 14 Mei ini.

No comments:

Post a Comment