Wednesday, May 25, 2011

Bacaan imam mesti tepat





BERTUGAS sebagai imam tidak semudah yang dilihat. Pada masa kasar, tugas mereka nampak mudah kerana hanya mengimamkan solat fardu lima waktu.

Namun, realitinya, tugas imam jauh lebih berat. Sebabnya, selain mengimamkan solat, imam juga bertanggungjawab memastikan masjid atau surau sentiasa dimakmurkan dengan pelbagai aktiviti termasuk sukan dan ekonomi.

Pendek kata, masjid atau surau perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak terhad kepada ibadat khusus untuk solat dan kelas-kelas agama sahaja.

Dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekarang, para imam juga perlu sekurang-kurangnya mengambil tahu dan menggunakan kemudahan tersebut terutama untuk menjadikan persembahan kuliah lebih menarik.

Kelebihan solat berjemaah berbanding solat bersendirian memang sudah diketahui umum iaitu disebutkan ganjarannya adalah 27 kali ganda. (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam semua bidang tugas imam, yang paling penting dan sentiasa diperhatikan oleh jemaah adalah kefasihan dan ketepatan bacaan imam.

Pendek kata, sebutan para imam perlu tepat dalam segi tajwid dan makhrajnya. Jika imam boleh membaca semerdu Imam Besar Masjidil Haram iaitu Dr. Sheikh Abdul Rahman Abdul Aziz As-Sudais atau pun seperti Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Mohamad pastinya jemaah akan 'terhibur' mendengarkan alunan ayat-ayat al-Quran dalam solat.

Dengan demikian, insya-Allah lebih ramai akan tertarik untuk solat berjemaah di masjid atau surau-surau yang senibinanya indah di negara kita.

Dalam aspek bahasa, imam bermaksud seseorang yang di hadapan atau penunjuk jalan, arah dan tempat.

Dalam segi istilah, imam adalah pemimpin rohani yang membantu dan membimbing ke arah mencapai keredaan Allah.

Imam juga adalah pemimpin institusi yang memberi bimbingan secara praktikal bagi mencapai matlamat suci dan tinggi nilainya.

Demikian takrif imam oleh Penolong Pengarah Cawangan Kajian Syariah, Bahagian Penyelidikan Jawi, Abd. Fatah Yusof dalam kertas kerjanya 'Tatacara Profesion Imam'.

Ia disampaikan pada Kursus Imam dan Bilal Surau peringkat Zon 3, di Masjid Asy-Syakirin di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Kursus sehari anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu disertai oleh 100 peserta yang majoritinya adalah imam dan bilal daripada 52 surau dalam zon berkenaan.

Kursus dibahagikan kepada dua bahagian iaitu teori pada sebelah pagi dan latihan dalam kumpulan (LDK) bermula selepas solat zuhur.

Abd. Fatah berkata, etika seseorang imam adalah berilmu, beramal, berakhlak mulia, menjauhi daripada fitnah dan tohmah, mengamalkan cara hidup yang bersih, tidak merokok dan disukai para jemaah.

Katanya, antara yang lebih berhak menjadi imam adalah orang yang berkuasa seperti Sultan atau wakilnya, imam yang dilantik, penduduk tempatan, orang yang lebih alim dalam bidang fikah dan yang lebih alim tentang al-Quran.

"Mengapa penduduk tempatan atau orang setempat lebih berhak menjadi imam kerana mereka lebih tahu keadaan masyarakat setempat.

"Adakalanya ahli jemaah suka imam membaca surah yang ringkas dan juga wirid yang sederhana panjangnya waktu subuh. Antara alasannya, ramai yang bekerja," katanya.

Menurut Abd. Fatah, seseorang itu makruh menjadi imam jika melakukan perkara bidaah yang tidak membawa kepada kafir dan tidak disukai oleh kebanyakan makmum kerana perangai keji seperti banyak ketawa.

"Demikian juga imam yang banyak melakukan kesalahan dalam bacaan tetapi tidak membawa kepada perubahan makna, orang yang tidak fasih sebutannya dan orang yang tidak berhati-hati daripada najis," jelasnya.

Mengenai rungutan oleh sebilangan jemaah tentang imam, Abd. Fatah berkata, antara penyelesaiannya imam perlu sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dan berlapang dada menerima teguran.

"Para imam juga jangan bawa sentimen kepartian dalam tugas seharian dan perlu peka dengan perkembangan isu semasa," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Kariah, Jawi, Hashim Salleh mengucapkan syabas kepada para peserta kursus kerana hadir walaupun hari itu adalah cuti umum Hari Wesak.

Katanya, semangat sedemikian penting dalam usaha menimba ilmu dan menambah kemahiran bagi mempertingkatkan lagi mutu profesion imam dan bilal.

"Hal ini perlu diberi perhatian kerana kita bertugas di ibu kota yang menjadi tumpuan penghijrahan masyarakat luar bandar, jadi kita perlu sesuaikan manhajnya.

"Kita akan susul dengan kursus lain selepas ini agar para imam dan bilal mendapat pendedahan yang berterusan," kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penutupan kursus tersebut. Hadir sama, Ketua Imam Masjid Asy-Syakirin yang juga Penyelaras Zon 3, Mohd. Abd. Nasir Abdullah.

Hashim kemudiannya menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil peserta, Mohd. Ali Abdullah.

Pada sebelah petangnya, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut bidang tugas masing-masing.

Para imam dan bilal dibahagikan 12 orang dalam setiap kumpulan dengan seorang fasilitator.

Antara penekanan bagi imam adalah semakan bacaan al-fatihah, beberapa surah lazim dan hal berkaitan tajwid.

Bagi para bilal pula, selain penekanan kepada bacaan al-fatihah, mereka juga membuat demonstrasi azan.

No comments:

Post a Comment