KAEDAH fiqh yang kedua adalah al-Yaqiin la Yuzaal bil al-Syak (Keyakinan tidak hilang dengan keraguan). Ia bermaksud sesuatu perkara yang sudah diyakini, apabila timbul keraguan selepas itu tidak akan menjejaskan keyakinan yang ada.
Ia juga bermaksud keyakinan yang asal tidak boleh ditinggalkan hanya disebabkan keraguan atau syak. Ia berasaskan banyaknya nas yang menunjukkan apabila berlakunya syak, maka perlu kembali kepada keyakinan asal.
Kaedah yang kedua ini sebenarnya mempunyai elemen yang agak sama dengan kaedah fiqh yang pertama. Persamaan antara keduanya ialah mempunyai perkaitan dengan hati.
Dalam kaedah yang kedua ini terdapat dua perkara iaitu yakin dan syak. Keyakinan adalah suatu perasaan dalam hati seseorang apabila dia memperolehi kepercayaan jitu terhadap sesuatu perkara disebabkan terdapatnya qarinah atau bukti-bukti yang kukuh.
Syak pula ialah sesuatu keraguan dalam hati seseorang apabila ketiadaan bukti kukuh atau mempunyai bukti yang tidak meyakinkan. Justeru, apabila berlaku pertembungan di antara yakin dan syak, maka keyakinan tersebut akan diambil kira.
Islam mengajar kita supaya berusaha mengelakkan sesuatu yang boleh mendatangkan syak. Ini adalah kerana syak boleh menimbulkan kekeliruan dan dalam banyak keadaan, ia boleh mendatangkan kesusahan kepada kita.
Sebagai contoh, dalam urusan hutang, apabila seseorang itu berhutang, maka dia perlu menulis perjanjian atau merekodkan maklumat hutang tersebut seperti jumlah hutang yang dibuat, masa pembayaran, kaedah pembayaran sama ada sekali gus, berkala dan sebagainya.
Merekodkan hutang dalam bentuk bertulis yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak amatlah digalakkan dalam Islam berdasarkan ayat al-Quran yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalat tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar…. (al-Baqarah: 282)
Saranan dan galakkan ini sebenarnya untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan yang mungkin tercetus akibat dari kesamaran dan kekaburan maklumat pada masa hadapan.
Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat lari dari terlupa. Oleh kerana itu, Islam telah mendatangkan penyelesaian kepada permasalahan ini. Antaranya, kita kembali kepada perkara yang meyakinkan.
Rasulullah SAW telah mengajarkan beberapa asas untuk kita mengatasi masalah syak.
Antara ajaran Baginda SAW dalam memberi panduan bagaimana mengatasi syak dalam solat adalah melalui sebuah hadis daripada Abu Sa'id al-Khudri: Jika seseorang dari kamu ragu-ragu ketika solat, dia tidak ingat berapa rakaatkah yang telah dikerjakannya; tiga atau empat, maka ketepikanlah keraguan tersebut dengan keyakinan. (riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa apabila seseorang itu berada dalam keadaan syak sama ada dia telah menunaikan berapa rakaat, maka perlu mengambil kira bilangan yang sedikit kerana ia meyakinkan dan tidak terjejas dengan keraguan.
Demikian juga seseorang yang telah mengambil wuduk, namun selepas itu dia terlupa sama ada sudah terbatal ataupun tidak, maka dia dikira masih berada dalam keadaan berwuduk.
Ia berdasarkan hadis nabi SAW daripada Abu Hurairah r.a: Jika seseorang kamu merasakan sesuatu didalam perutnya, kemudian timbul keraguan dengan sebabnya, apakah telah keluar sesuatu daripadanya atau tidak? Maka janganlah dia keluar dari masjid sehingga dia telah mendengar bunyi atau mencium bau. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Terdapat beberapa pecahan di bawah kaedah ini. Antaranya: "Sesuatu yang diyakini tidak akan terbatal kecuali dengan keyakinan". Contoh aplikasi ini ialah apabila seseorang itu yakin dia telah berwuduk namun syak adakah batal ataupun tidak, maka dia dikira masih berwuduk.
Kaedah pecahan yang seterusnya adalah: "Asal sesuatu ialah kekal sebagaimana sedia ada". Contoh aplikasi kepada kaedah pecahan ini adalah jika seseorang yang berpuasa makan pada waktu petang tanpa berijtihad sama ada sudah masuk waktu berbuka atau belum. Kemudian datang keraguan padanya sama ada sudah terbenam matahari atau tidak, maka puasanya terbatal kerana mengikut asalnya tidak terbenam matahari.
Adapun, seseorang yang bersahur pada akhir malam dan dia syak sama ada sudah terbit fajar ataupun belum, maka dikira sebagai sah puasanya kerana asalnya adalah kekal malam.
Demikianlah beberapa contoh dalam membicarakan kaedah fiqh yang kedua ini. Mudah-mudahan akan memberikan sedikit gambaran bagaimana para ulama melihat hukum-hakam melalui perspektif fiqh.
No comments:
Post a Comment