Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Wednesday, May 25, 2011
Misi Ke Gaza Diteruskan Melalui Jalan Darat
Misi kapal kargo MV Finch untuk menghantar bantuan berupa paip PVC kepada penduduk Gaza dijangka akan diteruskan dengan menggunakan jalan darat ekoran keputusan pihak berkuasa Mesir memberikan kebenaran kepada kapal itu untuk berlabuh dan memunggah barangan kargo hari ini.
Wartawan Bernama, Mohd Faizal Hassan dalam nota SMS yang dihantar ke ibu pejabat agensi berita itu di Kuala Lumpur berkata: "Difahamkan, Menteri Luar Mesir telah memberikan kebenaran untuk berlabuh (kapal) dan memunggah barangkargo hari ini.. Insyaallah kami akan ke darat," katanya.
Kapal tersebut telah berada lebih seminggu di luar Pelabuhan El-Arish di Mesir, bagi menunggu kebenaran daripada pihak berkuasa Mesir untuk berlabuh dan enjin kapal itu kini telah pun rosak. Pada 16 Mei lepas kapal kargo itu yang turut membawa 12 sukarelawan dan krew dua wartawan Malaysia terpaksa membatalkan rancangan menggunakan laluan perairan Palestin untuk menghantar bantuan ke Gaza apabila diancam oleh tentera laut rejim Israel yang melepaskan tembakan amaran.
Mohd Faizal berkata buat masa ini kapal tentera Mesir berada berhampiran kapal kargo mereka untuk mengawal segala kemungkinan memandangkan kapal tentera Israel turut berada berdekatan.
"Objektif untuk menembusi sekatan itu telah dilakukan sejak Isnin lepas dan kini objektif untuk menghantar paip PVC ke Gaza dijangka akan dilakukan hari ini menerusi jalan darat," katanya.
Sementara itu, Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) dalam satu kenyataan berkata PGPF menyokong sebulat suara keputusan yang diambil oleh kesemua krew dan penumpang kapal dan berbangga dengan semangat dan keazaman mereka.
"Spirit of Rachel Corrie (nama pendaftaran MV Finch) telah berada di lautan selama 12 hari dan sekarang sekali lagi akan mencuba untuk memecahkan sekatan Israel secara haram di Semenanjung Gaza," kata kenyataan itu.
Sementara itu, Matthias Chang, Ketua Misi kapal The Spirit of Rachel Corrie berkata mereka telah berlabuh di kawasan menunggu di pelabuhan dan roda kemudi kapal telah patah.
"Semangat berpasukan adalah tinggi dan tidak berasa gentar, kami telahmenghadapi pelbagai rintangan dan sabotaj dan berjaya menempohnya," kata beliau dalam satu kenyataan yang difakskan dari pejabatnya di Kuala Lumpur. Kapal MV Finch itu dikemudi rakyat Malaysia, Kapten Abdul Jalil Mansor dengan dibantu empat krew iaitu Zainuddin Mohamad dan Mohd Jaffery Ariffin dari Malaysia serta dua warga India iaitu Sharma Chandan Shimla dan Pal Satya Prakash.
Selain wartawan Bernama, turut berada di atas kapal itu ialah wartawan akhbar New Straits Times Iskandar Alang Zainuddin, petugas sukarela Felda Mohd Radzillah Abdullah dan tiga aktivis kemanusiaan iaitu Derek Graham dan Jenny Graham dari Ireland serta Julie Levesque dari Kanada.
EL-ARISH, 24 Mei
Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment