Wednesday, June 1, 2011

Malaysia Akan Tubuhkan Fakulti Khas Kewangan Islam






Dalam usaha melahirkan lebih ramai ilmuan dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam, Malaysia bercadang mewujudkan fakulti khas berkaitan bidang tersebut di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Beliau berkata Malaysia bercadang menjalin kerjasama dengan Mesir dan Arab Saudi bagi tujuan itu dan akan mengadakan perbincangan dengan pihak kedua-dua negara.

Beliau telah meminta Pengerusi Institut Profesional Baitulmal (IPB) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz untuk melaksanakan perkara tersebut, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Ahli-Ahli Penasihat Syariah bagi Institusi-Institusi Kewangan Islam Malaysia Kali Ke-7 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Dengan kewujudan fakulti itu kelak, beliau berkata pelajar di negara ini tidak perlu lagi dihantar ke negara-negara tersebut untuk mendalami ilmu berkenaan.

"Kita nak supaya negara kita jangan ketandusan pemimpin atau ilmuan, atau orang yang boleh menjawab persoalan sekaligus tentang syariah, muamalat dan tentang ekonomi dan kewangan Islam, sebab itu kita merangka program ini secara serius," katanya.

Jamil Khir berkata sehingga kini pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi tujuan sama, termasuk penajaan 63 pelajar dari negara ini ke Mesir bagi mendalami ilmu berkaitan kewangan Islam oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Amanah Raya Berhad.

Beliau berkata selain itu Fakulti Tahfiz Wal Muamalat juga ditubuhkan di Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bukan sekadar menekankan soal penghafalan tetapi juga berkaitan soal muamalat.

"Saya harap usaha ini dapat berjalan dengan baik supaya kita bukan hanya dilihat sebagai pemain tempelan tetapi benar-benar serius untuk membangunkan ekonomi Islam di negara ini," katanya.

Mengenai muzakarah yang menumpukan mengenai soal perdagangan mata wang asing itu, Jamil Khir berkata isu tersebut perlu diberi perhatian memandangkan perdagangan jenis itu terus meningkat dari semasa ke semasa dan turut melibatkan umat Islam.

Beliau berkata menurut Bank for International Settlements, sehingga April tahun lalu, jumlah dagangan harian di pasaran mata wang asing antarabangsa dianggarkan sebanyak US$3.98 trilion dengan pertumbuhan sekitar 20 peratus berbanding US$3.21 trilion setiap hari pada April 2007.

"Sebab itu kita ingin melihat hal ini dari konteks syariah yang memerlukan pandangan dari pakar-pakar dan pembentang kertas kerja dan akhirnya kita ingin merumus pandangan tentang isu-isu berkaitan supaya ia dapat menjawab persoalan awam berkaitan perdagangan mata wang asing," katanya.

Seramai 200 peserta yang terdiri daripada alim ulama, penasihat syariah, wakil industri, ahli akademik, pakar perundangan dan para penyelidik menyertai muzakarah sehari itu dengan resolusinya nanti akan dihebahkan kepada industri dan orang ramai, katanya.

PUTRAJAYA, 31 Mei

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

No comments:

Post a Comment