Tuesday, June 28, 2011

Hayati Israk Dan Mikraj Dalam Membentuk Peribadi Muslim





Datuk Seri Najib Tun Razak meminta umat Islam menghayati dan menginsafi peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah dalam membentuk keunggulan peribadi Muslim sebagai tunggak kepada kekuatan umat Islam di negara ini.

"Semoga seluruh umat Islam dapat menghayati dengan penuh insaf peristiwa agung ini untuk menjadikan kita sebagai umat terbaik dalam merintis perpaduan melalui kepelbagaian kaum dan agama.

"Keperibadian unggul Muslim akan melahirkan semangat perpaduan yang akan menatijahkan keamanan sesebuah negara.

“Tanpanya maka individu Muslim akan lemah, sentiasa sukakan perpecahan dan tidak pentingkan keharmonian, malah bencikan keamanan yang ada," kata Perdana Menteri dalam ucapan salam Israk Mikraj kepada semua umat Islam di Malaysia yang disiarkan dalam entri terbaru di blognya, www.1malaysia.com.my


Perdana Menteri juga mengajak rakyat Malaysia mengambil pengajaran daripada hikmah peristiwa Israk Mikraj Rasulullah sebagai panduan dalam perjalanan negara menuju Wawasan 2020.

Najib berkata dalam konteks negara, berahmatkan peristiwa Israk dan Mikraj, kita sedang meniti satu perjalanan hebat bersama-semua rakyat menuju Wawasan 2020.

"Kita sedang melaksanakan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi dari pelbagai bidang.

"Ini bagi membuktikan kemajuan dan kesungguhan kerajaan untuk membangunkan negara tercinta ini dengan transformasi ini juga memerlukan keberanian dan perubahan minda secara menyeluruh dan memerlukan pencapaian yang berganda dan luar biasa," katanya. Najib berkata dalam perjalanan Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab tahun Hijrah pada tahun ke-11 selepas kenabian Rasulullah, ia adalah dua misi perjalanan hebat sebagai anugerah kemuliaan dan mukjizat kepada Baginda sebagai bukti kekuasaan Allah SWT, katanya.

Peristiwa Israk merupakan perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan diiringi oleh malaikat Jibrail dan Israfil manakala peristiwa Mikraj pula perjalanan Rasulullah naik ke langit dengan ditemani malaikat Jibrail dan bertemu Allah.

Najib berkata semasa di Masjid Al-Aqsa, Allah telah memperlihatkan kepimpinan baginda Rasulullah yang menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para anbiya yang lainnya.

"Justeru, baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah kepada keseluruhan manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum dan bangsa yang telah menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia," katanya.

Najib berkata sesungguhnya kini hubungan Masjid al-Haram dengan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum bertukar ke Masjid al-Haram hingga hari ini.

"Selain itu, isu Palestin merupakan isu yang mesti diperjuangkan oleh umat Islam sebagai agenda penting dakwah bagi membela rakyat Palestin dari kekejaman rejim Israel," kata Najib.

Najib berkata pengajaran kedua terpenting menerusi peristiwa Israk dan Mikraj ini ialah perlaksanaan solat lima waktu.

Justeru Najib mengingatkan umat Islam seluruh negara supaya menitikberatkan perlaksanaan ibadat solat lima waktu sebagai wahana membentuk keunggulan peribadi Muslim dan tunggak kekuatan Islam.

Najib berkata sambutan mengingat Israk dan Mikraj sememangnya dinantikan seluruh umat Islam kerana kepentingannya dalam mendidik jiwa manusia ke arah kesempurnaan dan membongkarkan keimanan serta keyakinan umat manusia tentang kekuasaan Allah dan kebenaran kenabian baginda Muhammad SAW.

Kuala Lumpur, 28 Jun
Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

Perbezaan pendapat tentang Israk Mikraj

Peristiwa Israk Mikraj menimbulkan perdebatan para ulama dalam beberapa perkara namun yang pasti ia mesti dipercayai dan diyakini sepenuhnya. - Gambar hiasan





ISRAK MIKRAJ adalah peristiwa spiritual yang dialami Nabi Muhammad SAW. Ia difahamkan sebagai perjalanan malam Nabi dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan terus menerus menembusi dinginnya langit menuju sebuah puncak yang disebut Sidratul Muntaha.

Diriwayatkan, ketika Rasulullah sedang tidur malam bersama para sahabatnya di Masjidil Haram, tiba-tiba Jibril datang membangunkan dan membawanya untuk Israk Mikraj. Dalam konteks ini Thabathaba'i (Tafsir al-Mizan), menyebut bahawa di antara sahabat yang sedang bersama Nabi SAW saat itu adalah Hamzah Ibnu Abdul Muttalib, Jaafar Ibnu Abi Talib, dan Ali Ibnu Abi Talib.

Namun suatu riwayat seperti dipetik Fakh al-Din al-Razi dalam Mafatih al-Ghaib, menyatakan bahawa Israk Mikraj tidak dimulai dari dalam Masjidil Haram, melainkan dari rumah Ummu Hani binti Abi Talib. Yang lain lagi menyatakan, bahawa mulai Israk Mikraj itu adalah dari sebuah ruangan dalam rumah Abu Talib r.a.

Beberapa kenyataan Islam menyebutkan bahawa Israk Mikraj itu ditempuh hanya dalam satu malam. Perjalanan yang panjang ini dimulai setelah selesai waktu Isyak dan diakhiri pada waktu fajar menyingsing.

Demikian jauhnya jarak perjalanan ini, maka Aisyah dan Muawiyah berpendapat bahawa Israk Mikraj merupakan perjalanan rohani dan bukan perjalanan fizik jasmani.

Menurut Aisyah, roh Nabi Muhammad bergerak membelah semesta alam untuk berjumpa dengan Allah, sementara jasadnya bersemayam di bumi.

Pendapat itu ditolak oleh jumhur ulama yang mengatakan Israk Mikraj melibatkan jasmani rohani Nabi Muhammad secara sekali gus.

Bagaimana mungkin benda seperti jasad manusia boleh berjalan lebih cepat daripada gerakan cahaya.

Menurut teori Einstein, jika ada benda berjalan secepat cahaya, maka benda itu akan terurai dan hancur lebur. Kemudian jumhur ulama berkata, bahawa Israk Mikraj adalah untuk dipercayai dan diyakinkan, bukan untuk diperdebatkan.

Bilakah terjadi peristiwa Israk Mikraj itu? Beberapa riwayat menjelaskan pendapat yang berbeza. Ulama yang berpendapat bahawa peristiwa Israk Mikraj itu terjadi pada hari Jumaat, 27 Rejab. Inilah pandangan paling popular di kalangan umat Islam.

Namun sebahagian lain berpendapat peristiwa Israk Mikraj itu terjadi di awal dan bukan di akhir bulan Rejab.

Menurut pendapat al-Harbi, seperti dipetik oleh al-Qurtubi dalam Al-Jami'il lil Ahkam al-Qurtubi, Israk Mikraj terjadi pada 27 Rabiul Awal. Sama juga pendapat seperti yang dikatakan oleh az-Zuhri dan Urwah.

Ibnu Abbas berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi pada hari Isnin, 12 Rabiulawal.

Sebabnya pada hari, tarikh dan bulan itulah Rasulullah dilahirkan, diangkat menjadi Nabi, di Israk Mikrajkan, berhijrah ke Madinah dan meninggal dunia.

As-Suddi pula berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi pada bulan Zulkaedah (Ibnu Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah).

Bukan hanya bulan yang diperselisihkan, melainkan juga tahun peristiwa itu. Ada ulama berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi satu tahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

Sebahagian lain berkata bahawa Israk Mikraj diperkirakan terjadi 18 bulan sebelum peristiwa hijrah.

Sementara yang lain lagi berkesimpulan bahawa Israk Mikraj terjadi ketika Khadijah masih hidup.

Menurut Yunus Ibnu Bukair, pasca Israk Mikraj, Khadijah masih sempat melaksanakan solat. Ini kerana Israk Mikraj terjadi pada tahun kelima dari kenabian, beberapa bulan sebelum Khadijah meninggal dunia. Bahkan seperti dikutip oleh Thabathaba'i, Ibnu Abbas berkata bahawa Israk Mikraj terjadi pada tahun kedua dari kenabian.

Intisarinya bermacam pendapat, yang berkata tahun ketiga kenabian, 10 tahun tiga bulan dari kenabian, 12 tahun dari kenabian, satu tahun lima bulan sebelum hijrah, satu tahun tiga bulan sebelum hijrah, dan enam bulan sebelum berhijrah.

Mengapa berlaku perselisihan? Sebabnya, ketika peristiwa Israk Mikraj berlaku tidak ada orang yang mencatat dan merekodkannya secara betul. Rasulullah pun dikisahkan tidak boleh membaca dan menulis.

Mengenai hari, tarikh, bulan, dan tahun peristiwa Israk Mikraj di atas sepenuhnya didasarkan pada ingatan para sahabat, dan bukan pada data rakaman tertulis.

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

Mata Kasar, Mata Nafsu, Mata Iman





Bayangkan tatkala kita sedang merenung wajah seorang tua yang sudah berkedut, kudrat yang sudah uzur memberikan perspektif yang berbeza pada mata yang melihat. Ianya boleh dilihat dengan mata kasar, mata nafsu atau mata iman.

1) Mata kasar : Pabila kita sekadar melihat dengan mata kasar, tidak akan memberi makna apa-apa sekadar melihat sambil berlalu.

2) Mata nafsu : Pabila kita sekadar melihat dengan mata nafsu, kita akan terfikir untuk tidak mahu menjadi tua seperti itu. Tidak mahu berkedut, tidak mahu sakit dan jikalau boleh mahu kekal muda buat selama-lamanya. Lalu pelbagai cara digunakan untuk menegangkan kulit muka seperti botox, cucuk vitamin c , pembedahan plastiK dan sebagainya. Pelbagai ubat-ubatan digunakan kononnya untuk mengekalkan keremajaan kulit. Segala produk kecantikan dan ubat-ubatan untuk melambatkan penuaan akan dicuba dan dimakan. Bagi mereka yang pernah melihat cerita-cerita kuno dinasti cina, pasti teringat tentang kisah dimana seorang raja yang mempunyai ubat yang boleh menjadikannya hidup selama-lamanya dan menjadi rebutan semua orang.

3) Mata iman : Pabila kita melihat mereka dengan mata iman, kita akan melihat wajah-wajah tua dan kusam, penuh dengan kedut di muka dengan kudrat yang sudah uzur akan memberikan keinsafan di hati insan yang melihat dengan mata iman. Melihat wajah-wajah tua akan menyebabkan kita menangis. Menangis bukan kerana takutnya menjadi tua. Menangis kerana sedar dan insaf bahawa apa yang ada di dunia ini semuanya tiada yang kekal abadi. Semuanya adalah sementara. Kecantikan akan hilang, kekuatan akan hilang, kekayaan akan ditinggalkan, kuasa dan pangkat akan ditinggalkan, muda akan tua. Lalu apakah yang lebih utama di dalam kehidupan sementara di muka bumi ini? Mata iman akan menjawab ialah mencari keredhaan Allah dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Kerana apa? Kerana apa yang dijanjikan Allah iaitu hari akhirat yang kekal abadi adalah pasti, syurga dan neraka adalah pasti. Jika tiada cukup bekalan yang baik yang dibawa dari hidup yang sementara ini balasan neraka adalah pasti dan kekal abadi...Nauzubillah...Lalu apakah gunanya melebih-lebihkan kehidupan dunia yang sementara daripada kehidupan akhirat yang abadi. Bukanlah bermakna melebihkan akhirat dengan meninggalkan seluruh urusan di dunia dan hanya duduk di tikar sejadah semata-mata. Lalu, bagaimanakah cara kita boleh mencapai kejayaan di alam yang kekal abadi itu? Apa yang patut kita buat semasa kehidupan yang sementara di dunia ini?

Jawapannya semua ada di dalam al-Quran, manual hidup seorang muslim yang harus dibaca dan dihayati setiap hari, iaitu:

-Jika dia seorang anak, dia akan menjadi anak yang terbaik, yang sentiasa membahagiakan hati kedua ibu bapanya. Tidak lupa sentiasa berdoa untuk ibubapa samada ibubapa masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

-Jika dia seorang ibu/ayah, dia akan cuba menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anaknya dengan mendidik mereka tentang ilmu, mendidik anak menjadi anak soleh dan solehah. Melaksanakan tanggungjawab sebagai ibubapa tanpa rasa keluh kesah. Memasak, menjaga rumahtangga dengan hati yang ikhlas dan tenang.

-Jika dia seorang suami, dia tidak akan berlaku zalim kepada isterinya dan mendidik isterinya dengan baik dan penuh kasih sayang. Melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan cara yang terbaik.

-Jika dia seorang isteri, dia akan menjadi seorang isteri yang terbaik untuk suami yang tercinta, taat dan menghormati suami. Melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan cara yang terbaik.

-Jika dia seorang pekerja, dia akan berusaha untuk melakukan yang terbaik di dalam usaha kerjanya tanpa seberang kebencian dan rasa tidak puas hati kepada orang atasan.

-Jika dia seorang kawan, dia akan selalu bercakap bersopan dengan kawan-kawannya tanpa cuba menyakiti hati kawan, tidak akan menabur fitnah dan mengumpat kawannya tanpa jemu. Dia akan menegur rakannya jika rakannya menyimpang dari jalan yang benar. Hasratnya adalah supaya dia dan rakannya akan bersama-sama terselamat daripada seksaan neraka di alam yang kekal abadi.

- Dan yang paling UTAMA, dia akan menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur, mengharapkan rahmat dan kasih sayang daripada ALLAH Yang Maha Esa dengan melakukan ibadah yang diperintahkan oleh Allah dengan rasa khusyuk, ikhlas kerana apa yang paling penting dalam hidup insan ini adalah mendapat kasih sayang, rahmat dan redha daripada Allah. Sesungguhnya tanpa rahmat dan kasih sayang daripada Tuhan Yang Maha Esa sesungguhnya jadilah kita tergolong dalam hamba-hamba yang rugi. Setiap perlakuannya sentiasa merasa diperhatikan oleh Allah dan dengan itu merasa takut untuk melakukan dosa. Mementingkan Allah daripada segala-galanya. Tidak culas untuk bersolat di awal waktu, bersolat sunat, berqiamulail dan sebagainya.

Namun, memang sifatnya manusia kekadang terlupa dan terdengar pujukan dan rayuan nafsu dan syaitan. Jika sudah tersedar dari kesilapan maka beristighfarlah kepada yang Maha Esa untuk mengampuni dosa-dosa kita. Insya-Allah, jika kita memohon ampun dengan hati yang tulus ikhlas, Allah yang pengasih dan penyayang akan mengampuni dosa-dosa kita. Rasullah S.A.W manusia yang maksum juga beristighfar paling kurang 100 kali sehari jadi kita sepatutnya lebih kerap lagi beristighfar. kerana jika kita lalai daripada beristighafar dan memohon ampun daripada Yang Maha Esa, hati kita yang berbuat dosa akan dipenuhi dengan titik-titik hitam. Jika titik hitam sudah memenuhi hati kita, hati kita menjadi buta. Hati yang buta teramat bahaya kerana sinar kebaikan dan sinar hidayah akan susah menembusi hati kita yang sudah hitam. lalu, jika orang mengajak kita membuat kebaikan, memberi nasihat, hati kita akan mencemuh dan membenci perkara kebaikan lagi. Nauzubillah.

-Dunia ini sementara adalah pasti.

-Hidup kita di dunia sudah pasti akan mati.

-Akhirat itu pasti.

-Syurga dan neraka itu pasti.

Lalu adakah kita mengambil langkah yang sepatutnya untuk perkara yang pasti itu?

5 perkara yang harus digunakan sepenuhnya sebelum tiba 5 perkara iaitu:

1) Kaya sebelum miskin

2) Muda sebelum tua

3) Sihat sebelum sakit

4) Lapang sebelum sibuk

5) Hidup sebelum mati


- Artikel iluvislam.com

Idola vs Teladan







Tanpa disedari masa berlalu. Akademi Fantasia ke-9 melabuhkan tirainya. Mengikut laman web rasminya, ini adalah konsertnya yang terakhir buat selama-lamanya. Ini bermakna selama sembilan tahun kita dimomokkan dengan rancangan realiti ini. Ini juga bermakna satu daripada puluhan rancangan realiti televisyen di Malaysia telah berakhir.

Namun ada begitu banyak lagi rancangan realiti yang masih menjana kelahiran idola-idola untuk masyarakat. Bahkan mungkin matinya satu rancangan realiti ini akan lahir lebih banyak rancangan realiti di Malaysia ini.

Secara kebetulan atau tidak rancangan-rancangan ini menjadikan artis sebagai idola bagi masyarakat. Apa sahaja perbuatan dan tingkah laku artis dijadikan sebagai kayu ukur aras baik dalam masyarakat. Seandainya artis melakukan kesalahan moral, artis-artis diperkatakan dengan aspek negatif. Seolah-olah artis adalah panduan yang perlu diikuti masyarakat.

Satu usaha terancang dan sistematik mahu menjadikan artis sebagai idola masyarakat. Baik daripada kaca mata media hiburan, maka baiklah bagi masyarakat. Akhirnya masyarakat terutamanya generasi muda menjadi keliru antara idola dan teladan yang baik . Gejala ini telah diungkapkan oleh Dato' Dr.Siddiq Fadzil iaitu tokoh masyarakat. Beliau menyatakan bahawa generasi sekarang banjir idola tetapi kemarau teladan.

Masalah ini menjadi semakin rumit. Gejala banjir idola tetapi kemarau teladan benar-benar menyebabkan masyarakat tenggelam di dalam danau kekeliruan. Contoh yang cuba ditonjolkan di dalam masyarakat sebenarnya adalah contoh yang salah. Walhal contoh terbaik sebenar adalah bukan daripada artis yang sebegitu.

Kesilapan menggunakan istilah idola

Mengikut kamus Oxford, istilah idol adalah bermaksud pengambaran atau perwakilan daripada dewa/tuhan yang digunakan sebagai objek penyembahan. Idol-an image or representation of a god used as an object of worship.

Eidos pula adalah idol dalam bahasa Greek purba yang diertikan dengan bentuk atau keadaan. Ia adalah berasal daripada Eidolon iaitu asalnya bererti 'penampilan' dan secara khususnya ialah lembaga atau jelmaan. Ia kemudiannya dijelmakan kedalam jelmaan samada secara jelmaan mental ataupun jelmaan secara fizikal. Ia dijelmakan seperti sebuah 'patung'. Ketika awal era Kristian dan Latin sehingga seluruhnya, īdōlum digunakan pula untuk menjelmakan tuhan palsu'.

Greek eidos meant 'form, shape' (it came from the same root as idéā, source of English idea). From it was derived eídōlon, which originally meant 'appearance', and in particular 'apparition, phantom'. It developed from there to 'image', either a 'mental image' or a 'physical image', such as a 'statue'; and in the early Christian era it and its Latin descendant īdōlum were used for an 'image of a false god'.

Perkataan idolatry pula adalah jelas bermaksud pemujaan berhala. Meskipun kamus Dewan Bahasa memberi definasi idola adalah orang yang sangat diminati. Namun begitu kita perlu melihat kepada asal dan sejarah sebenar istilah ini yang sebenarnya dipinjam ke dalam Bahasa Melayu. Ini dinamakan epitomology atau kajian asal dan sejarah istilah untuk memahami sebenar maksud dan falsafah sebenar sesuatu istilah.

Penjelasan kepada etimologi istilah idola ini sangat penting kerana beberapa aspek.

01.Adalah tanpa sedar kita sedang menggunakan istilah yang boleh menjejaskan pegangan akidah umat Islam tanpa sedar. Kesalahan idola ini juga sebenarnya disanggahi oleh Kristian. Di dalam Injil mereka banyak menegah daripada menghampiri idol. Keadaan ini sama juga kepada yahudi dalam erti kata lain idol adalah ciri agama politeisme atau agama banyak tuhan.

02.Ada juga pihak yang atas nama dakwah cuba memberi alternatif idola dalam bentuk artis dan sebagainya kepada bentuk yang Islami. Namun definasi menjadikan seseorang yang baik akhlak termasuklah Rasullah S.A.W sebagai idola adalah tidak tepat sama sekali apabila kita merujuk kepada maksud dan epitomology istilah idol itu sendiri.

Oleh yang demikian yang paling baik ialah kita menggunakan istilah teladan atau contoh yang baik. Dalam diam tanpa kita sedari bahawa sebenarnya terdapat agenda tersembunyi dan terancang yang cuba meracun semua penganut agama agar meninggalkan agama sebenar.

Pihak ini pastinya mahu kita menjadikan artis-artis sebagai idola. Inilah sebenarnya apabila pihak-pihak ini mempopularkan istilah idola iaitu kita memuja artis-artis sebagai contoh dan panduan dalam masyarakat. Keadaan ini bertambah gawat apabila sudah banyak filem dan drama yang meletakkan pendakwah di tempat yang salah. Banyak pendakwah di dalam drama atau filem yang diberikan gambaran salah malah banyak yang melanggar syarak.

Bila perkara ini terjadi masyarakat akan menganggap segala watak ini memberi contoh yang "betul", sedangkan ia bertentangan dengan syarak. Jarum pemujaan keterlaluan ini akhirnya menyebabkan masyarakat hilang arah pemujaan yang sebenar iaitu Allah Yang Maha Esa dan berlakulah penyembahan hiburan dan dunia yang melampau. Akhirnya suburlah benih-benih hendonisma ke dalam minda dan jiwa generasi muda.

Kesalahan kejayan hanya dalam dunia hiburan

Begitu banyak sebenarnya contoh dan teladan yang baik yang boleh dijadikan inspirasi kepada masyarakat untuk mencapai kejayaan. Memang benar saban tahun media akan memberi laporan khusus kepada pencapaian pelajar terbaik dan cemerlang UPSR, PMR dan SPM. Namun selama 365 hari tolak kepada hari-hari laporan khas mengenai peperiksaan awam negara berkenaan. Selebihnya adalah cerita tentang dunia-dunia artis ini. Cerita mengenai kejayaan inspirasi di dalam bidang akademik adalah sangat sedikit.

Itu tidak termasuk berita mengenai kejayaan negara dalam bidang Sains dan Teknologi. Itu belum lagi cerita anak bangsa tanah air kita yang menjadi ahli akedemik di Universiti utama dunia. Yang dikejarkan ialah rangking. Bagaimana mahasiswa akan maju setanding mahasiswa terkemuka dunia yang lain seandainya mahasiswa menjadi begitu gersang sumber inspirasi. Yang dipaparkan ialah bagaimana seseorang boleh berjaya dalam masa yang singkat (beberapa minggu). Tidak mustahil ada mahasiswa yang bosan dengan masa yang begitu lama untuk mendapat segulung ijazah, akhirnya berhenti daripada akademi realiti (universiti/IPT) kepada akademi yang fantasi sahaja.

Masyarakat kita semakin dihalang untuk pandai. Apa sahaja yang ada di barat, maka kita juga mahu. Malangnya yang baik sangat kurang kita ambil. Benar di barat juga ada American Idol dan sebagainya. Namun perlu diingat pencapaian ilmu juga sudah jauh sehingga ke angkasa. Anak-anak kecil mereka sudah boleh berbicara tentang nama-nama planet di sistem suria.

Kita boleh tanya para guru di sekolah apakah yang sering dibualkan oleh para pelajar sekolah. Hiburan adalah majoriti topik perbincangan anak murid ini. Agak sedikit yang boleh memberitahu kita siapakah Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Ar-Razy, Ibnu Khaldun dan Al-Ghazali. Agak sukar bukan. Itu bukan lagi tokoh ilmuan negara yang kita ada. Inilah akibatnya apabila gejala kita dibanjiri banyak idola tetapi kemarau teladan.

Kejayaan sebenar akan gagal seandainya kita tidak meletakkan ilmu sebagai asas kejayaan. Hanya dengan ilmu yang sebenar ia akan menyebabkan seseorang tahu kejayaan hakiki. Kejayaan hakiki apabila manusia menggunakan ilmu yang ada padanya ke arah yang sebenar dalam hidup mereka. Bukan hanya untuk popular sahaja. Kejayaan juga sangat bergantung kepada masa dan daya usaha yang kental. Kita perlu ingat tiada jalan pintas untuk berjaya.

Kesalahan definasi bakat

Pencarian bakat Hari Bakat Sekolah. Bintang Bakat Daerah/Kampung. Apakah yang anda fikir apabila anda terbaca ayat-ayat di atas. Tidak mustahil sebahagian besar daripada kita akan secara automatik akan berfikir bahawa bakat adalah sama ertinya dengan kebolehan menyanyi, berlakon atau berlawak. Sedangkan definasi sebenarnya adalah lebih luas dan bermakna.

Keadaan ini berlaku apabila masyarakat dihidangkan dengan program pencarian bakat secara besar-besar dan sistematik di seluruh negara adalah bertumpu kepada sudut hiburan. Publisiti yang meluas dan berkesan menyebabkan masyarakat ditanam dengan fahaman bahawa bakat adalah nyanyian dan lakonan semata-mata. Sedangkan definasi ini adalah sangat kecil sudutnya.

Mengikut Ahmad Naim Jaafar dalam bukunya "Apa Bakat Saya" bahawa bakat adalah keupayaan atau kemampuan semulajadi. Ia adalah satu bentuk cara fikir, perasaan atau perilaku yang mampu membuat sesuatu aktiviti berhasil. Malahan Horward Gardner adalah tokoh yang mempopularkan bahawa manusia ini terdiri daripada beberapa kelompok "Kepelbagaian Kepintaran". Beliau menjelaskan bahawa terdapat lapan jenis kepintaran utama bagi manusia iaitu:

1. Kepintaran Bahasa

2. Kepintaran Matematik dan Logik

3. Kepintaran Muzik

4. Kepintaran Ruang

5. Kepintaran Gerak Badan

6. Kepintaran Interpersonal

7. Kepintaran Intrapersonal

8. Kepintaran Semulajadi

Definasi bakat ini adalah wajar diambil tahu dan diberitahu kepada seluruh masyarakat. Agar masyarakat tidak terkeliru dan akhirnya mendapat pencerahan ilmu. Kepintaran muzik adalah satu daripada senarai kepintaran pelabagai yang diperknalkan oleh Horward Gardner.

Pencarian bintang segera ini sangat kritikal sehingga anak-anak kecil turut dieksploitasikan untuk keuntungan syarikat-syarikat media sahaja. Anak-anak kecil wajar ditunjukkan dengan contoh yang baik. Bukan anak-anak kecil diketengahkan dalam dunia glamour yang plastik ini semata-mata. Bukan juga diwarnakan rambut mereka, diketatkan seluar, dipendekkan kain dan mereka disuruh menyanyi seperti aliran rock dan sebagainya. Adalah wajar juga anak-anak kecil ini digalakkan untuk terus pandai dan mendapat ilmu.

Masih ada teladan

Sesungguhnya umat Islam perlu sedar bahawa dengan Islam yang sebenar. Kita tidak kontang dengan suri teladan yang baik. Begitu banyak remaja di zaman Rasullah S.A.W yang boleh dijadikan teladan dan inspirasi untuk anak-anak kita.

Contohnya ialah sahabat-sahabat yang memeluk Islam di usia yang sangat muda seperti Ali bin Abi Thalib dan az-Zubair bin al-Awwam yang baru berusia 8 tahun. Ja'far bin Abi Thalib yang berusia 18 tahun, Qudaamah bin Abi Mazh'un berusia 19 tahun, Said bin Zaid dan Shuhaib ar Rumi berusia dibawah 20 tahun, 'Aamir bin Fahirah 23 tahun, Mush'ab bin 'Umair dan al Miqdad bin al Aswad berusia 24 tahun, Abdullah bin al Jahsy 25 tahun dan Umar bin al Khathab 26 tahun. Usamah bin Zaid ketika dilantik oleh Rasullah SAW sebagai panglima untuk memimpin pasukan kaum muslimin memasuki wilayah Syam dalam usia 18 tahun.

Sudah tentu suri teladan teragung kita adalah baginda Rasullah S.A.W itu sendiri. Allah S.W.T merakamkan perkara ini.

"Sungguh pada (diri) Rasulullah itu terdapat suri teladan yang baik bagimu, iatu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah"

(Surah Al-ahzab:21)

Michael H Hart di dalam bukunya The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History turut mengakui dan bahkan menempatkan Muhammad sebagai manusia paling berpengaruh di dalam sejarah dan peradaban dunia. Negara kita sendiri sebenar tidak kontang dengan sumber inspirasi dan teladan yang sesuai boleh diketengahkan sebagai teladan yang baik dan contoh ikutan oleh para belia kita.

Cuma kitalah yang perlu memainkan peranan penting untuk membimbing belia ke arah hala tuju hidup yang benar. Para belia pula perlu sedar bahawa kehidupan ini sebenarnya mempunyai matlamat dan tidak patut disia-siakan.

Israk & Mikraj




Iktibar disebalik Israk Mikraj

Bulan Rejab kini sudah hampir meninggalkan kita. Kedatangannya mengingatkan pada peristiwa Israk Mikraj yang bersejarah. Israk Mikraj bukan sekadar peristiwa biasa tetapi ianya mempunyai hikmah dan mesej yang cukup mendalam bagi Rasulullah SAW secara peribadi dan umat Islam keseluruhannya. Peristiwa tersebut seharusnya membuka pemikiran dan cita-cita manusia sejagat sekaligus menunjukkan kekuasaan Allah SWT ke atas sekalian makhluknya dan kebenaran kenabian Muhammad SAW.

Janganlah kita pertikai dan persoalkan bila waktu sebenarnya peristiwa israk mikraj ini terjadi dan juga adakah perjalanan ini roh bersama jasad atau cuma roh semata-mata. Apa yang penting adalah bagaimana kita melihat iktibar yang tersirat disebaliknya dan mengambilnya sebagai panduan untuk mengukuhkan iman dan menghampirkan diri kita kepada Allah SWT.

Rentetan peristiwa tersebut, begitu banyak rahsia tersembunyi yang perlu kita kupas bersama. Setelah kewafatan Saidatina Khadijah RA yang selama ini menjadi pendamping setia, bersama menggenggam tauhid yang kukuh, serta menjadi pendorong utama dalam perjuangan Baginda SAW. Disusuli pula kewafatan Abu Talib yang juga selama ini menjadi pelindung Baginda SAW dari ancaman fizikal oleh kafir Quraisy, cukup memberi kesan besar terhadap Baginda SAW pada tahun kesedihannya. Pada ketika itu juga dakwah Islam berada dalam keadaan tenat dan merudum, dari segi psikologi Nabi SAW begitu terjejas, bahkan tiada kemasukan baru ke dalam agama Islam dikalangan penduduk Mekah.

Sebagai manusia, baginda merasa sedih dan pedih dengan kewafatan dua insan penting yang banyak berjasa dalam menyebarkan dakwah Islam. Namun Allah SWT tidak membiarkan kekasihnya terus berada dalam kedukaan, Israk Mikraj merupakan pendekatan menghiburkan setelah RasulNya kehilangan dua tunggak kekuatan.

Bila berbicara tentang peristiwa Israk Mikraj ini, kita akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah SAW bersama malaikat Jibril yang boleh dibahagikan kepada dua fasa, iaitu Israk yakni perjalanan dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit yang ketujuh. Perjalanan Rasulullah SAW ini telah diabadikan oleh Allah di dalam Al Quran, yang bermaksud;

”Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (QS Al-Israk;1)

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah SAW yang hanya berlangsung pada satu malam ini seringkali diulang cerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk Mikraj diadakan, namun roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih gagal meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam. Semasa ceramah, kita mendengar dengan penuh minat dan mungkin akan sesekali ketawa jika penceramah berjenaka. Selesai ceramah kita akan sama-sama menjamah jamuan yang disediakan dan kemudian pulang ke rumah tanpa membawa apa-apa.

Hidup diteruskan seperi biasa dan iktibar di sebalik Israk Mikraj masih gagal difahami. Begitulah keadaannya setiap kali tibanya Israk Mikraj.

Ibadat Istimewa Hamba

Salah satu peristiwa penting yang sewajarnya diambil perhatian ialah peristiwa pensyariatan ibadat solat lima waktu. Ibadat solat difardukan kepada umat Islam secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah di Sidratul Muntaha tanpa penurunan wahyu atau perantaraan Jibril AS,
sekali gus mengangkat martabat dan nilai solat di sisi Allah, berbeza dengan ibadah khusus yang lain. Begitulah istimewanya ibadah solat yang merupakan mikraj dan medan komunikasi hamba dengan rabbnya.


Menguji Aqidah 


Israk Mikraj juga mengandungi falsafah besar menguji diri seseorang dalam memantapkan dan mengukuhkan aqidah atau sebaliknya.

Di dalam Islam, perkara pertama yang perlu dititikberatkan ialah mengenal Allah iaitu perkara berkaitan aqidah sebelum kita berbicara tentang ibadah dan sebagainya. Jika persoalan aqidah masih bermasalah, bagaimana mungkin kita ingin bicarakan tentang ibadah kepada Allah yang belum kita imani sesungguh hati.


Begitulah pentingnya persoalan aqidah yang wajib didahulukan sebelum perkara-perkara lain sebagaimana fasa dakwah Rasulullah yang dimulai dengan penyebaran tauhid di Mekah yang menekankah aspek pemurnian aqidah umat Islam, diikuti penekanan syariat di Madinah yang berkaitan kaedah-kaedah untuk menzahirkan rasa cinta kepada Allah melalui persoalan ibadat, akhlak dan sebagainya. Bagaimana kita mahu mencintai Allah jika kita belum mengenalNya.

Berbalik kepada peristiwa Israk Mikraj, jika kita singkap dan amati, ada dikalangan pengikut-pengikut Rasulullah saw yang tergoncang aqidah mereka kerana tidak percayakan cerita Rasulullah saw yang telah diisrak mikrajkan ke destinasi yang mengikut hitungan akal manusia yang waras adalah mustahil untuk berlaku dalam masa satu malam. 

Apabila mengetahui kisah ini, maka Abu Jahal begitu gembira kerana ini adalah peluang terbaik untuk menghentam Rasulullah saw dan menjauhkan masyarakat daripada dakwah baginda.

Meragui Perkara Ghaib

Apabila warga Mekah diceritakan kisah ini oleh Rasulullah saw, maka ramailah yang tersentak dan mula meragui, bagaimana mungkin mereka dapat mempercayakan cerita Rasulullah SAW itu. Setahu mereka, perjalanan dari Makkah ke Masjidil Aqsa sahaja mengambil masa yang begitu lama, masakan ianya boleh berlaku dalam satu malam.

Tambahan pula bukan hanya ke Masjidil Aqsa tetapi juga naik ke Sidratul Muntaha. "Owh tidak mungkin, mustahil ini boleh terjadi, Muhammad dusta!" Itulah kata-kata yang dihamburkan kepada Rasulullah SAW. Abu Jahal begitu gembira melihat ramai mula meragui dan mempertikaikan kebenaran Rasulullah SAW itu.

Namun, di sebalik suasana gawat itu, tampil seorang lelaki yang berkata: “Wahai Muhammad Rasulullah. Sekiranya engkau katakan engkau telah pergi lebih jauh daripada destinasi-destinasi itu sekalipun aku akan tetap mempercayakanmu!”

Orang itu, tidak lain tidak bukan adalah Abu Bakar As-Siddiq yang sentiasa membenarkan Rasulullah SAW walau dalam apa jua keadaan. Subhanallah, begitu kentalnya iman dan kukuhnya aqidah yang dimiliki oleh sahabat agung yang mendampingi Rasulullah SAW ini. 

Bagi menduga kebenaran kata-kata Rasulullah saw, maka Abu Jahal bertanyakan mengenai ciri-ciri fizikal Masjidil Aqsa dengan harapan Rasulullah akan memberikan jawapan yang salah. Namun, dengan izin Allah, Rasulullah SAW berjaya menjawab dengan tepat dan ini benar-benar menghairankan Abu Jahal. 

Tidak puas hati dengan kebenaran jawapan itu, Abu Jahal bukannya ingin mengakui kebenaran jawapan Rasulullah saw, sebaliknya menuduh Rasulullah saw sebagai ahli sihir! Begitulah kuatnya tentangan kaum musyrikin Makkah terhadap Rasulullah SAW. 

Mana mungkin Rasulullah SAW menipu sedang baginda diakui seorang yang beramanah sehingga digelar Al-Amin. Walaupun hati mereka menyedari kebenaran dakwah Rasulullah SAW, musyrikin Makkah masih enggan menerimanya kerana mereka sedar jika mereka mengakui kebenaran Rasulullah SAW, maka perniagaan dan kepentingan mereka yang berasaskan perkara haram akan terjejas.

Maka, mahu tidak mahu dakwah Rasulullah SAW harus ditentang meskipun hati kecil mereka mengakui kebenaran dakwah Rasulullah SAW tersebut.

Perumpamaan yang sama juga wujud pada masa ini, dimana ada pihak yang mengakui kebenaran Islam yang sifatnya syumul dan lengkap, namun amat berat dan sukar untuk menerima dan mengamalkannya kerana dibimbangi kepentingan-kepentingan tertentu samada dalam perniagaan atau pentadbiran akan terjejas kerana terdapat perkara-perkara yang haram.

Oleh yang demikian, sebarang usaha yang boleh membawa kesedaran kepada masyarakat tentang Islam yang sebenar yakni yang sudah pasti akan terdedahnya penyalahgunaan dan penyelewengan perlu dibendung dan ditentang habis-habisan. Adalah menjadi kehendak mereka supaya masyarakat dibiarkan jahil dalam agama agar kesilapan dan kemungkaran yang mereka lakukan tidak disedari oleh masyarakat

Sehubungan itu, apabila ada pihak yang cuba kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sepertimana yang termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah, seperti perlaksanaan hukum hudud, pembenterasan rasuah, persoalan riba, zina dan penutupan aurat, maka ada yang mengatakan ini Islam yang melampau. Pada anggapan mereka, Islam itu adalah mudah dan harus disesuaikan mengikut kehendak semasa. Tidakkah semua persoalan hukum-hakam ini datangnya dari sumber Al Quran, melalui nas-nas yang muktabar dan untuk seluruh umat sehingga akhir zaman?. Betapa bencinya segolongan manusia terhadap Islam yang sebenar.

Sudahlah merasai dikekang dalam hal-hal persyariatan, dihasut pula orang lain agar sama-sama mempertikai serta memperlekehkan agama suci ini. Watak ini saling tidak tumpah seperti watak Abu Jahal dalam kisah Israk Mikraj ini yang menuduh Rasulullah saw sebagai ahli sihir meskipun hati kecil mereka menyedari dan mengakui kebenaran Rasulullah SAW.


Mengukur Logik Akal



Cuba kita bertanya pada diri sendiri andainya kita berada dalam majlis penerangan oleh Rasulullah SAW berkaitan peristiwa Israk Mikraj ini, adakah kita menyertai Abu Bakar RA yang membenarkan Rasulullah SAW atau kita berada di belakang Abu Jahal yang mendustakan Rasulullah SAW? 

Saya sendiri bimbang, dengan situasi diri yang lemah ini, kadangkala amat sukar untuk menjadi sehebat Abu Bakar RA. Tetapi itulah cabaran yang perlu disahut. Dalam situasi sebegini, jika logik akal menjadi pertimbangan, maka sudah pasti kita akan mendustakan Rasulullah SAW.

Ambillah semangat Abu Bakar RA sebagai contoh dan teladan agar kita sentiasa berbaik sangka dengan syariat Islam serta tidak sekali-kali mempertikaikan apatah lagi memperlekehkannya.

Seterusnya, buangkanlah watak Abu Jahal dari kehidupan kita kerana watak itu tidak seharusnya dijadikan ikutan, malah akan membawa kita jauh daripada agama Islam yang sebenar.

Sesungguhnya dalam perkara agama, tidak semua perkara boleh diukur dengan logik akal semata-mata kerana akal manusia itu terbatas walau sehebat manapun ilmu kita. Keimanan kepada Allah dan RasulNya itu memerlukan pertimbangan melalui jiwa yang suci dan ikhlas.

Terlalu banyak jika mahu disingkap kesangsian dan keraguan umat Islam terhadap agama kita sendiri. Secara kesimpulannya, jika masih terdapat di dalam hati sanubari kita perasaan ragu terhadap Islam samada terhadap hukum-hakam dan syariatnya walau sebesar zarah sekalipun, maka ada suatu yang tidak kena dengan pegangan aqidah kita. Kadang-kadang tanpa disedari, kita memberi komen yang memperlekehkan hukum-hakam Allah, dan ini menjejaskan pegangan atau aqidah kita.

Pada bulan Rejab yang penuh berkah ini, marilah kita mengambil kesempatan untuk memperkasakan pegangan aqidah dengan meningkatkan ilmu dan mengamalkan setiap suruhan Allah SWT tanpa sebarang keraguan. 

Hanya dengan petunjuk dan nurNya yang dapat membolehkan kita membezakan antara haq dan batil, dan bukannya melalui ilmu atau akal yang amat terbatas. Mudah-mudahan amal ibadah yang kita lakukan adalah berdasarkan cinta dan sayang kita hasil aqidah dan iman yang mantap kepada Allah.

Semoga Israk Mikraj yang bakal kita sambut dapat memberi satu kesan yang positif ke arah menjadikan diri kita Mukmin dan Mukminah yang taatkan Allah dan RasulNya insyaAllah.



Info lanjut di www.sitikhadijah.com, untuk Facebook iluvislam.com. Selami jiwa anda, fahami kisah sebenar dan pengajaran disebalik Peristiwa Israk & Mikraj di http://bit.ly/IsrakMikrajSK

Sunday, June 26, 2011

Teguran Itu Penting Dalam Kehidupan





"Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain."

Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah.

Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.

Membina dan Meroboh

Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur.

Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang memerlukan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.

Lain pula sekiranya seseorang yang tidak memerlukan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.

Orang yang Menegur

Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya.

Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.

Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.

Orang yang Ditegur

Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.

Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".

Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?

Ingat..

Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.

Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.

- Artikel www.iluvislam.com

Thursday, June 23, 2011

Benam Lebanon 2-1






MALAYSIA melangkah ke pusingan ketiga Kelayakan Olimpik 2012 selepas menewaskan Lebanon 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi meskipun terpaksa beraksi 10 pemain pada 40 minit terakhir.

Jaringan Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor pada separuh masa pertama sudah cukup untuk mengesahkan laluan Malaysia ke pusingan seterusnya meskipun Chadi Atie berjaya mengubah kedudukan kepada 2-1 pada separuh masa kedua.

Aksi skuad bimbingan Ong Kim Swee itu mendapat sokongan padu daripada 10,000 peminat tempatan.

Malaysia mara dengan agregat 2-1 setelah mencatat keputusan seri 0-0 pada aksi pertama di Beirut pada Ahad lalu.

Dengan kejayaan itu, Malaysia kini berada dalam kelompok 12 pasukan terbaik Asia yang akan dipecahkan kepada tiga kumpulan bagi merebut tiga slot automatik dan satu slot playoff ke Sukan Olimpik 2012 di London.

Pada aksi malam tadi, Kim Swee melakukan dua perubahan dengan Affize Faisal Mamat menggantikan Mahali Jasuli yang digantung satu perlawanan manakala Syahrul Azwari Ibrahim menggantikan tempat Izzaq Faris Ramlan.

Jurulatih Lebanon, Samir Saad pula hanya menukar seorang pemain iaitu Jad Noureddine yang diturunkan untuk mengambil alih posisi Hassan Chaito.

Malaysia tidak menunggu lama apabila memperoleh gol pertama seawal minit kelapan menerusi rembatan Irfan dari dalam kotak penalti selepas berlaku keadaan kelam-kabut berpunca daripada sepakan sudut Wan Zack Haikal.

Di sebalik penguasaan penuh Malaysia, Lebanon hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-36 tetapi rembatan kaki kiri pemain sayap, Mohamad Haidar sekadar menggegar palang gol.

Malaysia terus selesa apabila berjaya menambah gol kedua pada minit ke-40 hasil penyudah kemas Wan Zack selepas menerima lorongan baik Gary Steven Robbat dari bahagian tengah.

Namun malang menimpa Gary Steven apabila dia dibuang padang pada minit ke-50 selepas menerima kad kuning kedua akibat mengasari pemain Lebanon.

Akibatnya, Lebanon berjaya menghasilkan gol pertama pada minit ke-63 menerusi Chadi untuk menjadikan kedudukan 2-1 tetapi Malaysia kental bertahan sehingga wisel penamat.

Kim Swee yang tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas perlawanan itu menjelaskan:“Ini membuktikan walaupun kita beraksi 10 pemain pada 40 minit terakhir, pemain telah menunjukkan kesungguhan tinggi. Tapi ini baru permulaan, banyak lagi rintangan perlu diharungi pada peringkat kumpulan nanti,” kata Kim Swee pada sidang media selepas perlawanan.

Samir pula berkata: “Kami cuba cari gol penyamaan tetapi pemain Malaysia beraksi dengan semangat yang cukup tinggi disebabkan mereka mendapat sokongan padu penyokong.”
Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my

Sunday, June 12, 2011

Bertambah Ilmu Bertambah Amal






Jarang orang menganggap dirinya berdosa bila tidak mengamalkan ilmu yang pernah dipelajarinya terutamanya ilmu-ilmu fardhu 'ain, ilmu-ilmu memperbaiki diri. Padahal ilmu-ilmu yang kita pelajari yang tidak kita amalkan, atau tidak berniat untuk mengamalkannya, itu adalah satu dosa juga.



Berpandu dari Al Quran, jelaslah satu dosa yang nyata bagi orang yang tidak mengamalkan ilmunya. Sepatutnya kita selalu berdoa dan merintih kepada Allah agar kita dilindungi dari ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat dan tidak diamalkan.

Kadangkala terjadi pembaziran masa dan tenaga dalam menuntut ilmu. Ilmu-ilmu fardhu ain dan baiki diri tidak sungguh-sungguh dituntut sehingga ilmu fardhu ain tidak cukup. Manakala ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kehidupan di dunia seperti matematik, ekonomi , bilologi, kimia dan lain-lain walaupun tidak salah mempelajarinya tetapi dipelajari sampai berlebih-lebih.

Tetapi, jangan pula kita tidak mahu menuntut ilmu dunia dan juga ilmu akhirat kerana takut tidak mengamalkannya. Itu lebih teruk dan hina.











ڪَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ
Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
( Surah As-Saff 61: Ayat 3)

Sayang Kamu Kamu Kamu Dan Kamu






Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

(Surah Al-Hujurat 49: Ayat 13)

Berkasih sayanglah kerana Allah. Mari cinta pada Allah, Rasul, ibu bapa, saudara mara, guru, dan juga sahabat.

Saturday, June 11, 2011

Tiket Ke Syurga





Setiap manusia pasti mengimpikan syurga. Membayangkan diri bertelekan di atas dipan-dipan yang indah atau membayangkan diri berjalan sambil berlagu merdu di taman yang segar penuh keharuman, menebarkan harumnya bunga-bungaan di taman firdausi. Sungguh mengasyikkan. Namun tidak mudah untuk kita memasukinya kerana terdapat pelbagai dugaan dan cabaran yang harus ditempuhi.

Sebagai hamba Allah, kita perlu sentiasa bermuhasabah diri dan sentiasa menjalankan syariat-syariat agama dalam usaha mencari keredhaanNya. Hadiah berupa tiket ke syurga ini adalah hadiah yang paling tinggi nilainya daripada segala kenikmatan di dunia. Oleh kerana manusia tidak akan pasti dapat masuk ke syurga, maka banyak insan yang keraguan,gelisah dan bimbang. Sepanjang zaman manusia selalu berdoa kepada Allah agar ditujukkan jalan yang lurus agar dapat menggapai syurga.

Kongsikan kepada kami produk anda, lokasi perniagaan, dan kehebatan tentang produk anda! Mari daftar di http://direktori.iluvislam.com sekarang! Serendah RM5 Sebulan* Promosi RM50 selama setahun!(Sah sehingga 30 Jun 2011)
Tunjukkanlah kami jalan yang lurus (Surah Al Fatihah:6)

Tunjukkanlah kami jalan yang lurus bererti tunjuki kami jalan ke syurga. Inilah idaman setiap insan. Inilah cita-cita setiap manusia yang berakal. Di syurga,Allah swt telah menjanjikan pelbagai kenikmatan yang tiada tolok bandingnya. Laksana taman-taman syurga di mana terdapat dua bentuk taman sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud:

01.Dua taman yang dicipta Allah dari perak dengan segala apa yang ada padanya.

02.Dua taman yang dicipta Allah dari emas dengan segala apa yangada padanya.



Subhanallah!Sahabatku,betapa indahnya kenikmatan syurga Allah ini yang disediakan khusus buat para muslimin dan muslimat.

Syurga itu bertingkat-tingkat,antara tingkat syurga adalah:

1. Syurga Firdaus
2. Surga 'Adn
3. Syurga Na'iim
4. Syurga Na'wa
5. Syurga Darussalaam
6. Daarul Muaqaamah
7. Al-Muqqamul Amin
8. Syurga Khuldi

Adapun tingkat syurga paling tinggi darjatnya dinamakan Al-Firdaus. Di atas Al-Firdaus inilah terletak Arsy Rahman (mahligai Tuhan). Subhanallah, syurga ini terletak di bawah Arsy.

Sahabatku, terdapat banyak keistimewaan syurga Al-Firdaus. Antaranya ialah penghuninya akan dapat melihat wajah Allah dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Inilah nikmat tertinggi yang boleh kita perolehi. Bukan itu sahaja, di tempat yang penuh dengan kenikmatan ini juga Allah telah menciptakan para bidadari yang menawan,cantik dan sempurna keanggunannya serta mempunyai wajah yang bersinar bagai bulan.

Sekurang-kurangnya, penduduk syurga itu memiliki 80,000 pelayan dan dikahwinkan dengan 72 isteri (bidadari) mereka diberi kekuatan 100 orang ketika makan, minum dan senggama. Bagaimana pula dengan makanan penduduk syurga? Penduduk syurga itu akan dihidangkan makanan dan minuman yang lazat dan sangat menyelerakan antaranya buah-buahan yang ranum dan pelbagai lagi hidangan yang tidak terbayang kelazatanya.

Alangkah indahnya jika ditakdirkan kita semua ke syurga.Kerana perkampungan akhirat itu adalah pasti,hendaklah kita bermohon kepada Allah untuk beroleh kenikmatan sebegini.Sebagaimana firman Allah SWT:
Ini adalah kehormatan(bagi mereka),dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa benar-benar(disediakan)tempat kembali yang baik (iaitu)syurga 'Adn yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka.Di dalamnya mereka bertelekan(di atas dipan-dipan)sambil meminta buah-buahan yang banyak dan minuman di syurga itu). (Surah Sad:49)

Semoga kita semua akan ditempatkan di syurga Allah SWT kelak serta sentiasa memperoleh rahmat dan keredhaanNya.

Amin..













-Artikel Iluvislam.com

Pencinta Buku: Bacalah Buku Berulang Kali..



Membaca kisah para Nabi dan para salafus soleh yang terdahulu merupakan salah satu daripada pembacaan yang cukup bermanfaat, kerana dengannya kita dapat mengambil teladan dalam menjalani kehidupan seharian. Meskipun mereka telah lama meninggalkan kita.

Ketika membaca sebahagian kisah ulama Islam di dalam buku-buku yang saya telaah daripada muka surat ke muka surat, antara perkara yang cukup menarik hati saya dan membuatkan saya takjub adalah apabila membaca tentang ulama yang mempunyai hafalan yang cukup menakjubkan; di mana di antara para ulama Islam ada yang membaca sebuah buku dengan sekali bacaan sahaja mampu menguasai dan menghafal apa yang terkandung di dalam buku berkenaan.

Suka untuk saya mendatangkan satu contoh di sini, sebagaimana yang dinukil dalam sebuah buku yang bertajuk Keajaiban Hafalan Bimbingan Bagi Mereka Yang Ingin Menghafal Al-Qur'an yang diterjemahkan daripada sebuah kitab arab karya Abdul Qoyyum bin Muhammad bin Nashir As-Sahaibani dan Muhammad Taqiyul Islam Qaariy, bahawa telah berkata Jamaluddin As-Sarmadi: "Di antara keajaiban pada masa ini dalam masalah hafalan adalah Ibnu Taimiyyah. Dahulu, dia menelaah satu kitab sekali sahaja, maka telah terpateri di dalam benaknya." Sememangnya kemampuan yang dimiliki oleh Ibnu Taimiyyah itu adalah satu perkara yang menakjubkan bagi saya.

Sebagai seorang yang minat membaca, saya selalu berharap saya mampu menguasai apa yang terkandung dalam buku dengan hanya sekali bacaan sahaja, sebagaimana sebahagian ulama pada zaman dahulu. Saya percaya, di luar sana tidak sedikit daripada kalangan pencinta buku yang mempunyai keinginan yang sama seperti saya.

Namun, hakikatnya diri saya hanyalah insan biasa, bukanlah genius dan sedemikian hebat; mampu menguasai isi yang hendak disampaikan dalam sebuah buku dengan sekali bacaan semata-mata. Terkadang selepas membaca sebuah buku, saya seakan-akan tidak begitu ingat apa yang telah saya baca, bak kata orang 'masih kabur'. Mungkin anda pun memiliki masalah yang sama.

Namun itu bukanlah penghalang untuk saya untuk terus membaca dan membuat saya putus asa sehingga berhenti membaca.

Adalah menjadi kebiasaan saya sebelum ini, apabila telah selesai membaca buku dengan sekali bacaan, maka saya tidak akan mengulangi untuk membaca buku berkenaan daripada muka surat pertama sehinggalah ke muka surat yang terakhir, kerana saya beranggapan perkara itu adalah perbuatan membuang masa. Itulah sikap saya sebelum ini. Satu "mind set" sebenarnya perlu dinilai semula.

Baru-baru ini saya membaca sebuah buku bertajuk Kelebihan dan Keutamaan Menuntut Ilmu, yang asalnya sebuah kitab arab bertajuk Kaifa Tatahammas Li Thalabil 'Ilmisy Syar'ie karya Abul Qa'qa Muhammad bin Shalih, kemudian diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Di dalam buku berkenaan dimuatkan 102 metode bagaimana untuk memotivasikan seseorang dalam menuntut ilmu syar'ie yang dicedok daripada kehidupan para ulama Islam.

Antara perkara yang saya dapat jadikan iktibar daripada buku berkenaan, kejayaan tidak akan datang bergolek dan manusia tidak akan memperolehi ilmu dengan bersenang-senangan. Apatah lagi bermalas-malasan.

Sebagai mana kata-kata seorang ulama, ilmu itu tidak akan diperolehi dengan tubuh yang bersenang-senangan dan bermalasan-malasan.

Sekiranya ingin menguasai apa yang terkandung dalam sebuah buku, maka kita tidak boleh bosan untuk membaca sebuah buku berulang kali. Usaha membaca berulang kali perlu dilakukan, barulah apa yang kita baca dapat kita kuasai dan fahami dengan sebaiknya. Inilah yang dilakukan oleh para ulama terdahulu.

Saya percaya, di luar sana ada ramai sudah maklum dan faham perkara ini dan tidak perlu untuk saya beritakan. Namun, bukanlah tujuan utama saya untuk memberitakan yang sedemikian, tetapi yang pertama sekali, saya tujukan penulisan ini buat diri saya sendiri. Semoga saya tidak mudah melupakannya.

Insya-Allah, seterusnya saya akan sebutkan sedikit contoh mengenai sikap para ulama dalam usaha membaca sebuah kitab berulang-ulang kali.

Abul Qa'qa Muhammad bin Shalih menyatakan dalam bukunya Kaifa Tatahammas Li Thalabil 'Ilmisy Syar'ie: Imam an-Nawawi ketika menulis biografi Imam Abdul Ghafir bin Muhammad Al-Farisi, telah berkata: "Al-Hafiz al-Hasan as-Samarqandi membaca Sahih Muslim lebih daripada 30 kali. Dan Abu Sa'id Al-Buhairi membaca Sahih Muslim di hadapannya lebih daripada 20 kali."

Disebutkan lagi dalam buku berkenaan, seorang ulama yang bernama Abu Bakar al-Abhari, telah membaca kitab Mukhtasar Ibnu Abi Hakam sebanyak 500 kali, As-Asadiyah sebanyak 75 kali, Mukhtasar al-Barqi sebanyak 70 kali, Al-Mabsuth sebanyak 70 kali dan Al-Muwaththa karya Imam Malik sebanyak 45 kali.

Dr. 'Aid Abdullah al-Qarni menyatakan dalam kitabnya Miftahun Najah yang telah diterjemahkan dengan tajuk Kunci Kejayaan Minda, seorang alim daripada Andalusia telah mengkhatamkan bacaan Sahih Bukhari sebanyak 700 kali dan anak murid Imam Asy-Syafi'e, iaitu Al-Muzani telah mengkhatamkan bacaan kitab Ar-Risalah karya gurunya itu sebanyak 500 kali!

Sekian sahaja penulisan yang serba ringkas ini, semoga ia akan memberikan manfaat terutamanya kepada diri saya sendiri, seterusnya kepada anda yang membaca penulisan ringkas ini.

Akhir sekali saya tinggalkan anda dengan kata-kata seorang bloggers wanita daripada jomsewabuku.blogspot.com dengan katanya: "Saya ingin anda membaca dan terus mengulangi dan mengulanginya sehinngalah buku itu lusuh!"

Wallahu'alam.

Rujukan:
• Dr. 'Aid Abdullah Al-Qarni, Miftahun Najah (Edisi Terjemahan: Kunci Kejayaan Minda, Penterjemah: Abdul Arham Mat), Telaga Biru Sdn. Bhd, Cetakan pertama, 2008.
• Abul Qa'qa Muhammad bin Shalih, Kaifa Tatahammas Li Thalabil 'Ilmisy Syar'ie (Edisi Terjemahan: Keutamaan dan Kelebihan Menuntut Ilmu, Penterjemah: Nurul Mukhlisin), Crescent Sdn. Bhd, 2010.
• Abdul Qoyyum bin Muhammad bin Nashir As-Sahaibani dan Muhammad Taqiyul Islam Qaariy, Keajaiban Hafalan Bimbingan Bagi Yang Ingin Menghafal Al-Qur'an (Penterjemah: Ummu Abbas), Pustaka Al-Haura', Cetakan kedua, 1430 Hijriah.
• Jomsewabuku.blogspot.com.

-Artikel Iluvislam.com

Sains Islam Dan Sains Barat






Islam tidak pernah mengetepikan sains. Sains mengikut Encarta Encyclopedia ialah,"Systematized knowledge in any field, but applied usually to the organization of objectively verifiable sense experience." Ia bermaksud, "Sains dalam skop yang luas bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh secara sistematik berdasarkan pengalaman deria yang dapat dibuktikan secara objektif."

Secara umumnya, sains boleh didefinisikan sebagai ilmu yang dihasilkan melalui cerapan (iaitu analisis dengan menggunakan panca indera) serta fahaman yang lahir daripadanya. Ia juga boleh diertikan sebagai huraian secara sistematik tentang fenomena tabii atau alam semula jadi. Huraian secara sistematik melibatkan penggunaan intelek di samping kaedah yang dapat diukur (quantitative). Jika diamati definisi-definisi ini, ia memang telah ditekankan oleh Islam berdasarkan dalil-dalil dan nas yang telah disebutkan sebelum ini.

Ilmu sains melahirkan teknologi. Teknologi (mengikut Merriam-Webster Dictionary, The American Heritage Dictionary of the English Language: Fourth Edition dan WordNet Dictionary), boleh didefinisikan sebagai, "Pengaplikasian atau penggunaan ilmu terutamanya ilmu sains secara praktikal dan digunakan terutamanya dalam bidang perdagangan dan industri untuk kemanfaatan manusia." Justeru, ilmu sains merupakan alat penting untuk membina teknologi namun ilmu sains bukanlah teknologi. Sebagai contoh, sains membicarakan tentang teori atom dan daripada itu lahirlah teknologi yang menghasilkan kuasa atom.

Keterbatasan Sains

Islam memberi kebebasan kepada para saintis untuk mengkaji, namun ia menyedari keterbatasan intelek yang dimiliki manusia. Justeru, sains Islam menjadikan wahyu sebagai sumber rujukan yang tertinggi. Dalam erti kata yang lain, dalam Islam, wahyu mengatasi akal kerana wahyu datang daripada kuasa tanpa batas sedangkan akal terbatas. Sains tidak boleh mengatasi wahyu. Apa-apa konklusi yang bercanggah dengan dasar-dasar wahyu dianggap sebagai konklusi sains yang salah dan apa-apa yang selari dengannya bolehlah diterima. Dalam hal ini Allah berfirman dalam surah al-Jathiyah ayat 20,

"Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini."

Justeru, sains dalam Islam ialah sains yang berkonsepkan tauhid. Sains dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip yang ditetapkan Allah melalui rasulnya. Sains dalam Islam tunduk kepada al-Quran.

Di barat konsep yang merujukkan sains kepada Tuhan, wahyu dan kuasa ghaib dikenali sebagai creationism. Kadang kala ia dikenali juga sebagai intelligent design. Konsep-konsep ini ditolak oleh ramai saintis di barat. Sebagai contoh, para saintis daripada Akademi Sains Kebangsaan di Amerika (The U.S. National Academy of Sciences) menegaskan bahawa "sebarang kenyataan yang menetapkan bahawa asal usul kehidupan ini ada perkaitan dengan kuasa ghaib (supernatural intervention) tidak boleh diiktiraf sebagai sains." Hal ini dinyatakan dalam Science and Creationism: A View from the National Academy of Sciences, Second Edition, terbitan National Academy of Sciences tahun 1999.

Dalam kes Kitzmiller lawan Dover Area School District pada tahun 2005 (Case No. 04cv2688. December 20, 2005), sebuah mahkamah persekutuan di Amerika memutuskan mana-mana sekolah yang mengajar sains dan mengaitkan kejadian kehidupan dengan kuasa ghaib dan mengetepikan teori evolusi, ia dianggap telah melanggar perlembagaan Amerika.

Matlamat dan Metodologi Sains

Dalam Islam, sains mempunyai matlamatnya. Matlamat jangka pendek ialah mengenali hakikat kejadian alam serta manusia dan memanfaatkan ilmu itu untuk kebaikan semua. Sebagai contoh, melalui sains kita mengetahui bahawa seks kromosom lelaki menentukan kejantinaan seseorang bayi, kejadian bayi bermula dengan persenyawaan antara sperma lelaki dan ovum wanita, kejadian bumi berlaku selepas kejadian bintang-bintang di langit dan yang seumpamanya. Namun akhirnya yang menjadi keutamaan ialah matlamat jangka panjang iaitu mengagungkan dan membesarkan Allah. Hal ini terserlah dalam surah al-Mukminun ayat 14 yang bermaksud,

"Kemudian Kami menjadikan benih nuthfah itu alaqah. Kemudian daripada alaqah Kami jadikan mudghah. Kemudian daripada mudghah Kami jadikan tulang dan Kami tutup tulang itu dengan daging. Kemudian Kami jadikannya makhluk berbentuk lain. Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta."

Perhatikanlah ayat ini dengan baik. Selepas Allah menceritakan fasa-fasa kejadian bayi (dan hal ini dapat disahkan oleh sains), Allah mengakhiri ayat itu dengan ungkapan, "Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta." Inilah matlamat asasi sains, iaitu untuk mengagungkan Allah.

Untuk mencapai matlamat ini metodologi yang digunakan perlulah betul. Sains berkonsepkan tauhid melahirkan metodologi atau pendekatan yang mengambil kira syariat. Kepatuhan kepada syariat tidak menghalang kreativiti dan inovasi kerana kebebasan untuk mengkaji telah pun diberikan Islam berdasarkan sabda nabi yang bermaksud, "Kamu lebih tahu tentang urusan duniamu." Yang dituntut ialah kepatuhan kepada prinsip-prinsip syariat yang akan mencantikkan sains. Sebagai contoh syariat mengutamakan nyawa manusia. Justeru kajian sains dan teknologi yang terhasil daripadanya tidak boleh digunakan untuk memusnahkan nyawa. Syariat juga melarang kemudaratan dilakukan berdasarkan sabda nabi yang bermaksud,

"Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan."Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Malik, Al-Hakim, Baihaqi dan Ibn Majah.

Islam juga menekankan tentang akhlak. Antara akhlak yang wajib dihayati ialah sikap bertanggungjawab ataupun amanah. Amanah ini melibatkan individu, alam sekitar dan masyarakat secara amnya. Lihatlah apa yang berlaku pada hari ini apabila sains dan teknologi terbabas daripada nilai-nilai amanah dan agama. Sebagai contoh, bidang bioteknologi telah melahirkan satu konsep baru yang dikenali sebagai kejuruteraan genetik (genetic engineering). Teknologi ini mampu memindahkan bahan genetik yang bernama DNA dari satu spesies ke spesies yang lain. Walau bagaimanapun untuk berjaya, proses ini memerlukan bantuan virus tertentu agar DNA daripada spesies yang berbeza dapat mengenali antara satu sama lain. Penggunaan kuman-kuman virus ini akhirnya menyebabkan kelahiran pelbagai kuman serta penyakit baru yang mampu membunuh manusia. Mengikut Dr Mae-Wan Ho, pengarah Bioelectrodynamics Laboratory di Open University, United Kingdom, kejuruteraan genetik telah menyebabkan wabak kolera menyerang India pada tahun 1992, wabak kuman streptococcus di Tayside pada tahun 1993 dan wabak kuman E. Coli 157 di Scotland.

Justeru, kepatuhan kepada syariat adalah penting agar sains tidak terbabas daripada landasan kebenaran dan kesejahteraan.

* Dr.Danial Zainal Abidin merupakan seorang pengurus dan pengamal perubatan di klinik Syifa' Gelugor, Pulau Pinang. Beliau juga adalah pengarah urusan kepada Syarikat Danial Zainal Consultancy. Di samping itu beliau juga merupakan seorang pakar motivasi undangan di radio,penceramah dan penulis buku yang berkaitan Islam dan Sains.

Sumber artikel : www.danialzainalabidin.com

-Artikel iluvislam.com

Mengapa Selalu Fikir Tentang Cinta dan Hati?



Hati dan perasaan cinta merupakan satu fitrah insaniah tidak kira sesiapapun. Manusia perlukan cinta dan memerlukan kasih sayang. Perasaan untuk mencintai kepada lawan jantina memang tidak dinafikan, ia merupakan sesuatu yang perlu bagi setiap manusia.

Tapi, mengapa kita terlalu sibuk memikirkannya?

Adakala setiap masa dan waktu kita fikirkannya,

Sampai satu tahap, jika sentiasa memikirkan hal ini, kita pasti akan terjebak dalam "couple". Bukankah couple itu sebuah jalan yang penuh dengan liku-liku yang salah?

Jika anda masih belum mampu, jangan sekali bermain dengan perasaan. Ia tidak akan membawa kemana-mana. Perjalanan masih terbentang jauh.

Jodoh?

Masih tidak yakin dengan janji Allah.?
Di dalam kuliah, seorang ustaz menerangkan bahawa qada' bermaksud perkara yang akan berlaku dan qadar perkara yang telah ditetapkan sejak azali . qada' terbahagi kepada dua iaitu qada' muallaf iaitu yang akan berubah manakala qada' mubra adalah perkara yang telah ditetapkan sejak azali yang merangkumi jodoh, ajal, rezeki dan beberapa perkara lagi.
Bukankah Jodoh itu telah ditetapkan oleh-Nya?

Lihatlah.
Anda punyai misi untuk islam. Mengapa mudah goyah kepada perasaan dan cinta. Ramai yang mengatakan "aku mahu berkahwin, bernikah" tetapi dimanakah persediaan kita? untuk menjadi isteri kepada seorang suami atau suami kepada seorang isteri?

Ia bukanlah sebuah perkara yang mudah. Adakah ia hanya sebuah keseronokan? Untuk merealisasikan mimpi indah? Tidak. Ia satu tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah SWT suatu ketika nanti. Adakah kita telah melaksanakan tugas sebagai khalifah dengan sebaik-baiknya



Mari Menjadi Hamba kepada pencipta

Menjadi sebaik-baik hamba memerlukan pengorbanan bukan hanya pada kata-kata. Jika kita imbas kembali bagaimana sahabat-sahabat rasulullah yang sentiasa memperbaharui dan meningkatkan Iman mereka. Keyakinan mereka adalah di tahap yang tinggi. Mereka melihat syurga di hadapan mereka. Amal yang mereka lakukan adalah semaksimum yang mungkin.

Bukan seperti kita? Mengimpikan syurga tetapi kita hanya bermimpi tanpa mempertingkatkan amal. Sedarlah! Hidup ini satu perjuangan. Jadi, berusahalah Untuk Menyihatkan IMAN!


Jangan terlalu fikirkan cinta

Cinta dan perasaan satu keperluan. Tetapi kita mesti pandai menguruskannya. Bercintalah tetapi melalui jalan-jalan yang Islam telah tunjukkan. Buat persediaan, dan lakukan ta'aruf dan seterusnya. Islam itu dipenuhi cinta dan kasih sayang, tapi banyak cinta dan kasih sayang yang menyimpang dari islam kerana kita tidak menghayati Islam sepenuhnya.

Jom sama-sama kita mencari cinta dan RedhaNya.

Lihatlah cinta yang sebenar ini!

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya ALLAH TA'ALA berfirman pada Hari Kiamat kelak; mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-KU? Hari ini KU-naungi mereka, di mana tidak ada naungan yang lain selain naungan-KU."

-Artikel Iluvislam.com

Wednesday, June 1, 2011

Melatih Diri Menahan Nafsu dan Syahwat



Allah SWT telah memberikan wahyu kepada Nabi Musa as:

"Wahai Musa, jika engkau ingin Aku lebih dekat kepadamu daripada ucapanmu kepada lisanmu, daripada keraguan hatimu kepada hatimu, daripada rohmu kepada badanmu,daripada cahaya penglihatanmu kepada matamu dan daripada pendengaranmukepada telingamu, maka perbanyakkanlahmembaca selawat ke atas Muhammad SAW"

Allah SWT telah berfirman:

Ertinya: "Hendaklah tiap-tiap orang memerhatikan apa yang diusahakannya untuk hari esok (hari Kiamat)"

(Q.S. al Hasyr: 18)

Ketahuilah wahai manusia! Sesungguhnya nafsu yang memerintahkan kejahatan itu lebih memusuhimu daripada Iblis. Syaitan hanyalah memperalat nafsu syahwat untuk menguasaimu. Janganlah engkau tertipu oleh nafsumu dengan segala angan-angan dan kepalsuan.



Watak nafsu adalah merasa aman, suka berlengah-lengah, bersuka-suka dan malas. Setiap rayuannya adalah batil dan palsu belaka. Jika engkau rela menuruti rayuannya, hancurlah engkau. Jika engkau lambat memperhitungkannya tentu akan tenggelam. Jika engkau lemah melawannya, lalu mengikuti keinginannya, tentulah dia akan melemparmu ke Neraka. Nafsu tidak akan pernah menuju kepada kebaikan. Ia sumber bencana. Dialah markas Iblis serta tempat segala keburukan yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT mengetahui segala apa yang engkau perbuat, baik mahupun buruk.

Jika seorang hamba mahu merenungi umurnya yang telah lanjut untuk mencari Akhirat, maka sesungguhnya ia menyucikan hati. Seperti disebutkan oleh Rasulullah SAW: "Berfikir sesaat itu lebih baik daripada ibadah setahun."

Demikian dalam tafsir Abu Laits. Maka sayugianya bagi orang yang berakal segera bertaubat atas dosa yang telah lalu, dan memikirkan akan bekal mencapai keselamatan di Akhirat. Dia memutuskan angan-angan keduniaan, segera bertaubat, mengingat Allah swt, meninggalkan larangan-larangan-Nya, sabar menahan nafsu dan tidak memperturutkan keininan syahwat. Ingat! NAFSU ADALAH BERHALA. Barangsiapa menuruti nafsu bererti menyembah berhala. Orang yang menyembah Allah SWT, dialah yang mampu menahan nafsunya.Diceritakan bahawa Malik bin Dinar berjalan di pasar Basrah. Dia melihat buah tin hingga tumbuh keinginannya terhadap buah itu. Dia membuka kasutnya dan dia memberikan kepada penjual buah itu, seraya berkata,

"Berilah aku buah itu." dan si penjual melihat sandalnya, seraya berkata,

"Oh ini tidak cukup!"

Kemudian Malik berlalu. Maka dikatakan kepada penjual itu,

"Apakah engkau tidak mengetahui siapakah dia?"

Penjual itu menjawab, "Tidak."

Dikatakan kepadanya,"Dialah Malik bin Dinar."

Dengan segera penjual itu meletakkan bakul di bahu pelayannya seraya berkata,

"Jika dia menerima buah ini daripadamu, maka engkau merdeka!"

Kemudian pelayan itu pergi mengikut Malik bin Dinar lalu berkata padanya,

"Terimalah buah ini daripadaku."

Tetapi Malik menolak.

"Terimalah sebab di sinilah kemerdekaanku." kata pelayan itu. Kemudian Malik menjawab,

"Jika di sini kemerdekaan bagimu, di sini pulalah seksaan bagiku."

Namun pelayan itu tetap juga mendesak-desak. Sehingga Malik bin Dinar berkata,"Aku bersumpah tidak akan menjual agama dengan buah tin dan aku tidak mahu makan buah tin itu sampai hari Kiamat!"

Diceritakan pula bahawa Malik bin Dinar sedang sakit menghadapi mautnya. Dia ingin segelas madu dan susu untuk dimakan dengan roti panas. Pelayan segera menyediakannya. Kemudian Malik mengambil dan memandangnya sejenak seraya berkata,

"Wahai nafsu, engkau telah bersabar selama tiga puluh tahun, padahal umurmu tinggal sesaat lagi."

Maka dia membuang gelas itu daripada tangannya, dia menahan nafsunya hingga dia meninggal. Demikianlah sifat para anbiya', aulia', siddiqin dan zahidin serta orang-orang yang merindukan Allah SWT.

Telah berkata Nabi Sulaiman bin Daud as:"Sesungguhnya mengekang nafsu itu lebih sulit daripada membuka sebuah kota bersendirian."

Ali bin Abi Talib ra juga berkata:

"Aku dan nafsuku bagaikan gembala dengan kambingnya. Jika aku menahannya dari satu sisi, dia melompat dari sisi lain. Barangsiapa dapat menjinakkan nafsunya, dia akan dibungkus dengan kafan rahmat dan dikubur dalam bumi karomah. Tetapi barangsiapa yang membunuh hatinya, terbungkuslah dia dalam kafan laknat serta terkubur alam bumi azab!"

Zahya bin Muaz Ar Razi berkata:

"Perangilah nafsumu dengan taat dan riadah (latihan rohani). Riadah adalah mengurangi tidur, makan mahupun bercakap;menahan kepedihan daripada makhluk. Sedikit tidur akan menyucikan kehendak, sedikit berkata akan terselamat daripada bencana. Dan menahan pedih dapat menghantarkan sampai ke puncak. Bahkan sedikit makan dapat menundukkan syahwat. Sesungguhnya banyak makan dapat mengeraskan hati dan menghilangkan cahayanya. Dan cahaya hikmah adalah lapar. Serta kenyang dapat menjauhkan seseorang daripada Allah SWT."

Sebagaimana Rasulullah SAW telah bersabda:

"Terangilah hatimu dengan lapar. Perangilah nafsumu dengan lapar dan haus. Serta sentiasalah mengetuk pintu Syurga dengan lapar. Sesungguhnya pahala demikian itu bagaikan pahala pahlawan membela agama Allah swt. Dan sesungguhnya tidak ada amal yang lebih disukai oleh Allah swt daripada lapar dan haus. Tidak akan ke kerajaan langit seseorang yang memenuhi perutnya dan kehilangan lazatnya beribadah."

Telah berkata Abu Bakar as-Siddiq ra:

"Aku tidak pernah kenyang semenjak aku masuk Islam agar kutemukan lazatnya beribadah kepada Tuhanku. Dan aku tidak pernah minum puas semenjak masuk Islam kerana rindu berjumpa dengan Tuhanku. Ini kerana jika banyak makan akan sedikit beribadah. Sesungguhnya jika orang banyak makan beratlah badannya, mengantuk dan lemahlah anggota badannya sehingga tidak membuahkan sesuatu. Dia tidur melulu bagaikan bangkai terbuang."

Demikianlah dalam kitab 'Minhajul Abidin'.Daripada Luqman Al Hakim, dia berkata kepada puteranya:

"Janganlah engkau banyak tidur dan makan. Barangsiapa memperbanyak keduanya, pada hari Kiamat dia miskin amal soleh." Ini tersebut dalam kitab 'Maniyyatul Mufti'. Rasulullah SAW telah bersabda:

"Janganlah engkau membunuh hati dengan banyak makan dan tidur. Sesungguhnya hati akan mati bagaikan tanaman jika tergenang air."

Orang-orang soleh menafsirkan perut ibarat kuali di bawah hati. Jika terisi banyak akan menggenangi hati sehingga menjadi kotor dan hitam. Di samping itu banyak makan dapat mengurangi kecerdasan dalam mencari ilmu.Diceritakan daripada Zakaria bin Yahya as. Dia melihat Iblis membawa beberapa tali. Kemudian dia bertanya,

"Apa itu?"

Iblis menjawab: "Inilah 'syahwat'. Dengan ini akan aku akan ikat anak cucu Adam."

Yahya bertanya lagi, "Apakah kau pernah mengikatku dengan itu?"

Iblis menjawab, "Tidak. Hanya pada suatu malam engkau makan sampai kenyang kerananya aku beratkan engkau melakukan solat."

Kemudian Yahya berkata,

"Sesungguhnya telah kejadian itu aku tidak akan makan sampai kenyang selamanya."

Iblis juga berkata, "Sesungguhnya aku tidak akan melepaskan seseorang selamanya."

Demikianlah orang yang tidak pernah kenyang selama hidupnya kecuali satu malam. Bagaimana orang yang tidak pernah lapar kecuali satu malam lalu mengharapkan lazatnya ibadah? Diceritakan juga daripada Yahya bin Zakaria as. Pernah satu kali dia kekenyangan makan gandum. Pada malam itu dia tertidur ketika berwirid. Kemudian Allah SWT memberi wahyu kepadanya seraya berfirman,

"Apakah engkau menemukan rumah untukmu yang lebih bagus daripada rumah-Ku? Apakah engkau menemukan teman yang lebih baik daripada berteman denganku? Demi kemuliaan dan keagungan-Ku jika engkau melihat syurga Firdaus lalu melihat neraka Jahanam, pastilah engkau akan menangis mengeluarkan nanah sebagai ganti air mata dan engkau akan memakai besi bagi menggantikan kain".

Syifa' Binti Abdullah al-Adawiyyah r.a.









Namanya Syifa' binti Abdullah ibn Abd Syams al-Quraisyiyyah al-Adawiyyah. Ada pendapat mengatakan nama sebenarnya Laila binti Abdullah. Beliau adalah isteri kepada Abu Hathmah ibn Huzaifah ibn Ghanim al-Quraisy al-Adawi. Beliau dikurniakan seorang anak bernama Sulaiman bin Abu Hathmah, seorang lelaki yang dihormati sebagai orang yang kuat beragama di kalangan ummat Islam.

Kemuliaan

Nama adalah identiti dan pengenalan awal diri. Ia juga adalah sebuah doa dan harapan yang terawal dilakarkan oleh ibu bapa buat seorang anak. Sesuai dengan namanya Syifa' memiliki kepakaran dalam istirqa' iaitu suatu kaedah pengubatan dengan cara memberikan dorongan jiwa agar pesakit bermotivasi dan optimis untuk sembuh. Beliau adalah seorang sahabiah yang terkenal dengan kebaikan hatinya dan kepintarannya dan merupakan salah seorang daripada segelintir kau hawa Quraisy yang mahir menulis dan membaca. Beliau tergolong di kalangan sahabat dan sahabiah yang terawal memeluk Islam, ikut serta membaiah Rasulullah s.a.w. bersama sahabiah yang lain dan turut berhijrah ke Madinah.

Beliau turut memiliki kedudukan yang terhormat di sisi Ummahatul Mukminin, isteri-isteri Rasulullah s.a.w. As-Syifa' sentiasa datang menjenguk Ummul Mukminin, Hafsah dan mengajarkannya menulis. Rasulullah s.a.w. telah menyuruh as-Syifa' mengajarkan Hafsah menulis dan cara mengubati penyakit kulit dengan teknik ruqayyah. Diriwayatkan oleh Abu Daud, dari Syifa' binti Abdullah bahawa dia berkata: "Rasulullah s.a.w. datang menjengukku dan aku sedang bersama Hafsah. Rasulullah berkata kepadaku, "Ajarkanlah Hafsah cara mengubati penyakit kulit dengan teknik ruqayyah sebagaimana engkau mengajarkannya menulis."

Rasulullah s.a.w. menghormatinya dan bersaliturahim dengannya. Rasulullah s.a.w. juga telah memberinya sebuah rumah di Madinah. As-Syifa' telah tinggal di rumah tersebut bersama anaknya Sulaiman.

Kepakaran dalam Perubatan

Pada zaman jahiliyyah, Syifa' binti Abdullah mengubati sakit kulit dengan menggunakan ruqayyah. Setelah memeluk Islam, dia telah datang bertemu Rasulullah untuk meminta izin agar dapat meneruskan pekerjaannya itu. Ibnu Qayyum berkata bahawa di zaman jahiliyyah as-Syifa' menggunakan ruqayyah untuk mengubati penyakit kulit. Ketika turut serta dalam hijrah dan membaiah Nabi s.a.w. dia telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.:

"Ya Rasulullah, pada zaman jahiliyyah aku mengubati penyakit kulit dengan cara ruqayyah dan aku ingin memperlihatkannya kepadamu."

Syifa' berkata, maksudnya: "Dengan nama Allah, sampai kembali ke asalnya dan tidak membahayakan seseorang pun. Ya Allah, Tuhan sekalian manusia. Hilangkanlah penyakit ini."

Ibnu Qayyum berkata: "Syifa' binti Abdullah membaca ruqayyah tersebut sebanyak tujuh kali ke atas sebuah dahan gaharu. Kemudian, dia menumbuknya sampai halus pada tempat yang bersih dengan menggunakan batu yang tajam. Setelah itu, dia akan menggoreskannya ke atas penyakit kulit tersebut."

Setelah diizinkan oleh Rasulullah s.a.w. beliau meneruskan pekerjaannya itu.As-syifa' juga menyertai beberapa peperangan sebagai tentera dan juga pasukan perubatan.

Bersama Umar al-Khattab

Syifa' binti Abdullah mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Umar al-Khattab r.a. sebagaimana mulianya as-Syifa' di sisi Rasulullah s.a.w. Sayyidina Umar selalu mengutamakan as-Syifa' dalam hal pandangan. Bahkan, beliau turut memberi kepercayaan kepada as-Syifa' dengan melantiknya sebagai seorang qadhi di pasar. As-Syifa' adalah Muslimah pertama memegang jawatan itu. Beliau memikul tugas tersebut dengan penuh amanah dan tegas.

Pada suatu hari, as-Syifa' melihat sekelompok anak muda berjalan dengan perlahan dan bercakap dengan lambatnya. As-Syifa' bertanya: "Apa ini?" Mereka menjawab: "Ini adalah ahli ibadah." As-Syifa' membalas: "Demi Allah! Dahulu Umar ibn Khattab berjalan dengan pantas, bercakap dengan lantang dan apabila memukul pasti sangat sakit dan dialah sebenarnya yang disebut sebagai ahli ibadah."

Umar Ibn Khattab sentiasa datang menjenguk as-Syifa' dan bertanyakan keadaannya, anak dan suaminya. Umar juga kerap membimbing mereka kepada kebaikan kalau keadaan memerlukan. Syifa' binti Abdullah berkata: "Umar ibn Khattab datang ke rumahku. Dia melihat dua orang lelaki tertidur di rumahku (suami dan anak as-Syifa'). Umar ibn Khattab bertanya: "Ada apa dengan dua orang lelaki ini sehingga mereka tidak solat berjemaah dengan kami?" Aku menjawab: "Ya Amirul Mukminin! Mereka berdua solat bersama yang lain – ketika itu bulan Ramadhan – mereka terus solat berdua sampai datang waktu Subuh. Setelah mereka solat Subuh, mereka tidur. Umar ibn Khattab berkata: "Solat Subuh berjemaah bersama yang lain lebih baik bagiku daripada solat sepanjang malam sampai datang Subuh." Hal ini menunjukkan pemahaman fiqh Umar yang mendalam dan bimbingan halus daripadanya yang berlandaskan sunnah Rasulullah s.a.w dan anjuran untuk menghadiri solat jemaah.

As-Syifa' dan Hadis Rasulullah s.a.w.

As-Syifa' r.a. juga sempat meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. secara terus dan dari Umar al-Khattab. Adapun yang meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. daripada as-Syifa' adalah anaknya Sulaiman, kedua cucunya Abu Bakar bin Sulaiman dan Utsman bin Sulaiman, hamba sahayanya Abu Ishaq dan Hafsah Ummul Mukminin.

Di antara riwayatnya, bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya tentang sebaik-baik pekerjaan. Baginda menjawab: "Beriman kepada Allah, jihad di jalanNya dan haji yang mabrur."

As-Syifa' menghabiskan hayatnya untuk menuntut ilmu, beramal, berzuhud dan beribadah sehingga ajal menjemputnya pada zaman khalifah Umar al-Khattab pada tahun 20H.

Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dari Ilahi.

Marilah kita berdoa: "Ya Allah, Tuhan sekalian manusia. Hilangkanlah penyakit ini."

- Artikel iluvislam.com

Petani Kerjaya Terbaik Dalam Islam?






Firman Allah s.w.t dalam surah Al-A'raf ayat 58, yang bermaksud: " Dan tanah yang baik, tanamannya tumbuh subur dengan izin Allah; dan tanah yang tidak subur, tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (kami) bagi orang-orang yang bersyukur."

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 266, yang bermaksud: "Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin mempunyai kebun kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dia mempunyai dalam kebun itu segala macam buah-buahan, kemudian datanglah masa tua pada orang itu sedang dia mempunyai keturunan yang masih kecil-kecil. Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandungi api, lalu terbakarlah. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu supaya kamu memikirkannya."



Di zaman serba moden ini, sektor pertanian semakin terpinggir kerana kemajuan kerjaya lain yang telah berkembang maju dan mendapat pulangan yang lumayan. Namun sektor pertanian adalah antara yang tertua dan paling kurang berisiko. Di sana ada tiga profesion yang popular dilakukan oleh manusia kini iaitu pertanian, perdagangan dan sektor pembuatan perindustrian. Demikian menurut pendapat Imam Al-Mawardi.

Para ulama' berselisih pendapat tentang manakah yang paling baik dari ketiga-tiga profesion ini. Mazhab As-Syafei berpendapat bahawa pertanian adalah yang paling baik. Sedangkan Imam Al-Mawardi dan Imam An-Nawawi berpendapat bahawa bercucuk tanam yang paling baik kerana alasan berikut:


PERTAMA

Bercucuk tanam adalah merupakan hasil usaha tangan sendiri. Dalam Kitab Sahih Al-Bukhari disebutkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: " Tidaklah seseorang memakan makanan yang lebih baik dari orang yang memakan dari hasil tangannya sendiri dan adalah Nabi Daud a.s memakan dari hasil tangannya sendiri. " Dan yang benar adalah apa yang dinaskan oleh Rasulullah s.a.w iaitu hasil tangannya sendiri. Maka bercucuk tanam adalah profesion terbaik dan paling utama kerana merupakan dari hasil tanaman sendiri.

KEDUA

Bercucuk tanam memberikan manfaat yang umum kepada ummah, khususnya kaum muslimin bahkan juga bidang ternakan. Kerana menurut hukum, manusia bergantung sumber kehidupan kepada pertanian dan penternakan. Makanan tersebut tidaklah diperolehi melainkan dari hasil tanaman, tumbuhan dan ternakan. Dalam hadis riwayat Muslim diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: " Tidaklah seseorang muslim menanam tanaman melainkan apa yang dimakan dari tanaman tersebut bagi penanamnya menjadi sedekah, apa yang dicuri dari tanamannya tersebut bagi penanamnya menjadi sedekah, tidaklah seseorang merampas tanamannya melainkan bagi penamamnya menjadi sedekah."

Dalam hadis riwayat Muslim yang lain menyebut, ertinya: " Tidaklah seseorang muslim menanam tanaman kemudian memakan tanaman itu oleh manusia, binatang dan burung melainkan bagi penanamnya menjadi sedekah hingga hari kiamat." Dalam riwayat lain disebutkan: " Tidaklah seseorang muslim menanam tanaman dan pohon kemudia dimakan oleh manusia, haiwan atau sesuatu melainkan penanamnya menjadi sedekah."

KETIGA

Bercucuk tanam lebih dekat dengan tawakal. Ketika seseorang menanam tanaman maka sesungguhnya dia tidaklah berkuasa atas sebiji benih yang dia semaikan untuk tumbuh, dia juga tidak berkuasa untuk menumbuhkan dan mengembangkan tanaman itu menjadi tanaman. Tidaklah dia berkuasa membungakan serta membuahkan hasil tanaman tersebut. Kesemua urusan ini terletak di dalam kekuasaan Allah. Disini nampaklah nilai tawakal manusia kepada Allah Azza Wajalla.

As-Syeikh Zakaria Al-Ansari berkata: Mata pencarian yang paling utama ialah bercucuk tanam kerana lebih dekat dengan nilai tawakal dan ianya juga memberikan manfaat yang umum bagi semua makhluk dan secara umumnya manusia amat memerlukan kepada hasil pertanian. Al-Zarkasyi mengatakan bahawa semua manusia memerlukan kepada makanan dan tidak ada kehidupan tanpa makanan.

*Sumber: petikan dari buku Bertani Satu Ibadah

- Artikel iluvislam.com

Karnival Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan 2011

31 MEI 2011, KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menganjurkan Karnival Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan 2011, pada 2 hingga 5 Jun 2011 bersamaan 29 Jamadilakhir hingga 3 Rejab 1432H bertempat di Perkarangan Masjid Negara dan Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kuala Lumpur.



Penganjuran karnival yang bertemakan “Inovasi Teras Tamadun Ummah” ini merupakan kali kedua diadakan selepas penganjuran pertama dilaksanakan dengan jayanya pada 5-8 Ogos 2010 bertempat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Ia dianjurkan bagi menyahut saranan YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia supaya produk-produk inovasi dan penemuan baru dalam bidang hal ehwal Islam dapat ditonjolkan kepada masyarakat.



Karnival pada tahun ini juga bakal mencatit sejarah tersendiri apabila Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Wathiqul Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah telah perkenan untuk berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Inovasi Islam yang berlangsung pada 2 Jun 2011 (Khamis).

Objektif karnival ini adalah :

* Untuk menjadikan Malaysia sebagai pemacu inovasi Islam dalam pelbagai bidang sekaligus menjadi negara Islam contoh.
* Di kesempatan ini syarikat, institusi-institusi pendidikan dan akademik, agensi kerajaan, NGO dan lain-lain diberi peluang untuk menonjolkan dan memasarkan produk dan perkhidmatan inovatif dalam bidang hal ehwal Islam yang dihasilkan kepada masyarakat umum.
* Selain itu, karnival ini juga akan memberi pengiktirafan kepada individu atau pihak yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan Inovasi Islam negara



Lebih daripada 20 program keilmuan berkonsepkan inovasi akan diadakan sepanjang karnival ini berlangsung, iaitu dalam bentuk seminar, bengkel, demontrasi. Antaranya:

* Program Ilmiah
* Seminar Inovasi Halal Sektor Industri
* Seminar Masjid Inovasi Kebangsaan
* Bengkel Inovasi Sains Islam
* Bengkel Inovasi Khat Komuniti
* Bengkel Tahsin Al-Quran
* Seminar Inovasi Islam 2011
* RancanganTaalim
* Bersama Ikon Inovasi Imam Muda
* Bersama Ikon Inovasi Da’i Kecil Adik-adikku



Pertandingan dan Demonstrasi

* Pertandingan Rekacipta Inovasi Islam
* Pertandingan Mewarna Inovasi
* Demonstrasi Rekacipta Busana Muslim
* Demonstrasi Produk Kesihatan dan Rawatan Diri
* Demonstrasi Produk Inovasi dan Pertunjukan Robotik
* Uji Bakat Program Adik-Adikku
* Program Pameran, Ekspo dan Jualan (125 Buah Booth)
* Pameran Produk-Produk Inovatif
* Jualan Gudang
* Pameran Robotik



Program Lain

* Majis Anugerah Kecemerlangan UPKK dan STAM Peringkat Kebangsaan 2011
* Majlis Bacaan Yasin dan Doa
* Selamat Sempena Hari Keputeraan SPB Yang di-Pertuan Agong
* Forum Perdana Ehwal Islam



Beberapa program akan juga akan bersiaran secara langsung menerusi RTM 1 dan TV Al-Hijrah iaitu;

* Majlis Perasmian Karnival
* Forum Perdana Ehwal Islam
* Siaran Khutbah Jumaat Inovasi
* Persembahan Adik-Adikku



Antara pengisian penting dalam karnival ini juga ialah Ekspo & Pameran Inovasi yang melibatkan sektor kerajaan dan swasta yang akan diadakan di Masjid Negara. Sebanyak 125 buah booth pameran disediakan bagi menempatkan pameran Inovasi Islam terdiri daripada institusi-institusi yang banyak terlibat dengan R&D, khususnya daripada IPTA, NGO dan pelbagai pihak dalam negara. Untuk makluman, 28 buah IPTA telah bersetuju mempamerkan 40 produk inovasi Islam mereka yang terkini berasaskan kepada aktiviti R&D yang telah direkacipta.



Pihak Johor Corporation, melalui agensinya iaitu Institut Pembangunan Pengurusan Johor (IPPJ) juga turut memberikan komitmen yang tinggi bagi menjayakan program-program dalam karnival inovasi, khususnya bagi pengendalian ekspo dan pameran inovasi. Pihak J-Corp telah membantu mendapatkan penyertaan bagi 100 peserta ekspo dari kalangan pihak swasta / industri dari pelbagai sektor makanan, kesihatan, perbankan, kraftangan dll yang berkonsepkan produk inovasi (R&D). Para pengunjung juga berpeluang untuk menemui para peserta Imam Muda Musim Kedua yang turut ”turun padang” bagi sama-sama memeriahkan karnival berkenaan.

Acara kemuncak pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Karnival Inovasi Islam adalah Anugerah Inovasi Islam sebagai tanda pengiktirafan kepada individu, sektor perkhidmatan & produk yang melibatkan masyarakat secara meluas, dan memberi manfaat kepada umat Islam dan masyarakat bukan Islam, sehingga ke peringkat antarabangsa. Antara anugerah yang akan disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam Majlis Perasmian pada 2 Jun 2011 dalam karnival kali ini ialah:

* Anugerah Khas Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan
* Anugerah Inovasi Institusi Masjid Mandiri
* Anugerah Inovasi Institusi Pendidikan Islam
* Anugerah Inovasi Agensi Islam
* Anugerah Inovasi Produk Halal
* Anugerah Inovasi Sistem Kewangan Islam







Pada tahun lepas hampir 300,000 pengunjung telah datang menyaksikan karnival di Kiblat Walk, Masjid Tuan Mizan Zainal Abidin. Dijangkakan karnival tahun ini akan berjaya menarik antara 300,000 hingga 450,000 pengunjung beragama Islam dan bukan Islam. Selain itu dianggarkan seramai 700,000 orang akan menonton pelbagai aktiviti yang disiarkan secara langsung/rakaman menerusi RTM1 bagi satu-satu masa.



Maklumat lanjut berhubung program boleh dilayari melalui laman sesawang rasmi JAKIM di www. islam.gov.my atau laman sesawang rasmi Masjid Negara di www. masjidnegara.gov.my serta boleh menghubungi JAKIM di talian 03-8886 4259/ 4845 atau Masjid Negara di talian 03-2693 7784.