Sunday, April 10, 2011

Evolusi dan Sejarah Kemunculan Blog




Pada tahun 2006 telah tercipta satu sejarah apabila majalah TIME menamakan komputer sebagai "Person Of the Year" atau tokoh tahun ini sekaligus menumbangkan beberapa individu terkenal yang sering ditonjolkan berdasarkan kepakaran dalam bidang masing-masing. Perkembangan ini ternyata hasil daripada ledakan pertumbuhan dan pengaruh hasil kandungan internet, terutama penggunaan blog semakin diiktiraf di peringkat global.

Pengaruh blog dan blogger juga diakui telah memberi impak besar kepada keputusan drastik pilihan raya umum ke-12 lalu yang telah merubah senario politik Malaysia, begitu juga dengan kemenangan bersejarah Barrack Obama di dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini. Kini, tidak siapa dapat menafikan bahawa media baru ini mempunyai kedudukan, fungsi serta tanggungjawab tersendiri dalam dunia maklumat.

Kira-kira 10 tahun dahulu, individu yang mengaku mempunyai laman blog sendiri atau menjadi penulis blog akan dianggap pelik seperti makhluk asing. Kini, kita boleh membaca lebih kurang 500,000 blog yang diwujudkan oleh blogger di negara ini sahaja. Kemuculan blog hanya hangat diperkatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan lebih memberi fokus kepada blog politik.

Sebelum wujudnya blog, terdapat beberapa bentuk komuniti-komuniti digital yang agak popular seperti Usenet iaitu satu sistem perbincangan maya di internet. Ia merupakan satu daripada sistem komunikasi rangkaian komputer tertua dan masih digunakan hingga ke hari ini.

Selain daripada itu terdapat juga perkhidmatan-perkhidmatan bersifat komersial dalam talian seperti Genie, BIX dan CompuServe, senarai emel dan sistem papan bulletin (BBS).

Sejarah kemunculan blog dikatakkan bermula sekitar tahun 1983-1990an kesan daripada perkembangan penggunaan Usenet. Ia merupakan perantara bersiri utama yang terangkum dalam takrif "Jaringan Sejagat" (WWW – World Wide Web) yang asal yang menonjolkan Kumpulan Berita Sederhana yang membenarkan semua pengeposan dikawal oleh individu atau sekumpulan kecil pengguna. Kebanyakan kumpulan berita tersebut hanya merupakan forum-forum perbualan sederhana.

Pada tahuan 1994, Brian E. Redman dan beberapa orang rakannya telah mula menghantar bahan-bahan yang dipetik dari laman-laman web lain dari internet secara tetap dengan gaya penerbitan jurnal bersiri yang hampir sama dengan bentuk blog masa kini serta menonjolkan pautan ke laman-laman web berkaitan yang lain.

Pada tahun 1994-2001, blog era moden telah berkembang bermula dengan buku-buku diari harian dalam talian yang digunakan untuk menyimpan huraian selari tentang kehidupan peribadi individu. Kebanyakan para penulis ketika ini telah menjadikan diri sendiri, wartawan atau penulis jurnal sebagai bahan rujukan.

Kelompok kecil penulis ini menggelarkan diri mereka sebagai eskribisionis (escribitionist).

Justin Hall yang menggunakan blog peribadi sejak tahun 1994 ketika masih belajar di Kolej Swarthmore boleh dianggap sebagai perintis blog yang awal bersama-sama rakannya iaitu Jerry Pournelle. Pada peringkat awal, kebanyakan weblog hanya merupakan komponen-komponen laman web biasa yang telah dikemaskinikan secara manual.

Walaubagaimanapun, kemajuan teknologi telah memudahkan penghasilan dan pemeliharaan rencana-rencana web yang diterbitkan mengikut tertib kronologi terbalik oleh individu yang kurang mahir dari segi keupayaan teknikal. Perkembangan ini akhirnya telah menyebabkan sebuah kelas penerbitan dalam talian yang terdiri berbagai rencana dan jurnal yang diakui pada hari ini sebagai blog.

Terkini, penggunannya telah dimudahkan lagi dengan bantuan beberapa perisian blog seperti WordPress, Movable Type, Blogger, liveJournal dan DreamHost.

Istilah "weblog" buat pertama kalinya telah dicipta oleh Jorn Barger pada 17 Disember 1997. Manakala singkatannya, "blog" pula dicipta oleh Peter Merholz secara tidak sengaja apabila beliau telah memisahkan perkataan weblog menjadi frasa we blog di palang sisi blog miliknya iaitu Peter.com pada April atau Mei 1999. Ia telah diterima baik sebagai kata nama mahupun sebagai "kata kerja", dalam bahasa Inggeris "to blog" bermaksud "mengedit weblog atau menghantar pesanan ke weblog".

Sejak itu jumlah laman blog telah menunjukkan peningkatan yang mendadak. Sebagai contoh, laman web Xanga yang dilancarkan pada tahun 1996 mempunyai hanya 100 kemasukan pada tahun 1997 tetapi jumlah itu telah menjadi lebih 20 juta pada bulan Disember 2005. Pada bulan November 2007, enjin carian blog Technorati telah menjejaki lebih 120 juta blog dalam internet, angka yang meningkat dua kali ganda berbanding penemuan awal Januari tahun yang sama.

Video: Blogging 101 - What is a blog?
Apakah Perbezaan Blog dan Laman Web?

Blog merupakan singkatan untuk weblog (singkatan untuk weblog dalam bahasa Inggeris), sebagaimana dibayangi oleh nama bahasa Inggerisnya, ialah diari dalam talian tentang sesuatu topik. Catatannya dipaparkan dengan tertib terbalik mengikut urutan tarikh. Antara ciri penting blog ialah pembaca mempunyai keupayaan untuk meninggalkan komen dalam format interaktif.

Secara umumnya, blog yang tipikal mengandungi teks dan imej serta pautan ke blog, laman web atau media lain yang berkaitan dengan sesuatu isu yang dibincangkan. Blog boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian bergantung kepada tumpuan penggunaannya. Antaranya ialah seperti berikut :

* Blog teks : Blog yang menumpukan teks atau penulisan.
* Blog foto : Blog yang menumpukan gambar foto.
* Blog MP3 : Blog yang menumpukan muzik.
* Vlog : Blog yang menumpukan video.
* Pempodkasan : Blog yang menumpukan audio.

Selain daripada itu, blog juga boleh dikelaskan berdasarkan fokus perbincangan yang diutarakan, misalnya isu politik tempatan dan luar negara, berita tempatan, perangkaian sosial, perkongsian resepi, sukan, hiburan dan sebagainya. Justeru itu ia dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti diari dalam talian, blog korporat, blog usaha sama, blog politik, blog projek, blok pendidikan dan banyak lagi.

Berbeza dengan blog, laman web boleh dikategorikan sebagai satu perantaraan atau medium yang menghubungkan pelayar internet dengan pemilik laman web. Pemilik laman web boleh terdiri daripada individu, kumpulan syarikat atau sesiapa sahaja.

Ia boleh didefinisikan sebagai satu koleksi fail web yang mengandungi pelbagai tajuk termasuklah fail permulaan yang dikenali sebagai homepage. Sebagai contoh, kebanyakan syarikat, organisasi atau individu ada mempunyai "Alamat Laman Web" atau dikenali sebagai IP Address seperti : www.ibm.com, www.lhdn.gov.my dan sebagainya.

Selain itu, laman web juga menggunakan teknologi hiperteks secara meluas yang merupakan bahagian daripada dokumen atas talian yang mana, apabila dipilih oleh pengguna ia akan terus membawa pengguna ke dokumen yang berkaitan. Teknik hiperteks ini membolehkan maklumat dikumpulkan sebelum ia dihubungkaitkan dalam satu struktur tautan multidemensi yang sesuai untuk dipersembahkan.

Fungsi laman web bergantung kepada objektif pemilik laman web tersebut. Untuk seseorang individu, laman web peribadi mungkin hanya untuk kegunaan peribadi sahaja iaitu sekadar untuk suka-suka atau sebagai salah satu cara untuk menonjolkan diri agar mudah untk mendapatkan pekerjaan, menambahkan kenalan dan untuk merapatkan silaturrahim.

Individu yang gemar merekabentuk laman web peribadi untuk mencuba teknologi web terkini seperti skrip terbaru yang canggih atau animasi Flash. Laman web juga digunakan untuk memaparkan dan menonjolkan identiti korporat sesuatu syarikat.

Pada zaman sekarang ini, sesebuah organisasi yang tidak mempunyai laman web sendiri mungkin akan turun nilainya pada pandangan mata orang ramai. Semakin banyak syarikat yang menjalankan perniagaan atau perdagangan secara internet sebagai salah satu strategi untuk memasarkan produk mereka.

Dalam era globalisasi, cara yang digelar e-dagang ini ternyata berkesan dalam meningkatkan hasil pendapatan syarikat disebabkan internet boleh dicapai di mana-mana sahaja dan peluang perniagaan adalah tidak terhad dan melangkaui sempadan.

Bahan Rujukan

* Abdul Razak Hamdan, Mohd Zakree Ahmad Nazri, Mohammad Faidzul Nasrudin, Hafiz Mohd Sarim, Mohd Shanudin, Yazrina Yahya, Mohd Zamri Murah ( 2004 ). Teknologi Maklumat dan Komunikasi : Mc Graw Hill Educatioan:Kuala Lumpur.
* Zawiyah Mohd Yusof, Nazura Abd Manap, Masnizah Mohd, Azizi Abdullah, Hafiz Mohd Saim, Tengku Mohd Tengku Sembok ( 2005 ). Teknologi Maklumat dan Komunikasi : Etika, Undang-undang dan Sosial : Mc Graw Hill : Kuala Lumpur.
* http://ms.wikipedia.org/Wiki/Blog
* Ziauddin Sharuddin, http://bharian.com.my/Penangan Blog.21 April 2008
* Rebecca Blood, http://www.rebeccablood.net/essays/weblog_history.html.september 2000
* Mark Brady, CHIMERA WORKING PAPER NUMBER: 2005: Blogging: Personal Participation In Public Knowledge- Building On The Web.

No comments:

Post a Comment