Thursday, September 15, 2011

Ulama, Umara dan Ummah






ULAMA perlu memiliki ketinggian ilmu dan bersedia menyumbang pemikiran bagi pembangunan ummah sejagat selain membimbing manusia ke jalan yang diredai Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w menyifatkan ulama seperti bintang di langit dengan memegang amanah bagi menjamin kesejahteraan umat Islam.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Perumpamaan ulama di muka bumi seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk kepada musafir dan pelayar di waktu malam, apabila terlindungnya bintang itu mereka akan terpinga-pinga kehilangan petunjuk." (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Mereka perlu jujur dan ikhlas dalam melaksanakan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan. Sebagai ulama mereka perlu memiliki sifat sabar, lemah lembut, berhikmah, bersikap ramah, menghormati pendapat orang lain dan saling menasihati serta memuliakan saudara lain.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Berbicaralah dengan manusia menurut akal dan fikirannya. Gembirakanlah mereka dan janganlah dijauhkan; mudahkan jangan disukarkan. Inilah cara menyeru manusia kepada agama Allah. Bersoal jawab dengan masyarakat sebaik-baiknya iaitu sehingga memuaskan hati dan menghilangkan keraguan mereka. Sebab itu ulama wajib mengetahui pelbagai cabang ilmu. Jika tidak pasti, masyarakat mudah menolak ajaran yang bertentangan dengan ilmu pengetahuan mereka.

Perkara paling penting yang perlu dilakukan golongan ulama ialah menggalas tanggungjawab melindungi umat Islam daripada sebarang usaha penyelewengan agama seperti murtad, khurafat, bid'ah, syirik dan tahyul.

Maka umat Islam perlu mengiktiraf ulama sebagai pemimpin yang berwibawa. Ibnu Abbas berkata: "Ulama adalah orang yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dan tambahnya lagi: Orang alim tentang Allah Maha Penyayang adalah orang yang tidak melakukan syirik dengan Allah sesuatu pun serta dia menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan. Dia turut memelihara wasiat-Nya di samping yakin bahawa dia tetap akan menemui-Nya dan Dia bakal menghitungkan amalannya.

Semakin tinggi ilmu yang dimiliki seorang ulama maka bertambah takut mereka kepada Allah. Mereka akan sentiasa menjunjung amanah bagi menyampaikan hak dan kebenaran. Jelas karakter yang dimiliki golongan ilmuwan menjadi lambang kekuatan iman dan harapan umat Islam supaya kekal berpegang teguh kepada ajaran Islam yang suci.

Berbeza dengan watak golongan ulama dunia di mana mereka hanya bermotifkan untuk mendapat habuan dunia. Apabila bertambah ilmunya, semakin ingkar mereka kepada perintah Allah.

Sebagai persiapan menghadapi pelbagai cabaran mendatang, ulama perlu sentiasa mengikuti perkembangan supaya mereka dapat menangani masalah semasa itu dengan baik.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menjalankan hukum (pemerintahan) di kalangan mereka berdasarkan kepada apa yang diturunkan oleh Allah". (Surah al-Maidah ayat 48)

Ulama berperanan menanamkan kesedaran dan memimpin masyarakat menghayati serta melaksanakan cara hidup selaras dengan tuntutan agama. Bersikap berkecuali tidak boleh sesekali diamalkan golongan ulama kerana mereka perlu memperbetul serta menjelaskan perkara sebenar andai kata berlaku permasalahan di kalangan umat Islam.

Mereka perlu berpendirian tegas menangani sebarang isu berdasarkan ilmu agama yang dimilikinya. Tohmahan terhadap golongan ulama pasti timbul jika perjuangan menyebar dan menegakkan ajaran agama dicemari kepentingan peribadi seperti harta benda, kedudukan, pangkat dan penghormatan.

Abu Nu'aim menyatakan bahawa Nabi mengatakan: "Dua golongan manusia yang apabila keduanya baik maka akan baiklah masyarakat. Tetapi, apabila keduanya rosak maka akan rosaklah masyarakat itu. Kedua golongan manusia itu adalah ulama dan pemerintah."

Terdapat kisah keberanian seorang ulama yang tidak mengejar pangkat dan kedudukan atau kepentingan seseorang iaitu Imam Nawawi.

Beliau tetap mengatakan sesuatu perkara itu benar menurut hukum. Menurut riwayat, apabila baginda Sultan al-Malik al-Zahir mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang Tatar (Monggol) digunakan fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat bagi memenuhi kepentingan perang melawan musuh. Seorang ulama fiqh dari Syam menulis menerangkan fatwa itu tetapi baginda masih tidak berpuas hati jika Imam Nawawi tidak memberi fatwanya. Baginda seterusnya menjemput Imam Nawawi dan meminta beliau memberi fatwanya mengenai pengambilan harta rakyat untuk peperangan.

Beliau tidak mahu memberi fatwanya dan memberi penjelasan mengapa beliau terpaksa menerangkan keengganannya. Beliau dapat tahu bahawa baginda memiliki 1,000 hamba. Setiap seorang mempunyai beberapa ketul emas manakala 200 khadam wanita baginda memiliki barang perhiasan bernilai. Jika baginda membelanjakan semua itu demi keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang itu, maka beliau bersedia memberikan fatwa untuk membenarkan baginda mengambil harta rakyat.

Imam Nawawi berfatwa tidak membenarkan baginda mengambil harta rakyat selagi kekayaannya tidak digunakan. Sultan al-Malik al-Zahir murka kepadanya kerana fatwanya amat menggemparkan sehingga baginda memerintahkan beliau keluar dari Damsyik. Imam Nawawi menerima perintah pengusirannya itu. Namun ulama Syam berusaha menjemputnya pulang tetapi beliau enggan selagi baginda masih berkuasa.

Ulama perlu berani menyatakan pandangan mereka terhadap perkara yang dirasakan bertentangan, namun setiap teguran itu perlulah dilakukan dengan penuh hikmah.

Penceramah, Mohd Rani Awang Besar berkata, ulama adalah golongan yang Allah kurniakan kepada mereka ilmu agama yang tinggi hasil daripada bertahun-tahun lamanya mereka menuntut ilmu.

"Allah berfirman dalam Surah Faathir ayat 28 yang bermaksud: "Hanya yang takut kepada Allah ialah ulama-ulama di antara hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."

"Maka jelaslah apabila semakin tinggi ilmu mereka tentang kejadian alam yang dijadikan Allah maka bertambah takut mereka kepada Allah," katanya.

Beliau berkata, terdapat dua bahagian ulama iaitu ulama akhirat dan ulama dunia yang menjalankan peranan berbeza-beza.

"Sebagai pewaris tugas Nabi Muhammad, mereka perlu sentiasa menegakkan kebenaran dan tidak takut dengan manusia.

"Terdapat ulama yang menggunakan ilmu mereka bagi menyebar luas dakwah ke seluruh pelosok dunia bagi mendapatkan keredaan Allah semata-mata manakala ulama dunia menggunakan peluang untuk mengejar pangkat serta kedudukan," katanya.

Mohd Rani berkata, tugas penting seorang ulama akhirat ialah berusaha semampu mungkin berdakwah kepada semua golongan dalam melahirkan umat Islam berilmu dan bertakwa.

"Ulama perlu tegas dan berani menyatakan pendirian mereka dalam satu isu yang bersalahan dengan syariat. Yang betul katakan dengan jelas ia benar manakala yang batil jangan sesekali membisukan diri."Golongan ulama tidak pernah takut terhadap apa saja bentuk halangan yang menimpa diri mereka. Jauh sekali jika mereka tahu kesalahan itu tetapi mengambil jalan mudah hanya mendiamkan diri tanpa melakukan sebarang tindakan," katanya.

Beliau berkata, terdapat sebuah hadis daripada Ali bin Abi Talib, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah itu akan kembali." (Hadis riwayat Al-Baihaqi).

"Daripada hadis ini, kita dapat saksikan ulama yang dimaksudkan ialah ulama su' (jahat). Ulama seperti ini hanya memandang hal keduniaan," katanya.

Sumber Artikel: Harian Metro
Ilustrasi Oleh: Ikhsan Isey

No comments:

Post a Comment