Thursday, September 8, 2011

Indahnya Taman Syurga





Damai rasanya berada di bawah sinar mentari yang seakan menyembunyikan dirinya sejak awal pagi tadi.

Subhanallah. Titis jernih ini mengalir lagi tatkala memandang ke langit yang luas memayungi bumi. Bersyukur kerana masih jua diberi helaan nafas dan menikmati keindahan ciptaan-Nya.

Alhamdulillah.

Kisah yang ingin aku titipkan kali ini, merupakan satu kisah yang mungkin menjadi anugerah dari Allah buat insan kerdil dan hina ini.

Terfikir juga untuk tidak berkongsi, tetapi rasanya tidak ada salahnya andai sedikit rasa bahagia ini ku kongsikan bersama.

Semoga Allah memberkati setiap perkongsian dan terus-menerus menghulurkan rasa cinta yang begitu menebal buat-Nya. Insya-Allah.

Seperti biasa, setiap petang Khamis, aku hadir ke kelas pengajian tajwid di surau ar-Rahman, berhampiran kawasan kediamanku.

Biasanya aku tiba lima minit lebih awal sebelum kelas bermula, cuma sesekali terbabas jua seminit dua.

Sudah menjadi amalanku, setiap kali memulakan perjalanan ke tempat pengajian (surau) aku akan berdoa:

Ya Allah,

Jadikanlah cahaya di hatiku,

Cahaya di lidahku,

Cahaya di pendengaranku,

Cahaya di penglihatanku,

Cahaya dari belakangku,

Cahaya di hadapanku,

Cahaya dari atasku,

Dan cahaya dari bawahku.

Ya Allah, berilah aku cahaya. Amin.

~ Riwayat al-Bukhari ~

Diriwayatkan dalam Sahih Muslim, dalam sebuah hadis bahawa Ibn Abbas r.a. bahawa Nabi S.A.W telah keluar dari rumah Maimunah r.ha selepas bertahajud, untuk ke masjid bersolat Subuh. Maka baginda S.A.W telah membaca doa ini.

Inilah doa yang menjadi amalanku.

Lidah dan mulut ini dengan spontan melafazkannya tatkala aku mula melangkah. Semoga istiqamah dan mendapat ganjarannya di sisi Allah.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 10 minit dari rumah. Setibanya aku di perkarangan surau, ku lihat belum ramai yang hadir.

Mungkin juga aku yang sedikit awal dari mereka hari ini. Kalimah-kalimah suci yang dipasang, menghiasi kamar telingaku.

Indah. Terhibur benar rasa hati.

Dari situ juga aku tahu, bahawa penganjur kelas, Puan Intan yang ku anggap seperti kakakku sendiri sudah ada di dalam surau.

Memang menjadi kebiasaan, kak Intan (panggilan sahabat-sahabat padanya) orang pertama yang hadir di surau.

Beliau yang akan menyediakan keperluan untuk ustaz dan mengemaskini surau sebelum kelas dimulakan.

Allahu Akbar! Semoga tersedia ganjaran pahala atas setiap kebaikanmu itu wahai kakakku.

Sekali lagi, aku membaca doa ketika melangkah masuk ke dalam surau.

"Ya Allah, ampunilah aku dan bukakanlah bagiku pintu-pintu Rahmat-Mu. Amin."

Sebaik saja kaki melangkah di pintu surau, terlihat dua orang sahabat menyambutku dengan senyuman.

"Assalamualaikum."

Ucapan salam bersambut.

Senyuman berbalas seraya selawat ke atas baginda S.A.W terucap seiring tangan yang berjabat.

Subhanallah. Moga ukhuwah kami di sini mendapat barakah dari-Mu.

Tepat jam 5.30 petang, kelas dimulakan dengan membaca ummul kitab. Al-Fatihah.

Kami membacanya penuh tertib. Seusai kata-kata amin dilafazkan, kami mengalunkan doa khatam al-Quran.

Dan setiap kali saat ini tiba hati benar-benar tersentuh. Doa ini kami alunkan dalam bahasa Arab.

Namun pengertiannya selalu membawa diri ini menjadi hamba yang benar-benar kerdil di sisi-Nya.

Malah terasa hamba hina ini bagai merayu dan merintih untuk memohon 'perhatian' dari Allah yang Maha Esa.

Ya Allah,

Rahmatilah kami dengan al-Quran,

Jadikan ia pimpinan, cahaya, petunjuk dan rahmat,

Allah ingatkan kami, apa yang terlupa,

Ajarkanlah...

Ajarkanlah...

Yang tak diketahui,

Kurniakan kami membacanya,

Sepanjang malam,

dan sepanjang siang hari,

Jadikan ia hujjah kami (pembela kami di Akhirat),

Ya Rabbal 'aalamiin...

Subhanallah.. Alhamdulillah.. Lailaha Ilallah.. Allahu Akbar!

Di sinilah. Saat inilah. Tiba-tiba aku mendengar alunan doa ini begitu merdu dan gemersik sekali.

Allahu Allah.

Bukan suara kami ya Allah. Terasa yakin benar diri ini, bahawa suara-suara itu bukan suara kami ya Allah.

Genangan air mata menjadikan aku bertambah hiba. Di dada ini bagai terbit satu getar yang tidak mampu aku luahkan.

Allahu Akbar!

Apakah ini yang Kau sebut-sebut, sesungguhnya para Malaikat ada bersama-sama hamba-Mu yang mencari ilmu?

Subhanallah.

Dalam kesyahduan yang aku rasakan menjadikan aku tidak mampu lagi untuk mengangkat wajah ini. Tertunduk malu aku dengan-Mu ya Allah.

Andai benarlah, apa yang aku dengar ini anugerah dari-Mu, aku bersyukur. Aku benar-benar bersyukur.

Ya Allah, letakkanlah kami, hamba-hamba-Mu ini, di kalangan mereka yang tidak jemu-jemu ingin menggali ilmu-Mu.

Tiada bekalan terbaik selain ilmu yang kami cari, untuk kami jadikan panduan agar dapat kami beramal pada-Mu.

Ya Allah, tiap ruang dan peluang yang sentiasa Engkau bukakan buat kami, akan kami jadikan satu jalan dalam kami merebut keredhaan-Mu.

Redhailah kami ya Rabbi. Limpahilah Rahmat-Mu buat kami ya Rabbi. Bahagiakanlah kami di dunia dan Akhirat nanti. Sesungguhnya tiada daya dan upaya kami melainkan hanya dengan-Mu.

Walau keindahan yang dapat aku dengari itu hanya sebentar cuma, tetapi hingga saat ini,

Gemersiknya suara yang singgah ke telinga menjadikan aku benar-benar rindu untuk terus berilmu.

Dan ingin benar aku menguasai ilmu dan keindahan kalam suci-Mu ini. Ya Allah, kasih sayangkanlah kami dengan al-Quran. Agar dapat kami beramal hanya untuk-Mu, wahai Penciptaku.

Ya Allah, permudahkanlah kami di jalan ini. Hanya Engkau Pelindung dan Pemelihara kami. Dan hanya Engkau sahaja yang mencukupkan segalanya buat kami.

Semoga apa yang aku kongsikan ini, menjadikan hati kita bertambah rindu dan lunak untuk merebut cinta Allah yang Maha Esa.

Selagi diberikan keizinan untuk bernafas di bumi pinjaman-Mu ini ya Allah, aku berjanji untuk terus mencari, mencari ilmu yang akan menjadi bekalan tika aku pulang ke sisi-Mu nanti.

Insya-Allah.

-Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment