Tuesday, September 6, 2011

Indahnya Hidup Dihiasi Kemanisan Iman





Kemanisan Iman dapat dirasai bila sepenuhnya cinta adalah untuk-Nya,

Kemanisan Iman itu dirasai bila adanya sifat tawaduk dalam diri.

Adakah aku layak untuk merasai satu kemanisan Iman yang dijanjikan Allah untuk hamba-Nya?

Aku merasakan masih banyak dosa yang sudah aku lakukan,

Seringkali terlupa akan setiap pemberian-Nya,

Mula mencari cinta-Nya apabila dilanda musibah,

Masihkah ada ruang untukku mencari keredhaan-Nya?

Masih terbukakah pintu-Nya untukku?

Adakah aku telah terlambat untuk merebut cinta-Nya?

Aku tahu Imanku hanya setebal kulit bawang,

Jika digugat, pastinya terkoyak,

Jika dipelihara, pastinya akan bertambah tebal,

Bagaimana untukku pelihara harta ini?

Agar terus terpelihara,

Dari noda dan dosa yang menghancurinya,

Aku tahu bahawa kadang-kadang Iman kita menjadi kuat,

Mampu menangkis serangan syaitan laknatullah,

Aku tahu bahawa kadang-kadang Iman kita menjadi lemah,

Kalah dengan permainan iblis terkutuk,

Mula melupakan cinta pada Allah Azza Wajalla.

Iman ini merupkan pintu untuk pembentukan jati diri seorang insan,

Seorang insan yang hebat mempunyai Iman yang kental,

Tidak mudah tunduk dengan permainan hidup,

Seorang insan yang mempunyai Iman yang lemah,

Akan segera tunduk dengan permainan hidup,

Terus menyerahkan nasibnya tanpa terus berusaha,

Menganggap dirinya hina dan tidak mampu untuk berjuang.

Wahai semuanya,

Kemanisan Iman itu sentiasa ada untuk dirimu,

Terserah kepada kita untuk mencarinya,

Atau...

Melepaskan ia pergi.

-Artikel iluvislam.com

Wednesday, August 17, 2011

Ramadhan Rahmat






Terbukti Ramadan adalah madrasah kepada kita untuk melatih, mendidik serta membangunkan diri menjadi insan berdisiplin dalam menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Amalan berpuasa memang terbukti mampu menundukkan nafsu. Diharap proses 'pengajian' kita sepanjang Ramadan dapat berjalan sempurna.

Kesempatan berada di dalam bulan penuh berkat itu nanti, ruang masjid kembali bergema dan umat Islam mula berpusu-pusu ke masjid di kawasan masing-masing untuk bersembahyang Tarawih secara berjemaah.

Panduan terbaik untuk kekal 'cergas' supaya dapat melaksanakan ibadah sunat seperti solat Tarawih, bertadarus dan amalan sunat di malam harinya adalah tidak makan terlalu banyak ketika berbuka puasa.


Gunakan sepenuhnya peluang dan tawaran setahun sekali ini untuk melakukan lebih banyak perubahan diri supaya semangat dan roh Ramadan itu kekal dalam jiwa umat Islam.

Rasulullah menegaskan bahawa: "Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan."


Allah berfirman yang bermaksud: "Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjelaskan perbezaan antara benar dan salah." (Surah Al-Baqarah ayat 185)

Persiapan perlu meliputi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Mukmin muttaqin pasti berusaha mencapai matlamat yang dijanjikan Allah dalam Ramadan.

Ketaatan melaksanakannya adalah ta'abbud kepada Allah. Jika ia dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan penghayatan maka kesannya lahirlah individu Muslim yang mempunyai jati diri kental.

Jangan kita tergolong dalam orang yang berpuasa sekadar menjalankan ia sebagai rutin tahunan semata-mata dan tidak memahami fadilat di sebaliknya.

Golongan seperti itu walaupun berpuasa, tetapi hakikatnya mereka hanya mendapat 'pengalaman' lapar dan dahaga saja.




Daripada Abu Hurairah r.a berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: 'Puasa adalah perisai (memelihara daripada akhlak yang buruk). Apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah dia mengeluarkan kata-kata yang tidak elok (mencarut) atau kesat. Jika ada orang memakinya atau mahu membunuhnya, maka katakanlah kepadanya: 'Sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa.

Bacalah Al-Quran sebanyaknya dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak.

هَـٰذَا بَلَاغٌ لِّلنَّاسِ وَلِيُنذَرُوا بِهِ وَلِيَعْلَمُوا أَنَّمَا هُوَ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ وَلِيَذَّكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujah-hujah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf.
[Surah Ibrahim 14: Ayat 52]

Perkara yang Membawa Ketakwaan kepada Allah






Alhamdulillah, sudah lapan belas hari hari kita berpuasa. Sudah masuk fasa kedua iaitu minggu keampunan. Apa yang telah kita buat selama tujuh belas hari kita berpuasa? Harap semuanya diterima dan ditimbang di sana nanti. InsyaAllah.

Hadis Nabi yang bermaksud :

"Awal Ramadhan adalah rahmat, pertengahan Ramadhan adalah keampunan dan akhir Ramadhan adalah kebebasan api neraka"

Puasa adalah satu cara untuk kita menuju ke arah ketakwaan kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, apabila kita berpuasa dalam keadaan bersungguh-sungguh, kita akan merasai kenikmatan berpuasa tersebut. Kita akan merasai yang diri kita ini dekat dengan Allah SWT kerana puasa yang sempurna menzahirkan ketakwaan kepada Allah.


Bulan puasa ini juga bulan yang mendekatkan diri kita kepada al-Quran. Pada masa inilah kita sedaya upaya untuk menghabiskan tiga puluh juzuk dalam masa sebulan kerana sesiapa yang mampu mengamalkan petunjuk yang ada didalam al-Quran, mereka adalah orang yang bertakwa kepada Allah.

Terdapat beberapa fungsi yang perlu kita ketahui dalam bulan Ramadhan iaitu :

1. Fungsi kepatuhan kepada Allah iaitu tiada sesiapa yang membantah suruhan berpuasa di bulan Ramadhan.

2. Fungsi persaingan kerana pada bulan Ramadhan ini, umat Islam bersaing untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memperbanyakkan ibadah kepada-Nya.

3. Fungsi penghargaan iaitu Allah memberikan penghargaan kepada orang berpuasa dan yang menjaga pantang larang ketika berpuasa.

4. Fungsi fitrah manusia iaitu orang yang paling mulia ialah orang yang bertakwa kepada Allah.

Sepanjang lapan belas hari kita berpuasa, adakah kita rasa kita dah cukup amalan untuk menghilangkan dosa-dosa kita selama sebelas bulan yang lepas?

-Artikel iluvislam.com

Sunday, August 14, 2011

Janganlah Sekadar Berpuasa






Kita lihat disekeliling kita, ramai manusia menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Ini adalah satu situasi yang baik dan sangatlah beruntungnya seseorang itu apabila menunaikan ibadah ini dengan penuh tawaduk dan semata-mata kerana Allah s.w.t.

Alangkah ruginya seseorang itu apabila meninggalkan ibadah puasa ini yang telah difardhukan keatas tiap-tiap seorang muslim. Tersangatlah ruginya. Di bulan Ramadhan ini apa sekalipun ibadah yang kita lakukan pastinya akan dilipat gandakan pahalanya. Bagaimana pula dengan dosa? Adakah melakukan satu dosa di bulan Ramadhan juga akan dilipat gandakan dosanya? Wallahu Alam. Anda sendiri tafsirkannya.

Apa yang dikatakan pula meninggalkan satu kefardhuan yang lain? Contohnya seorang muslim itu menunaikan ibadah puasa tetapi dengan sengaja meninggalkan kewajipan yang lain seperti tidak menutup aurat dengan sempurna terutamanya kepada wanita muslimah. Walhal menutup aurat itu adalah suatu kewajipan keatas tiap-tiap muslimah di atas muka bumi ini walau dimana mereka berada. Tetapi mengapa mereka meninggalkannya? Masakan boleh seseorang wanita muslimah itu melakukan ibadah puasa yang hanya 30 hari dalam setahun tetapi mendedahkan aurat mereka 365 hari setahun!!. Sedangkan menutup aurat itu adalah bersifat sentiasa tidak boleh tidak mendedahkan aurat walau satu hari pun. Itu tidak termasuk mereka yang memakai perhiasan yang berlebihan(makeup) dan juga minyak wangi. Yang sudah tentunya haram bagi mereka sekiranya menunjukkan kepada lelaki yang bukan muhrim.

Begitu juga pada mereka yang menunaikan ibadah puasa tetapi pada masa yang sama sengaja meninggalkan solat fardhu. Mungkin mereka menunaikan solat fardhu pada bulan Ramadhan bagi menghormati bulan ini tetapi meninggalkan solat fardhu selepas berlalunya ibadah puasa. Adakah tindakan ini betul? Adakah ini yang diajar dan disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada umat manusia? Sedangkan solat fardhu diwajibkan ke atas umat muslimin dan muslimat sepanjang masa selagi kita masih hidup. Jadi mengapakah kita masih meninggalkannya?

Seperti kata Imam Ghazali, ramai manusia yang berpuasa tetapi cuma dapat lapar dan dahaga sahaja. Apa yang diharapkan untuk mendapat pahala di dalam bulan Ramadhan ini langsung tiada. Cuma penat yang menerpa. Maka sia-sialah usaha mereka untuk mendapat keampunan Allah s.w.t dibulan mulia ini. Nauzubillah.

Pada akhir tazkirah tersebut, ustaz berpesan supaya kita takut pada Allah s.w.t yakni sentiasa bertaqwa kepadaNYA walau apa yang kita lakukan. Taqwa itu adalah wasiat nabi. Selalunya lepas solat Jumaat kita pasti mendengar khatib akan berkata "Ittaqullah" yang bermaksud takutlah kepada Allah. Oleh itu marilah kita bersama-sama menyampaikan kepada umat Islam terutamanya kepada keluarga,sahabat-sahabat dan umat muslimin dan muslimat mengenai hal ini.

أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ وَأَن تَصُومُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
(Iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin. Barang siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 184)



Saturday, August 13, 2011

Berjemaah Bukan Hanya Ramadhan





Bagi insan yang telah mengecapi dan merasai nikmat Ramadhan ini, kedatangannya adalah suatu yang amat dinanti. Ramadhan adalah sebuah madrasah yang memberikan tarbiyah untuk manusia meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. Hakikatnya, Ramadhan bukan hanya sekali ini saja, tetapi ianya telah muncul silih berganti saban tahun.

Bagaimana peredaran malam dan siang, bulan dan matahari, begitulah silih bergantinya bulan-bulan ini. Apabila Ramadhan datang setiap tahun, maka kita juga akan berpuasa setiap tahun. Berpuasa bukanlah sekadar acara rutin tahunan sepertimana kita menyambut hari kemerdekaan. Tetapi ianya merupakan suatu ibadah yang wajib ditunaikan dengan penuh penghayatan dan sepatutnya menatijahkan suatu kesan yang kekal sepanjang zaman.

Kalau di bulan Ramadhan, kita dapat lihat fenomena kebanjiran manusia di kebanyakan masjid-masjid. Masing-masing dengan penuh semangat berpusu-pusu menuju ke masjid kerana tidak mahu melepaskan peluang solat terawih berjemaah. Kadang-kadang terdapat juga sesetengah masjid dan surau yang terpaksa mendirikan khemah sementara diluar masjid bagi manampung jumlah para jamaah yang begitu ramai. Terlintas juga di benak fikiran Pengerusi Jawatankuasa Masjid dan AJKnya bahawa masjid kita ini perlu diperbesarkan sebab ramai sangat penduduk kariah yang datang. Tempat letak kenderaan juga tidak cukup sampai ada yang terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing jauh di bahu-bahu jalan raya. Kadangkala sampai berlaku gangguan lalu lintas. Cukup indah suasana pada malam-malam Ramadhan ini. Si suami mengajak isteri sambil memimpin anak-anak untuk sama-sama ke masjid bagi menunaikan solat sunat terawih. Tidak kurang juga yang menumpangkan kenderaannya yang besar kepada jiran-jirannya. Sampai di masjid atau surau, masing-masing mengambil kesempatan untuk bersalam-salaman sesama muslim sambil bertanya khabar. Malah ramai juga yang mendapat kenalan baru pada malam-malam Ramadhan ini. Yang lebih lucunya, ada yang baru tahu rupanya mereka tingal di satu taman, satu flet atau kawasan perumahan yang sama. Alangkah harmoninya suasana ini. Tua, muda, miskin dan kaya masing-masing berhimpun di rumah Ilahi dengan satu tujuan yang sama dan niat suci di hati.

Persoalannya, kenapa keadaan ini hanya berlaku pada bulan Ramadhan? Kenapa pada hari-hari lain bkecuali hari Jumaat- dan malam-malam lain fenomena ini tidak dapat dilihat. Malah sesetengah masjid ibarat hidup segan mati tak mahu dek kerana tidak dihidupkan dengan solat jemaah atau terlalu sikit jumlah penduduk yang mengunjunginya. Ada juga masjid-masjid yang dikunci pada siang harinya kecuali hari Jumaat kerana tidak hidupnya amalan solat jemaah Zohor dan Asar di situ. Program-program kuliah pula hanya didengari oleh beberapa orang sahaja yang setia dengan masjid. Itu pun mereka yang telah berumur dan kadang-kadang kurang pendengaran dan penglihatannya. Tiada lagi aktiviti yang boleh mereka lakukan, kecuali menghabiskan saki baki umur tua sambil menanti janji Ilahi yang pasti akan ditemui nanti.

Apakah kita hanya dituntut untuk berjemaah semasa solat terawih sahaja? Bagaimana dengan solat-solat fardhu yang lain? Kalau kita boleh luangkan masa dan berusaha sedaya upaya yang mungkin untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat SUNAT terawih, kenapa hal sedemikian tidak kita lakukan untuk solat-solat FARDHU yang lain pada bulan-bulan yang lain? Apakah Allah swt hanya akan memberi ganjaran pahala untuk mereka yang berjemaah di masjid pada bulan Ramadhan sahaja? Apakah masjid dibina hanya untuk solat terawih pada bulan Ramadhan sahaja? Kalau kita merasa rugi jika terlepas solat terawih kerana fadhilatnya yang banyak, kenapa kita tidak merasa rugi apabila kita tidak solat fardhu yang lain secara berjemaah? Kalau kita begitu mengambil berat dan memberi perhatian kepada amalan sunat ini, sepatutnya perhatian yang lebih lagi patut diberikan kepada amalan yang fardhu. Tidakkah kita pernah mendengar saranan dan pesanan yang diberikan oleh Allah dan juga rasul-Nya tentang kelebihan-kelebihan mereka yang memakmurkan masjid dan solat berjemaah?

Justeru, ayuhlah wahai umat Islam sekelian! Mari kita imarahkan rumah-rumah Allah pada setiap masa. Ikatlah hati-hati kita dengan masjid mudahan kita akan mendapat naungan Allah pada hari akhirat yang tiada lagi naungan kecuali naungan Ilahi. Hidupkan kembali masjid dengan solat-solat fardhu berjemaah. Kembalikan semula fungsi dan peranan institusi masjid seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat pada era kegemilangan mereka. Ajak dan ajarlah ahli keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga kita untuk mencintai dan merindui rumah-rumah Allah dengan memakmurkannya. Jadikan suasana pada malam-malam Ramadhan berlaku juga pada malam-malam yang lain

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ
Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.
(Surah At-Taubah 9: Ayat 18)

Senja Berlabuh di Hening Ramadhan






Tika...
Sang suria di ufuk timur,
Memancarkan kemilaunya di dada langit,
Dan sang camar berkicauan menyanyikan lagu rindu,
Ombak pula menderu di pesisiran pantai,
Suara alam bagaikan menyatu,
Menyambut Ramadhan dengan keinsafan.

Dan...
Insan dengan pelbagai ragamnya,
Terkadang terleka dengan permainan dunia.



Sesungguhnya...
Tiada yang sempurna di dunia yang fana ini,
Selain sang Pencipta yang Maha Esa,
Selagi manusia bergelar manusia,
Pasti di sana ada khilafnya.

Maka...
Tatkala tabir Ramadhan disingkap,
Gema alam bagaikan berbisik,
Kembalilah kepada fitrahmu yang sejati,
Alunkan taubat kepada Ilahi,
Meskipun zahir tidak terucap,
Namun nurani pasti merintih,
Merindui saat pertemuan yang dijanjikan,
Di hari yang kekal abadi.

Kerana...
Tiada sesiapa yang mampu menongkat dunia,
Dan langit pasti akan rebah jua.

Andai...
Harum Ramadhan ini yang terakhir untuk dikecapi,
Detik yang berbaki hanya tinggal di hujung jemari,
Waktu yang berlari semakin jauh untuk dikejar,
Patah sayapnya di kaki malam,
Dek manisnya godaan dunia.

Justeru...
Renungkanlah kekhilafan diri,
Saat senja berlabuh di hening Ramadhan.

- Artikel iluvislam.com

Doa yang Mustajab : Waktu dan Amalannya







Solat hajat merupakan amalan yang sinonim dengan masyarakat kita. Selalunya jikalau ada sesetengah perkara contohnya peperiksaan anak, solat hajat selalunya didirikan dengan bacaan-bacaan tertentu untuk memohon pertolongan Allah S.W.T di dalam sesuatu perkara ataupun selain daripada itu.

Namun pernahkah kita menyemak semula, adakah solat hajat itu dari amalan Rasulullah S.A.W? Apakah baginda S.A.W dan para sahabat pernah mendirikan solat hajat bagi memohon pertolongan Allah S.W.T? Adakah para sahabat pernah mengamalkannya di kala kesusahan? Jikalau baginda S.A.W tidak pernah mengamalkannya, maka apakah amalan yang baginda S.A.W dirikan bagi memohon pertolongan Allah S.W.T semasa baginda mempunyai hajat ataupun ketika ditimpa kesusahan? Apakah waktu-waktu yang baik untuk kita berdoa, agar amalan kita selari dengan kaedah dan amalan yang telah dilakukan Nabi Muhammad S.A.W? Apakah ada alternatif lain bagi kita untuk berdoa memohon hajat, selain daripada mendirikan solat hajat?

Sesungguhnya amalan solat hajat itu berasal dari hadis yang tidak berapa kuat sanadnya, atau dengan kata lain, hadis yang dhaif. Adapun bagi mereka yang mengatakan amalan solat hajat itu ada dalam amalan sunnah, dalam masa yang sama mereka mengatakan bahawa:

1) Tidak boleh didirikan secara berjemaah kerana bukan itu yang dilakukan di dalam hadis.

2) Tiada bacaan yang khusus di dalam solat hajat, iaitu rakaat pertama sekian bacaannya, rakaat kedua sekian bacaannya.

Berikut amalan, cara-cara dan waktu-waktu yang mana insya-Allah, merupakan jalan yang baik untuk kita memohon pertolongan Allah S.W.T. Segala apa yang ada di sini adalah hasil dari pembacaan dan juga pengajian penulis di dalam bidang hadis, dan diambil dari hadis-hadis yang sahih.



Waktu-waktu mustajabnya doa.

01.Satu pertiga malam

Iaitu di antara jam 3.30 pagi atau jam 4 pagi sehingga ke sebelum Subuh. Ini kerana, di dalam hadis Imam Muslim, Nabi S.A.W bersabda, maksudnya:

Allah S.W.T turun dari Arasy-Nya ke langit yang pertama, (iaitu langit dunia) di sepertiga malam, seraya bersabda kepada para malaikat yang menjaga langit pertama, "Adakah di antara hambaKu yang berdoa? Aku akan perkenankan. Adakah di antara hamba-Ku yang memohon keampunan? Nescaya akan aku ampunkan dosanya". Maka sepertiga malam, atau solat tahajud merupakan waktu yang sangat afdhal untuk kita berdoa kepada Allah S.W.T.

02.Sewaktu hujan turun

Ketika ini, pintu rezeki dari langit sedang terbuka luas.

03.Waktu di antara dua khutbah khatib pada solat Jumaat

Sepertimana yang telah kita sedia amalkan di mana antara dua khutbah, imam akan membacakan doa dan selawat. Namun adalah lebih afdhal andai di sini kita berdoa secara individu, sebagaimana yang penulis lihat telah mula diamalkan di sesetengah masjid di kawasan Selangor. Ini kerana setiap jemaah yang datang mempunyai hajat, keperluan dan doa yang berlainan di antara satu sama lain.

04.Sewaktu membacakan syahadah akhir setiap kali waktu solat

Oleh itu nabi Muhammad S.A.W telah mengajarkan kita doa yang khusus untuk dibacakan di sini, yang akan penulis garapkan di bawah.

05. Tempoh masa dari azan hingga iqamat, dan juga sewaktu bilal telah iqamat untuk solat, dan sewaktu masuk ke dalam saf.

06. Setiap sujud di dalam setiap waktu solat

Nabi Muhammad S.A.W menyuruh kita memanjangkan sujud kita andai kita mempunyai sebarang doa, dan baginda tidak pernah mengkhususkan sujud mana yang perlu dipanjangkan sama ada sujud di rakaat pertama, kedua, ketiga, atau keempat. Maka, kita boleh memanjangkan mana-mana sujud untuk meluangkan masa berdoa kepada Allah S.W.T. Adapun jikalau doa yang ingin dibacakan semasa sujud ini adalah di dalam bahasa selain bahasa Arab, maka hendaklah dibacakan di dalam hati, kerana selain bahasa Arab akan membatalkan solat. Itu merupakan kata-kata para ulama' fekah termasuk As-Syafi'e rahimahullah.

07.Waktu dhuha

Waktu Dhuha ialah waktu setelah berakhirnya masa tahrim (waktu yang diharamkan solat, dari selepas solat subuh sehingga waktu:

1) Menurut Nabi Muhammad S.A.W, bangunnya anak unta dari tidurnya atau

2) kata orang-orang tua kita, tinggi matahari sudah mencapai dua galah iaitu lebih kurang sejam sebelum masuknya solat Zohor.

Malahan di antara fadhilat solat Dhuha ialah memurahkan rezeki. Insya-Allah...



Amalan-amalan yang memustajabkan doa.

01.Memperbanyakkan amalan-amalan yang sunat setelah kita sudah mencukupkan amalan-amalan yang wajib.

Adapun amalan-amalan sunat yang sunnah, sila rujuk kepada artikel penulis "Mengejar Cinta Pemilik 'Arasy".

02.Memanjangkan sujud di dalam solat, dan berdoa di dalamnya sebagaimana yang penulis jelaskan di atas.

03.'Menebus' kembali amal baik yang telah kita lakukan.

Seperti yang kita dapati di dalam surah Ali-Imran, yang merupakan bacaan yang baik untuk solat Tahajjud, iaitu,

"Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam Neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun; Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada Iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti; Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji." [Ali-Imran 3:192-194]

Kita lihat di sini sebagai dalil, bahawa boleh bagi kita setelah beramal baik, untuk kita menebus kembali (claim) daripada Allah S.W.T agar memustajabkan doa kita. Hal ini juga telah penulis bawakan di dalam kisah tiga orang sahabat yang terperangkap di dalam gua.

04.Menghulurkan pertolongan.

Menolong orang lain, terutamanya mereka yang dekat dengan kita seperti kaum keluarga dan sahabat handai. Ini kerana sabda nabi S.A.W, "Andai kamu menolong saudara kamu, Allah akan permudahkan bagi kamu urusan kamu".

05.Sabar.

Sabar dalam menghadapi ujian Allah S.W.T. Doa orang yang bersabar sangat didengari Allah S.W.T.



Doa-doa yang mustajab.

01.Ingin penulis kongsikan di sini beberapa doa yang sangat mustajab untuk dibacakan ketika memohon pertolongan Allah S.W.T. Salah satu daripadanya:

"Allahumma inni as aluka anniy asyhaduka annaka antaAllah, laa ilaa ha illa anta, al-waahidus somadul lazi lam yalid walam yuulad, walam yakun lahu kufuan ahad", yang bererti:

"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, dengan bahawasanya aku menyaksikan bahawa Engkaulah Allah, tiada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan Engkau, Engkau Maha Esa, tempat meminta, Engkau tidak beranak dan Engkau tidak dilahirkan, dan tiada bagi-Mu tandingan dari sesuatu apapun."

Doa ini merupakan doa seorang sahabat yang didengari Rasulullah S.A.W, lalu baginda S.A.W bersabda, "Engkau telah berdoa kepada Allah S.W.T dengan tauhid-Nya, yang mana jika engkau berdoa dengannya nescaya pasti akan Dia kabulkan." Hadis Hasan riwayat Imam Ahmad.

02.Doa Nabi Musa A.S sebagaimana yang direkodkan di dalam al-Quran, "Rabbi syrah li sodri, wa yassirli amri, wahlul 'uq datan min lisaniy, yafqahu qauliy", bermakna:

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, permudahkanlah urusanku, dan bukalah simpulan dari lidahku, agar mereka memahami perkataanku."

03.Membaca nama-nama Allah S.W.T, yang berkaitan dengan doa kita.

Sebagai contoh, ar-Raazik (Maha Pemberi Rezeki) jika memohon rezeki, al-Ghafuur (Maha Pengampun) jika memohon taubat, ar-Rahiim (Yang Maha Pengasih) jika memohon belas kasihan, al-Jabbar (Yang Maha Kuat) jika memohon pembelaan dan juga lain-lain.

Bahkan afdhal juga jika dibacakan kesemua 99 nama Allah, dan berdoa setelah membacanya. Ini kerana sabda nabi S.A.W, "Nama-nama Allah seratus kurang satu, sesiapa yang menghitungnya (menghayati dan mengamalkan) akan masuk Syurga". Maka dengan itu nama-nama Allah sangat mustajab jika didahulukan sebelum berdoa.

04.Doa tahiyat akhir, iaitu "Allahumma 'auzubika min 'azaabi jahannam, wa 'auzubika min 'azaabil qabri, wa 'auzubika min fitnatil mahyaa wal mamaat, wa min syarri fitnatil masiihid dajjal", maksudnya:

"Ya Allah ya tuhanku, aku berlindung dengan-Mu dari seksa Jahanam, dan aku berlindung denganMu dari seksa kubur, dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah orang yang hidup atau mati, dan aku berlindung denganMu dari fitnah al-Masih Dajjal"

Sungguh jika kita lihat secara teliti, dan kita pelajari dengan minda dan hati yang terbuka, kita akan dapati terlalu banyak doa dan amalan yang membawa kepada mustajabnya doa kita. Andai kita cuba beramal dengan semuanya, nescaya kita tidak akan mampu untuk beristiqamah dengannya. Kerana itu kita katakan bahawa ibadah baginda S.A.W adalah ibadah yang paling sempurna.

Penulis mengharapkan agar kita semua dapat berbalik kepada keindahan sunnah nabi S.A.W, dan kembali mengikuti cara dan saranan baginda S.A.W di dalam beribadah, agar doa kita tergolong di dalam doa-doa yang mustajab.

Ya Allah... Aku berlindung dengan-Mu dari doa yang tidak mustajab dan dari ilmu yang tidak berguna.

Ya Allah... Aku berlindung dengan-Mu dari najis bid'ah dan syirik.

Ya Allah peliharalah kemurniaan aqidah kami kepada-Mu.

Selawat dan salam ke atas rasul junjungan Muhammad S.A.W, ahli keluarga baginda dan sahabat handai baginda yang beroleh kebaikan di sisi-Mu.

Ya Allah... Bimbinglah kami selama mana kami hidup bernafas, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang mendapat kebaikan di sisi-Mu.

Ya Allah... Sudahkah aku sampaikan pesanan-Mu...?

- Artikel iLuvislam.com