Thursday, February 24, 2011

Mintalah Sentiasa


"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." (Surah Al-Baqarah Ayat 45)



Doa Adalah Intipati Kepada Segala Ibadah

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Tiadalah di atas dunia ini seorang Muslim yang berdoa melainkan akan diperkenankan Tuhan atau dipalingkan daripadanya kejahatan selama dia tidak berdoa perkara-perkara yang berdosa atau membuat perkara yang memutuskan tali persaudaraan. Lantas seorang lelaki berkata: "Kalau begitu kita perbanyakkan doa? Jawab baginda: " Di sisi Allah (penerimaan) lebih banyak."Riwayat at-Tirmizi

i) Setiap umat Islam dituntut supaya berdoa kerana doa adalah inti pati kepada segala ibadah. Orang yang enggan berdoa dianggap sebagai orang yang sombong, takbur dan bongkak.


ii) Ketika berdoa, kita hendaklah peka kepada apa yang didoakan (dipohon), janganlah berdoa dengan mulut sahaja sedangkan hati kita lalai. Sebaliknya hadirkan hati serta hayati apa yang dipohonkan itu serta yakin bahawa Allah akan menerima doa tersebut kerana sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan memperkenankan doa orang yang hatinya lalai dan alpa.


iii) Supaya doa dimakbulkan, hendaklah kita mematuhi adab-adab berdoa serta memilih masa dan tempat yang sesuai kerana Allah dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya selama mana apa yang diminta itu merupakan perkara-perkara yang baik. Begitu juga Allah yang sifat-Nya yang Maha Pengampun tidak akan menolak doa hambanya yang beristighfar dan berdoa memohon keampunan dari segala dosa yang telah dilakukan.

Mintalah Kepada Allah Swt Sentiasa

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah al-Baqarah: 186)

Mintalah kepada Allah Swt dalam apa jua keadaan, dalam hati dan juga dengan adab-adab berdoa serta waktu-waktu berdoa yang terbaik. Setiap manusia tidak lari daripada menghadapi pelbagai masalah. Bila kita merasakan tidak ada tempat mengadu, hilang arah tujuan, ingatlah sesungguhnya tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah.

Kembalilah kepada Allah, berserahlah sepenuhnya kepada Allah. Yakin lah Dia tidak pernah meninggalkan kita sendirian. Suburkanlah iman di hati dan selalu menginsafi diri. Sesungguhnya setiap ujian itu adalah pembuka jalan untuk kembali kepada Allah. Inilah caranya Allah menuntun kita agar tidak jauh daripadaNya.

Mintalah pertolongan daripadaNya dengan menggandakan kuasa sabar dan memperbanyakkan solat. Perteguhkan tawakkal dan redha dengan takdirNya. Kembalilah kepada Allah dengan memilih jalan kehambaan. InsyaAllah di situ akan ada tempat bagi melabuhkan jiwa yang kepenatan.

Wednesday, February 23, 2011

Penuhkan Bekalan Akhirat


"Barangsiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah juga suka bertemu dengannya. Akan tetapi, barangsiapa yang benci bertemu dengan Allah, maka Allah juga benci bertemu dengannya." -Al-Hadits. Dicatatkan oleh Al-Imam Habib Abdullah Haddad

Negeri Akhirat Sebagai Matlamat Hidup Setiap Muslim

Kehidupan kita di dunia adalah hanya sementara, setiap daripada kita akan tetap melalui kematian dan akan berada di Negeri Akhirat tanpa ada lagi kematian selepas itu, selama-lamanya.

Firman Allah Taala: يَا أَيُّهَا الْإِنسَانُ إِنَّكَ كَادِحٌ إِلَى رَبِّكَ كَدْحًا فَمُلَاقِيهِ

Hai Manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan bersungguh-sungguh
menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemuiNya (Surah Al Insyiqaaq : 6)

Sabda Rasulullah s.a.w.

Dari Ibnu Umar r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. memegang bahuku lalu bersabda :
Jadilah engkau didunia ini seolah-olah engkau orang asing atau orang yang lewat (lalu) di jalan (musafir) Ketika engkau berada di waktu petang janganlah menanti waktu pagi,
dan ketika di waktu pagi janganlah engakau menanti waktu petang, dan pergunakanlah kesihatanmu untuk sakitmu dan pergunakanlah hidupmu untuk matimu

Setiap yang hidup pasti mati

Firman Allah: وَاللّهُ خَلَقَكُمْ ثُمَّ يَتَوَفَّاكُمْ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْ لاَ يَعْلَمَ بَعْدَ عِلْمٍ شَيْئًا إِنَّ اللّهَ عَلِيمٌ قَدِيرٌ

Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Dia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya) dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah dia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (Surah An Nahl : 70)

Firman Allah: كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Surah Al Imran : 185)

Persiapkan dan cukupkan bekalan

Firman Allah taala: الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلا

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya (sebagai bekal) itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. (Surah Al kahfi : 46)

Perbandingan kehidupan dunia dan akhirat

Firman Allah Taala: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الأَرْضِ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الآخِرَةِ إِلاَّ قَلِيلٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. (Surah At Taubah : 38)

Revolusi Dunia: Rasulullah Ikon Muslim Profesional


"Untuk melihat nasib sesebuah negara di masa hadapan, lihatlah pada golongan remajanya hari ini."

Ungkapan ini sering didengari. Ia merujuk kepada golongan remaja, yang merupakan 'medium ramalan' satu-satu bangsa atau sesebuah negara pada masa hadapan .Ungkapan ini jika dilihat dengan lebih mendalam ada benarnya.

Lembaran sirah telah membuktikan golongan remaja (pemuda) di zaman Rasulullah SAW merupakan golongan avant-garde*, aset terpenting disaat permulaan wahyu hinggalah ke fasa perkembangannya.

Golongan Avant-garde

Lihatlah peribadi Saidina Ali Karamallahu Wajhah, si pengganti tidur di katil Rasulullah. Atau, Mu'az bin 'Amr yang berani mencari Abu Jahal di medan Badar.

Telusuri jua kisah Zaid bin Harithah, Abdullah bin Umar, Zaid bin Tsabit, Usamah bin Zaid dan ramai lagi ikon remaja yang melalui proses pentarbiahan Rasulullah hingga lahirlah mata-mata rantai penyambung perjuangan yang memiliki jati diri dan momentum Islami yang kekal berterusan.

Maka bertebaranlah golongan ini ke segenap 2/3 dunia, mecetuskan revolusi global. Menyinari semesta dengan Islam dan iman, disaat umat dalam zaman gelap jahiliyyah, hingga sampai kepada kita, umat Islam di Nusantara hari ini.

Inilah yang ingin dikupas dalam Forum 'Revolusi Dunia : Rasulullah Ikon Muslim Professional' yang bertujuan menggali rahsia dan formula diamalkan Rasulullah yang merupakan insan versatile, ikon Muslim professional untuk diterapkan dan difahami para remaja amnya dan para mahasiswa khususnya, demi mengembalikan kegemilangan Islam yang satu masa lalu berjaya merevolusikan dunia dengan tenaga para pemudanya.

Anda – profesional masa hadapan!

Tak kiralah anda bakal doktor, jurutera, pensyarah atau arkitek! Sesungguhnya dunia hari ini telah ramai melahirkan golongan professional. Tetapi kita masih ketandusan professional yang Muslim (dan Mukmin), yang sedar akan peranannya bukan hanya berlegar di gelanggangnya sahaja, tetapi seluas lapangan ummah, sejauh dunia merentang, setinggi langit dan bumi!

Oleh itu, kami menjemput anda, bakal-bakal profesional masa hadapan untuk berevolusi bersama-sama kami!

Nama Program : Revolusi Dunia : Rasulullah Ikon Muslim Professional
Panelis : Prof. Dr. Ismawi Zen (Pensyarah KAED) dan Imran Koyube (Presiden iLuvislam.Com)
Tarikh/Masa : 28 Februari 2011, 8.30-11 malam
Tempat: KAED Galeri,Kuliyyah Architecture & Environmental Design (KAED), IIUM Gombak.

*Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Saudara Aidi (012-2414176 / 013-2001870)

Fokus Kupasan

1. Menjadikan Rasulallah, para sahabat, dan tokoh-tokoh islam sebagai role model bagi menerapkan nilai-nilai profesionalisma dan integriti, melalui kupasan Sirah
2. Mengambil iktibar daripada revolusi di Timur Tengah, di mana silapnya nilai dan etika kepimpinan umat Islam (kupasan isu semasa)
3. Revolusi pemikiran dalam kalangan mahasiswa, bagaimana dan ke mana arah tuju?
4. Resolusi, apa nilai etika yang perlu ada dalam diri mahasiswa dalam mencapai Muslim Profesional. Mengapa perlu jadi Muslim Profesional?

Kamus Istilah

*Avant-garde : Golongan yang aktif dalam inovasi atau aplikasi (atau, konsep) baru dalam sesuatu bidang, biasanya merujuk kepada bidang seni, kebudayaan, dan politik.

Shamsul Qamar - Belia Perlu Berani Rebut Peluang

Berbual bersama anak muda ini seolah-olah kami sudah kenal lama. Walaupun pertemuan baru beberapa minit. Peramah, senang diajak berborak dan mesra antara ciri yang ada pada anak muda ini. Pemilik nama Shamsul Qama A. Rani graduan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, senang diajak berbual apa-apa juga topik.

Politik, isu semasa hinggalah kepada permasalahan belia semuanya boleh. Inilah anak muda dan belia harapan bangsa. Berjiwa besar dan berani mendepani cabaran negara. Mungkin masih ramai belia seusianya mencari ruang dan peluang untuk mengembangkan kerjaya, tetapi bagi jejaka berasal dari Kedah ini pula, berani dan bijak merebut peluang.

"Peluang hanya datang sekali seumur hidup. Kalau kita masih takut-takut untuk mencuba dan masih takut-takut untuk ke depan sampai bila-bila pun kita akan berada di takuk lama. Belia harus berani mencuba. Tetapi harus mencuba dan merebut peluang yang terbaik. Tidak boleh lalai dalam melakukan percaturan untuk masa depan," kata Shamsul Qama.

Katanya lagi, disebabkan itu jugalah dia tidak melengahkan tawaran yang datang kepadanya. Beralih daripada bidang peguam kepada Pegawai Khas Media, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah adalah satu keputusan dan pilihan berani yang dilakukannya. Selain itu juga, Shamsul sendiri mahu buktikan bahawa pemikiran belia ataupun sesiapa juga hari ini tidak boleh terlalu statik. Tidak semestinya belajar dalam bidang undang-undang maka kerjayanya adalah peguam sahaja. Ilmu itu fleksibel. Apa yang penting, bagaimana memanfaatkan ilmu yang ada. Tidak guna ada ilmu tetapi tidak digunakan kepada jalan yang betul.

"Sebelum ke jawatan sekarang, saya adalah seorang peguam dalam bidang perbankan Islam di sebuah firma guaman terbesar di rantau Asia. Itu jugalah cita-cita saya sejak di sekolah menengah lagi dan alhamdulillah saya berjaya mencapainya. Walaupun tidak lama dalam bidang ini, tetapi saya dapat merasai keindahan dan kehebatan bergelar seorang peguam. Jadi apabila tawaran datang kepada saya untuk beralih bidang, saya fikir inilah masanya untuk saya mencuba yang lain daripada bidang kepakaran saya. Saya cuba mencabar diri sendiri melakukan sesuatu yang lain dan berbeza. Alhamdulillah amanah yang diberikan berjaya saya laksanakan. Ini juga antara proses pembelajaran," jelas Shamsul penuh semangat.

Pernah Bergelar Pendebat Universiti

Shamsul Qama antara pendebat yang berjaya di universitinya. Menurutnya, kebolehan dalam bidang ini dikesan ketika dia masih di sekolah menengah lagi. Katanya ketika itu dia belajar di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, Kedah.

"Orang yang bertanggungjawab membawa saya ke dalam bidang ini adalah guru bahasa Melayu saya iaitu Cikgu Abdul Rashid Othman. Dialah yang mengenal pasti bakat saya dan beri peluang kepada saya untuk mewakili sekolah hingga sekolah saya yang tidak pernah terkenal pun dalam debat muncul johan Bahas Piala Perdana Menteri pada tahun 2000. Ketika itu kami berjaya mengalahkan Kolej Melayu Kuala Kangsar," ceritanya mengimbau kenangan. Sejak daripada itulah, dia mula berjinak-jinak dalam bidang ini hinggalah dia menyambung pengajian di UIA.

"UIA mempunyai tradisi alumni yang cukup kuat. Di UIA, saya belajar debat bukan sekadar pertandingan. Ia adalah seni yang sentiasa hidup. Ramai yang bertanggungjawab membentuk karektor saya sebagai pendebat di UIA. Antaranya, Encik Mohd Khair Ngadiron (sekarang Pengarah Urusan ITNM) dan Encik Madzlan Mohammad Hussain (Peguam Senior). Saya harus sebut nama mereka kerana mereka bawa impak besar terhadap cara saya berfikir. Hari ini saya adalah jurulatih debat untuk pasukan UIA. Saya gembira dapat menyumbang balik ilmu yang saya ada pada masyarakat," kata anak muda yang berwawasan ini.

Menurutnya lagi, kemahiran debat bukan sekadar bonus untuk berjaya dalam apa jua kerjaya tetapi sudah menjadi keperluan. Di institut pengajian tinggi (IPT) hari ini pun sudah diperkenalkan kemahiran debat sebagai salah satu daripada lapan teras penting dalam kokurikulum bermodul. Menurutnya lagi dalam apa jua kerjaya, kemahiran debat amat penting. Debat melatih seseorang itu untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Orang yang bejaya hari ini selalunya memiliki kedua-dua kemahiran ini.

Kerjaya 'High Profile'

Ramai orang beranggapan kerjaya ini glamor dan 'high profile' kerana sentiasa berdampingan orang-orang besar (VIP). Mungkin itu bukan motivasi Shamsul untuk berkhidmat dengan seorang ahli politik. Bunyinya seakan klise, tetapi baginya, dia mahu turut menyumbang ke arah menjadikan Malaysia negara yang lebih baik dari pelbagai aspek.

"Saya anggap kerjaya saya sebagai 'national service'. Sebab itu saya mungkin tidak akan berkhidmat dengan sembarangan ahli politik. Saya harus yakin dengan perubahan yang ingin mereka bawa sebagai ahli politik. Saya harus nyatakan di sini Dato Saifuddin Abdullah pada saya adalah seorang bos, sifu, dan kawan." jelasnya bersemangat.

Menurutnya lagi, selain tugas-tugas media, dia juga diberi tangungjawab menjaga hal ehwal generasi muda. Ini tangungjawab cukup besar. Dari segi politik, belia adalah 49.7 peratus yang bakal mengundi pada PRU13. Sebab itu semua parti plitik berlumba-lumba meraih sokongan mereka sekarang. Dari segi sosial, golongan ini mempunyai banyak permintaan yang tidak semuanya difahami dan dipenuhi. "Mereka adalah golongan yang kompleks yang harus didekati. Orang kata kalau sentiasa dengan orang muda, kita pun jadi muda. Jadi saya seronok dengan bidang tugas saya. Ia beri saya cabaran berbeza setiap hari," katanya lagi.

Tambahnya lagi, kerjaya ini juga membuka matanya mengenai perwatakan dan perangai setiap manusia itu adalah berbeza. Ia sekali gus memberi pengalaman dan mematangkan dirinya dalam berhadapan dengan pelbagai ragam manusia setiap hari. Itu kadang kala memberi tekanan dalam soal kerja. Tetapi harus bijak menanggani semua itu.

"Sentiasa percaya setiap orang berbeza, pandangannya, caranya, dan latar belakangnya. Kalau kita gunakan cara yang sama untuk semua orang yang kita jumpa, maka kita akan hadapi masalah. Falsafah "one size fits all" tidak boleh digunakan dalam komunikasi. Kemudian, letakkan diri kita di tempat orang yang kita jumpa. Maka kita akan cepat memahami keadaannya. Misalnya, cara golongan muda berinteraksi tidak sama dengan golongan yang lebih berumur. Pendekatan yang salah akan membawa masalah pada komunikasi. Paling utama, elakkan diri daripada cepat menghukum. Itu cara yang sentiasa saya gunakan untuk mengelakkan tekanan dalam bekerja," katanya lagi.

Berkongsi Isu-isu Belia

Apa-apa juga pekerjaan akan memberi pengalaman yang berbeza-beza. Ada pahit dan manis. Begitu juga dengan kerjayanya. Dan satu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan olehnya ialah apabila terpilih antara delegasi ke Amerika Syarikat.

"Antara yang tidak boleh dilupakan iala sewaktu berpeluang mewakili belia Malaysia baru-baru ini ke Program Pelawat Kepimpinan Antarabangsa (IVLP) di Amerika Syarikat selama tiga minggu membabitkan 20 negara pelbagai benua. Pengalaman itu cukup mahal untuk saya. Ia membuka mata saya mengenai banyak perkara terutamanya kepentingan golongan muda terlibat dalam sistem demokrasi. Saya juga berpeluang berkongsi isu-isu belia di Malaysia dan saya cukup bangga bila masyarakat antarabangsa mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam yang 'moderate'," jelas anak muda ini.

Peluang itu mungkin jarang sekali datang dalam hidup kita. Jadi ia tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Selama hampir sebulan di sana, Shamsul belajar banyak perkara mengenai dunia belia. Dan katanya ada perkara yang Malaysia sudah ke depan dan ada lagi yang perlu dipertingkatkan demi kepentingan belia negara. Dan belia Malaysia masih dikira beruntung dan bernasib baik kerana golongan ini antara golongan yang mendapat perhatian daripada kerajaan.

Dan pastinya itu semua berkaitan dengan kebijaksanaan dalam pengurusan masa. Bercakap mengenai masa, sebagai anak muda, Shamsul tidak pernah mengabaikan waktu-waktu muda belianya hari ini hanya dengan kerjaya. Dia juga tidak meminggirkan hobi seperti anak muda lain.

"Saya tidak memisahkan naluri anak muda dengan kerjaya. Saya percaya pandangan dan cara saya sebagai orang muda adalah keperluan dalam kerjaya saya untuk mendampingi orang muda. Mungkin sebab saya masih muda, saya diperlukan untuk memperkukuh organisasi tempat saya bekerja sekarang. Saya juga bukanlah seorang yang begitu 'adventurous' atau punya minat-minat yang unik seperti kebanyakan orang muda. Jadi pada waktu lapang, saya lebih senang meluangkan masa bersama kawan-kawan, membaca buku atau menonton DVD," akhirinya menutup bicara.

You'll Never Be Alone


Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah al-Baqara: 186)

Hablumminallah

Jika kita merasa kesunyian, berzikirlah atau bersolatlah kerana disitu adalah hubungan utama kita dengan Allah Swt. Hubungan dengan Allah Swt lebih bersifat kerohanian kerana ia adalah berkaitan dengan ruh dan hati.

Tatkala kita merasa sunyi tanpa hubungan dengan manusia, sunyi itu membawa kita lebih mengingati Allah Swt. Barangkali rasa sunyi itu petanda untuk kita lebih tunduk dan khusyuk kepada Allah Swt. Ketika itu, mintalah bantuan Allah Swt, pengampunanNya, RahmatNya, Kasih SayangNya, HidayahNya untuk memenuhi ruang hati kita sehingga kita benar-benar cinta kepada Allah Swt.

"Iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau di dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi lalu berkata: ya Tuhan kami sesungguhnya tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharakanlah kami dari siksa neraka". (Surah Ali-Imran ayat 191)

"Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah sahajalah hati akan menjadi tenteram".(Surah Ar-Ra'd ayat 28)

Hablumminannas

Adakah zaman ini kita masih merasa tidak cukup berhubungan sesama manusia untuk mengajak manusia ke arah kebaikan? Di zaman IT ini tiada alasan untuk mengatakan tiada orang untuk kita dakwahkan atau untuk kita ajak kepada kebaikan. Medium facebook, blog dan emel akan cukup membuatkan kita teramat sibuk dari merasai kesunyian itu.

Islam bukan sekadar iman dalam jiwa, malah hendaklah diamalkan dalam kehidupan keluarga dan masyarakat, bersesuaian dengan maksud Islam sebenar, iaitu selamat, sejahtera, aman, dan damai. Jika dilihat konsepnya dalam Islam, ada satu prinsip yang Allah tetapkan bagaimana sepatutnya umat manusia berhbungan antara satu dengan yang lain.

Allah berfirman yang bermaksud:"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran." (Surah Al-Maaidah Ayat 2)

Ayat tersebut menggesa agar kita tolong-menolong atas kebaikan dan ketakwaan dan Allah s.w.t tegas melarang perkara yang boleh membawa kepada dosa atau permusuhan mahupun dengan ibu bapa, anak-anak, jiran tetangga, masyarakat, majikan dengan pekerja, pemimpin dengan rakyat dan sebagainya.

Hakikatnya kita tak pernah keseorangan

Alone? Lonely? Keseorangan? Jangan biarkan Syaitan dan Iblis merajai hati kita apabila kita terlalu memikirkan keseorangan diri. Ingatlah ada malaikat yang sentiasa bersama kita, sel-sel tubuh badan, dan pelbagai lagi makhluk yang sentiasa ada bersama kita. Dan tentunya Allah Swt sentiasa Maha Mendengar dan Maha Mengetahui tentang kita.

Mencari Sumayyah

0

Kenalkah engkau kepada Sumayyah Srikandi sejati?
Seorang hamba yang sangat berani,
Padang pasir dan fatamorgana menjadi saksi,
Keteguhan iman keluarga ini,
Dijemur di bawah terik mentari.

Turut diseksa anak dan suami,
Oleh musyrikin yang dendam dan benci,
Yakni Al-Mughirah tuannya sendiri,
Abu Jahal yang melopori,
Kerana Sumayyah mengaku Rabbinya Ilahi,
Muhammad sebagai rasul dan nabi.

Rasulullah pemberi motivasi,
Kepada keluarga yang suci ini,
Tidak berganjak iman di hati,
Walau seksaan semakin pedih.

Pabila anak dan suami meninggalkan duniawi,
Akibat siksa yang berat sekali,
Sumayyah diseksa sekali lagi,
Oleh Abu Hudzaifah dan Abu Jahal yang dilaknati.

Tetapi,
Walau dipaksa meninggalkan agama yang murni,
Makin teguh imannya di sanubari,
Penyeksa tidak berbuat apa lagi,
Api kemarahan memenuhi diri,
Sumayyah ditombak tertusuk tepat di ulu hati,
Akhirnya Syahid kerana
keteguhan imannya kepada Ilahi.

Sumayyah,
Walaupun dirimu tiada lagi,
Namun namamu menjadi sebutan di sana sini,
Srikandi dan Syahidah Islam pertama sekali,
Menjadi sejarah Tamadun Islam yang abadi.

Aku mencari dan terus mencari,
Adakah lagi wanita sepertimu ini?
Patah tumbuh, hilang berganti
Tetapi sukarnya dirimu ku cari ganti,
sukarnya dirimu dicontohi,
Oleh wanita Islam di era moden globalisasi.

- Artikel iluvislam.com

Histeria : Antara Gangguan Dan Kecelaruan Minda


Ramai anak gadis ataupun sesiapa sahaja akan berasa gerun apabila mendengar perkataan histeria. Terbayang kejadian-kejadian aneh yang boleh berlaku ke atas sesiapa sahaja yang diserang histeria. Ada beranggapan itu perbuatan ibis, syaitan dan sihir-sihir alam ghaib.

Namun begitu ada juga mengatakan itu semua mainan perasaan dan jiwa yang tidak tenteram. Kedua-duanya ada kebenaran dan hujah tersendiri. Benar, ada yang terjadi disebabkan oleh keadaan jiwa yang tidak tenteram, tetapi ada juga gangguan-gangguan daripada mahkluk halus yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Kedua-dua perkara ini berkait rapat. Apabila jiwa sering dilanda kemurungan, kosong dan mudah lemah maka ada datang pelbagai perkara membawa kepada kuasa untuk melepaskan tekanan. Keadaan ini juga memberi ruang kepada syaitan dan iblis merasuk jiwa yang dalam keadaan yang tidak stabil. Bermula dari sini akan terjadi histeria dan sebagainya.

Histeria ataupun dalam bahasa Melayu ia disebut sebagai kerasukan yang disebabkan oleh jin dan syaitan dan juga boleh disebabkan oleh tekanan. Kerasukan ini memang benar-benar wujud dan sebagai contohnya, Allah SWT pernah berfirman berbunyi : "Orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian disebabkan mereka mengatakan:

"Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama saja seperti riba". Padahal Allah sudah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang sudah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu ia berhenti (daripada mengambil riba), maka apa yang sudah diambilnya dulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkara itu terserah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi (perbuatan mengambil riba), maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya." –surah al-Baqarah, ayat 275-.

Menurut alim ulama, kerasukan ini benar-benar wujud, bahkan pada zaman Nabi SAW dahulu, pernah terjadi, dan diriwayatkan dalam hadis sahih riwayat al-Hakim daripada Kharijah As-Shalt daripada Alaqah Sahar, dia berkata "Pada zaman Nabi SAW dulu, penduduk sebuah kampung pernah datang kepada ku untuk meminta tolong kepada ku mengubtai seorang lelaki yang diserang penyakit gila dan kerasukan. Orang lelaki ini diikat bagi mengelakkan dia menyusahkan orang lain."

Alaqah akhirnya membacakan surah al-Fatihah kepada lelaki itu setiap pagi dan petang sehingga dia sembuh dan dilepaskan daripada gangguan syaitan itu.

Gangguan Makhluk Halus dan Kecelaruan Minda

Histeria atau kerasukan dikatakan sudah berlaku sejak 2000 tahun yang lalu dikatakan ia bersifat misteri tanpa ada satu pun penerangan jitu yang dapat dikaitkan dengan kejadian histeria. Dari sudut perubatan sama ada moden mahupun alternatif sering kali berlaku perdebatan kerana usaha mengenal pasti punca berlakunya kerasukan ini banyak bergantung kepada faktor budaya, nilai dan kepercayaan sesuatu masyarakat.

Ada sesetengah pendapat mengatakan kerasukan ataupun histeria ini berlaku memang ada unsur sihir dan gangguan makhluk halus tetapi ada juga disebabkan oleh kecelaruan minda, tekanan dan unsur-unsur trauma. Unsur-unsur trauma ini dikaitkan dengan pengalaman masa lampau. Selalunya ia berkenaan dengan sesuatu tragedi yang menimpa dan terbawa-bawa sehingga kini. Apabila keadaan diri dan tubuh badan tidak terkawal, ia cepat menyerang dan menyebab senang seseorang itu diserang histeria.

Dari sudut perawatan Islam, penyakit ini mampu diubat dengan baca ayat-ayat suci al-Quran seperti surah al-Fatihah, ayat Kursi dan beberapa doa pilihan. Kebiasaannya diamalkan setiap kali selesai mengerjakan solat dan sentiasa mengamalkan wirid. Cara begini mampu menguatkan hati dan iman.

Dan mengapa kini ramainya pelajar sekolah diserang histeria. Ia boleh dikaitkan dengan tekanan yang tidak mampu dikawal oleh para pelajar. Jika dilihat ia seolah-olah bermusim iaitu apabila tibanya waktu-waktu getir seperti musim peperiksaan. Saat ini pelajar yang agak ketinggalan dalam pelajaran akan mudah mendapat tekanan akibat takut tidak mampu menghadapi peperiksaan ataupun terlalu meletak harapan yang tinggi untuk berjaya. Justeru, keadaan ini membawa kepada kejadian histeria akibat kecelaruan minda.

Kebiasaannya golongan wanita yang sering diserang histeria. Ini mungkin juga mempunyai kaitan dengan perkataan histeria itu sendiri, iaitu perkataan hystron yang bermakna rahim wanita. Mungkin disebabkan ini, kebanyakkan diserang histeria adalah wanita. Selain itu kelemahan diri mengawal emosi dan tingkah laku juga pendorong kepada terjadinya penyakit ini. Untuk itu, pemikiran yang cerdas dan elakkan diri berada dalam tekanan dan kemurungan dilihat mampu megelakkan diri daripada terkena histeria ataupun kerasukan. Sentiasa penuhi hati dan rohani dengan iman pendinding paling mujarab.