Wednesday, June 1, 2011

Untukku Dan Mereka Yang Bergelar Pemuda








Aku, engkau dan kami adalah aset yang berguna untuk masyarakat, kitalah pemimpin di masa hadapan. Kitalah generasi pengubah dan pendidik masyarakat.

Penuhilah diri kamu dengan ilmu dan akhlak, untuk bekalanmu dalam memimpin generasi masa depan. Maka aku ingin menasihati diriku dan mereka yang sewaktu denganku.



1. Taatilah Allah dan RasulNya dan jauhilah apa yang dilarangnya.

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : " سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله ، إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله ، ورجل قلبه معلق بالمساجد ، ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه ، ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إني أخاف الله . ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه ، ورجل ذكر الله خالياً ففاضت عيناه " متفق عليه

Dari Abu Hurairah r.a. , Nabi SAW bersabda "Ada tujuh golongan manusia yang akan dilindungi Allah dengan lindungannya pada hari tiada lindungan lain kecuali lindungannya sahaja iaitu :- Pemimpin yang adil, pemuda yang membesar dalam keadaan mengabdikan diri kepada Allah, lelaki yang hatinya terpaut kepada masjid, dua lelaki yang berkasih sayang hanya kerana Allah bertemu dan berpisah hanya keranaNya, seorang lelaki yang digoda oleh seorang perempuan yang mempunyai kedudukan dan kecantikan tetapi lelaki iti menolak dengan berkata sesungguhnya aku takutkan Allah, seorang lelaki yang merahsiakan sedekahnya sehingga tidak diketahui oleh orang lain dan seorang lelaki yang duduk menyendiri munajat kepada Allah lalu mengalirkan air matanya. [Muttafaqun Alaih]

Sabda Rasul Allah SAW yang bermaksud "Sesungguhnya Allah sangat-sangat kagum kepada pemuda/remaja (termasuk pemudi) yang tidak ada (mengalami) keruntuhan akhlak/moral pada dirinya".(HR. Ahmad & Abu Ya'la).

2. Ambillah segala kesempatan di zaman mudamu ini dengan memenuhi setiap masa lapangmu dengan ilmu.

قال النبي صلى الله عليه وسلم . : إغتنم خمسا قبل خمس : (1) شبابك قبل هرمك . (2) وصحتك قبل سقمك . (3) وغناك قبل فقرك . (4) وفراغك قبل شغلك . (5) وحياتك قبل موتك رواه الحاكم في المستدرك،341،4، من حديث إبن عباس رضي الله عنهما

Sabda Rasulullah yang bermaksud : "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa mudamu sebelum datang masa tuamu. Kedua : masa sihatmu sebelum sakitmu. Ketiga : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin)mu. Keempat : masa lapang sebelum tiba masa sibukmu. dan kelima masa hidupmu sebelum tiba masa matimu." (riwayat al-Hakim dalam Mustadraknya). Hadis Ibnu Abbas r.anh.

3. Jagalah kehormatan dirimu dan jauhilah zina.

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِيعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ، فَإِنَّهُ لَهُ وَجَاءٌ». رواه البخاري ومسلم

"Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin,sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan.maka sesiapa yang tidak berkemampuan,hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu baginyabenteng nafsu" .(Hadith riwayat Muslim).

Pemuda dan Dakwah Islam.

قال صلى الله عليه وسلم " أوصيكم بالشباب خيراً. فإنهم أرق أفئدة.. لقد بعثني الله بالحنيفية السمحة.. فحالفني الشباب وخالفني الشيوخ ". رواه البخاري

Rasul Allah s.a.w. bersabda : "Aku berpesan kepadamu supaya berbuat baik kepada golongan pemuda, sesungguhnya hati mereka paling lembut. Sesungguhnya Allah telah mengutusku membawa agama Hanif ini, lalu para pemuda bergabung denganku dan orang-orang tua menentangku" [Riwayat Bukhari].

Rasul Allah SAW berumur 40 tahun ketika wahyu diturunkan, dan ketika itu umurnya mencapai kesempurnaan pemuda. Begitu juga khulafa yang empat, dan Ali merupakan pemuda yang paling muda antara mereka. Dan disusuli oleh baki 6 pemuda lain yang dijanjikan syurga. Dan baki sahabat-sahabat baginda yang lain.

Duhai pemudaku, mereka ini ialah generasi pertama dalam penyebaran dakwah Islam. Kalian semua mengetahui dari buku-buku sejarah, bahawa dua empayar besar, Rom dan Parsi jatuh menyembah bumi, tunduk pada keadilan Islam di tangan mereka.

Begitu juga dengan Syam, Mesir, Tripoli, Damsyik dan Maghribi, semuanya tunduk di bawah tangan pemuda Islam. Dan dakwah ini tersebar hampir 2/3 dunia meliputi Sepanyol yang terletak di Barat Eropah, sebahagian besar India, Turkistan dan sempadan China di Timur sehingga seorang Khalifah Abbasiyah, Harun Al-Rasyid berkata kepada awan "Turunlah di mana sahaja kamu mahu, sesungguhnya hasil keluaranmu akan kembali kepada kami".

Semua ini tidak akan tercapai kecuali dengan keazaman, pengorbanan, jihad dan keinginan untuk syahid para pemuda hasil didikan Rasul SAW.

Ya Allah, sediakan bagi umat ini, para pemuda yang mempunyai keazaman, pengorbanan dan jihad seperti orang-orang yang terdahulu dari kami. Orang-orang yang menjaga ilmu-ilmu warisan Nabi kami, mengembalikan daulah Kami, kemuliaan dan keagungan ummat Kami.

Kita dan pemuda.

Hari ini masjid kita tidak mesra pemuda. Masjid kita meminggirkan orang muda, bahkan kanak-kanak. Masjid kita barangkali hanya untuk orang-orang tua atau dalam ertikata lain "daun yang bakal layu esok hari".

Kita tinggalkan anak-anak kita di belakang saf dengan dunia mereka sewaktu kita berjumpa Allah. Malah yang lebih teruk, ada "lebai" yang tinggalkan anaknya di rumah. Si ayah alim dan hebat di masjid, tetapi dalam waktu yang sama lupa pada anaknya di rumah.

Kita sering bicara hal-hal lain, tetapi jarang sekali kita bicara tentang masalah pemuda, tentang keruntuhan akhlak di kalangan pemuda kita. Usahkan berdiskusi tentang masalah pemuda, kita biarkan mereka hanyut dengan dunia mereka dan kita dengan dunia kita sehingga wujud perbezaan ketara antara golongan tua dan muda.

Ada ayah yang menegur anak-anak mereka, tapi mereka ego dengan umur dan pengalaman mereka. Remaja yang menegur golongan tua dikatakan kurang ajar. Golongan muda dan tua tiada bezanya, kecuali umur mereka sahaja.

Remaja berbuat maksiat dapat dosa, dan golongan tua berbuat maksiat juga dapat dosa. Tapi benarkah kita, golongan tua mampu ditegur oleh golongan muda, dan mampu menerima saranan dan cadangan dari orang muda?.

Anda boleh lihat sendiri kehadiran pemuda kita di masjid, di kuliah-kuliah ilmu dan sebagainya. Mari berkawan dengan pemuda kalian. Mari kita bina generasi pewaris dari pemuda kita.

Akhir kata, aku ingin tanya "ayah-ayah" dan "golongan tua" yang membaca postku ini.

-Sejauh mana penglibatan anak-anak kalian dalam hidup kalian?

-Berapa kerapkah kalian membincangkan tentang masalah pemuda, berkongsi masalah dan pandangan dengan anak-anak remaja kalian?

Untuk pemuda, mari kita jadi pemuda tua yang tua dari segi ilmu dan pengalamannya menandingi manusia seusia dengannya. Rajin-rajinkan bersama dengan orang-orang tua yang berilmu, untuk kita dapatkan pengalaman mereka dan ilmu mereka.

~Bersama kita bina generasi pewaris~

- Artikel iluvislam.com

Kesihatan Menurut Islam





Islam satu agama yg merangkumi semua aspek kehidupan. Ini termasuk penjagaan dari sudut kesihatan yang mana Islam amat menitikberatkan kesejahteraan tubuh badan sebagaimana Islam menjaga jiwa dan akal.

Justeru itu kita amat dituntut supaya menjaga kesihatan kerana "sihat" merupakan anugerah berharga dari Allah. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab utk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu."
(Hadis Riwayat Bukhari)



Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud:

"Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah." (Hadis Riwayat Muslim)

Agama Islam juga meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat yang pertama selepas keyakinan (keimanan). Ini berdasarkan Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan(iman). (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Kongsikan kepada kami produk anda, lokasi perniagaan, dan kehebatan tentang produk anda! Mari daftar di http://direktori.iluvislam.com sekarang! Promosi RM5 selama sebulan!

Perlu juga diingatkan di samping kita menjaga anugerah kesihatan yang diberikanNya kadangkala kita diuji dengan sedikit kesakitan. Rasulullah s.a.w. telah mewasiatkan kepada pesakit-pesakit supaya mereka berubat.

Sabda Nabi s.a.w. :

"Allah tidak menurunkan suatu penyakit itu kecuali diturunkan bersamanya ubat."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam satu peristiwa, orang Arab Badwi telah datang kepada baginda Nabi dan mereka bertanya: "Ya Rasulullah adakah kami perlu berubat?" Maka sabda Nabi : "Ya, wahai hamba Allah hendaklah kamu berubat sesungguhnya Allah tidak meletakkan suatu penyakit itu kecuali diletakkan bersamanya ubat kecuali satu penyakit sahaja." Maka mereka bertanya, "apakah penyakit itu?" Sabda Nabi : "Penyakit itu ialah 'tua'."

(Hadis Riwayat Ahmad)

Dua hadis diatas menggesa supaya ahli perubatan mengkaji tentang penawar dan ubat bg penyakit yang belum ditemui lagi.

Di antara perkara yg menunjukkan Islam menggalakkan penganutnya menjaga kesihatan adalah Nabi s.a.w. telah menyenaraikan beberapa jenis ubat yang boleh digunakan seperti madu, berbekam dan tumbuhan herba.

Perubatan perlu dirujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang ini (perubatan) berdasarkan sabda Nabi s.a.w. :

"Jika sesuatu urusan itu berkait dengan hal-hal keduniaan maka kamulah yang mengaturnya dan jika ianya berkait dengan hal-hal keagamaan maka rujuklah kepadaku."
(Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)

- Artikel iluvislam.com

Sunnah Bersiwak






Islam memberikan sanjungan tinggi terhadap kebersihan, malah diangkat di kedudukan istimewa sehingga Nabi Muhammad s.a.w pernah menegaskan sebagai sebahagian daripada iman. Kebersihan dilihat melalui ibadat rutin harian seorang muslim yang bertitik tolak daripada amalan menyucikan diri melalui wuduk, kebersihan pakaian dan tempat ibadat. Nabi s.a.w menunjukkan isyarat penjagaan kebersihan merangkumi semua bidang, bermula dari tubuh badan baik rohani atau jasmani, sehingga pakaian, kediaman dan persekitaran, harus dipastikan bersih. Anggota luaran lebih-lebih lagi perlu diberikan perhatian dan dandanan kerana ia membentuk personaliti diri seseorang selain mengelak penyakit.



Saidatina Aishah r.a berkata yang bermaksud:

"Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah); memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja)."

(Hadis riwayat Muslim)

Antara yang diberikan penekanan ialah kebersihan mulut dan gigi, kerana Rasulullah s.a.w ada menyatakan dalam sabda bermaksud:

"Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka melambatkan solat Isyak dan bersugi (menggosok) gigi setiap kali mereka hendak melakukan solat."

(Hadis riwayat Muslim)

Membersihkan mulut dan gigi atau bersugi, dalam bahasa Arabnya disebut siwak, sangatlah dianjurkan Islam, bahkan baginda menyatakan:

"Bersiwak itu menyucikan mulut, diredai Tuhan dan dibenci syaitan."

Siwak merujuk kepada dua pengertian iaitu perbuatan menggosok gigi dan membersihkan mulut serta alat atau kayu yang digunakan untuk menggosok gigi, dipanggil kayu siwak. Nabi s.a.w sendiri dilaporkan membersihkan gigi, paling kurang dua kali sehari. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Omar:

"Nabi bersiwak (menggosok gigi) pada permulaan siang dan akhirnya."

Namun, kebiasaannya Nabi s.a.w menggosok gigi berulang kali setiap hari. Sehubungan dengan ini, Amir bin Rabiah melaporkan:

"Aku melihat nabi menggosok gigi (berulang-ulang kali) sehingga aku tidak mampu menghitung jumlahnya ketika baginda berpuasa."
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi)

Ulama terkenal Arab Saudi, Syeikh M S Al-Munajjid, berkata Imam Nawawi dilaporkan ada menyatakan ulama bersependapat penggunaan siwak adalah satu sunnah. Menurutnya, satu lagi daripada bukti yang menunjukkan pentingnya amalan itu apabila sesetengah ulama salaf (silam) seperti Ishaq ibn Rahawayh, berpendapat ia kewajipan.

Siwak menurut kesepakatan ulama yang paling baik dengan ranting pokok arak, kerana baunya harum, malah seratnya sangat berkesan membersihkan sisa makanan di celah gigi. Jika ranting pokok arak tidak diperoleh, tangkai daun pokok palma atau ranting pokok zaitun boleh digunakan. Jika bahan itu tidak diperoleh, mana-mana bentuk kayu yang baik untuk membersihkan dan tidak mencederakan gigi boleh digunakan untuk membersihkan mulut. Ini termasuklah penggunaan berus gigi moden.

Pembersihan gigi dan mulut menggunakan kayu atau ranting dari pohon arak (salvadora persica) berlaku sejak berkurun yang lalu, kerana ia kaya dengan serat dan khasiat bagi kesihatan mulut dan gigi. Justeru itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dilaporkan mempromosikannya bagi kegunaan pembersihan mulut. Kajian mendapati kayu sugi daripada pohon arak mempunyai kelebihan secara semula jadi. Penyelidikan Dr Otaybi dari Arab Saudi membuka era baru terhadap kajian kayu terbabit, apabila menemui kesan sangat positif terhadap sistem kekebalan badan. Malah, penyelidik lain mendapati ia mempunyai kesan baik bagi kesihatan terutama dalam proses antiketagihan perokok, sama ada untuk tujuan penyembuhan atau pencegahan, selain bahan antiseptik, astringen, pencuci dan dan fluorida (bahan penghalang kerosakan dan kereputan gigi).

Amalan membersihkan mulut dan gigi menurut ulama sangat dituntut. Waktu melakukan siwak, iaitu:

1. Ketika mahu berwuduk dan mengerjakan solat.

2. Apabila memasuki rumah dan bersama keluarga. Aishah ketika ditanya tindakan pertama dilakukan Nabi s.a.w apabila tiba di rumah, beliau berkata:

"Apabila baginda memasuki rumah, perkara pertama yang baginda lakukan ialah siwak."
(Hadis riwayat Muslim)

3. Apabila bangun dari tidur.

Huzaifah ibn Al-Yaman r.a menyatakan apabila Nabi s.a.w bangun pada waktu malam, baginda membersihkan mulut dengan siwak secara sempurna.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

4. Apabila bau mulut seseorang berubah, sama ada disebabkan makan makanan yang berbau atau tidak makan dan minum dalam tempoh yang lama.

5. Ketika ke masjid. Penggunaan siwak sebahagian daripada dandanan yang sangat digalakkan bagi muslim pada setiap kali mendirikan solat. Ini sesuai dengan firman Allah dalam ayat 31, dari surah Al-A'raf, maksudnya:

"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (sembahyang)."

6. Apabila membaca al-Quran dan mengikuti majlis tertentu khususnya majlis mengingati Allah.

Ulama bersependapat tiada salahnya menggunakan siwak pada siang hari apabila seseorang itu berpuasa, cuma mereka berbeza pada waktu tengah hari, dengan sesetengahnya mengatakan makruh. Di kalangan ulama juga ada perbezaan pendapat mengenai penggunaan tangan untuk bersiwak. Satu pendapat, iaitu majoriti ulama berpendapat lebih baik melakukannya dengan tangan kanan. Ini sesuai dengan hadis Aisyah r.a yang menyatakan:

"Nabi s.a.w gemar memulakan dengan yang kanan apabila memakai kasut, turun (dari untanya), apabila membersihkan diri dan dalam semua perkara."

Mereka juga menyatakan siwak adalah satu perkara daripada ibadat yang mendekatkan seseorang terhadap Allah, jadi tidak sepatutnya dilakukan dengan tangan kiri. Ulama lain berpendapat ia baik dilakukan dengan tangan kiri. Pendapat ini dikatakan daripada mazhab Imam Ahmad dan pandangan ini disokong Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah. Sesetengah ulama berpendapat, apabila seseorang menggunakan siwak dengan niat mengikuti sunnah, dia sepatutnya melakukan dengan tangan kanan dan jika untuk menghilangkan kekotoran, sepatutnya dengan tangan kiri.

Berdasarkan isyarat daripada al-Quran dan penegasan Nabi s.a.w, ditambah dengan perbincangan ulama dan kajian pakar perubatan jelas menunjukkan persoalan ini bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.

- Artikel iluvislam.com

Malaysia Akan Tubuhkan Fakulti Khas Kewangan Islam






Dalam usaha melahirkan lebih ramai ilmuan dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam, Malaysia bercadang mewujudkan fakulti khas berkaitan bidang tersebut di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Beliau berkata Malaysia bercadang menjalin kerjasama dengan Mesir dan Arab Saudi bagi tujuan itu dan akan mengadakan perbincangan dengan pihak kedua-dua negara.

Beliau telah meminta Pengerusi Institut Profesional Baitulmal (IPB) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz untuk melaksanakan perkara tersebut, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Ahli-Ahli Penasihat Syariah bagi Institusi-Institusi Kewangan Islam Malaysia Kali Ke-7 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Dengan kewujudan fakulti itu kelak, beliau berkata pelajar di negara ini tidak perlu lagi dihantar ke negara-negara tersebut untuk mendalami ilmu berkenaan.

"Kita nak supaya negara kita jangan ketandusan pemimpin atau ilmuan, atau orang yang boleh menjawab persoalan sekaligus tentang syariah, muamalat dan tentang ekonomi dan kewangan Islam, sebab itu kita merangka program ini secara serius," katanya.

Jamil Khir berkata sehingga kini pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi tujuan sama, termasuk penajaan 63 pelajar dari negara ini ke Mesir bagi mendalami ilmu berkaitan kewangan Islam oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Amanah Raya Berhad.

Beliau berkata selain itu Fakulti Tahfiz Wal Muamalat juga ditubuhkan di Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bukan sekadar menekankan soal penghafalan tetapi juga berkaitan soal muamalat.

"Saya harap usaha ini dapat berjalan dengan baik supaya kita bukan hanya dilihat sebagai pemain tempelan tetapi benar-benar serius untuk membangunkan ekonomi Islam di negara ini," katanya.

Mengenai muzakarah yang menumpukan mengenai soal perdagangan mata wang asing itu, Jamil Khir berkata isu tersebut perlu diberi perhatian memandangkan perdagangan jenis itu terus meningkat dari semasa ke semasa dan turut melibatkan umat Islam.

Beliau berkata menurut Bank for International Settlements, sehingga April tahun lalu, jumlah dagangan harian di pasaran mata wang asing antarabangsa dianggarkan sebanyak US$3.98 trilion dengan pertumbuhan sekitar 20 peratus berbanding US$3.21 trilion setiap hari pada April 2007.

"Sebab itu kita ingin melihat hal ini dari konteks syariah yang memerlukan pandangan dari pakar-pakar dan pembentang kertas kerja dan akhirnya kita ingin merumus pandangan tentang isu-isu berkaitan supaya ia dapat menjawab persoalan awam berkaitan perdagangan mata wang asing," katanya.

Seramai 200 peserta yang terdiri daripada alim ulama, penasihat syariah, wakil industri, ahli akademik, pakar perundangan dan para penyelidik menyertai muzakarah sehari itu dengan resolusinya nanti akan dihebahkan kepada industri dan orang ramai, katanya.

PUTRAJAYA, 31 Mei

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

Tips Elak Mengumpat







Dalam hidup seharian, kita takkan lari dari terlibat dari aktiviti mulut ini..

Mengumpat bukan sahaja sinonim dikalangan perempuan.. dikalangan lelaki pun apa kurangnya?

Maaf kaum lelaki, inilah kebenaran.

Tapi cuba kita renungkan bersama.. Kalau kita mampu elakkan diri dari mengumpat, tapi mendengar umpatan orang pula lebih kurang sama dosa dengan mengumpat...

Makna mengumpat tu seperti umumnya yang kita tahu.. bila kita mengata tentang sesuatu yang buruk .. dibelakang hamba Allah tu.

Dan bila dia tahu dia tentu marah atau kecil hati.. Dah nama pun mengumpat,tentu la berkongsi sesuatu yang tak baik kan?

Kadang-kadang kita tak nak terlibat dalam aktiviti senaman mulut kurang sihat ni, tapi cerita.. orang kata kalau tak mengumpat ni macam masakan tiada rasa..macam garam dan gula pula.. tapi kita sedar tak, perencah ni memang mahal dan terlaris sebab nak mengumpat ni dosa besar.


Dalam Islam,mengumpat ni seperti makan daging saudara seislam sendiri. MasyaAllah, sampai begitu sekali perumpamaan aktiviti senaman mulut ni!

Walaubagaimanapun pun, kita adalah hambaNya yang lemah. Itulah pentingnya kita saling ingat mengingatkan, bukan nak buruk-memburukkan.

Kalau keburukan diri dapat diterima dan cuba dikikis sebaiknya, siapakah kita untuk menilai keburukan orang lain?

Fokus kembali pada tips-tips nak elakkan mengumpat/sesi mengata ni..

01.Bila berkumpul dengan kawan-kawan.. dan bila rakan dah mula filem umpat dengan watak yang bertambah-tambah dan siap letakkan jiwa dan emosi lagi.

Masa tu, kalau dah bersama, mesti susah nak elak dari bubuh skrip tambahan.

Dinasihatkan masa ni la kita banyak-banyak Ingat Allah.

Sedar yang kita ni pun sama taraf dengan orang yang diumpat tu iaitu Hamba Allah.

Masing-masing ada kekurangan. Cepat-cepat istighfar, sambil tu tegurlah kawan sama.. Kalau tak dapat juga, sebaiknya kita pergi dari situasi ni.

02.Bila yang nak jadi moderator 'umpat-umpat' tu kawan baik kita sendiri..

Apa kata kita ajak dia berbual tentang keburukan diri masing-masing?

Bila kita bercerita tentang baik buruk diri kita ni.. sekurang-kurangnya kita pun sedar banyak juga kekurangan kita.

Tak payah lah cerita semuanya, tapi cuba fikir.. rasanya kalau nak senaraikan pun mesti lebih tiga, lebih dari sepuluh? dua puluh?.. jadi layakkah kita nak bagi senarai keburukan orang, sedangkan senarai keburukan kita sendiri pun dah lebih dari sebakul.

03.Bila yang nak ajak mengumpat tu orang senior dari kita.. tentu payah benar nak buat sesi teguran kan?

Apa kata kalau tak dapat nak elak pun.

Sambil dia lafaz bait-bait mengata tu, kita pula sambung setiap ayat umpatan tu dengan doa.

Doakan sesiapa yang diumpat dengan ikhlas, supaya Seni0r kita tu pun sedar dengan sendirinya. InsyaAllah!

04.Bila terasa sakit hati dengan seseorang hamba Allah tu..

dan terasa nak cari kawan nak buka forum mengumpat, jom ambil wudhu secara tertib.

Masa nak kumur-kumur tu, bacalah doa. Minta dipelihara lidah ni dari perbuatan yang memberi dosa.. InsyaAllah.

Semoga dengan itu, segala niat buruk tu terbatal sendiri.

05.Kalau kita selalu terlupa tentangNya, apa lagi bila tengah cerita panas atau gosip liar.

Masa ni nak istighfar pun berat sekali nak buat. Apa lagi nak muhasabah diri yang dah rebah kan?

Jadi.. sumbatkan lah telinga anda dengan lagu-lagu atau sebaiknya.. dengar bacaan alQuran ke.. nasyid ke.

Ini lebih baik dari bibir tu mengata hal-hal tepi kain orang.

Sedangkan tepi kain sendiri entah masih elok atau tak.. dah koyak ke.. atau tersangkut kat mana-mana..

Sebab tu kita ada dua telinga.. sebagai perumpamaan kita kena mendengar dua kali dulu sebelum bercakap sesuatu..

06.Bila nak mengata orang tu.. cuba bayangkan kita berada di tempat orang yang dikutuk tu.. agak-agaknya boleh tak jadi seperti Khalifah atau nabi terdahulu..

Bila diumpat, boleh pula beri hadiah.. siap doakan orang tu dirahmati Allah SWT.

Agaknya kita antara golongan yang bila tahu ada orang cakap belakang tentu rasa nak bagi penumbuk sulung pada orang berkenaan, paling tidak pun.. mengutuk dan buat la ayat makian paling pedas untuk dia.

Cuba kita ubah sedikit perspektif pemikiran kita.. bila kita diumpat, tu bermakna ada orang ambil berat,ada orang cuba nak beri ingat.. ada yang nak bagi pendapat.

Supaya dengan Tuhan kita terasa dekat.

Ujian tu taklah seberat kutukan yang nabi pernah terima dahulu kan...

07.Terakhir, minum air banyak-banyak..dimulakan dengan selawat dan bacaan basmallah.

Semoga dengan nikmat air tu, kita akan ringan untuk memujinya.

Banyak lagi tips yang ada.. tapi semuanya bergantung pada niat.

Niat untuk pelihara diri dan jaga ukhwah sesama saudara.

Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang bersyukur.. setiap yang bersyukur akan sentiasa ingat yang memberi.

Tiada unsur nak sindir sesiapa cuma sekadar memberi peringatan buat diri sendiri dan pembaca yang sudi baca..

- Artikel iluvislam.com

Tambah Rezeki Dengan Berkahwin


Islam sebagai satu jalan dan cara hidup komprehensif memberi penekanan penting meletakkan garis panduan serta piawaian tinggi yang terperinci bagi membimbing manusia ke arah keredaanNya.

Dalam Islam, perkahwinan dan hubungan suami isteri serta seisi keluarga adalah perkara mulia dipandang penting.

Allah SWT yang mencipta manusia dengan sebaik kejadian, meletakkan unsur syahwat dan menanam perasaan kasih sayang yang bergerak selari dengan perkembangan kemanusiaan itu sendiri.

Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia, contohnya keperluan ingin dikasihi, mempunyai pasangan hidup serta keluarga sebagai tempat menerima serta mencurahkan kasih sayang.

Oleh itu, semua orang yang berkemampuan dan cukup syarat dianjurkan berkahwin dan membina keluarga.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan." (Surah al-Rum, ayat 21)

Islam turut memberi panduan bagi golongan muda yang ingin berkahwin dengan niat menjaga diri daripada dosa dan maksiat, tetapi khuatir rezekinya sama ada mencukupi atau tidak untuk menanggung keluarga.

Dalam hal ini, sekiranya usaha mencari rezeki dijalankan dengan tersusun selepasnya, yakinlah bahawa rezeki akan dimudahkan melalui perkahwinan itu.

Ia dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan kahwinilah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mengkayakan mereka daripada rezeki-Nya. Dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya dan Maha Mengetahui." (Surah al-Nur, ayat 32)

Namun begitu, sekiranya seseorang belum mempunyai kemampuan dan persediaan menempuh kehidupan berkeluarga, maka hendaklah berusaha menahan hawa nafsu dengan sebaiknya.

Panduan itu diberikan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Wahai orang muda, sesiapa di antara kamu yang mampu berkahwin maka hendaklah dia berkahwin kerana ia (iaitu perkahwinan) dapat mengawal mata dan kemaluan. Barang siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia (iaitu puasa) akan menjadi penjaga baginya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam sebenarnya tidak menggalakkan umatnya mengambil sikap berkecuali dengan tidak mementingkan urusan perkahwinan. Rasulullah SAW pernah menggambarkan kegembiraan Baginda di akhirat dengan bilangan umatnya yang ramai hasil daripada perkahwinan berlangsung di kalangan umatnya.

Sabda Baginda SAW bermaksud: "Nabi SAW menyuruh kami supaya berkahwin dan melarang kami membujang. Larangan itu beliau tekankan dengan cukup keras dengan bersabda: "Nikahilah wanita yang subur dan penyayang, kerana aku berasa bangga melihat umatku yang ramai pada hari kiamat kelak." (Riwayat Ahmad)

Namun begitu, kita perlu melihat dengan lebih terperinci bahawa apa yang menjadi impian Rasulullah SAW adalah umatnya ramai, berkualiti, mempunyai jati diri Muslim sebenar.

Apakah yang dikatakan perkahwinan itu? Dr Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya al-Fiqh al-Islamiy meletakkan definisi perkahwinan atau al-nikah sebagai 'satu akad yang menghalalkan pergaulan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan bukan muhrim, menimbulkan hak dan kewajipan antara kedua-dua mereka.'

Menerusi definisi ini, beberapa perkara penting dapat dikeluarkan:

# Pertama, perkahwinan menyatukan antara dua insan yang saling menyintai dengan menggunakan akad ijab kabul yang sah dalam Islam. Ia berkait perjanjian dengan Allah untuk menjaga perkara yang digariskan antara mereka selepas akad dilaksankan. Justeru, perkahwinan mempunyai nilai keagamaan, ketundukan kepada Allah dan mematuhi peraturan yang Allah tetapkan untuk dijaga di sepanjang prkahwinan berlangsung.

# Kedua, adalah jelas bahawa perkahwinan hanya boleh berlaku di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Dengan itu, Islam tidak membenarkan hubungan sesama muhrim walaupun mereka saling mencintai seperti anak dan bapa, adik beradik, anak saudara dengan bapa saudara dan sebagainya. Termasuklah hubungan muhrim yang terbina dari pertalian darah, susuan dan persemendaan.

# Ketiga, hanya selepas wujudnya akad perkahwinan, barulah wujud hak dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi dan ditunaikan pasangan terbabit. Hak isteri adalah tanggungjawab suami untuk tunaikan dan hak suami menjadi tanggungjawab isteri untuk tunaikan. Hak anak yang lahir selepas ikatan itu menjadi tanggungjawab ayah dan ibu untuk tunaikan. Istilah tanggungjawab pula memberi konotasi yang besar, perkara yang ditanggung dan perlu ditunaikan dengan ikhlas, jika gagal maka ada pertanggungjawaban di hadapan Allah di akhirat kelak terhadap pengabaian dan kegagalan itu. Itulah elemen keagamaan dan ketundukan kepada Allah di dalam perkahwinan.

# Keempat, definisi itu juga menjelaskan bahawa pasangan yang belum berkahwin, sama ada yang sedang bercinta atau bertunang, belum wujud sebarang hak dan tanggungjawab antara mereka. Hubungan mereka belum dihalalkan agama dan mereka tidak boleh bebas bergaul, berpegangan tangan, berpelukan apatah lagi melakukan hubungan kelamin kerana Islam tidak mengiktiraf mereka sebagai pasangan yang sah. Inilah yang paling ketara antara perkahwinan di sisi pandangan barat dan Islam. Bagi golongan barat, apabila pasangan saling cinta mencintai, maka hubungan kelamin adalah suatu yang lumrah. Agama tidak mempunyai peranan dalam pembawaan dan keputusan dibuat. Kerana itu, melakukan hubungan kelamin, mempunyai anak sebelum berkahwin adalah perkara bukan mengaibkan atau pelik dalam masyarakat mereka. Islam tidak membenarkan kita menyerupai dan mengambil langkah seperti mereka.

# Kelima, akad perkahwinan adalah ikatan murni antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama dalam sebuah rumah tangga. Nilai keagamaan sangat jelas dizahirkan di mana tertolaklah perkahwinan sama jantina, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan. Barat menerima perkembangan yang berlaku di mana lelaki boleh berkahwin dengan lelaki dan wanita berkahwin dengan wanita. Ia kerana perkahwinan bagi mereka adalah titik akhir penzahiran kecintaan antara dua insan. Tidak ada hubung kait dengan elemen keagamaan. Sedangkan Islam sama sekali tidak mengiktiraf hubungan gay atau lesbian. Bahkan Islam tidak mengiktiraf perkahwinan mana-mana pihak yang membuat pembedahan tukar jantina. Islam tidak mengiktiraf perkahwinan lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki.

# Keenam, perkahwinan adalah ikatan suci yang bukan saja menggabungkan dua insan, tetapi dua keluarga dan keturunan. Maka silaturahim antara manusia akan berkembang dan kehidupan lebih berseri.

- Artikel iluvislam.com

Erti Lelaki Sejati - Satu Tanda Aras



Lelaki Sejati bukan dilihat dari hasil yang ia capai sahaja, tetapi dari besarnya pengorbanan untuk mencapai tujuan.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari kecerdasan isi otaknya sahaja, tetapi dari kesanggupan berkongsi ilmu yang ia punya.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari bahunya yang kekar sahaja, tetapi dari kasih sayangnya pada orang di sekitarnya.


Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari suaranya yang lantang sahaja, tetapi dari kelembutannya mengatakan suatu kebenaran.

Lelaki Sejati bukan dilihat dari besarnya musuh yang dilawannya, tetapi dari ia menjadikan Syaitan dan para pengikutnya sebagai musuh yang nyata.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari jumlah sahabat di sekitarnya sahaja, tetapi dari sikap bersahabatnya pada pada setiap makhluk Tuhan.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari bagaimana dia dihormati oleh kawannya sahaja, tetapi bagaimana dia juga dihormati oleh lawannya.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari kerasnya pukulan sahaja, tetapi dari sikap bijaknya memahami persoalan.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari dadanya yang bidang sahaja, tetapi dari hati yang ada dibalik itu.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari banyaknya Wanita yang memujanya, tetapi komitmennya terhadap Wanita yang dicintai.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari jumlah cabaran yang dibebankan sahaja, tetapi dari tabahnya dia menghadapi liku-liku kehidupan.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari indahnya membaca Al-Quran sahaja, tetapi dari konsistennya dia menjalankan apa yang ia baca.

Lelaki Sejati bukan pintarnya melafazkan sebuah janji suci, melainkan bukti yang pasti.

Lelaki Sejati adalah yang benar-benar Lelaki!

- Artikel iluvislam.com