Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Tuesday, November 30, 2010
Filem Hit - Harry Potter And The Deathly Hallows: Part 1
Kisah seorang remaja bertanda di dahi yang telah dibawa pindah ke dunia realiti setelah ibu bapanya mati dibunuh oleh You-Know-Who di dalam dunia sihir bukan lagi kisah yang asing bagi masyarakat dunia. Kisah fantasi pengembaraan ini telah menjadi satu topik perbincangan yang hangat tanpa mengira golongan usia. Filem adaptasi dari novel J.K Rowling ini berjaya menempah namanya kerana idea dan juga konsep cerita ini yang lain dan agak luar biasa. Idea kreatif yang mapan ini amat digemari oleh kanak-kanak dan juga golongan dewasa tanpa mengira warna kulit dan agama.
Filem lakonan Daniel Radcliffe sebagai Harry Potter, Rupert Grint sebagai Ron Weasley dan sekuntum bunga mekar menemani perjalanan trio ini, Emma Watson sebagai Hermione Granger.
Novel yang laris bak goreng pisang panas ini sentiasa dinanti-nantikan kemunculannya, biarpun pelbagai andaian dan juga spekulasi timbul, yang sebenarnya bertujuan untuk melariskan lagi novel ini. Filem yang diadaptasi dari novel yang ketujuh ini dibahagikan kepada dua bahagian yang berbeza. Kedua-dua bahagian ini menempah tarikh yang berbeza menurut turutannya.
Bahagian yang pertama ini sudah pun berada di panggung pada 17 November lalu. Filem kali ini nampak lebih dewasa dan pada siapa yang mengikuti atau penggemar Harry Potter, perubahan serta kedewasaannya mula menyelubungi atmosfera cerita.
Kisah bermula apabila Harry Potter, Ron Weasley dan Hermione Granger meninggalkan alam persekolahan mereka setelah kematian kejam Professor Dumbledore. Harry yang ingin menyiasat kisah sebenar dalang di sebalik pembunuhan ini mula yakin yang dialah orang yang bertanggungjawab untuk membalas kembali perbuatan kejam Voldemort dan kuncu-kuncunya, Death Eaters. Professor Snape juga terlibat dengan rancangan jahat The Dark Lord yang ingin menguasai dunia sihir dan cuba untuk membunuh Harry.
Di dalam pengembaraan menyelasaikan dan mengumpul kesemua Hocruxes yang dikatakan mampu memberikan kuasa dan juga kekebalan nyawa Voldemort yang akan membunuh Harry. Maka, dengan sebab ini jugalah, Harry dan rakan-rakannya meninggalkan sekolah dan mencari serta memusnahkan kesemua Hocruxes yang ada demi keselamatan nyawanya.
Persahabatan dan kesetiaan mereka diuji. Kali ini, Harry dan Ron berbalah akibat perasaan cemburu. Di dalam bahagian satu ini juga, kekuatan fizikal, mental dan juga emosi mereka diuji dengan jitu sekali. adakah mereka ini berjaya dalam menyelasaikan misi pengumpulan memusnahkan kesemua barang Vondelmort dan bagaimana pula dengan percintaan Ron dan Harmoine yang dikatakan tergugat dengan kehadiran Harry dan misi ini? Percayalah, setelah anda selesai menonton filem ini, semakin anda mahukan lagi.
Filem ini ditayangkan pada waktu yang tepat dan sesuai sekali dengan golongan penonton sasarannya. Musim cuti persekolahan pasti akan nampak lebih meriah dengan kehadiran filem-filem seperti ini. Maka, tumpuan remaja akan beralih kepada filem-filem seperti ini dan bukannya pada perkara yang akan menjerumuskan mereka ke arah negatif. Filem bahagian pertama dari novel ketujuh ini nampak lebih meyakinkan kerana kali ini misi Harry dan rakan-rakannya jelas dan gambaran kedewasaan Harry yang cuba untuk membunuh Voldemolt semakin kuat dipaparkan di dalam filem fantasi ini. Sinematografi filem ini nampak cantik dan mampu memukau mata. Dengan bantuan matte dan juga CGI yang bertaraf 5 bintang ini, tiada apa yang lagi yang boleh disangkal lagi. Permandangan yang selama ini dikaburi dan dibayangi dengan latar tempat yang sama pada setiap episod kini mula berubah wajah. Penonton, malah Harry Potter sendiri dibawa ke tempat yang asing sekali.
Pemandangan yang cantik dipandang ini boleh menambat hati biarpun kita sendiri terperangkap antara pandangan dunia maya dan sebenar. Mengekalkan warna yang gelap di sepanjang cerita, filem masih mengekalkan identiti yang sama dan kesinambungannya memuaskan hati. Kali ini bezanya filem ini dengan yang lain adalah, filem ini tidak kurang memaparkan kisah kehidupan Harry Potter di Hogwarts School of Witchcraft and Wizardry, seorang pelajar dari kumpulan Gryffindoor yang memberontak di dalam diam dan penuh dengan kedegilan dan sifat ingin tahu yang sangat tinggi.
Keberanian Harry masih sama, namun semangat Harry dikatakan semakin pudar. Walhal, semakin jauh perjalanan Harry mencari kebenaran maka semakin tinggilah keberaniannya. Namun, pengarah memilih untuk menampilkan sedikit kelainan ini agar bahagian akhir ini akan nampak lebih menarik, panjang dan semakin menjadi satu penantian buat penggemar-penggemarnya. Mungkin taktik ini nampak goyah, namun filem ini dapat meyakinkan penonton dengan lakonan pelakon yang lebih beremosi dan matang. Selain itu juga, filem ini menampilkan kelainan dengan menampilkan sedikit bantuan dari animasi di pertengahan cerita demi untuk meyakinkan lagi penonton dan membersihkan imej cliché yang selama ini menjadi isu.
Filem ini jauh lebih serius dari yang lain dan babak humor yang ada hanya picisan. Namun, secara keseluruhannya, filem ini memuaskan hati. Persoalan yang timbul selepas habis cerita ini adalah di manakah letaknya Hocruxes yang lain dan dapatkah Harry mengalahkan Voldemort? Di mana Deathly Hallow? Siapa yang akan hidup dan siapa pula yang mati? Siapa Snape yang sebenarnya dan apakah kesudahan kisah percintaan filem ini?
Kesemua ini bakal terjawab dan akan menemui anda di dalam sambungan bahagian yang kedua, yang akan menemui anda Julai 2011. Nantikan kesudahan pengembaraan trio yang cukup terkenal di seluruh dunia ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment