Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Monday, October 17, 2011
Wahai Jiwaku Yang Tenang
Hari ini dia kelelahan lagi. Kelelahan kerana rasa itu yang tunda menunda di dalam hati.
Suatu bunga rasa yang merobek tangkai jiwa, mencarik-carik segumpal daging bernama hati menjadi cebisan-cebisan kecil. Lantas luka itu dicurah dengan air laut, sungguh pedih, sungguh resah, sungguh lelah!
Entah kali ke berapa rasa itu menyeksa nalurinya. Sungguh galau. Mengapa begini? Hairan sungguh. Seingatnya, dia tidak pernah begini. Rasa itu tidak pernah menyinggah hatinya. Alangkah begininya perasaan itu. Alangkah! Mungkin kecewa dengan diri, atau mungkin sebenarnya lebih dari itu, bahagia dengan kuntuman rindu dan penuh harap.
Ah! Akhi itu benar-benar membuatnya cemas dan tewas. Dia tidak pernah berperasaan begini seingatnya. Sudahnya, dia hanya diam sahaja. Biarlah rasa itu dia simpan kemas sendiri. Sekejap. Erat. Hanya antara dia dan Allah S.W.T. Dan pada setangkai doa yang diraut, diadu, diratap di hadapan Allah S.W.T dalam lena dan dalam jaga.
BULAN BERUBAH WARNA
Hari itu dia kesiangan. 7.30 pagi! Belum pernah dia bangun untuk solat Subuh selewat itu. Dalam penyesalan dan istighfar dia meraup mukanya, lantas mengatur langkah ke bilik air.
"Ya Allah, apa sudah jadi ni." bisik hati kecilnya.
Pagi itu, akhirnya Mardhiyyah mengangkat takbir dengan hati yang sebal dan penuh persoalan. Kenapa boleh jadi begini? Biasanya dialah orang pertama yang akan bangun bertahajjud, seterusnya mengejutkan teman sebiliknya, lantas berjemaah di surau kolej. Kebetulan pula Aina Fasihah menghadiri seminar tiga hari di JAKIM, dan Nurin uzur syar'ie.
"Erm.. terlewat bangun ke? Maaf tak kejut. Biasanya awak bangun awal." Nurin menggosok-gosok matanya.
"Eh, tak mengapa, bukan salah Nurin. Mungkin sebab tidur lewat semalam." suara Mardhiyyah kedengaran lemah.
Selebihnya dia bermonolog sendirian dalam diam.
Ya Allah, mungkinkah disebabkan sebelum tidur tadi aku teringatkan Fawwaz dan tidak mengingati dan menyebut nama-Mu?
Dan aku terlupa membaca al-Mulk. Ya Allah, maafkan aku.
Bagaimana dengan solat Tahajudku?
Semenjak hayat kedewasaanku ini, sudah jarang aku meninggalkan solat malam.
Memang semalam dia teringatkan Fawwaz sebelum tidur. Biasanya sebelum tidur dia akan membaca al-Mulk dan membaca doa-doa serta surah-surah pendek sebagai pendinding diri. Namun pulang sahaja dari 'meeting' semalam, sekitar jam 11.45 malam, khusus membincangkan tentang gerak kerja Pilihan Raya Kampus yang bakal menjelang, dia merasa sungguh letih.
Letihnya di tahap luar biasa, dengan kuliah dan tutorial seawal jam lapan pagi. Juga letih serta lelah malah sakit mencengkam lubuk jiwa. Mengapa dalam 'meeting' itu dia harus juga hadir!
Usai sampai ke bilik, dia menghenyakkan tubuhnya ke katil. Sungguh penat dan lelah. Namun Mardhiyyah tersenyum jua. Memandang wajah akhi itu mendatangkan ketenangan ke lubuk jiwanya yang terdalam.
"Sudah dua hari aku tercari-cari wajahnya. Mungkin jodoh aku bertemunya malam ini."
Sudahnya, dia mengambil mp3 playernya dan menyumbatnya ke telinga. Biasanya tangan mulusnya akan dipetik ke 'folder' bacaan al-Quran. Itu yang biasa dilakukan jika dia tidak dapat melelapkan mata.
Menghayati bacaan Syeikh Saad Sa'id Al-Ghamidy atau As-Sudaisy yang menggetarkan dan mengharukan itu, juga Qari 'favourite'nya, Syeikh Tawfeqh As-Sayegh; terkadang dia turut larut tenggelam dalam bacaan bersama linangan air mata. Atau sekadar melayani celoteh DJ stesen radio pilihannya, IKIM.fm, dengan info dan tazkirah penyubur jiwa.
Tetapi, tangannya terhenti pada lagu itu. Albi Nadak. Bayangan Fawwaz dalam meeting itu menerpa kembali. Seperti biasa, dengan kewibawaannya berhujah dan memberi pendapat. Belum dikira renungan dan senyuman spontannya.
Lik
Ana milkilik.......
Alangkah indahnya andai dia menjadi milikku. Dan aku akan mempunyai seorang mujahid yang akan sama-sama berjuang bersamaku. Akanku kuatkannya tika dia goyah, dan pastinya dia akan selalu membisikkan kata-kata perjuangan buat membakar semangatku.
Akan kulahirkan tunas-tunas comel yang akan mewarisi perjuangan kami, bahkan sebenarnya merupakan rintisan perjuangan Baginda S.A.W.
Akan kusayangi dia sepenuh jiwa dan ragaku. Kerana pasti aku yang akan merasa pedihnya kehilangan insan sepertinya. Akanku sedaya upaya cuba untuk menghadiahkan 'solehah'ku padanya, agar sejuk mata hatinya dalam bahtera rumahtangga kami. Tentu sekali aku kan bahagia.
Mana mungkin aku tidak akan bahagia. Peribadinya cukup meyenangkan. Senyumannya cukup mendamaikan. Penampilannya sederhana dan memikat kalbu. Sentiasa tawadhuk. Paling aku terpikat pada karakternya yang nampak serius di luar. Namun sebenarnya boleh tahan kelakar.
Dan paling mengharukan, dia seorang Hafiz! Apa lagi yang diperlukan dari seorang peribadi bernama Fawwaz. Pendek kata, aku tidak sanggup untuk mencintai orang lain selain darinya. Sungguh hatiku bernyanyi begitu."
Dan nyanyian jiwanya yang sarat itu berlagu-lagu di dalam lenanya tanpa dakapan al-Mulk dan tiga Qul, tanpa selimut air wudhuk dan tanpa sinar Qiamullail.
WAHAI JIWAKU YANG TENANG!
Pagi sehening itu, Mardhiyyah mengatur langkah ke surau kolej. Di saat ini hatinya sudah tidak keruan lagi. Kalau ditoreh dengan belati tentu sudah tidak berdarah lagi. Kalau dihempap dengan gunung pun entah bagaimana halnya. Yang ada di fikirannya adalah dia. Hanya dia.
"Ya Allah, aku rindukan dirinya. Aku inginkan dirinya untukku. Betapa beratnya perasaan ini Ya Allah."
Dalam sedu sedan istikharah penuh harap, Mardhiyyah mengadu pada Ilahi Rabbi. Air matanya bercucuran merindukan akhi itu. Sudah lama dia tidak melihat Fawwaz. Mengikut cerita teman-teman, dia pulang ke kampung.
Ah, mengapa ramai benar yang suka bercakap tentangnya. Jika namanya terluncur di bibir akhi lain, hatinya bergetar hebat, dan saat namanya disebut di kalangan sahabat muslimatnya, hatinya sungguh hancur dan resah.
Mengapa ramai benar yang menyukainya?
Dia berjalan longlai. Usai mandi pagi itu, dia terus mengatur langkah ke surau. Masih awal rupanya. Waktu Subuh belum tiba. Suara unggas-unggas sungguh hening dan hiba, sehiba hatinya yang kerinduan. Sebelum ini, kerap juga dia terserempak dengan akhi itu di hening Subuh begini. Berpapasan ke surau.
Di kala begitu, dia melambatkan langkah, biar saja akhi itu mendahuluinya. Ataupun mana-mana muslimin lain. Tidak pantas seorang muslimat untuk berjalan dan buru-buru di hadapan lelaki ajnabi.
Biar saja mereka berjalan dulu. Itu lebih afdhal. Seperti halnya yang dilakukan Nabi Musa saat berjalan bersama Shafra yang menjemputnya.
Sesampai di surau, ternyata tiada siapa-siapa. Tiada sahabat muslimin apatah lagi muslimat. Hatinya terasa sunyi dan pilu, sepertimana sunyinya keadaan surau di waktu fajar itu. Dia masuk dan lantas mengambil senaskah al-Quran, lalu duduk bersimpuh.
Mardhiyyah memeluk al-Quran itu lantas menciumnya. Matanya terasa panas dan hangat. Dia membuka al-Quran untuk mencari petunjuk. Awal pagi sebelum tidur semula tadi dia usai solat istikharah. Hatinya berkecamuk kerana tiada petanda.
Mungkinkah hatinya sungguh berkarat dan berlumut, lalu Allah memberi hijab?
Air matanya tumpah. Mengapa murah benar air matanya dua tiga hari ini? Mungkin rindu sungguh. Ah, sungguh penasaran. Hati yang sungguh berkecamuk dan diadun seribu satu rasa. Lantas dia teringat pada coretan ringkas yang dibuat di hujung nota Falsafah Islam semalam.
Dua tiga hari ini aku tidak melihatmu. Di mana-mana kucari wajahmu. Namun kau tiada.
Di mana dirimu?
Bagaimana keadaanmu?
Lalu aku melalui jalan-jalan kerinduan nan hiba namun kau tiada jua. Allah sampaikan perasaan ini pada dia. Harapanku, semoga benar aku dari rusuknya.
Dia membuka kitab suci itu secara rawak. Lantas membaca ayat yang dipilih secara rawak mengikut gerak hati. Inilah yang dibiasakannya jika dia dalam kebuntuan dan keresahan. Ternyata hal ini biasa menjadikannya tenang.
"Pada hari ketika kamu melihat orang mukmin laki-laki dan perempuan, sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka: "Pada hari ini ada berita gembira untukmu, syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, yang kamu kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang besar.
Ayat ini ternyata menyejukkan mata hatinya. Syurga untuk mukmin laki-laki dan perempuan? Tentu sekali juga untuk suami dan isteri yang berkasih sayang kerana Allah. Bibirnya menguntum senyum sekilas. Lantas dia membelek lagi naskah al-Quran itu mengikut kata hatinya. Dan tangannya terhenti.
"Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang , maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang kami kehendaki bagi orang yang kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka jahannam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir."
Nalurinya bergetar. Mardhiyyah merasa sungguh terkesan.
Neraka? Kehidupan sekarangkah yang kuinginkan? Mengigaukan seseorang yang bukan hak? Ah, dia jadi buntu.
Dia membelek buat kali ketiga. Saat ini air matanya semakin galak. Gerun dengan gambaran neraka yang maha azab. Adakah selama ini dia sudah tersasar jauh? Matanya tertancap pada Surah al-Mukmin, ayat 55:
"Maka bersabarlah kamu, kerana sesungguhnya janji Allah itu benar, dan mohonlah ampunan untuk dosamu dan bertasbihlah seraya memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi."
Ah, serasa pujukan Allah S.W.T itu mengena jiwanya.
Adakah aku sudah salah selama ini?
Perasaan yang suci ini adakah sudah tercemar?
Mungkinkah aku yang tidak sabar, atau akukah yang tidak yakin dengan janji Allah S.W.T?
Tangisannya semakin melebat diikuti esakan kecil. Namun, dia mencuba menahan esakannya, kerana lampu di bahagian lelaki sudah terpasang. Mungkin sudah ada yang datang untuk menjadi imam.
Seketika azan dilaungkan penuh syahdu. Ini suara yang kurindui selama ini! Air matanya kembali melebat. Kenapa sekarang perlu hadir pula.
Ya Allah, apakah maksud dari segala ini? Hatinya berkecamuk dan fikirannya berpusing.
Usai azan, suasana kembali hening. Mardhiyyah mengangkat takbir untuk solat sunat Qabliyyah, sambil menyeka air mata yang berbaki. Namun hatinya masih dalam kebingungan bernada riang.
Usai solat qabliyyah, masih tiada jemaah muslimat yang datang. Di bahagian muslimin, turut senyap dan sunyi. Namun itulah fenomena dasawarsa ini pada atmosfera kampus.
Tarbiah dan program ilmiah tidak mendapat sambutan. Namun, pada program dan aktiviti berunsur hiburan dan liburan, sungguh ramai warga kampus berpusu-pusu! Suatu kebobrokan intelektualisma dan insaniah!
Tiada laungan Iqamat. Aneh.
"Assalamualaikum, erm.. enti dah solat?"
Ya Allah, hatinya tersentak. Itu memang suaranya! Seseorang yang dirindui seputar tiga empat hari ini. Dia seperti mahu menangis semula.
"Waalaikumusslam.. erm.. belum.." Mardhiyyah menjawab dengan baki suara yang ada bercampur nada serak.
"Baguslah, boleh solat jemaah bersama, sebab muslimin lain tak ada.." balasnya.
"Erm..ya.." jawab Mardhiyyah ringkas.
Entah mimpi apa, aku solat jemaah dengannya pagi itu. Bukan tidak selalu aku solat diimamkan olehnya, namun hari ini kami berdua sahaja! Tanpa orang lain. Hatiku berbunga bahagia. Alangkah indahnya solat berjemaah dengan orang yang dicintai! Hanya berdua. Gambaran rumahtangga yang sakinah dan dirahmati terapung di mindaku.
Saat Ahmad Fawwaz Auza'iy mengangkat takbir penuh ketenangan, hati Mardhiyyah al-Hasanah diamuk perasaan yang mencengkam. Sungguh hening keadaan tika itu. Dan tika dia mula membaca al-Fatihah, Mardhiyyah larut dalam bacaannya yang penuh teratur.
Terasa ada hembusan yang sejuk turun dari langit dan menyentuh ubun-ubun, lantas menyelinap ke rongga jiwa. Pada rakaat kedua, Fawwaz membaca surah al-Fajr.
Bacaannya sungguh lembut dan mendamaikan. Sesekali ditekan, menyebabkan sesiapa yang mendengarnya terasa syahdu, dan kelopak mata terasa hangat, bergetar hati dengan bacaan ayat Ilahi.
Dan tiba ke beberapa potongan ayat terakhir, jiwa Mardhiyyah tersentak hebat.
Ya ayyatuhannafs al-muthmainnah,
Irji'i ila rabbiki raadhiyatan mardhiyyah,
Fadkhuli fi 'ibadi,
Wadkhuli jannati.
Hai jiwa yang tenang,
Kembalilah Kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya,
Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku,
Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.
Saat bibirnya lembut menuturkan kalimah 'Mardhiyyah', hatiku bertambah derunya. Kalimah itu seolah-olah penuh nasihat yang lembut. Sungguh jiwaku tidak tenang selama ini. Aku menjadi pemburu bayang-bayang yang tidak pasti dapat kugapai. Terkadang aku ke program dan kuliah untuk menjadi pemerhatinya yang setia.
Walau dia dekat denganku, namun boleh jadi dia bukan untukku. Terdapat pelbagai kemungkinan yang sedia direncana oleh Allah S.W.T. Bukankah aku sendiri yang selalu berdoa usai Ma'thurat, agar janganlah nasibku ditentukan oleh diriku sendiri walau sekelip mata cuma. Alangkah jika dia bukan tercipta untukku.
Alangkah. Lalu, bagaimana pula halnya dengan insan yang hak untukku nanti?
Tidak adil untuknya bukan?
Seketika itu, air mataku tambah melebat. Dan aku menghabiskan solat fajar itu dengan air mata yang aku tahan.
Begitu jua saat akhi itu berdoa tulus, muzakarah usrahku pada hari Selasa yang lepas terngiang-ngiang menerpa.
"Jikalau begitu kak Husna, berdosakah untuk berperasaan sebegitu? Ternyata itu perasaan suci anugerah Ilahi, suatu fitrah insani." Aku pura-pura bertanya secara umum.
"Ya, perasaan yang suci, bernada ujian buat hamba-Nya yang dikasihi. Terserah untuk kita bagaimana. Yang penting, ternyata ketenangan itu tidak ada jikalau kita terlalu menurut hawa nafsu sendiri. Sudahnya kita kelelahan. Hindarilah dari terlalu berharap, bimbang kecewa nanti. Bimbang jika perasaan itu memenuhi ruang lebih dari perasaan kita pada Allah. Yang pastinya, Allah bakal mengabulkan permintaan itu jikalau sememangnya dia pantas untuk kita. Berdoa sahajalah yang terbaik untuk diri, walau siapapun dia. Kita tidak tahu akan rahsia Allah S.W.T. Sesungguhnya Dia Maha Tahu apa yang tersirat, siapalah kita yang lemah dan hina ini."
Begitupun saat akhi itu melantunkan bacaan bernada tarannum usai solat Subuh tersebut, sedang aku menahan esak tangisku di belakang. Dan pagi Ahad yang hening itu, aku beriktikaf di surau sehingga membawa ke waktu Zohor.
"Pergilah akhi. Biarkan hatiku sendiri. Maafkan aku akhi. Tidak aku sangka aku pernah senyum, menangis dan kegelisahan keranamu. Maafkan aku wahai bakal rafiq hidupku. Walau siapapun engkau, dari mana pun engkau, doakanlah aku di sini, untuk kuat menyimpan hati ini padamu. Ya Allah, penuhkan cinta-Mu dalam qalbuku agar aku tidak lemas dalam cinta yang tidak halal untuk diriku."
Hai jiwa yang tenang,
Kembalilah kepada Tuhanmu.
Dan ternyata hal itu boleh membuatkan dirinya tenang! Dan ikhlas dalam perjuangan!
-Artikel iluvislam.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment