Saturday, October 8, 2011

Islam Dalam Kehidupan




KESEDARAN manusia untuk kembali di bawah nilai murni Islam sangat ketara sejak kebelakangan ini. Kesedaran ini lahir selepas ada manusia yang gagal mengubah nilai hidup mereka ke arah yang lebih baik dan selesa serta selamat daripada ancaman.

Walaupun kesedaran ini lahir bukan kerana dirasakan perlunya kepada satu sistem hidup pilihan, tetapi ia lebih didorong rasa tanggungjawab dan tuntutan Islam itu sendiri. Tambahan, sistem nilai murni kehidupan Islam bukanlah satu sistem pilihan yang boleh direka sesuka hati, tetapi adalah satu sistem Ilahi yang unggul. Keunggulan yang mencakupi kebahagiaan dunia dan akhirat serta tidak dapat dibandingkan dengan sistem hidup pilihan lain yang ada di dunia ini.

Perkataan Islam berasal daripada perkataan Arab (aslama, yuslimu, islaman) yang bermaksud tunduk, patuh dan ia juga bermaksud selamat, sejahtera serta damai.

Nama Islam itu sendiri adalah diberi oleh Allah, Tuhan sekalian alam. Agama Islam adalah agama yang mentauhidkan Allah dan telah lama wujud bermula dengan Nabi Adam a.s. sehingga Nabi terakhir Nabi Muhammad s.a.w.

Cuma yang membezakan (antara nabi-nabi) adalah dari segi syariat. Islam dari segi istilah Islam adalah cara hidup. Cara bagaimana manusia perlu mengatur hidup mereka di atas dunia.

Ia adalah agama wahyu yang diperturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui malaikat Jibril a.s. Ia juga bermaksud apabila manusia di bumi ini menerima Islam dalam segenap aspek kehidupan mereka, maka Allah SWT tidak rasa ragu-ragu untuk memberi keselamatan kepada mereka, kerana Dialah sahaja yang Maha memberi keselamatan dan boleh menarik semula keselamatan itu apabila manusia sudah semakin ingkar kepada arahan dan larangan-Nya.

Islam adalah cara hidup Islam yang sifatnya sempurna kerana ia adalah agama Allah Yang Maha Sempurna, adalah satu cara sistem hidup manusia yang berpaksikan kebenaran. Kesempurnaan sistem hidup ini merangkumi aspek pendidikan dan pembelajaran, kekeluargaan, kemasyarakatan, politik, ekonomi, ketenteraan dan sebagainya.

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَـٰمُ‌ۗ وَمَا ٱخۡتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡعِلۡمُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡ‌ۗ وَمَن يَكۡفُرۡ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
(Surah Ali-Imran 3: Ayat ke 19)

No comments:

Post a Comment