Wednesday, July 13, 2011

Allah Ajarkan Tentang Merancang






Bismillahirrahmannirrahim .. Kami mulakan dengan menyebut namaMu Ya Allah ...

Apa khabar sahabat semua? Bagaimana jiwamu hari ini? Rasa tenang atau kacau? Rasa selesa atau tidak selesa? Itu adalah termometer (pengukur) tahap imanmu kepada Allah. Allah banyak berfirman dalam Al-Qur'an bahawa orang-orang yang beriman itu tidak ada kekhuwatiran dan tidak mereka bersedih hati ... Ada Allah dalam hatimu? Ada Allah dalam dirimu? Ada Allah dalam rumahmu? Tepuk dada tanya iman.

InsyaAllah sedikit sharing malam ini. Saya sekarang ini hampir setiap minggu mengajarkan perancangan strategik dan saya sering gunakan video klip animasi kisah salah satu peperangan yang dihadapi oleh Salahudin Al Ayubi yang akhirnya berjaya membebaskan Baitul Maqdis.

Alhamdulillah saya mendapat pencerahan dari Allah bahawa salah satu sebab kenapa umat Islam begitu sukar mencapai kemenangan pada hari ini kerana kurangnya dalam melakukan strategi ketika merancang.

Video klip yang kami paparkan kepada peserta sangat menarik menunjukkan bagaimana dengan strategi peperangan yang hebat tentera Islam yang lebih sedikit dapat mengalahkan tentera kafir yang bukan sahaja ramai tapi lengkap dengan kelengkapan perang.

Salahudin Al Ayubi dan tenteranya pasti yakin akan ada pertolongan Allah tetapi kenapa beliau berstrategi? Kerana itu yang diajar nabi kita Rasulullah saw. Rasulullah saw setiap kali peperangan ada strateginya,sehingga sanggup menggali parit walaupun sukar, penat apatah lagi di bulan Ramadhan. Begitu pentingnya strategi. Allah juga menyebutkan dalam ayatNya bahawa Allah suka orang yang berperang dalam barisan yang tersusun kukuh,maknanya lengkap dengan strategi peperangan.

Namun lihat organisasi Islam pada hari ini sangat lemah di dalam merancang dan berstrategi. Padahal kita berhadapan dengan musuh-musuh Islam yang hebat dalam melakukan strategi dan tipu daya. Kemudian bila kita gagal mencapai matlamat, kita kata "Allah belum bagi kita kemenangan" Wah santai-santai saja kita berbicara, bila kalah atau gagal di dalam mencapai visi (yang kadang-kadang dah lebih 50 tahun) kita tidak merasa bersalah kepada Allah kerana tidak merancang dan berstategi dengan baik, kita tidak merasa bersalah kepada Allah kerana tidak komited terhadap tugas dan tangungjawab kita. aduhai, jauhnya kita dari generasi Rasulullah saw dan para sahabat.

Mari kita lihat sejenak kehidupan kita. Kita jelas bahawa kita harus sempurnakan tugasan sebagai khalifah Allah dengan sebaiknya. Itu maknanya Bismillah, bayangkan kita mahu pergi ke Indonesia satu hari sekadar pergi berjalan-jalan, bayangkan bagaimana kita bersiap? Santai-santai saja kan. Kemudian dua minggu kemudian kita terima surat dari Perdana Menteri melantik kita untuk mewakili rakyat Malaysia untuk melakukan rundingan damai dengan kerajaan Indonesia berkenaan isu pembantu rumah.

Sekarang bayangkan persiapan kita ke Indonesia, adakah sama dengan persiapan yang pertama tadi? Pastinya tidak, Kali ini ada checklist. Kita bersiap jauh lebih awal dan memastikan dengan bersungguh-sungguh tidak ada benda yang tertinggal. Kenapa berbeza persiapannya? Kerana pada kali kedua kita melakukan atas nama rakyat Malaysia, rasa ada tanggungjawab, kita buat sebaik mungkin.

Manakah yang lebih besar, rakyat Malaysia atau Allah? Pasti Allah lebih besar. Mana yang kita buat lebih bersungguh-sungguh atas nama Rakyat Malaysia atau nama Allah? Itulah maknanya Bismillah, Atas Nama Allah, kita buat sesuatu dengan nama Allah, pasti jauh lebih hebat dan jauh lebih komited dari atas nama rakyat Malaysia.

Bila kita sudah faham buat atas nama Allah, maka pastinya kita perlu buat dengan perancangan yang berstrategi. Mungkin kita rasa lebih sukar mahu melakukan perancangan berstrategi. Ia akan memakan masa, tenaga dan perlu bersabar. Itulah sebab kenapa Rasulullah saw dan para sahabat sanggup menggali parit ketika berhadapan dengan Peperangan Khandak. Kerana Rasulullah saw buat atas nama Allah, biarpun penat, makan masa, lapar (ketika itu bulan Ramadhan) namun atas nama Allah perlu dibuat bersungguh-sungguh.

Bagaimana kehidupan kita. Hanya fikir dulu perancangan untuk diri sendiri, adakah kita merancang apa yang perlu di lakukan untuk hari esok?Adakah kita mencari ilmu pengurusan diri dan kehidupan kita? Betullah kata orang, gagal merancang bererti merancang untuk gagal, ampuni kami Ya Allah.

Mari kita mulakan dengan merancang tugasan untuk tindakan kita. Adakan checklist dan fokus pada tugasan yang utama dahulu. Setelah berusaha kita serah dan bertawakal kepada Allah.

Marilah kita mulakan dengan Bismillah.Bismillah yang benar-benar kita faham dan hayati.

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment