Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Wednesday, July 13, 2011
Aku Lemah..
Saat dilanda ujian dan dugaan, kita bertempik kecewa. Tika cubaan datang, serasa sesak dada hingga berprasangka buruk kepada Tuhan. Tatkala dihempit derita, kita menangis sambil meratapi kesedihan yang melanda.
Bahkan saat itu, kita lupa tentang kalimah 'sabar' dan 'redha'. Kita juga lupa bahawa kita ada Allah Yang Maha Esa. Kita tidak menyakini bahawa dengan kehadiran ujian itu, sebenarnya adalah cubaan yang Allah SWT turunkan buat menguji sejauh mana keimanan hamba-hambaNya.
Bukankah Allah SWT telah mengkhabarkan kepada kita tentang ujian dan cubaan buat orang-orang beriman?
"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)."
(Al-Baqarah: 214)
Maka setelah diturunkan ujian berganda-ganda bagi menguji keimanan hambaNya, Allah SWT mengingatkan kita tentang kalimah 'sabar'. Kerana kesabaran adalah senjata bagi menghadapi segala mehnah dan tribulasi.
"Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira."
(Az-Zumar: 10)
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan)..."
(Ali-Imran: 200)
Allah SWT menjanjikan pertolongan saat menghadapi kesulitan, dengan syarat kita mestilah bersabar menghadapinya. Jangan sesekali kita berpaling dari Allah SWT, atau menjauhkan diri dariNya. Dibimbangi kita akan terjerumus ke lembah kehinaan dengan mengikuti jalan sukar yang dihembuskan Syaitan durjana. Syaitan sama sekali tidak akan senang kepada hamba-hambaNya yang sabar dan sentiasa berpegang teguh kepada tali Allah SWT. Biarkan Syaitan kecewa dengan sikap kita yang keras menentang bisikan-bisikannya. Perbanyakkan doa dan solat agar tali yang mengikat kepada Rabbi bertambah utuh dan kuat.
Tatkala Dihadirkan Ujian
Setiap kesabaran yang terbina, adalah lahir daripada hati dan nurani yang bersih. Hati yang kotor, adalah amat payah untuk menerima sebuah kesabaran dan rasa redha berpanjangan.
Kebeningan hati laksana sebuah istana kukuh, mampu menahan segala serangan musuh. Sekuat mana musuh itu, jika istana yang dibina dibentengi perisai kukuh, penjaga berdisplin dan teratur, serta senjata penangkis yang utuh, pasti musuh tersungkur rebah tanpa sempat menawan istana itu.
Dari Abu Said al-Khudri RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang berusaha untuk sabar, maka Allah SWT akan menjadikannya mampu bersabar. Tidak ada pemberian yang diberikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas daripada kesabaran."
(Muttafaq 'alaih)
Begitu juga hati kita, apabila dibina dengan benteng kesabaran, dikelilingi senjata redha, dan sistem pertahanan berupa doa yang tak putus-putus, nescaya ia sukar untuk diroboh. Saat itu, Allah SWT pasti akan menurunkan pertolonganNya yang berupa kekuatan menyinari dalamannya dan memberikan ganjaran berlipat kali ganda atas kesabaran yang menghiasi diri hambaNya.
Dari Abu Malik al-Asy'ari RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
"Sabar adalah cahaya..."
(HR Muslim)
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita, bahawa apabila Allah SWT menyayangi suatu kaum, pasti Allah SWT akan menurunkan ujian dan cubaan. Alhasil, Allah SWT akan menilai sejauh mana takat kesabaran yang terbentuk. Kadangkala, ada sesetengah manusia membenci kesusahan, kesakitan, bebanan yang ditimpakan ke atasnya sehingga bertempik benci dan mengeluh panjang kepada Allah SWT. Maka, jika itulah keadaannya, ini bererti manusia itu telah menempah murka Allah SWT. Tatkala itu, Allah SWT akan menimpakan kemurkaanNya dengan nilaian dosa. Dosa akibat lemahnya rasa sabar manusia terhadap ujian yang dihadapi.
Hadis yang telah dikeluarkan oleh Ahmad melalui jalur Mahmud bin Labid menyatakan, Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah Azza Wajalla jika menyintai suatu kaum, maka Allah akan memberikan cubaan kepada mereka. Barangsiapa yang sabar, maka dia berhak mendapatkan (pahala) kesabarannya. Dan barangsiapa marah, maka dia pun berhak mendapatkan (dosa) kemarahannya."
Telah disebut oleh al-Qirafi bahawa adanya ijma' (kesepakatan) di kalangan ulama' mujtahid bahawa haram hukumnya kita marah terhadap qadha Allah SWT. Keharaman marah terhadap qadha juga ada disebut dalam sebuah hadis lain berbunyi:
Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya jika Allah akan menyintai suatu kaum, maka Dia akan memberikan ujian kepada mereka. Barangsiapa yang bersabar maka kesabaran itu bermanfaat baginya. Dan barangsiapa marah (tidak sabar) maka kemarahan itu akan kembali kepadanya."
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam at-Tirmizi. Ibnu Muflih berkata: "Isnad hadis ini baik")
"Sebab aku tidak ada wang, aku terpaksa mencuri. Mungkin Allah SWT tidak menyayangiku lagi." Rungut individu yang bersangatan kecewa tanpa dibatasi iman.
"Allah, mengapa Engkau turunkan ujian sebegini, mengapa?!" Bentak individu lain tanda kecewa.
Kes sebegini terlalu banyak berlaku di dalam masyarakat kita. Kita selalu marah-marah pada Pencipta bila letih menerima cubaan, hingga ada yang sanggup mencaci-maki bagai orang gila yang tidak berpedoman. Kita menyalahkan Allah SWT, menyalahkan takdir, menyalahkan qadar ketentuan Ilahi tanpa menggunakan neraca iman dan ilmu. Kita tidak lagi memandang akan hikmah tersembunyi.
Lantas, kekecewaan bersalut dosa terus membelenggu diri, merantai jiwa hingga tertutup pintu hati kepada sebuah kebenaran. Nauzubillahhi minzalik.
Sumber Text: Farid Rashidi
قُلۡ يَـٰعِبَادِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمۡۚ لِلَّذِينَ أَحۡسَنُواْ فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٌ۬ۗ وَأَرۡضُ ٱللَّهِ وَٲسِعَةٌۗ إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّـٰبِرُونَ أَجۡرَهُم بِغَيۡرِ حِسَابٍ۬
Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat) dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.
(Surah Az-Zumar 39: Ayat 10)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment