Saturday, October 9, 2010

HARI MAHABBAH FPQS...




Kepentingan Bersyukur, Bersedekah dan Menghargai

Kita seharusnya menyedari dengan keyakinan yang hakiki bahawa kita telah mempunyai segalanya pada masa ini, kerana dengan menghayati apa yang kita miliki pada waktu inilah baru kita dapat merasai kehidupan yang diimpikan. Kita mesti belajar untuk menerima dan reda terhadap kehidupan kita pada masa ini. Kita hidup di dunia yang serba cukup, walaupun majoriti manusia berpendapat bahawa dunia ini kejam dan sentiasa tidak cukup.


Sebenarnya, anugerah Allah adalah tidak terbatas; ia merangkumi perkara-perkara baik, perkara-perkara yang indah dan pengalaman yang menarik dan berguna. Segalanya adalah mencukupi bagi semua makhluk-Nya, sentiasa cukup! Selama ini kita telah tertipu, kita telah dipengaruhi oleh pendapat yang tidak benar yang mengajar kita bahawa hidup ini penuh derita, sengsara dan sumber-sumber yang terhad. Hakikatnya, kehidupan kita serba cukup dan kita mampu memiliki apa yang kita mahu.


Hasan al-Basri ketika ditanya tentang rahsia zuhudnya, dia menjawab:

"Aku tahu rezekiku tidak akan diambil orang lain, kerana itulah kalbuku selalu tenang. Aku tahu amal perbuatanku tidak akan dapat ditunaikan orang lain, kerana itulah aku sibuk mengerjakannya. Aku tahu Allah mengawasiku, kerana itulah aku selalu merasa malu Dia melihatku dalam keadaan maksiat. Aku tahu kematian itu sudah menungguku, kerana itulah aku selalu menambah bekal untuk hari pertemuanku dengan Allah."


Ramai daripada kita berfikiran bahawa siapa kita, apa yang kita ada, apa yang kita lakukan, adalah tidak mencukupi. Ini adalah satu pendapat yang salah. Kita telah belajar tentang Hukum Tarikan, dan bila mana tanpa kita sedari kita masih beranggapan bahawa kita belum serba cukup dalam hidup, kita sebenarnya menarik gelombang ketidakcukupan ke dalam hidup kita.


Kita mesti mengakui bahawa diri kita pada saat ini adalah cukup sempurna sebagai manusia, dalam konteks kesempurnaan seorang hamba. Kita cukup sempurna, sebagaimana diri kita sekarang ini. Sekiranya kita tidak mahu mengakui hakikat ini, kita akan sentiasa merasa tidak puas hati dengan apa yang kita ada, dan kita akan merasa sukar untuk mensyukuri nikmat-Nya. Barang siapa yang mengira lenyapnya kasih sayang Allah daripada ketetapan (qadar) Allah, pemikiran ini adalah kerana dangkalnya pandangan iman.


Menduga-duga tentang pemberian Allah, terutama dengan berburuk sangka ke atas nikmat-nikmat-Nya adalah perbuatan dosa. Seorang hamba dilarang menduga bahawa Allah telah mengurangkan kasih sayang dan pemberian-Nya kerana sesuatu bencana yang sedang dialami oleh si hamba tadi. Bagaimana kita membuat ukuran untuk berasa puas hati dengan hidup dan seterusnya bersyukur?


Kita tidak perlu menunggu sehingga segala impian kita tercapai untuk dapat menikmati dan menghayati rasa kecukupan dalam hidup ini. Jika kita berfikiran begini, kita tidak akan dapat merasai nikmat kehidupan dan kita tidak akan berupaya untuk berasa ikhlas dalam mengucapkan syukur kita kepada Allah.


Apa kata jika kita selarikan fikiran dan perasaan kita dengan rasa serba cukup? Anda adalah sempurna sebagai seorang manusia. Anda adalah seorang yang mempunyai segalanya daripada segi rohaniah, jiwa dan semangat; yang membolehkan anda memiliki apa yang anda inginkan dalam kehidupan dan mencapai cita-cita dan matlamat hidup anda.Berpuas hati dan bersyukurlah dengan apa yang anda telah miliki sekarang ini.


Katakanlah pada diri anda, "Aku berpuas hati dengan apa yang aku telah miliki, dengan segala yang telah dikurniakan Allah kepadaku selama ini - kasih sayang, kebahagiaan, perlindungan, keselamatan, segalanya ada padaku, anugerah dari Allah yang Maha Kaya Raya, Maha Suka Memberi, Maha Pemurah, Maha sebaik-baik pelindung."


Mulakan dari saat ini, dengan apa yang telah ada pada kita pada saat ini. Tetapkan matlamat kita, kenal pasti apa yang kita inginkan, yakini bahawa kita pasti akan dapat mencapai matlamat dan apa jua impian kita. Cuba rasakan bahawa kita telah pun mencapainya. Apabila kita memohon dengan 1husnul zhon dan penuh rasa syukur kerana telah dapat menghayati rasa cukup dalam hidup, 2InsyaAllah, doa kita akan cepat dimakbulkan. Oleh sebab itulah, kita bukan sahaja perlu memahami Hukum Tarikan bahkan juga memahami Hukum Kecukupan.


Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian, sesempurna kejadian seorang manusia yang diberi tugas besar sebagai Khalifah di muka bumi ini. Maka, Allah telah membekali manusia dengan pelbagai keistimewaan berbanding makhluk Allah yang lain.

Masihkah anda ingat akan firman Allah mengenai kecukupan alam?


Maksudnya: "Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan tadi, buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu, dan dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk berlayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu mengambil manfaat darinya. Dan dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan dia yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu. Dan dia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu mahu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia yang ingkar sangat suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya."

(Surah Ibrahim: Ayat 32-34)


Kita dihidupkan dalam satu keadaan di mana diri kita bersambung dengan aliran tenaga. Apabila kita telah membuat keputusan untuk mengubah cara berfikir kepada sentiasa cukup, maka kita telah menarik tenaga-tenaga sentiasa cukup itu dalam hidup kita. Kecukupan/kesempurnaan bukan bermakna hanya cukup-cukup, tetapi mewah dan tidak putus-putus. Segala yang anda inginkan, anda boleh perolehi dengan jumlah yang maksima.


Kebahagiaan tidak diukur dengan jumlah wang, berapa besar rumah anda, atau berapa mahalnya kereta anda, tetapi kebahagiaan sebenarnya adalah apabila anda benar-benar merasakan kebahagiaan dalam hati anda, dengan apa yang telah anda miliki, dan juga apabila anda mendapati hati anda berasa tenang dan aman dengan apa yang anda ada pada hari ini (tidak lagi merasakan anda perlu itu, perlu ini, baru anda boleh senyum).


Apabila kita telah berjaya mengajar diri kita untuk mendapat kebahagiaan dalaman (jiwa/rohani), barulah kita dapat menarik kebahagiaan material (luaran) ke dalam kehidupan kita (semak Hukum Tarikan dan frekuensi positif). Maka, terapkan dalam hati kita sekarang ini, "Aku bersyukur dan bahagia dengan apa yang Allah kurniakan kepadaku selama ini - I have plenty." Bersyukurlah dan berbanggalah dengan apa yang anda ada sekarang. Dari situ, anda akan dapat menambahkan lagi apa yang anda belum capai.


Firman Allah s.w.t., maksudnya:

"Sesungguhnya, kami telah kurniakan hikmat (ilmu pengetahuan) kepada Luqman, supaya dia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang bersyukur, sebenarnya dia telah bersyukur bagi faedah dirinya sendiri, dan sesiapa yang ingkar, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Terpuji."

(Surah Luqman: Ayat 12)

Bagaimanakah caranya untuk membebaskan diri kita daripada berprasangka tidak cukup dan membawa diri kita ke arah menghayati Hukum Kecukupan?


1. Belajar menghargai dan bersyukur


Hargai dan syukurilah setiap sesuatu yang anda miliki. Ia tidak semestinya harta material, ia boleh jadi kesihatan dan usia anda. Setiap hari masih ada makanan untuk anda makan, masih ada orang yang mahu menegur anda, masih ada orang yang mengucapkan "Selamat pagi", atau "Salam sejahtera", atau "Assalamualaikum."


Syukurilah segala nikmat Allah daripada sekecil-kecil perkara yang selama ini tidak kita hiraukan seperti udara yang percuma, keupayaan membuang air kecil, kesempurnaan deria anggota tubuh badan, dan sebagainya lagi yang tidak mungkin dapat kita sebutkan satu persatu akan nikmat Allah pada makhluk-Nya yang bernama manusia ini. Adalah sangat mudah untuk menyebutkan perkara-perkara yang anda tidak miliki, tetapi luangkanlah sedikit masa setiap hari untuk mensyukuri sekurang-kurangnya pada lima perkara yang anda perolehi pada hari tersebut.


a) Bayangkan seorang kanak-kanak kecil yang anda kenali, yang anda berikan hadiah atau makanan, tetapi kanak-kanak itu tidak menghargainya, malah membuangnya atau mengutuk pemberian anda itu. Apakah kebarangkalian untuk anda membelikan lagi hadiah kepada kanak-kanak tersebut?


b) Bagaimana pula jika kanak-kanak itu menunjukkan perasan gembira dan suka pada pemberian anda itu? Mengucapkan terima kasih, menjaga dengan baik hadiah pemberian anda, sering menunjukkan pada anda hadiah itu setiap kali anda berjumpa dengannya. Bagaimanakah pula kebarangkalian untuk anda memberikan lagi hadiah kepada kanak-kanak tersebut?


Begitulah perbandingan antara Tuhan dan hamba-hamba-Nya.


Firman Allah, maksudnya:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya, azabKu amatlah keras."

(Surah Ibrahim: Ayat 7)


Oleh itu bersyukurlah, berterima kasihlah, dan Allah akan menambahkan lagi apa yang anda miliki. Jika dalam Hukum Tarikan, kita belajar bahawa mewujudkan keinginan itu amat penting, maka dalam Hukum Kecukupan, kita mempelajari bahawa mensyukuri dan menghargai nikmat itu amat penting. Kedua-dua perkara ini saling berkait rapat antara satu sama lain.


2. Bina Persekitaran Baik


Jangan isikan hidup kita dengan perkara-perkara yang sebenarnya kita tidak benar-benar perlukan. Ini adalah pembaziran. Walaupun anda seorang jutawan, tidak bermakna anda boleh membazir. Ingat! Membazir adalah sifat syaitan dan perlu dijauhi.


Tanya diri anda setiap kali anda keluar untuk berbelanja, apakah barangan yang ingin anda beli itu, benar-benar anda perlukan atau tidak. Kecukupan bukan bermakna diri kita penuh dengan barangan-barangan yang kita tidak perlukan. Kecukupan dalam hidup adalah dengan mencari dan memperolehi perkara-perkara dan pengalaman yang benar-benar berguna untuk diri anda.


Contohnya, kadangkala kita membeli sesuatu barangan kerana kita diberitahu oleh kawan bahawa kita perlu ada barangan tersebut. Mungkin bagi kawan kita, barangan itu memang berguna untuk dirinya, tetapi tidak pada kita. Maka elakkanlah perkara ini dari berlaku. Kenalpasti keinginan anda!

Mulakan membersihkan persekitaran peribadi anda seperti bilik anda, daripada barang-barang yang tidak digunakan lagi atau yang tidak anda perlukan. Isikan almari anda dengan pakaian-pakaian yang anda perlukan. Pakaian yang memang tidak dipakai lagi bolehlah disedekahkan pada orang yang memerlukannya.


Kemas meja anda daripada nota-nota atau kertas yang lebih merupakan sampah sahaja. Kemaskini dokumen-dokumen anda dengan sistem fail yang tepat dan kemas. Bersihkan longkang di rumah anda, atau kosongkan tong sampah anda. Berdisiplinlah dengan hidup ini. Buang semua cara berbelanja yang membazir. Bebaskan pemikiran, cara bercakap, apa yang anda percaya, tindakan-tindakan anda, yang selama ini berasaskan tidak cukup dan tidak puas.


3. Bersedekah .


Jadilah seorang yang pemurah. Kita sentiasa inginkan agar Allah menunjukkan sifat pemurah-Nya pada kita, tetapi adakah kita seorang yang pemurah dengan kemampuan diri yang ada pada kita? Dalam Islam, bagi satu sedekah, ganjarannya adalah sepuluh kali ganda. Maksudnya, setiap satu sedekah yang ikhlas dari kita, maka Allah akan membalas balik dengan sepuluh kali ganda daripada apa yang telah kita sedekahkan. Dalam Hukum Tarikan, amalan bersedekah amat disarankan kerana dengan bersedekah, kita menghantar gelombang bahawa kita mempunyai lebihan wang, maka kita menarik tenaga kecukupan pada diri kita.


Sedekah juga mengajar hati kita menjadi bersih, ikhlas dan dapat menghayati serta memahami kesusahan orang lain. Maka jadilah seorang yang dermawan. Senyum juga satu sedekah. Bersedekahlah dengan apa yang anda miliki, tidak semestinya dengan wang. Anda juga boleh berdoa untuk kesejahteraan orang lain, menyedekahkan tenaga dan sebagainya dengan ikhlas.


Rezeki dalam bentuk apa pun jua, adalah tenaga, sebagaimana yang kita semua faham bahawa seluruh alam ini, termasuk diri kita, adalah terdiri dari zarah-zarah atom yang merupakan tenaga. Tenaga bergetar dan bergerak dalam satu aliran yang tersendiri. Cuba kita lihat pergerakan udara (angin) dalam sebuah bilik yang tertutup, hanya tingkapnya sahaja yang terbuka. Kebarangkalian untuk angin mengalir masuk melalui tingkap adalah amat sedikit, walaupun masih ada cukup udara dan oksigen. Sekarang, kita buka pintu bilik itu. Anda akan dapat rasakan angin mula masuk melalui tingkap dan keluar melalui pintu, kerana sudah ada aliran untuk udara keluar masuk. Begitu jugalah dengan rezeki dan kecukupan diri kita. Rezeki akan datang melimpah ruah andainya kita sedia berkongsi apa yang kita perolehi (bersedekah/murah hati) dengan orang lain. Tidak semestinya wang, ilmu juga jika disimpan, tidak diamalkan dan tidak disampaikan, ianya tidak akan bertambah, malah menjadi semakin malap.


4. Maafkan semua perkara yang menyakiti anda .


Bebaskan hati anda daripada dendam. Apabila anda masih menyimpan kemarahan, tidak kira atas alasan apa pun, sebenarnya anda hanya menyakiti diri anda. Dendam dan marah hanyalah membuatkan kita sentiasa hidup pada hari semalam, iaitu hari di mana kita rasa disakiti. Ini hanya akan menyulitkan kita untuk maju ke hadapan dan memiliki masa depan yang lebih baik. Oleh itu, lepaskanlah... ‘Let it go, let it go... Release it, let it go...'


Antara cara terbaik untuk menghilangkan kemarahan ialah dengan menulis sepucuk surat atau senarai mengenai segala apa yang anda marahkan selama ini. Tulislah kesemuanya hingga anda dapat merasakan kemarahan anda telah pun berpindah ke atas kertas itu dan kemudian, bakarlah kertas tersebut. Maafkan sesiapa yang telah melukakan hati anda, atau bersalah dengan anda. Luangkanlah masa 10 minit sehari dengan mengucapkan:

‘Aku maafkan dan bebaskan... dan aku harap mereka bahagia dan mereka akan pergi dariku...'


Antara kebaikan yang akan anda rasai apabila anda memaafkan seseorang ialah:

1. Hati akan menjadi bersih.

2. Fikiran menjadi tenang.

3. Penyakit rohani dan jasmani mudah sembuh.

4. Wajah lebih cantik/tampan kerana wajah adalah cermin hati.

5. Suntikan hidayah akan memasuki jiwa anda.

6. Rezeki akan dipermudah dan mula melimpah ruah.

7. Mula dapat merasakan kehadiran kasih sayang yang banyak daripada pelbagai sudut.

8. Diri akan menjadi lebih produktif kerana anda lebih bertenaga dan bersemangat.

9. Doa cepat dimakbulkan.

10. Kemampuan tenaga zahir dan batin akan meningkat.


Praktikkan cara-cara ini, semoga anda akan dapat menukar minda anda kepada manusia yang berfikiran serba cukup. Dengan mengamalkan Hukum Kecukupan ini, semoga Hukum Tarikan yang anda amalkan akan mudah dimanifestasikan. Semoga kita semua beroleh rahmat dan petunjuk dari Allah s.w.t sentiasa.


Ingatlah, hidup ini adalah indah apabila kita benar-benar bersyukur. Segalanya terletak pada hati dan fikiran kita. Kita harus melihat pemberian Allah dengan mata rohani, sehingga mampu merasakan kekayaan rohani yang kita miliki itu adalah pemberian Allah. Keselamatan, kesihatan, ketenangan, keyakinan iman dan banyak lagi lainnya, adalah kekayaan rohani yang sangat mahal harganya. Allah s.w.t. tidak pernah melupakan hamba-hamba-Nya, tetapi manusialah yang lupa kepada-Nya. Sedikit sekali manusia yang bersyukur kepada-Nya.


Sabda Rasullullah s.a.w., maksudnya:

"Pada anggota manusia itu, ada seketul daging, jika baik daging itu, maka akan baiklah seluruh jasadnya. Ketahuilah, bahawa yang dimaksudkan dengan daging itu, adalah hati."

(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

No comments:

Post a Comment