Tuesday, March 15, 2011

Hakikat Ilmu


Ramai yang tahu kepentingan mencari ilmu. Hatta, wahyu yang pertama diturunkan pada Rasulullah saw pun berbunyi 'IQRA'' iaitu 'Bacalah!'. Tetapi, mengapa wahyu Ilahi yang pertama menyuruh Rasulullah saw membaca sedangkan baginda seorang yang ummi (tidak tahu membaca)?

Yang Tersirat
Hakikatnya, 'baca' di sini bukan bermaksud membaca apa yang bertulis, tetapi apa yang tidak bertulis. Perkara yang tidak bertulis iaitu perkara yang tersirat jauh lebih banyak, yang tidak semua manusia mampu 'membacanya'.

Maka, ayat lengkap wahyu tersebut ialah "اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ" yang bermaksud: "Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan". Jadi, ilmu yang kita ada semestinya perlu sampai kepada hakikat ketuhanan. Kalau belum, maka tidak sempurnalah ilmu itu.

Ramai yang melihat ilmu itu dengan setinggi mana tahap akademik seseorang. Yang mendapat gelaran 'Dr.' atau 'Ir.' atau apa sahaja pangkat ilmu dilihat sebagai seorang yang patut dihormati. Ramai orang yang mengejar pangkat ilmu semata-mata untuk mendapat kesenangan hidup tetapi tidak ramai yang sedar bahawa ilmu yang disalahguna untuk kesenangan hidup itu membawa kepada kesengsaraan hidup di akhirat kelak.

Rasulullah S.A.W. telah bersabda :

"Ilmu itu ada dua jenis : Ilmu yang ada dalam hati (disertakan amal), maka itulah yang bermanfaat; dan ilmu (yang hanya) berada di atas lidah (tanpa diamal), maka itulah ilmu (yang menjadi) hujjah Allah (untuk mendakwa kesalahan) terhadap anak Adam." - [Riwayat Ibnu Syaibah dan Al Khatib]

وَمِنْ آيَاتِهِ أَن يُرْسِلَ الرِّيَاحَ مُبَشِّشْكُرُونَ
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahwa Dia mengirimkan angin sebagai pembawa berita gembira dan untuk merasakan kepadamu sebagian dari rahmat-Nya dan supaya kapal dapat berlayar dengan perintah-Nya dan (juga) supaya kamu dapat mencari karunia-Nya; mudah-mudahan kamu bersyukur." (Surah Ar-Rum Ayat 36)

Ilmu kini hanya dilihat sebagai aset duniawi semata-mata. Sedangkan hikmah di sebalik wahyu pertama itu jauh lebih mendalam maksudnya. Ya, sejarah dunia sendiri telah menyaksikan kehebatan ummat Islam dalam bidang keilmuan suatu ketika dahulu. Tetapi kini, semua itu kelihatan sungguh jauh dari kenyataan. Kerana ilmu itu tidak lagi mampu membuktikan tahap kehambaan seseorang kepada Rabbnya.
Kata Imam Ghazali RahimahulLah Ta’ala :

"Ilmu yang meemberi manfaat itu ialah ilmu yang menambahkan perasaan takutmu kepada Allah Ta’ala; (ilmu) yang menambahkan celik mata hatimu terhadap keaiban-keaiban dirimu; (ilmu) yang menambahkan ibdahmu kepada Tuhanmu ‘Azza wa Jalla dengan sebab makrifatmu kepadaNya; (ilmu) yang mengurangkan gemar kasihmu kepada dunia; (ilmu) yang menambahkan gemar kasihmu kepada akhirat; (ilmu) yang membukakan pandangan mata hatimu terhadap kebinasaan-kebinasaan segala amalmu sehingga kamu dapat memeliharakan dirimu daripadanya; (ilmu) yang menampakkan kepada kamu segala perdayaan syaithan dan tipuannya". - [Bidayatul Hidayah]

Ya Allah, lapangkanlah dada kami seluas-luasnya (dalam menuntut ilmu) dan berikanlah kami kefaqihan dalam Ad-Deen"

-Artikel iluvislam.com

Semua Perlu Berhikmah


"Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (An-Nahl, ayat 125).

Menasihat Berhikmah

Apabila menyebut ttg memberi nasihat atau memberi teguran, atau berdakwah, kita akan selalu mengaitkannya dengan hikmah. tapi sebenarnya apakah maksud hikmah?

Prof. Madya Muhammad Abu al-Fath al-Bayanuni dari Institut Pengajian Tinggi Dakwah Islamiah di Madinah mentakrifkan hikmah sebagai, meletakkan sesuatu pada tempatnya. (Sumber)

Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan dari ayat di atas bahawa seorang pendakwah akan menghadapi tiga jenis manusia iaitu

1. Golongan cendekiawan yang dapat berfikir secara kritis dan mendalam, cepat dapat menangkap sesuatu persoalan.
- Mereka ini harus didakwah dengan berhikmah, iaitu dengan alasan, dalil dan hujah yang dapat diterima oleh kekuatan akal mereka.

2. Golongan orang awam yang kebanyakkannya belum dapat berfikir secara kritis, belum dapat menangkap pengertian yang tinggi-tinggi.
- Mereka hendaklah didakwah dengan nasihat dan pengajaran yang baik iaitu melalui pendidikan yang baik dan mudah difahami.

3. Golongan yang tingkat kecerdasannya diantara yang tersebut diatas.
- Mereka ini hendaklah didakwah dengan bertukar-tukar pandangan dan fikiran yang boleh mendorong untuk berfikir secara sihat dalam mencari kebenaran. Oleh itu, dakwah yang berkesan adalah mengikut kondisi orang yang didakwahnya. (Sumber)

Kita ikuti perbincangan perkara ini di komuniti iLuvislam.com. Klik Sini

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.
(Surah Ali-Imran ayat 159)

Bayang - Bayang Dunia


Dunia hari ini cukup pantas. Tidak sempat untuk dikejar. Perubahan yang melanda cukup deras. Siapa yang perlahan, nampaknya akan ketinggalan. Tapi itu kalau dunia yang kita kejar ^_^

Kata Mr.X,
"Dunia is like a shadow, if you try to grab it, you won't be able to do so, but if you turn your back towards it, it has no choice but to follow you"

Namun harus diingat, bukanlah tidak mengejar dunia bermaksud kita mengasingkan diri dari masyarakat. Pergi beruzlah di dalam gua nun jauh di hutan sana. Tidak mahu bercampur dengan masyarakat dek kerana banyaknya maksiat. Ingat pesan ulama, orang yang bahagia di akhirat adalah orang yang paling sibuk di dunia!

Masih kita berbicara tentang 'pantas' ataupun 'segera'. Kita semua ingin sesuatu dengan segera. Sukar untuk ditunggu. Semuanya ingin cepat sahaja.Mee maggi cepat dimasak enak dimakan- demikian lagu iklan suatu ketika dahulu.

Sekadar peringatan, kehidupan kita tidak 'sesegera' itu. Untuk kita menjadi diri kita hari ini, ia memerlukan masa bertahun-tahun. Untuk sesorang itu berjaya dalam SPM, kebiasaannya ia memerlukan masa 17 tahun lamanya.

Pendek kata, kehidupan ini adalah satu proses. Proses memerlukan masa dan komitmen. Lebih menarik lagi, jika sesuatu itu adalah 'proses', maka semua orang boleh melakukannya.Contoh mudah; masak nasi adalah satu proses. Siapa pun kita, andai kita belajar proses memasak nasi, insyaAllah, hasilnya nasi bukan maggi.

Mari kita tutup dengan sambungan bicara Mr.X,

"Kita ada proses untuk ke neraka dan proses untuk ke syurga. Prosesnya tidak sama. Ramai orang kata saya hendak masuk syurga tapi prosesnya menuju ke neraka. Pelik tapi benar. Semacam orang hendak minum kopi tapi dibuatnya nescafe. Maka tepuk dada, tanya jiwa, anda melalui proses yang mana?"

- Artikel iluvislam.com

Di Mana Dia Di Hatimu?


Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.

Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."

Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.

Ketika di ambang maut?

Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?"

Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."

Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati baginda.

Ketika tiada siapa mengetahui?

Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"

"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."

"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.

"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.

Saidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan yang tinggi di sisiALLAH. Jelas ada DIA di hatinya.

Ketika kamu tiada jawatan?

Satu ketika yang lain, Saidina Khalid Al-Walid diturunkan pangkatnya daripada seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh Khalifah Umar. Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas sedikit pun perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat.

Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid menjawab, "Aku berjuang bukan kerana Umar." Ya, Saidina Khalid berjuang kerana ALLAH. Ada DIA di hatinya.

Lalu, di mana Dia dihati kita?

Melihat anekdot-anekdot itu, aku terkesima lalu bertanya kepada diri, di manakah DIA dalam hatiku?

Apakah ALLAH sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk serta membujuk hatiku yang rawan?

ALLAH ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta ALLAH bersemi. Jika cinta ALLAH yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya, cinta selain-NYA yang ada di situ, maka cinta ALLAH akan terpinggir. Ketika itu, tiada DIA di hatiku!

Sering diri ini berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidupku, kata mereka (dan aku amat yakin dengan kata itu);

"Bila ALLAH ada di hatimu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki."

Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah ALLAH menjadi tumpuan dalam hidupku?

Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-NYA?

Bila bertembung antara kehendak-NYA dengan kehendakku, kehendak siapa yang aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerana-NYA? Tegakah aku membenci juga kerana-NYA?

Muhasabah ini melebar lagi. Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam-MU?

Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?

Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai-MU, ya ALLAH.

Dan aku juga tidak dapat mendustai diri sendiri

Aku teringat bagaimana suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, "Apakah engkau takutkan ALLAH?"

Dia menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak..."

Maksudnya, jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan ALLAH pun sukar bila ditanyakan apakah ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagilah aku yang hina dan berdosa ini.

Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.

Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"

Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."

Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.

Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.

Dan kita akan terus mengemis kasih...

Sertai Forum 'FEWWIT : Di Mana Dia Di Hatiku?' bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Pyan Saujana, Ustaz Syed Kadir Aljofree dan Wardina Safiyyah di UKM pada 20hb ini. Masuk PERCUMA. Maklumat lanjut DI SINI.

- Artikel iluvislam.com

Mudahnya Kita Jatuh Cinta!


Dan terkadang kecintaan memelikkan kita.
Mengapa mudah kita tertaut hati pada seseorang itu?

Hanya pada pandangan pertama.

Dan dulu seorang adikku
selalu mengatakan itu padaku,

Begitu mudahnya aku menyintai seseorang.
Begitu juga dalam jalan dakwah ini.

Kita akan mudah terjatuh cinta.
Banyak kali

Cinta pada mereka yang memberikan kita rasa faham ini.
Dan cinta kepada mereka yang kita berikan rasa faham ini.

Ia adalah tautan hati
Yang sukar dimengertikan.

Perasaan yang sukar
Dinukilkan dengan lukisan kita

Begitulah besarnya erti cinta pada dakwah ini.
Ia menolak kehendak diri untuk memberi sebuah erti

Jauh dirasakan dekat
Sering bersama tidak mendatangkan kebosanan
Ianya bahagia tiada tara!

Ia mengajar erti untuk tidak berhenti dalam memberi
Ia menolak diri untuk sentiasa mengorbankan diri
demi insan yang baru sahaja dikenali

kerana ikatan hati itu
bertahkik pada cinta Ilahi

( aku dan dia, mengalami rasa yang sama; mudahnya hati ini tertaut dan menyukai manusia. Kerana itu, takutnya apabila dialirkan cinta itu pada yang bukan berhak)

Kerana dakwah dan islam, sentiasa menyatukan hati kita,
Menjadikan kita sentiasa jatuh cinta sesama kita,
Setiap masa.

Mudahnya dakwah ini menjadikan kita
Untuk jatuh cinta!

Kerana Allah: Dialah yang meng'allaf'kan hati2 kita!

وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِہِمۡ‌ۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِى ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعً۬ا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَـٰڪِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَہُمۡ‌ۚ إِنَّهُ ۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬
Dan (Dialah) yang menyatukan di antara hati mereka. Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. ( Anfal: 63)



"Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah itu ada satu golongan,mereka bukan dari golongan para nabi ataupun syuhada',tetapi para nabi dan syuhada' mencemburui mereka,tempat mereka di sisi Allah s.w.t.Kata para sahabat,khabarkan kepada kami siapa mereka? Rasulullah S.A.W bersabda:"Mereka adalah satu kaum yang saling cinta-mencintai kerana Allah,bukan ada hubungan saudara-mara di kalangan mereka dan juga bukan kerana kepentingan.Demi Allah,di wajah mereka ada cahaya dan mereka di atas cahaya.Ketika manusia takut,mereka tidak takut.Ketika manusia bersedih,mereka tidak bersedih.Dan mereka berkata,sesungguhnya wali-wali Allah tidak takut dan tidak sedih."♥



- Artikel iluvislam.com

Monday, March 14, 2011

Pencipta dan Penciptaan


Patutkah manusia itu berkata demikian dan tidak memikirkan bahawa Kami telah menciptakan dia dahulu sedang ia pada masa itu belum ada sebarang apapun? (Surah Maryam:67)

Allah Maha Pencipta

Pernahkah kita terfikir? "Bagaimana alam ini terbentuk?" "Bagaimana matahari dan bulan terbentuk?" "Di manakah adik-adik sebelum dilahirkan?" "Bagaimana lautan, pokok-pokok, dan haiwan muncul?" "Bagaimana buah-buahan yang harum dan berwarna-warni, seperti pisang, plam, ceri dan strawberi, dapat muncul daripada tanah yang hitam? Siapa yang memberikan warna dan bau kepada mereka?" "Daripada siapakah lebah yang kecil ini belajar membuat madu yang begitu enak?" Bagaimana ia membuat sarang yang mempunyai persimpangan-persimpangan yang lancar?" "Siapakah manusia pertama?"

Ibu kamu telah melahirkan kamu. Tetapi manusia pertama tidak mungkin mempunyai emak dan bapa. Jadi, bagaimana manusia pertama muncul?"

Allah telah menjadikan kita, mata kita, rambut kita, dan kaki kita. Dia juga pencipta keluarga kita, kedua ibubapa, abang dan kakak, kawan-kawan dan guru-guru. Allah telah menjadikan makanan yang kita gemari untuk kita, coklat, kek dan gula-gula, buah-buahan dan sayur-sayuran yang menjadikan kita kuat dan sihat. Jika Allah tidak mejadikannya, kita tidak dapat tahu bagaimana rasanya coklat.

Allah juga mengurniakan kita deria rasa dan bau. Jika Dia tidak memberikan kita keistimewaan ini, kita tidak mungkin dapat merasa makanan yang kita makan. Sama sahaja sama ada kita makan kentang atau kek. Allah tidak hanya menjadikan makanan yang lazat dan harum, Dia juga menganugerahkan kita keistimewaan yang membolehkan kita menikmatinya.

Kerana Allah mengasihi hambanya, Dia sentiasa memberikan kita perkara yang baik dan indah.

Mulanya kamu tidak wujud. Fikirkan, kamu tidak wujud sebelum kamu dikandung (di dalam perut ibu kamu). Kamu kosong. Allah menjadikan kamu. Dia menjadikan kamu daripada kekosongan.

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa bersyukur setiap detik di dalam hidup kita. Di dalam setiap perkara yang kita nikmati dan gemari, kita hendaklah mengingati Allah, dan berkata, "Saya sentiasa menyukuri setiap apa yang Kamu berikan". Apabila kita berada pada situasi yang tidak kita sukai, sekali lagi kita perlu berdoa kepada Allah, kerana hanya Dia yang dapat memperbaiki situasi tersebut.

Allah sentiasa mendengar doa dan membalasnya, kerana Dia mengetahui apa yang ada di dalam minda kita.

Di sebalik Penciptaan Adanya Pencipta

Semua benda yang ada di dunia ini ada penciptanya. "Sebelum" adanya Masa, siapakah yang menciptakan Masa? Sebelum adanya ruang di langit untuk planet-planet, siapakah yang menciptakan ruang itu? tentu Pencipta itu sangat berkuasa, tidak tertakluk oleh penciptaannya yakni masa dan ruang. Dialah Allah, Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui segala sesuatu tentang apa yang Dia ciptakan.

وَٱللَّهُ أَخۡرَجَكُم مِّنۢ بُطُونِ أُمَّهَـٰتِكُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ شَيۡـًٔ۬ا وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَ‌ۙ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur. (Surah An-Nahl:78)

Kejahatan Itu Bukan Satu Kebetulan


Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk perlahan-lahan, tahap demi tahap. Pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah.

Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Kesalnya bukan main. Sesalnya sungguh merimaskan. Rasa bersalah itu memang resah. Benarlah seperti yang sering diungkapkan, bila manusia berdosa dia bukan sahaja nenentang Allah tetapi juga menentang dirinya sendiri.

Namun rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya... rasa bersalah itu akan hilang. Sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan... tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.

Dosa itu racun yang disalut kemanisan. Dosa yang dilazimi tidak akan terhenti kesannya pada hati. Dari tahap terbiasa dengan dosa, kederhakaan meningkat lebih parah lagi. Tibalah hati pada tahap ketiga, yakni seronok dan rasa indah dengan dosa. Diri sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukannya. Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran, mencengkam hati dan diri. Racun dosa terasa nikmatnya. Tiada lagi rasa bersalah. Bisa dosa yang terbiasa menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang tiada taranya.

Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan tidak pernah tidur. Usahanya tidak pernah kendur. Lalu apabila syaitan meluncur laju di lebuhraya nafsu, diri yang seronok dengan dosa itu dirasuk untuk 'maju' setapak lagi. Itulah tahap keempat yang lebih dahsyat dan sesat. Keseronokan dosa menjadi si berdosa itu menjadi pembela dan pejuangnya. Dosa dipromosi dan dihiasi sebagai jalan kebenaran dan denai keindahan. Jangan ada pembela agama yang bercakap tentang akhirat dan kiamat... pejuang dosa itu pun bangun menentangnya dengan seluruh upaya dan kudrat.

Justeru wahai diri, berhati-hatilah dengan dosa. Jangan tertipu oleh kecil atau remehnya suatu kederhakaan. Ingat, tusukan dosa bukan seperti belati yang membunuh tiba-tiba, tetapi ia umpama api dalam sekam yang membara dalam diam. Keterlanjuran kali pertama jangan disusuli oleh kesengajaan kali kedua. Kelak akan menyusul perancangan dan perjuangan atas nama dosa.

Wahai diri... ketika rasa bersalah singgah di dalam hati pada kali pertama kau berdosa, ketahuilah itu adalah 'peringatan' yang Allah bekalkan secara tabii untuk menjaga fitrah insani. Itu petanda yang hatimu masih hidup. Penyesalan itukan syarat taubat? Maka susulilah dengan syarat kedua dan ketiga (jika dosa itu dengan Allah). Jika dosa itu dengan manusia, tambahlah lagi dengan syarat yang keempat. Tidak mengapa jika kau terlanjur lagi berdosa selepas itu. Bertaubatlah kembali. Hatimu akan hidup lagi. Selagi ada rasa bersalah, selagi itulah ada sarana untuk kembali kepada Allah. Jangan putus asa oleh taubat yang patah, kerana kasih-sayang Allah akan menumbuhkan taubat kali kedua, ketiga dan seterusnya.

Wahai diri, biarlah dirimu jatuh bangun, merangkak tegak, dalam taubat demi taubat yang tidak 'menjadi' berbanding larian dosa yang maju dan laju tanpa henti-henti. Lebih baik terbentur, daripada patah. Lebih baik hatimu selalu terdera oleh rasa berdosa sepanjang hayat, daripada tertipu oleh 'nikmatnya' yang menyebabkan siksa selamanya di akhirat.

Wahai diri, ingatlah... sekalipun kau terhijab daripada mengecapi nikmat ketaatan, tapi jangan sampai kau tertipu oleh nikmat kejahatan. Berhati-hatilah menjaga hati. Tidak mengapa kau selalu menangis kerana dosa... tetapi jangan sampai kau tersenyum kerananya! Ingatlah selalu, kejahatan yang menyebabkan kau menangis, lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur!

- Artikel iluvislam.com