Thursday, January 27, 2011

Sejukkan Dengan Wuduk


"Rasulullah SAW pernah menjelaskan orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaan ketika marah untuk mengelak daripada bencana lebih buruk. Dia boleh mengalihkan situasi marah itu kepada satu keadaan yang lebih baik."

Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Islam mengajar umatnya bagaimana mengendalikan diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak berlarutan. Antaranya jika seseorang yang sedang marah itu dalam keadaan berdiri, adalah lebih baik dia duduk.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya dengan berwuduk. Dua perkara kelebihan wuduk, pertamanya membersihkan diri daripada kekotoran hati dan keduanya secara fizikal menyejukkan hati yang melahirkan ketenangan.

Hadis diriwayatkan Abu Daud yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” Mereka yang berjaya menahan amarahnya supaya tidak merebak akan mendapat ganjaran di sisi Allah di dalam syurga kelak, di mana mereka boleh memilih mana-mana bidadari yang mereka sukakan.

Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: “Barang sesiapa menahan amarahnya pada hal ia mampu untuk menumpahkannya, maka Allah akan memanggilnya di hadapan para pemimpin makhluk, lalu Allah memberinya kebebasan untuk memilih bidadari mana yang ia sukai.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)

Di samping mampu menahan sifat marah, seseorang itu juga perlu bersedia memaafkan pihak yang membuatkan mereka marah. Memaafkan kesalahan orang lain digalakkan bagi mengekalkan silaturahim dan keharmonian. Malah, sifat pemaaf meletakkan seseorang itu di tempat yang tinggi.

Nostalgia Kelapa Tua


Semua orang kenal kelapa tua. Tahu pula gunanya kelapa tua itu. Sangat penting dan sangat berguna kelapa tua ini dalam hidup manusia.

Namun begitu, kewujudannya tidak dipeduli dan tidak diendahkan orang. Kelapa tua tidak pernah menjadi topik perbincangan. Tidak pernah dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah. Kalaulah kelapa tua ini mempunyai emosi, tidak ramai orang yang akan dapat merasakan dan menyelami perasaannya. Itulah kelapa tua.

Kelapa tua pula tidak pernah susah hati kalau orang tidak mempedulikannya. Dia hanya tergantung di atas pokok dan terbuai-buai bila ditiup angin.

Tapi, lazimnya elok-elok kelapa tua itu tergantung di atas pokoknya sambil menikmati keindahan alam buana ini dari kedudukannya yang tinggi itu, datanglah orang menjoloknya dengan galah yang panjang. Tidak sabar menunggu kelapa tua itu jatuh sendiri. Bukannya selesa kena jolok-jolok macam tu.

Bila tangkainya sudah lemah setelah dijolok beberapa kali, maka gugurlah kelapa tua itu berpusing-pusing ke bumi. Gugur itu pula bukannya rendah. Bukan setakat lima atau sepuluh kaki tapi sampai empat puluh hingga lima puluh kaki. Bunyinya berdentum sampai ke tanah. Waduh! Kalau calang-calang buah, boleh berkecai. Kalau kepala orang, boleh bersepai otak!

Masalah kelapa tua ini tidak terhenti di situ sahaja. Ini baru muqaddimahnya. Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyak-koyak dan dibuang sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk. Proses ini bukan sekadar sekali tetak. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam kulit sabutnya.Seksanya tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan. Lepas itu sakit dikoyak dan disiat-siat. Ini berterusan sampai tempurung sahaja yang tinggal.

Bila dah sampai ke tempurung, maka tak apalah. Cantik juga rupanya. Keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak menilai seni yang seperti ini. Tempurung bulat yang cantik itu ditetak pula dengan parang dengan sebegitu kuat hingga terbelah dua di tengah-tengahnya. Maka tersembur dan mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih bersih.

Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sudah sampai ke tahap ini, maka selesailah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua, ini baru permulaan. Banyak lagi seksaan yang menanti.

Tak cukup dengan menyemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan isinya, isinya yang putih bersih itu dipisahkan dari tempurung, diparut dan dikukur pula hingga menjadi lumat. Tempurungnya dibuang. Kadang-kadang di bakar. Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah isinya yang sudah lumat dikukur dan diparut.

Untuk menambah seksanya lagi, dituang pula air ke dalam isi parut itu, diramas-ramas dan diperah-perah. Alangkah seksanya. Kalau hendak dikirakan, ini sudah terkeluar dari batas-batas perikemanusiaan. Kemudian ia ditapis menjadi santan.Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah menjadi cecair yang putih.

Setelah itu, minyak dipanaskan dalam belanga. Bawang merah, rempah dan rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup kuning dituanglah santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanasanlah santan itu hingga terkeluar minyaknya. Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak keseluruh ceruk rumah, maka orang pun bertanya:

"Gulai apa tu? Sedap sangat baunya?"

Orang di dapur hanya menjawab, "Gulai ikan bawal."

Gulai dapat nama. Ikan bawal dapat nama.

Orang kata, "Oh! Sedap gulai ni.""Oh! Sedap ikan bawal ni."

Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tidak ada siapa yang ambil kira atau ambil peduli. Alangkah indahnya kalau kita dapat berjasa seperti kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan dipuja. Bukan untuk dikenang atau untuk mendapat nama, tapi untuk Tuhan. Biarlah jasa-jasa kita tidak nampak di mata orang, tapi ada dalam perhatian Tuhan!

- Artikel iluvislam.com

Wednesday, January 26, 2011

Perak Perkenal Dinar Emas Dan Dirham


Dinar emas dan dirham perak yang akan dilancarkan oleh kerajaan negeri Perak pada penghujung bulan depan adalah dalam bentuk instrumen simpanan dan pelaburan dengan tujuan untuk memberi keuntungan kepada rakyat.

Pengerusi Goldnet International Sdn Bhd Datuk Rais Hussin berkata dinar emas dan dirham perak itu tidak akan digunakan sebagai mata wang seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan sebelum ini.

"Goldnet International dan kerajaan negeri Perak akan mengambil peluang meneroka pengalaman luas Kuwait Finance House (KFH) yang sebelum ini telah menawarkan akaun emas di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan kepada BERNAMA di sini hari ini.

Beliau berkata dinar emas dan dirham perak itu akan dikeluarkan oleh Goldnet International Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat usahasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri Datuk Mohamad Zahir Khalid berkata Perak sedang bekerjasama dengan KFH untuk memperkenalkan dinar emas dan dirham kerana institusi kewangan itu berpengalaman luas dalam aspek pengendalian berkenaan.

Beliau berkata dengan memperkenalkan dinar emas dan dirham ia akan mempelbagaikan bentuk simpanan dan pelaburan kewangan rakyat.

Segala perincian, mekanisme serta bentuk dinar dan dirham berkenaan akan diumumkan pada pelancaran itu nanti, katanya.

- Ipoh, 26 Januari 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

Apabila Ibadah Hilang Manisnya


Ibadah adalah jalan mendekatkan diri kepada Allah, baik ibadah-ibadah khusus yang mempunyai aturan-aturan tertentu yang telah digariskan mahupun ibadah-ibadah umum yang lebih luas dan subjektif. Selagi mana sesuatu kebaikan itu dilakukan kerana Allah dan tidak bertentang dengan aturan Allah, maka ia termasuk dalam ibadah.

Firman Allah yang bermaksud :

"Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi (beribadah) kepada-Ku."

(Adz-Dzaariyaat: 56)

Ibadah, baik yang wajib mahupun sunat, seharusnya dapat membawa seseorang merasa lebih nikmat dan indah dalam hidup ini. Setiap kali masuk ke dalam solat, hatinya merasa sungguh tenteram bersama Tuhannya. Apabila keluar daripada solat, hatinya selalu rindu untuk menghadapNya lagi. Tatkala kalam Ilahi dilantunkan, hatinya luluh sehingga mengalirlah butir-butir air daripada pelupuk matanya. Bahkan apabila bibirnya sendiri membaca Al-Quran, hatinya semakin teguh untuk melangkah dalam kehidupan. Itu belum bercerita tentang hal keadaan hamba yang begitu asyik merintih dan memohon rahmat Tuhannya di balik tirai malam. Semuanya terasa begitu mententeramkan, sepatutnya.

Namun, adakah kita sentiasa merasakan segala keindahannya ketika kita sendiri melakukan ibadah-ibadah tersebut dan ibadah-ibadah lain juga? Sejahat-jahat manusia, pasti tetap merindukan ketenangan yang hanya boleh dikecap apabila dia kembali kepada Tuhannya. Sebaik-baik manusia, pasti sesekali merasa malas untuk beribadah kerana hilang asyiknya. Persoalannya, bagaimana kemanisan tersebut boleh lenyap dan bagaimana kita boleh mengecap kemanisannya?

Persoalan khusyuk dalam solat adalah sebuah persoalan yang sangat utama dalam kehidupan. Apabila kita dapat mengecap nikmat khusyuk dalam ibadah terbaik tersebut, pastinya kita bakal memperoleh ketenangan yang luar biasa di luar solat. Kita akan belajar untuk khusyuk menyembah Allah dalam segenap aspek kehidupan. Saya pernah bertanya kepada seorang pensyarah, Dr. Ibrahim Shogar di UIAM Kuantan tentang bagaimana untuk khusyuk. Katanya, "It is very difficult for you to achieve khusyuk at this age of yours (20-an) when you have so much to think and to achieve. What you have to do is keep trying". Memikirkan kembali kata-katanya, ada betulnya. Namun, sudahkah we keep trying?

Ke Mana Hilangnya Kemanisan Tersebut?

Saya ingin menyebut tentang khusyuk yang lebih umum dalam segenap bentuk ibadah. Kecerahan siang itu semakin kelam kerana bertandangnya malam. Kedinginan malam semakin hilang apabila terbitnya mentari yang memanaskan. Cerahnya siang itu berbeza sama sekali dengan gelapnya malam. Begitu juga ibadah, manisnya hilang bersama nikmatnya maksiat. Nikmat maksiat menenggelamkan rasa manisnya ibadah.

Maksiat. Perbuatan curang seorang hamba terhadap Tuhannya. Tak mungkin maksiat dilakukan kerana Allah kerana ia sememangnya adalah sebuah larangan. Apabila ia dilakukan ganti berganti dengan ibadah, pastilah manis ibadah yang menjadi korban kerana tarikan dan nikmatnya maksiat itu lebih kuat. Khusyuknya solat hilang bersama pandangan syahwat yang dilayangkan pada lawan jenis yang bukan mahram. Indahnya kalam Ilahi tak terasa apabila jiwa sentiasa dipenuhi kata-kata cinta makhlukNya, apatah lagi yang belum halal. Malam terasa begitu sejuk untuk bertahajjud kerana tidurnya dalam murka setelah bermaksiat.

Apabila hati tercemar sedikit demi sedikit dengan maksiat, nikmat ibadah pun hilang. Lama-kelamaan, ibadah itu sendiri ditinggalkan. Bertambahlah maksiat kerana meninggalkan suruhanNya. Maksiat itu pasti meninggalkan bekas dalam hati. Sekalipun kita telah berhenti melakukannya, tetap juga kesannya terasa sangat dahsyat. Kesan-kesan dan bekas-bekas yang ditinggalkan inilah yang menyebabkan hati kita sentiasa meronta-ronta untuk kembali melakukannya. Kesan-kesan dan bekas-bekas ini juga yang menjadi hijab kepada rasa nikmatnya beribadah. Paku yang tertancap di tiang boleh dicabut, namun lubang dan kesan karatnya tetap tinggal berbekas.

Kembalikan Kemanisannya

Kembalikan rasa nikmat beribadah itu secepat mungkin, sebelum nikmatnya maksiat itu menghalang kita untuk terus beribadah dan mungkin akan terus berpaling daripada Allah. Ketika itu, kita akan menjadi hamba yang rugi serugi-ruginya. Ketika kita berpaling, maka Allah tidak pernah rugi. Lebih malang jika Dia terus membiarkan kita tersesat tak jumpa jalan kembali.

Jujurlah dalam menilai dirimu. Akuilah segala maksiat yang telah kita lakukan. Tak perlu diceritakan kepada orang lain. Cukuplah kita mengingatkan hati agar membenci segala kemaksiatan dan berusaha untuk mengembalikan kemanisan ibadah. Setelah kita dapat mengenal pasti kecurangan kita, berusahalah untuk meninggalkannya dengan bersungguh-sungguh. Berdoalah agar Allah membantu kita untuk terus taat kepadaNya. Rasulullah mengajarkan doa selepas solat dalam sebuah hadith:

Daripada Muaz bin Jabal RA, beliau berkata: Rasullullah SAW mengambil (memegang) tanganku pada suatu hari lalu berkata: "Wahai Muaz! Demi Allah, sesungguhnya aku mengasihi engkau." Muaz berkata: "Aku sanggup menebus diri engkau dengan ayah dan ibuku wahai Rasullullah SAW; dan demi Allah, aku juga mengasihi engkau." Maka Rasullullah SAW berkata: "Aku berwasiat kepada kamu janganlah kamu meninggalkan pada setiap kali selesai solat untuk mengatakan: "Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu".

( Riwayat Abu Daud dan al-Nasa'i )

Doa yang diajarkan baginda ringkas namun membawa maksud mendalam daripada sudut pengharapan seorang hamba kepada Tuhannya. Mengharap agar Allah tidak membiarkan kita terkapai-kapai dalam menempuh perjalanan menujuNya, dalam melakukan ibadah, berzikir dan bersyukur kepadaNya. Sungguh indah doa ini, marilah kita sama-sama amalkannya. Berikut lafaznya dalam bahasa Arab:

اللّهمّ أعنّي على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك

( Allahumma A'innii 'Alaa Dzikrika Wa Syukrika Wa Husni 'Ibaadatika )

Apabila laungan takbir tak mampu lagi mengetuk pintu hati dan kalam Ilahi tak bisa melembutkannya, zikrullah tak terasa manisnya dan hidup tak terasa bersamaNya, pasti ada terselit dosa yang terang mahupun sembunyi.

Wahai manusia, yang aku pun termasuk di dalamnya, tinggalkanlah kemaksiatan, perbaikilah ibadahmu dan sabarlah dalam mengerjakannya. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan carilah jalan kembali. Untuk itu, kita perlu bermujahadah melawan hawa nafsu agar Allah memberikan jalan keluar.

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik."

(Al-'Ankabuut: 69)

"Syurga itu dihiasi dengan perkara-perkara yang dibenci sedangkan neraka dihiasi dengan hal-hal yang disukai."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

- Artikel iluvislam.com

Senyum Itu Sedekah


Seorang sahabat yang tidak memiliki apa pun untuk disedekahkan bertanya, "Jika kami ingin bersedekah, namun kami tidak memiliki apa pun, lantas apa yang boleh kami sedekahkan dan bagaimana kami menyedekahkannya ?"

Rasulullah SAW bersabda, "Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah." (HR Tirmizi dan Abu Dzar).

Dalam hadis lain disebutkan bahawa senyum itu ibadah,"Tersenyum ketika bertemu saudaramu adalah ibadah." (HR Trimidzi, Ibnu Hibban, dan Baihaqi).

Malaysia Perlukan Kementerian Pembangunan Lelaki


Pendedahan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Othman Mustapha berdasarkan kajian yang dibuat pada tahun 2008, tempoh selama sepuluh tahun perkahwinan amat kritikal sekali kerana potensi penceraian adalah besar.

Dalam kajian pada tahun 2007, Jakim mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian. Bagi tempoh enam hingga sepuluh tahun pula mendapati 27.7 peratus bercerai. Ini bererti tempoh sepuluh tahun pertama merupakan tahun yang paling kritikal kerana 59.9 peratus pasangan berakhir dengan penceraian.

Daripada sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, 27,116 kes perceraian telah direkodkan pada tahun berkenaan.

Kementerian Pembangunan Lelaki

Kita sudah biasa dengan kewujudan kementerian pembangunan wanita di negara kita Malaysia. Secara spontan kita dapat fahami peranan kementerian terbabit adalah untuk menjaga kebajikan kaum wanita dari serba serbinya agar tidak teraniaya, tertindas, ketinggalan dan seumpamanya. Namun melihat kepada keadaan semasa di Malaysia, mungkin sudah tiba masanya kita memikirkan sebuah badan khas untuk membantu kaum lelaki yang kelihatan sudah semakin pudar keupayaan mereka.

Allah swt menciptakan isi dunia ini berpasangan agar mereka saling boleh bekerjasama memakmurkan dunia sesuai dengan fitrah mereka; fitrah yang pastinnya membawa kepada ketenangan, keharmonian dan dinamisme. Namun, kini jumlah wanita lebih ramai memenuhi institut pengajian tinggi dan seterusnya semakin banyak menguasai jawatan-jawatan di medan pekerjaan. Pendidikan di dalam rumah tangga semakin terhakis, salah satu puncanya adalah apabila wanita semakin ramai diperlukan untuk keluar bekerja, manakala lelaki pula gagal menampung keperluan membantu dalam pendidikan anak-anak.

Dalam kata mudahnya, dunia pekerjaan kini memerlukan bantuan wanita untuk terus bergerak. Namun dunia rumahtangga memerlukan bantuan lelaki untuk terus harmoni.

Apabila wanita kelihatan berjaya menampung keperluan dunia pekerjaan, tentunya kemampuannya mengurus isi rumahtangga menyusut, ketika itulah peranan lelaki diperlukan. Tetapi sedikit malang apabila lelaki terus terkebelakang. Di dunia kerjaya mereka menyusut, di dalam rumahtangga mereka sering gagal menampung ruang kosong yang ditinggalkan isteri bekerja. Hasilnya pergolakan pasti berlaku, rumahtangga berantakan, anak pasti terkena impak negatif dan seterusnya mendasar di dalam jiwa mereka sehingga dewasa. Lebih buruk jika impak tersebut merosak jiwanya dan menjadi anak tersebut sebagai pembuli di sekolah, virus di universiti, sampah dalam masyarakat dan pencipta masalah dalam negara.

Firman Allah swt:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Ertinya : Lelaki itu adalah ketua ke atas wanita disebabkan kerana kurniaan yang diberikan kepada mereka dan disebabkan nafkah yang mereka berikan.. (Surah Al-Nisa : 34)

Jelas dari ayat di atas, Allah melantik lelaki selaku ketua dan pemutus keputusan di dalam sesebuah rumahtangga berdasarkan dua sebab utama iaitu:

1. Kelebihan fizikal mereka.

2. Tanggungjawab mereka selaku pencari nafkah untuk keluarga.

Kesan Domino Berantai

Nescaya, kalau kedua-dua itu tidak disempurnakan dengan baik, pastinya masalah akan berputik satu demi satu, ketidakpuasan hati akan menjelma hari demi hari, kehidupan akan berubah kepada seribu satu macam jenis masalah, berakhir dengan penceraian dan anak-anak bermasalah.

Anak-anak ini akan membawa masalahnya ke sekolah dan universiti, sebagaimana ibu dan ayah mereka membawa masalah ke tempat kerja. Akhirnya aura negatif mereka berpindah dari seorang ke yang lain, lalu mempengaruhi sekelompok masyarakat dan seterusnya negara. Ia adalah kesan domino yang berantai.

Kerana itu keharmonian keluarga amat penting dalam Islam, dan Nabi mengatakan krisis dalam keluarga adalah penghakis agama. Ia punca kepada masalah lebih besar dalam masyarakat.

Nabi memaklumkan keperluan segara mendamaikan dan menyelesaikan masalah dalam keluarga malah ia lebih besar ertinya dari sedekah, puasa dan solat (sunat).

Nabi bersabda, yang bermaksud :

"Wahai sahabatku, mahukah kamu aku khabarkan satu amalan yang lebih besar fadhilatnya berbanding puasa (sunat), sedekah (sunat) dan solat (sunat)?" Maka Abu Darda' menjawab : "Ya Rasulullah". Nabi membalas : "Itulah mendamaikan perbalahan dalam keluarga dan masyarakat." [Riwayat Al-Tirmidhi Abu Daud : Hadis bertaraf hasan dan sohih menurut Albani]

Dan Nabi menambah selepas itu, menyebut, yang bermaksud :

"Keroasakan dalam hubungan rumahtangga, kaum kerabat dan organisasi masyarakat akan menghakis (ketaatan dalam agama). [Riwayat Ahmad dan Tirmidhi : Hadis Hasan]

Semakin Mudah Cerai

Apabila wanita sudah berkerja dan berpendapatan sendiri, mereka tiada lagi punyai masalah untuk bercerai, hasilnya berdasarkan kajian Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin, trend perceraian bagi tempoh 1998-2002 menunjukkan, hampir 70 peratus kes perceraian di Kelantan, Johor dan Terengganu dipohon oleh wanita (isteri). Di beberapa negeri lain pula menyaksikan lebih 50 peratus wanita sebagai plaintif dalam kes perceraian.

Allah Maha Mengetahui wanita dan emosinya, ia satu perkara fitrah. Justeru kuasa cerai diberikan kepada suami. Namun isteri masih mempunyai kuasa untuk memohon melalui mahkamah, apabila mereka benar-benar mempunyai kes dan sebab yang utuh di sisi syara'. Fakta yang diberikan di atas menyokongnya, ia juga sekaligus menunjukkan kegagalan kaum lelaki.

Tulisan ini bukan untuk menyalahkan sesiapa, cuma mengajak kita berfikir sejenak kepada kelemahan lelaki dalam memainkan peranannya yang dianugerahkan oleh Allah, iaitu sebegai ketua keluarga. Ia merupakan satu tugas dan amanah yang datang dengan tanggungjawab dan peranan.

Tanggungjawab sebesar itu, memerlukan ilmu dan kredibiliti secukupnya untuk bertindak selaku pemutus keputusan di dalam ruamhtangga. Keputusan yang dibuat pula mestilah cukup rasional dan boleh diterima oleh ahli rumah khususnya isteri.

Seperti sifat seorang hakim di dalam mahkamah, selain hakim, peguam bela dan peguam pendakwa juga pakar di dalam bidang undang-undang, namun ia perlukan seorang pemutus keputusan. Itulah sebaik-baik cara yang Allah ajarkan untuk manusia, mereka perlukan pemimpin yang tidak mudah terpengaruh dengan emosi, tetapi lebih tumpu kepada rasional dalam membuat keputusan. Berdasarkan ayat surah al-Nisa tadi, Allah melantik lelaki dan Allah Maha Mengetahui setiap kelemahan dan kelebihan makhluk yang diciptakannya.

Hari ini, dengan segala kecukupan peralatan dan fizikal yang ada pada lelaki, semakin ramai yang menyalahgunakan kemudahan fizikal yang diberi. Digunakan untuk menjadi penjenayah tegar, tenaga fizikal digunakan untuk merempit, bergaduh dan 'tunjuk kuat'. Sebahagiannya diguna untuk mendera anak dan isteri serta wanita lain. Minda logika dan kurang emosi yag Allah anugerahkan digunakan untuk justifikasikan segala kelalaian dan menghiburkan diri apabila ditimpa kegagalan.

Akhirnya makin ramai lelaki yang gagal menggalas tugas ketua sebuah keluarga. Hal tersebut mendorongnya untuk terus mendesak isterinya mengambil alih sebahagian tugasannya. Dan berterusan rumah menjadi 'rumahku nerakaku'.

Mungkin dengan sebab itu, kita kini memerlukan Kementerian Pembangunan Lelaki di negara kita?

Kita sedar, tabiat lelaki tidak suka dinasihati kecuali mereka yang datang meminta, tidak seperti wanita yang lebih mudah menerima nasihat. Justeru, adakah jika kementerian seperti ini diwujudkan, ia boleh mengubah situasi buruk yang melanda?

Segeralah Melakar Plan Bertindak Atau...

Apapun, pemimpin negara dan semua pihak berkuasa perlukan kaedah dan strategi jelas bagaimana untuk kembali memperkasakan lelaki, bukan dengan sibuk menjual 'ubat kuat' dan 'tahan lasak' tetapi untuk memperkasakan iman, ilmu, jiwa, minda mereka agar kembali boleh berperanan sebaiknya, tanpa plan bertindak yang jelas dan jitu, krisis lebih buruk akan berlaku dalam negara kita.

Sudah tentulah, pemerkasaan yang pertama adalah mengembalikan mereka kepada fitrah mereka, membawa lelaki kepada agama, kerana semua itu bakal mempengaruhi isteri dan anak-anak mereka.

Apa pandangan anda?

- Artikel iluvislam.com

Google Akan Buka Pejabat Di Malaysia


Syarikat enjin carian, Google, akan meningkatkan pelaburan di Asia Tenggara tidak lama lagi untuk memberi perkhidmatan kepada para pengguna dan pengiklan bagi mengambil kesempatan daripada pertumbuhan luar biasa yang dijangka di kalangan pelbagai pengguna Internet.

Pengarah Urusan Asia Tenggara Google Julian Persaud berkata pelaburan itu akan termasuk membuka satu pejabat di Malaysia pada tahun ini di mana bilangan pengguna Internet hari ini dicatatkan 17 juta.

Pembukaan pejabat Kuala Lumpur adalah sejajar dengan komitmen Google untuk menyediakan rakyat Malaysia dengan produk tempatan yang akan memudahkan kehidupan masing-masing.

Persaud juga menyatakan bahawa pertumbuhan tinggi dijangka dari pasaran wayarles berikutan perkembangan persekitaran online di Malaysia yang berkembang dengan pantas melalui perkembangan signifikan yang berlaku di dalam akses Internet jalur lebar dan aktivitie-niaga.

"Kami gembira untuk menjalin operasi terbaharu kami di sini di mana kami boleh menarik bakat tempatan berkualiti tinggi bagi membantu pengguna kami mendapatkan maklumat yang mereka ingini dan membantu kejayaan perniagaan Malaysia," katanya kepada pemberita pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir di sini hari ini.

Google telah membuka satu pejabat di Singapura dan Korea Selatan pada 2007.

Tidak lama lagi, Persaud berkata pencari pekerjaan secara online di Malaysia akan berupaya membuat perayauan bagi melihat peluang pekerjaan dan kekosongan jawatan di dalam bidang jualan, pemasaran dan perhubungan awam melalui www.google.com.my/jobs.

Sambil menyambut baik pembukaan pejabat tempatan itu, Mukhriz berkata kehadiran tempatan Google adalah satu komitmen terhadap Malaysia dan membuktikan kesesuaiannya sebagai hab multimedia serantau.

"Kami berharap kemasukan Google akan menggalakkan lebih banyak perniagaan tempatan untuk menggunakan perkhidmatan secara online dan meraih pasaran antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Pengurus Negara Malaysia Google Sajith Sivanandan berkata Malaysia adalah satu negara yang signifikan di segi ekonomi digitalnya dan penduduknya yang mahir perkara teknikal.

"Kami teruja mengenai rancangan melabur di Malaysia dan melalui penyelesaian carian dan paparan kami, kami berharap akan dapat membantu perniagaan kecil dan besar untuk berkembang. Kami juga berharap dapat menjangkau pasaran baharu dan menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi.

"Kami juga mempunyai sekumpulan pengguna tempatan yang khusus di Malaysiayang ingin kami kenali secara lebih rapat," kata Sivanandan yang sebelum ini mengetuai perniagaan pengiklanan online Google di Asia Tenggara.

Penembusan jalur lebar isi rumah di Malaysia kini dicatatkan 55.6 peratus, yang melepasi sasaran 50 peratus bagi tahun lepas.

- Kuala Lumpur, 26 Januari 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.