Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Saturday, October 8, 2011
Pada Celahan Rumput Itu
"Kita tidak seharusnya mencari yang terbaik, jadilah yang terbaik, nescaya akan datang pada kita yang terbaik."
Namun, dasar seorang manusia, kita sering tergugah dengan sesuatu kebaikan, kita lupa, kebaikan itu luas, subjektif.
Justeru, kita akan sering teringin untuk mencari yang terbaik, hingga, kadang-kadang kita lupa, kita ini siapa untuk mencari yang terbaik itu? Layakkah kita?
Sebagai seorang remaja, normal dan biasa, tidak terlepas juga untuk saya diduga dengan lintasan-lintasan hati yang sangat menguji.
Pernah saya menyoal pada seorang sahabat, apakah lintasan-lintasan ini? Sekadar duga, atau petanda? Apa hikmahnya?
Jika ini ujian, ya saya terima, tapi apa hikmahnya? Apa yang ingin Tuhan bicarakan dengan saya?
"Bila sampai seru, takdir, maka yang pelik akan menjadi biasa." Abang Fuad malam itu penuh lagak bercerita, sambil menunggu makanan yang dipesan di restoran itu.
"Maksudnya?" Saya mula menagih penjelasan.
"Jika ditakdirkan jodoh, hari ini berkenalan, esok sudah bernikah, Allah boleh buat apa sahaja, itulah takdir." Dia menyambung.
"Ooo, ok, saya nak tanya sedikit boleh?"
"Mengenai apa?"
Tersenyum, saya sudah lama menyimpan soalan ini.
"Kenapa kadang-kadang kita ada lintasan rasa yang sangat sukar ditepis, apa tandanya?"
Abang Fuad agak selamba mendengar. Saya kira dia sudah faham, atau buat-buat tidak faham.
"Maksudnya, cuba terangkan lagi soalan itu." Saya sudah agak.
"Bagaimana jika sesuatu lintasan rasa terhadap kita itu, mahu ditentukan sebagai suatu ujian, atau suatu petanda?" Saya cuba berselindung lagi.
"Semua petanda, adalah ujian. Begitulah sebaliknya. Jika rasa yang hadir itu lain daripada yang lain, maka, eloklah beristikharah." Senang sahaja jawapannya.
"Cepatnya?"
"Tidak, ini untuk mencari keputusan hati, istikharahlah, mana tahu, mungkin itu takdirnya."
"Bagaimana kita nak pastikan, bahawa itu yang terbaik buat kita?" Saya bertanya lagi.
Sahabat-sahabat yang lain sedang khusyuk menonton permainan bola sepak secara langsung. Saya kira mereka tidak menyedari perbualan 'hangat' kami ini.
Saya teringat suatu kisah, yang saya dapat daripada Abang Fuad juga.
Pada suatu hari di sekolah, seorang pelajar bertanya kepada gurunya. Ketika itu, guru tersebut sedang mengajar mengenai kasih sayang.
Pelajar itu bangun dari kerusi duduknya, "Cikgu, bagaimana kita ingin memilih seseorang yang terbaik sebagai orang yang paling kita sayang?"
Guru tersebut tersenyum, "Ok, kamu ikut apa yang cikgu suruh. Kamu pergi ke padang, kamu berjalan di atas rumput sambil memandang rumput yang terbentang di depan kamu. Pilihlah rumput yang paling cantik, tanpa menoleh ke belakang lagi walaupun sekali. Petiklah rumput yang kamu rasakan ianya paling cantik. Kemudian bawa ke kelas."
Apabila pelajar tersebut pulang semula ke kelas, tiada sehelai rumput pun di tangannya. Guru itu bertanya, "Kenapa tiada rumput yang dipilih?"
Jawab pelajar itu, "Tadi, semasa saya tengah berjalan, saya sudah pun mencari rumput yang paling cantik. Memang ada, banyak sekali rumput yang cantik tapi cikgu cakap, petik yang paling cantik. Maka saya pun teruskan berjalan ke depan sambil mencari rumput yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang walaupun sekali. Sehinggalah saya tiba di hujung padang, saya tidak juga menjumpai rumput yang paling cantik. Mungkin rumput di antara belakang saya tadi ada yang cantik, tapi, disebabkan cikgu tidak benarkan saya menoleh ke belakang semula, maka tiadalah rumput yang paling cantik untuk saya petik."
Agak-agak, apakah jawapan yang bakal guru itu berikan?
Usahlah mencari yang terbaik, apa yang ada di depan itulah yang terbaik. Usah mencari yang terbaik, tapi jadilah yang terbaik. Usah menoleh ke belakang lagi, teruskan mara.
Apa yang sudah ketinggalan, biarpun ada di antaranya yang terbaik, usahlah cuba berharap lagi. Apabila kita sudah bertemu dengan seseorang, usahlah kita berusaha untuk mencari yang lebih baik lagi daripada dia. Kita patut hargai insan yang berada di depan kita sebaik-baiknya.
"Kita ini terlalu lemah dalam memilih."
Sambar Abang Fuad menyedarkan saya dari khayalan cerita tadi. Ya, benar, kita terlalu lemah dalam memilih.
"Bersikap matanglah, ini bukan soal pilihan lagi, ini ialah soal perasaan." Tambahnya.
"Abang tiada jawapan untuk soalan tadi, namun, jika benar-benar untuk tahu, beristikharahlah, abang harap, kita tidak lemas dalam lautan perasaan, terkapai-kapai, hingga tenggelam."
"Kita ibarat pelajar yang mencari rumput tercantik, akhirnya..."
Saya menyimpulkan..
"Tidak usah terlalu berfikir, kita masih jauh dalam permusafiran, perkara-perkara begini, seperti yang pernah abang cakapkan, subjektif dan infiniti."
"Ya abang, saya masih cuba berenang dalam lautan perasaan yang dalam ini, agar tidak lemas." Saya sengaja menilai diri sendiri.
Berikanlah yang terbaik, bukan mencari yang terbaik. Saya berbicara dalam adaptasi sebuah kisah dan dialog.
Untuk saya bercakap seorang diri tentang hal ini, siapalah saya. Kisah ini, adalah untuk sahabat yang setakah dengan saya, alam remaja, klimaks sebuah noda.
Pada celahan rumput itu, kita mencari sesuatu. Tapi biar bertepatan pada waktu, usah terlalu menunggu.
Perasaan akan sentiasa melintas, umpama padang akan sentiasa ditumbuhi rumput. Usah dicari perasaan yang hakiki, kerana semuanya dugaan yang berhikmat tinggi.
Pada celahan rumput itu, terlalu mencari, akan menyusul kecewa berganti. Jika kita benar-benar menyedari, pada hemat sebuah rasa, maka, kenapa kita perlu takut untuk tidak mengendahkan. Perasaan akan sering hadir, jerihlah kita untuk sentiasa melayani.
Mungkin ada di antaranya satu hikmah berganda, tapi, seperti biasa, berselambalah. Jadilah lelaki, bukan romeo, bukan juga majnun. Jika romeo, maka, itu bukti bahawa kita telah lemas dalam lautan perasaan.
Jika majnun, itu buktinya bahawa kita sudah gila. Justeru, usah menjadi mereka, tapi jadilah kita. Jika ada rasa yang kuat mendesak, beristikharahlah.
Jika kita tidak mendapat apa yang kita suka, maka, kita perlu suka apa yang kita dapat.
Pada celahan rumput itu, pasti ada, rasa yang benar hakiki. Pelajar itu pun buntu mencari, begitu juga kita. Cuma, mohon ditetapkan hati. Mohon, agar, segalanya bererti, bukan hanya, mainan sebuah kehidupan dan perasaan.
- Artikel iluvislam.com
Friday, October 7, 2011
Tenang Sentiasa Terus Berdoa
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Bukankah aku telah memberitahu kamu semua tentang orang yang diharamkan masuk ke neraka atau orang yang diharamkan ke atasnya neraka? Mereka ialah orang yang berdamping rapat dengan orang ramai (baik pergaulannya), hatinya tenang, berlemah lembut serta mudah dibawa berunding." Riwayat at-Tarmizi.
Setiap Muslim hendaklah sentiasa beramal dengan ajaran Islam yang sebenar serta bergaul rapat dengan masyarakat dengan menggunakan budi bahasa yang lembut, selalu bertolak ansur, tolong menolong dan bantu membantu dan tidak melakukan perkara-perkara yang menimbulkan sakit hati orang lain dan mendatangkan dosa seperti berbuat khianat, merompak, menipu dan seumpamanya.
Tabiat manusia adalah berhubungan rapat dengan keteguhan iman dan kesabarannya. Jika baik akhlak seseorang itu maka dia akan selamat daripada balasan api neraka dan begitulah sebaliknya kerana baik buruknya seseorang terletak pada sejauhmana pandangan masyarakat umum terhadap dirinya selain daripada penilaian yang dihitung oleh Allah S.W.T sendiri.
هُوَ الَّذِي أَنزَلَ السَّكِينَةَ فِي قُلُوبِ الْمُؤْمِنِينَ لِيَزْدَادُوا إِيمَانًا مَّعَ إِيمَانِهِمْ وَلِلَّهِ جُنُودُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana
(Surah Al-Fath 48: Ayat 4)
Tenang Sentiasa Baca Al-Quran
Daripada al-Barra r.a katanya : " Di kala seorang lelaki membaca surah al-Kahfi tiba-tiba ia melihat binatang peliharaannya berlari dan ia melihat bagaikan sekumpulan mega atau awan lalu ia datang menemui Rasulullah SAW dan menyebutkan mengenainya kepada Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW bersabda : " Itu adalah as-Sakinah (ketenangan) yang turun bersama al-Quran atau turun di atas al-Quran." (al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)
Dalam surat al-Kahfi, diceritakan tentang kisah Ashaabul Kahfi, (pemuda-pemuda beriman), kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir a.s serta kisah DZulkarnain dan Ya'juj dan Ma'juj. Dalam beberapa hadith, Rasulullah SAW menggalakkan kita agar membaca dan menghafal surah ini kerana dengan membacanya dapat menghindarkan diri dari fitnah (musibah).
Di dalam surah al-Kahfi ini terkandung isyarat penting mengenai Hari Akhirat, seperti mana yang dipelajari daripada kisah-kisah yang dipaparkan iaitu pengalaman Ashabul Kahfi yang tinggal dalam sebuah masyarakat yang kufur kepada Allah SWT, Nabi Musa a.s yang banyak belajar daripada Khidr dan tentang sebuah pemerintahan dalam kisah Dzulkarnain yang kesimpulannya dapat memberikan kita pengertian tentang nilai-nilai keimanan yang sebenar.
Semua ini perlu direnungkan oleh seluruh umat Islam kerana apabila surat ini dibaca secara keseluruhannya akan tergambar kepada kita tentang perkaitannya dengan realiti semasa yang melalui yang tahap-tahap yang berbeza iaitu permulaan, perkembangan, dan berakhirnya dunia ini dengan kedatangan nabi Isa a.s sebelum kemunculan Hari kiamat.
وَٱصۡبِرۡ نَفۡسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ رَبَّہُم بِٱلۡغَدَوٰةِ وَٱلۡعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجۡهَهُ ۥۖ وَلَا تَعۡدُ عَيۡنَاكَ عَنۡہُمۡ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُ ۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُ ۥ فُرُطً۬ا
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
(Surah Al-Kahfi 18: Ayat 28)
Tenang Sentiasa Pergi Ke Masjid
Daripada Wabisah bin Makbud
Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
"Adakah engkau datang kerana hendak bertanya mengenai kebajikan? Aku menjawab 'ia' maka sabdanya lagi mintalah fatwa (pertimbangan) hatimu sendiri, kebajikan itu ialah apa yang membawa ketenangan kepada jiwa dan ketenangan hati. Dosa ialah perasaan bimbang dalam jiwa serta perasaan ragu-ragu didalam dada (hati) sekalipun orang ramai telah memberi fatwa kepadamu dan sekalipun kamu telah diberi fatwa oleh mereka"Riwayat Ahmad & ad-Darami
Setiap perbuatan kebaikan atau kebajikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan menyebabkan jiwanya menjadi tenang.
Orang yang melakukan berbagai kesalahan dan dosa sentiasa berada didalam keadaan serba salah, curiga dan takut diketahui oleh manusia. Ia sentiasa memikirkan bagaimana bentuk pembalasan azab seksa yang akan diterima diakhirat kelak.
Amal soleh yang dilakukan oleh seseorang tetap mendapat pahala, manakala kejahatan, penipuan, kemungkaran, dan sebagainya yang dilakukan akan mengundang dosa, dan membawa keresahan jiwa walaupun orang telah memberikan fatwa kepadanya.
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ
Hai jiwa yang tenang
(Surah Al-Fajr 89: Ayat ke 27)
Mutiara Khalifah
"Setiap orang yang musafir mesti memperlengkapi bekalannya. Siapkanlah taqwa dalam perjalanan kamu dari dunia menuju akhirat. Pastikan dirimu sama ada mendapat pahala atau siksa, senang atau susah."
"Jangan biarkan masa berlalu sehingga hatimu menjadi keras dan musuh sempat mengoda. Sebaik-baiknya saudara menganggap bahawa hidup pada petang hari tidak akan sampai ke pagi hari dan hidup pada pagi hari tidak akan sampai ke petang hari. Memang tidak jarang terjadi kematian di tengah-tengahnya."
"Saudara-saudara dapat menyaksikan sendiri bahawa ramai orang yang tertipu dengan dunia, padahal orang yang layak bergembira tidak lain kecuali orang yang selamat daripada siksaan Allah SWT dan orang yang lepas dari tragedi hari qiamat."
"Sementara orang yang tidak mahu mengubati yang sudah luka, kemudian datang lagi penyakit lain, bagaimana mungkin mahu bergembira? Aku berlindung kepada Allah SWT daripada perbuatan yang tidak aku pegangi dan amalkan sendiri. Seandainya begitu, alangkah rugi dan tercelanya aku. Dan jelaslah tempatku nanti pada hari yang jelas kelihatan siapa yang kaya dan siapa yang miskin."
"Di sana nanti akan diadakan timbangan amal serta manusia akan diserahi tanggungjawab yang berat. Seandainya tugas itu dipikul oleh binatang-binatang nescaya ia akan hancur, jika dipikul oleh gunung nescaya ia akan runtuh, kalau dipikul oleh bumi nescaya bumi akan retak. Saudara-saudara belum tahu bahawa tiada tempat di antara Syurga dan Neraka? Kamu akan memasuki salah satu daripadanya."
"Ada seorang lelaki yang mengirim surat kepada rakannya yang isinya : "Sesungguhnya dunia ini adalah tempat bermimpi dan akhirat barulah terjaga." Jarak pemisah antara keduanya adalah mati. Jadi, kita sekarang sedang bermimpi yang panjang."
Kata-kata di atas adalah kata-kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz, khalifah Bani Umayyah ke-6.
- Artikel iluvislam.com
Kehidupan Dan Cinta
Melangkah ke alam 20-an sememangnya membawa insan bernama remaja untuk berfikir lebih jauh mengenai erti sebuah kehidupan. Terbentang dihadapannya seribu satu pilihan yang akan menentukan corak masa hadapan. Semuanya terletak di tangan masing-masing. Pilihan yang mana harus digarap terlebih dahulu.
Pelajaran, perhubungan, percintaan, perkahwinan adalah topik-topik yang tidak akan pernah lari dalam perbualan remaja normal seperti saya. Sering saya berkongsi cerita dengan ummi setiap kali berbual.
"Ummi, kak fatin dah kahwin!" jawapan yang diterima.
"Belajar dululah kak."
Niat di hati sengaja saya mahu bercerita, namun respon yang diterima berbeza pula. Saya tahu, ummi mahu saya fokus dalam pelajaran terlebih dahulu. Usah bermain-main dengan perasaan.
Ummi saya berkaca mata. Pernah saya bercerita lagi kepada Ummi.
"Umi, semalam ada seorang kawan akak, dia YM dengan seorang kawan lelaki ni. Budak laki ni mulakan perbualan. Salam sayang, pelik akak dibuatnya, macam bukan pelajar agama. Kalau tengah bercinta memang macam tu ya? "
" Mana ada erti cinta sebelum kahwin. Kalau dah berdua dalam YM, samalah juga macam duduk berdua bersama-sama tanpa orang lain. Yang ketiga siapa? Mestilah SYAITAN bukan?"
Pesan Ummi, " Kalau nak dapat anak soleh tu mesti permulaannya baik dan betul."
Tipulah kalau saya cakap saya tak pernah rasa suka dengan seseorang. Perempuan memang cepat jatuh hati. Sangat bahaya!.
Sangat normal untuk seseorang itu jatuh hati/ taruh perasaan/ minat dengan orang lain. Saya tidak terkecuali. Ya, saya berkongsi cerita dengan Ummi.
Bagaimana saya boleh asyik, suka, minat. Pesan umi, solat tahajjud minta Allah tetapkan hati.
Tetapi dalam masa yang sama, saya takut kalau-kalau saya menjadi fitnah kepada saudara tersebut. Kakak perlu doa pada Allah seperti ini :
Ya Allah aku mohon ampun sekiranya perlakuanku menyebabkan dosa kepada saudaraku.
Saya takut saya ini melalaikan saudara saya daripada Allah. Memang perlu rasa seperti itu, supaya kita takut dengan Allah. Doa pada Allah supaya hati kita terpelihara daripada gangguan syaitan itu.
Saya takut perasaan minat saya hanyalah membuatkan saya lebih jauh daripada Allah. Kalau ada teringat-ingat itu cepat istighfar. Selagi tidak ada yang sohih jangan rosakkan hati kita.
Resah, gelisah, semuanya bergaul dalam diri. Saya seolah-olah mahu menafikan rasa suka saya terhadap saudara tersebut. Tiba-tiba rasa cemburu dengan kawan-kawan yang rapat dengannya. Rasa 'insecure.' Rasa mahu cepat-cepat uraikan belitan perasaan ini.
Diakah untuk saya?
Siapa saya untuk dia?
Jika dia pun suka sama suka dengan saya, apa perlu saya buat?
Saya takut saya akan turut bercinta seperti kawan saya yang lain. Nah, mungkin saya pula akan teruji begitu? SAYA TAKUT!
Serabut sangat perasaan itu. Rencana Allah itu indah. Rupanya Allah lontarkan masalah yang serupa kepada seorang sahabat di Mesir. Kami punya fikrah yang sama. Masing-masing takut dengan perasaan ini.
Sedang berlari-lari melalui hari dalam perasaan ini, banyak pula post dan artikel mengenai cinta bertebaran di laman web kunjungan saya.
Banyak juga tazkirah dan peringatan mengenai perihal cinta. Saya dan sahabat selalu bertukar cerita, selalu mengingatkan diri masing-masing tentang matlamat hidup anak perantauan menuntut ilmu.
Sehinggalah hati saya ini terusik dengan serangkap kata-kata hikmah yang akhirnya menenangkan gundah tidak sudah.
Jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan agenda mencari si soleh, tetapi berusahalah menjadi yang solehah.
Bertemu yang soleh, belum tentu kekal, mungkin boleh berubah solehnya. Kerana si soleh adalah insan biasa.
Perkahwinan adalah sebuah proses menjadi dan bukannya mencari.
Orang kata, cinta itu tidak semestinya memiliki bukan? Lebih baik cinta dalam diam.
Semoga setiap pilihan kita itu dibawah bimbingan-Nya. Selalu kita mahukan sesuatu untuk memenuhi kehendak diri kita, tapi sering kita lupa, Allah tidak akan berikan setiap yang kita mahu tetapi Dia berikan setiap yang kita perlu.
Jadi, sekarang saya akan fokuskan diri, gandakan usaha untuk menjadi seorang ummi yang berjaya.
Kelak kekanda saya akan tiba jua. Kalau bukan di dunia, akan ketemu jua di syurga sana. Biiznillah...
Glosari
1) Sohih=Betul 2)Biiznillah= Dengan izin Allah
-Artikel iluvislam.com
Kami Hamba
Tiada lafaz seindah syahadah,
Tiada kata seagung namaMu,
Dengan bismillah aku mulakan,
NamaMu ku seru Ya Tuhan.
Wahai hamba,
Seandainya engkau Nabi,
Takkan pernah sekali,
Aku menyusun kata,
Memberi nasihat bermakna,
Walaupun engkau manusia,
Tetapi engkau maksum.
Wahai hamba,
Seandainya engkau Malaikat,
Takkan pernah sekali,
Aku menutur kata,
Memberi teguran penuh hikmah,
Walaupun engkau hamba,
Engkau seorang yang taat,
Tak pernah buat silap.
Namun,
Sayangnya,
Engkau bukanlah Rasul,
Bukan jua seorang malaikat,
Engkau adalah manusia biasa,
Tidak terlepas dari melakukan dosa,
Maka hak aku mengingatimu
Dengan berpesan-pesan,
Hak kamu juga mengingatiku,
Dengan kalimah penuh hikmah,
Mengatur kalam redha,
Menuju jannahNya
Yang kekal abadi
-Artikel iluvislam.com
Subscribe to:
Posts (Atom)







