Wednesday, April 6, 2011

Tawassul dan kesimpulan

SETELAH membahaskan isu tawassul dalam 14 siri yang lepas, tiba masa untuk menyimpulkan perbahasan. Apa yang boleh disimpulkan ialah tidak syak lagi Nabi SAW mempunyai kedudukan yang tinggi, martabat yang mulia dan pangkat yang besar di sisi Allah SWT.

Maka syariat dan logik akal manakah yang menegah bertawassul dengan baginda. Terutamanya apabila terdapat dalil-dalil yang telah menetapkannya di dunia dan akhirat.

Ditegaskan, dalam bertawassul, kita tidak sekali-kali memohon kepada selain Allah dan tidak berdoa melainkan hanya kepada-Nya.

Kita hanya berdoa kepada-Nya dengan atau melalui apa yang dikasihi-Nya. Kadang kala kita memohon kepada-Nya dengan amalan-amalan soleh kita kerana Dia menyukai dan meredainya. Kadang kala kita memohon kepada-Nya dengan perantaraan makhluk yang dikasihi-Nya, sebagaimana disebut di dalam hadis Nabi Adam a.s yang lepas dan hadis Fatimah binti Asad yang dan hadis Uthman ibn Hunaif.

Kadang kala kita memohon kepada-Nya dengan perantaraan nama-nama Allah yang indah sebagaimana doa Nabi SAW: "Aku memohon kepada-Mu dengan sesungguhnya Engkau adalah Allah." Atau, kadang kala kita memohon kepada-Nya dengan sifat atau perbuatan-Nya, sebagaimana sabda nabi SAW di dalam hadis yang lain: "Aku berlindung dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu dan aku berlindung dengan kemaafan-Mu daripada balasan azab-Mu."

Justeru, tawassul itu tidak terbatas pada ruang yang sempit sebagaimana sangkaan golongan yang menolaknya. Rahsianya, adalah sah kita bertawassul dengan semua yang dikasihi Allah.

Begitu jugalah halnya dengan sesiapa sahaja yang dikasihi oleh Allah sama ada kalangan nabi atau wali. Ini adalah jelas di sisi setiap insan yang mempunyai fitrah yang sejahtera. Ia tidak ditegah atau ditolak oleh akal dan naqal, bahkan akal dan naqal saling menyokong atas keharusannya.

Jelasnya, yang diminta dalam bertawassul ialah Allah yang Esa tanpa ada yang menyekutui-Nya. Bukan kepada nabi, wali, kepada yang hidup atau yang mati.

Firman Allah SWT: Katakanlah wahai Muhammad, "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari Allah". Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)? (an-Nisaa': 78)

Jika diterima bahawa harus bertawassul dengan amalan, sudah tentu bertawassul dengan Nabi lebih utama. Sebabnya, baginda adalah paling mulia antara sekelian makhluk dan segala amalan berpunca daripada amalan baginda.

Allah juga lebih besar kasih-Nya terhadap baginda daripada segala amalan dan lain-lainnya. Justeru, tidak ada sebarang penghalang daripada bertawassul dengan Nabi.

Tidak lebih daripada itu, bahawa seseorang itu bertawassul kerana berkeyakinan nabi mempunyai kedudukan di sisi Allah dan orang yang bertawassul tidak bertujuan selain itu.

Sesiapa yang mengingkari atau menafikan kadar kedudukan Nabi di sisi Allah, maka dia adalah kafir sebagaimana yang telah kita katakan.

Tidak diragui lagi, bahawa orang yang bertawassul dengan perantaraan orang soleh, bertawassul dengannya hanya kerana mereka adalah orang yang melakukan amalan soleh.

Maka ia kembali kepada asalnya, iaitu amalan soleh yang sememangnya disepakati keharusan bertawassul dengannya, sebagaimana yang telah kita katakan pada awal perbicaraan.

Semua hadis dan athar yang telah disebutkan, menetapkan dan mendukung keharusan bertawassul. Sekiranya dikatakan, ia hanya khusus semasa hayat baginda, maka jawapannya: "Pengkhususan yang dikatakan ini tidak langsung mempunyai dalil yang menunjukkan ke atasnya. Sesungguhnya roh itu adalah kekal dan mempunyai perasaan, pengetahuan dan pemahaman."

Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah berpegang bahawa mayat boleh mendengar, merasa dengan pancaindera dan merasa dengan perasaan. Mayat juga boleh mendapat manfaat dengan suatu kebaikan, boleh bergembira, merasa sakit dengan suatu keburukan dan berdukacita. Keadaan ini dinisbahkan kepada manusia kebanyakan secara umum.

Atas dasar ini, nabi pernah menyeru penghuni (perkuburan) al-Qalib yang terdiri daripada kafir Quraisy dalam peperangan Badar, "Wahai Utbah! Wahai Syaibah! Wahai Rabi'ah!" Maka Rasulullah ditanya: "Kenapa tuan memanggil mereka? Sedangkan mereka telah menjadi bangkai?

Maka sabda baginda: "Kalian tidaklah lebih mendengar daripada mereka, cumanya mereka tidak mampu menjawab."

Jika begini keadaannya bagi manusia kebanyakan, maka bagaimana pula keadaannya dengan seafdal-afdal dan seagung-agung manusia?

Hanya orang yang telah mati (hatinya) itu tidak percaya bahawa Nabi tidak mampu mendengar, melihat dan mengetahui keadaan kita. Bahkan, Nabi juga tidak mampu berdoa kepada Allah untuk kita.

Apakah jenayah yang lebih besar daripada kesesatan ini? Apakah kejahilan yang lebih teruk daripada kedunguan ini? Mereka benar-benar kurang ajar dan memperkecil-kecilkan kedudukan Nabi.

Berkata Ibnu al Qayyim dalam kitab al-Ruh: Ahli Salaf berijmak dalam perkara ini, bahkan telah mutawatir athar-athar berkaitan dengannya. Begitu juga Ibnu Taimiyyah telah dipersoalkan tentang perkara ini. Maka beliau mengeluarkan fatwa yang menyokong perkara tersebut. (Al-Fatawa, Jilid 24, ms. 331, 362)

Jika demikian halnya bagi kebanyakan manusia, apakah fikiran kamu tentang orang Mukmin umumnya, hamba-hamba Allah yang soleh khasnya dan juga penghulu kita Muhammad SAW?

Ketokohan Sheikh al-Ghazali

SHEIKH Muhammad Al-Ghazali lahir pada 22 September 1917 di perkampungan Naklal Inab, Itay Al-Barud, Buhairah, Mesir. Beliau dibesarkan di kalangan keluarga agama yang juga terlibat dalam dunia perniagaan.

Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya dan sejak kecil sudah menunjukkan ciri-ciri keilmuan yang unggul dengan kemampuan menghafal al-Quran ketika berumur 10 tahun. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kolej Agama Iskandariah, Mesir.

Semasa memasuki sekolah peringkat rendah usianya baru menjangkau 11 tahun, iaitu pada tahun 1928. Beliau meneruskan pengajian ke Universiti al-Azhar pada tahun 1937 dan lulus daripada Fakulti Usuluddin pada tahun 1941.

Di Fakulti Usuluddin, beliau telah berguru dengan ulama-ulama besar al-Azhar, di antaranya 'Abd. 'Azim al-Zarqani, Mahmud Shaltut, Muhammad Yusuf Musa (m. 1963M) dan Muhammad Ghallab.

Pada tahun 1937, beliau berkecimpung dengan gerakan Ikhwan Muslimun pimpinan Hasan al-Banna, dengan menjadi ahli gerakan ini.

Sejak itu, beliau bergiat cergas dalam dakwah dan banyak pemikiran, pengalaman dan didikan yang diambil daripada Hasan al-Banna.

Pada tahun 1943, Muhammad Al-Ghazali menerima Diploma Pendidikan pengkhususan Bahasa Arab dan Kesusasteraan dan ijazah Pengkhususan Dakwah daripada Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar.

Beliau merupakan anak didikan Hasan al-Banna dan ulama besar al-Azhar. Muhammad al-Ghazali begitu terkesan dengan didikan daripada Hasan al-Banna.

Muhammad al-Ghazali menyifatkan Hasan al-Banna sebagai pendorong dan pembimbingnya dalam medan dakwah. Menurut Muhammad al-Ghazali, beliau pertama kali berjumpa dengan Hasan al-Banna ketika menjadi penuntut di Kolej Agama Iskandariah semasa berumur lebih kurang 20 tahun.

Antara kesan terhadap jiwanya itulah beliau telah mengarang kitab Dustur al-Wahdah al-Thaqafiyyah li al-Muslimin yang menjelaskan Usul 'Ishrin (Asas 20 Perkara) yang ditulis oleh Hasan al-Banna.

Muhammad al-Ghazali menyifatkan Hasan al-Banna seorang pejuang yang ikhlas, mempunyai peribadi yang mulia dan pentafsir al-Quran yang baik. Beliau mempunyai kelebihan kerana dapat memahami uslub yang sukar, lalu disampaikan kepada orang ramai dengan uslub yang begitu menarik dan mudah difahami.

Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi, Muhammad al-Ghazali ketika di dalam penjara Tur selalu meniupkan semangat perjuangan dengan mengatakan bahawa kematian Hasan al-Banna tidak bermakna pertentangan dengan musuh-musuh Allah dan umat Islam telah berakhir. Panji-panji Hasan al-Banna akan diteruskan oleh murid-muridnya dan dakwahnya tidak akan lenyap.

Muhammad al-Ghazali juga terkesan dengan didikan ulama-ulama besar al-Azhar. Beliau mengakui terpengaruh dengan didikan 'Abd al-'Azim al-Zarqani r.h., guru tafsir dalam Fakulti Usuluddin.

Di Kolej Agama Iskandariah, beliau terpengaruh daripada gurunya yang bernama Ibrahim al-Gharbawi dan 'Abd al-'Azim Bilal, guru pendidikan psikologi.

Beliau juga terpengaruh dengan Mahmud Shaltut, guru dalam bidang Tafsir, dan kemudian menjadi Shaykh al-Azhar. Begitulah tokoh-tokoh ulama yang mempengaruhi jiwa Muhammad al-Ghazali sehingga beliau tidak mengenal erti penat dan lelah, sanggup dipapah di serata dunia semata-mata untuk menyebarkan dakwah serta meninggikan kalimah Allah yang mulia.

Muhammad al-Ghazali merupakan seorang penulis sejak beliau menuntut di Universiti al-Azhar dalam usia yang masih muda. Menurutnya, masa yang paling baik baginya menulis ialah selepas solat Subuh.

Dalam bidang ketamadunan, beliau mengarang buku bagi menjawab tuduhan-tuduhan golongan Barat terhadap Islam. Buku yang berjudul Min Huna Nabda' ditulisnya bagi menjawab persoalan yang mengatakan istana untuk istana, Allah untuk Allah dalam buku karangan Khalid Muhammad Khalid yang berjudul Min Huna Na'lam.

Beliau juga menulis buku yang menerangkan sosialisme, iaitu Haqiqat al-Qawmiyyah al-'Arabiyyah (Hakikat Nasionalisme Arab) bagi menjawab pandangan Barat terhadap nasionalisme.

Antara bukunya yang membicarakan perkara pertembungan tamadun ini adalah Mustaqbal al-Islam Kharij al-Ardih wa Kayfa Nufakkir fih (Masa Depan Islam di Luar Tanah Airnya dan Bagaimana Kita Berfikir Untuknya).

Beliau meninggal dunia di Riyadh pada 9 Mac 1996 selepas diserang sakit jantung. Beliau dimakamkan di perkuburan al-Baqi', Madinah al-Munawarah berdekatan dengan makam putera Nabi SAW- Ibrahim, dan Malik bin Anas, iaitu lebih kurang 15 meter dari Masjid Nabawi. Jenazahnya telah disembahyangkan oleh Huzayfi di Masjid Nabawi.

Solat dalam sudut sains



HUKUM wajib solat adalah kepada setiap Muslim yang mukalaf. Solat perlu ditunaikan selepas Nabi Muhammad SAW melalui peristiwa besar yang dinamakan Israk Mikraj.

Sebelum itu, umat Islam menunaikan solat sebanyak 50 kali sehari semalam. Akan tetapi, apabila Allah memerintahkan Rasulullah hanya bersolat lima kali sehari semalam, ia merupakan satu berita yang menakjubkan, di mana manusia diberi banyak keringanan.

Hampir 10 kali ganda solat dikurangkan semata-mata kerana Allah sangat kasih pada hamba-Nya, yakni Nabi Muhammad.

Namun, masih ramai umat Islam mengabaikan solat. Mereka anggap solat hanya membuang masa dan tidak memberi apa-apa manfaat.

Ini menyebabkan ramai yang memandang enteng solat sehingga mengabaikannya kerana sibuk dengan kehidupan dan kesibukan duniawi.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan mengambil inisiatif merungkai persoalan solat melalui Program Sains Solat: Kebaikan Daripada Perspektif Sains'.

Ia diadakan pada 27 Februari 2011 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ehsan, Selayang, Selangor.

Menurut Penyelaras program, Muhammad Farhan Tee Abdullah, majlis yang mendapat kerjasama Perkim Cawangan Selayang Baru itu mengundang pakar penyelidik berkenaan tajuk program sebagai pembentang kertas kerja.

Beliau adalah Ketua Pakar Penyelidik Sains Solat, Fakulti Bioperubatan, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim.

Kata Muhammad Farhan, saudara Muslim kadangkala tidak mengetahui kaifiat solat yang diperoleh. Mereka hanya mengikut apa yang dilihat.

"Kesannya, dibimbangi apa yang dipraktikkan adalah bertentangan dan terlibat pula dengan bidaah," katanya.

Muhammad Farhan yang juga Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim berkata, perkara sedemikian menyebabkan saudara Muslim tidak khusyuk semasa solat kerana ia dianggap ritual dan adat sahaja, bukannya ibadat.

Pandangan itu perlu diubah kerana menyembah Allah bukan perkara yang perlu diambil mudah.

"Allah adalah raja kepada segala Raja. Pastinya segala tumpuan perlu dilebihkan agar pengabdian diri menjadi lebih fokus.

"Ada banyak kelebihan daripada sudut sains jika kajian terhadap pergerakan solat dikaji," jelas Muhammad Farhan.

Pada program itu, Dr. Fatimah menggunakan multimedia dalam pembentangannya di hadapan 250 peserta yang terdiri daripada kalangan masyarakat awam, saudara Muslim, guru-guru sekolah dan pelajar-pelajar sekolah.

Dalam pembentangan kajian pertama bertajuk Kesan Postur Badan dan Pergerakannya di Dalam Solat, Dr. Fatimah menjelaskan pergerakan dalam solat amat mempengaruhi keadaan tubuh badan.

Semasa meletakkan tangan di antara dada dan pusat selepas takbiratul ihram, posisi tangan pada waktu itu adalah dalam keadaan rehat.

Jika dilihat dari sudut fisiologi, posisi tersebut berada dalam keadaan rehat yang maksimum. Ia mampu melancarkan pergerakan sendi dan mengelakkan penyakit sendi.

Pada posisi rukuk, seseorang akan berasa sakit di bahagian belakang paha jika menekan kedua belah lutut dengan meluruskan tangan.

Posisi 90 darjah seperti yang disarankan oleh Rasulullah mampu menyembuhkan penyakit berkaitan tulang belakang.

Lutut perlulah diletakkan terlebih dahulu diikuti tangan dan kepala dalam kedudukan sujud.

Kedudukan begini adalah cara terbaik menjadikan otot besar dan kuat. Secara tidak langsung, ia amat membantu melancarkan pengaliran darah dan limpa ke seluruh anggota badan.

Dr. Fatimah turut menjemput seorang peserta membuat demonstrasi di pentas bagi membuktikan kebenaran kajiannya.

Peserta berkenaan mencuba seperti apa yang diarahkan dan bersetuju dengan apa yang dijelaskan oleh Dr. Fatimah.

Perasmian dilakukan oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim Kebangsaan, Datuk Hasbullah L. Isa.

Beliau menekankan kepentingan solat dan menasihatkan peserta agar tidak timbul niat menjadikan solat semata-mata untuk menjadi sihat, kerana perkara sedemikian amat bercanggah dengan tujuan solat.

Katanya, solat adalah khusus kepada Allah, maka ia tidak boleh disertakan dengan niat lain bagi tujuan kesihatan.

Cuma apa yang ditekankan dalam kajian tersebut adalah kesan sampingan daripada bersolat, manusia akan memperoleh kebaikan yang tidak dapat dinafikan kebenarannya.

"Kajian Dr. Fatimah menunjukkan bukti bahawa manusia akan mencapai kecergasan dan kesihatan yang terbaik semasa bersolat," katanya.

Dalam satu lagi sesi bertajuk Solat dan Kesan Kepada Denyutan Jantung' Dr. Fatimah menjelaskan jantung memainkan peranan amat penting dan sangat berjasa kepada manusia.

Denyutan jantung dalam keadaan rehat adalah di antara 60-80 denyutan seminit.

Akan tetapi bagi atlet sukan, kadar denyutan jantung mereka lebih rendah, iaitu 40-60 denyutan seminit.

Peserta diberi kefahaman bahawa, semakin rendah kadar denyutan jantung, bermakna kesihatan jantung lebih terjaga.

Kesihatan jantung perlu diberi perhatian serius memandangkan kematian akibat serangan jantung semakin meningkat dan tidak mengenal usia.

Ia juga dikatakan pembunuh nombor satu negara kerana serangannya berlaku secara senyap dan tidak mengira keadaan.

Bahaya yang ditunjukkan akibat serangan jantung begitu membimbangkan, dan beliau berjaya menemui bukti saintifik bahawa dengan bersolat, kadar denyutan jantung dapat dikawal dengan baik.

Selain itu, dengan melakukan solat juga dapat mengurangkan risiko darah tinggi.

Jantung berdenyut dengan kadar paling rendah semasa posisi sujud, iaitu sebanyak 72 dan 73 denyutan seminit.

Apabila seseorang duduk pada tahiyat akhir, kadar denyutan jantung meningkat semula dan ia mengepam darah ke bahagian atas badan serta kepala.

Secara tidak langsung, jumlah darah yang diperlukan juga meningkat.

Hasil kajian beliau mendapati, posisi sujud adalah kedudukan terbaik untuk kesihatan jantung. Lebih banyak bersujud, maka seseorang dapat mengurangkan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah.

Selain itu sesi soal jawab diadakan bagi membolehkan para peserta berinteraksi dengan Dr. Fatimah.

Kepentingan cap mohor di dunia Islam

Cap Mohor Engku Biru
Kelantan
1910 Masihi / 1328 Hijrah

CAP mohor merupakan salah satu cara pengesahan yang dilakukan oleh individu dengan meletakkan tanda khas yang mempunyai nama mereka selain tanda tangan.

Ia telah digunakan oleh tamadun terdahulu sejak zaman sebelum Islam lagi sebagai salah satu simbol kuasa. Dalam tamadun China, maharaja mempunyai beberapa jenis cap mohor.

Cap mohor diraja ini akan dikurniakan kepada beberapa pegawai empayar yang menjalankan perintah maharaja seperti jeneral yang mengetuai sesebuah pasukan tentera.

Dalam sejarah Islam, cap mohor telah digunakan sejak zaman Rasulullah s.a.w. Pada tahun 628 Masihi, sewaktu baginda ingin menulis surat kepada Maharaja Byzantium mengenai seruan Islam, baginda telah dimaklumkan bahawa Maharaja Byzantium hanya akan membaca surat yang mempunyai cap mohor.

Oleh itu, Rasulullah telah menggunakan satu cap mohor yang mempunyai ukiran perkataan 'Muhammaad Rasulullah' pada surat baginda.

Cap mohor direka dalam pelbagai bentuk dan gaya. Ia tidak mempunyai bentuk atau perkataan tertentu yang perlu digunakan. Ia terpulang kepada si pemilik untuk menentukan bentuk dan teks cap mohor yang dikehendaki. Dalam kebanyakan cap mohor yang dimiliki oleh pemerintah Islam, tulisan kaligrafi yang menunjukkan nama, gelaran dan tahun telah digunakan untuk cap mohor individu.

Teks bagi cap mohor selalunya diukir terbalik supaya ia meninggalkan kesan susunan teks yang betul selepas dicap di atas kertas dan boleh di baca.

Dalam bahasa Melayu perkataan cap dikatakan berasal dari perkataan India chapp, sementara mohor dipercayai berasal dari perkataan Parsi muhr. Kedua-dua perkataan ini membawa maksud sesuatu yang telah dimeterai.

Terdapat dua bentuk cap mohor yang sering digunakan oleh pemerintah iaitu cap rasmi yang bersaiz lebih besar dan diletakkan dalam bekas khas dan disimpan oleh raja atau pegawai istana yang paling dipercayai seperti setiausaha istana.

Satu lagi jenis cap mohor yang dihasilkan ialah berbentuk cincin. Cap berbentuk cincin lebih bersifat persendirian dan boleh dibawa ke mana sahaja kerana ia dipakai oleh pemiliknya. Cap berbentuk cincin selalunya bersaiz lebih kecil dan dalam bentuk seperti bulat, bujur dan segi empat.

Cap mohor boleh dibuat daripada beberapa bahan berlainan seperti logam atau kayu dan batu permata berharga dan separa berharga.

Sewaktu zaman awal Islam, kebanyakan cap mohor diperbuat daripada batu permata berharga dan separa berharga seperti batu kristal, batu jed, batu garnet dan batu zamrud.

Batu-batu permata yang telah siap diukir dalam bentuk yang dikehendaki biasanya dijadikan sebagai batu cincin ataupun loket kepada sipemilik. Bagi logam, perak dan tembaga banyak digunakan sebagai cap mohor. Di dunia Melayu, kayu juga digunakan dalam pembuatan cap mohor.

Dalam zaman pertengahan Islam, selain raja, cap mohor juga banyak digunakan oleh para pembesar, penulis dan juga peniaga. Ini dapat dilihat di atas manuskrip Islam dan dokumen rasmi empayar Islam yang dipamerkan di muzium-muzium. Antara dokumen yang menggunakan cap mohor ialah dekri diraja, dokumen kerajaan seperti berkaitan dengan tanah dan wakaf, sijil perkahwinan, karya kaligrafi dan manuskrip.

Cap mohor mempunyai banyak fungsi dan ia dapat menjelaskan kepada penyelidik peranan yang dimiliki oleh pemiliknya. Jika cap mohor raja terletak di atas dekri, ia dilihat sebagai orang yang memiliki kuasa dan mengeluarkan perintah. Jika cap mohor digunakan dalam dokumen sewa beli, ia dilihat sebagai akuan bayaran oleh orang yang telah membayar dan orang yang menerima bayaran. Di atas sijil perkahwinan Iran, saksi selalunya meletakkan cap mohor mereka dengan rasa gembira sebagai saksi kepada satu ikatan perkahwinan. Tetapi jika perkahwinan tersebut gagal dan pasangan terpaksa bercerai, saksi yang meletakkan cap mohor mereka di atas sijil perkahwinan akan memadam atau mengoyakkan cap mohor mereka.

Bagi sesebuah manuskrip Islam, cap mohor dilihat sebagai tanda hak milik penulis ataupun pengarangnya. Ini banyak ditemui pada manuskrip dari Iran dan Turki. Kadangkala terdapat cap mohor di bahagian tepi teks manuskrip. Ia menunjukkan penambahan nota atau isi kandungan yang dilakukan oleh individu yang meletakkan cap mohornya di bawah nota tersebut.

Di Muzium Kesenian Islam Malaysia, koleksi cap mohor batu separa berharga seperti batu karnelian, kristal dan jed dipamerkan di galeri mata wang manakala koleksi cap mohor Melayu terdapat di galeri Dunia Melayu.

Hukum memberi zakat kepada orang kaya

Soalan:

Dalam sebuah hadis, ada seorang sahabat nabi yang telah bersedekah dan sedekahnya telah diterima oleh orang kaya. Sungguh pun demikian, malaikat telah mendoakan kepada lelaki itu, mudah-mudahan sedekahnya akan menginsafkan si kaya agar dia juga turut bersedekah.

Jadi, apakah hukumnya jika seseorang itu memberi zakat kepada orang kaya. Adakah sah zakatnya? Bagaimana pula amalan di Selangor khususnya?

Jawapan:

Terima kasih kerana bertanya. Memang benar, ada sebuah hadis yang menyatakan kisah sedemikian. Hadis tersebut dikeluarkan oleh Imam Muslim dan diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.

Walau bagaimanapun, kita hendaklah membezakan di antara sedekah dan zakat. Berdasarkan maksud hadis, sedekah di dalam kisah ini lebih merujuk kepada sedekah sunat dan bukannya zakat.

Sementara itu, sedekah umumnya adalah sunat; sedangkan zakat adalah amalan fardu atau wajib. Menurut fuqaha', amal ibadah hendaklah menepati syarat dan rukunnya, baharulah amal ibadah itu dikira sah dan diterima di sisi Allah SWT.

Jika rukun dan syarat sahnya tidak dipatuhi, maka ia membawa kepada implikasi batal atau fasid (rosak) di sisi Allah SWT.

Menyentuh isu zakat, rukunnya adalah niat menunaikan zakat dan keduanya berlaku perpindahan milik harta daripada pembayar zakat (muzakki) kepada asnaf zakat (mustahiq).

Oleh itu, jika harta zakat itu tidak sampai kepada salah satu daripada lapan asnaf, ia membawa kepada tidak sahnya zakat tersebut.

Berbalik kepada persoalan utama, bolehkah zakat diberikan kepada orang-orang kaya? Adakah orang kaya termasuk ke dalam asnaf zakat? Hal ini memang menjadi perdebatan umum dalam kalangan masyarakat.

Ini kerana, lazimnya sedekah dan zakat memang sering dikaitkan dengan fakir dan miskin.

Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW ada menukilkan sebuah hadis yang mafhumnya: "Tidak ada bahagian zakat bagi seorang yang kaya dan seorang yang kuat yang mampu berkerja". (riwayat Abu Daud)

Sayid Sabiq di dalam kitabnya Anasir Kekuatan Di Dalam Islam, ada menukilkan sebuah kisah Nabi SAW dengan seorang pemuda Ansar yang diajar mencari kayu sehingga mampu berdikari dan tidak sekadar mengharapkan simpati demi sesuap makanan.

Ini menunjukkan Islam tidak meraikan orang yang kaya dan mampu berkerja; dengan suka meminta-minta.

Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW juga ada membuat pengecualian, bahawa zakat masih boleh diberikan kepada orang-orang kaya jika mereka memerlukan zakat, sesuai dengan kondisi diri mereka.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad dapat dijadikan sandaran yang mafhumnya: "Zakat tidak dihalalkan bagi orang kaya kecuali lima golongan ini, iaitu: (1) amil; (2) orang yang memberi zakat dengan hartanya sendiri (mualaf); (3) orang yang ikut berperang di jalan Allah SWT; (4) orang yang berhutang dan (5) orang miskin yang menerima zakat daripada seorang kaya (dan) kemudian dia menghadiahkannya kembali kepada orang kaya itu."

Para fuqaha' misalnya Imam Syafie dan Hambali menyatakan, dalil di atas membolehkan lima golongan kaya ini menerima zakat demi kemaslahatan diri mereka.

Ini kerana, masing-masing daripada lima golongan itu memerlukan zakat bukanlah atas kapasiti kemiskinan; melainkan memang perlu diberikan zakat atas tujuan tertentu.

Amil misalnya, diberikan zakat sebagai imbuhan sesuai dengan usaha dan kerja keras mereka menguruskan zakat dan para asnaf lainnya.

Mualaf boleh mendapat zakat, justeru ia bertujuan melunakkan hatinya agar lebih mendekati Islam dan dengannya ia mampu menarik lebih ramai kepada Islam.

Orang yang ikut berperang diberi zakat, kerana itu adalah tugas mulia di jalan Allah (fisabilillah) dan mereka tidak lagi sempat mencari rezeki. Orang yang berhutang pula dibantu demi meringankan beban dan mengelakkan mereka menjadi fakir dan miskin kerana hutangnya.

Orang yang dipulangkan zakatnya sebagai hadiah, sudah pasti lebih berhak menikmatinya kerana namanya pun bukan lagi zakat tetapi hadiah.

Kesimpulannya, golongan kaya masih boleh menerima bantuan zakat jika mereka termasuk dalam kategori yang diizinkan ini.

Walau bagaimanapun, dalam konteks amalan semasa di Selangor, sudah pastilah golongan fakir dan miskin lebih patut diutamakan. Hal ini sesuai dengan penyusunan Allah SWT di dalam al-Quran, iaitu zakat itu hendaklah terlebih dahulu diagihkan kepada fakir dan miskin, sebelum diikuti oleh lain-lain asnaf zakat yang lapan. Wallahu a'lam.

Orang kafir tolak bukti

Segala yang berlaku di muka bumi ini adalah bukti kekuasaan Allah yang tidak dapat dihalang oleh sesiapa atau kuasa selain-Nya.


Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang kafir yakni ahli kitab dan orang-orang musyrik (mengatakan bahwa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata. (Iaitu) seorang Rasul dari Allah (Muhammad) yang membacakan lembaran-lembaran yang disucikan (al-Quran). Di dalamnya terdapat (isi) kitab-kitab yang lurus.

Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan al-Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata. Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan yang demikian itulah agama yang lurus. Sesungguhnya orang-orang yang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang yang musyrik (akan masuk) ke neraka jahannam, mereka kekal di dalamnya. mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga 'Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pun reda kepadanya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya. (al-Bayyinah: 1-8)

Mukadimah

Surah al-Bayyinah termasuk dalam kategori surah Madaniyyah yang mengandungi lapan ayat dan ia diturunkan selepas surah al-Talaq.

Sedangkan pendapat Yahya bin Salam ia daripada surah Makiyyah. Ini juga pendapat Abu Soleh yang meriwayatkan daripada Ibn Abbas.

Hubungan surah ini dengan surah yang sebelumnya adalah: Sesungguhnya ayat lam yakunillazina... dan seterusnya seolah-olah menjadi sebab al-Quran ini diturunkan.

Ia seolah-oleh diungkapkan begini: "Kami turunkan al-Quran ini kerana orang kafir itu tetap berada dalam kekafiran, sekalipun telah datang seorang Rasul yang membacakan lembaran-lembaran yang suci kepada mereka".

Tafsiran ayat

Firman Allah SWT: Orang-orang kafir iaitu ahli Kitab dan orang-orang musyrik (mengatakan bahwa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata.

Ibn al-Jauzi berkata: Mereka adalah golongan Yahudi, Kristian dan penyembah berhala yang mengingkari kerasulan serta kenabian Muhammad SAW, sekali-kali tidak akan melepaskan kekafiran mereka. Mereka sanggup menggadaikan kebenaran hingga Rasulullah SAW diutuskan.

Firman Allah SWT: (Iaitu) seorang Rasul dari Allah (Muhammad) yang membacakan lembaran-lembaran yang disucikan (al-Quran). Di dalamnya terdapat (isi) kitab-kitab yang lurus.

Al-Maraghi berkata: Al-Bayyinah itu adalah Nabi Muhammad SAW yang membacakan lembaran-lembaran al-Quran kepada mereka, yang bersih dari campur tangan manusia, bersih daripada kesesatan, bersih daripada pemalsuan dan memancarkan cahaya kebenaran.

Selain itu, al-Quran juga mengandungi kebenaran sebagaimana yang terdapat dalam kitab para Nabi yang sebelumnya seperti kitab Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Ibrahim a.s.

Setelah Nabi SAW diutus, tingkah laku mereka semua berubah. Segolongan dari mereka mengaku beriman kepada Nabi Muhammad SAW dan mempercayai bahawa agama yang mereka ikuti dahulu sesat dan batil.

Sebahagian yang lain beriman kepada Baginda, tetapi tetap meragukan kebenaran ajaran-ajaran yang dibawanya, atau percaya bahawa Rasulullah SAW sendiri juga tidak benar. Sehingga mereka terus menentang, bersikap sombong dan tetap memegang tradisi nenek moyang daripada mengikut Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT: Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan al-Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata.

Berkenaan al-Bayyinah atau bukti yang nyata ada tiga pendapat:

i. Rasulullah SAW. Inilah pendapat

kebanyakan ulama.

ii. Al-Quran. Inilah pendapat Abu

al-'Aliyah.

iii. Apa yang terdapat dalam kitab

mereka berkenaan kenabian. Inilah

pendapat al-Mawardi.

Asal agama Allah itu satu sahaja, dan semua dasar-dasarnya mudah dan tidak membawa kepada berpecah-belah dan perselisihan mengenai dasar-dasar itu dan tabiatnya yang mudah.

Orang kafir setelah datang kepada mereka bukti yang jelas adalah sejahat-jahat makhluk. Golongan yang beriman dan mengerjakan amalan yang soleh adalah sebaik-baik makhluk.

Sebab itulah balasan yang diterima oleh kedua-dua golongan tersebut berbeza sama sekali.

Taqwa dan Alam Sekitar

Melakukan kebaikan terhadap alam sekitar yang menjadi elemen utama alam ini adalah sebahagian daripada tuntutan untuk menjadi hamba yang bertakwa dan diredhai Allah.

Jaga Alam Sekitar

Sebagai orang Islam, kita perlu memahami bahawa segala usaha untuk memelihara atau membaik pulih alam sekitar adalah sama halnya dengan usaha menjaga agama. Ini adalah kerana segala kemungkaran dan dosa mencemari dan memusnahkan alam sekitar sebenarnya mengganggu intipati hidup beragama kerana secara tidak langsung menodai kewujudan manusia di muka bumi ini.

Perbuatan merosakkan alam sekitar adalah sama seperti menafikan sikap adil dan ihsan, sedangkan kedua-dua sikap ini merupakan perintah Allah yang perlu dilaksanakan.

Perbuatan mencemar dan merosakkan alam sekitar juga menodai fungsi kekhalifahan yang telah dibebankan kepada manusia. Ini kerana bumi bukan milik manusia untuk dia berbuat sesuka hati tetapi bumi ini adalah milik Allah yang dipinjamkan kepada manusia yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah di atasnya.

Oleh hal yang demikian manusia perlu ingat bahawa ia dilantik sebagai khalifah Allah di atas muka bumi yang juga milik Allah. Maka tidak sepatutnya manusia bertindak seperti raja yang seolah-olah tidak akan diminta pertanggungjawabkan di atas segala yang telah dikerjakannya.

Ilmu etika atau akhlak (tasawuf) adalah satu bidang ilmu yang sangat berkait rapat dengan alam sekitar.

Sememangnya kod etika pemeliharaan dalam bahasan etika atau akhlak dianggap sebagai salah satu rukun tasawuf.

Sebagaimana definisi oleh golongan tasawuf bahawa 'kejujuran berserta kebenaran, dan etika (akhlak) berserta ciptaan,' sudah pasti alam sekitar adalah sebahagian daripada ciptaan yang dinyatakan tersebut.

Allah s.w.t juga telah berfirman di dalam al-Quran:

إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ
"Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya (berbuat kebaikan)"
(Surah An-Nahl 16: Ayat ke 128)