Monday, March 7, 2011

Kenapa Salahkan Musuh?


Umat Islam pada hari ini sememangnya tidak akan terlepas daripada menghadapi musuh. Di mana-mana pun kita berada musuh sentiasa ada. Sebagai contoh, di negara Palestin musuh Islam adalah golongan zionis yang telah mencabul serta mengambil hak dan maruah Islam di negara tersebut. Di Barat pula, musuh Islam adalah mereka yang sentiasa cuba menyebarkan jarum-jarum propaganda yang bertujuan untuk menjatuhkan kedudukan Islam di mata dunia.

Alhamdulillah sekarang ini kelihatan semakin ramai pihak yang mula berani mempertahankan Islam daripada terus dipermainkan musuh. Semoga Allah memberkati mereka yang sentiasa berjuang dalam mempertahankan dan menegakkan kebenaran.

Namun begitu, masih terdapat ramai pejuang Islam pada hari ini yang seperti tidak mempunyai strategi dan rancangan perjuangan yang tepat. Mereka seakan-akan tiada panduan, lalu mencuba sesuatu teori dan akan menukar kepada teori lain kalau cubaan itu menunjukkan hasil yang negatif.

Sudahlah begitu, mereka pula seperti tidak sedar yang mereka mempunyai musuh yang banyak dan bermacam-macam jenis. Apabila rancangan mereka digagalkan, maka riuh rendahlah mereka mengatakan kesal terhadap musuh.

Realiti Masa Kini

"Tak patut musuh buat begitu." kata sesetengah pejuang Islam. Inilah realiti masa kini! Setiap kali musuh melakukan sesuatu yang bertujuan untuk mejatuhkan Islam, mulalah masing-masing menuding jari menyalahkan musuh. Bukankah musuh itu tugasnya menjatuhkan lawannya? Memang kerja musuh menjatuhkan lawannya. Di atas kejatuhan itu mereka dapat bertakhta dengan gagahnya.

Pejuang Islam hari ini kelihatan seolah-olah tidak bermusuh ketat dengan musuh Islam. Sebab itulah mereka tidak berfikir taktik apa yang perlu digunakan untuk menghadapi musuh. Yang mereka buat ialah marah kepada musuh kerana menggagalkan rancangan mereka, menyekat dan mengugut dengan memulaukan musuh.

Mereka harap dengan marah-marah begitu, musuh akan kasihan dan berpihak kepada mereka. Barulah musuh hendak bantu dan tidak lagi menghalang perjuangan mereka.

Kasihan pejuang Islam. Kita maki hamunlah dan berdemonstrasilah bagaimana dahsyat sekalipun, musuh tetap tidak akan menyokong, membantu atau berjuang macam kita. Bahkan mereka akan bertambah gembira kerana perbuatan mereka telah berhasil dalam menakutkan dan menggagalkan kita.

Dan selepas itu, mereka mungkin akan mengatur rancangan dan strategi yang lebih besar dan lengkap lagi, supaya matilah perjuangan Islam, terkunci mulut pejuangnya dan terhentilah segala aktiviti perjuangan Islam.

Marahkan nyamuk, kelambu dibakar

Orang yang menyalahkan musuh samalah seperti orang yang menyalahkan nyamuk kerana menggigitnya. Makilah nyamuk sebanyak manapun, kita tetap akan digigitnya juga sebab itu sememangnya kerja nyamuk. Kalau kita tidak berbuat apa-apa kepada nyamuk tersebut, dia akan menjadi suka dan bolehlah dia meneruskan aktiviti menghisap darah kita tanpa apa-apa halangan.

Sepatutnya kita lawan nyamuk itu dan katakan kepadanya, "Wahai nyamuk, jangan engkau gigit aku. Sebab engkau hanya boleh ambil sedikit darahku tapi aku boleh ambil nyawamu." Sekiranya nyamuk itu menggigit juga kerana tidak sedar diri, tunggu apa lagi?

Bunuh saja! Biarkan ia menjadi perhatian nyamuk-nyamuk yang lain agar mereka tahu hukumannya. Namun nyamuk yang lain juga pasti tidak akan mengalah dan tetap ingin menghisap darah kita. Maka kita pun begitulah sepatutnya. Jangan mengalah dan kasihan kepada nyamuk. Jalankan tugas kita! Kalau pun tidak sampai hati hendak bunuh, pasanglah kelambu atau ubat nyamuk. Barulah nyamuk tidak boleh gigit kita.

Demikianlah sepatutnya dengan musuh. Mereka tipu kita, kita tipu mereka. Mereka atur strategi, kita pun atur strategi. Mereka halang perjuangan kita, kita pun halang perjuangan mereka. Mereka membangun, kita pun membangun, malah kalau boleh biarlah jauh lebih baik daripada mereka.

Itu barulah namanya perjuangan! Kalau setakat menyalahkan musuh dan berharap musuh tidak tewaskan kita, itu langsung tidak akan menjejaskan musuh, malah lebih memberikan keuntungan kepada mereka. Ingat, jangan salahkan musuh saja tetapi bertindaklah.

-Artikel iluvislam.com

Tiga Demensi Cinta


CINTA adalah perkataan indah yang mempunyai erti yang amat mendalam buat sepasang kekasih. Tetapi oleh kerana terlalu kerap disebut-sebut, ia menjadi koman. Akibatnya perkataan cinta mempunyai konotasi murahan. Cinta menjadi perkataan mainan di bibir kerana mudah dilafazkan dengan selamba.

Lafaz 'AKU CINTA PADAMU' atau 'I LOVE YOU' sudah tidak menjadikan si penyebut bergetar dadanya dan si pendengar terhenti jantungnya. Pendek kata ungkapan 'AKU CINTA PADAMU' sudah jadi sebutan plastik yang lahir di bibir semata-mata, bukannya menjelma dari hati. Kerana itu, ungkapan tersebut sudah tidak lagi mudah dipercayai kerana persepsi terhadap nilainya kian murah. Mengapa, ya?

Memanglah begini jadinya kerana ramai yang belum mengenal peringkat cinta yang pada pendapat saya sebenarnya ada tiga, mengikut tiga dimensi manusia iaitu fizikalnya, mentalnya dan spiritualnya. Cinta di peringkat pertama ialah cinta fizikal, peringkat kedua, cinta emosional dan peringkat ketiga, cinta spiritual.

Lazimnya, sepasang kekasih hanya mengalami dua dimensi cinta sahaja iaitu cinta fizikal dan cinta emosional. Tidak boleh tidak, kebanyakan percintaan pada hari ini bermula di dimensi cinta fizikal. Wajahnya, lirikan matanya, senyumannya, suaranya, seksinya, bau perfumnya, hensemnya dan segala-gala yang dapat dicapai oleh lima pancaindera banyak bergantung pada cinta fizikal. Cinta pandang pertama terlahir kerana cinta fizikal.

Pertemuan yang kerap sepasang kekasih, berbual, berSMS dan MMS, bertukar pendapat, membantu menyelesai masalah, saling bersama pergi dan pulang kerja, membantu menelaah pelajaran, pemberian hadiah dan pujian akan melahirkan cinta dimensi kedua iaitu cinta emosional. Dari situ, lahirlah rindu ingin sang kekasih sentiasa di sisi. Kerana cinta emosilah lahir ungkapan lautan api sanggup kurenangi.

Di manakah cinta spiritual? Lazimnya tak terlahir di peringkat ini kerana perasaan ini sukar menjelma jika tidak diketahui. Kerana tidak dimengerti, maka ia tidak dicari. Namun, anak yang dijodohkan oleh ibu bapa akan mengalami cinta spiritual terlebih dahulu sebelum cinta fizikal dan cinta emosional. Ia apa yang selalu disebut sebagai kahwin dahulu, baru bercinta, sedangkan sebenarnya mereka berkahwin kerana mengikut perintah ibu bapa. Apa yang disukai ibu bapa, ia juga disukai ALLAH. Kerana itulah, perkahwinan ini biasanya kekal dan damai kerana ditunjangi cinta spiritual, cinta emosional dan cinta fizikal.

Fizikal, mental dan spiritual seseorang itu harus dipenuhi sebelum seseorang itu akan komited terhadap sesuatu. Justeru itu, cinta fizikal dan cinta emosional sahaja belum melengkapi. Sebab itu ia goyah. Agar perkahwinan itu teguh, carilah cinta spiritual iaitu cinta dan berkahwin kerana menurut sunah Nabi Muhammad s.a.w yang antaranya untuk menambah umat dan kerana mengikut perintah ALLAH.

Ingatlah, jodoh kita ditentukan di Luh Mahfuz. Justeru itu, ia bukan sahaja untuk di dunia, malah membawa ke akhirat. Jika diizinkan-NYA, pasangan kita itulah yang akan menjadi teman kita selama-lamanya di syurga. Berkasih di syurga bukan hanya di dalam lagu cinta, tetapi yang benar akan terjadi jika kita mengerti dengan menyuluh ke denai-denai di hati.

-Artikel iluvislam.com

Tiada Maaf Bagimu


Ustaz,

Seorang rakan saya pernah melakukan kesalahan kepada saya seperti mengumpat saya, kemudian, dia pernah berterus terang tentang perbuatannya dan meminta maaf. Tetapi saya agak keberatan memaafkannya, bolehkah kita tidak memaafkan orang yang meminta maaf dari kita? Apakah hukumnya ?

- Ingin tahu-

Jawapan Ust Zaharuddin :

Dosa mengumpat tidak syak lagi adalah sebuah dosa yang agak besar. Ia disebutkan oleh Allah SWT :

ertinya : " Adakah kamu suka memakan daging mayat saudara kamu ? " ( Al-Hujurat : 12 ) .

Rasulullah pernah menggunakan satu teknik sastera dalam mengingatkan sahabat tentang bahaya mengumpat. Di satu ketika Jabir r.a mengatakan bahawa dia bersama Nabi SAW di satu tempat dan terbau busuk di tempat itu, lalu Nabi SAW berkata " Adakah kamu tahu apakah bau ini ? , inilah bau orang-orang yang mengumpat orang mukmin" (Ahmad, dengan perawinya thiqat).

Soalan anda berkisar tentang hokum memaafkan orang yang bersalah yang meminta maaf. Dalam Islam terdapat pelbagai jenis dosa terhadap orang lain. Sebahagian darinya terdapat peruntukan hukuman Allah di atas dunia, seperti membunuh, merompak dan menuduh zina orang yang baik.

Jika dosa orang itu di dalam katergori besar di atas, maka hukum memaafkan mereka adalah tertakluk kepada si mangsa, jika tidak dimaafkan, si pembunuh akan dibunuh balik, si perompak akan di potong tangan dan si penuduh akan di sebat 80 kali sebatan. Ini bermakna, hukum memaafkan kesalahan besar seperti ini tidak wajib ke atas mangsa. Bagaimanapun, Islam sentiasa menggalakkan umatnya bersikap belas dan memaafkan orang bersalah yang telah bertaubat dan insaf dengan benar.

Adapun bagi kesalahan mengumpat, ia bukanlah satu kesalahan yang sangat besar sehingga terdapat peruntukan hukuman Allah di dunia ini. Justeru, apabila si pesalah mengaku salah dan memohon maaf, amat digalakkan untuk memaafkannya berdasarkan sebuah hadith yang menyebut bahawa sesiapa yang dipohon kemaafaannya (dengan ikhlas), dan ia menolaknya, maka yang menolak tidak akan dapat merasai telaga Nabi Saw di akahirat kelak. (Riwayat At-Tabrani. Albani : Dhoif)

Kesimpulannya, bagi kesalahan-kesalahan kecil, adalah tidak wajar seseorang itu tidak memaafkan individu yang telah mengakui dosanya. Bagaimanapun, hak untuk tidak memaafkan jika berlaku dosa besar masih tertakluk kepada si mangsa. Cuma Islam mengalakkan pengampunan berdasarkan firman Allah SWT :

Ertinya : "Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang- orang yang sabar. " ( An-Nahl : 126 )

Ayat ini dengan jelas, mempromosi sabar atau memaafkan kesalahan besar seseorang terhadap kamu. Sebagaimana RSAW memaafkan kesalahan puak musryikin Mekah ketika pembukaan Fath Makkah dengan katanya

لا تثريب عليكم اليوم , يغفر الله لكم
"Tiada pembalasan ke atas kamu semua pada hari ini, Allah akan mengampunkan kamu" (Al-Amwal , Abu 'Ubaiyd, 143 dengan sanad hasan tetapi Mursal) Nabi diriwayatkan juga berkata ketika itu

نصبر ولا نعاقب
" Kami sabar dan tidak akan membalas " (Riwayat Ahmad, 5/135 ; At-Trmidizi, 4/361 ; Sohih menurut al-Hakim dan disepakati az-Zahabi)

- Artikel iluvislam.com

Lapangkanlah Hati Ini


''Eh, ada mesej baru, masuk.''

''Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyaya ng. Sesungguhnya perasaan riyak itu merupakan syirik kecil yang tanpa disedari, sering terjadi bilamana...''

''La, mesej pasal agama lagi! Aku dah agak dah, tak habis-habis nak membebel lagi dia ni. Ish, bosan betul laa! Tak de benda lain ke? Malas betul la aku nak layan dia ni, buat rugi masa, jiwa dan tenaga aku je. Baik aku layan benda lain, lagi best. Taklah buang masa aku cam ni.''

Duhai diri, sungguh rugi jika ini yang tergambar di dalam hati dan dibuktikan dengan perlakuan bila ada diantara saudara seislam yang memberitahu tentang ilmu agama.

''Demi masa. Sungguh manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran."
(Al-'Asr: 1-3)

Terimalah kebenaran itu walau dari manapun datangnya.

''Eleh, cakap macam bagus je, kau pun sama je, tak sempurna. Nak tegur-tegur aku apasal? Sempurnakan diri kau tu dulu, baru layak nak tegur aku.''

Seringkali kita melihat atau mencari ketidaksempurnaan orang yang menegur kita itu dulu baru kita mahu memikirkan mesej yang disampaikan oleh orang tersebut. Itupun kalau kita berlapang hati mahu menerima mesej itu.

Katakan kepadaku, manusia mana yang akhlaknya sempurna selain para rasul dan nabi-nabi yang mana sudah semestinya termasuk juga penghulu sekalian nabi kita, Nabi Muhammad SAW? Nak tunggu manusia yang sempurna akhlaknya wujud di hadapan kita untuk menegur kesalahan kita, baru kita mahu berubah, alamatnya sampai kita berada di liang lahadlah, masih tak berubah. Wahai diri!

''Lantak kaulah, buang masa aku aje!''

Ingatlah, tiap helaan nafas ini, nak tak nak mendekatkan kita kepada detik kematian. Berapa lama sangatlah kita hidup? 100 tahun? Mungkin. Tapi, ingat, tanpa rahmat dan kasih sayang-Nya, tak mungkin kita dapat mengecap nikmat mata, oksigen, kaki, mulut, pendengaran, tangan, sehingga tak terhitung nikmat yang diberikan-Nya kepada kita pada masa ini.

Andai kata, Allah tarik salah satu nikmat, katakanlah mata, mampukah kita melihat, embaca buku untuk menjawab exam, membaca Al-Quran, membaca risalah agama? Pada ketika itulah baru datang rasa menyesal yang tidak sudah kerana tidak mahu menggunakan nikmat itu ketika masih diberi ruang dan peluang oleh-Nya.

''Ya Allah, kembalikanlah aku ke muka bumi, untuk aku membuktikan kehambaanku kepada-Mu.''

Apakah yang telah engkau lakukan ketika hidup dahulu? Ada tak untuk Allah? Untuk Islam?

Dah terlambat. Jika kita sudah dikafankan, dimasukkan ke dalam liang lahad yang hanya sebesar saiz diri kita, hanya sebesar itu rumah kita pada ketika itu, sedangkan semasa hidup dahulu, rumah kitalah yang besarnya mengalahkan gunung juga yang tingginya mencapai langit.

''Mana perginya harta aku yang berjuta-juta itu? Bantu dan temankan aku di dalam kubur yang sempit ini, tolong..''

Tidak sesekali wahai diriku, harta duniawi yang kita kumpulkan itu, tidak dapat menemankan kita di dalam kubur yang lamanya kita berada di dalamnya mungkin lebih lama dari umur 100 tahun yang kita hidup di atas muka bumi itu.

"Maka bersabarlah engkau (Muhammad) sebagaimana kesabaran rasul-rasul yang memiliki keteguhan hati, dan janganlah engkau meminta agar azab disegerakan untuk mereka. Pada hari mereka melihat azab yang dijanjikan, mereka merasa seolah-olah tinggal (di dunia) hanya sesaat pada siang hari. Tugasmu hanya menyampaikan. Maka tidak ada dibinasakan, kecuali kaum yang fasik (tidak taat kepada Allah)."
(Al-Ahqaf: 35)

"Dan pada hari terjadinya qiamat, orang-orang yang berdosa bersumpah, bahwa mereka berdiam (dalam kubur) hanya sesaat (saja). Begitulah dahulu mereka dipalingkan (dari kebenaran). Dan orang-orang yang diberi ilmu dan keimanan berkata (kepada orang-orang kafir), "Sungguh kamu telah berdiam (dalam kubur) menurut ketetapan Allah sampai hari kebangkitan. Maka inilah hari kebangkitan itu, tetapi (dahulu) kamu tidak meyakini(nya)."
(Ar-Rum: 55-56)

"Para malaikat dan malaikat Jibril naik kepada Allah dalam sehari yang ukurannya sama dengan 50 ribu tahun (ukuran manusia)."
(Al-Ma'arij: 4)

"Dia mengatur urusan dari langit ke bumi kemudian (urusan) itu naik (dibawa oleh malaikat) kepadanya dalam satu hari, yang ukuran (lamanya) adalah seribu tahun menurut perhitunganmu."
(As-Sajdah: 5)

"Dan mereka meminta kepadamu (Muhammad)agar azab itu disegerakan, padahal Allah tidak akan menyalahi janji-Nya. Dan sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun menurut perhitunganmu."
(Al-Hajj: 47)

Bayangkan, betapa ukuran jangka masa yang amat panjang di akhirat kelak.

"Mereka tinggal di sana dalam masa yang lama."
(An-Naba': 23)

Kenyataannya sekarang, tiga detik saja terkena api, manusia langsung kesakitan.

Setiap manusia akan merasakan betapa sebenarnya hidup di dunia adalah terlalu singkat, bila sudah berada di alam lain. Beruntung kalau balasan itu diberikan kepada manusia beriman, sebab tidak lain itu merupakan kenikmatan yang tiada taranya. Tapi luar biasa ruginya kalau balasan itu diberikan kepada manusia durhaka, sebab tidak lain itu adalah siksaan yang sangat pedih dan sangat lama.

Ingatlah wahai diriku, kita hidup ni ada tujuan, ada matlamatnya. Bukan saja-saja, bukan suka-suka sahaja Allah ciptakan kita.

"Dan Aku tidak menciptakn jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku."
(Adz-DZaariyaat: 56)

Kita di wujudkan dari tiada kepada ada. Maka, katakanlah, adakah mustahil bagi Allah untuk membangkitkan kita dari tulang-belulang yang hancur semasa di dalam kubur kepada manusia yang sempurna untuk dihisab di hari penghisaban nanti?

"Dan Dialah yang memulai penciptaan, kemudian mengulanginya kembali, dan itu lebih mudah bagi-Nya. Dia memiliki sifat yang Maha Tinggi di langit dan di bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana."
(Al-Rum: 27)

"Engkau pernah makan lepat ubi kat restoran secawan kopi? Rasanya sedap."
"Kau yakin ke memang sedap? Pernah rase ke kat situ?"
"Aku pun tak berapa pasti betul ke tak penyataan tu. Tak pernah pulak aku makan, aku dengar cerita dari orang lain je, hehe."
"Laa, cakap macam pernah rase, apa laa kau nie."

Nah, jika kita tak cuba merasai sendiri, bagaimana mungkin kita mengetahui dengan yakin dan pasti seterusnya mengalami sendiri bahawa Islam itu manis, indah? Cubalah belajar untuk memahami ajaran Islam yang datangnya dari Allah, yang Maha Mengetahui akan kehendak dan kelemahan yang dimiliki oleh hamba ciptaan-Nya. Cuma kita yang kadangkala tidak mahu membawa diri kita dekat kembali kepada-Nya.

Dia tahu apa yang kita mahu, apa yang kita gersangkan, tapi mana mungkin kita dapat memperolehinya jika kita tidak minta serta menaati perintah-Nya, disamping menyempurnakan syarat-syarat (berdasarkan Al-Quran dan Hadis) yang telah ditetapkan oleh-Nya untuk kita memperolehi apa yang kita mahu.

"Aku nak belajar kat United Kingdom lepas ni, kalo bleh kat Universiti Oxford, tajaan JPA.''
"Kau dah mohon ke, Adam?"
"Belum lagi, takpe banyak lagi masa.''
"Result kau mesti gempak punye kan? Kalau tak mesti kau tak de angan-angan nak minta."
"Eh tak de la, 2A je. Hehe."
"Haha, 2A je? Aku lagi banyak, 3A. Jangan harap la kau nak dapat, sebab dah la tak cukup syarat, tak mintak pulak tue. Confirm, tak dapatnye."
"Ye ke? Macam tu rupenya ye? Sedihnya aku."

Begitulah perumpamaan hidup ini antara kita dengan Allah, jika kita tidak minta kepadanya, disamping tidak cuba berusaha memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan (melaksanakan hukum-hukum agama berdasarkan Al-Quran dan Hadis), perlukah Allah melayan kita jika kita tak meminta kepada-Nya, tapi kita pergi minta kepada makhluk-Nya? Siapa lagi hebat, makhluk ciptaan-Nya atau Allah Pencipta makhluk tersebut? Fikir-fikirkanlah, wahai diriku.

Jika sewaktu hidup di atas muka bumi ini, cita-cita mahu menjadi seorang chemical engineer, seorang pendidik atau usahawan yang berjaya, bagaimana pula cita-cita untuk hari akhirat nanti? Mahu menjadi ahli syurga atau ahli neraka, wahai diri?

Seimbangkanlah dunia dan akhiratku, wahai diri. Jika ilmu dunia sanggup ku tagih dan ku gapai walau berjuta rintangan menanti di hadapan demi mencapai dean list, bagaimana pula akhiratku? Tidak mahukah aku menjadi deen list juga di sisi Allah?

Ketahuilah bahawa doa itu senjata bagi orang mukmin. Yakinlah bahawa Allah sangat suka hamba-Nya memohon kepada-Nya. Bagaimana kita dapat mengecap nikmat syurga yang mana ada mahar atau bayaran yang bukan sedikit, wahai diriku.

Tapi yakinlah, rahmat Allah terlalu banyak untuk orang yang beriman kepada Allah. Rahmat Allah itu amat dekat kepada orang yang berbuat baik.

"Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik. Berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut dan penuh harap. Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat kebaikan."
(Al-A'raaf: 56)

"Orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka mendapat kebahagiaan dan tempat kembali yang baik."
(Ar-Ra'd: 29)

Andai kata sewaktu kita di atas muka bumi lagi kita sudah give up dalam berusaha untuk memasuki syurga Allah, bagaimana di akhirat nanti? Sewaktu buku amalan dibentangkn di hadapan kita? Adakah diserahkan kepada kita dari sebelah kanan atau kiri?

"(Ingatlah), pada hari (ketika) Kami panggil setiap umat dengan pemimpinnya, dan barangsiapa diberikan catatan amalnya di tangan kanannya mereka akan membaca catatannya (dengan baik), dan mereka tidak akan dirugikan sedikitpun. Dan barangsiapa buta (hatinya) di dunia ini, maka di akhirat dia akan buta dan tersesat jauh dari jalan (yang benar)."
(Surah Al-Israa': 71-72)

Siapalah aku untuk cuba memahami sifat manusia yang tidak mahu menerima? Kerna yang Maha Memahami hanya satu, Allah yang Maha Mengetahui. Kembalilah kita kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Kita tak menjumpainya kerana kita tak mencari. Tidak ada istilah pencen dalam menuntut ilmu agama. Tanpa ilmu (agama), seseorang agak sukar untuk mendapatkan hidayah Allah.

"Dan orang-orang kafir berkata, "Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) tanda (mukjizat) dari Tuhannya?" Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada orang yang bertaubat kepada-Nya".
(Surah Ar-Ra'd: 27)

"Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kesyirikan, mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk."
(Surah Al-an'am: 82)

Siapa yang menciptakan segala perasaan dalam hati kita? Allah. Kebahagiaan? Allah. Ketenangan? Allah. Subhanallah, jika kita betul-betul kenal Allah, Pemilik segala sesuatu, pasti kita akan mencintainya melebihi segala-galanya, tak kenal maka tak cinta, dengan mengingati Allah, jiwa akan tenang. Subhanallah.

Di dalam sebuah hadis Qudsi, Allah berfirman:

"Aku bergantung pada persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, Aku pasti bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Maka jika ia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku akan menyebutnya dalam Diri-Ku, jika ia mengingat-Ku dalam suatu jamaah, Aku akan menyebutnya dalam suatu jamaah yang jauh lebih baik daripada mereka, jika ia mendekat kepada-Ku sejengkal, Aku akan mendekat kepadanya sehasta, jika ia mendekat kepada-Ku sehasta, Aku akan mendekat kepadanya sedepa, jika dia mendekat kepada-Ku dengan berjalan, Aku akan mendekatinya dengan berlari."
(Muttafaq-A'laih)

Sesungguhnya, Allah tidak pernah dan tidak akan memungkiri janji-Nya.

Artikel iLuvislam.com

Boleh Saya Ambil ?


Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah yang boleh dikatakan kepada pemilik wang syiling RM75,000 yang mengalami kemalangan di Kilometer 244 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), dekat susur keluar Pedas.

Menurut laporan akhbar-akhbar tempatan, orang ramai dikatakan berpusu-pusu menghentikan kenderaan mereka, sebahagiannya bukan untuk menolong mengutip dan mengembalikan wang yang berteraburan itu tetapi sebaliknya mengambil dan melarikan semua wang syiling yang dikutip.

Tentunya penghargaan wajar diberikan kepada mereka yang datang membantu tetapi bagi mereka yang mengambil kesempatan melarikan wang terbabit, kejadian seperti ini amat mendukacitakan dan jelas memperlihatkan betapa rakusnya nafsu keinginan kepada wang.

Mereka sama sekali tidak mengendahkan persoalan hukum. Demikian amaran Nabi Muhammad :

يأتي على المرء زمان لا يبالي المرء ما أخذ منه ، أمن الحلال أم من الحرام
Ertinya : Akan sampai satu zaman dimana manusia tidak lagi menghiraukan dari sumber mana diperolehi hartanya, sama ada dari yag halal atau yang haram ( Riwayat Al-Bukhari)

Lebih teruk dari itu, tiada lagi rasa 'malu' dan hiraukan kecederaan tuan punya wang yang berada di tempat yang sama. Mereka juga tidak menghiraukan keselamatan diri mereka sendiri sehingga dilaporkan ada yang mengutipnya di tengah-tengah lebuh raya, sehingga terpaksa akhirnya pihak berkuasa menutup laluan bagi memastikan tiada kemalangan nyawa akibat kerakusan itu.

HUKUM BARANG JUMPA

Bayangkan di dalam Islam, setiap harta yang dijumpai dan tidak diketahui pemilik pun tidak boleh kita nikmati sebelum melalui proses tertentu. Harta yang ditemui tanpa dikethaui pemilik dinamakan 'Luqatah' di dalam ilmu Fiqh Islam.

Nabi menyatakan :

من وجد لقطة فليشهد ذا عدل أو ذوي عدل ولا يكتم ولا يغيب فإن وجد صاحبها فليردها عليه وإلا فهو مال الله عز وجل يؤتيه من يشاء
Ertinya : Barangsiapa yang menumpai sesuatu harta, maka wajiblah dia memaklumkannya ( bersaksi) dia menjumpainya kepada orang yang adil atau pihak berkuasa, tidak boleh sama sekali dia menyembunyikan dan menghilangkannya. Sekiranya dapat dijumpai pemiliknya wajiblah dia mengembalikan wang terbabit, jika gagal maka harta tadi adalah dikira milik Allah dan boleh disedeqahkan kepada sesiapa yang diingini." ( Riwayat Abu Daud )

Imam Al-Khattabi menghuraikan , ia hanya boleh dimanfaatkan oleh yang menjumpainya setelah mencari pemilik tersebut dalam tempoh satu tahun. ( Aunul Ma'bud, hlm 101).

Itu perbincangan hukum menjumpai harta dan panjang lagi perbincangannya dalam mazhab-mazhab Fiqh Islam, cuma dapat kita lihat betapa Islam mengajar umatnya agar sentiasa peka dan berhati-hati dalam apa jua harta yang diterima. Malah yang dijumpai pun belum tentu boleh dimanfaatkan. Apatah lagi untuk mengganggap ia sebagai 'rezeki terpijak' atau 'durian runtuh'.

Jika demikian displin Islam dalam bab harta yang dijumpai, tentulah Islam sangat melarang sesiapa juga mengambil kesempatan mencuri, merompak dan melarikan wang yang tercicir akibat kemalangan sedang diketahui tuannya sedang dalam kesakitan.

Sebenarnya keadaan 'mengambil kesempatan' di atas sesuatu musibah dan kemalangan ini bukan hanya merujuk kepada kes di atas, tetapi telah banyak kali dapat kita baca disiarkan oleh media massa. Ada yang mengambil kesempatan semasa kebakaran, gempa bumi dan sepertinya, mereka mencuri barangan tuan rumah yang terpaksa ditinggalkan.

Teringat pernah diwartakan suatu ketika dahulu, bagaimana mangsa yang cedera parah dan yang maut akibat kemalangan dicuri dompet dan barangan berharga mereka yang terdapat di dalam kenderaan. Semuanya dilakukan oleh sebahagian penyamun dari kalangan orang ramai yang berkerumun yang kononnya ingin membantu, keadaan itu menyukarkan tugas polis untuk mengenal mangsa.

Tidak kurang juga yang merompak semasa demonstrasi dan yang lebih teruk pernah dilaporkan, seorang pegawai sukarela menangkap pelaku khalwat, menerima rasuah dan ada yang merogol mangsa ketika dalam perjalanan menghantarnya ke rumah ibubapa mangsa. Begitu buruknya sifat dan sikap manusia seperti ini.

CERMINAN MASYARAKAT KITA?

Gambaran-gambaran di atas sebenarnya mampu memberikan sedikit idea berkenaan sikap sebahagian besar masyarakat kita hari ini. Sikap tidak amanah apabila berhadapan dengan peluang mendapat wang dan peluang mudah, dengan segera disambar tanpa menghiraukan kesan luka di dalam hati mangsa. Disebabkan oleh sifat sebegini rasuah masih gagal dihentikan, keterlibatan dalam skim cepat kaya, skim piramid dan pelbagai skim menipu masih terus berkembang dan mendapat mangsa. Semuanya disebabkan sifat kerakusan malas mengkaji dan tanpa ilmu yang menyubur, menyebabkan diri tersangkut di dalam jerat pendapatan kononnya cara mudah.

DOSA BERGANDA

Dosa bagi mereka yang mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain adalah lebih besar berbanding dosa biasa. Merampas dan meragut sememangnya merupakan suatu dosa. Namun apabila ia dilakukan di ketika pemilik harta dalam keadaan cedera kemalangan sama ada di jalanraya atau kemusnahan di dalam rumah. Dosa penjenayah terbabit BERGANDA, KEHINAAN mereka di sisi Allah juga menjadi berganda.

Hal itu hampir sama seperti mengenakan caj penalti di ketika peminjam tidak mampu melunaskan hutangnya, dan berada di dalam situasi yang benar-benar sukar. Dalam keadaan itu, pemberi pinjam sewajarnya memberikan waktu kelegaan bagi meringan beban peminjam dan bukan menjerut leher mereka dengan menambah hutang mereka dengan caj penalti yang membebankan. Ia adalah riba dan Ibn Qayyim menegaskan pengharamanya disebabkan kezaliman jelas yang terkandung dalam tindakan tersebut.

WAJIB PULANGKAN

Justeru, saya ingin menasihatkan mana-mana individu yang terlibat mengutip dan melarikan wang tercicir di dalam kemalangan di lebuhraya kelmarin, agar segera bertaubat dan memulangkan wang terbabit kepada pemiliknya walau ia bernilai beberapa ringgit.

Nabi bersabda :

لا يحل لمسلم أن يروع مسلما، إذا أخذ أحدكم متاع أخيه فليرده
Ertinya : Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menakutkan Muslim yang lain, dan apabila seorang kamu mengambil hak milik saudaranya yang lain, wajiblah dia memulangkannya kembali (Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud)

Nabi juga mengingatkan :

لا يحل مال امرئ مسلم إلا بطيب نفس منه
Ertinya : Tidak halal harta yang dimiliki oleh seseorang Muslim ( untuk diambil oleh orang lain) kecuali diizinkan olehnya ( Riwayat Ahmad, 5/72)

Tanpa memulangkan kembali, ia bakal menjadi suatu beban di dalam kuburan kelak. Ia amat jelas wang yang haram digunakan oleh mereka dan perlu disedari dosa tindakan itu berganda-ganda kerana sebab yang dinyatakan di atas.

KESIMPULAN

Kes kemalangan di lebuhraya itu hanyalah sebagai contoh kepada semua jenis insiden kemalangan yang lain. Amat perlu masyarakat kita diingatkan agar tidak sama sekali mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain.

Walaupun sekali pandang, kes ini kelihatan kecil dan remeh tetapi hakikatnya ia adalah besar kerana memberi cerminan sikap masyarakat kita yang amat gersang dari pengisian rohani dan etika, sehingga tergamak mengambil kesempatan di atas kesusahan orang. Ia juga membimbangkan kerana melambangkan sikap pentingkan diri sendiri sudah begitu hampir ke tahap kemuncak kejahatan kejahatan.

Jika demikian sikap mereka terhadap duit beberapa sen dan ringgit sahaja, bayangkan jika di hadapan mereka adalah wang yang lebih besar.

Pihak berwajib dan mana-mana pihak yang punyai kuasa sama ada di peringkat keluarga, masyarakat, negeri dan negara tidak boleh memandang ringan insiden ini kerana ia jelas memerlukan satu plan terbaik untuk merawat pembangunan kerohanian, integriti dan etika masyarakat.

Tidak dinafikan, ia juga mungkin manifestasi betapa terdesaknya masyarakat ketika menghadapi tekanan perbelanjaan harian yang semakin meningkat dewasa ini. Tekanan yang semakin mendesak boleh mengakibatkan seseorang bertindak seperti hilang aqal.

Semoga kita semua mampu berperanan dalam ruang lingkup kuasa kita selain berteriak meminta pihak itu dan ini untuk bertindak. Jalan yang terbaik untuk memulihkan masalah ini adalah mulakan dengan diri dan keluarga sendiri.

Sekian

- Artikel iluvislam.com

Thursday, March 3, 2011

Kuasa Cinta!


Rasulullah SAW bersabda : "Cintailah siapa yang ada di bumi supaya kamu akan dicintai oleh makhluk yang berada di langit " (Riwayat Tabrani)

Cinta Menyintai Atas Keimanan dan Ketaqwaan

Rasulullah SAW bersabda:Kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mereka berkata : "Kami semua pengasih" Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya bukanlah mengasihi seorang sahabatnya sahaja, akan tetapi membawa rahmat kepada manusia, mengasihi semua manusia". (Riwayat Tabrani)

"Kata pujangga cinta letaknya di hati. Meskipun tersembunyi, namun getarannya nampak sekali. Ia mampu mempengaruhi fikiran sekali gus memberi kesan kepada tindakan. Sungguh, cinta dapat mengubah pahit menjadi manis, debu beralih emas, keruh menjadi bening, sakit menjadi sembuh, penjara menjadi telaga, derita menjadi nikmat, dan kemarahan menjadi rahmat. Cinta mampu melembutkan besi, menghancurkan batu karang, membangkitkan yang mati dan meniupkan kehidupan padanya serta membuat hamba menjadi pemimpin. Inilah dahsyatnya cinta!" (Jalaluddin Rumi).

Cinta Yang Terutama

Alangkah indahnya Islam! Di dalamnya ada syariat yang mengatur bagaimana seharusnya manusia mengelola perasaan cintanya, sehingga menghasilkan
cinta yang lebih dalam, lebih murni, dan lebih abadi.Islam mengajarkan bahawa seluruh kuasa cinta manusia harus dipupuk menuju pada Allah Yang Maha Pencipta, sehingga cinta kepada-Nya jauh melebihi cinta pada sesama makhluk. Justeru, cinta pada sesama makhluk dicurahkan semata-mata karena mencintai-Nya.

Asasnya adalah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 165, 'Dan di antara manusia ada orang-orang yang mengambil selain Allah untuk dicintainya; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Sedangkan orang-orang yang beriman amat dalam(taat) cintanya kepada Allah.'

Islam mengajar manusia tentang pengurusan cinta, iaitu bagaimana manusia seharusnya menyusun skala prioriti cintanya. Urutan tertinggi perasaan cinta adalah kepada Allah SWT, kemudian kepada Rasul-Nya . Cinta pada sesama makhluk diuruskan sesuai dengan firman-Nya iaitu kedua orang ibu-bapa, kaum kerabat , anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sekerja, ibnu sabil dan hamba sahaya. Sedangkan harta, tempat tinggal, dan kekuasaan juga mendapat posisi untuk dicintai pada tempat yang lebih rendah . Maha Suci Allah, Allah Maha Hebat!

Perasaan cinta adalah abstrak. Namun perasaan cinta mampu diwujudkan dengan tindakan yang nampak oleh mata.

Di antara tanda-tanda cinta seseorang kepada Allah SWT adalah memperbanyakkan bermunajat, mendirikan solat sunnah,membaca al-Quran dan berzikir kerena dia ingin selalu bersama dan mencurahkan semua perasaan hanya kepada-Nya. Apabila Sang Khaliq memanggilnya melalui suara azan maka dia bersegera menuju ke tempat solat untuk berjumpa dengan-Nya. Bahkan bila malam tiba, dia ikhlas bangun tidur untuk berduaan (berkhalwat) dengan Tuhan kekasihnya melalui solat tahajjud. Betapa indahnya jalinan cinta itu!

Ini dapat dilihat daripada kata-kata di bawah:
"Seseorang tidak akan memiliki kebaikan, meraih kemenangan, merasakan kenikmatan dan kesenangan hakiki kecuali mengesakan cintanya kepada Allah SWT semata, dan Allah lebih dicintainya daripada yang lainnya" ( Ibnu Qayyim al-Jauziah)

Cinta Allah Cinta Rasululllah

Yakinlah wahai saudaraku, kesenangan dan kesusahan adalah bentuk kasih sayang dan cinta Allah kepada hambanya yang beriman. Kesusahan yang diberi Allah adalah tarbiyah terhadap ruhiyah kita daripada Allah SWT, agar kita sedar bahwa kita sebagai makhluk adalah bersifat lemah, kita tidak mampu berbuat apa-apa pun kecuali atas izin-Nya. Akhirnya tinggal bagi kita membuktikan, dan berjuang bersungguh-sungguh untuk memperlihatkan cinta kita pada Allah, agar kita terhindar daripada cinta palsu.Dan Allah tidak akan menyia-nyiakan hambanya yang betul-betul berkorban untuk-Nya.

Untuk membuktikan cinta kita pada Allah, ada beberapa perkara yang perlu kita persiapkan iaitu iman yang kuat, ikhlas dalam beramal, berusaha bersungguh sungguh untuk melaksanakan ibadah wajib dan sunah, seperti qiyamullail, puasa sunnah, membaca al-Quran dan menuntut ilmu. Buah daripada ibadah yang kita lakukan pada Allah, dengan keistiqamahan mengamalkannya dalam setiap hembusan nafas dan langkah hidup ini, Insta-Allah kita akan dapat menggapai cinta dan keredhaan-Nya.Cinta dan kasih sayang membawa kepada kebahagiaan. Isteri menyayangi suami, ibu bapa menyayangi anak-anak, anak-anak menyayangi ibu bapa, jiran-jiran menyayangi jirannya, maka hasilnya masyarakat akan hidup dengan berkasih sayang dan dunia pun akan aman dan damai.

Cinta Terulung

Sungguh merugikan apabila manusia hanya diletihkan oleh cinta dunia, mengejar cinta makhluk, memburu harta dengan segala cara, dan tidak mahu membantu orang yang memerlukan pertolongan. Sedangkan nasib di akhirat nanti adalah ditentukan oleh amalannya ketika hidup di dunia, Bersungguh-sungguh mencintai Allah, atau terlena oleh dunia yang fana ini. Hanya orang yang bertakwa sahaja yang mampu membuktikan cintanya yang sejati kepada Allah SWT.

Kata-kata yang tepat untuk itu seperti di bawah:
'Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu.' {Imam Nawawi)

Faktor kuasa cinta adalah KOMUNIKASI. Tidak ada lain lagi selain komunikasilah yang menentukan turun naiknya kuasa cinta. Bacalah betapa hebatnya komunikasi yang dikatakan faktor kuasa cinta di sini. Kerana itu orang yang sentiasa berkomunikasi akan lebih mesra, akan terlahirnya cinta. Allah menjadikan perasaan cinta sesama manusia agar manusia memahami cinta dan faktor kuasa cinta. Apabila manusia memahaminya, maka sudah pasti manusia akan lebih mudah untuk bercinta dengan Pemiliknya iaitu Allah.

Komunikasilah sentiasa dengan Allah kerana komunikasi merupakan faktor kuasa cinta. Lebih banyak komunikasi, lebih hangat cinta kepada Allah. Lebih hebat cinta kepada Allah. Lebih mendalam cinta kepada Allah. Dengan komunikasi, jiwa lebih tenteram kerana cinta tidak dihalang. Komunikasi dengan Allah lebih menenangkan jiwa kerana segala masalah dikongsi dan diluahkan kepada Yang Tersayang iaitu Allah.

Ingatlah bahawa TIDAK ADA SELAIN ALLAH YANG DAPAT MEMBAHAGIAKAN DIRI KITA. Komunikasilah sentiasa dengan Allah kerana segala-galanya tidak akan berlaku tanpa izin Allah. Komunikasilah dengan Allah apa saja yang difikirkan, dilihat, didengar dan dilakukan. Sentiasa Ingat dan Sebut Nama Allah.

Kerana rasa Cintalah iLuvislam ditubuhkan, Cintakan Allah Swt, Cintakan Rasulullah Saw, Cinta sesama saudara dan Cinta sesama insan.

Text Asal : Halaqah.net & Fuadlatif

Wednesday, March 2, 2011

Sucikan Hati Untuk Dapatkan Takwa


Satu ketika, aku duduk-duduk mendengar perbualan rakan-rakan. Macam-macam isu yang dibincangkan. Bermula dengan salam perkenalan hinggalah isu politik tempatan. Perbincangan menjadi semakin hangat bilamana ada yang menyokong dan membangkang. Yang menariknya semua bersepakat yang perbahasan dan perdebatan adalah dengan tujuan mencari penyelesaian bukannya mencari kemenangan.

Seorang sahabat menyuarakan sedikit kekesalan atas tindakan sesetengah orang yang membina masjid untuk tujuan pelancongan. Keliru masjid dengan pusat peranginan agaknya. Ataupun mungkin hendak meraih undi kononnya hendak memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam.

Tapi....

"Orang Islam sendiri pun ramai je yang tak pi masjid...nak pulak orang bukan Islam. Bukankah fokus kita patut bertumpu kepada orang Islam dahulu?"

"Hmm...kalau orang bukan Islam pi masjid...kang jadi headline Utusan pulak.."

"Pelik-pelik...pergi pun tak boleh, tak pergi pun tak boleh."

Demikian sedikit sedutan perbualan. Sinis.

Ada satu lagi topik menarik yang dibincangkan petang itu. Panjang ulasannya, tapi aku cuba kongsikan apa yang termampu.

Topik biasa yang selalu diulang sebetulnya. Tazkiyatun nafs. Pendidikan jiwa.

"Body builder perlukan disiplin yang ketat. Tiap-tiap hari kena pi gym. Angkat macam-macam. Berat pulak tu. Susah sungguh nak membentuk physical yang mantop.."

Tekun kami mendengar bicara seorang kawan.

"Spiritual kita pun sama lah...nak ada hati yang mantop perlukan disiplin penyucian hati. Kalau orang pergi gym, kita pergi gym jugak..Gym untuk body builder bukak pagi sampai malam. Tapi gym untuk orang beriman bukak setiap masa, cuma waktu puncaknya 1/3 hujung malam."

"Hangpa nak pi tak?"

Diam semuanya. Tersenyum tersipu-sipu pun ada. Hilang seketika kepetahan berhujah seketika tadi. Refleksi diri.

"Aku tutup ngan pesanan Syeikh besar ni. Menurut Syeikh Salim bin Eid al-Hilali di dalam kitabnya Manhajul Anbiya' Fi Tazkiyatin Nufus, proses tazkiyah ini akan berlaku dengan syarat kita bertakwa dan hanya akan dicapai dengan langkah-langkah berikut:

Al-Musyaratah ertinya membuat perjanjian seperti seorang usahawan pasti akan menandatangani perjanjian

Al-Muraqabah ertinya selalu mengawasi diri. Apabila seseorang telah mengikat perjanjian, harus baginya merasakan keperluan menjaga dan mengawasi perjanjiannya agar tidak dilanggar.

Al-Mujahadah ertinya bersungguh-sungguh dalam melakukan amalan.

Al-Taslim ertinya menerima segala ketetapan Allah.

Al-Ridha ertinya merasa bahawa segala pemberian Allah adalah yang terbaik buatnya"

Si kawan itu menutup bicaranya. Alhamdulillah sungguh bermanfaat dan mantap.

Musyaratah. Muraqabah. Mujahadah. Taslim. Redha.

- Artikel iluvislam.com