Tuesday, January 4, 2011

Belajar Ilmu Ikhlas


"Mari ku ajarkan mu tentang ikhlas," kata seorang guru kepada muridnya.
"Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya."
"Tak payah, bawa sahaja karung guni."
"Karung guni?" soal anak muridnya, seperti tidak percaya.
"Mari kita ke pasar!"Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.

"Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu," kata guru itu memberi arahan.
Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.
"Cukup?"
"Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik."

Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.
"Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?"
"Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?"
"Ya, ya..." kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.

"Banyak beli barang," tegur seorang kenalan apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu.
"Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli," bisik orang lalu-lalang apabila melihat guru dan anak murid tersebut.
"Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu," kata orang yang lain.

Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi.
"Oh, letih sungguh... apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?"
"Tak buat apa-apa."
"Eh, kalau begitu letih sahajalah saya," balas anak murid.
"Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas..."
"Bagaimana?" tanya anak murid itu kehairanan.

"Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal."
"Dengan memikul batu-batu ini?"
"Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu..."
"Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?"
"Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat..."
"Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!" ujar murid itu. Sekarang dia sudah faham apa akibatnya RIYAK dalam beramal.

Pengajaran:

Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian orang. Padahal kata pujian daripada orang-orang itu tidak akan memberi manfaat pun kepadanya pada hari akhirat. Malah, mengharap pujian daripada manusia hanya akan menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat.

- Artikel iluvislam.com

Undang-Undang Islam Terhadap Pelaku Homoseksual


Firman Allah Taala: "Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu." (Surah Hud: 82- 83).

Homoseksual samada gay atau lesbian adalah perbuatan yang dinamakan zina. Zina adalah perbuatan haram yang amat dimurkai Allah jika dilakukan dalam kalangan hamba-Nya. Sudah tentulah pengharaman zina oleh Allah adalah disebabkan kesan buruk yang berlaku kepada manusia. Selain itu juga zina seperti gay dan lesbian memusnahkan hidup bermasyarakat yang telah digariskan oleh agama.

Namun begitu, manusia yang hidup dalam keadaan serba canggih dan moden ini menjadikan akal adalah segala-galanya. Akal telah digunakan sebagai penentu kepada kepuasan diri dan kebahagiaan semata-mata dengan mengenepikan panduan agama. Bagi mereka, akal sahajalah yang betul. Semakin tinggi tahap pendidikan, semakin bernaslah pendapat dan pandangannya berbanding orang lain. Maka tidak hairanlah jika wujud undang-undang yang membenarkan perkahwinan sejenis. Akal menjadi raja dalam hidup.

Hukuman Islam

Dalam undang-undang Islam, perbuatan zina ini boleh dihukum dengan hukuman hudud atau takzir. Hukuman hudud merupakan perkara yang telah termaktub didalam al-Quran. Manakala takzir adalah perkara yang tidak terdapat hukumnya didalam al-Quran secara khusus tetapi keputusannya berdasarkan pemerintah sesebuah negara Islam. Liwat adalah memasukkan zakar ke dalam dubur seseorang samada lelaki atau wanita.

Menurut mazhab Syafie, perbuatan ini dinamakan sebagai zina. Sekiranya cukup segala bukti dan si pelaku itu sudah berkahwin, individu tersebut dijatuhkan hukuman rejam sampai mati. Sekiranya si pelaku itu belum berkahwin lagi, pelaku itu disebat dengan seratus kali sebatan dan dibuang daerah selama setahun. Selain itu juga, terdapat hadis lain yang menyatakan hukuman yang berbeza. Dari Ibn Abbas r.a berkata telah bersabda Rasulullah SAW: "Sesiapa sahaja yang kamu temui sedang melakukan perbuatan kaum Lut (homoseksual), bunuhlah peliwat dan orang yang diliwat." (Hadis riwayat Ahmad).

Hukum terhadap lesbian pula berbeza dengan gay yang dikaitkan dengan liwat. Lesbian atau dalam bahasa Arab dipanggil musahaqah. Hukuman yang dikenakan ke atas mereka ini dinamakan takzir. Hukuman takzir ini terpulang kepada pemerintah sesebuah negara untuk menentukan jenis hukuman yang akan diberikan. Hukuman takzir ini samada penjara, sebatan (jumlah sebatan tidak melebihi jumlah sebatan hudud), buang daerah dan lain-lain lagi.

Berhati-hati

Perlu kita sedari perkara ini harus dibanteras dari terus berleluasa kerana ini merupakan ancaman kepada kita dan keluarga kita termasuklah terhadap masyarakat Islam umumnya. Tidak mustahil bagi Allah untuk menurunkan azab seperti yang ditimpakan keatas kaum Nabi Lut jika seks sejenis ini dibiarkan berleluasa. Semuanya bermula dari pengaulan bebas yang diamalkan disamping hedonisme terus dipuja membabi buta.

Homoseksual itu adalah musuh fitrah. Fitrah adalah perkara yang telah ditentukan Allah terhadapnya. Jika kita memusuhi fitrah, secara tidak langsung kita memusuhi Pencipta fitrah yang suci. Untuk menjadi insan yang benar-benar bertakwa, agama mestilah menjadi keutamaan dalam hidup. Dimana sahaja kita berada, atau dengan siapa kita berkawan, jika agama adalah pegangan, InsyaAllah kita akan terselamat. Bahkan bukan itu sahaja, orang sekeliling kita akan tertarik untuk mengikuti ajaran Islam.

Artikel ini dimuatkan dalam tabloid iLuvislam edisi ke-43.Dapatkan tabloid iLuvislam di kedai-kedai berhampiran anda! Antara rencana menarik dalam keluaran minggu ini adalah :

* Gay & Lesbian - Gelojak Fitrah Songsang

* Percaya Horoskop Membawa Kepada Syirik

* Kebangkitan Dinar Emas Dalam Muamalah Ummah

* Kesulitan Hidup Hapus Dosa-Dosa Kecil

* Ibu Bapa Terima Mereka Seadanya

* Ibnu Sina Tokoh Perubatan Islam

* Muhasabah Diri Melalui Azan

* Remaja Berjaya Atau Berjasa?

* Zina - Siapakah Mulakan Langkah?

* Dan macam-macam lagi..

Bagi mereka yang berminat menjadi stokis dan ejen tabloid iluvislam di IPT, sekolah atau pejabat (Semenanjung Malaysia sahaja) - anda boleh menghubungi pejabat kami di 03-42516702 atau 013-3024281.

Bagi mereka yang mengalami masalah untuk mendapatkan tabloid di kedai berhampiran tempat tinggal masing-masing, anda boleh SMS secara specifik alamat rumah anda ke 013-3024281.

Sumber gambar hiasan: blogspot

Istimewa 2011 Untuk Anda!


Menjadi fitrah manusia sukakan sesuatu yang baru; baju baru, mainan baru, komputer baru, TAHUN BARU =)

Maka memulakan cerita, saya nak ucapkan.. Selamat Tahun Baru.

Dalam Islam kita menyambut tahun baru pada 1 Muharram. Emm..hari ini berapa haribulan kalendar Islam ye =)

Kalendar Islam dihasilkan semasa pemerintahan Saidina Umar r.a. Kalendar Islam dimulakan dengan mengambil peristiwa hijrah sebagai titik permulaan.

Tapi ramai yang kurang tahu yang peristiwa hijrah berlaku pada Rabiulawwal dan bukannya Muharram. Menarik bukan =)

Jadinya kenapa pula kalendar Islam bermula dengan Muharram?

Sebenarnya bulan Islam dimulakan dengan Muharram kerana dikatakan inilah saat yang mana Nabi berniat untuk melaksanakan hijrah. Maka jadilah 1 Muharram detik permulaan =)

Rujukan? Haa...belajar mesti memerlukan usaha. Tidak boleh macam makan mee segera. Cepat dimasak sedap dimakan. Cuma kurang zatnya.

Untuk rujukan, dengan ini aku mempersilakan semua untuk membaca sirah Nabi s.a.w dan juga sejarah para sahabat r.a.

Kita perlu menjadi umat Islam yang cemerlang. Banyakkan membaca untuk berjaya. Ilmu itu untuk mereka yang mencari, bukannya untuk mereka yang suka goyang kaki =)

Selamat tahun baru.

Menuju kejayaan.

Menuju Islam yang gemilang =)

- Artikel iluvislam.com

Monday, January 3, 2011

Politik Bangsa Atau Agama?


"Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. [Surah Al-Zukhruf, 43:36]

Manusia sentiasa berubah, dan perubahan itu perlulah dibuat dalam lingkungan yang positif, menuju hijrah. Saya bukanlah seorang yang mahir berpolitik, namun atas dasar bahawa ini adalah salah satu keperluan dalam kehidupan, makanya perlu saya mengambil peduli tentang hal ini

Rata-rata jika ditanya mengenai hal politik, ramai anak muda yang menggeleng kepala, tanda tidak mahu terlibat sama. Melihat dari perspektif bahawa politik itu celaru, keliru, kotor, busuk, sampah dan sebagainya kerana dihuni oleh manusia-manusia yang kosong nilai amanahnya, itu bukan tanda alasan utama untuk kita menidakkan sikap kepedulian dalam hal ehwal politik.

Media massa dewasa kini sudah semakin lari dengan peranan dan tanggungjawab mereka yang sebenar. Menyalur maklumat yang telus kepada masyarakat, bukan sekadar memilih haluan dan memburukkan haluan yang lain. Anak-anak muda lebih gemar menjadikan berita-berita di internet sebagai rujukan utama. Kuasa anak muda bergelombang pada pilihanraya yang lalu. Menunjukkan tanda protes kepada kerajaan atas lakonan politik yang begitu muak dan memualkan.

Setiap kali saya melawat ke sekolah, bertemu guru-guru yang pernah mengajar saya dahulu, topik perbualan kami lebih menjurus kepada isu semasa dan putaran politik Malaysia. Benar, seronok jika dapat berbual dengan para pendidik yang memberi pandangan dan kadangkala terselit perdebatan, bukan untuk menentukan siapa benar atau salah, kerana akhirnya kami sedar bahawa itulah realiti kini.

"Baguslah kau, aku jarang dapat berbual dengan kawan-kawan tentang hal politik, tapi tak sangka kau pun minat juga," ujar saya pada seorang rakan selepas kami bertemu semula, sesi menziarah guru di sekolah. Pantang ada kelapangan waktu cuti semester, saya akan mengajak rakan-rakan menziarah guru-guru di sekolah, kerana saya rasa ukhwah kami bukan sekadar guru dan anak murid, tetapi seperti hubungan seorang anak dengan ibu dan ayah, sentiasa memanjangkan usia ukhwah ini hingga ke akhir hayat, insyaAllah.

"Itulah, aku pun tak sangka, sebab kawan-kawan aku pun tak minat cerita hal politik. Kalau kau nak, boleh jumpa ayah aku, lagi best kalau dapat berbual dengan dia. Ayah aku selalu cerita hal-hal macam ni kat aku," jawab kawan saya pula.

POLITIK DAN HIDUP ITU SIMBIOSIS

Salah satu juzuk dalam kehidupan kita adalah politik. Tanpanya maka tidak wujud kehidupan berorganisasi dan sebagainya. Justeru, saya agak kecewa apabila kebanyakan masyarakat tidak mahu mengambil tahu mengenai hal politik ini. Sikap AKU TIDAK PEDULISME dan ADA AKU KISAHME adalah suatu penyakit atau barah yang mula hinggap di dalam diri masyarakat kini.

Saya tidak mahu menuding jari pada sesiapa kerana puncanya juga adalah dari ahli politik yang menyelewang niat mereka dari membela nasib rakyat. Mementingkan nasib kroni dan periuk nasi sendiri, menyebabkan kebanyakan masyarakat cukup kecewa dengan sikap pemimpin sebegini.

Anak muda, dengarkan ini! Anda mahu hidup bersenang-lenang, keselamatan terjamin, kesihatan terjaga dan sebagainya namun anda sendiri menidakkan rasa mahu mengambil peduli tentang hal politik. Kemahuan dan kehendak anda itu lahirnya dari hal ehwal politik, justeru malulah pada diri kerana anda ibarat melukut di tepi gantang!

Malahan saya juga begitu kecewa pada wajah politik yang dicemari dengan ahli yang begitu taksub dengan parti hingga tidak sedar diri saling memfitnah. Bersikap matanglah dalam berpolitik! Kata-kata keji, buruk, fitnah dan umpatan, adakah itu yang diajar oleh misi dan objektif parti kepimpinan anda? Jika benar, pemimpin parti melakukan sebegitu, perlukah kita turut mengikut kelakuan mereka yang buruk?

Bila melihat laman haluan kiri dan kanan, saya sering melihat komen yang ditulis. Hampir 90% mengutuk dan menulis dengan kata-kata keji dan kotor, di mana kewibawaan dan kematangan kita dalam berpolitik ketika itu? Ingat, kata-kata yang ditulis itu menzahirkan keperibadian anda sebenarnya. Saya mohon, ayuh kita menjadi matang dalam pemikiran dan perasaan!

ISU KETUANAN : HAK ALLAH ATAU HAK KITA?

Lewat masa kini, suara-suara yang berkumandang memainkan kembali mengenai isu ketuanan, isu kenaikan harga barang dan sebagainya. Ketuanan melayu, itu yang diperjuangkan. Bangsa Melayu, sibuk memperjuangkan hak sendiri, kerana ini tanah air mereka, hingga tidak memikir hati dan jiwa bangsa lain.

"Tanah air ini, milik bangsa kita, perlu kita perjuangkan!," ucap seorang pemimpin parti perjuangan bangsa, berapi-api pidatonya pada persidangan antarabangsa. Terlupa akan sesuatu bahawa tanah ini, bumi yang dipijak ini adalah milik Allah, hak Allah. Kalian sibuk memperjuangkan hak bangsa, tetapi di mana perjuangan untuk hak Allah?

Logiknya, saya fikir, jika asas perjuangan sesebuah parti itu atas nama bangsa, maka tidak RELEVAN untuk diguna pakai lagi. Malaysia punya masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa, jika semua parti mahu memperjuangkan nasib bangsa, hingga kiamat pun tidak akan habis perjuangan itu.

Tetapi jika asas perjuangan adalah nama KETUANAN IMAN DAN ISLAM, itu adalah sepatutnya. Kita mahu hidup sejahtera, aman dan selesa, semua itu ada pada ISLAM. Fikrah kita sama, kiblat kita sama, hanya kerana nafsu dan ego yang membezakan corak perjuangan ini. Justeru, tidak salah untuk kita saling meletak ego dan nafsu, kembali kepada perjuangan IMAN dan ISLAM.

Wahai jiwa yang buta sejarah! Lihat sirah Rasulullah SAW, bagaimana Negara Madinah yang dipimpin oleh baginda hidup sejahtera, hidup berbilang kabilah dan bangsa, namun bagaimana Rasulullah boleh memimpin dengan begitu baik sekali, politiknya sejahtera. Di Madinah, ada sahaja yang bukan beragama Islam, tetapi mereka boleh menerima dan hidup sejahtera.

Pada masa itu,adakah para sahabat berpolitik atas nama perjuangan kabilah atau bangsa? Jawapannya TIDAK! Para sahabat dan orang Islam amnya, memperjuangkan kalimah Allah, menjadikan IMAN sebagai ketuanan diri. AJARKAN MEREKA TENTANG POLITIK BERWAJAH ISLAM

Jika anak-anak yang masih muda belia berbicara tentang politik, mungkin terkejut ibu bapa, menjadi panik. Ibarat si anak sudah melakukan khilaf paling besar dalam diri mereka, lantas dicuci minda anak supaya tidak berfikiran seperti itu. Ini kesalahan paling fatal pernah saya lihat!

Ajarkan anak tentang politik yang berwajah Islam, bagaimana? Didik mereka menjadi anak yang berAMANAH, didik mereka menjadi anak yang berPERIBADI AL-QURAN DAN SUNNAH, didik mereka menjadi anak yang MENEPATI MASA, didik mereka cara menjadi pemimpin yang ADIL.

Itu adalah tanggungjawab ibu bapa, bukan sekadar cukup pakai, makan dan tempat tingaal mereka, tetapi asas kehidupan berpolitik inilah yang sering ibu bapa terlepas pandang. Apabila sudah terdidik dengan peribadi sebegini, insyaAllah mereka akan lebih berfikiran matang, menentukan hak dan batil. Ini yang kita mahukan, bukan sekadar melihat anak muda kita leka dengan hiburan yang bisa meroboh jiwa dan iman mereka.

PENUTUP

Saya mohon kemaafan andai entri ini menyebabkan ramai yang marah, terhina atau rasa bermacam-macam, kerana ini hanyalah pendapat dari seorang anak muda yang masih mentah dalam kehidupan.

Mana yang elok, jadikan pengajaran, mana yang salah jadikan pedoman.

Tegurlah jika diri ini salah, kerna ego itu dididik dengan siraman nasihat.

Marilah kita kembali kepada perjuangan hidup yang sebenar. Perjuangkan ISLAM,maka nasib BANGSA juga turut terbela,insyaAllah..

Wallahua'alam bisssawab.
http://www.iluvislam.com/gaya-hidup/kepimpinan/1414-politik-bangsa-atau-agama.html

Sekolah Rendah Integrasi Islam Darul Ulum




Assalamualaikum...
Selamat kembali ke sem yg baru kpd kwn2 di Universiti Sains Islam Malaysia terutamanya
kpd member2 thn akhir yg sedang menjalani latihan industri di dalam negera dan di luar negera.
Okeylah disini saya ingin berkongsi pasal tempat saya menjalani latihan industri.Nama syarikat itu Al-Azhar Media SDN BHD di Senawang,Seremban Negeri Sembilan.Oleh sebab saya masuk rumah sewa awal,saya diminta oleh ustaz saya untuk membantu beliau dan rakan2 yang lain untuk pendaftaran budak sekolah untuk sesi 2011 di Sekolah Rendah Integrasi Islam Darul Ulum,Taman Rasah Jaya,Seremban.Ini pengalaman yang baru bagi saya dimana budak2 yang dihantar di sekolah ini kecil2 lagi sudah dihantar oleh ibubapa mereka ke asrama.Sebelum ni yang saya tahu budak2 di tingkatan Satu..huhu..
Akan tetapi di sekolah ini budak berumur 6 tahun sudah masuk ke asrama...
Memang pengalaman yang paling bermakna bagi mereka...
disini saya sempat menyuruh member saya snap gambar di asrama lelaki...sekolah dgn asrama perempuan tak sempat..sorry..lain kali lah ye...huhu..

Saturday, January 1, 2011

Ratib Cinta


Saat Ratib Cinta bergema,
Aku tertunduk kaku,
Memikul labuhan dusta dan dosa semalam,
Merenung mencari kembali lambaian kasihNya,
Setelah melewati silam yang kelam suram.

Saat Ratib Cinta bergema,
Titis-titis air mata rindu mengalir lesu,
Terhimpit antara keluh kesah dunia yang tidak pernah sudah,
Merenung mencari kembali lambaian kasihNya,
Setelah silam durjana mematikan hatiku.

Saat Ratib Cinta bergema,
Terpaku aku di hamparan sejadah rindu,
Meniti sepertiga malam yang kaku bisu,
Menanti sinar cahayaNya menyuluh,
Suram hati yang gersang tanpa kasihNya.

Ratib Cinta akan terus bergema,
Tanpa jemu dan lelah,
Menanti pengampunanNya,
Kerana aku tahu Dialah segalanya.

Ya Allah,
Andai ini Ratib Cinta terakhirku,
Ampuni segala khilaf semalamku,
Ya Rabbi.

- Artikel iluvislam.com

Apa Beza Anak Lelaki Dan Anak Perempuan?



Soalan : Assalamualaikum Puan Jamilah. Saya mempunyai sepasang anak kembar, seorang lelaki dan seorang perempuan, akan masuk Darjah Satu tahun ini. Masalah saya ialah anak perempuan saya sejak di tadika lagi jauh mendahului abang kembarnya dari segi prestasi sekolah. Dia cepat pandai membaca, mengira dan sebagainya berbanding abang kembarnya yang malas membaca dan jauh lebih suka menghabiskan masa bermain terutama di padang permainan. Saya hairan bagaimana ini boleh berlaku sedangkan mereka sebaya, sekelas dan diajar oleh guru yang sama.

Jawapan :

Waalaikumsalam. Secara amnya, pakar pskologi berpendapat memang terdapat perbezaan di antara anak lelaki dan perempuan. Walaupun kedua-dua anak lelaki dan perempuan mengalami proses pembesaran, mereka mengalaminya pada masa yang berbeza dan tidak semestinya pada usia yang sama.

Sebaya Tetapi Tidak Sama

Kajian menunjukkan bahawa dalam beberapa perkara, anak perempuan membesar lebih cepat daripada anak lelaki, manakala dalam perkara-perkara lain, anak lelaki pula membesar lebih cepat berbanding anak perempuan. Contohnya, semasa kecil, anak perempuan mempunyai daya pendengaran yang lebih kuat manakala anak lelaki pula mempunyai daya penglihatan yang lebih kuat. Tetapi ini hanyalah satu kecenderungan dan tidak semestinya dialami oleh setiap anak lelaki dan perempuan. Begitu juga kebolehan membaca, menulis dan sebagainya. Perbezaan-perbezaan ini disebabkan cara otak anak perempuan dan anak lelaki itu berkembang. Namun setiap anak membesar mengikut rentak atau blue print nya sendiri. Tiada pelan mutlak untuk peringkat pembesaran anak lelaki mahupun anak perempuan.

Anak Lelaki Kurang Bijak?

Di Malaysia, terdapat kecenderungan di kalangan sesetengah ibu bapa dan tenaga pengajar yang mengatakan anak lelaki kurang bijak berbanding anak perempuan.

Perlu diingat, murid lelaki biasanya memerlukan suasana pembelajaran yang lebih interaktif. Mereka merasa resah dan gelisah serta sukar menerima apa yang diajar sekiranya terpaksa berdiam diri dan hanya mendengar apa yang diajar guru. Sukar bagi seorang anak lelaki untuk belajar jika cara penyampaian membosankan. Apa yang mahu saya tekankan di sini ialah, kaedah pembelajaran yang boleh menarik minat anak lelaki tidak semestinya sama dengan anak perempuan.

Pun begitu, kajian menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan di dalam apa yang boleh dipelajari oleh anak lelaki atau anak perempuan. Kedua-duanya sama mampu mencapai apa yang mereka impikan asalkan sanggup berusaha bersungguh-sungguh.

Berikan Tumpuan Seimbang

Berikan perhatian kepada anak lelaki sama seperti yang diberikan kepada anak perempuan. Galakkan dia bercerita tentang dirinya, kawan-kawannya dan saat-saat gembiranya setiap hari. Kenal pasti aktiviti yang diminatinya. Sekiranya dia gemar melakukan uji kaji sains contohnya, belilah barang-barang yang diperlukan agar dia boleh melakukan uji kaji itu sendiri. Secara amnya, anak lelaki gemar melakukan aktiviti-aktiviti yang menggunakan tangan. Mereka suka membina dan memotong bahan-bahan dan melihat sendiri hasil kerja tangan mereka terbentuk. Paling penting, lakukanlah aktiviti-aktiviti ini bersamanya.

Anak Lelaki dan Minat Membaca

Yang saya maksudkan dengan 'membaca' ialah: Memupuk tabiat suka membaca selain daripada buku sekolah. Ini kerana, apa yang ditemui dalam buku-buku sekolah amat terhad dari segi kandungannya.

Beberapa idea yang boleh dilakukan untuk menggalakkan anak lelaki membaca:

* Wujudkan suasana rumah yang mesra pembaca. Sediakan ruang membaca. Letakkan lebih banyak rak buku dan majalah di rumah. Pergilah membeli-belah buku bersama-sama dengan anak lelaki anda. Pekalah dengan pesta-pesta buku.Perkenalkan dia kepada apa jua buku-buku yang terdapat di luar sana, sesuai dengan umurnya.
* Membaca di hadapannya. Anak lelaki perlu melihat ibu bapa mereka juga membaca. Ceritakan apa yang menarik di dalam buku atau majalah yang dibaca.
* Bacakan buku untuknya. Setiap hari, luangkan masa untuk membaca buku kepada anak anda. Minta dia pilih buku ceritanya sendiri. Sesetengah ibu bapa suka membaca untuk anak kecil tetapi berhenti berbuat demikian apabila anak tersebut melangkah ke alam persekolahan. Alasan yang diberikan ialah kerana anak itu sudah pandai membaca sendiri. Sebenarnya saat-saat apabila seorang ibu atau bapa membacakan sesebuah buku cerita adalah sangat istimewa bagi seseorang anak itu. Bacalah dengan intonasi yang menarik, mengikut jalan cerita, bukan setakat untuk melepaskan batuk di tangga. Anak bongsu saya sudah berusia 12 tahun tetapi sehingga hari ini saya masih membaca novel kegemarannya untuknya apabila diminta!
* Jangan paksa anak lelaki membaca sesuatu yang tidak diminatinya. Seboleh-bolehnya, bantu anak lelaki untuk memilih sendiri buku-buku kegemarannya. Jadikan pengalaman membaca sesuatu yang menyeronokkan.

Anak Lelaki Dan Testosteron

Mengenai kecenderungan anak lelaki untuk bermain di luar: Anak lelaki mengalami kitaran testosteron yang boleh menyebabkan perubahan-perubahan ketara pada umur tertentu. Pada usia empat tahun, mereka aktif dan berkelakuan kebudak-budakan. Pada usia lebih kurang 13 tahun, mereka melalui pembesaran yang cepat dan adakalanya berasa sukar untuk menyesuaikan diri. Pada usia 14 tahun, mereka akan mula mencuba perkara-perkara baru dan melangkah ke alam kedewasaan. Setiap anak lelaki unik, tetapi testosteron lah yang bertanggungjawab di atas pembesaran mereka dan membuatkan mereka aktif. Testosteron ialah hormon yang memberikan seseorang anak lelaki ledakan tenaga yang tinggi dan membuatkan dia terangsang untuk aktif bermain di luar. Ini suatu perkembangan yang sihat dan perlu difahami dan disokong oleh setiap ibu bapa.

- Artikel iluvislam.com