Friday, December 17, 2010

I Luv You, Before I Met You


Ingin menyayangi dan disayangi adalah fitrah setiap manusia. Bohonglah sesiapa yang mengatakan "aku tak perlukan sesiapa dalam hidup... hidup matiku hanya untuk Allah." Rasullah sendiri pernah menegur seorang lelaki yang sanggup berlapar dan enggan berkahwin semata-mata ingin mengabdikan diri kepada Allah.

Kita semua memerlukan seseorang dalam hidup untuk berkasih sayang. Namun, janganlah keterlaluan sehingga menjadikan matlamat berkasih sayang sebagai satu-satunya matlamat dalam hidup. Misi kita dalam hidup ini perlu perlbagai. Sebagai hamba Allah, tentu sekali, matlamat utama adalah untuk menjadi seorang mukmin yang bertakwa. Maka, dalam perjalanan kita menjadi mukmin yang bertakwa, pastikan misi-misi kita yang lain juga seiring dalam mencapai matlamat yang utama. Ini termasuklah misi kita mencari pasangan yang terbaik.

Kebanyakkan wanita yang saya temui, menyayangi 'suami'nya lama sebelum mereka jatuh cinta. The idea of finding & marrying the best menyebabkan mereka mendambakan seseorang yang mempunyai sifat dan sikap yang baik dan terpuji. Kebetulan pula, contoh lelaki yang mereka lihat menepati ciri-ciri tersebut akhirnya benar-benar menjadi suami mereka. Wallahualam, ini perancangan Tuhan. Setiap orang sudah ditetapkan rezekinya (termasuk jodoh) dan Allah Maha mengetahui apa yang didalam hati setiap insan.

Berikut adalah beberapa wanita yang 'menyayangi suaminya' lama sebelum mereka jatuh cinta...

Kisah Kak R
Saya bertemu beliau di satu kursus dan kebetulan menjadi rakan sebilik saya. Entah macam mana terkeluar cerita kahwin. Saya tanya,"bagaimana boleh kenal?"

Menurut Kak R, mereka berdua satu universiti tetapi tidak pernah berbual. Kak R akui, suaminya semasa zaman pelajar adalah antara pemuda yang 'baik-baik'. "Ada satu kali, masa tengah bersembang dengan seorang kawan perempuan, dia (suami) lalu di tepi kami. Akak berbisik kat kawan, andai aku diberikan suami, nak yang macam dia...." beritahu Kak R sambil tersenyum.

Kisah H
H sepupu yang baru balik dari Syria. Saya bertandang ke rumah mereka untuk meraikan majlis walimah beliau dan abangnya. Malam itu, saya menumpang tidur sebilik. Saya bertanya,"bagaimana boleh kenal?"

Menurut H, dia sudah mengenali suaminya sepanjang pengajian di Syria dan kebetulan adalah kawan baik abangnya. Namun, mereka tidak pernah bersembang lebih dari urusan persatuan. Beberapa bulan balik dari Syria, si kawan abang masuk merisik. Akui H, "walaupun kami tidak pernah bersembang, saya kagumi sifat dan sikap beliau. Harapan saya masa kat Syria dulu, semoga saya memperolehi bakal suami sebaik beliau," beritahu H, tersipu.

Kisah A
Saya berjumpa A di satu Konvensyen Islam di Amerika. Usianya masih belasan tahun. Ketika itu, usia saya baru menginjak 22 tahun. Apabila mendapat tahu dia baru seminggu melangsungkan majlis walimahnya, sambil mengenggam tangannya dan gelak gembira, saya berkata,"I'm sooo jealous..."

A balas genggam tangan saya sambil memandang tepat ke mata, "you should not say that to a friend. You should say, I'm happy for you," dia tersenyum sambil menambah,"...and ask Allah to give me the same happiness."

Perancangan dan ketentuan Tuhan amat cantik, malah janjinya dalam surah An-Nur ayat 26 cukup tepat, "Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik."

Namun, tiada siapa dapat meramal siapa jodoh yang telah di tetapkan. Tetapi, the idea of finding & marrying the best, harus disematkan. Allah Maha Mengetahui apa yang dihati setiap manusia. Dan, Dia juga Maha Mengetahui apa yang terbaik.

Bagi saya, dari dulu (semenjak timbul keinginan untuk berkahwin), saya mendambakan yang terbaik untuk diri, keluarga, agama dan masa depan. Alhamdullilah, dalam perjalanan itu saya ditemukan dengan kawan-kawan yang memberi erti pada istilah terbaik...

Saya mendoakan agar kawan-kawan yang yang sedang mencari rezeki (jodoh) masing-masing supaya jangan putus asa. Allah mendengar isi hati anda. The idea of finding & marrying the best bukanlah sesuatu yang fairytales. Ia telah berlaku kepada beberapa pasangan dan InsyaAllah, ini juga boleh berlaku pada anda.

Saya akhiri dengan satu petikan dialog dari novel The Notebook oleh Nicholas Spark "The best love is the kind that awakens the soul and makes us reach for more, that plants a fire in our hearts and brings peace to our minds. And that's what you've given me. That's what I'd hoped to give you forever.

Ayuh Bersatu


Ketika Saidina Ali mengetuai kerajaan Islam, ramai kumpulan orang Islam yang keluar dari pemerintahannya kerana merasakan kepimpinan beliau tidak betul dan salah. Suatu hari seorang sahabatnya bertanyakan soalan tentang golongan tersebut.

"Ya Amirul Mukminin kafirkah mereka?"

"Tidak, kerana mereka mengucap kalimah tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, sedangkan orang kafir mendustakannya."

"Munafikkah mereka?"

"Tidak, kerana mereka mendirikan solat, sedangkan orang yang munafik mendirikan solat dalam keadaan yang malas."

"Maka siapakah mereka?"

"Mereka itu saudara kita, cuma mereka bukan sekumpulan dengan kita. Hadapilah mereka jika mereka menyerang kita, tetapi berpalinglah dari mereka jika mereka tidak mengganggu kita."

MasyaAllah sangat indah kata-kata yang dilafazkan oleh Khulafa' Al-Rasyidin yang terakhir ini. Kata-kata ini bagaikan satu penyelesaian di atas perbalahan yang berlaku di dalam dunia Islam sekarang.

Berbilang-bilang Jamaah

Realiti perjuangan Islam di Malaysia ini banyak mendedahkan kita dengan situasi taadud jamaah (kepelbagaian gerakan yang memeperjuangkan Islam), jika dibilang, lebih dari sepuluh yang sudah didaftarkan samada menjadi NGO ataupun parti politik. Contohnya PAS, IKRAM, ISMA, HALUAN, ABIM dan lain-lain. Itu belum termasuk jamaah yang tidak didaftarkan secara sah dengan kerajaan dan hanya bergerak di bawah tanah sahaja.

Biarlah banyak manapun jamaah yang ada hakikatnya kita semua mempunyai satu tujuan yang sangat besar, iaitu untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam di atas muka bumi ini.

Tetapi, kebelakangan ini kita sering terdengar tentang banyak berlaku pertelingkahan di antara jamaah sehingga fokus yang ditetapkan oleh setiap jamaah ditinggalkan kerana lebih banyak masa dan tenaga digunakan untuk memenangkan jamaah masing-masing dan bukannya memenangkan Islam.

Akhlak Kita Yang Ditarbiyyah

Sebagai seorang ahli gerakan yang ditarbiyyah dengan sistematik dan mempunyai manhaj yang jelas, kita seharusnya faham dengan realiti ini dan seharusnya lebih matang dalam mengendalikan isu-isu sedemikian.

Bukankah Imam Hasan al-Banna sudahpun berpesan kepada kita tentang perkara ini di dalam Arkanul Baiah (rukun-rukun komitmen terhadap perjuangan Islam) yang pertama iaitu al-fahmu (faham). Dalam penjelasannya, beliau banyak menyatukan hati-hati orang mukmin ini agar sentiasa berada pada landasan yang benar supaya pembaziran tenaga tidak berlaku kerana perbalahan yang timbul dek kerana hal-hal yang furu' (perkara cabang) dan tidak meningkatkan amal.

Ukhuwah

Sesungguhnya darjat ukhuwah yang paling rendah adalah berlapang dada terhadap shabat lain dan tingkatan tertinggi adalah ithar, iaitu mengutamakan sahabat lebih dari diri sendiri.

Nah, cuba tanya kembali dimanakah darjat ukhuwah kita sesama Islam? Adakah masih ada di dalam lingkungan ukhuwah yang dimaksudkan, ataupun sudah jauh lari kerana kepura-puraan.

Sikap Taksub

Kadang-kadang kerana taksub terhadap jamaah menjadikan kita hilang punca dan arah tuju yang sebenarnya. Adakah kita berintima' (memberikan komitmen) di dalam jamaah ini semata-mata kerana jamaah atau kerana ingin menegakkan agama Allah?

Betul, memilih jamaah yang terbaik perlu untuk kita merasa yakin dalam perjuangan ini, tetapi itu tidak bermaksud kita boleh sewenang-wenangnya mengatakan jamaah lain salah dan hanya jamaah kita sahaja yang betul.

Sebaliknya kita perlulah menyedari tentang peranan jamaah yang berbeza-beza. Hiduplah seperti satu tubuh yang saling lengkap melengkapi diantara satu dengan yang lain. Andai anggota lain hilang, maka ia akan menyulitkan pergerakan anggota yang lain.

Dalam Naungan Mahabbah

Islam menganjurkan kita bersederhana di dalam melakukan setiap perbuatan. Jangan terlalu melampau dan jangan pula terlalu sedikit melakukan amalan. Marilah bersatu di dalam naungan rasa mahabbah dan kasih sayang. Andai kata ada yang silap, perlulah ditegur dengan penuh hikmah dan perlulah sentiasa siap untuk ditegur semula.

Jalan perjuangan ini memerlukan orang yang benar-benar ikhlas dan kita pasti tidak terlepas daripada tapisan Allah. Berjuanglah di medan masing-masing, andaikata seorang rebah, maka papahlah ia bersama menuju ke destinasi.

Wednesday, December 15, 2010

Kau...Aku...Pemimpin


Setiap dari kita merupakan pemimpin. Pimpinan bermula dari tanggungjawab memimpin diri kita sendiri, keluarga, jiran, memimpin ahli masyarakat dan seterusnya memimpin negara. Kita kelak akan disoal dan dipertanggungjawab tentang kepimpinan dan amanah yang kita pikul.




Berikut beberapa ciri-ciri pemimpin yang baik sebagai perkongsian.



01.Cinta dan minat sepenuhnya dengan apa yang kita lakukan.

Terapkan cinta, minat dan rasa tanggungjawab terhadap pasukan dan organisasi dalam diri setiap ahli. Berikut Rukun 3T dan Prinsip 3K yang boleh diamalkan.

Rukun Usrah 3T : Ta'aruf, Tafahum dan Takaful

a. Ta'aruf- Saling kenal mengenal.

Berkenalan dalam erti sebenarnya memerlukan masa yang berterusan dan rasa ukhuwah yang tinggi.

b. Tafahum- Saling memahami satu sama lain.

Ikatan persaudaraan yang terjalin menuntut rasa kesefahaman dalam diri dan rasa tanggungjawab membantu sesama ahli.

c. Takaful- Tolong menolong membantu kearah kebaikan dan gerakan dakwah.

Prinsip amar makruf dan nahi munkar menjadi pegangan.

Prinsip 3K : Kebersamaan, Kesefahaman dan Kebanggaan

a. Kebersamaan

Wujudkan kebersamaan dan rasa kesatuan dalam pasukan dan ahli kumpulan. Setiap masalah yang dihadapi adalah masalah bersama untuk ditangani. Wujudkanlah rasa kekitaan. "Kau + Aku = Kita"
"Kita hendaklah bersama..", "Program kita menghadapi masalah...".. "Syarikat kita perlu mencapai.."

b. Kesefahaman

Setiap ahli mempunyai peranan masing-masing yang menyumbang pencapaian pasukan. Justeru, ahli pasukan perlu saling memahami dan menghargai pendapat serta kebajikan sesama ahli pasukan.

c. Kebanggaan

"Aku bersyukur dan bangga berada dalam kumpulan/pasukan ini".
"Aku bangga Kelantan menang piala Malaysia. Aku bangga jadi anak Kelate"

Naikkan semangat ahli pasukan tentang kejayaan-kejayaan terdahulu dan peluang serta potensi pasukan untuk mencapai kejayaan bersama.

02.Tetapkan matlamat bersama dan buat yang terbaik mencapainya bersama-sama dalam satu pasukan.
Matlamat bersama hendaklah jelas, spesifik, boleh dicapai dan mempunyai tempoh masa.

03.Sikap yang positif dan sokongan moral yang berterusan.
Murah dengan senyuman, meluangkan masa berkongsi dan menyelesaikan masalah ahli pasukan, memberi pujian ikhlas atas usaha dan pencapaian ahli, melazimi ucapan terima kasih, ganjaran seperti belanja makan dan sebagainya.

04.Nilai-nilai yang baik diterapkan dalam kepimpinan.
Wujudkan nilai bersama yang menjadi pegangan dan amalan pasukan. Nilai tersebut perlulah sentiasa diulang-ulang atau ditampal, agar menjadi amalan setiap ahli. Contohnya ESQ melandaskan 7 nilai utama : Jujur, Tanggungjawab, Wawasan, Disiplin, Kerjasama, Adil dan Prihatin.

05.Mengagihkan tugasan secara jujur dan teratur.

Pemimpin sentiasa memberi galakan kepada ahli pasukan untuk berdikari dan membangunkan potensi diri.

06. Kepimpinan melalui teladan.

Tingkatkan karisma diri dan bina personaliti diri unggul. Sentiasa tenang dalam setiap keadaan dan berfikirlah secara matang dalam mengambil setiap keputusan.

07. Sedia bertanggungjawab atas setiap perbuatan atau tindakan ahli pasukan sama ada baik atau buruk, berjaya atau gagal.

08.Bergaul dengan orang yang berjaya dan bersahabat dengan sahabat yang baik. Pelajari rahsia kejayaan mereka.



Sekian, semoga bermanfaat.

Wasalam.

"Learn to serve. Let go of your ego and offer assistance to others."- Danny and Marie Lena

"You cannot control what happens to you, but you can control your attitude toward what happens to you, and in that, you will be mastering change rather than allowing it to master you."

"Your work is going to fill a large part of your life, and the only way to be truly satisfied is to do what you believe is great work. And the only way to do great work is to love what you do. If you haven't found it yet, keep looking, and don't settle. As with all matters of the heart, you'll know when you find it." ~ Steve Jobs

Rujukan Tambahan : Mengurus Kerja Berpasukan, Ahmad Fadzli Yusof, PTS Publications.

Tuesday, December 14, 2010

Katakan Tidak Kepada Putus Asa


Kegagalan seakan satu perkara yang telah sebati dengan kehidupan setiap insan.

Namun, tiap kali kegagalan itu berlaku, ketabahan dan penerimaan masih tiada.

Pasti akan disusuli dengan kekecewaan

Sedangkan ini adalah perkara lazim dalam kehidupan.

Setiap kali kegagalan itu bertandang, terlalu sukar untuk diterima oleh hati.

Ada saja persoalan yang ditimbulkan mempertikaikan kegagalan yang diperoleh.

Kegagalan itu membawa kepada rasa putus asa dalam diri.

Namun, ingin saya bertanya, adakah berputus asa itu satu perkara yang wajar dilakukan jika kita berhadapan dengan kegagalan?

Sedangkan, kegagalan bukanlah penghujung kepada kehidupan dan 'jalan mati' kepada kejayaan.

Seperti yang selalu kita dengar, ramai yang berjaya selepas menemui kegagalan.

Dan kegagalan itu yang membuatkan seseorang lebih matang dan berhati-hati dalam menyusun perjalanan kehidupan.

Pernahkah anda berdepan dengan rasa putus asa?

Setelah berbagai-bagai rintangan dan dugaan anda tempuhi, tetapi dipatahkan dengan rasa putus asa yang tiba-tiba melintas di fikiran.

Bukankah itu membuatkan anda berada dalam kerugian.

Setelah masa dan kudrat habis pada sesuatu perkara, dengan mudah rasa menghasut dan menggagalkan apa yang diusahakan selama ini. Jadi, adakah segalanya berbaloi?

Lawan Perasaan Putus Asa

Paling penting adalah untuk menghadapi rasa putus yang datang.

Bukan takut kepada kegagalan kerana tanpa kita sedari, putus asa ialah punca kepada kegagalan.

Bukan kegagalan punca kepada timbul rasa putus asa.

Kesilapan sering terjadi di situ.

Putus asa juga bukan satu sikap yang baik untuk mereka yang bergelar pelajar.

Kerana, dalam dunia sebagai seorang pelajar terlalu banyak dugaan dan kepayahan yang akan ditempuh.

Hanya terletak kepada mereka yang mengidamkan kejayaan yang akan terus mempertahankan kekebalan semangat mereka tanpa menghiraukan rasa putus asa yang sering datang tidak mengira masa dan waktu.

Jika terasa malas sewaktu belajar, itu juga merupakan sikap putus asa yang membawa kepada kegagalan.

Kita perlu ingat, jangan jadikan putus asa sebagai salah satu agenda dalam diari hidup kita.

Tetapi jadikan rasa inginkan kejayaan dan mengejar kepada kehidupan yang lebih bermakna sebagai matlamat kita.

Putus asa seakan musuh yang tidak kita menyedarinya. Sikap itu datang dalam keadaan spontan dan halus.

Seharusnya kita mengetahui erti putus asa.

Putus asa ialah musuh utama yang akan membawa kepada pelbagai sikap negatif lain.

Malas timbul kerana rasa putus asa. Hilang semangat juga timbul kerana putus asa.

Semuanya bermula daripada putus asa.

Jangan biarkan rasa putus asa menguasai diri kerana akan membawa kepada sikap negatif yang lain.

Ketahui sikap itu dan tanganinya. Pasti kejayaan milik kita.

- Artikel iluvislam.com

Muhasabah Maal Hijrah 1432H


Di awal tahun baru hijrah,
Ku sujud menghambakan diri pada-Mu,
Hati terus merintih mengenangkan dosa lalu,
Kotornya diri dengan maksiat dan noda,

Lemahnya jiwa berdepan dengan dunia,
Lalainya diri dari mengingati-Nya,
Astaghfirullahal 'adzim....
Banyaknya kekurangan diri,
Ampuni hamba-Mu ini Ya Allah.

Aku sedar,
Jiwa yang tandus taqwa,
Terdorong lakukan apa sahaja,
Sanggup menentang arus kehendak Ilahi,
Yang difikir hanyalah untuk kepuasan diri,
Maka, pabila dosa telah larut,
Gelaplah hati, kotorlah jiwa, murunglah diri,
Itulah fitrah sang pendosa,
Yang leka dari pencipta-Nya.

Namun, bila iman hadir di jiwa,
Mata hati mula bekerja,
Baru kusedar, betapa diri jauh dari-Mu Tuhan,
Asyik sibuk untuk dunia,
Hinggakan solat sering kutunda,
Al-Quran pun malas dibaca,
Lidahku kotor dengan kata-kata dusta,
Mata ini tak kujaga dari perkara dosa,
Telinga ini mendengar apa yang tak sepatutnya,
Kaki ini sering melangkah ke tempat lagha.

Ya Allah,
Jauh sekali diriku dengan peribadi kekasih-Mu,
Kau teladan terbaik bagi seluruh umat,
Ingin sekali aku mencontohi peribadimu, Rasulullah
Meskipun dirimu suci tanpa dosa,
Solat malam tidak pernah kau lupa,
Munajatmu di tengah malam jadi rutin harian,
Pengharapanmu pada Tuhan terlalu tinggi,
Sedang aku???
Seorang hamba yang penuh dosa....
Solat fardhu pun kurang dijaga,
Apatah lagi solat malam sepertimu, Ya Nabiyullah.

Sungguh,
Aku ingin berubah,
Menjadi seorang hamba-Mu yang taat,
Aku takut akan azab kubur,
Aku gerun dengan dahsyatnya neraka-Mu,
Dan kurindukan nikmat syurga.

Jadi,
Kupohon padaMu wahai Tuhan,
Campakkan ke dalam hati ini niat yang tulus,
Ingin sekali aku berdiri di hadapan-Mu dengan jiwa yang tunduk,
Ingin sekali aku rukuk pada-Mu dengan hati yang pasrah,
Dan ingin sekali ku sujud ke hadhrat-Mu dengan punuh kehambaan,

Ya Rahim,
Sucikan hatiku dari sifat munafik,
Sucikan amalku daripada riyak,
Sucikan lidahku daripada dusta dan mataku dari khianat,
Jadikanlah diriku seorang anak yang solehah,
Yang bisa mendamaikan hati Ummi dan Abiku,
Jadikanlah diriku seorang mukminat solehah,
Kerna mukminat solehah itu lebih cantik dari bidadari syurga.

Dan...
Kurniakan aku kesabaran untuk menunaikan ketaatan pada-Mu,
Anugerahkan aku kesabaran dalam meninggalkan maksiat pada-Mu,
Jadikanlah hati ini hati yang sentiasa mengingati-Mu,
Agar dapat ku miliki sekeping hati yang tenang,
Jauh dari hasad dengki dan kepalsuan dunia,
Hadirkanlah cintaku kepada-Mu mengatasi segalanya,
Agar Kau temukan hati yang terbaik buat diriku.

Moga dapat kukecapi, kebahagiaan yang hakiki,
Suatu hari nanti...
Amin....

Amalan 'Asyura'


Ustaz.. Boleh tak terangkan berkenaan puasa asyura? Bila puasanya? Saya dengar 9 & 10 Muharram. Ada yang bagitau saya 11 pun sunnat puasa. Bagaimana yang terbaik? Apa lagi amalan baik di hari Asyura? Syukran.

Jawapan:

Selang beberapa hari lagi, kita akan berjumpa hari 'Asyura' (عاشوراء) sekali lagi. Di bawah ini saya nyatakan beberapa hukum yang disebutkan oleh para Fuqaha' berkaitan 'Asyura'.

1. Bilakah 'Asyura'?

Pendapat pertama : Ibn Abbas Radhiyallahu 'Anhuma berpendapat 'Asyura' adalah pada 9 Muharram.Pendapat kedua : Jumhur Fuqaha' berpendapat 'Asyura' adalah pada 10 Muharram.

2. Bila Sunnah Puasa?

Sunnah berpuasa seluruh bulan Muharram. Ini kerana ia termasuk salah satu daripada bulan-bulan haram.Sunnah muakkadah (yang sangat dituntut) berpuasa pada 10 Muharram (hari 'Asyura').Sunnah juga berpuasa pada 9 Muharram.Sunnah juga berpuasa pada 11 Muharram.Sunnah juga berpuasa 1-10 Muharram menurut sebahagian Fuqaha'.

3. Kelebihan berpuasa pada 10 Muharram?

Diampunkan dosa setahun yang lalu (hadis sahih riwayat Imam Muslim).Pada hari tersebut Nabi Musa diselamatkan daripada Fir'aun. Maka puasa tersebut adalah sebagai tanda kesyukuran*. Ummat Islam lebih berhak berpuasa daripada Yahudi (yang juga berpuasa pada 'Asyura') kerana aqidah yang sama dengan Nabi Musa.

* ia juga dalil bahawa Islam membenarkan sambutan diadakan untuk mensyukuri sesuatu perkara setiap tahun. Oleh kerana itu juga, maka sambutan maulid dibenarkan di dalam Islam sebagai tanda kesyukuran.

4. Mengapa pula puasa pada 9 Muharram?

Hadis Nabi yang bermaksud: Jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari kesembilan. Namun baginda telah wafat pada tahun berikutnya.Membezakan dengan amalan orang Yahudi.Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari 'Asyura'.Termasuk bulan-bulan haram.Termasuk 10 hari pertama Muharram yang disunnahkan berpuasa oleh sebahagian Fuqaha'.

5. Hikmah berpuasa pada hari 11 Muharram?

Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari 'Asyura'.Termasuk bulan-bulan haram.

6. Apakah amalan terbaik selain berpuasa pada hari 'Asyura'?

Meluaskan rezki (berbelanja makanan, minuman, menggembirakan kanak-kanak dan kaum keluarga).

7. Apakah kelebihannya?

Dilapangkan oleh Allah rezekinya selama setahun.*

* Hadis diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Attabrani dengan pelbagai sanad. Imam Baihaqi menyebutkan, sanad-sanadnya dhoif, tetapi apabila dihimpunkan kesemuanya maka ia menjadi kuat.

8. Apakah yang dilakukan oleh para salafussoleh pada hari 'Asyura'?

Disebutkan di dalam nota kaki kitab Fathul 'Allam oleh Syaikhuna Muhammad Alhajjar, menakalkan kitabAlmadkhal oleh Ibnul Hajj, para salafussoleh tidak akan melalui musim-musim ini melainkan dengan banyaknya ibadah, sedekah, berbuat kebajikan dan meraih kelebihannya, bukanlah dengan makan dan minum, bahkan bersegera menambahkan sedekah dan berbuat baik.

9. Apakah contoh amal kebaikan yang digalakkan oleh para ulamak untuk dilakukan pada hari tersebut?

Apa jua amalan kebajikan baik dilakukan pada hari yang mulia tersebut. Antara yang diajarkan oleh para ulamak adalah bersiwak, bercelak, berwangi-wangi, mengusap kepala anak yatim, menziarahi orang soleh dan para ulamak.

10. Ada tak doa yang ulamak dahulu amalkan pada hari tersebut?

Ada. Sila klik sini.

Do'a dibaca pada hari 'Asyura'

11. Apa hukumnya merobek pakaian, meronta-ronta dan memukul badan seperti mana yang dilakukan oleh Syi'ah pada hari 'Asyura' meratapi pemergian Sayidina Husin?

Hukumnya haram. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Sayyidina Ibn Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Bukanlah daripada kalangan kami orang yang memukul dada, mengoyak kain dan menyeru dengan seruan jahiliyyah (yakni meratap seperti ratapan kaum jahiliyyah)."

Wallahu A'lam

- Artikel iluvislam.com

Monday, December 6, 2010

MUHARRAM 1432H...



1 Muharram bakal menemui kita beberapa hari sahaja lagi. Di kesempatan ini, apa kata kita melihat semula apakah bulan-bulan yang ada dalam kalender Islam. Selain itu, kita akan melihat juga perkara menarik di sebalik setiap bulan.

(Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa). (Surah Al-Taubah : 36)

Dua belas bulan yang disebut oleh Allah di dalam ayat di atas telah dihuraikan oleh Rasulullah SAW di dalam sebuah hadith yang telah diceritakan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a bahawa Rasulullah SAW memberikan khutbah ketika ibadah haji dengan berkata:

Ketahuilah bahawa masa berputar seperti mana hari Allah menciptakan langit dan bumi, setahun ada 12 bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab yang terletak antara Jumada dan Syaaban. (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Bulan dalam bahasa Arab disebut "Al-Syahru" bermaksud bulan yang merujuk kepada bulan-bulan yang terdapat dalam Islam yang dipanggil bulan-bulan Hijriyah. Tarikh Hijriyah Islam yang pertama adalah bermula ketika Nabi Muhammad SAW serta umat Islam telah sampai dan berhijrah ke Madinah. Nama-nama bulan Arab yang telah diiktiraf sebagai bulan Islam dan telah dirasmikan penggunaannya oleh Saidina Umar al-Khattab r.a adalah seperti berikut :

Muharram
Muharam ertinya diharamkan. Bulan ini merupakan bulan yang termasuk dalam senarai bulan-bulan yang diharamkan berperang.

Safar
Safar adalah bulan ke-2 dalam bulan Islam yang bererti kosong, kerana penduduk Arab ketika itu keluar dari kampung mereka kerana berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas. Rumah menjadi kosong.

Rabiulawal dan Rabiulakhir
Rabiulawal dan Rabiulakhir ertinya musim bunga iaitu biasanya waktu ini pokok mengeluarkan bunga dan tumbuhan menghijau. Rabiulawal dan Rabiulakhir merupakan bulan Islam yang ke-3 dan ke-4.

Jumadilawal dan Jumadilakhir
Jumadilawal (Jumada al-Awwal) dan Jumadilakhir (jumada al-Akhir) , merupakan bulan ke-5 dan ke-6. Perkataan Jumada bermaksud kemarau di mana bulan ini merupakan musim kemarau yang bermula pada bulan Jamadilawal dan berakhir pada Jamadilakhir.

Rejab
Rejab adalah bulan ke-7 pula bermaksud mengagungkan dan membesarkan. Menurut sejarahnya, bulan Rejab dimuliakan orang Arab dengan menyembelih anak unta pertama dari induknya. Pada bulan ini dilarang berperang dan pintu Ka'bah dibuka.

Syaaban
Syaaban bererti berselerak/ pecahan yang banyak, di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka keluar bertebaran pada bulan ini setelah terpaksa berkurung di rumah ketika bulan Rejab. Pada bulan ini juga, mereka keluar beramai-ramai mencari air dan makanan.

Ramadhan
Ramadhan merupakan bulan ke-9 dalam kalendar Islam. Ia bererti terik atau terbakar, kerana kebiasaannya pada bulan ini, cuaca sangat terik dan panas di Semenanjung Arab. Dan setelah Islam menapak, bulan ini merupakan bulan puasa bagi umat Islam.

Syawal
Syawal pula dinamakan sempena dengan musim di mana unta kekurangan susu pada waktu ini. Syawal dalam bahasa Arab berasal dari kata kerja Tasyawwala yang bermaksud sedikit atau berkurangan. Manakakala setelah kedatangan Islam, Syawal merupakan bulan peningkatan kebajikan setelah melewati masa latihan pengendalian diri selama sebulan penuh dengan puasa Ramadan. Pada awal bulan Syawal, kaum Muslim merayakan Hari Raya Idul Fitri atau perayaan yang menandai kemenangan melawan hawa nafsu. Syawal merupakan bulan ke-10 dalam kalendar Hijrah.

Zulkaedah
Zulkaedah merupakan bulan ke-11, ia merujuk kepada kebiasaan penduduk Arab zaman sebelum Islam tidak berperang kerana ia termasuk dalam bulan-bulan haram berperang. Perkataan Kaedah itu berasal dari 'Qa 'ada' yakni duduk.

Zulhijjah
Zulhijjah adalah bulan ke-12 dan bulan terakhir Hijrah. Ia disebut Zulhijah (Ar.: Zu al-Hijjah) yang berarti "yang empunya haji". Pada zaman sebelum kedatangan Islam, bulan ini merupakan bulan untuk melakukan ibadah haji ke Mekah (Ka'bah). Setelah kedatangan Islam, ibadah haji masih tetap dilaksanakan pada bulan Zulhijah yakni pada tanggal 8, 9 dan 10 Zulhijah.

- Artikel iluvislam.com