Friday, June 28, 2013

Monolog Cinta

Dia merenung dalam bait tinta yang ditangkap lensa miliknya. Sepasang mata yang bening itu bergerak-gerak kiri ke kanan. Dia cuba untuk memahami kata-kata itu.
“Cinta bukan tujuan, tapi hanyalah jalan. Cinta itu bukan matlamat, tapi hanyalah alat…” – Ustaz A.Ubadillah Alias
Dahinya dikerutkan. Keningnya dirapatkan. Tanda dirinya sedang memikirkan sesuatu yang mengusik perasaan.
“Cinta bukan tujuan. Tapi jalan. Cinta bukan matlamat. Tapi alat..” Bait tinta itu bergema dalam sanubarinya.
“Apa ertinya?” Dia bermonolog.
Lama dia merenung. Sesekali, dia menghantar pandangan ke luar jendela. Dia menatap ke arah langit. Cerah. Subhanallah, indah ciptaan-Mu – Burung-burung berkicauan, tanda bertasbih kepada-Nya. Sang unggas bernyanyi riang, tanda memuji kepada-Nya. Segala yang ada di langit mahupun di bumi sujud pada keEsaan-Nya. Dalam asyik dia merenung keindahan ciptaan Tuhan, ada sesuatu yang mengusik kalbunya.





Cinta. Ya. Dia tahu dia masih muda remaja. Dia tahu masih banyak tanggungjawab yang harus digalasnya. Dia tahu masih banyak impian yang belum diraihnya. Dia tahu, umi dan abinya mengharapkan sesuatu daripadanya. Dia tahu perjalanan hidupnya baru bermula. Dia tahu dia tidak seharusnya leka dalam cinta dunia. Dia tahu dan dia mengerti segala-galanya. Namun, entah mengapa setiap kali dia cuba mengusir satu rasa yang bertamu di dada, tiap kali juga dia kalah melawan perasaannya.

Ya Allah, begitu kuat rasa itu hadir ke dalam kalbunya.
Apa yang perlu dia lakukan? Langkah apa yang perlu dia aturkan? Strategi apa yang perlu dia rencanakan?
Segala-galanya kelihatan suram. Segala-galanya kelihatan tidak berjalan. Hatinya kembali rawan. Mengapa dirinya tidak mampu melawan? Mengapa perasaannya seringkali kecundang? Mengapa hatinya seringkali bermusuhan dengan apa yang dia fikirkan? Hati dan akalnya tidak sehaluan.
Dia tidak mahu lemas dalam dakapan cinta yang melekakan. Dia hanya mahu lemas dalam dakapan cinta Tuhan. Tapi, makin kuat dia mencuba, makin kuat pula dia diduga.





Dia tahu, dia harus kuat menghadapinya. Dia tahu, dia harus melawan rasa cinta yang bertamu dalam hatinya. Dia tahu, dia harus mengusir rasa cinta pada manusia. Mengusir cinta bukan bererti membenci. Tetapi lebih kepada menjaga jarak antara dirinya dan dia. Hatinya cuma ada satu. Dia tahu, sakit rasanya apabila terluka. Pedih rasanya apabila kecewa. Pasti, dia akan berduka. Lalu, amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya akan terbang dan hilang entah ke mana.

Dia harus memilih. Ya. Memilih sama ada dia mahu terus berfantasi atau menjejak realiti? Mahu terus berada dalam mimpi atau mahu menjejak bumi? Dia sedar. Cinta manusia itu adalah sesuatu yang tidak pasti. Cinta yang hakiki adalah berpaksikan pada DIA Sang Ilahi.
Dia juga sedar, kehidupan kini penuh dengan ujian Ilahi. Jika iman tidak terus diasah, maka dia akan tersungkur rebah. Jika akidah tidak terus dipelihara, maka dia akan terus bergelumang dengan dosa. Jika ilmu-Nya tidak terus diteroka, maka dia akan terus terleka dalam arus dunia. Dia juga sedar. Perjalanannya masih jauh. Banyak lagi yang harus ditempuh. Jika ujian sebegini dia tidak mampu menempuh, apatah lagi ujian lain yang mewajibkan imannya untuk terus teguh.
Dia nekad. Segala rasa cinta yang hadir sebelum waktunya perlu segera diusir. Bimbang pula hatinya akan terus terusik. Kini dia memegang pada satu prinsip!
“Cinta itu fitrah. Ilmu itu amanah. Iman itu perlu diasah. Maksiat itu perlu dicegah!”
Ashadu Anla Ilahailallah Wa Ash Hadu Anna Muhammad Rasulullah. Hanya padaMu Tuhan, aku berserah…
- Artikel iluvislam.com





Friday, March 8, 2013

Senyum Selalu Seperti Rasulullah SAW

Bukan sukar untuk menghadiahkan senyuman tetapi kita sendiri menyukarkan senyuman itu terpamer di wajah. Hati mana tidak tenang apabila sedang dalam kekusutan, masih lagi boleh tersenyum kepada rakan. Senyuman itu adalah ciptaan indah Allah SWT, malah senyuman juga adalah kuntuman indah yang sentiasa dipersembahkan Rasulullah SAW, manusia sempurna yang patut diteladani segala sifat, sikap dan tingkah lakunya.

Ada beberapa hal menarik pada diri Baginda SAW yang jarang diungkapkan ramai iaitu mengenai senyumnya. Sepintas lalu, hal itu mungkin nampak kecil dan tidak bererti tetapi apabila dikaji, sebenarnya senyuman Rasulullah SAW memberi impak positif yang sungguh luar biasa. Hikmahnya, banyak kejayaan Rasulullah SAW dalam misinya sebagai penyebar risalah tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan Baginda.

Banyak Tersenyum
Disebabkan itu, Rasulullah SAW dapat mempengaruhi orang ramai sehinggakan Baginda dicintai dan disegani kawan, juga lawan. Sahabat adalah saksi kehidupan Rasulullah SAW yang penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang pernah menceritakan betapa indahnya senyuman Rasulullah SAW ialah Saidina Umar. Kata Saidina Umar,
"Rasulullah SAW tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling bagus giginya."
(Hadis diriwayatkan Ibnu Hibban)
Seorang lagi sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Al-Harist menyatakan,
"Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW."
(Hadis riwayat At-Tirmizi)
Cucu kesayangan Baginda SAW, Saidina Husein juga ada menggambarkan bagaimana sikap Rasulullah mana direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, beliau berkata,
"Aku bertanya kepada ayahku (Saidina Ali) mengenai adab dan etika Rasulullah SAW terhadap orang yang bergaul dengan Baginda. Ayahku mengatakan: Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, Baginda bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas."







Senyum Kepada Sesiapa Sahaja
Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan senyumannya hatta kepada orang yang tidak disukai. Perkara itu pernah direkodkan Imam Bukhari disebutkan bahawa Saiditina Aisyah berkata:
"Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Ketika Baginda melihat orang itu dari jauh, maka Baginda bersabda: Dia adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat. Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk, Baginda memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu. Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya dan menerima kedatangannya dengan baik hati. Kemudian Rasulullah bersabda: Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?"
Imam al-Khataby ketika mensyarahkan hadis itu berkata, "Hadis ini dilihat dari sudut adab dan ilmu". Ucapan Rasulullah SAW mengenai diri Uyainah sesuatu gambaran yang tidak disukainya secara jelas disebut Ghibah. Ghibah berlaku di antara sebahagian orang dari umat Islam terhadap sebahagian yang lain. Namun, perlakuan Baginda adalah menjelaskan dan mengungkapkannya dalam bentuk nasihat dan kasih sayang terhadap umatnya.
Kerana Baginda sudah dianugerahi sifat kemurahan hati dan akhlak yang baik, maka Baginda memperlihatkan wajah berseri dan tidak menghadapi kesukaran berhadapan orang tidak disukainya. Baginda bertindak sebegitu supaya umat Islam meniru perbuatan Baginda, supaya dapat dihindari keburukan yang boleh menimpa umatnya dan mereka boleh selamat daripada kejahatan dan tipu daya.
Begitu indah akhlak Rasulullah SAW, walaupun seseorang itu tidak disukai, Baginda tetap mempamerkan senyuman dan menyambut kedatangan Uyainah dengan ceria. Sebagai umatnya yang mengaku bahawa Baginda adalah sebaik-baik manusia dan seorang nabi dan rasul, tidakkah kita malu kerana tidak mengikut perbuatan Baginda yang sentiasa menghadiahkan senyuman kepada orang ramai.


Bertegas Bila Perlu
Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mengikuti perbuatan Rasulullah kerana harga senyuman tidak ternilai dengan wang ringgit. Ketegasan Baginda juga dapat dilihat dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim mengenai wanita dari kabilah Makhzumiyah yang mencuri. Kaum Quraisy bingung dengan permasalahan itu kerana mereka tahu hukuman pencuri mengikut undang-undang Islam ialah dipotong tangan (mengikut syarat ditetapkan).
Mereka bertanyakan kepada sesiapa yang berani berjumpa Rasulullah SAW memohon melepaskan wanita itu. Usamah disarankan bertemu Rasulullah SAW kerana Rasulullah menyayangi Usamah. Maka Usamah pergi dan berbicara kepada Rasulullah SAW untuk minta pembelaan atas wanita itu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda:
"Jadi kamu ingin memohon syafaat (pembelaan) terhadap salah satu dari hukum Allah?"
Setelah mengucapkan ayat itu, Baginda berdiri dan berkhutbah:
"Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat sebelum kalian ialah apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila mereka mendapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman kepadanya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya".
Oleh itu, marilah kita menjadikan senyuman dan ketegasan Rasulullah SAW sebagai panduan dan pada masa sama menilai hikmah di sebaliknya. Senyumlah, kerana senyuman tidak pernah mengurangkan rezeki sesiapa, malah dengan senyuman hati berasa tenang dan sentiasa disenangi orang lain. Sementara bertegaslah dalam keadaan perlu supaya agama tidak diperkotak-katikkan.
- Artikel iuvislam.com

Siapa Rasulullah Di Hati Kita?

Rindukah kamu pada Rasulullah?
Sayangkah kamu pada Rasulullah?
Cintakah kamu pada Rasulullah?
Tahukah kamu, bahawa Rasulullah sangat mencintai kita?
Di saat malaikat maut ingin mencabut nyawa, baginda tidak gembira dan tenang pergi bertemu Illahi sehingga mendengar melalui Malaikat Jibril bahawa Allah s.w.t. memberi jaminan bahawa tidak akan masuk syurga umat-umat lain melainkan umat Baginda s.a.w. dahulu memasukinya. Subhanallah... Begitu dalamnya cinta Baginda kepada kita.
Tahukah kamu, Rasulullah sangat menyayangi kita?
Di saat Malaikat Jibril datang kepada Baginda dan menerangkan sifat-sifat neraka jahanam, dan menerangkan bahawa bahagian yang paling atas dari semua tingkat neraka jahanam itu adalah untuk umat Nabi Muhammad yang berbuat dosa-dosa besar dan tidak sempat bertaubat, Baginda jatuh pengsan.
Baginda begitu sedih dan berdukacita. Baginda menangis sehingga Baginda tidak keluar rumah kecuali hanya untuk solat dan tidak berbicara dengan orang. Ya Allah....begitu besar kasih sayang Rasulullah kepada kita.
Tahukah kamu Rasulullah sangat merindui kita.?
Di saat malaikat maut ingin mencabut nyawa, nama kita disebut-sebut baginda.
"ummati...ummati...ummati..."
Tahukah kamu, Rasulullah sangat rindu bertemu dengan kita?
ketika Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda bertanya kepada sahabat.
"siapakah yang paling ajaib imannya?"
 Seorang sahabat menjawab, "malaikat..."
Baginda menjelaskan,  "bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka hampir dengan Allah.."
Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi,  "Para nabi.."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka.." jelas Rasulullah..
" Mungkin kami..." celah seorang sahabat...
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kamu.." Rasulullah menyangkal..
"kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-NYA sahaja yang lebih mengetahui.." jawab seorang sahabat..
"kalau kamu ingin tahu siapa mereka? mereka ialah umatku yang hidup selepasku..mereka membaca Al-Quran dan beriman dengan semua isinya..berbahagialah orang yang dapat bertemu dan beriman denganku...dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku.." jelas Rasulullah...
"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.
Sedarkah kamu. Tahukah kamu, siapakah 'ikhwan' Baginda? Siapakah yang Baginda rindu ingin bertemu?
Mereka adalah kita. Umat Rasulullah. Mereka yang belum pernah melihat baginda Rasulullah tetapi beriman dengan Baginda sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintai Rasulullah melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka.
Betapa Rasulullah ingin bertemu dengan kita. Betapa Rasulullah rindu akan kita.




Tapi kita...
Adakah kita cinta pada Rasulullah?
Adakah kita sayang pada Rasulullah?
Adakah kita rindu pada Rasulullah?

Kalimah sayang, cinta, rindu, sering meniti di bibir
Namun, mana buktinya?
Mana bukti kita sayang pada Baginda?
Mana bukti kita cinta pada Baginda?
Mana bukti kita rindu pada Baginda?
Tepuk dada, biarlah iman kita yang berbicara.
Ayuh sahabat, jangan hanya berkata-kata.
Ayuh buktikannya...
Buktikan bahawa kitalah yang Rasulullah cinta
Kitalah yang Rasulullah rindui dan ingin berjumpa
Bagaimana???
"Tak kenal maka tak cinta..."
Justeru, ayuh sama-sama kita kenali baginda Rasulullah SAW.
Kita ikuti sirah hidup baginda.
Jadikan baginda idola dalam hidup kita
maka...kita haruslah ikuti sunnah baginda.
dari awal kita celik mata sehinggalah kita pejamkan mata...
Ikut apa yang Rasulullah kata... "sampaikan dariku walaupun sepotong ayat" pesan baginda;
" Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamaya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku"
(Hadist riwayat Imam Malik bin Anas dalam al-Muwattha' - no: 1619)

Walau kemana kita pergi. Walau siapapun kita. Walau setinggi mana pangkat kita. Walau sebanyak mana harta kita,  ingatlah... Jangan pernah tinggalkan Al-Quran dan sunnah Baginda. Hidup  seiring dan landasilah ia pada Al-Quran dan Sunnah Baginda. Jadikan Al-Quran dan sunnah Baginda pegangan dan panduan hidup kita.
Semoga kita menjadi umat Nabi Muhammad yang Baginda rindu ingin bertemu. Semoga kita salah seorang yang mendapat syafaat Rasulullah di akhirat kelak. Semoga kita dapat bertemu dengan Rasulullah di taman syurga nan indah.
Salam Jumaat, Jum Selawat... " ِAllahumma solli 'ala Muhammad, wa'ala aali syaidina Muhammad"
- Artikel iluvislam.com