Monday, April 2, 2012

Hebat Sangatkah Solat?




Kota Constantinople yang menjadi kebanggaan bangsa Rom suatu ketika dahulu begitu kebal untuk dirobohkan apatah lagi untuk tentera islam menawan sepenuhnya kota yang berpangkalan di Turki itu. Tetapi akhirnya selepas 800 penantian ,kota gah itu berjaya ditakluk oleh Sultan Muhammad Al Fateh sekaligus mengembalikan zaman penuh kegemilangan untuk seluruh umat islam.

Tetapi di akhir zaman ini begitu ramai yang menanam kebencian kepada bangsa yahudi gara-gara kerakusan mereka membunuh dan menodai umat islam khususnya di Palestin, malah keinginan mereka untuk menakluk sepenuhnya negara tersebut juga buatkan "kebencian" umat islam semakin memuncak.

Kebencian yang ditanam pada hati kita buatkan segala bentuk cacian, sumpah seranah dan kemarahan dilemparkan kepada bangsa yang tidak pernah serik-serik untuk menjadikan Palestin sebagai negara mereka. Tidak kurang juga buat masyarakat islam yang langsung tidak pernah ambil tahu akan perkembangan semasa saudara islam disana kerana mereka lebih selesa berada dalam kepompong kehidupan sendiri.

Hakikatnya dengan kebencian yang ada dalam hati , apakah ia sudah melayakkan kita untuk menjadi seorang "pejuang islam" yang bersedia untuk menumpahkan darahnya demi islam yang tercinta? Apakah hanya cukup sekadar dengan membuat demontrasi ketidakpuasan hati terhadap bangsa jahanam itu? Atau adakah cukup dengan menonton konsert amal yang sering dianjurkan oleh pelbagai pihak yang kononnya hasil sumbangan dan kutipan dari jualan tiket diberikan kepada insan-insan yang sedang bertarung nyawa disana?

ADA APA DENGAN SOLAT?

Apakah jiwa pernah "terdetik" untuk mengkaji semula bagaimana bangkitnya islam di zaman Rasulullah dan para sahabat? Faktor umat islam di zaman lampau mampu menguasai 2/3 dunia kerana mereka bergantung dengan kekuatan yang utama iaitu "solat". Janganlah hanya bersemangat dengan lantang bersuara mencaci bangsa yahudi sedangkan solat kita sendiri langsung tidak sempurna. Mengapa solat dikaitkan dengan kekuatan islam? Hebat sangatkah solat?

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :

"Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman : "Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya"? Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain".
(Riwayat At-Tarmizi)



Hadith Rasulullah s.a.w tadi sudah cukup sempurna untuk menerangkan betapa pentingnya solat. Kekuatan umat terdahulu sememangnya bergantung sepenuhnya kepada solat dan ia juga ialah "tiang agama" . Tanpa asas yang kukuh iaitu "tiang agama" bagaimana untuk ummah pada hari ini menjadi muslim yang benar-benar digeruni oleh pihak musuh sedangkan pihak musuh sentiasa menunggu peluang untuk menghumban umat islam ke dalam kekufuran.

NIKMAT

Solat adalah tuntutan wajib untuk setiap umat islam yang mengaku dirinya sebagai umat nabi Muhammad s.a.w . Solat bukanlah hanya sebagai pelengkap kepada rukun islam semata-mata tetapi yang lebih penting solat adalah sebagai tanda kita mensyukuri segala nikmat yang diberikan Allah kepada kita selama ini.

Nikmat yang Allah berikan terlalu luas dan sebagai hamba yang selalu bergantung kepada pertolongan Allah pastinya semua itu tidak akan mampu dibayar nilainya oleh mana -mana manusia sekalipun. Kesenangan,kesihatan,kelapangan dan segalanya adalah nikmat dari Allah untuk kita sebagai hamba secara percuma. Belum lagi nikmat-mikmat lain yang Allah berikan kepada kita tanpa diduga, itulah kasih sayang pencipta kepada hambanya.

KITA KHIANATI AMANAH ALLAH

Masyarakat islam yang sakit dan pincang pada hari ini sememangnya merupakan satu cabaran getir untuk 'dunia islam" kembali menyinar dan gah seperti satu masa dahulu. Penyakit sosial yang terlalu parah bukan lagi mendekati anak –anak muda kita, sebaliknya ia adalah sebahagian dari cara hidup umat islam masa kini. Penyakit itu misalnya berzina, arak, judi, pembunuhan,rompak, rasuah dan banyak lagi dosa yang tidak boleh diterima akal dek angkara perbuatan jahil manusia.

Semuanya terjadi hanya kerana umat islam mengabaikan satu tuntutan yang wajib iaitu solat yang sebenarnya merupakan benteng keimanan yang menyelamatkan manusia dari lembah hina. Mayarakat islam pada hari ini tidak lagi memandang solat itu sebagai satu pekara yang mulia dan berharga. Jika dihayati kisah para pejuang Allah di zaman dahulu mereka akan mementingkan solat lebih dari segalanya.

Mereka misalnya Sultan Muhammad Al-Fateh dan seluruh tenteranya yang mengutamakan solat biarpun nyawa mereka terdedah dengan serangan musuh. Beliau dan tentera-tenteranya menunaikan solat berjemaah di hadapan tembok kota Constatinople dan disaksikan sendiri setiap musuh islam.Tentera musuh begitu tergamam melihat bertapa disiplinnya tentera islam yang bukan sahaja dalam peperangan malah dalam solat.

Malah kisah para pejuang Allah yang lain juga semuanya tidak jauh beza, semuanya mengutamakan solat sebagai landasan menuju kejayaan. Tidak seperti umat masa kini yang semakin melupakan perintah wajib ini dan ada juga yang tidak tahu langsung kewajipan bersolat.

Kelemahan umat islam masa kini juga bukanlah kerana kekuatan yahudi yang mengusai seluruh dunia tetapi kelamahan ketara umat islam kerana tidak menjadikan solat sebagai senjata untuk menyatukan ummah .

MULAKAN SEGERA!!

Jika dihayati kehebatan Rasulullah dan para sahabat selain solat 5 waktu mereka juga mengamalkan solat sunah tahjud di waktu malam .Solat ini dilakukan di hening malam sewaktu dunia ini sunyi dari hiruk pikuk manusia. Ulama juga berpendapat waktu yang paling afdal untuk menunaikan solat ini ialah ¾ malam iaitu diantara pukul 3 sehingga sebelum masuknya waktu subuh.

Sekiranya kita sebagai hamba Allah dan umat nabi Muhammad S.A.W tidak mampu untuk melakukan solat malam maka mulakanlah dengan melaksanakan dahulu solat 5 waktu dengan secukupnya. Solat menjanjikan ketenangan, kebahagian dan kekuatan dalaman . Manusia yang beriman kepada Allah akan merasa sayang untuk meruntuhkan tiang agama islam dengan tidak bersolat kerana sedar bertapa tanpa solat dirinya semakin terdedah dengan ancaman musuh seperti syaitan dan orang kafir yang mahu membolak balik akhidah umat islam.

Janganlah menangguh lagi untuk tidak bersolat tetapi mulakan segera langkah untuk bersolat dan cukuplah dahulu dengan menunaikan solat yang wajib . Janganlah dibibir mengaku sebagai umat islam tetapi dalam masa sama kita ialah musuh yang meruntuhkan agama sendiri.

- Artikel iluvislam.com

Duhai Remaja, Bola Berjemaah Atau Solat Berjemaah?




Bismillahiramanirahim.

Cecep : Memet, aku jarang tengok kau main bola di padang.
Rumah kau kan dekat dengan padang.
Kau dah tak pandai main bola kah ?

Memet : Cecep, aku jarang tengok kau solat berjemaah di masjid.
Rumah kau kan dekat dengan masjid.
Kau dah tak pandai solat berjemaah kah ?

Pergh !! Terpukul hati cecep.. Jawapan Memet seperti penumbuk, bukan untuk menyakiti tetapi untuk mengetuk dan membuka pintu hati agar tersedar. Sakit ? terasa ? terkena batang hidung sendiri ? Biasalah tu.. Kadang-kadang kebenaran akan terasa pahit apabila bertentangan dengan apa yang kita suka.

Sememangnya, Islam tidak melarang umatnya untuk suka bermain bola atau melakukan apa-apa aktiviti riadhah. Selagi tidak bertentangan dengan syariat, teruskanlah amalan itu sehingga diri kita menjadi kuat dan sihat. Mukmin yang kuat fizikal dan rohaninya merupakan mukmin yang paling disukai oleh Allah.

Seperti mana Rasulullah SAW menyebutkan:

"Mukmin yang kuat lebih dicintai Allah berbanding mukmin yang lemah,dan masing-masing memiliki kebaikan"
(Riwayat Muslim)

Namun, apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini, kebanyakan masyarakat kita, khususnya golongan remaja hanya kelihatan kuat secara fizikal, namun lemah rohaninya.

Ada banyak bukti yang dapat kita saksikan sendiri. Namun, Tidak perlulah dihuraikankan panjang lebar semua bukti-bukti itu kerana ketiadaan mereka ketika solat berjemaah sudah cukup menterjemah kelemahan rohani mereka selama ini. Mereka enggan atau malas untuk solat berjemaah di masjid.

Siapa mereka ?
boleh jadi diri anda, diri saya, atau semua remaja yang lain. Check sahaja solat berjemaah kita..

Cuba perhatikan suasana ditempat kita..
Apabila azan dikumandangkan, apa yang berlaku ?

Adakah orang yang sedang sibuk bekerja akan berhenti buat kerja seketika ?
" Alaa.. sikit lagi ni.. aku kena siapkan kerja dulu.."

Adakah orang yang sedang sibuk studi akan berhenti studi seketika ?
"Adush.. sikit lagi homework ni siap.. aku kena ulangKaji banyak.."

Adakah orang yang sedang sibuk online (Facebook, utube, twitter, blog, dan lain-lain ) akan berhenti online ?
" Wah. ramainya orang chat dengan aku. aku kena layan mereka dulu. Cerita kat youtube ni pun tak habis lagi.."

Adakah orang yang sibuk beriadhah akan singgah sebentar di masjid untuk solat ?
" Weyh, dah azanlah. Aku balik rumah dulu ya. Letih. Mungkin aku solat di rumah."

Adakah orang yang sedang melepak segera berdiri menuju ke masjid untuk solat ?
Atau terus melepak, menyambung cerita-cerita kosong ?

Begitulah..
macam-macam lagi senario yang dapat kita saksikan. Jelas kelihatan, sesetengah daripada kita tidak minat malah langsung tidak mahu ambil peduli akan solat berjemaah.

Berbeza pula halnya bagi orang-orang yang beriman. Apabila azan berkumandang, masing-masing segera menyiapkan diri untuk solat berjemaah. Mereka yakin bahawa kejayaan akan terhasil melalui solat yang berkesan. Bukankah kalimah-kalimah daripada laungan azan itu sendiri sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang solat adalah orang yang berjaya

حي على الصلاة
Mari Menunaikan Solat

حي على الفلاح
Mari Menuju Kejayaan

Cantik sungguh susunan kalimah itu..
"Orang yang mendirikan solat ialah orang yang sedang menuju kejayaan ."
Apabila solat kita berkualiti, Allah SWT menjanjikan kejayaan yang besar buat kita sama ada di dunia mahupun di akhirat.

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman.(iaitu) orang-orang yang khusyu' dalam solatnya."
[23:1-2]

Solat berkualiti ? Ya, solat dalam keadaan tidak lalai serta khusyuk memikirkan tentang pertemuannya dengan Allah di akhirat nanti.

Lagi hebat sekiranya kita suka melaksanakan solat secara berjemaah.
Solat berjemaah jauh lebih berkualiti berbanding solat sendirian. Ganjaran pahalanya juga lebih banyak. 27 kali ganda..

Sebab itu Rasulullah SAW ada menyatakan ;

" Solat berjemaah lebih utama berbanding solat bersendirian sebanyak 27 darjat."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mana satu yang anda pilih ? Duit RM10 atau RM270 ?
Tipulah kalau anda tidak memilih yang banyak..hehee..
Tapi mengapa tidak ramai yang memilih untuk solat berjemaah ?
Mengapa tidak ramai yang pergi solat berjemaah di masjid ?

Hari ini, masjid seakan-akan sunyi..
kurang berpenghuni..
Setiap kali masuk waktu solat zohor,asar, maghrib, dan isya', hanya satu, dua atau tiga saf sahaja yang penuh. Adapun jemaah yang hadir, semuanya tua-tua belaka. Lebih-lebih lagi apabila masuk waktu solat subuh. Jangankan satu saf, anda mungkin terkejut menyaksikan hanya imam dan bilal sahaja yang solat berjemaah. Malu rasanya..

Apa sudah jadi ? ke mana perginya remaja-remaja Islam zaman sekarang ?
Ke mana perginya remaja-remaja yang bijak dalam akademik ?
Ke mana perginya remaja-remaja yang pakar dalam Vokasional ?
Ke mana perginya remaja-remaja yang aktif dalam sukan ?
Ke mana perginya remaja-remaja yang lantang berbicara soal Jihad ?

Mengapa hanya sedikit kelibat kalian di dalam masjid ?

Wahai sahabat-sahabatku, marilah berubah.. marilah solat berjemaah di masjid.
Kalau tidak mampu datang ke masjid lima kali sehari, datanglah walau hanya sekali sehari.
Latihlah diri kita bermula dari sekarang sehingga terbiasa.
Jangan tunggu ramai remaja buat baru kita bersemangat. Sebaliknya pastikan diri kitalah yang menjadi pemula serta pengajak dalam memulakan ketaatan kepada Allah.

Allah SWT sangat menggalakkan kita ruku' bersama-sama dengan orang-orang yang ruku'.

"Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan ruku'lah beserta orang-orang yang rukuk"
[2:43]

Di mana diriku dalam kelompok yang ruku' itu ?

kita adalah remaja. Kita bukan budak-budak lagi !
Kita mempunyai kekuatan yang luar biasa ! Sangat luar biasa !
keluarkanlah kekuatan itu untuk membawa diri menuju ke masjid.
Biar masyarakat dunia terkejut besar melihat kita semua mampu menyemarakkan solat berjemaah.

Saya percaya.
Apabila kita semua sudah lali atau terbiasa solat berjemaah di masjid,
kekuatan ukhwah dan perpaduan yang hebat secara automatik akan terbentuk.Lalu lahirlah masyarakat Islam yang hebat mentadbir dunia untuk kehidupan akhirat.
Musuh-musuh Islam pula akan mula gentar dan takut apabila bilangan jemaah solat subuh sama seperti bilangan jemaah solat Jumaat. Lagi hebat, semakin ramai orang bukan Islam akan masuk Islam ! Umat Islam akan bertambah gemilang !!

Bila semua itu akan berlaku ? Bila ?

Kenyataan itu adalah sekadar angan-angan kosong sekiranya kita hanya membaca artikel ini.
Hanya sekadar impian kosong andai kita masih lagi duduk menghadap laptop tanpa menggerakkan kaki menuju ke masjid. (sebelum, ketika atau selepas azan)
Juga sekadar harapan kosong andai tangan kita hanya memegang tetikus tanpa memegang tangan orang lain untuk di ajak ke masjid.

BERTINDAKLAH !!
RAJINKAN DIRI SOLAT BERJEMAAH DI MASJID !!

Sekiranya hati kita sudah terpaut dengan Masjid, maka nantikanlah naungan istimewa daripada Allah ketika mana tidak ada lagi naungan lain selain naunganNya di Padang Mahsyar nanti. Itu Janji Allah !

Sabda Rasulullah SAW ;

Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naunganNya pada hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: (antaranya) Pemuda yang sentiasa terpaut hatinya dengan masjid.
(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Mahu masuk dalam golongan itu ?
Saya MAHU !! Bagaimana dengan anda ?
Buktikan dengan tindakan..

Akhiratkan kehidupanmu untuk Rahmat Allah!!

- Artikel iluvislam.com

Masihkah Ada Taubat Bagi Dosa Yang Berulang?




Secara umumnya taubat bermaksud kekesalan dan keinsafan terhadap dosa yang dilakukan, lalu memohon keampunan Allah dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi.

Ini berdasarkan firman Allah:

"Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal" (Surah Ali 'Imran: 135-136).

Maka, asalnya taubat itu di samping keinsafan dan memohon keampunan, ia juga adalah azam untuk tidak mengulanginya.
Keikhlasan atau kesungguhan seseorang yang bertaubat itu hanya diketahui oleh Allah dan dirinya sendiri.

Ketika dia bertaubat, jika ia lahir dari keikhlasan maka perasaan khusyuk, duka, insaf, mengharapkan keampunan Allah akan menyelinap masuk ke dalam setiap pelusuk jiwanya. Airmata keinsafan antara bukti kejujuran insan yang menyesal dan mengharapkan keampunan.

Keinginan untuk berada dalam keampunan itu akan membawanya kepada azam untuk tidak mengulangi dosa. Jika taubat seperti itu berlaku, maka itu adalah taubat yang nasuha atau yang ikhlas. Ia diterima Allah.

Sekalipun kemungkinan selepas itu, atas kelemahan diri dan kecuaian, hamba yang bartaubat tadi tergelincir sekali lagi ke dalam dosa yang sama. Jika, dia ikhlas pada taubatnya yang awal, Allah Maha Mengetahuinya dan insyaAllah akan mengampuni dosanya yang awal, juga dosa kemudian jika dia terus bertaubat lagi.

Taubat yang sebenar bukan satu perkara yang boleh dibuat-buat. Ia bukan satu lakonan. Perasaan keinsafan yang hadir dalam jiwa seorang hamba bukannya perkara yang diada-adakan.

Ia adalah cahaya iman yang lahir dari kekudusan jiwa yang mengakui kebesaran Allah dan takutkan dosa. Apabila perasaan kerohanian itu wujud, maka seorang hamba pun bertaubat dengan penuh insaf dan nekad untuk tidak mengulangi. Siapakah yang mengetahui kewujudan perasaan itu dalam sesuatu jiwa? Sudah pasti hanya Allah dan insan yang bertaubat itu sendiri. Jika keadaan yang disebutkan itu berlaku, insan itu sebenarnya telah benar-benar bertaubat.

Insan atau anak Adam itu ada kelemahannya. Kadang-kala dia terjatuh lagi dalam kesalahan setelah bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Ini –seperti yang dijelaskan- kegelinciran kedua atau ketiga dan seterusnya tidaklah bererti dia tidak ikhlas dalam taubatnya yang sebelum itu. Namun, kelemahannya menyebabkan dia berulang kali jatuh ke dalam dosa, sekalipun telah benar-benar insaf sebelumnya. Maka, jika hal ini berlaku dia hendaklah mengulangi taubat dan jangan berputus asa. Syaitan akan membisikkan perasaan putus asa dalam jiwa, sedangkan Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penerima taubat.

Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:

"Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman:
HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya.
Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku.
Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya.
Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dari hadis di atas menggambarkan, selagi seseorang hamba Allah menyesal dan insaf, sekalipun telah berulang dosa, Allah Yang Maha Pengampun tetap mengampuninya. Namun, hendaklah kita berhati-hati kerana waktu kematian tidak pasti. Orang yang bertaubat dan berjaya mengawal dirinya tentulah lebih baik dari yang gagal mengawal diri. Tidak mustahil ketika dia gagal mengawal diri itu, kematian menjemputnya pergi.

Apapun, pintu taubat dalam Islam ini sentiasa terbuka. Tidak kira besar mana pun dosa, berapa kali ia mengulanginya. Insan jangan berputus asa dari rahmat Allah. Firman Allah:

"Katakanlah: "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah az-Zumar: 53).

Putus asa dari rahmat Allah adalah bisikan syaitan yang enggan melihat hamba-hamba Allah kembali kepada Allah.
Antara cara untuk memboleh kita istiqamah dengan taubat kita ialah memohon pertolongan Allah agar kita tetap atas jalan hidayah. Al-Quran mengajar kita doa:

"Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya" (Surah Ali 'Imran: 8).

Nabi s.a.w pula selalu membanyakkan doa,

"Wahai Yang Membolak-balikkan jantung hati (Allah)! Tetapkan daku atas agamuMu" (Riwayat al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Abi 'Asim- dinilai sahih).

Juga, antara langkah mengekalkan dalam kebaikan adalah dengan mendampingi mereka yang baik dan soleh. Teman yang baik dan mahukan kebaikan akan membawa kita berterusan dalam kebaikan. Begitulah sebaliknya.

Firman Allah:
"dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaanNya semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui jantung hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran". (Surah al-Kahfi: 28).

Hiduplah dalam lingkungan teman-teman yang selalu berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.
Maka, diingatkan jangan kita berputus asa dari rahmat Allah, dan jangan kita jadikan orang lain berputus asa dari rahmat Allah. Insan mempunyai peluang bertaubat sehingga nyawa ke halkumnya.

Sabda Nabi:
"Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya" (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

- Artikel iluvislam.com