Sunday, March 25, 2012

Beramal Dengan Ilmu




Saya mula mencatat hadis-hadis yang saya dengar, belajar dan baca. Diam-diam ia beratus banyaknya. Tentu sekali saya berasa takut dan gentar.

Ilmu tanpa amal sangat-sangat dimurka Allah.

Semalam saya berbicara dengan Waled, guru quran saya di waktu sebelum fajar. "Awak lulusan hadis.... cuba kumpulkan hadis-hadis yang telah awak ketahui, kemudian bertanyalah kepada diri sendiri, berapa banyak yang telah awak amalkan?"
Saya tahu beliau tersentak dengan kata-kata tersebut.

Lalu saya sebut sepintas lalu, "pelajar luluan Madinah selalu menyebut mereka berbangga dengan "nas al-quran dan hadis" dalam melaksanakan amal ibadat. Madinah tidak sama dengan lain-lain pusat pengajian.

"Waled, bila balik ke Somalia nanti, beramallah dengan "nas al-Quran dan hadis" tersebut. Amalan inilah yang akan membezakan kita bukan setakat ilmu yang diperolehi.

Cuba kumpulkan hadis-hadis yang menceritakan amalan "terbaik", "paling dicintai", "paling disukai" dan karanglah kitab bukan setakat menterjemah atau menyusun semula kitab lama.

Jika kita berjumpa dengan hadis yang menyatakan, "ia amalan yang paling dicintai Allah," tidak usah berdolak-dalih lagi. Lakukan, amalkan dan mudah-mudahan kita paling dicintaiNya.

Kemudian, mengajarlah kitab tersebut dengan hati dan perasaan kerana itulah amalan kita".

Allahu Akbar, Subhnallah, MasyaAllah, saya melihat beliau merenung jauh. Mungkin saya tidak layak menyampaikannya!
Dalam konteks yang berbeza, salah satu hadis – di antara beratus – saya terlintas di hati dengan satu hadis yang pernah saya baca menceritakan gambaran betapa pentingnya solat berjemaah. Hadis tersebut bermaksud,
Tidak ada sembahyang yang lebih berat kepada orang munafiqin (untuk dilakukannya secara berjemaah) lebih daripada solat isyak dan subuh. Kalaulah mereka mengetahui (ganjaran pahala) yang ada pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang sekalipun dalam keadaan merangkak.

Hadis ini diriwayat oleh Bukhari dan Muslim.

Malah dalam satu hadis yang lain, Rasulullah telah menyatakan dengan tegas tentang kepentingan berada di masjid. Hadis yang dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim ini bermaksud,

"...sesungguhnya memang aku bercadang untuk menyuruh diiqamahkan sembahyang dan aku suruh seseorang untuk mengimami para jemaah, dan aku pula keluar dengan beberapa orang lelaki yang membawa bersama mereka beberapa ikatan kayu api untuk pergi ke rumah-rumah orang yang tidak hadir kepada solat berjemaah, lalu aku bakarkan rumah-rumah mereka"

Tidak mahu saya jadi seumpama orang-orang munafiqin. Juga, saya tidak mahu Rasululullah datang membakar rumah besar yang indah tersergam. Biarlah saya solat berjemaah di masjid lima waktu. Mudah-mudahan Allah makbulkan.

- Artikel iluvislam.com

Ketaatan Cinta Seorang Isteri





Suasana sunyi dan sepi menyelubungi perkarangan wad ICU Hospital Besar Singapura, dimana Tuan Zaidi ditempatkan. Pak Mat pemandu peribadi dan keempat empat isteri Tuan Zaidi kelihatan termangu, melayani perasaan masing masing.

"Siapa waris kepada Encik Zaidi bin Omar?" Tiba tiba seorang doktor melayu yang baru keluar dari wad ICU bertanya. "Saya". Keempat empat isteri Tuan Zaidi menjawab secara serentak.

"Saya perlukan hanya seorang waris sahaja untuk menandatangani surat kebenaran pembedahan ini." Kata doktor itu lagi.

Masing masing tercengang dan saling berpandangan antara satu sama lain, apabila doktor menerangkan yang Tuan Zaidi perlu dibedah dengan segera kerana dia mengalami barah paru paru yang amat serius sekali. Memandangkan Fatimah, isteri yang pertama jadi dialah yang lebih berhak untuk menandatangani surat kebenaran tersebut.

Penantian itu suatu penyiksaan buat keempat empat isteri Tuan Zaidi dan juga Pak Mat. Fatimah berdoa didalam hatinya,"Ya Allah, Kau selamatkanlah suamiku ini. Kau sembuhkanlah penyakitnya itu. Aku pohon padamu dengan sepenuh hatiku. Kau tolonglah aku Ya Allah." Sehingga pukul 9.00 malam masih belum mendapat apa apa berita dari bilik pembedahan.

Tiba tiba,"Puan puan semua, saya mohon maaf bagi pihak hospital. Kami sudah berusaha semampu kami tapi nampaknya penyakit suami puan sudah terlalu serius. Jadi saya sarankan supaya puan puan semua bawalah dia pulang sahaja."

Mendengar kata kata doktor itu, mereka semuanya menangis hiba....

Selang beberapa bulan kemudian Tuan Zaidi merasakan yang dia akan menemui ajalnya dalam jangkamasa yang terdekat. Dia pun mula memikirkan tentang segala kemewahan hidupnya selama ini dan mula berfikir, "Sekarang aku ada 4 isteri, tapi bila aku mati nanti aku akan tinggal keseorangan. Alangkah sunyinya aku nanti!"

Dia pun memanggil keempat empat isterinya satu persatu. Mula mula dipanggil isterinya yang keempat. "Abang sayangkan Anna melebihi daripada isteri isteri Abang yang yang lain. Abang beri Anna pakaian yang istimewa dan paling berharga, serta berbagai bagai kemewahan yang lain. Sekarang Abang dah terlantar sakit dan akan mati tak lama lagi, hanya satu yang Abang nak Tanya. Adakah Anna akan ikut sama untuk menemani Abang?"

"Tak mungkin. Abang dah mati dan Anna masih lagi hidup. Mana ada orang yang masih hidup ikut masuk dalam kubur sama sama dengan orang yang dah mati." Lancang sekali isteri keempatnya itu menjawab, kemudian terus beredar meninggalkannya tanpa berkata-kata lagi. Jawapan yang di terimanya itu sungguh menyayat hatinya, bagaikan pisau telah menghiris jantung hatinya.

Kemudian dipanggilnya pula isterinya yang ketiga, "Abang dah curahkan segala kasih sayang Abang pada Maria sepanjang hayat Abang. Dan sekarang Abang sedang sakit menunggu maut saja, sudi tak Maria ikut bersama Abang kedalam kubur untuk temankan Abang?"

"Abang ni dah gila agaknya!" jawab isteri ketiganya dengan tegas bercampur marah. "Hidup ini lebih baik di sini. Di dalam dunia ni. Bukannya dalam kubur! Maria akan berkahwin lagi setelah Abang mati." Hancur lebur perasaan Tuan Zaidi bila mendengar jawapan tersebut.
Tuan Zaidi tidak berputus asa lantas terus memanggil isteri keduanya pula seraya berkata, "Abang selalu mengadu hal kepada Ifah dan minta bantuan Ifah bila Abang ada masalah, dan Ifah pula selalu menolong Abang bila Abang dalam kesusahan.

Untuk kali terakhirnya Abang masih perlukan bantuanmu lagi, Ifah." "Apa dia, cakaplah bang?" Ifah bertanya lembut. Dalam hatinya merasa amat belas sekali melihat penderitaan suaminya yang tersayang itu. "Bila Abang dah mati nanti, boleh tak Ifah ikut bersama Abang kedalam kubur. Boleh Ifah temankan Abang. Taklah kesunyian Abang nanti."

Mendengar permintaan suaminya itu yang dianggapnya tak masuk akal, Latifah segera menjawab." "Maafkan Ifah bang, kalau selama ini Ifah tidak pernah kecewakan Abang tapi kali ini tidak mungkin Ifah dapat menolong Abang lagi kerana kita hidup sudah berbeza alam. Abang berada dialam kubur dan Ifah pula masih lagi hidup didunia ini. "Paling jauh pun, Ifah Cuma boleh temankan Abang setakat menghantar Abang ke kubur sahaja". Jawapan isteri keduanya itu, datang seperti halilintar yang membelah langit dan Tuan Zaidi merasa sungguh kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh ketiga tiga isternya itu.

Dalam kesedihan dan kekecewaannya terhadap jawapan yang diberikan oleh ketiga tiga isterinya itu, dengan tiba-tiba satu suara memanggilnya dan berkata, "Imah akan tinggal bersama Abang. Imah akan ikut kemana saja Abang akan pergi untuk menemani Abang selamanya." Fatimah, isterinya yang pertama itu menyatakan kesanggupannya dengan linangan airmata.
Tuan Zaidi mendongak ke atas, dan dilihatnya isteri pertamanya berada di situ. Dia kelihatan amatlah kurus kering, seolah-olah telah lama kebuluran tak makan.

Dengan perasaan yang amat sedih dan kesal sekali, Tuan Zaidi pun berkata, "Kesian Abang tengok Imah. Abang sepatutnya mengambil berat terhadap Imah sewaktu Abang masih sihat dulu! Abang lebih pentingkan isteri isteri Abang yang lain yang langsung tidak berguna lagi ketika Abang sakit ni. Sekarang Abang rasa sudah terlambat Imah.... Sudah terlambat....Abang menyesal! menyesal...Ya Allah!," luah Tuan Zaidi dengan kuat sekali. Penyesalannya sudah tidak berguna lagi saat itu.

Tiba tiba kata kata itu terhenti. Tuan Zaidi sudah kembali kerahmatullah dengan perasaan kecewa. Fatimah melaung dengan sekuat hatinya,"Abang, Abang, maafkan Imah bang, maafkan Imah...Imah tak sempat untuk menjaga Abang di saat saat akhir hidup Abang. Fatimah terus menangis dengan hibanya. Dia begitu kecewa sekali dengan sikap madu madunya yang lain itu. Tidak berperikemanusiaan langsung. Pak Mat yang sejak tadi berdiri disisi Tuan Zaidi turut sama menangis mengenangkan nasib Tuan Zaidi......

Sejak kematian suami mereka ketiga tiga isteri Tuan Zaidi merasa bebas dari sebarang ikatan. Setelah harta peninggalan Arwah Tuan Zaidi dibahagi bahagikan menurut hukum faraid, isterinya yang kedua, Maria pun berkahwin lain. Manakala Suzanna dan Latifah pula kembali kepangkuan keluarga masing masing.

Tinggallah Fatimah seorang diri di rumah banglo dua tingkat itu bertemankan Pak Mat, drivernya. Fatimah selalu sahaja bersedih sehingga makan, pakainya pun sudah tidak terurus lagi.

Akibat terlalu rindu dan sedih mengenangkan arwah suaminya, akhirnya Fatimah pun meninggal dunia. Begitulah kekuaatan cinta akan dapat dilihat pada setiap pengorbanan seseorang, diam bukan berarti lemah tapi kuat ketaatannya pada suami tercinta selagi masih ada hanyatnya.

- Artikel iluvislam.com

Taubat Pencerah Hati




Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali."

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Pengajaran hadis:
i) Seorang mukmin yang sedar dan berjaga-jaga tidak akan melakukan kelalaian dan boleh ditipu dua kali dalam perkara yang sama.

ii) Oleh itu dinasihatkan apabila kita telah terlanjur melakukan dosa, hendaklah kita segera bertaubat (taubat nasuha) untuk tidak melakukan dosa itu lagi kerana seorang mukmin yang sebenar apabila melakukan dosa, dia merasakan seolah-olah berada di bawah bukit, takut bukit itu akan jatuh ke atasnya. Sedangkan orang yang selalu menderhaka (melakukan dosa) melihat bahawa dosa-dosanya hanyalah seperti lalat yang lalu di atas hidungnya.

iii) Di antara syarat-syarat yang menyebabkan taubat itu diterima adalah:
a) Meninggalkan dosa yang dilakukan serta-merta. Contohnya orang yang tidak melakukan sembahyang mestilah kembali menunaikan sembahyang atau orang yang selalu memakan rasuah hendaklah segera meninggalkan amalan keji tersebut.

b) Menyesali dosa yang telah dilakukan di mana setiap kali terkenangkan dosa yang pernah dilakukan itu dia akan menangis kerana takutkan seksaan Allah S.W.T.

c) Bertekad tidak akan mengulangi dosa.

d) Mengembalikan hak kepada yang berhak. Ini adalah kerana seorang yang benar-benar ingin bertaubat, dia begitu mengharapkan agar zaman lampaunya yang dipenuhi dengan dosa dapat dikembalikan dan digantikan dengan kebaikan. Oleh itu jika dia pernah merampas, mencuri atau mengambil hak orang lain tanpa kerelaan dan keizinan tuannya maka hendaklah dikembalikan sama ada ia berbentuk harta benda, wang ringgit dan sebagainya. Namun sekiranya hak itu bukanlah sesuatu yang dapat dikembalikan maka dia mestilah memohon perlepasan (kemaafan) daripada orang tersebut.

e) Dalam tempoh masa- Iaitu sebelum seseorang itu didatangi ajal di mana pada saat itu taubatnya sudah tidak berguna lagi.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ تُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ تَوۡبَةً۬ نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمۡ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَيُدۡخِلَڪُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ يَوۡمَ لَا يُخۡزِى ٱللَّهُ ٱلنَّبِىَّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ ۥ‌ۖ نُورُهُمۡ يَسۡعَىٰ بَيۡنَ أَيۡدِيہِمۡ وَبِأَيۡمَـٰنِہِمۡ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَتۡمِمۡ لَنَا نُورَنَا وَٱغۡفِرۡ لَنَآ‌ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
(Surah At-Tahrim 66: Ayat ke 8)

Friday, March 23, 2012

Ilmu Dan Amal




Dari Abu Musa r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda:"Perumpamaan petunjuk dan ilmu pengetahuan yang Allah mengutuskan aku untuk menyampaikannya seperti hujan lebat jatuh ke bumi. Bumi itu ada yang subur menghisap air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput yang banyak. Ada pula yang keras, tidak menghisap air sehingga tergenang. Maka Allah memberi manfaat dengan ia kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum (binatang ternak dan sebagainya), dan untuk bercucuk tanam. Dan ada pula hujan yang jatuh ke bahagian lain iaitu di atas tanah yang tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan rumput. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama yang mahu memanfaatkan apa yang aku disuruh Allah menyampaikannya, dipelajarinya dan diajarkannya. Dan begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah yang aku diutus untuk menyampaikannya."

(Riwayat Bukhari)

Tarbiyah (pendidikan) yang semestinya dilalui oleh setiap muslim cukup banyak. Berbagai tarbiyah yang telah dilalui oleh para sahabat Rasulullah s.a.w sehingga menjadikan mereka memiliki iman yang teguh, bahkan membentuk mereka menjadi generasi terbaik. Allah berfirman: "Dan sesungguhnya jika mereka melaksanakan nasihat yang diberikan kepada mereka, tentulah hal yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (hati mereka di atas kebenaran)." (An Nisa : 66)

Maka mempelajari ilmu agama adalah termasuk medan jihad yang paling mulia di mana daripada ilmu tersebut seseorang itu dapat berdakwah (menyebarkannya) kepada orang lain yang sekaligus menjadikan imannya semakin kukuh dan bertambah. Dia menyuruh manusia melakukan perkara–perkara kebaikan dan melarang daripada melakukan perkara kejahatan (maksiat) dalam ertikata bahawa ia bukanlah ulama' bisu yang berlepas diri daripada apa yang berlaku di sekelilingnya sepertimana sabda Rasulullah s.a.w: "Di antara manusia, ada orang yang menjadi kunci kebaikan dan penutup kejahatan." (Ibnu Majah)

Orang seperti ini juga sentiasa bergaul dengan para ulama' untuk mendengarkan nasihat mereka. Inilah sifat orang yang belajar agama yang mahu memanfaatkan apa yang dipelajarinya dan dengan itu mereka mendapat pahala di dunia dan balasan yang baik di akhirat.

1. Ilmu mesti disertai dengan amal maka sesiapa yang beramal tahulah dia tentang manfaat ilmu.

2. Ilmu berpanjangan dengan sebab beramal dan jika tidak beramal dengan ilmu maka ia akan bersedih

3. Setiap bekas menjadi sempit dengan sebab isiannya melainkan ilmu maka bekas ilmu menjadi semakin luas walau pun diisi seberapa banyak sekalipun

4. Orang alim yang malas beramal dengan ilmunya umpama jarum yang menjahit pakaian untuk menutup aurat orang lain sedangkan dia sendiri tinggal telanjang

5. Orang alim yang malas beramal dengan ilmunya umpama lilin yang membakar dirinya sendiri untuk menerangi orang lain

6. Orang alim yang malas beramal dengan ilmunya umpama batu asah yang menajamkan pisau sedangkan dia sendiri tidak mampu memotong

7. Orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya umpama sebiji batu besar yang jatuh menutupi mulut sungai di mana ia sendiri tidak meminum air sungai itu sebaliknya hanya menahan air sungai sungai itu daripada mengalir sehingga dapat diminum dan diambil manfaat oleh orang lain bukan untuk manfaat dirinya sendiri

وَلَئِنْ أَتَيْتَ الَّذِينَ أُوْتُواْ الْكِتَابَ بِكُلِّ آيَةٍ مَّا تَبِعُواْ قِبْلَتَكَ وَمَا أَنتَ بِتَابِعٍ قِبْلَتَهُمْ وَمَا بَعْضُهُم بِتَابِعٍ قِبْلَةَ بَعْضٍ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءهُم مِّن بَعْدِ مَا جَاءكَ مِنَ الْعِلْمِ إِنَّكَ إِذَاً لَّمِنَ الظَّالِمِينَ
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 145)