Tuesday, January 3, 2012

Ramalan tarikh kiamat jejas akidah




BOLEH dikatakan seluruh penduduk dunia menjadi enigma dan mimpi ngeri apabila dikatakan dunia kian menuju hari-hari terakhirnya iaitu pada 12 Disember 2012 sebagai tarikh sakaratul dunia, atau lebih tepat kiamat.

Asalnya ia hanya momokan masyarakat barat kononnya mengikut perkiraan mereka, dunia kini hanya menanti detik dan waktu sahaja untuk musnah.

Apa yang dibimbangi barat itu merebak pada kadar yang perlahan namun berjaya menyakinkan orang ramai dalam pelbagai bentuk terutamanya buku, makalah dan lawan sesawang. Kemuncak momokan itu apabila filem blockbuster Hollywood berjudul 2012 yang menjadi hantu besar menakutkan manusia kepastian Kiamat pada 2012. Filem itu sebenarnya diilhamkan daripada kiraan kalendar kuno kaum Maya (Long Count Calendar) yang kononnya pada tarikh 12 Disember tahun hadapan, dunia akan hancur.

Akan berlaku malapetaka alam yang maha dahsyat, yang tidak pernah terfikir dan terbayangkan oleh manusia.

Ini termasuklah gelombang tsunami gergasi yang berpuluh kali ganda lebih dahsyat dan lebih ngeri berbanding melanda Aceh, Indonesia hingga menelan ratusan ribu nyawa tujuh tahun lalu.

Ia ditambah dengan hentaman-hentaman objek asing dari angkasa, terutamanya asteroid yang kekuatannya juga mengalahkan mana-mana ledakan bom nuklear.

Semua itu kononnya berlaku kesan daripada jajaran planet Pluto dan Bumi yang selari dalam pusingan orbit dan sebagainya yang kesemuanya bakal terjadi sekitar Disember 2012.

Walaupun semua ini sekadar ramalan yang didakwa disokong penemuan saintifik dan ilmiah, namun bukan sedikit kesannya kepada manusia.

Natijahnya, ramai daripada kita seolah-olah berada di persimpangan yang cukup memeningkan kepala. Antara mahu percaya atau tidak. Benarkah tahun 2012 akan berakhirlah jangka hayat bumi ini? Yang turut bermakna berakhirnya juga jangka hayat manusia?

Pendakwah terkenal, Dr. Danial Zainal Abidin bagaimanapun meminta umat Islam supaya tidak sedikit pun memberikan ruang di hati dan minda mereka untuk mempercayai ramalan tarikh kiamat yang jangkanya berlaku hanya setahun daripada sekarang.

"Jika percaya kepada semua itu, dibimbangi ia boleh merosakkan akidah mereka sendiri kerana akan mudah terjebak dengan segala macam unsur syirik dan khurafat.

"Semua itu hanya sekadar ramalan yang lazimnya tidak ada asas dan bukti apa pun untuk kita percaya.

"Tidak sahaja dalam soal ramalan kiamat. Malah dalam apa juga ramalan-ramalan masa depan yang kononnya akan berlaku sebarang tragedi dan peristiwa-peristiwa besar yang di luar dugaan manusia untuk berlaku," katanya.

Dalam Islam kata Dr. Danial, ditekankan dalil dan nas pembuktian dalam apa juga perkara termasuk perkara-perkara ghaib terutamanya hari kiamat.

Dua teks sama ada dari dalil al-Quran dan hadis Rasulullah sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam daripada pelbagai ramalan mengenai hari kiamat.

Ayat berikut misalnya adalah satu dalil yang paling kuat dalam memperkatakan soal kedatangan hari kiamat.

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (al-A'raaf: 187).

Tarikh kiamat rahsia Allah

BOLEH dikatakan semua agama di dunia mempercayai akan hari khiamat. Agama Kristian, Yahudi atau lain-lain agama di dunia ini juga dikatakan kononnya lebih 'tahu' akan tarikh berlakunya kiamat.

"Kepercayaan mengenai hari kiamat terutamanya menurut agama Kristian dan Yahudi memang ada asasnya kerana nabi-nabi mereka diterima dan diiktiraf dalam Islam.

"Tetapi pada asasnya kepercayaan hari kiamat mereka adalah sebagaimana kepercayaan dalam Islam itu sendiri.

"Iaitu tidak ada tarikh tertentu diberikan sebagaimana yang ditetapkan dalam Islam.

"Malah mereka percaya akan turunnya Al Masih, Nabi Isa, kerosakan yang dilakukan oleh Dajjal, kaum Yakjud dan Makjud dan sebagainya.

"Tetapi jika mereka mempergunakan agama bagi menyatakan tarikh sebenar kiamat, itu sebenarnya berlaku kesesatan dalam agama mereka sendiri.

"Begitu juga kepada umat Islam yang meramalkan tarikh kiamat atas nama Islam, maka itu dikira sesat dalam agama kita," kata Dr. Danial.

Tambah beliau, atas nama agama, manusia akan mencipta segala macam ramalan yang bukan-bukan yang tidak masuk akal.

Semua itu sebenarnya jika tidak berhati-hati merupakan permainan syaitan dan iblis.

Golongan yang membuat ramalan akan hari khiamat itu sebenarnya ada kepentingan tertentu yang bukan sahaja membawa faedah kepada diri mereka tetapi memberikan kemenangan kepada kuasa-kuasa jahat iblis dan syaitan yang suka menyesatkan manusia.

Sehingga berlaku penyembahan, sanggup melakukan korban supaya terselamat jika berlaku kiamat dan sanggup membunuh diri bagi mengelakkan azab ditimpa kiamat.

Semua itu, kata Dr. Danial adalah kesesatan kesan mempercayai kepada segala macam ramalan tersebut.

Mungkin tarikh kiamat yang kononnya berlaku hujung tahun hadapan sedikit sebanyak akan memberi iktibar dan satu peringatan keras yang membuatkan manusia supaya bersedia menghadapinya.

Ini termasuklah melakukan amal kebaikan, bertaubat, tidak melakukan maksiat, kuat beribadat dan sebagainya lagi.

Namun seperti yang ditegaskan oleh Dr. Danial, bagaimana jika selepas Disember 2012 itu, tidak berlaku kiamat? Bagaimana keadaan manusia yang telah melakukan pelbagai persediaan untuk menghadapi kiamat itu?

"Manusia pastinya akan gembira, mencampakkan segala amalan kebaikan untuk kembali berfoya-foya, tidak ingat Tuhan kerana kiamat tidak jadi.

"Seperti ada sambutan meriah apabila kiamat tidak berlaku," tegas beliau.

Sedangkan kata Dr. Danial, agama Islam telah lengkap dalam memperkatakan hari kiamat.

Hikmah tarikh kiamat dirahsiakan supaya manusia sentiasa bersedia secara jujur, ikhlas kerana percaya hidup di dunia hanya sementara kerana yang kekal adalah di akhirat.

"Justeru kehadiran 2012 esok lusa ini hendaklah 'disambut' dengan penuh keinsafan terutamanya semakin dekatnya kita kepada tanah perkuburan, persemadian abadi yang memutuskan segala amalan kita di dunia kecuali bekalan yang kita bawa akhirat kelak.

"Sama ada tahun hijri mahupun masihi hendaklah disambut dengan ibadah bukannya dengan keseronokan dan hiburan yang melampau kerana umur semakin meningkat dan kematian akan menjemput kita tanpa mengira masa dan keadaan.

"Bertambahnya tahun untuk kita hidup, bermakna Allah memberikan 'bonus', kelebihan masa dan waktu untuk kita menambahkan amalan kebaikan dan kebajikan. Malangnya sekalipun ada peringatan kononnya Kiamat tetapi saya yakin yang bakal di sambut sempena tahun baru 2012 adalah tetap mengikut nafsu," katanya.

Manusia harus menyedari kini bahawa masa kian dan semakin pantas berlalu.

Setahun 2011 yang berlalu begitu cepat sehinggakan manusia tidak sempat menyempurnakan pelbagai azam dan cita-cita.

"Jadi adakah masanya lagi untuk membuang-buang masa untuk perkara yang tidak berfaedah?

"Sekalipun kita merasakan kita begitu sibuk sehingga menyebabkan masa dirasakan begitu pantas berlalu, namun kebanyakan kita sibuk dengan aktiviti yang tujuannya adalah salah kerana kita mempunyai misi hidup yang salah," katanya.

Sedangkan manusia hendaklah istiqamah dalam perkara kebaikan dan konsisten dalam ibadah dengan misi hidup adalah mencari kemuliaan dan ketaqwaan di sisi Allah.

Bukan meletakkan sasaran kemuliaan di sisi manusia dengan mengejar pangkat, harta dan sebagainya.

Benarlah manusia itu kerugian dari aspek masa.

Sehinggalah Allah bersumpah sebagaimana dalam surah al-Asr: 1-3: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Kiamat memang menunggu kita

PENULIS buku terkenal, Muhammad Alexander Wisnu Sasongko yang begitu mendalami persoalan hari kiamat dalam sebuah buku karya terbaru beliau iaitu Armagedon 2012 - Bencana Akhir Zaman yang setebal 558 muka turut meminta umat Islam tidak tersesat dengan dakwaan 2012 merupakan tahun yang mengakhiri usia dunia ini.

Beliau mengulas bahawa ramalan bencana besar yang akan berlaku pada 2012 dan apa juga bentuk ramalan yang seumpama itu adalah bahaya kepada orang yang tidak memiliki iman yang kuat kerana dikhuatiri mereka akan mempercayainya.

Di samping itu, ia juga sangat bertentangan dengan akidah Muslim, kata penulis buku-buku bestseller seperti Yakjuj dan Makjud: Bencana Di Sebalik Gunung (2010) dan Alexander adalah Zulqarnain (2009) yang meraih jumlah cetakan melebihi 20,000 naskhah di negara ini

Walaupun kita tidak pernah menemui para peramal bagi mendapatkan ramalan-ramalan mengenai bila akan berlakunya kiamat itu, tetapi jika kita sekadar mempercayai melalui apa yang kita dengar, baca dan lihat juga dikhuatiri boleh merosakkan iman dan akidah.

Sedangkan Islam telah menegaskan bahawa hukum mempercayai ramalan terutama dari tukang-tukang ramal adalah haram. Umat Islam sama sekali ditegah dari mempercayai sebarang ramalan terutama yang tidak bersandarkan al-Quran dan hadis.

"Sesiapa yang menemui paranormal, dukun ataupun ahli nujum (ahli astrologi) dan mempercayai apa yang mereka katakan, maka kafir atas apa yang yang diturunkan kepada Muhammad," (riwayat Tirmidzi dan Abu Daud)

Menurut Muhammad Alexander, melalui teks al-Quran dan hadis telah membuktikan tarikh hari kiamat adalah rahsia Allah.

"Hari kiamat termasuk dalam kategori perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah. Manusia termasuk Nabi Muhammad dan Malaikat Jibrail pun tidak mengetahui akan tarikh berlakunya kiamat itu," katanya.

Tetapi Allah memberitahu tanda-tanda kiamat. Tanda-tanda besar sebagai memberitahu Kiamat benar-benar sudah hampir, seperti:

1) Kemunculan atau keluarnya asap putih yang menyelubungi seluruh atmosfera bumi,

2) Kemunculan Dajjal, bermata satu yang bertujuan untuk menyesatkan manusia termasuk dengan mengaku bahawa dirinya Allah.

3) Turunnya Nabi Isa AS bagi menyelamatkan manusia dari fitnah dajjal tersebut.

4) Munculnya juga bangsa atau kaum Yakjud dan Makjud

5) Dan apabila matahari tidak lagi terbit dari sebelah timur tetapi mula terbit dari sebelah barat.

"Sebenarnya kiamat versi Islam juga memang ada menceritakan tentang gempa bumi yang besar sebagaimana gambaran kejadian yang menjadi ramalan para peramal barat dan lain-lain individu mengenai berlakunya kiamat tersebut.

"Ini termasuklah juga bumi yang bergegar, gunung ganang yang berterbangan dan hancur menjadi debu dan tsunami besar," katanya.

Ini sebagaimana yang disebut dalam al-Quran: Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya dan gunung ganang dihancur luluhkan sehancur-hancurnya maka jadilah ia debu yang berterbangan. (al-Waqiah: 4-6)

Dan apabila lautan pecah bercampur baur. (al-Infitar: 3)

Dalam Islam, kiamat kubra (kiamat besar) berakhir dengan kematian seluruh umat manusia.

"Jadi bagaimana kita boleh percaya bahawa kiamat berlaku pada 2012 sebagaimana yang diramalkan dan difilemkan jika masih ada manusia yang terselamat apabila menaiki kapal-kapa laut yang dibina dengan begitu canggih dan tahan bencana," kata Muhammad Alexander.

Dengan buku Armagedon 2012 itu, Muhammad Alexander tidak sahaja menidakkan ramalan kiamat yang kononnya akan berlaku pada 2012 tetapi kajian beliau mengenai fasa demi fasa berlakunya kiamat itu mengikut al-Quran, hadis dan bukti dari aspek sains moden yang pada akhirnya pembaca mampu menelah sendiri akan bila dikatakan kiamat itu akan berlaku.

Sementara seorang lagi penulis Islam terkenal, Adnan Oktar atau lebih dikenali sebagai Harun Yahya dalam bukunya Hari Akhir dan Imam Mahadi menjelaskan pelbagai tanda kiamat di dalam al-Quran.

Tambahan penjelasan mengenai hari akhirat dalam kitab-kitab hadis memungkinkan kita sampai pada sebuah kesimpulan yang penting, iaitu terdapat dua tahap atau fasa berlakunya kiamat.

Tahap pertama adalah tempoh di mana seluruh manusia mengalami pelbagai masalah material dan spiritual (kerohanian dan jiwa).

Setelah itu bumi akan memasuki tempoh selamat yang disebut sebagai masa keemasan yang ditandakan dengan kehidupan yang penuh rahmat dan berkat serta tegaknya agama Islam yang benar.

Menjelang akhir masa keemasan, akan ada keruntuhan sosial dalam masa waktu yang singkat. Di saat itulah manusia akan menunggu berlakunya kiamat dalam erti kata yang sebenar.

Ini sebagaimana yang disebut dalam al-Quran, yang bermaksud: Maka tidaklah yang mereka tunggu-tunggu melainkan Hari Kiamat yang datangnya kepada mereka dengan tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedah bagi mereka kesedaran mereka itu apabila Hari Kiamat sudah datang? (Muhammad: 18)

Justeru, Hari Kiamat sememangnya sedang menunggu kita, sedangkan manusia pada hakikatnya mengetahui 'bila' akan berlakunya kiamat itu dan jika berlaku pada hari ini sekalipun, umat Islam sememangnya telah bersedia untuk menghadapinya.

Ini kerana kita telah diberikan panduan dan tanda-tanda berlakunya kiamat.

Jadi mengapa kita harus percaya pada ramalan-ramalan dan khayalan manusia yang ada kepentingan dan perjanjian dengan syaitan itu?

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

Menghadapi cabaran 2012

BEBERAPA hari lagi kita semua akan menyambut tahun baru masehi 2012. Masa terus berlalu dengan pantas dan jika kita tidak bersedia atau tidak membuat tindakan bijak kita akan terus tertinggal malahan cabaran baru kian menghimpit kita.

Menyedari perkara itu, Islam telah menyarankan agar umatnya sentiasa peka dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan bagi memastikan kehidupan umat dan Islam terus terjamin.

Pada hari ini pihak kepimpinan negara telah menyarankan agar kita melakukan transformasi bagi memastikan kejayaan dapat dicapai dalam aspek ekonomi, politik dan sosial dan juga memperbaiki keadaan negara dan rakyat seluruh agar lebih baik dan sempurna.

Dalam Islam transformasi disebut sebagai islah. Ia bermaksud perubahan ke arah kehidupan atau keadaan yang lebih baik. Proses islah atau transformasi pada asasnya terdapat dua aspek yang perlu dilihat iaitu al-islah al-insan (transformasi kehidupan manusia) dan al-islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia).

Dalam transformasi kehidupan insan, Islam telah menetapkan manusia sebagai alat yang dapat mengubah atau mencipta sesuatu perubahan. Oleh yang demikian segala bentuk perubahan atau pembaikan adalah bertujuan membina kualiti kemanusiaan.

Kitab suci al-Quran yang mengandungi pelbagai aspek pengajaran yang menyentuh aspek akidah, hukum-hakam, akhlak, sirah dan juga sains dan teknologi. Kesemua aspek tersebut disebut oleh Allah SWT sebagai satu petunjuk kepada manusia untuk mencapai perubahan atau membina peradaban kemanusiaan.

Ini jelas seperti firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (ar-Ra'd: 11)

Perubahan diri (taghir al-anfus) atau disebut sebagai self reform dapat dilakukan dengan wujudnya kesedaran dalam diri seseorang untuk melakukan perubahan.

Ini disebut sebagai self introspection atau muhasabah diri dan selanjutnya disusuli dengan tindakan untuk membangun semangat ke arah kebaikan dan juga pembaikan diri.

Muhasabah diri merupakan suatu tuntutan yang penting pada hari ini kerana kehidupan yang kian mencabar dari pelbagai aspek.

Amat sedih kerana ramai di kalangan umat Islam pada hari ini hanya sibuk melemparkan pelbagai tuduhan dan sering mencari kesalahan orang lain sehingga tidak mampu dan gagal menemukan faktor-faktor kelemahan diri sendiri.

Oleh yang demikian, kita perlu mengingati apa yang telah disebut oleh Khalifah Umar al-Khattab yang telah mengingatkan: "hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung."

Walaupun ramai yang mentafsirkan peringatan tersebut merujuk kepada persiapan kematian, tetapi kepentingan untuk bermuhasabah dalam pelbagai aspek kehidupan perlu kita lihat dalam konteks yang lebih luas.

Untuk itu kita perlu bermuhasabah dan tindakan tersebut perlu dimulakan oleh diri kita sendiri seperti mana saranan Rasulullah SAW yang menyebut ibda' binafsika (mulakan daripada diri kamu sendiri).

Perlu kita sedari bahawa umat Islam tidak akan terjatuh atau terperosok ke lembah kehinaan jika seluruh umat Islam mengamalkan dan memegang teguh ajaran Islam. Pelbagai cabaran dan kehinaan akan menimpa umat jika umat Islam gagal untuk mengambil ajaran Allah sebagai petunjuk dan panduan kehidupan.

Berdasarkan keadaan tersebut, beberapa tindakan memperbaiki diri dan membetulkan keadaan umat perlu dilakukan. Keadaan ini perlu dimulakan dengan membetulkan dari aspek visi keislaman yang jelas, akidah yang murni, ibadah yang kukuh dan disertai dengan ilmu serta sifat ikhlas yang mantap.

Jika ini dapat dilakukan ia akan melahirkan akhlak yang baik dan semangat penyebaran syiar Islam yang menyeluruh.

Proses yang disebutkan di atas akan memacu setiap insan Muslim ke arah yang lebih baik dan melakukan perubahan diri. Perlu kita sedari bahawa seorang Muslim yang baik, tidak akan pernah dalam dirinya bersifat statik dalam melakukan perubahan dalam diri.

Pada asasnya kehidupan hari ini perlu lebih baik daripada semalam dan kehidupan hari esok perlu lebih baik daripada hari ini. Jika berlaku keadaan yang statik atau jumud, ini bererti berlaku kemunduran dan jika tidak dibaiki, keadaan akan menjadi bertambah buruk dan akan menuju kehancuran atau kebinasaan.

Perkara ini perlu disedarkan kepada seluruh umat dan kesedaran fahaman wasatiah atau ummatan wasatan perlu digerakkan bagi mencapai ciri-ciri umat yang terbaik (khaira ummah).

Jika kesedaran ini dapat digerakkan dan dapat dicapai sudah pasti umat Islam akan dapat menjadi pemimpin dunia bukan sahaja dalam penguasaan politik tetapi juga dalam segala aspek kehidupan manusia seluruhnya kerana umat Islam pernah menjadi pemimpin dunia dalam bidang sains, teknologi, ekonomi, politik dan juga peradaban secara umumnya.

Al-Islah al-manhaj

Untuk al-islah al-manhaj iaitu transformasi sistem kehidupan manusia berdasarkan fikrah manusia yang merupakan makhluk sosial yang perlu kepada saling berkomunikasi dan berinteraksi di antara satu sama lain.

Dalam melakukan hubungan sosial atau interaksi, manusia memerlukan peraturan atau sistem yang dapat mengatur kehidupan dengan lebih baik dan sempurna.

Sehubungan itu, Islam telah mengatur atau membentuk sistem kehidupan manusia secara jamaie yang mampu membentuk sistem hidup manusia yang sempurna.

Ini semua terkandung dalam peraturan dan hukum-hakam yang terdapat dalam ibadah, munakahat, muamalat dan juga jenayah. Selain itu, Islam juga mementingkan aspek kepimpinan kerana manusia bukan makhluk haiwan yang hidup tanpa ikatan peraturan dan norma-norma tertentu.

Untuk itu, dalam hidup yang berperaturan dan bersistem, memerlukan kepimpinan yang mampu mengurus manusia ke arah yang lebih baik.

Ia tidak sekadar menumpukan kepada ibadah-ibadah khusus yang berbentuk individu semata-mata tetapi ia perlu terus dimantapkan dengan pengukuhan pelbagai aspek kehidupan dan peraturan Islam yang merangkumi aspek ibadah khusus dan ibadah umum yang melibatkan kepentingan seluruh umat.

Sirah nabawi juga telah mencatatkan terdapat dua orang nabi yang telah membawa syariat Islam dan diikuti oleh ramai umat manusia iaitu Nabi Musa a.s dan Nabi Muhammad SAW.

Kedua-dua pemimpin manusia utusan Allah itu tidak sahaja mengajak manusia melakukan ibadah secara khusus seperti puasa, solat, zakat dan zikir semata-mata tetapi kedua-dua utusan Allah itu mengajak manusia melakukan ketaatan Allah berlandaskan sistem Islam yang dibawa oleh mereka.

Untuk itu, dalam usaha membina sistem kehidupan yang bertujuan untuk membentuk manusia ke arah yang lebih sempurna dan berjaya, seluruh umat Islam perlu melihat ibadah serta aspek kehidupan bermasyarakat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam mampu membentuk masyarakat melakukan perubahan secara menyeluruh dalam kehidupan bermasyarakat dan bukan tidak mempercayainya atau meminggirkannya.

Sesungguhnya transformasi atau islah dalam konteks Islam yang berteraskan dua aspek yang disebutkan iaitu al-Islah al-insan (transformasi kehidupan insan) dan al-Islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia) adalah saling berkait. Kegagalan pada satu aspek akan memberi kesan kegagalan kepada aspek yang satu lagi.

Ia umpama benih dan juga tanah yang saling berkaitan dalam bidang pertanian. Manusia seumpama benih yang perlu ditanam di tanah yang sesuai dan sistem (manhaj) merupakan tanah yang subur perlu bagi pertumbuhan benih yang baik.

Benih-benih yang baik tidak akan tumbuh pada tanah yang gersang atau kering. Jika sebaliknya, walaupun tanahnya subur dan baik tetapi benihnya tidak baik atau rosak, kita tidak boleh mengharapkan pokok akan tumbuh dengan subur dan akan berbuah dengan lebat dan segar.

Justeru, dalam menghadapi tahun baru 2012 kita perlu membina semangat baru dan berazam menjadi individu yang bersedia melakukan perubahan yang lebih baik dan berkesan serta menjadi insan yang berguna.

Ia seperti mana peringatan Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24-25.

Oleh DR. BURHANUDDIN ABDUL JALAL

Bercampur niat dalam berzakat

ADAKAH salah andai saya meniatkan zakat pada akhir tahun ini untuk mendapatkan faedah dunia yang lain. Misalnya memperolehi rebat ke atas cukai pendapatan, mendapat hadiah atau cenderamata pembayaran daripada pihak institusi zakat dan sebagainya?

JAWAPAN:

Terima kasih kerana mengemukakan persoalan di atas. Tidak dapat dinafikan bahawa, sememangnya pada setiap tahun ada dua bulan yang menjadi 'bulan puncak' dalam kutipan zakat, iaitu pada bulan Ramadan dan juga bulan Disember.

Bulan Ramadan menjadi pilihan para pembayar zakat, justeru ramai orang ingin merebut pelbagai kelebihan dan ganjaran pahala yang telah disediakan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang bersedekah dan berzakat pada bulan Ramadan.

Bulan Disember pula menjadi rebutan pembayar zakat kerana ia adalah waktu yang sesuai bagi menunaikan zakat dan memperolehi rebat atau pelarasan ke atas cukai pendapatan seseorang. Sebabnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hanya menerima pembayaran zakat yang dilakukan pada tahun semasa untuk rebat cukai pendapatan pada tahun berkenaan.

Seandainya seseorang terlewat menunaikan zakatnya sehingga masuk tahun hadapan (katakanlah 1 Januari 2012), maka ia sudah tidak boleh direbat lagi ke atas cukai pendapatan bagi tahun 2011.

Petikan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3): "Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib (zakat) dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu".

Dalam hal niat pula, sudah semestinya seseorang itu mestilah menjaga niat asalnya dalam berzakat hanya semata-mata sebagai memenuhi ibadah wajib lagi fardu kepada Allah SWT.

Apabila seseorang melakukan ibadah tetapi demi maksud atau atas niat yang lain daripada Allah SWT, hakikatnya dia telah meletakkan sesuatu yang lain lebih besar daripada Allah SWT. Sedangkan, perbuatan itu adalah ibadah. Hal ini pastilah menyalahi perintah agama.

Di dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari daripada amirul mukminin Saiyidina Umar al-Khattab r.a, Nabi Muhammad SAW pernah menegaskan: Sesungguhnya setiap amal perbuatan tergantung pada niat; dan setiap orang akan mendapat sesuai dengan apa yang dia niatkan.

Oleh itu, seandainya seseorang membayar zakat demi mendapatkan rebat cukainya semata-mata, maka hanya itu sahajalah dia akan memperolehinya. Sedangkan, sepatutnya dia juga turut memperolehi pahala yang bakal dibalas syurga di akhirat kelak. Inilah mafhum kepada hadis di atas.

Namun begitu, fuqaha memang ada membicarakan perihal niat dalam beramal. Di sisi Imam al-Ghazali menyatakan: "Jika seseorang melakukan amalan dan jika niat atau tujuan keduniaannya lebih menonjol, maka rosaklah pahala amal itu. Jika niatnya jelas untuk ibadah (ikhlas), maka amal itu diterima. Jika bercampur niat keduniaan dan niat ibadah dalam sesuatu amal, maka ia tidak memperolehi pahala".

Pada sisi Imam Abu Ja'afar at-Tobari pula: "Ia dilihat kepada permulaan ibadahnya atau amalnya. Jika pada permulaan amal ia niatkan ikhlas kerana Allah, maka amal itu tidak dirosakkan dengan percampuran niat selepas itu kerana niat dilihat pada permulaannya". (Fath al-Bari, cetakan al-Ahram Mesir, tahqiq Syeikh Sayyid Saqr Jilid 2/16)

Oleh itu, kita dapat menyimpulkan bahawa, sesuatu amalan itu hendaklah dilakukan dengan niat hanya semata-mata kepada Allah, khususnya pada awal perbuatannya.

Rebat cukai

Kemudian, jika ada niat sampingan yang lain - misalnya mendapat hadiah atau rebat cukai - maka ia hendaklah dikemudiankan. Berdasarkan pandangan ulama, ia tidak akan merosakkan amalan tersebut, melainkan jika seseorang itu lebih mengutamakan niat sampingan berbanding niat ibadah kepada Allah SWT.

Hal ini disamakan seperti seseorang yang mengamalkan puasa sunat dan dalam masa yang sama, mereka berniat atau berhajat mendapatkan kesihatan yang baik dan dapat menurunkan berat badannya.

Maka, selagi mana orang berkenaan mendahulukan Allah SWT, insya-Allah dia akan mendapat pahala di samping beroleh faedah dunia, yakni kesihatan yang baik dan badan yang ramping.

Walau bagaimanapun, hendaklah difahami bahawa di sisi agama Islam, zakat adalah amalan yang dikategorikan sebagai hukum taklifi. Ia adalah fardu dan wajib.

Amalan fardu lagi wajib ini, pengertiannya menurut syariah, apabila menunaikannya mendapat pahala dan jika meninggalkannya mendapat dosa.

Maka, sesiapa sahaja yang menunaikan zakat, sama ada atas niat mahu mendapatkan rebat cukai atau apa-apa sahaja, hakikatnya dia masih tertakluk kepada hukum asal zakat - yakni berpahala mengerjakannya dan berdosa meninggalkannya.

Namun, sama ada benar-benar mendapat pahala atau tidak, ia adalah urusan Allah SWT. Apa yang penting, jika ibadah zakat ditunaikan berbetulan dengan syarat dan rukunnya, ia tetap sah dan mudah-mudahan ia berpahala.

Oleh itu, adalah lebih molek sekiranya kita mengikhlaskan niatnya semata-mata kerana Allah. Sama ada terpaksa atau rela, ia adalah kewajipan kita. Maka, menunaikannya dengan niat sepenuh hati mentaati hukum dan perintah Allah SWT adalah lebih baik dan dipandang terpuji lagi mulia di sisi Allah SWT.

Seorang fuqaha pernah mengungkapkan: "Tiada siapa yang boleh memberitahuku sama ada semua amalan itu diterima pada timbangan amalanku, dan adakah ia diterima di sisi Tuhanku? Allah telah berfirman (yang bermaksud): Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa. (al-Maidah: 27)

Kesimpulannya, utamakan berzakat kerana mentaati perintah Allah, kemudian rebutlah segala manfaat sampingan yang ditawarkan.

Insya-Allah, kita akan beroleh pahala dan amalan itu sah di sisi Allah SWT. Wallahu a'lam.

Syarat bebas daripada belenggu syahwat

ALLAH SWT menyebut bahawa Dia yang memiliki tangga dan darjat yang tinggi serta nikmat-nikmat yang melimpah ruah yang dikurniakan kepada sekalian hamba-Nya yang terpilih.

Kemudian Allah SWT menambah lagi dengan menyebut syarat untuk sampai kepada martabat yang tinggi itu dengan menjauhkan daripada kegelapan yang dapat memasukkan jiwa ke dalam neraka yang menyala-nyala sehingga dapat mengelupaskan kulit kepala.

Seterusnya, Allah SWT menjelaskan 10 syarat yang mampu membebaskan manusia daripada belenggu yang mengikat nafsu syahwat, antaranya:

*Sembahyang.

*Sentiasa mengerjakan sembahyang secara istiqamah pada waktu yang ditetapkan.

*Mendirikan sembahyang dengan cara yang paling sempurna dengan menghadirkan hati, khusyuk kepada Allah SWT di samping menjaga sunah-sunah serta peraturan sembahyang.

*Membenarkan kedatangan hari kiamat dengan melahirkan di dalam dirinya sama ada dalam bentuk iktikad atau amal perbuatan.

*Mengeluarkan sedekah dengan harta benda mereka kepada golongan fakir dan orang yang memerlukan.

*Menepati janji.

*Menunaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya.

*Memelihara faraj (kemaluan) mereka daripada melakukan perbuatan yang haram.

*Menyempurnakan kesaksian dengan menepati syarat-syaratnya.

*Takut terhadap azab Allah SWT.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah. Dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir. (al-Maarij: 19-21)

Muqatil berkata: Ayat ini ditujukan kepada Umayyah bin Khalaf al-Jumahi. Adapun perkataan halu' terdapat tujuh pandangan:

*Seperti yang disifatkan dalam ayat-ayat selepas ini. Inilah riwayat Atiyah daripada Ibn Abbas dan pendapat Abu Ubaidah dan al-Zajjaj.

*Orang yang loba dan tamak dengan harta yang tidak halal baginya seperti riwayat Abu Soleh daripada Ibn Abbas.

*Orang yang bakhil. Inilah pendapat al-Hasan dan al-Dahak.

*Orang yang amat kedekut. Inilah pendapat Ibn Jubair.

*Orang yang jahat. Inilah pendapat Mujahid.

*Orang yang kasar lagi ganas. Inilah pendapat Ikrimah, Qatadah, Muqatil dan al-Farra'.

*Mereka yang keras lagi samseng. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.

Syed Qutub berkata: Tiga ayat yang pendek ini memberi gambaran yang jelas bahawa manusia amat gelisah dan cemas apabila ditimpa kesusahan seolah-olah ia adalah untuk selamanya.

Ia menggambarkan manusia yang kedekut dan bakhil apabila mendapat kekayaan dan kesenangan. Dia menganggap hasil usahanya sendiri dan mengabaikan orang sekeliling tanpa berbakti kepada Allah dengan kekayaan yang dianugerahkan.

Apabila kekayaannya ditarik dan dirampas, maka mereka kegelisahan dan cemas tanpa pedoman. Itulah gambaran manusia yang sungguh malang dan menderita apabila hatinya kosong dari iman.

Firman Allah SWT: Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, yang mereka itu tetap mengerjakan solatnya. (al-Maarij: 21-22)

Ibn Kathir berkata: Manusia disifatkan dengan sifat yang keji kecuali Allah memeliharanya memberi taufik dan hidayah ke arah kebaikan. Begitu juga mereka menjaga waktu solat dan segala yang wajib. Inilah juga pendapat Ibn Mas'ud, Masruq dan Ibrahim al-Nakaie.

Al-Maghari berkata: Manusia yang memiliki sifat yang tercela layak menerima kemurkaan Allah kecuali orang yang dipelihara dan ditunjukkan Allah SWT mengerjakan amalan kebaikan dengan dipermudahkan kepada mereka bagaimana melakukan sebab kebaikan itu.

Mereka itu terdiri daripada orang yang memelihara sembahyang pada waktunya serta tidak disibukkan dengan urusan lain. Ayat di atas menjadi bukti utama agar sentiasa mengerjakan amal ibadah kepada-Nya.

Firman Allah SWT: Dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu. Bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta). (al-Maarij: 24-25)

Ibn Kathir berkata: Sebahagian harta mereka diperuntukkan untuk mereka yang memerlukannya.

Syed Qutub berkata: Yang dimaksudkan dengan peruntukan itu secara khususnya adalah zakat dan sedekah yang tertentu kadarnya. Peruntukan ini merupakan suatu hak dan kewajipan dalam harta kekayaan orang mukmin.

Mungkin tujuannya lebih luas dan besar iaitu mereka memperuntukkan sebahagian tertentu dari harta kekayaan mereka dengan kesedaran sebagai hak orang yang meminta bantuan dan orang yang susah.

Dengan ini mereka dapat membebaskan diri mereka dari sifat kikir dan tamak di samping membuat orang yang kaya membantu orang yang miskin tanpa bersoal jawab dan sebagainya.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI