Saturday, December 31, 2011

Sungguh, Kamu Pencabar Terhebat. Syabas!





Apabila berdakwah, ada yang begitu keras hatinya untuk menerima. Ada yang lembut hati cuma susah mahu melakukan perubahan.
Yang keras punya seribu alasan. Yang lembut masih boleh dirunding. Terutama berkaitan masalah aurat. Pelbagai alasan diberikan oleh mereka. Kaum Hawa.

Mereka yang mengajak kita ke arah kebaikan adalah mereka yang sayangkan kita. Jadi, cuba dengar apa yang mereka mahu bicarakan.
Kerana mungkin kita berada pada lorong yang salah. Seharusnya bersyukur ada yang mahu menegur.

Ada yang memerhati kelakuan kita yang salah dan terpanggil untuk memperbetul. Kita yang ditegur seharusnya duduk dan berfikir. Bukan menjunjung ego setinggi langit. Kerana mereka menegur kita sebagai peringatan. Kita hanya seorang hamba. Jangan cuba berani mencabar Pencipta.

Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat.

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Baik, pada mulanya bersangka baik. Mungkin kamu tidak tahu. Dalil aku kemukakan. Lihatlah surah An-Nur ayat 31.

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutup kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya)......"

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Apakah kamu mahu berdalih lagi? Mari kuingatkan kembali apa yang dikatakan Rasulullah S.A.W.

"Sesungguhnya, sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya."

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Kamu mengatakan, belum sampai serunya. Mungkinkah maksudmu, itu seruan Malaikat Izrail? Dan waktu itu, apa yang kamu mahu lakukan? Senyum mungkin.

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Kamu mengatakan memakai tudung perlulah ikhlas dari hati. Tidakkah kamu tahu, ikhlas itu hadir setelah perbuatan? Andai tiada usaha ke arah kebaikan, mana mungkin hatimu cuba untuk ikhlas sepenuhnya?

Dan lagi, andai menunggu untuk ikhlas, sebenarnya tiada sesiapa pun yang mengetahui dirinya benar ikhlas atau tidak. Hanya Allah S.W.T Yang Maha Mengetahui. Oh, adakah itu bermakna, kamu selamanya tidak akan pernah menutup aurat dengan sempurna?

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Tetapi kamu memilih untuk mendedahkan mahkotamu. Lebih lagi, sungguh berani meng'upload' foto yang tidak perlu di'zoom in'. Sungguh berani memaparkan foto yang bisa meruntuhkan iman dan jiwa si pria, malahan dalam keadaan menutup aurat dengan sempurna pada mata kasar. Yang bukan lagi khusus buat takdirmu. Suamimu.

Wahai hamba,
Allah menyuruhmu untuk menutup aurat. Katamu yang menutup aurat itu tidak semestinya baik. Dan yang mendedahkan aurat itu tidak semestinya jahat. Oh, mungkin maksudmu melanggar peraturan dan suruhan Allah itu, baik? Begitu mungkin.

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Kamu mengatakan 'panas'! Jika di dunia sudah kamu mengatakan panas dan liat mentaati suruhan-Nya, apakah kamu mengira kamu bisa terlepas di akhirat kelak?

Katamu lagi, ibu bapamu tidak pernah melarang, mengapa aku pula yang sibuk menegur? Ingin sekali aku bertanya, siapakah yang menciptamu?

Di tanah siapakah dirimu berdiri?

Bukankah Allah S.W.T yang menciptakanmu?

Bukankah di bumi Allah S.W.T kamu berpijak?

Kamu berjalan di dunia ini mengikut peraturan manusia atau syariat Allah S.W.T?

Apakah kamu jamin kamu bisa lari saat Allah S.W.T meletakkan dirimu di neraka? Jika ya, tidak mengapa. Lupakanlah kata-kataku ini.

Sungguh, kamu begitu berani mencabar Dia. Sungguh kamu pencabar terhebat. Syabas.

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Bukan hanya membalut tubuh. Itu salah. Usah kau sanggul tinggi rambutmu di atas kepala. Tetapi letaklah posisi sanggul dalam tudung itu di bahagian belakang kepala atau sedikit ke bawah berhampiran leher.

Lupakah dirimu apa yang dikatakan Rasulullah S.A.W?

Laknat bagi wanita yang meninggikan sanggul di atas kepala. Bukankah Baginda yang kau cintai?

Di mana bukti katamu?

Usah biarkan Rasulullah S.A.W menangis kelak kerana ingkarnya umat daripada mentaati Allah S.W.T. Tegarkah?

Baginda S.A.W yang masih tetap mengingati umatnya walau sewaktu sakaratul maut datang menjemput! Namun apa yang kita lakukan? Memijak risalah Baginda! Tidak berhati perut. Menangislah. Andai hati itu masih bisa melihat.

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Pernahkah bertanya kepada diri, mengapakah?

Kerana kasihnya Dia kepada kita! Lupakah kamu apa yang dipesankan Rasulullah S.A.W?

Kita wanita fitnah akhir zaman! Padamlah segera foto menutup aurat yang ditayang umum. Foto menutup aurat pada mata kasar, namun tidak pada syariat. Tudung tidak dilabuhkan menutupi dada, baju ketat, berbaju kurung tetapi beraksi manja, kaki jelas kelihatan, memakai blaus dengan lengan terdedah.

Aku menyayangimu. Padamlah. Aku sudah tidak tahu lagi apa yang harus ku katakan. Bagaimana lagi harus ku katakan supaya tutuplah aurat bukannya membalut aurat. Simpanlah foto yang cantik itu. Hanya buat tatapan yang berhak. Tiadalah aku mengatakan haram.

Letaklah andai dirimu mahu tetapi pesanku berpadalah. Juga waspada terhadap mata-mata liar bernafsu. Ingin sekali ku mengingatkan apa yang dipesan Saidatina Aisyah. Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan yang tidak dipandang. Bukankah katamu mahu seperti wanita ini?

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Kerana itu adalah kehormatanmu. Islam datang mengangkat martabat wanita. Tutuplah aurat supaya kamu dihormati. Jika berdegil, usah ditanya mengapa kamu mengalami gangguan seksual. Usah ditanya mengapa kamu diajak ke arah lembah perzinaan. Lihat apa yang kamu lakukan.

Kanak-kanak yang dinodai itu tidak bersalah hatta perempuan yang diragut kehormatannya oleh syaitan bertopengkan manusia walaupun aurat ditutup rapi. Tidakkah itu salah mereka yang mendedahkan aurat?

Tidakkah itu salah mereka yang meng'upload' foto dengan mimik muka yang menggoda dan manja?

Sehingga membangkitkan nafsu syahwat kaum Adam?

Seterusnya mereka yang tidak berdosa itu menjadi mangsa? Tegarkah kamu?

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Kamu hairan mengapa aku begitu menyibuk. Aku bukan menyibuk. Ini bukti sayangku kepadamu.

Bukankah aku ini muslimah? Begitu juga dirimu? Bukankah Islam agama kita? Ya, aku tidak sempurna.

Tetapi aku ingin sedayanya menjadi hamba yang mendengar dan taat. Bersamamu bukan keseorangan. Bencilah aku jika itu dapat memuaskan hatimu. Tamparlah aku jika itu dapat melepaskan amarahmu. Namun, aku tidak akan pernah membencimu walau sekelumit. Aku tetap menyayangimu kerana Allah S.W.T. Kerana kamu saudara seakidahku. Saudara atas iman.

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Kamu mengatakan itu hak masing-masing, kubur kita lain-lain dan aku tidak berhak menegurmu. Ketahuilah, menutup aurat itu bukanlah kehendak kita sama ada mahu atau tidak, tetapi ia merupakan kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T.

Melainkan Islam itu bukan agamamu? Melainkan al-Quran dan as-Sunnah itu bukan peganganmu? Melainkan Muhammad S.A.W itu bukan Rasulmu? Melainkan Allah S.W.T itu bukan Tuhanmu?

Jika bukan, tidak mengapa. Dedahlah sebanyak mungkin.

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Perbetulkanlah niat. Bukan untuk kelihatan cantik dan solehah di hadapan jutaan pria. Tetapi untuk mendamba keredaan-Nya.

Bukan untuk menggayakan pakaian mewah walau syariat dilanggar. Tetapi ia adalah pakaian malu yang menyekat diri daripada memasuki pintu-pintu maksiat. Bukan sekadar untuk menggayakan fesyen moden terkini kerana katamu usah kekampungan menyarung baju kurung dan tudung labuh. Tetapi ini adalah bukti usaha menjadi hamba taat yang menggayakan fesyen menuju ke Syurga.

Jika hatimu masih lagi keras wahai hamba. Walau beribu pesanan dan peringatan telah datang.
Sungguh, kamu masih begitu berani mencabar Dia. Sungguh kamu pencabar terhebat. Syabas.

Allah S.W.T menyuruh untuk saling menyayangi antara satu sama lain.

Sungguh kucoretkan ini bukti sayang kepadamu. Sungguh kucoretkan ini bukti keprihatinanku kepadamu. Sungguh kucoretkan ini harapanku kepadamu juga kepadaku.

Tegarkah kamu menghancurkan hatiku?

Sungguh kucoretkan ini, agar runtuh ego. Usah berani mencabar Pencipta sendiri, usah menunjuk kehebatan melanggar suruhan. Sedangkan kaki sendiri berpijak di bumi Tuhan. Usah berdegil mentaati-Nya. Andai diri sendiri juga tidak mampu mengelak dari bahang api neraka, di sana nanti.

Andai saat ini terdetik di hati ingin berubah, berubahlah dengan segera,
Kerana Malaikat Izrail itu tak akan menunggu,
Tidak peduli akan rayuan,
Walau sesaat, meminta penangguhan,
Daripada nyawa ditarik.

Wahai hamba,
Usah derhaka kepada Pencipta,
Kamu punya pilihan untuk ke syurga,
Lalu mengapa lebih memilih haluan ke neraka?

Wahai hamba,
Seandainya dirimu benar yakin,
Walau terusan melanggar perintah-Nya,
Kamu bisa lari daripada api neraka yang membahang,
Baik, teruskan.

Di dunia, jadilah pencabar terhebat Penciptamu sendiri,
Mungkinkah kamu bisa lagi begitu di Akhirat sana?
Pesanku, berubahlah.
Itupun andai benar kamu yakin di sana adanya syurga dan neraka.

Jika tidak, teruskan mencabar Dia. Kamu hebat. Syabas.

Biar aku dibenci,

Kerana kelantanganku bersuara,
Hanya Allah S.W.T tahu apa dalam hati ini,
Betapa sayangnya diriku kepadamu hawa.

Aku sudah cuba membantu,
Kerana sayangnya diri ini kepadamu,
Namun kini aku hanya mampu membatu,
Kerana pilihan segalanya di tanganmu.

Istighfarlah.

-Artikel iluvislam.com

Mengejar Sempurna






Lahirnya kita ke dunia ini bersih, bersih dari dosa, bersih dengan akhlak terpuji, bersih dengan puji-pujian, bersih dengan kasih-sayang, dan bersih dengan reputasi yang mengkagumkan. Kita menangis dengan penuh keberanian, bersuara melalui deria suara dan tangisan air mata.

Dunia kita ketika lahir bagai sebidang kain yang kosong, belum dilukis, dicorak dan diwarnakan. Usia kita makin meningkat dari sehari ke sehari lalu memberi warna pada kain lukisan itu. Tetapi setiap langkah kita ditemani dan dipengaruhi orang-orang sekeliling kita terutamanya ibu bapa kita.

Ibu bapa bagai pelukis latar asal yang mencorak gambaran awal lukisan kehidupan kita. Namun, apabila kita jauh dari ibu bapa, kitalah yang menentukan kehidupan yang kita mahukan. Pesanan dan pengajaran yang baik diselami oleh diri kita ini akan membawa kita untuk memilih jalan yang baik untuk teruskan kehidupan.

Sedar tidak sedar, kita melalui kehidupan dengan mencari kesempurnaan dan kebahagiaan. Kesempurnaan seharusnya boleh diperoleh. Begitu juga dengan kebahagiaan.

Kita mengecapi kesempurnaan dari dua arah yang berbeza iaitu dari arah menambah melakukan kebaikan dan mengurangkan melakukan kesilapan. Arah mana yang lebih mudah adalah terpulang kepada setiap individu. Walau bagaimanapun, kita perlu usahakan dari kedua-dua arah itu.

Ketika kita meningkat dewasa, kita masih dalam proses pembelajaran yang meluas. Melakukan kesilapan antara cara kita mengenal kehidupan tetapi kita diingatkan untuk tidak melakukan kesilapan yang sama. Maka ini adalah arah mengurangkan melakukan kesilapan.

Seolah-olah ketika menjawab soalan peperiksaan. Pada asalnya kita perlu menjawab semua soalan dengan betul, tetapi kesilapan yang mengurangkan markah peperiksaan. Maka perlu bagi kita untuk kurang melakukan kesilapan.

Apatah lagi jika kita pernah menjawab soalan yang sama. Inilah keadaan apabila kita mendekati kematangan dalam kehidupan, rencah kehidupan kita telah kenal maka kita perlu mengelak dari melakukan kesilapan.

Ketika usia kanak-kanak, kita sering dipuji apabila melakukan kebaikan. Begitu juga apabila kita melihat anak-anak kecil yang rajin, kita merasa teruja dan memuji-muji mereka.

Ini kerana, kehidupan kanak-kanak terjurus kepada eksplorasi kehidupan dan lebih jinak kepada permainan. Oleh itu, apabila kebaikan dilakukan, maka kita merasakan sesuatu kelainan lalu hati mudah tersentuh dan mulut mudah memuji.

Bayangkanlah, jika sifat kanak-kanak dan kehidupan kanak-kanak itu diteruskan hingga remaja dan dewasa. Meskipun kita mungkin tidak melakukan kesilapan, tetapi kita tidak lagi dipandang baik dan mendapat tempat dalam masyarakat serta memiliki jiwa yang kosong.

Itulah hakikatnya, apabila usia meningkat, kita perlu menambah amalan kebaikan kerana ia mengisi jiwa yang kosong dengan keyakinan, peribadi yang baik dan memberi kebaikan kepada masyarakat.

Kesempurnaan seharusnya boleh dicari dan boleh dikecapi. "No one perfect" tidak seperti dijangkakan. Malah, ungkapan itu hanya tepat bagi relatif antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Kesempurnaan yang kita cari adalah dari definasi dari diri kita sendiri.

Definasi itu pula harus dibimbing oleh ajaran agama Islam yang terpuji. Fitrah manusia menolak sesuatu yang mustahil untuk diusahakan. Maka, jika tiada siapa yang mampu jadi sempurna, kenapa perlu kita usahakan?

Oleh kerana itu, kesempurnaan seharusnya boleh dicapai, maka wajar diusahakan.

Tentulah, setiap kali langkah lukisan kehidupan kita disentak oleh dugaan dan cabaran. Itu perkara biasa. Diri-diri yang mengenali hakikat ini akan mampu tersenyum apabila dugaan itu tiba. Ingatlah, dunia ini cukup luas untuk kita hidup, kerana dengan kelebihan dunia ini kita memiliki sosial dan kekeluargaan.

Berganding tanganlah ketika senang dan susah terutamanya sesama ahli keluarga. Menghadapi dugaan dan cabaran bersama sokongan dari ahli keluarga dan rakan-rakan akan memudahkan laluan kehidupan kita. Maka, jagalah perhubungan siratulrahim dan hargai mereka ketika senang dan susah.

Agama Islam juga menganjurkan untuk kita saling berpesan-pesan ke arah kebaikan dan melarang dari kemungkaran berlaku. Ternyata kehidupan kita dipengaruhi oleh hubungan sesama manusia ini. Apabila difikirkan, kehidupan kita lebih sukar dan mungkin sering kali melakukan kesilapan apabila kita hidup keseorangan di bumi Allah S.W.T ini.

Allah S.W.T memberi kita peluang untuk hidup di muka bumi Allah S.W.T dan ketetapannya adalah ketentuan yang pasti berlaku ketika perjalanan kita menuju kematian.

Maka, kita wajar mencari kesempurnaan dalam kehidupan; menjadi seorang hamba Allah S.W.T yang sempurna, menjadi seorang rakan yang berpesan-pesan ke arah kebaikan, menjadi seorang anak yang menyempurnakan kehidupan ibu bapa dengan kebahagiaan, menjadi seorang suami atau isteri yang menyempurnakan nafkah serta tanggungjawap, menjadi seorang ayah atau ibu yang mendidik serta membimbing anak ke arah kesempurnaan akidah, akhlak dan ilmu pengetahuan dan menjadi individu yang berguna kepada masyarakat serta berkorban demi agama Allah S.W.T tercinta.

Apabila kita mencapai kesempurnaan yang kita mahukan, ketika itulah kita mencapai kejayaan di dunia. Sempurnakan ia menjadi kejayaan di Akhirat.

Marilah berganding bahu mengejar kesempurnaan bersama-sama. Now everyone can be perfect!

-Artikel iluvislam.com

Saturday, December 17, 2011

7 Cara Menjadi Lebih Produktif Pada Tahun Hadapan





Di akhir tahun seperti ini tentu anda mula menenangkan pemikiran anda dengan mengingati kembali tugas serta pencapaian anda sepanjang tahun ini. Namun jika anda berfikir secara mendalam, sebenarnya banyak lagi perkara yang kita tangguhkan berbanding apa yang kita capai.

Kita terpaksa akui, kadang-kala kita lalai dari fokus utama kita. Malah kita suka untuk lalai. Kita lebih suka lepak berbanding menyiapkan kertas kerja, lebih minat berehat di rumah berbanding ke pejabat, lebih suka berjumpa kawan berbanding pelanggan. Ada pula yang menghabiskan berjam-jam di inbox menunggu email seperti menunggu posman atau menghabiskan masa membaca status facebook rakan-rakan.

Berikut adalah 7 tips untuk menjadi lebih produktif:

1. Memecahkan Perkara Yang Ingin Dicapai Kepada Tugasan-tugasan Kecil

Jika anda ingin membuat website syarikat, anda kemudiannya menulis ayat "Bina Website Syarikat" di atas dinding tidak akan menjadikan website anda itu siap. Sebaliknya anda seharuskan memecahkan objektif itu tadi kepada tugasan-tugasan kecil seperti merangka kandungan website, mengiklankan tugasan membuat website, menyiapkan logo syarikat, mengambil gambar-gambar menarik untuk dimuatkan dalam website dan sebagainya. Dengan adanya tugasan-tugasan kecil ini, objektif yang ingin dicapai akan kelihatan lebih mudah dan mampu dicapai.

2. Hentikan Membuat Beberapa Kerja Dalam Satu Masa (Multi-tasking)

Ramai orang berbangga bahawa mereka mampu untuk 'multi-tasking' atau membuat beberapa kerja dalam satu masa. Namun anda sepatutnya menghentikan perkara ini. Apabila anda membuat beberapa kerja dalam satu masa, nilai IQ anda akan turun 15 mata bagi lelaki dan 5 mata bagi perempuan (lelaki adalah 3 kali lebih teruk dalam multitasking berbanding wanita). Jadi kerja yang dibuat adalah kurang berkualiti.

3. Buang atau Halang Perkara Yang Boleh Melalaikan

Apabila hendak menghabiskan sesuatu tugas, cuba tutup perkara lain yang boleh melalaikan. Contohnya, apabila anda sedang menyediakan 'sebut harga' kepada pelanggan anda, anda tidak seharusnya online di facebook pada masa yang saya. Kerja yang asalnya boleh disiapkan dalam 15 minit akan memakan masa 1 jam hasil dari perkara yang melalaikan. Cuba buat sepenuhnya satu kerja pada satu masa. Jika perlu tutup telefon dan television pada waktu anda sedang menghabiskan kerja.

4. Memeriksa dan membalas email

Elakkan melihat email setiap 5 minit. Sediakan masa 3 kali sehari untuk membaca dan membalas email.

5. Gunakan telefon

Email tidak seharusnya digunakan untuk berkomunikasi secara santai. Ia akan memakan masa yang lama. Anda boleh dengan mudah menelefon dan menghabiskan kerja yang sepatutnya ditanya dalam 5-10 email dalam masa 3 minit di telefon. Orang yang bercakap dengan anda juga, tidak ada pilihan untuk tidak menjawab soalan yang ditanya dengan terperinci.

6. Bekerja dengan Agenda dan Jadual tersendiri.

Jika anda ingat sewaktu di sekolah dahulu, semua kita mempunyai jadual. Jika tidak ada jadual, tidak mungkin cikgu mampu menghabiskan silibus setahun pengajaran tersebut. Samalah seperti dalam hidup kita kini, kita seharusnya mempunyai jadual ringkas untuk kita tidak rugikan masa. Jangan biarkan anda dalam keadaan tidak tahu apa yang hendak dibuat. Rancang hari anda sehari atau seminggu sebelum itu.

7. Bekerja dalam fasa 1-1.5 jam

Jika anda bekerja, pastikan anda mengambil rehat 10 minit setiap sejam atau sejam setengah. Otak memerlukan rehat sedikit. Anda tentu pernah mengalami pengalaman berada dalam bilik mesyuarat lebih dari 1.5 jam. Anda akan merasa sangat letih. Anda akan menjadi tidak produktif jika tidak mempunyai rehat. Jadi pastikan anda mempunyai 10 minit untuk pergi berjalan-jalan, minum kopi atau melihat pemandangan. Dengan adanya rehat ini, otak anda akan kembali bersedia untuk bekerja lebih keras.

- Artikel iluvislam.com

Allah Ajarkan Tentang Menjaga Perasaan Ibu






Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani kita semua setiap saat dan setiap ketika.Jika dikumpulkan semua kasih sayang ibu di dunia ini dari zaman Nabi Adam sehingga kiamat nanti tidak akan dapat menyamai kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya. Bayangkan kasih seorang ibu, cubalah kita ukur kasihnya kepada anaknya, boleh diukur? Sekiranya ada alat yang boleh mengukur kasih sayang ibu pastinya tak terbaca alat itu kasih dan sayangnya seorang ibu kepada anak-anaknya kerana setiap kali ia ingin mengukurnya, saya yakin bacaannya akan sentiasa melebihi had ukuran alat itu.Cuba bayangkan ukuran kasih dan sayang Allah pada hamba-Nya.

Saya tidak dapat menceritakan peristiwa yang berlaku yang membuatkan saya faham kerana saya khuatir ia boleh menyinggung hati mereka yang terlibat di dalam peristiwa tersebut. Namun di dalam peristiwa ini saya diajarkan Allah bahawa seorang ibu itu pastinya tidak sempurna kerana seorang ibu adalah manusia yang mempunyai banyak kelemahan seperti kita juga. Saya perhatikan dan amati di dalam masyarakat kita banyak sifat ibu yang mungkin menyebabkan anak-anak tidak begitu gembira, contohnya suka berleter, lebih menyayangi anak yang lain (persepsi), suka menjerit (saya pernah mendengar seorang ibu yang asyik menjerit pada anak-anaknya dari mula saya datang kerumahnya sampai saya balik), suka membazir, suka menunjuk-nunjuk, suka mengumpat menantu, suka bersolek dan sebagainya.Apapun kelemahan ibu, kita tidak boleh sama sekali mengecilkan hatinya baik dengan apa cara sekalipun. Sebagai manusia biasa yang hatinya boleh terluka, saya yakin antara luka yang paling dalam adalah apabila dilukai oleh anaknya sendiri. Anak yang disusuinya, anak yang membuatkan dia tidak tidur malam berhari-hari, anak yang dijaganya seperti menatang minyak yang penuh.Kita wajib menghormati ibu pada setiap waktu.

Ada seorang yang saya kenali yang suka bertanya kepada Allah di dalam urusan kehidupannya. Pada suatu hari dia mengatakan bahawa dia sangat bersyukur dibimbing Allah, diberi hidayah oleh Allah sehingga dia dapat mengenali Allah dan mendapat nikmat ketenangan hidup di bawah lembayung rahmat kasih sayang Allah. Satu hari ketika out-station di Perak, dia mengatakan bahawa dia mahu tahu kenapa Allah memilih dia dari kalangan keluarganya dan saudara-maranya untuk diberi hidayah, kerana kehidupan yang dilalui sama seperti mereka tetapi Allah memilihnya untuk diberi-Nya petunjuk. Maka dia pun bertanya kepada Allah. Alhamdulillah menurutnya, tidak sampai beberapa saat dia bertanya Allah memberikan jawapannya.Mahu tahu apa jawapannya? Allah terus mengingatkan kepadanya kisah ketika dia masih seorang pelajar.Ketika di universiti, dia bekerja sambil belajar dan hampir semua wang yang diperolehinya ketika belajar itu diberikannya kepada ibunya. Hebatnya ganjaran Allah kepada seseorang yang menjaga ibunya.Tiada ganjaran yang lebih bermakna dari ganjaran hidayah dan petunjuk Allah.Namun balasan Allah juga pastinya hebat bagi seseorang yang menyakiti hati ibu.Ampuni kami Ya Allah.

Setelah diberi kefahaman ini, saya terbayangkan pengorbanan ibu saya yang membesarkan saya dan adik-adik sebagai ibu tunggal. Setiap petang apabila ibu saya pulang dari kerja, walaupun keletihan, ibu akan terus ke dapur untuk memasakkan kami makanan. Saya masih dapat melihat keletihan ibu ketika itu dan masih dapat membayangkan keletihannya menguruskan kami.Pastinya kita tidak dapat membalas kasih dan pengorbanan ibu tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk menjaga perasaan dan tidak melukakan hatinya. Semoga Allah mengampuni kita di atas segala keterlanjuran kata dan perbuatan yang telah mengecilkan hati ibu.Sekiranya ibu kita masih ada bersyukurlah kerana ibu akan mendoakan kita setiap hari.Insya-Allah.sekiranya ibu kita sudah tiada, doakanlah keselamatan untuknya di alam sana sebagaimana dia sering mendoakan kita ketika hayatnya.

- Artikel iluvislam.com