Tuesday, July 26, 2011

OKU: Mereka Juga Mampu Menggegar Dunia







Buat mereka yang tidak pernah mengenali ataupun mendengar tentang Allayarham Prof. Datuk Dr. Ismail Md Salleh, beliau merupakan bekas senator dan juga pakar dalam bidang ekonomi.

Anak kelahiran Pasir Mas Kelantan itu juga merupakan insan buta pertama di dunia yang menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah dan ditempatkan namanya dalam buku Guinness Book of Records.

Ia sudah semestinya memberikan satu tamparan hebat buat kebanyakan dari kita yang memandang Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai produk tidak berguna dan menyusahkan masyarakat.

Kecacatan atau kekurangan diri mereka dianggap sebagai beban dan ramai yang berasa jijik untuk mendekati mereka. Malah, sebelum ini mereka didiskriminasi dari menerima pendidikan secara hollistik kerana dianggap sebagai membazirkan pendapatan negara. Dari sudut pekerjaan pula, mereka hanya diberi ruang untuk menjaga stor dan tandas atau dibiarkan mengemis di jalanan.

Hakikatnya, setiap orang baik yang normal mahupun OKU sebenarnya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Orang yang normal juga sebenarnya mempunyai ketidak sempurnaan mereka tetapi tidak dilihat oleh orang awam berbanding golongan OKU yang mana ketidak sempurnaan mereka tampak jelas di mata masyarakat.

Namun, di sebalik ketidak sempurnaan itu, mereka juga mampu untuk memberikan sumbangan pada dunia andai diberi peluang.

Selain daripada individu yang saya perkenalkan tadi, ramai lagi golongan kelainan upaya yang berjaya di persada dunia setelah diberi ruang dan peluang untuk mengasah bakat dan mengembang kelebihan yang ada pada mereka. Antaranya termasuklah Helen Keller, Franklin Delano Roosevelt, Ludwig van Beethoven, Woodrow Wilson dan Stephen Hawking.

Dalam Islam sendiri, tidak pernah kita diajar untuk mendiskriminasi golongan ini. Sirah juga telah menunjukkan betapa Rasulullah S.A.W sendiri pernah ditegur oleh Allah S.W.T apabila mengutamakan pemimpin Quraisy yang kaya berbanding seorang lelaki buta iaitu Abdullah bin Ummi Maktum sewaktu beliau berdakwah.

Peristiwa itu dicatat di dalam surah A'basa. Kisah di sebalik penurunan ayat ini diriwayatkan di dalam hadis oleh at-Tarmidzi dan al-Hakim yang bersumber dari Aisyah dan Ibnu Ya'la yang bersumber dari Anas.

Selain itu, Allah S.W.T juga menegaskan bahawa manusia ini dicipta dalam keadaannya yang sebaik-baiknya.

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya . [surah at-Tin: ayat 4]

Jika kita cuba renung ayat ini dan ambil ibrah (pengajaran) darinya, maka kita akan dapati bahawa Allah adalah sebaik-baik pencipta. Seburuk manapun seseorang manusia, mereka tetap mempunyai tanda-tanda kebesaran Allah dan mampu untuk membangun.

Oleh itu, mengapa kita harus mendiskriminasi golongan kelainan upaya ini? Sudah tiba masanya untuk kita membuang persepsi negatif terhadap mereka dan membuka ruang untuk mereka menjalani kehidupan sama seperti kita. Ayuh kita bantu mereka untuk menggegar dunia!

- Artikel iLuvislam.com

Puasa Vs Nafsu





Bulan Ramadhan Al-Mubarak sudah semakin menghampiri kita. Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini akan mendidik kembali nafsu manusia yang sering bermaharajalela dalam diri manusia sepanjang tahun.

Puasa akan mendidik kembali nafsu manusia kerana nafsu sangat degil dan susah untuk tunduk kepada perintah Allah sejak ia mula-mula diciptakan lagi. Sebagai orang yang beriman, bulan Ramadhan adalah bulan yang diperintahkan untuk berpuasa dan mendidik nafsu supaya mengikut perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.

Berpuasa adalah cara untuk mendidik dan menundukkan nafsu yang degil. Apabila berpuasa, kita tidak mengikut keinginan nafsu seperti makan dan minum sebaliknya kita mengikut perintah Allah supaya berpuasa di bulan Ramadhan.

Maka dengan itu, nafsu telah dididik untuk berpuasa dan mengikut segala perintah Allah. Gunakan sebaiknya bulan Ramadhan yang bakal tiba untuk mendidik nafsu yang degil ini supaya kita akan mendapat banyak keberkatan di bulan Ramadhan kali ini.

Ambillah juga peluang sebulan ini untuk menguatkan diri sebelum kita diduga dengan gabungan syaitan dan nafsu setelah Ramadhan meninggalkan kita. Persiapkan diri kerana syaitan telah berjanji untuk menduga anak Adam dan Hawa sehingga Kiamat kelak.

وَٱللَّهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيۡڪُمۡ وَيُرِيدُ ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلشَّہَوَٲتِ أَن تَمِيلُواْ مَيۡلاً عَظِيمً۬ا
Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya.
(Surah An-Nisa 4: Ayat 27)

Pengekalan Berat Badan Melalui Solat







Bagaimana solat membantu sebagai satu kaedah kerehatan tubuh? Pergerakan yang sering anda lakukan sejak kecil sehingga kini telah menjadi satu perbuatan tanpa sedar. Setelah mengangkat takbir, tahu-tahu dah selesai solat . Hanya anda yang tahu sama ada hadir atau tidak hati di dalam amalan solat anda sebentar tadi. Pemahaman dalam bacaan dapat membantu khusyuk dalam solat .

Setelah anda mengangkat takbir, anda telah menyambung talian online dengan Allah S.W.T. Anda membayangkan bagaimana Allah S.W.T menjaga anda semasa anda di dalam rahim ibu. Kedudukan kedua belah tangan yang dirapatkan ke dada dan kaki yang membengkuk untuk menempati ruang di dalam rahim ibu. Anda berjanji sesungguhnya hidup dan mati hanya kerana Allah S.W.T. Alangkah ruginya sekiranya tiada peningkatan di dalam solat.

Tanyakan pada diri sendiri: "Adakah kualiti solatku tadi lebih baik dari sebelumnya"?

Saya pasti anda ingat rukun solat iaitu:

1. Niat
2. Takbir
3. Berdiri
4. Menmbaca Al- Fatihah
5. Ruku'
6. Iktidal
7. Sujud
8. Duduk di antara dua sujud
9. Tahiyyat Akhir
10. Salam

Mazhab Syafie' menambah rukun solat dengan:

1. Toma'ninah
2. Tertib
3. Berturutan.

Perbuatan solat dimulakan dengan hati iaitu niat, diikuti dengan pergerakan anggota iaitu berdiri, ruku', sujud, duduk di antara dua sujud kemudian diikuti dengan perbuatan dengan lidah iaitu membaca Al-Fatihah, selawat ke atas Rasulullah dalam tahiyyat akhir dan ucapan salam.

Cuba kita hayati maksud pesanan Rasulullah S.A.W mengenai pergerakan solat:

Dari Abu Humaid A.S Sa'idi r.a berkata: "Aku mengingat solat Rasulullah S.A.W lebih baik daripada siapa pun di antara kalian. Aku melihat nabi S.A.W mengangkat kedua tangannya sejajar dengan bahunya dan mengucapkan takbir, dan ketika ruku' nabi S.A.W meletakkan kedua (telapak) tangannya di atas dua lututnya dan punggungnya membungkuk lurus, kemudian setelah bangkit dari ruku' nabi S.A.W berdiri tegak sehingga semua tulang punggungnya berada di dalam posisi normal. Ketika sujud, nabi S.A.W meletakkan kedua (telapak) tangannya di atas tanah dan menjauhkan lengan bahagian bawahnya dari tanah dan tubuhnya, dan jari jemarinya (kakinya)menghadap ke arah kiblat. Ketika duduk pada rakaat kedua, nabi S.A.W duduk di atas kaki kirinya dan menyangga kaki kanannya dan pada rakaat terakhir nabi S.A.W menekan kaki sebelah kirinya ke depan dan menopang kakinya sebelah kanan dan duduk di atas punggungnya. (1:79 Shahih Bukhari)

Kupasan adalah berdasarkan pemahaman fisiologi struktur badan manusia dan kajian saintifik mengenai kebaikan pada perubahan kedudukan tubuh dan amalan Rasulullah S.A.W yang diulas dari sudut pemahaman sains. Ia merangkumi:

01.Aplikasi teknik relaksasi


Fokuskan pada pernafasan. Tarik nafas sedalam-dalamnya dalam tempoh 30 saat. Bacalah satu ayat surah Al Fatihah dengan menarik nafas dan hembuskan nafas bersama satu ayat Al Fatihah. Contohnya: Tarik nafas yang dalam (deep breathing) dan sebut Bismillahirrahmanirrahim sambil menghembus satu nafas yang panjang.

Anda juga boleh mengira tarik nafas dengan kiraan 8 dan hembuskannya perlahan-lahan dalam kiraan 7.

02. Mengangkat kedua tangannya sejajar dengan bahu


Pergerakan ini akan melenturkan otot-otot trapezius kanan dan kiri. Otot-otot ini yang kerap menyebabkan kesakitan di bahagian tengkuk. Cuba lakukan pergerakan ini perlahan-lahan sehingga anda merasa regangan pada bahagian otot-otot ini . Otot trapezius melekat pada dasar tengkorak, pada bahagian tulang yang menonjol tulang belikat (scapula bone)dan pada bahagian tengah tulang belakang. Otot-otot ini melekat di bahagian tepi tulang belakang dari C1 hingga tulang thorasic.

03.Meletakkan kedua (telapak) tangannya di atas dua lutut dan punggung membungkuk lurus


Bentuk tulang belakang pada posisi normal adalah berbentuk S terbalik dari sisi. Bahagian belakang adalah di antara bahagian tengkuk dan pinggang sedikit membonjol keluar. Bahagian punggung akan menonjol keluar juga dari sisi.

Sekiranya anda membungkuk, ia akan membentuk sturktur S terbalik. Bagaimana membungkuk lurus?
Bahagian belakang akan membungkuk lurus apabila anda menolak kedua-dua bahagian bahu ke atas dan menarik bahagian atas pinggang ke bawah. Ini adalah satu cara regangan otot-otot bahu dan otot-otot pinggang .

04.Bediri tegak

Berdiri tegak sehingga semua tulang punggungnya berada di dalam posisi normal.

Seperti yang telah saya gambarkan kedudukan belakang dari tepi. Bentuk tulang belakang seperti S terbalik. Kedudukan ini adalah posisi normal. Di mana bumi mempunyai tarikan graviti Kedudukan tulang belakang seperti ini merupakan kedudukan belakang yang paling stabil pada setiap jaluran otot-otot belakang.

Tahukah anda bahawa terdapat 4 lapisan otot-otot belakang? Terdapat dua lapisan otot untuk sokongan tulang-tulang supaya ia melekat. Manakala dua lapisan otot lagi untuk tujuan menampung berat beban. Subhanallah...

Kedudukan pada posisi normal adalah kedudukan yang perlu anda kekalkan posturnya. Ia merupakan satu kaedah pencegahan sakit belakang. Tidak kira samaada anda di dalam posisi berdiri atau duduk.

05.Ketika sujud

Ketika sujud, nabi Muhammad S.A.W meletakkan kedua (telapak) tangannya di atas tanah dan menjauhkan lengan bahagian bawahnya dari tanah dan tubuhnya, dan jari jemarinya (kakinya)menghadap ke arah kiblat.

Semasa sujud, tumpukan berat badan pada 7 anggota sujud iaitu dahi, dua tapak tangan, dua lutut dan perut anak jari kaki. Dengan melekatkan kedua (telapak) tangan di atas tanah memberi kerehatan pada otot-otot lengan bawah dan tangan. Membengkokkan siku dan pergerakan bahu memberi kesan kerehatan pada sendi pergelangan tangan ,siku dan sendi baru.

Jari jemari kaki sepatutnya menghadap ke arah kiblat. Kebanyakan orang membiarkan jari jemari tegak tanpa di membengkokkan jari jemari kaki ke arah kiblat. Kedudukan kaki begini memberi kerehatan dan kesan regangan otot-otot tapak kaki. Justeru, ia juga akan menguatkan sturuktur urat-urat kaki untuk menampung berat badan.

06. Kedudukan pada ketika tahiyat awal dan tahiyat akhir

Kedudukan ini akan memberi lebih ruang pada bahagian jantung dan perut yang terletak di bahagian kanan dada. Kedudukan duduk pada kaki kiri dan menopang kaki kanan akan membantu pergerakan usus yang lebih lancar. Beberapa kedudukan di dalam salat dengan pembuktian saintifik membantu meningkatkan aliran darah ke alat kelamin lelaki dan menaikkan peranakan wanita.

Bagaimana sepatutnya di lakukan untuk memperolehi kesan yang maksima untuk tujuan tersebut?

Cuba anda bangun dari kedudukan sujud untuk berdiri dengan menekan pada telapak tangan dan ke semua jari jemari anda yang dibengkokkan ke arah kiblat. Anda akan merasa kesan panas pada bahagian dada, betis, peha dan bahagian kelamin anda.

Bagi kaum wanita, pergerakan ini menaikkan dan menguatkan serta mengetatkan otot-otot peranakan dan lantai rahim.
Pada kebiasaannya, punggung akan ditolak ke atas dahulu untuk peralihan pergerakan sujud kepada kedudukan berdiri tegak.

Ringkasan Pergerakan Solat Mengikut Amalan Pergerakan Solat Rasulullah S.A.W.

Langkah 1

Pastikan anda berdiri tegak. Betulkan kedudukan berdiri pada posisi normal. Kedua- dua belah kaki perlu mengimbangi kedudukan berdiri tegak. Jarak kaki kanan dari titik tengah sama dengan jarak kaki kiri dari titik paksi bumi dalam kedudukan berdiri tegak.

Langkah 2

Kedudukan kedua belah tangan bersudut 90 darjah dan di letak di atas dada merupakan kedudukan kerehatan sendi siku. Kedudukan tapak tangan kiri di bawah tapak tangan kanan di atas dada sebelah kiri sedikit.

Jantung seolah-olah berada di bawah tapak tangan anda. Dengan sedikit tekanan ke dada, anda dapat merasakan denyutan jantung anda di bawah telapak tangan anda. Ini merupakan kedudukan tangan untuk CPR(Cardio Pulmonary Resuscitation) sebagai satu prosedur menyelamatkan nyawa.

Langkah 3

Cara ruku' mengikut cara Rasulullah S.A.W ruku'. Kedudukan belakang membentuk 90 darjah. Anda hanya akan dapat melakukan kedudukan belakang yang lurus dengan menarik pinggang ke dalam.

Kedudukan belakang berbentuk S terbalik . Apabila anda ruku', bentuk belakang akan masih berbentuk S terbalik melainkan anda mengangkat kedua bahu ke atas dan menarik pinggang ke dalam.

Kedua telapak tangan di letakkan di atas tempurung lutut anda. Anda perlu menekan kedua-dua lutut dan kedudukan ini akan memberi kesan regangan di keseluruhan kaki anda.

Ini memberi kesan regangan pada bahagian belakang betis dan peha.

Langkah 4

Kedudukan ketika sujud.

* Tumpukan pada 7 anggota sujud iaitu dahi, kedua tapak tangan, dua lutut dan dua perut anak ibu jari kaki.
* Anda perlu merendahkan dada dan merasa lutut menekan ke dada anda.
* Ingatlah pada kedudukan ini anda paling hampir kepada Allah S.A.W.
* Otak anda pada paras terendah tubuh. Kajian menunjukkan pada kedudukan sujud, otak menjana gelombang alfa iaitu gelombang ketenangan
* Tekanan di dada akan menekan jantung dan kawalan pernafasan akan membantu lebih banyak darah dialirkan ke otak.

Langkah 5

Bangkit dari sujud.

* Kebiasaannya, punggung akan ditolak naik terlebih dahulu, sepatutnya anda perlu menekan pada 7 anggota sujud untuk berdiri.
* Angkat dahi dan lutut dengan menekan kedua tapak tangan dengan siku mengbengkok keluar dan kedudukan belakang yang lurus.
* Bergerak ke dudukan tegak dengan menekan kedua tapak tangan dan perut ibu jari kaki, anda akan merasa tekanan pada kedua betis dan bahagian ari-ari menekan ke atas.
* Ini merupakan satu senaman yang baik untuk mengalirkan darah lebih banyak ke bahagian bahagian sulit. Baik untuk lelaki dan wanita. Bagi lelaki ia membantu aliran darah lebih banyak ke bahagian zakar dan prostate. Bagi kaum wanita pergerakan ini membantu menguatkan otot-otot peranakan.

Langkah 6

Duduk di antara dua sujud.

* Tumit menekan pangkal peha dan ibu jari kaki kiri ditegakkan pada perut ibu jari. Secara automatik, menegakkan ibu jari kaki akan menegakkan anak-anak jari yang lain. Ini merupakan senaman untuk urat-urat kaki.
* Tekanan tumit pada pangkal peha dan betis akan menekan pada saraf safenus iaitu saraf utama untuk keseluruhan kaki anda.

Langkah 7

Menoleh kepala ke kanan dan kiri

* Cuba lakukan perlahan-lahan dan kekal ke kanan dengan kiraan 8 dan baru menoleh ke kiri pula, sekali lagi kekalkan dengan kiraan 8. Pasti anda akan merasa kesan regangan otot-otot bahu anda.

- Artikel iluvislam.com

Kawal Pembelian Ramadhan?







Fenomena pembaziran yang berlaku dan berleluasa pada setiap kali menyambut Ramadhan merupakan sesuatu yang amat menyedihkan. Sepatutnya bulan Ramadhan mendidik umat Islam berjimat cermat. Akan tetapi yang berlaku ialah sebaliknya apabila masyarakat sanggup berbelanja besar dengan beraneka juadah makanan ketika tibanya waktu untuk berbuka puasa.

Sesuatu yang amat menghairankan juga apabila melihat sesetengah orang yang ketika berpuasa kelihatan amat lesu dan tidak bermaya, namun apabila tiba sahaja waktu petang untuk membeli juadah, badan yang lesu tadi sudah menjadi cergas dan kuat. Lantas, pelbagai juadah dibeli sehingga melebihi keperluan yang sepatutnya. Mereka seolah-olahnya ingin meng'qada' sarapan pagi, makan tengahari, dan makan petang yang ditinggalkan ketika berpuasa, lalu berlakulah pembaziran yang banyak. Terdapat dalam kalangan masyarakat Islam yang menjadikan waktu berbuka tidak ubah seperti suasana ‘pesta makan’. Masyarakat seolah-olah berusaha untuk mengubah bulan puasa kepada 'bulan makan'! Sikap yang lebih pentingkan pesta menjamu selera pada bulan ini menyebabkan kesucian Ramadan sebagai bulan ibadat itu tidak dapat dihayati dengan sempurna.


Sebenarnya Islam tidak melarang umatnya untuk membeli makanan. Cuma Islam mengajar kita supaya berbelanja secara sederhana setiap masa, termasuk sewaktu berbuka puasa. Kita sebenarnya bukan 'hidup untuk makan', tetapi 'makan untuk hidup'. Apabila konsep 'hidup untuk makan' dijadikan pegangan, keadaan ini menyebabkan berlakunya kelalaian hingga melampaui batas berbelanja. Tidak cukup dengan juadah yang dimasak di rumah, dibeli lagi makanan di bazar Ramadan secara yang berlebihan.Sestu yang perlu disedari bahawa tabiat pembaziran yang berlaku dalam bulan Ramadhan menyebabkan puasa yang dilakukan menjadi sia-sia kerana tidak mencapai ketakwaan sebagaimana yang diharapkan. Masyarakat Islam perlu sedar bahawa puasa adalah ibadat yang memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi, sahsiah dan akhlak hingga mencapai tahap takwa kepada Allah. Antara ciri insan bertakwa ialah mereka yang berjaya mengawal nafsu makan. Sehubungan itu, umat Islam hendaklah menghindari amalan menjadikan Ramadan bulan untuk berpesta makan dan membeli-belah secara berlebihan.

Pembaziran merupakan satu sifat yang dilarang keras di dalam Islam. Justeru, Allah mengumpamakan orang yang membazir itu ibarat saudara kepada syaitan. Firman Allah bermaksud : “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.” (Surah al-Isra', ayat 27). Sayyid Qutb di dalam tafsirnya 'Fi Zilal al-Quran' menjelaskan bahawa Ibnu Mas'ud dan Ibnu Abbas mentafsirkan pembaziran itu ialah berbelanja kepada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah). Oleh itu, berbelanja secara berlebihan juga merupakan suatu tindakan yang tidak wajar dan membazir.

Rasulullah saw bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: “Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu'bah, katanya: Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi (bersedekah) miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta.” (Hadis riwayat al-Bukhari ).
Jelasnya, segala perbuatan yang menjurus kepada amalan pembaziran baik dalam apa bentuk sekalipun perlu dihindarkan. Tabiat merokok umpamanya merupakan salah satu pembaziran yang wajib ditinggalkan. Moga bulan Ramadhan tahun ini dapat mendidik jiwa perokok ke arah meninggalkan tabiat merokok agar pembaziran dapat dibasmi sama sekali.

Artikel Oleh: Ustaz Shauqi


إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
(Surah Al-Isra' 17: Ayat 27)

Monday, July 25, 2011

Ramadhan Yang Dirindui







"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa". (Al-Baqarah ayat:183)

"(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui" (Al-Baqarah ayat:184)

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur". (Al-Baqarah ayat:185)

"Setiap hamba yang berpuasa dijalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun".
(Bukhari-Muslim)

Ramadhan kembali menjelma lagi,
Terubat rindu di hati ini,

Rinduku pada solat Sunat Terawih,
Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Terawih) dalam bulan ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu".

Rinduku pada taddarus Al-Quran,
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Tidak berkumpul suatu kaum pada mana-mana rumah Allah, mereka membaca
dan bertadarus Al-Qur'an, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan
(sakinah), diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan Allah menyebut mereka pada
para malaikat"

Rinduku pada malam Lailatul-Qadar,
"Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rinduku pada segala-galanya di bulan ini..
Masih sempatkahku untuk menyempurnakan rindu itu,
Penuhilah hari-harinya dengan beribadat,
Kejarlah syurga dan jauhilah neraka,
Moga bahagia sepanjang hayat.

BERBUAT IBADAH DENGAN PENUH PENGHAYATAN,
AMALAN DIPERTINGKATKAN PAHALA DI GANDAKAN,
SINAR HIDAYAH SEPANJANG ZAMAN,
NERAKA DIJAUHI, SYURGA DIKEJARKAN.

- Artikel iluvislam.com

Harapan Ramadhan






Pertengahan Sya'ban sudah berlalu. Ramadhan 1432 H tinggal beberapa hari lagi. Waktu terus berjalan, tanpa pernah berhenti. Hari yang berganti hari, bulan yang berganti bulan, dan tahun yang berganti tahun, dalam semua perputaran waktu itu Allah SWT senantiasa memberikan kenikmatan kepada kita.

Semakin Hampir Ramadhan

Setelah kenikmatan terbesar berupa iman, maka kenikmatan-kenikmatan lainnya dianugerahkan kepada kita tanpa bisa kita hitung jumlahnya, bahkan seringkali tidak kita sadari kehadirannya. Yakni nikmat waktu, kesempatan yang diberikan Allah kepada manusia. Maka, bersyukurlah atas nikmat Allah yang tiada tara ini.

Diantara kenikmatan itu adalah sampainya usia kita di akhir bulan Sya'ban ini. Sebentar lagi kita akan memasuki bulan yang penuh dengan keutamaan. Yakni bulan Ramadhan. Pertanyaannya adalah, sudahkah kita siap dalam menyambutnya? Atau jangan-jangan kita malah berkesah diri karena memasuki bulan dengan beban berat. Atau bahkan tidak peduli, karena sedang tenggelam dengan aneka kesibukan duniawi?? Ataukah memang sedang berencana dan menyambutnya?

Jika para sahabat telah mempersiapkan diri dua bulan sebelum Ramadhan tiba bagaimana dengan kita?, sebagaimana doa:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَارِكْ لَنَا فِى رَمَضَانَ
Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rajab dan Sya'ban, serta berkatilah kami di bulan Ramadhan
[Hadis Riwayat Ahmad]

Madrasah Ramadhan







Ramadhan merupakan madrasah agung yang banyak untuk kita pelajari daripadanya. Cara terbaik untuk mengenali tetamu yang mulia ini ialah dengan melihat bagaimana Rasulullah saw menyambut bulan ini.

Bagaimana baginda bersedia untuknya? Sejak bulan Rajab lagi baginda sudah berdoa "Ya Allah berkatilah kami dalam bulan Rajab dan Sya'ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan". Inilah persedian jiwa dan kerinduan muslimin yang inginkan segala kebaikan yang terkandung dalam bulan ini.

Ramadhan merupakan titik tolak kepada perubahan diri seseorang ke arah yang lebih baik. Pakar psikologi menyatakan bahawa: jika manusia ingin mengubah sikapnya, hendaklah dia berterusan membiasakan dirinya dengan sikap yang baru selama 21 hari, inilah Ramadhan yang datang untuk membiasakan kita dengan sikap positif selama 30 hari! Semoga Ramadhan mampu membiasakan kita dengan sifat-sifat berikut:

1. Ikhlas: Puasa merupakan satu-satunya ibadah yang menjadi rahsia antara hamba dan TuhanNya. Ibadah yang khusus untuk Allah swt. Ibadah lain seperti sujud dan korban boleh dibuat selain kerana Allah tetapi kita tidak dapati seseorang puasa kecuali kerana Allah swt.

2. Sabar: Seorang muslim berlatih untuk bersabar dan memikul bebanan. Pada bulan-bulan lain mungkin kita selalu marah dan bersikap kurang sabar, tetapi dalam bulan Ramadhan kita akan bersabar sehingga waktu berbuka puasa.

3. Penyantun: Sekiranya seseoarang dicaci atau diejek, dia terus berkata: "Ya Allah aku sedang berpuasa", maka ini melatih kita untuk menahan marah.

4. Disiplin dan ketepatan masa: Waktu adalah kehidupan, seperti yang dinyatakan Hassan al-Banna. Pada bulan-bulan lain kita jarang sekali melihat kepada jam waktu, tetapi dalam Ramadhan kita sentiasa meneliti waktu seperti sahur, berbuka puasa dan waktu azan.

5. Kesatuan ummah: Bilangan muslimin seluruh dunia mencapai 1 billion. Bayangkan jumlah yang sebegitu ramai bersama-sama berpuasa dan berkumpul untuk beribadah.

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡہِم بَرَكَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَـٰهُم بِمَا ڪَانُواْ يَكۡسِبُونَ
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
(Surah Al-A'raf 7: Ayat 96)

Andai Dia Pergi Dahulu Sebelum Mu






Andai dia pergi dulu sebelum mu, sepuhlah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan pada diri, ya... kau telah pergi, pergi bersama doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!

Andai dia pergi dulu sebelum mu, tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak mu, lontarkan fikir melampaui kesedihan. Anak-anak mu punya masa depan. Di tangan mu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?

Andai dia pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun, aku tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala... yang mengalir selamanya..

Andai dia pergi dulu sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah. Kini kita berpisah untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah Ilahi – tradisi hidup Ummahatul mukminin yang ditinggalkan suami!

Andai dia pergi dulu sebelum mu, sibuklah diri mu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW bila terasa gundah... diadukan kesedihan kepada Allah.

Andai dia pergi dulu sebelum mu, bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. DIAlah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah. Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi... tapi katakan pada ku sentiasa ada pemerhati.

Apa lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah "pemutus" segala kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi. Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang paling derita.

Jika kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, belajarlah daripada Rasulullah SAW. Baginda telah menghadapi kematian orang yang tersayang secara berturut-turut sepanjang hidupnya. Bermula dari alam rahim, baginda telah ditinggalkan oleh ayahnya Abdullah. Enam tahun kemudian, ibunya Aminah meninggal dunia. Tidak lama kemudian, semasa masih dahagakan kasih-sayang, datuknya Abdul Mutalib pula pergi buat selamanya. Tinggallah dia dalam pemeliharaan ayah saudaranya, Abu Talib.

Ketika masih perlukan perlindungan Abu Talib, Rasulullah SAW ditinggalkan lagi. Abdul Talib meninggal dunia ketika keislaman begitu didambakan. Sedangkan sebelumnya, Rasulullah saw telah kehilangan isteri tersayangnya Siti khadijah... Lalu tahun itu dinamakan tahun kesedihan!

Baginda diberi enam orang anak lelaki yang meninggal semuanya sewaktu kecil. Anak-anak yang ketiga dan keempat, meninggal dahulu di hadapan matanya. Alangkah rindunya untuk mendapat cahaya mata lagi, lalu Rasulullah SAW dikurniakan anak lelaki, Ibrahim. Kebetulan rupanya amat mirip dengan baginda. Tetapi Ibrahim juga meninggal dunia ketika sarat menyusu.

Lalu ditumpukan kasih sayangnya kepada cucundanya Hasan dan Husin. Sangat dimanjakan, sehingga pernah sujudnya sedemikian lama hanya untuk memberi waktu agar cucunya turun dari belakangnya. Namun, dari ilham Ilahi, baginda telah tahu bahawa ada peristiwa besar bakal menimpa keduanya. Baginda hanya memberitahu salah seorang daripadanya bakal mendamaikan perselisihan besar. Dipendamkannya tragedi pembunuhan yang bakal dihadapi oleh Husin di Karbala.

Begitulah Rasulullah menghadapi saat perginya orang yang tersayang. Lalu bagaimana pula keperibadiannya ketika baginda sendiri pergi meninggalkan orang yang tersayang? Sejarah menceritakan bagaimana ketika baginda terbaring di hamparan yang telah tua, berselimutkan kain kasar manakala minyak pelita lampu rumahnya hampir kehabisan... ketika itulah baginda menyebut, "rafiqil a'la, rafiqil a'la – teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi!"

Dalam "kamus" kehidupan para muqarabin (orang yang hampir dengan Allah), tercatatlah ungkapan bahawa mati itu adalah syarat menemui cinta. Ya, begitu rindunya baginda untuk bertemu Allah – cinta hakiki dan sejatinya. Itulah teman daerah tinggi yang sangat dirindunya. Perginya dengan tenang walaupun demam panas yang dihidapinya dua kali ganda yang dialami manusia biasa.

Namun begitu, di saat sakaratul yang begitu hebat, masih sempat baginda berpesan tentang solat. Untuk siapa? Siapa lagi kalau bukan untuk kita... umat yang akan ditinggalkannya.

Semua orang mengakui hakikat bahawa mati itu datang tiba-tiba. Tetapi aneh, manusia yang pasti mati itu terus hidup sambil lewa.

Ketika segala tragedi dan ujian menimpa, Rasulullah SAW tetap bahagia. Bahagia inilah yang digambarkan oleh pembantunya, Anas bin Malik dengan pengisahannya:

"Aku telah menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah baginda berkata atas apa yang aku kerjakan: "Mengapa engkau kerjakan?" Tidak pernah pula baginda berkata atas apa yang aku tidak kerjakan: "Mengapa engkau tidak kerjakan?" Tidak pernah baginda berkata pada barang yang ada: "Mengapa ada pula barang ini?" Tidak pernah baginda berkata pada barang yang tidak ada:"Alangkah baiknya kalau barang itu ada." Kalau terjadi perselisihan antara aku dengan ahli keluarganya, baginda akan berkata kepada keluarganya: "Biarlah, kerana apa yang ditakdirkan Allah mesti terjadi!"

Inilah bahagia yang dialami oleh Rasulullah SAW. Aku cuba mencungkil sekelumit rahsia kebahagiaan yang hakiki ini. Mudah-mudahan kita akan dapat menghayati kunci kata di sebalik model insan yang paling bahagia ini. Kunci kata itu tepat dan padat , ana abdullahi walan yudhi'ani , aku hamba Allah, DIA tidak akan mengecewakanku!"

- Artikel iluvislam.com

Ramadhan Semakin Hampir






Telah berlalu hari, minggu, dan bulan. Sedar atau tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan, dan rahmat. Bergema di serata dunia doa orang-orang yang beriman; Allahumma Ballighna Ramadhan. Doa yang diwarisi dari kekasih yang dicintai Ar-Rasul s.a.w.

Allahumma Ballighna Ramadhan. Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini. Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa 'Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan' (Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi).
Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah s.a.w dididik dengan tema yang agung ini; Allahumma Ballighna Ramadhan. Kesannya, mereka menyambut dan menanti Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan. Ini terbukti dengan doa mereka selama enam bulan sebelum Ramadhan menharap agar bertemu dengannya. Kemudiannya, enam bulan selepas Ramadhan pula disi dengan tangisan kerana berlalunya Ramadhan. Saudara yang mulia, bagaimanakah halnya kita?

Allahumma Ballighna Ramadhan, merupakan doa dan harapan. Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang salih bahawa mereka mengidam dan tamakkan limpahan Allah dalam bulan ini (Rahmat, Keampunan, Pelepasan dari Neraka). Kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar peluang ini tidak disia-siakan atau berlalu tanpa dimanfaatkan.

Maka bagaimanakah caranya kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramdhan kali ini.

Iman

1. Taubat yang benar (Istighfar, meninggalkan maksiat).

2. Sentiasa berdoa Allahumma Ballighna Ramadhan.

3. Perbanyakkan puasa di bulan Sya'ban (Isnin-Khamis, 15-16-17).

4. Membaca Al-Quran (meletakkan matlamat satu juz sehari misalnya).

5. Mujahadah untuk bangun malam (beberapa kali seminggu).

6. Berzikir setiap masa, Al-Mathurat pagi dan petang (penggunaan tasbih sangat membantu).

Ilmu

1. Membaca/belajar buku Feqah Puasa dengan lengkap beserta kelebihan, rahsia, dan tafsiran ayat Al-Quran yang berkait dengan puasa.

2. Membaca buku-buku penyucian jiwa.

3. Mendengar ceramah-ceramah tentang Ramadhan.

4. Mengulangkaji surah-surah yang telah dihafal, sebagai persediaan solat samada sebagai imam atau makmun di bulan Ramadhan.

Keazaman

1. Membuka lembaran amalan baru yang jauh lebih baik.

2. Menjadikan hari-hari dalam bulan ini, lebih baik dari hari-hari biasa.

3. Sentiasa memakmurkan rumah Allah, pada setiap solat fardhu dan iktikaf.

4. Membersihkan puasa dari perkara yang merosakkannya seperti mengumpat.

5. Sentiasa berlapang dada.

6. Menghadirkan niat untuk amal soleh di bulan puasa.

Jihad

1. Merealisasikan matlamat 'Bersungguh-sungguh melawan nafsu'.

2. Menahan diri dari berlebihan dalam perkara harus (makan, pakaian, tidur).

3. Menjaga lidah dari berkata keji, mengumpat, dan mencaci.

4. Menahan syahwat dari perkara yang haram.

5. Membuat semakan amalan di bulan Ramadhan tentang segala yang dibincangkan di atas.

'Bir Halal' Dibolehkan?






Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menasihatkan pengeluar minuman ringan malta atau 'bir halal' mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau majlis agama Islam negeri (MAIN).

Pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata ini bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam selepas muzakarah jawatankuasa itu pada 16 dan 18 Jun lepas memutuskan minuman tersebut diproses bukan untuk tujuan pembuatan arak.

"Alkohol yang terkandung dalam minuman tersebut juga bukan terhasil daripada proses pembuatan arak serta dengan kadar yang sedikit dan tidak memabukkan adalah dibolehkan," katanya kepada pemberita.

Isu bir halal timbul sejak 28 Mei lepas, susulan laporan akhbar mengenai penjualan minuman berkenaan yang semakin popular pada kalangan umat Islam di negara ini. _BERNAMA

- Kuala Lumpur, 26 Julai 2011

Tuesday, July 19, 2011

Karamat para sahabat

KEISTIMEWAAN Rasulullah SAW dan karamat para wali adalah jenis yang sama dari aspek hukum dan naqal (periwayatannya), yakni kita tidak perlu bersikap ketat dan tegas dalam meriwayatkannya sebagaimana yang dilakukan dalam soal hukum halal dan haram.

Keistimewaan dan karamat hanya berkisar di sekitar manaqib (biografi) seseorang dan kelebihannya.

Oleh sebab itu, pendirian Sheikh Ibnu Taimiyyah mengenai karamat para wali, sama dengan pendiriannya tentang keistimewaan Nabi Muhammad. Bahkan, beliau juga mengutip dan menaqalkan di dalam kitab-kitabnya, sejumlah contoh karamat para wali dan perkara-perkara yang mencarik adat yang pernah terjadi pada permulaan Islam (zaman sahabat r.a).

Jika kita mengkaji tentang darjat hadis-hadis yang menyebut mengenai perkara tersebut, sanad-sanad dan jalan-jalan penetapannya, nescaya kita akan mendapati antara hadis-hadis itu ada yang sahih, hasan dan daif; dan ada pula yang maqbul (diterima) dan mardud (ditolak) bahkan, ada pula yang munkar dan syaz (ganjil).

Kesemua darjat hadis seperti itu, diterima dalam bab ini. Antaranya, perkataan Ibnu Taimiyyah mengenai karamat sebahagian sahabat.

1) Ummu Aiman pernah keluar untuk berhijrah. Dia berangkat tanpa membawa sebarang bekalan, bahkan tanpa membawa air. Dia hampir mati kerana kehausan. Tetapi, ketika waktu berbuka dan dia berpuasa dalam perjalanannya, dia mendengar suara di atas kepalanya.

Ketika mengangkat kepala, dia melihat ada sebuah timba tergantung. Dia pun minum sampai kenyang. Setelah kejadian itu, dia tidak pernah kehausan lagi sepanjang hayatnya.

2) Safinah, pembantu Rasulullah SAW, memberitahu kepada seekor singa bahawa dia adalah utusan Rasulullah SAW. Safinah r.a kemudian berjalan dengan ditemani oleh singa tersebut hingga sampai ke destinasinya.

3) Al-Bara' ibn Malik termasuk orang yang jika bersumpah atas nama Allah, sumpahnya (doanya) sering dimakbulkan. Ketika berhadapan dengan peperangan yang begitu menekan kaum Muslimin, mereka kerap mengatakan: "Wahai Bara'! Bersumpahlah dengan nama Tuhanmu! (Mintalah kepada Tuhanmu!)".

Maka, dia pun mengucapkan: "Wahai Tuhan! Aku bersumpah dengan (nama)Mu, supaya Engkau mengurniakan kemenangan kepada kita." Musuh pun akhirnya kalah. Ketika Peperangan Qadisiyah, dia berkata: "Aku bersumpah kepada-Mu, wahai Tuhanku, kerana Engkau telah memberikan bahu-bahu mereka kepada kita (kemenangan), maka jadikanlah aku orang yang pertama syahid."

Maka mereka pun akhirnya 'memberikan bahu mereka' (menyerah kalah), dan Al-Bara' akhirnya gugur sebagai syahid.

4) Khalid ibn Walid, pahlawan kaum Muslimin yang terkenal, telah mengepung benteng musuh yang kukuh. Maka mereka berkata: "Kita tidak akan masuk Islam kecuali jika kamu berani meminum racun".

Khalid pun meminumnya. Ternyata, racun itu tidak memudaratkannya.

5) Ketika mengutus pasukan tentera, Umar ibn al Khattab melantik seorang lelaki bernama Sariyah sebagai pemimpin. Ketika Umar sedang berpidato di atas mimbar, tiba-tiba dia berteriak dari mimbar seraya berkata: "Wahai Sariyah! (Pergilah menuju ke) gunung! Wahai Sariyah! Gunung!"

Maka pada suatu hari, pemimpin tentera itu menemui Umar dan bertanya kepadanya. Dia berkata: "Wahai Amir al Mukminin! Ketika kita bertempur dengan musuh, kita telah dikalahkan. Tiba-tiba ada suatu suara yang kuat berteriak "Wahai Sariyah! (Pergilah menuju ke) gunung!" Lalu kita berlindung di balik gunung. Ternyata, Allah telah mengalahkan mereka (musuh-musuh)."

6) Perkara istimewa juga terjadi kepada al-'Ala' ibn al-Hadhrami. Beliau adalah gabenor Rasulullah yang dihantar untuk memerintah Bahrain. Dalam doanya, antara lain dia mengatakan: "Wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui! Wahai Tuhan Yang Maha Penyantun! Wahai Tuhan Yang Maha Tinggi! Wahai Tuhan Yang Maha Agung!" Maka Allah memperkenankan doanya.

Dia juga pernah memohon kepada Allah agar diberikan air supaya dapat berwuduk ketika mereka kehabisan air dan sebagai pengairan untuk orang-orang selepas mereka.

Ternyata doanya dikabulkan Allah. Bahkan, dia juga pernah berdoa kepada Allah ketika mereka perlu menyeberangi lautan, tetapi tidak dapat melaluinya bersama kuda mereka. Berkat doanya, mereka akhirnya dapat menyeberangi lautan itu.

Bahkan, mereka berjalan di atas air, dan tidak ada satu pelana pun yang dibasahi air. Dia juga pernah berdoa supaya orang tidak melihat jasadnya jika dia mati dan ternyata mereka tidak menemui jasadnya dalam liang lahad.

7) Hal yang istimewa juga terjadi kepada Abu Muslim al Khaulani yang pernah dilemparkan ke dalam api. Abu Muslim dicari oleh al-Aswad al-'Unsiy yang pernah mengaku menjadi nabi.

Al-Aswad berkata kepadanya: "Apakah engkau menyaksikan bahawa aku adalah Rasulullah?" Abu Muslim menjawab: "Aku tidak mendengar (hal itu)".

Al-Aswad bertanya lagi: "Apakah engkau bersaksi bahawa Muhammad utusan Allah?" Dia menjawab: "Ya."

Lalu al-Aswad memerintahkan supaya dinyalakan api yang besar, kemudian Abu Muslim dilemparkan ke dalamnya. Anehnya, mereka mendapati Abu Muslim bersolat dalam api yang marak itu. Api itu menjadi dingin dan menyelamatkannya.

Dia juga pernah datang ke Madinah setelah kewafatan Nabi Muhammad. Umar ibn al Khattab mendudukkannya antara beliau dan Abu Bakar al Siddiq kepadanya. Saidina Umar berkata: "Segala puji bagi Allah yang masih belum mematikan aku sehingga aku sempat melihat di antara umat Muhammad orang yang Dia perlakukan seperti yang pernah dilakukan-Nya terhadap Nabi Ibrahim Khalil Allah."

8) Sa'id ibn al Musayyib pada masa pertelingkahan di antara penduduk Madinah dan tentera Yazid ibn Muawiyah tahun 63 Hijrah, mendengar azan dari makam Rasulullah pada waktu-waktu solat, padahal masjid kosong dan tiada sesiapa selain dia di dalamnya.

9) 'Amru ibn Uqbah ibn Farqad pernah melakukan solat ketika cuaca panas terik, lalu awan menaunginya. Dia juga pernah dilindungi oleh singa ketika menggembala kuda sahabat-sahabatnya.

10) Mutrif ibn Abdullah ibn al-Syikhkhir apabila memasuki rumahnya, perkakas rumahnya bertasbih bersamanya. Dia pernah berjalan bersama sahabatnya di dalam kegelapan malam. Maka, mereka disuluh cahaya yang terpancar daripada hujung cemetinya.

Inilah antara karamat para sahabat r.a yang dinukilkan oleh Ibnu Taimiyyah di dalam al-Fatawa al-Kubra. (Jilid 11, ms. 281).

Kita menyebutnya di sini kerana Ibnu Taymiyyah adalah antara tokoh yang sering diidolakan oleh aliran yang menjadikan khususiyyat Nabi SAW ataupun keramat para auliya' punca sikap menuduh sesat sesama Islam.

Penegasan ke-Esaan Allah

Surah ini termasuk dalam surah Makiyyah. Ini pendapat Ibn Mas'ud, al-Hasan, Ata', Ikrimah dan Jabir. Mengikut riwayat Ibn Abbas, Qatadah dan al-Dahhak, surah ini termasuk surah Madaniyyah. Ia terdiri daripada empat ayat dan diturunkan selepas surah al-Nas.

Sebab turunnya surah ini

Al-Dahhak meriwayatkan bahawa kaum musyrikin mengirim Amir Ibn al-Tufail menemui Rasulullah SAW lalu Amir berkata kepada baginda: "Engkau telah mencerai-beraikan persatuan kami, mencaci maki sembahan kami, menyalahi agama nenek moyangmu kami, sekiranya engkau fakir, kami sanggup membuatmu kaya, jika engkau gila, kami akan mengubatkanmu.

"Jika engkau cenderung mencintai seorang wanita maka kami akan mengahwinkanmu."

Lalu Rasulullah menjawab: "Aku bukan orang fakir, bukan orang gila, tidak merindukan wanita, aku adalah utusan Allah SWT, aku ajak kamu meninggalkan penyembahan berhala kepada menyembah Allah SWT."

Untuk kali kedua kaum Musyrikin mengutus Amir menemui Rasulullah seraya berkata: "Katakan padanya (Muhammad), jelaskan kepada kami jenis sembahanmu daripada emas atau daripada pereka?"

Lalu Allah SWT turunkan surah ini. Firman Allah SWT: Katakanlah: Dialah Allah, yang Maha Esa.

Perkataan Allah telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam buku Isu Kalimah Allah. Oleh itu, di sini hanya disebutkan tambahan daripada maksud Allah oleh pendapat ulama.

Satu persoalan yang mungkin perlu diberi jawapan adakah lafaz Allah daripada bahasa Arab atau beberapa bahasa Semantik yang mempunyai pertalian dengan bahasa Arab turut menggunakan kalimah Allah ketika merujuk kepada Tuhan seperti Elaha dalam bahasa Aramaic dan Elohim dalam bahasa Ibrani?

Terdapat dua pandangan dalam perbahasan isu ini:

i. Al-Balkhi berkata: "Ia bukan berasal daripada bahasa Arab, tetapi bahasa Ibrani atau Siryani yang telah di Arabkannya menjadi Lahan, maknanya yang mempunyai kudrat."

Ssedangkan al-Alusi pula berkata: "Tiada dalil yang menunjukkan begitu dan tidak membawa ke arah itu, begitu juga penggunaan orang Yahudi dan Kristian bukan menjadi dalil kerana boleh jadi berlaku persamaan bahasa berkenaan dengan ketuhanan."

ii. Mengikut pendapat ulama muktabar bahawa lafaz Allah adalah daripada bahasa Arab. Inilah pendapat Imam al-Syafie, Muhammad Ibn al-Hasan, Imam al-Asy'ari dan ramai sahabatnya, al-Khattabi, Imam al-Haramain, Imam al-Ghazali, Imam Fakhr al-Razi dan kebanyakan ahli usul dan fikah.

Begitu juga dinukilkan daripada pilihan al-Khalil, Sibawayh, al-Mazini dan Ibn Kisan bahawa lafaz Allah adalah dari bahasa Arab dan nama pada asalnya untuk zat-Nya sahaja.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Asal perkataan Allah dan maksudnya

Al-ALUSI dalam Ruh al-Ma'ani berkata: "Asalnya dari I'lali ialah ilah seperti dalam al-Sihah atau al-Ilalah seperti dalam al-Kasyaf yang kedua-duanya mempunyai hujah."

Al-'Allamah al-Sa'd berkata: "Sesungguhnya Tuhan atau ilah adalah nama yang difahami secara kulli yang disembah dengan sebenarnya sedangkan Allah adalah ism alam bagi zat-Nya."

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Usul al-Iman wa al-Islam berkata: "Allah bermaksud bahawa Dia Maha Berkuasa atas segala makhluk-Nya dan bahawa dia tidak berlaku kecuali mengikut kehendak-Nya. Dan bahawa Dia Maha Menguasai dan Maha Perkasa yang tidak boleh dikalahkan dan bahawa Dia Maha Berkuasa yang tidak boleh dilawan dan di atasi dan tidak sah taklif kecuali daripadanya."

Ulama tauhid berkata: "Allah adalah ism alam (nama khas) kepada zat yang Maha Sempurna iaitu Allah SWT sedangkan makhluk ialah sifat yang mungkin ada dan dia adalah selain daripada Allah SWT."

Allah adalah ism alam yang menunjukkan atas zat di mana semua nama Allah yang mulia terhimpun pada Allah. Allah ialah nama-Nya Yang Maha Agung.

Al-Khazin dalam tafsirnya berkata: "Allah adalah nama khas bagi Allah yang bersifat Tunggal dan Esa, tiada musytaq (terbitan) dan tidak disekutukan oleh sesuatu."

Dalam Tafsir Hadaiq al-Rauh al-Raihan menyebut: "Allah maknanya yang berhak diibadat, tidak kepada yang lain."

Konteks Bahasa Melayu

Prof. Syed Mohd Naquib al-Attas menyebut: "Bahasa membayangkan hakikat kewujudan. Menyeludupkan faham-faham kunci yang asing pada sesuatu bahasa melibatkan bukan semata-mata menterjemahkan kata-kata, bahkan lebih mendalam kesannya, ia juga melibatkan penterjemahan rupa cipta perlambangan yang dimiliki oleh sistem besar pandangan alam asing yang tiada bersesuaian dengan pandangan alam yang ditayangkan oleh bahasa yang ke dalamnya faham-faham itu diseludupkan."

Bahasa Melayu merujuk kepada bangsa Melayu. Rumpun bangsa Melayu adalah sinonim dengan agama Islam. Berdasarkan kepada bukti sejarah dan artifak jelas menunjukkan bahawa Tanah Melayu telah menerima Islam sejak abad ke-7, 8 dan 9. Ini terbukti dengan penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang, Terengganu bertarikh 22 Februari 1303M.

Pemerintahan Islam bermula di Tanah Melayu dengan tertegaknya Kesultanan Melayu Melaka pada 1414M yang menjadikan Islam sebagai agama negara.

Begitu juga seperti yang diketahui umum berdasarkan fakta sejarah bahawa perundangan di Tanah Melayu sebelum kolonial juga berasaskan Islam seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang 99.

Pengaruh Islam di Tanah Melayu juga membawa masuk kalimah-kalimah Arab ke dalam bahasa Melayu. Istilah-istilah Arab digunakan dengan meluas dalam bahasa Melayu seperti nama-nama hari dan lain-lain. Tulisan jawi juga sebagai lambang pengaruh Islam yang kuat kepada umat Melayu.

Bahasa Melayu itu juga lahir daripada rahim agama Islam. Perlembagaan dalam perkara 160 (2) menetapkan orang Melayu mestilah beragama Islam. Oleh itu, kerana kalimah Allah adalah istilah yang telah diserap dalam Bahasa Melayu maka ia hendaklah difahami mengikut bangsa Melayu yang berasaskan agama Islam.

Dengan sebab itu ia membuka ruang agama lain menggunakan kalimah 'Allah' akan mengubah maksud asal kalimah 'Allah' menurut bahasa Melayu.

Justeru, jika dibenarkan Kristian menggunakan kalimah 'Allah' maka makna asal 'Allah' dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (iaitu Tuhan Yang Maha Esa) terpaksa ditukar kepada Tuhan Yesus/ Tuhan Berhala/ Tuhan Bapa/ Tiga Tuhan Bersatu (Triniti). Tidakkah ini mencelarukan?

Perkataan ahad adalah sama dengan wahid yang memberi maksud ke-Esaan. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Abu Ubaidah, sedangkan sebahagian ulama membezakannya.

Abu Sulaiman al-Khattabi berkata: "Wahid menunjukkan ke-Esaan pada zat tanpa sebarang tandingan, sedangkan ahad pula bersifat tunggal dengan maknanya tanpa disekutukan oleh seseorang."

Sayid Qutub berkata: "Itulah hakikat ke-Esaan kewujudan Allah SWT. Di sana tiada hakikat melainkan hakikat Allah SWT. Tiada kewujudan hakiki melainkan kewujudan Allah SWT. Segala maujud yang lain adalah mengambil kewujudan mereka dan kewujudan Allah SWT yang hakiki."

Ia juga merupakan hakikat ke-Esaan Pencipta yang tiada tandingannya. Itulah akidah hati nurani dan itulah juga pentafsiran bagi kewujudan alam. Apabila pentafsiran ini mantap dalam hati dan kefahaman ini jelas dan terang maka bersihlah hati dari segala kepercayaan yang karut dan dari segala pergantungan dengan yang lain dari zat Allah SWT.

Iaitu hati bersih daripada pergantungan dengan sesuatu yang lain. Justeru, tiada hakikat bagi sesuatu kewujudan kecuali kewujudan Ilahi dan tiada hakikat bagi sesuatu kuasa pencipta kecuali iradat ilahiah sahaja. Tiada ertinya bergantung dengan sesuatu yang tidak mempunyai sebarang hakikat bagi kewujudannya dan sebarang hakikat bagi kuasa pencipta-Nya.

Bagi siapa yang ingin mendapatkan penjelasan lebih lanjut, sila rujuk buku Keabsahan Penggunaan Nama Allah SWT Hanya Untuk Orang Islam terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Apabila hati telah bersih dari segala perasaan terhadap yang lain dari hakikat Allah yang tunggal dan bersih dari pergantungan kepada yang lain dan hakikat Allah, maka ketika itu ia akan bebas dari segala belenggu dan ikatan, keinginan nafsu yang menjadi punca segala perkara buruk.

Apabila mantapnya kefahaman ini maka di tahap inilah hati seseorang akan melihat kudrat Allah SWT menguasai segala sesuatu yang dilihatnya.

Menyenangi alunan azan

"BAYANGKAN berapa tahun lamanya saya peruntukkan masa bagi mendapatkan Islam itu.

"Namun alhamdulillah, ternyata Allah memberkati dan merestui langkah saya ini yang menyebabkan saya sangat bangga menjadi Muslim," kata bintang sinetron Indonesia Stendly Delon yang kini dikenali sebagai Muhammad Ramadan.

Meski pun dikira terlambat tetapi dengan memeluk Islam ia membuatkan beliau tetap bertenaga seperti anak muda.

"Malah seperti anak yang baru dilahirkan, saya terus berpuasa dan alhamdulillah dapat menjalaninya dengan tabah dan kuat tanpa ada sebarang masalah," katanya.

Semangatnya juga semakin berkobar untuk belajar lebih banyak mengenai Islam, termasuk membuat perbandingan antara al Kitab (Injil) dengan al-Quran.

"Tentu sahaja melalui Islam, ajarannya jauh melebihi apa juga ajaran agama lain dengan mempunyai aturan yang sangat lengkap terhadap umatnya.

“Walaupun dahulunya saya beragama Kristian tetapi yang lebih dekat dengan saya adalah masjid berbanding gereja yang menyebabkan saya lebih membesar bersama dengan Islam berbanding Kristian itu sendiri," katanya.

Azan yang sering berkumandang dari menara-menara masjid antara pendorong utama yang menyebabkan Ramadan tertarik kepada islam.

"Ketika usia masih kecil, saya begitu menyenangi alunan azan yang kedengaran tiap kali waktu solat sehingga saya dapat menghafal dan mengalunkan semula azan itu,

"Ketika mendengar suara azan hati ini rasa amat damai sekali. Saya tidak tahu mengapa. Namun bagi saya azan benar-benar satu panggilan saya kepada Islam kerana mendengarkannya, sangat mendamaikan hati.

"Jadi, suara azan dengan saya, kami umpama sahabat yang sangat akrab yang kekal bertahun-tahun dan selamanya akan tetap begitu," ujarnya.

Keindahan Islam Berasaskan Kasih Sayang



Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Kasihanilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang tinggal di langit". (Riwayat at-Tabrani)

Islam Mementingkan Kasih Sayang

1. Kasih sayang adalah satu sifat yang terpuji yang amat digalakkan bagi setiap individu Muslim.

2. Belaian dan layanan yang mesra akan melahirkan suasana yang mesra, harmoni dan tenang dalam kehidupan. Oleh itu Islam amat menekankan tentang pentingnya nilai kasih sayang dalam sistem kekeluargaan dan juga kehidupan bermasyarakat.

3. Antara tumpuan (bentuk) kasih sayang itu adalah:

i. Ucapan dan kata-kata yang menggunakan perkataan yang manis dan bersopan.
ii. Melalui sentuhan yang lemah lembut.
iii. Melalui pujukan, pujian, penghargaan dan senyuman.

4. Apabila ditinjau tentang kehidupan masyarakat hari ini ternyata punca perpecahan yang berlaku ialah kerana kurangnya semangat kasih sayang dalam pergaulan mereka. Akibatnya mudahlah musuh Islam menyebarkan pelbagai hasutan dan propaganda agar umat Islam terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri yang akhirnya membawa kepada kejatuhan umat.

قُل لِّمَن مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ قُل لِلّهِ كَتَبَ عَلَى نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ لَيَجْمَعَنَّكُمْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ لاَ رَيْبَ
فِيهِ الَّذِينَ خَسِرُواْ أَنفُسَهُمْ فَهُمْ لاَ يُؤْمِنُونَ
Katakanlah: ""Kepunyaan siapakah apa yang ada di langit dan di bumi?""Katakanlah: "Kepunyaan Allah"". Dia telah menetapkan atas diri-Nya kasih sayang. Dia sungguh-sungguh akan menghimpun kamu pada hari kiamat yang tidak ada keraguan terhadapnya. Orang-orang yang merugikan dirinya, mereka itu tidak beriman.
( Surah Al-An'am 6 : Ayat 12)

Cinta & Cita-Cita





"Cintaku bukan di atas kertas, cintaku getaran yang sama,

tak perlu dipaksa, tak perlu dicari,

kerna ku yakin ada jawabnya."

Tutuplah kelopak mata dan selamilah pengertian sedalam lautan kalimah CINTA. Dengarkanlah setiap rentak dalam nalurimu apabila ungkapan romantis CINTA dituturkan, saat tangis seakan gerimis, saat jiwa seakan berduka dan saat hati seakan sunyi. Benarkah kata orang CINTA tidak punya mata tapi hanya ada hati.

Kebanyakan kita mentafsir cinta dengan membayangkan sepasang kekasih, tersimpul dalam ikatan kasih sayang, mengalir sederas aliran di detak rindu, berbenih dan berbunga di telaga sukma. Hakikatnya, CINTA adalah ungkapan yang bukan sekadar ungkapan. CINTA adalah sebuah anugerah yang nilainya bukan segunung waima selautan emas sekalipun. Yakinlah, suburnya keimanan, teguhnya kepercayaan dan tulusnya kehambaan adalah kerana wujudnya CINTA.

Ingatlah sabda Rasulullah S.A.W:

"Tidak sempurna Iman seseorang itu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."

CITA-CITA adalah garapan impian dan harapan seseorang akan masa depannya. Motivasi paling setia dalam rangka sebuah kejayaan, pembakar semangat kental dalam menapak maju ke hadapan. Sebuah eskalator termaju dalam pencarian erti kehidupan sebenar. Insan tanpa CITA-CITA, ibarat aliran air dari pergunungan menuju ke dataran rendah. Terus mengalir namun tiada pedoman arah tujunya.

CITA-CITA adalah ibarat sebuah bangunan, terbina dari susunan batu-bata kekentalan, tercantum dengan simen pengetahuan dan terteguh dengan pasir keyakinan. CITA-CITA bukanlah hanya ingin menjadi ternama, mempunyai prospek kerjaya mahupun menjadi usahawan berjaya, namun CITA-CITA tertinggi adalah menggapai keredhaan Illahi duniawi juga ukhrawi.

Renungilah, apakah wujud al-Mizan CINTA dan CITA-CITA? Perlukah CINTA itu dipisahkan dengan CITA-CITA? Mampukah CITA-CITA itu dipertahankan tanpa sebuah CINTA? Haruskah CINTA itu hadir setelah diperoleh CITA-CITA?

Percayalah, CINTA dan CITA-CITA adalah dua komponen yang seiring landas geraknya, saling melengkapi dalam memperteguh matlamat keduanya. Ibarat perlunya malam kepada siang, signifikannya suami kepada isteri dan hadirnya cahaya dalam kegelapan.

Dalam travelog CITA-CITA, kita perlukan kekuatan, menahan segala dugaan dan rintangan yang bukan sedikit cuma dan hadirnya CINTA sebagai sumur dalam perjuangan.

Sebab itulah perlu ditegaskan bahawa pengertian CINTA itu luas lingkup tafsirannya. Rahmat Allah adalah CINTA buat kita, kasih sayang ibu bapa adalah CINTA buat kita, sokongan sahabat-sahabat adalah CINTA juga buat kita. Mustahillah, bagi kita andai dikatakan semua ini tidak perlu dalam mengejar kemurniaan CITA-CITA. CINTA adalah teman setia CITA-CITA. Raja kepada CINTA ini adalah hati yang dijalin atas nama Maha Pencipta.

Oleh itu, fikirlah tentang al-Mizan CINTA dan CITA-CITA. Yang halus timbangannya, atas redha Allah CINTA dan CITA-CITA bersatu. Walaupun siapa kita, tanah mana kita berpijak dan langit mana kita bernaung, janganlah sesekali kita pisahkan keduanya. Moga atas jambatan CINTA Allah, bertautlah keimanan tulus dalam naluri kita yang kudus, dan moga atas rahmat Allah jugalah, CITA-CITA yang digarap atas nama CINTA-NYA mampu digapai dalam inayahnya.

Insya-Allah.

-Artikel iLuvislam.com

Friday, July 15, 2011

Gangguan Syaitan: Antara Syirik Dan Sunnah





Sakit dan ketidak-ketenteraman yang terhasil dari gangguan syaitan bukan lagi sesuatu yang asing di dalam masyarakat kita. Walaupun masyarakat barat di masakini langsung tidak mempercayai kewujudan syaitan, apalagi mempercayai kesan buruk yang boleh diberikan syaitan kepada manusia, namun bukti yang 'membanjiri' mereka, hatta bukti yang datang secara saintifik, memaksa mereka mula untuk mengkaji dan mempercayai hal ini.

Keadaan ini mengingatkan penulis bahawa suatu ketika dahulu, saintis psikologi tidak mempercayai wujudnya fikiran kognitif, namun kehadiran psikologi kognitif telah menyangkal idea mereka secara mutlak. Begitu juga halnya dengan alam ghaib, atas bukti yang melampau banyaknya, tidak mustahil suatu hari nanti mereka akan menerimanya secara total.

Berbalik kepada tajuk asal kita. Apabila seorang dari kita diganggu jin atau syaitan, pada kebiasaannya kita akan merujuk kepada golongan-golongan yang lebih tahu di dalam selok belok hal ini, iaitu biasanya golongan ustaz. Penulis teringat kisah-kisah orang terdahulu, yang memandang segala bacaan atau teknik yang digunakan golongan ini langsung tidak akan dipersoal, kerana bagaimana carapun yang mereka gunakan, akan diterima oleh orang awam, atas nama 'ikhtiar'.

Alhamdulillah, kini telah wujud ramai golongan yang mula khuatir dengan kemurniaan aqidah mereka, adakah teknik perubatan yang digunakan oleh si fulan bertepatan dengan kehendak Al-Quran dan Sunnah yang sahih? Adakah teknik yang mereka gunakan tidak terlibat dengan najis syirik? Bagaimana impak teknik yang bercampur gaul dengan syirik itu ke atas keimanan kita?

Maka persoalan-persoalan inilah yang akan cuba dikupaskan di sini. Penulis juga akan turut membawakan beberapa isu lain yang dipandang berkaitan dengan perihal ini.

1) Pastikan bahawa sakit itu adalah sakit yang berpunca dari jin dan syaitan.

Ini merupakan perkara asas yang perlu dilakukan. Jikalau ada tanda-tanda sakit seperti batuk yang tidak terhenti, muntah tanpa diketahui punca, atau dengan kata-kata lain, tanda-tanda sakit yang mungkin juga berpunca dari sakit fizikal yang normal, cubalah bawakan dahulu berjumpa doctor, kerana jikalau sakit itu sakit fizikal, buruk padahnya jika lambat diubati. Hal ini penulis pandang sangat-sangat penting, kerana ramai penulis berjumpa orang yang asal sakit sedikit, 'ada orang buat', demam lambat sembuh, 'ada orang dengki lah tu', dan sebagainya. Akhirnya sakit yang ringan menjadi bertambah berat dan sampai ke tahap yang sukar diubati lagi.

Namun jikalau sakit itu benar-benar nyata keanehannya, seperti tanda kena cakar dan berdarah, muntahkan paku atau miang buluh, maka itu jelas perbuatan sihir. Yang penulis maksudkan di atas ialah tanda-tanda yang ada kemungkinan sakit fizikal.

Suka diingatkan di sini, hal-hal seperti ternampak lembaga yang menakutkan, atau mendengar bisikan-bisikan suara, itu juga ada kemungkinannya memerlukan perhatian pakar minda, seperti ahli psikologi. Pernah penulis terserempak dengan kes seorang pemuda berumur 15 tahun, yang asyik berkata dia nampak makhluk-makhluk dengan wajah yang menakutkan, dan dipercayai dia diganggu jin. Maka penulis menasihatinya berjumpa dengan pakar psikologi klinikal, dan alhamdulillah setelah mengambil ubat yang diberikan, fikirannya telah kembali seperti biasa, tanpa perlu bantuan 'bomoh' dan sebagainya. Tambahan pula, pelbagai bomoh telah dia upah, akhirnya ribuan ringgit habis dan penyakitnya tidak juga pulih!

Jikalau sudah pasti sakit tersebut bukanlah sakit fizikal atau mental, maka sakit itu besar kemungkinannya datang daripada gangguan anak cucu Iblis. Antara kesan-kesan daripada gangguan iblis dan syaitan adalah:

i) rasa tidak tenang hati, selalu rasa serba tidak kena.
ii) rasa takut yang tidak diketahui puncanya.
iii) Terlalu sukar untuk bangun solat.
iv) Jikalau sudah bersuami isteri, terasa tidak senang apabila bersama.
v) Selalu rasa cenderung kepada marah, walaupun tiada apa untuk dimarahkan.

Jikalau terdapat wujudnya tanda-tanda ini, maka ada kemungkinannya gangguan telah bermula.

2) Melawan sihir dengan sihir.

Jika ada di antara kita yang sakit, dan dibawakan kepada bomoh yang nyata-nyata menggunakan sihir di dalam berubat, maka ini adalah haram hukumnya. Kerana sihir itu termasuk di dalam amalan syirik, kerana sihir menggunakan perantaraan jin/syaitan di dalam berubat. Bagi orang awam, antara tanda-tanda bahawa si pengubat menggunakan sihir adalah:-

i) Pesakit dinasihati supaya menjauhkan diri dari air selama mana dia sakit. Ini jelas teknik sihir, kerana syaitan mahu menjauhkan kita dari wuduk dan mandi hadas, dan apabila kita tidak boleh berwuduk atau mandi hadas, jelas kita akan meninggalkan solat yang wajib!

ii) Menggunakan kemeyan dan asap. Sama sekali tidak ada di dalam teknik perubatan Rasulullah saw. Kaedah perubatan cara baginda S.A.W akan diterangkan di bahagian akhir artikel ini.

iii) Menggunakan jampi serapah yang tidak difahami. Khususnya jikalau si pengubat menggunakan perkataan seperti 'ya rijaalul ghaib' (wahai orang-orang ghaib!) dan juga 'ya arawaahal muqaddasah' (wahai roh-roh yang suci). Juga bukan dari kaedah Baginda Rasulullah S.A.W, kerana haram kita memohon pertolongan dari yang ghaib, selain Allah S.W.T.

iv) Meminta pengeras seperti telur ayam, ayam panggang, pulut kuning dan sebagainya.

Jikalau ada tanda-tanda di atas, maka jauhilah daripada meneruskan perubatan dengan orang tersebut.

Suka juga penulis ingatkan, selain daripada kaedah yang digunakan si pengubat, adalah penting bagi kita untuk melihat kepada keperibadian si pengubat itu sendiri. Jika amalan hariannya kita lihat sesuai dengan amalan Rasul S.A.W, seperti kerap berpuasa, solat sunat yang banyak, banyak berfikir tentang selok-belok agama, suka mengajarkan ilmu agama kepada orang lain, fasih membaca Al-Quran, bahkan memahami dan selalu menceritakan isi kandungannya kepada orang lain, menghayatinya, menyintai sunnah Nabi S.A.W, maka insya-Allah, dia adalah pengubat yang baik.

Sekiranya si pengubat rokok sentiasa di tangan, solat mengajinya jarang dilihat, jampi serapahnya sukar difahami, bunyinya pun karut marut, maka lebih baik dijauhi.

3) Hukum berubat dengan pengubat yang kita tidak tahu amalannya baik atau buruk, dan tidak diketahui kaedahnya sunnah atau tidak.

Ketika seorang daripada kita sedang sakit teruk, dan dibawakan kepada seseorang yang tidak kita ketahui bagaimana kaedahnya, adakah sunnah atau tidak, maka ini hukumnya HARUS, kerana kata ulama', kita di dalam keadaan darurat, sakit, takkan pula ketika itu kita sibuk menyuruh si pengubat bacakan jampinya bagi kita memastikan betul salahnya. Maka keadaan ini, harus hukumnya untuk berubat dengannya, dan kesalahannya, andaikata dia beramal dengan jampi yang salah, maka dosanya adalah di atas diri pengubat.

Terdapat si pengubat yang baru sahaja kita melangkah masuk ke rumahnya, dia terus berkata 'aku tahu apa yang telah terjadi pada engkau', sekiranya begitu sudah sah dan pasti pengubat tersebut adalah pengamal sihir. Kerana hatta Rasulullah S.A.W sendiri tidak tahu perkara ghaib seperti itu. Kerana itu jelas kita melihat di dalam sirah, tanpa pemberitahuan dari Jibrail as, Rasulullah S.A.W tidak akan tahu siapakah orang munafik di antara pengikutnya!

Ini kerana bomoh atau tukang tilik mengetahui perkara ghaib dari perkhabaran qarin, iaitu syaitan yang mendampingi kita setiap waktu. Di dalam hadis sahih bukhari, Rasulullah saw bersabda,

"Wahai Aisyah! Syaitanmu telah membuatmu berasa demikian", tanya Aisyah, "bersamaku ada syaitan?" Jawab baginda S.A.W, "Ya". Tanya Aisyah, "Adakah bersama semua manusia ada syaitan pendamping (qarin)?", jawab baginda saw, "Ya". Tanya Aisyah lagi, "Engkau juga ya Rasulullah?", jawab Rasulullah S.A.W. "Ya, tetapi dengan izin Allah aku terpelihara dari kejahatannya".

Qarin, atau syaitan pendamping inilah yang berhubungan dengan bomoh, iaitu qarinnya berhubung dengan qarin si pesakit, dari situlah bomoh mengetahui hal-hal yang telah terjadi kepada pesakit. Maka dengan ini, tahulah kita bahawa tipu daya syaitan itu sebenarnya lemah.

5) Kaedah perubatan Rasulullah S.A.W.

Di antara cara Rasulullah S.A.W bagi mengubati gangguan jin dan syaitan adalah:-

i) Membaca surah Al-Baqarah ke telinga si pesakit. Baringkan si pesakit dan bacakan surah Al-Baqarah di telinganya, kerana syaitan sangat takut kepada surah Al-Baqarah. Sabda Nabi saw di dalam musnad Ahmad Hanbal, "Janganlah jadikan rumah kamu sunyi seperti kuburan. Rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan".

ii) Membacakan surah Al-Falaq dan An-Naas, dan menyuruh pesakit mengamalkannya, seperti mana kita lihat di dalam hadis di atas.

iii) Membaca "a'uzu bikalimaatillah at-taammah, min syarrima khalaq", iaitu aku berlindung dengan kalam Allah, daripada kejahatan yang Dia ciptakan. Ini merupakan amalan yang diajarkan kepada Rasulullah saw kepada para sahabat. Juga dari amalan sunnah banyak membaca "A'uzubillahi minas syaitaanir rajiim".

iv) Membacakan Ayat Kursi sebelum tidur. Kata syaitan sendiri kepada Abu Hurairah ra, "Sesiapa yang membacakan Ayat Kursi setiap kali sebelum tidur, maka dia tidak akan dihampiri syaitan hingga ke pagi", dan amalan ini disahihkan oleh Rasulullah S.A.W.

v) Membacakan jampi Jibrail as ke atas pesakit, iaitu "Bismillahi arkiq, min kulli syai'in yukziq, wa min kulli sharrin haasid, Allahu yushfiq, bismillahi arkiq", yang bermaksud, "Dengan nama Allah aku jampikan engkau, dari segala apa yang mengganggu dirimu, dan dari segala kejahatan orang yang dengki, Allah lah yang menyembuhkan kamu, dengan nama Allah aku jampikan engkau". Jampi ini dibacakan Jibrail as ketika nabi terkena sihir, dan Rasulullah S.A.W sembuh setelah sekali bacaan. Jampi ini juga boleh dibacakan ke atas air, dan diberikan kepada pesakit untuk mandi dan minum.

vi) Menggunakan daun bidara untuk dijadikan air mandi kepada pesakit, atau diberikan kepada pesakit untuk di hidu. Kaedah ini dipelopori oleh Ibnu Taimiyah. Ini kerana beliau mendapati jin amat alah kepada bau daun bidara. Kaedahnya, ikatkan sedikit daun bidara kepada batu-batu kecil, dan rendamkan di dalam botol berisi air. Ambil sedikit air dari botol dan dicampurkan di dalam air mandian, paling kurang selama seminggu.

vii) Mencari punca sihir, sepertimana di dalam hadis, dan menghapuskannya. Ini merupakan kaedah yang paling berkesan di dalam mengubati sihir.

viii) Adapun cara yang terakhir tetapi juga terpenting, adalah si pesakit menyemak semula amalan dan disiplin dirinya menurut Islam. Jikalau ada di dalam hati perasaan hasad, dengki, enggan menutup aurat dan sebagainya, maka perbaikilah segera. Ini kerana syaitan, menurut Imam Ahmad Hanbal adalah seperti anjing yang kelaparan. Jika di tangan kita ada tulang dan daging, berapa kali kita halaupun anjing itu, ia akan datang kembali, kerana kegemarannya ada pada kita. Begitu juga syaitan. Syirik, bidaah, hasad dan sebagainya, adalah kegemaran syaitan, maka betapa baik si pengubat atau kaedah yang digunakan, jikalau si pesakit sendiri enggan berubah, maka tidak hairan jikalau gangguan datang semula.

Sesungguhnya tiada nasihat yang lebih baik dari perkataan Rasulullah S.A.W, dan tiada sunnah yang lebih baik dari sunnah Rasulullah S.A.W. Bagindalah sebaik-baik bapa, sebaik-baik suami, sebaik-baik jeneral peperangan, sebaik-baik guru, sebaik-baik pemimpin, sebaik-sebaik sahabat, dan sebaik-baik ciptaan. Dengan bantuan Al-Quran dan sunnah yang sahih, insya-Allah segala gangguan dapat kita hindari.

Ya Allah, jauhilah kami dari gangguan Iblis dan anak cucunya, laknatilah mereka, dan jauhilah mereka dari hamba-Mu yang soleh.

Ya Allah, tingkatkanlah kecintaan dan kefahaman kami kepada sunnah Muhammad S.A.W, leraikan prasangka kami terhadapnya andai ada, berikanlah kami kefahaman tentangnya dan jauhilah kami dari kejahilan tentangnya.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W , keluarga dan sahabat baginda.

Wallahualam.

-Artikel Iluvislam.com

Hakikat Sebuah Perjuangan







Berjuang itu memang pahit. Sebabnya? Kerana syurga itu manis. Bagi saya, itulah jawapan yang paling tepat dan seringkali menjadi pencetus dan pendorong motivasi buat diri yang diuji dengan onak duri sebuah perjuangan.

Sesungguhnya, umat manusia tidak terlepas daripada diuji di dalam kehidupan di dunia yang semakin ke penghujung ini. Kegagalan merupakan salah satu ujian dan cabaran yang menduga kekuatan hati seseorang.

Sekaligus ia menguji kecekalan semangatnya, iaitu sama ada dia mengambil keputusan untuk berputus asa begitu sahaja atau dia nekad untuk meneruskan perjuangannya.

Saya tertarik dengan petikan sajak yang terungkap dalam novel Tautan Hati, karya Fatimah Syarha yang begitu indah sekali maknanya.


Temanku,
Kau tidak bodoh andai kau gagal selepas berusaha,
Kerana itu satu ujian dan dijanjikan pahala,
Bakal mengangkat darjatmu di sisi-Nya,
Jika kau reda, sabar dan terus berusaha,
Tapi, kau sememangnya bodoh,
Jika kau langsung tidak berusaha,
Kerana pasti kau akan gagal dan menderita.
Tiada nilaian pahala dari-Nya,
Malah kau pula menanggung dosa,
Lantaran kau siakan amanah berharga.

Subhanallah, sememangnya perjuangan merupakan satu amanah yang begitu berharga! Satu amanah dan tanggungjawab yang tidak sewajarnya dipandang enteng dan sambil lewa.

Dalam meniti perjuangan suci, ujian dan tribulasi seringkali mengekori langkah. Saya teringat kata-kata puitis salah seorang pensyarah,

"Tiada kehidupan tanpa ujian, tiada kebahagiaan tanpa pengorbanan dan tiada cinta tanpa air mata..."

Bait-bait indah tersebut terpahat kemas di minda saya sehinggalah sekarang. Begitu hebat kan kuasa kata-kata? Subhanallah. Tiada kehidupan tanpa ujian, dan tiada kebahagiaan tanpa pengorbanan.

Tanpa ujian, tidak beertinya sebuah kehidupan dan kebahagiaan tidak akan datang bergolek tanpa adanya pengorbanan. Maka bersabarlah duhai sahabat, kuatkan semangat dan kukuhkanlah iltizam dalam hatimu.

Jangan kita berasa goyah dengan setiap ujian yang menimpa kita. Kerana ujian itu merupakan tanda kifarah dosa dan sebagai tanda kasih serta rahmat Allah daripada Allah kepada kita.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya DIA mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah Al-Ankabut: 2-3)

Teguhkan hati dan kuatkan kesabaran di dalam sanubari, walaupun beribu rintangan mendatang dalam perjuangan ini. Sesungguhnya,

"Apa yang anda sabarkan anda akan memperoleh hasilnya kerana kesabaran itu akan menolong segala pekerjaan. Ketahuilah dalam kesusahan dan kepayahan itu tersembunyi nasihat-nasihat kebijaksanaan".

Ketahuilah bahawa apabila kita bersabar dan sentiasa meneguhkan kesabaran kita, maka akan timbul kekuatan dalam diri ini dan kita akan turut memperoleh pahala. Namun, apabila kita sentiasa berkeluh kesah, maka akan timbullah kelemahan dalam diri ini.

Ayuh sahabat,
Perjuangan ini perlu diteruskan kerana perjuangan kita terlalu jauh dan memakan masa yang sangat panjang. Entah di mana pengakhirannya. Bukan itu sahaja, dugaan dan tribulasi yang bakal dihadapi juga akan datang secara silih berganti.

Ia hanya dapat dicantas dan diatasi dengan keimanan yang kukuh di samping semangat yang tinggi. Inilah langkah kita duhai sahabat! Ingatlah, perjuangan yang berpaksikan semangat semata-mata tanpa disertai keimanan dalam jiwa akan gagal menepati jalan yang sewajarnya.

Penggabungan semangat dan keimanan amat perlu dalam diri kita dalam menjejakkan kaki ke medan perjuangan suci ini. Sebagai pengakhir kata, saya ingin memetik kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh, yang terkenal dengan kekuatan semangat spiritualnya. Begitu hebat sekali kata-kata dan semangatnya.

"Aku (Muhammad al-Fateh) mempunyai dua sifat. Sifat keras seperti batu iaitu keazamanku mencapai apa yang aku inginkan. Sifat lembut seperti air iaitu ketika aku memohon ampun kepada Tuhanku. Apakah dengan dua sifat ini aku masih tidak boleh mencapai kemenangan".
(Amru Khalid, pemikir Islam kontemporari dalam Kuasa Kepimpinan Al-Fateh, Muhammad Syaari Abdul Rahman, 2011: 95)

- Artikel iluvislam.com

Wednesday, July 13, 2011

Mari Mencari Ketenangan






Ketenangan..

Apa yang dimaksudkan dengan ketenangan?

Ketenangan ialah dimana suatu situasi yang merehatkan minda dari sebarang bebanan dan ianya membuatkan hati kita gembira dan bebas dari belenggu kerisauan.

Sudah pasti semua insan ingin berada di dalam kondisi yang tenang.

Ketenangan mudah untuk dicapai sekiranya kita pandai menggunakan peluang dan kesempatan yang diberikan oleh Allah S.W.T.

Salah satu kuncinya ialah "Apabila kita mengingati tuhan, hati kita akan pasti menjadi tenang".

Ketenangan yang diimpikan mampu kita perolehi. Kekuatan diri kita melawan nafsu dan mengawal emosi menjadikan kita seorang yang mampu untuk merasai ketenangan.

Pujuklah minda untuk memperolehi ketenangan

Apabila minda bertindakbalas akibat di dorong oleh hati maka hancurlah jadinya. Sebaliknya jika hati di dorong oleh syari'at menghala kepada akal untuk berfikir dengan cara yang terbaik sudah pasti ketenangan akan kita perolehi.

Secara peribadinya, saya sendiri pernah merasai situasi seperti ini iaitu apabila berasa sedih, saya terikut pujuk rayu hati hinggakan ketenangan yang dicari hilang pergi.

Sebaliknya apabila akal yang dipandu ke arah yang betul, ianya akan menjadi penenang hati dan sekaligus membuatkan hidup kita aman dan harmoni.

Didalam Surah Ar-Rad ayat-28 Allah berfirman:

"Ingatlah, dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang"

Ketenangan yang dicari berada di sebelah kita, samada mahu atau tidak itu semua terpulang pada diri kita.

- Artikel iluvislam.com

Mengapa Harus Bersedih?






Allah benar janji-Nya. Allah telah menentukan sesuatu. Yang hilang tidak bermakna binasa.

Yang pergi tidak bermakna kita hilang segala.

Kalau kita ukur - banyak mana yang Allah ambil, dibanding dengan banyak mana yang Allah telah beri kepada kita.

Firman Allah:

"Kalau kita cuba hitung nikmat Allah, nescaya tidak akan terhitung banyaknya." - [Ibrahim 14:34]

Mata, telinga, mulut, kaki dan sebagainya. Harta yang melimpah ruah. Pandang yang sekitarmu. Apa yang kurang?

Tidak ada apa yang kurang, saudara. Rumah, kereta, isteri, anak-anak, segalanya cukup.

Dan apabila musibah menimpa, Allah tarik balik sedikit sahaja dari kurnia-Nya, mengapa harus berdukacita?

Mengapa harus bersedih? Bukankah itu petanda bahawa Allah mungkin menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik?

Allah tarik sesuatu untuk Allah berikan sesuatu yang lain. Tidak mustahil.

Berlapang dada kepada Allah, bahawa Allah menentukan segalanya. Yakinlah.

Firman Allah:

"Jangan takut, jangan berdukacita." - [Al-Ankabut 29:33]

Kadang-kadang manusia merasa dukacita kerana beban hidup yang terlalu banyak. Penyakit yang menimpa.

Masalah keluarga yang banyak. Masalah anak, masalah isteri, masalah jiran, masalah kerja, masalah kereta, masalah itu dan sebagainya.

Maka dia bersedih, dia berdukacita, jiwanya tertekan.

Mengapa harus bersedih? Bukankah hidup ini penuh dengan perjuangan mengatasi segala masalah?

Hidup bermakna kita berdepan dengan masalah.

Orang yang tidak mahu berdepan dengan masalah maka dia tidak layak untuk hidup di dunia ini.

Masalah yang besar yang tetap akan kita hadapi ialah hasutan iblis dan syaitan. Tidak ada masalah yang lebih besar daripada itu.

Mungkin kita merasakan bahawa masalah anak yang terlalu menekan.

Anak kita nakal, anak kita degil, anak kita tidak mendengar cakap, anak kita suka melawan, dan sebagainya.

Saudara, bukankah itu mengajak kita berusaha berjihad mendidiknya?!

Dan setiap didikan kita kepada anak kita akan diberikan pahala oleh Allah SWT. Lantas berusahalah untuk mendidiknya, mengajarnya, mengasuhnya, dengan cara yang terbaik.

Apakah ada masalah yang lebih besar di dunia ini daripada masalah berdepan dengan hasutan syaitan, dengan iblis?

Syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk melakukan kejahatan, syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk melakukan maksiat.

Itu masalah yang besar. Sebab itu mujahadatun-nafs -- melawan nafsu, melawan syaitan, melawan iblis, itu adalah asas kepada perjuangan jihad manusia di muka bumi ini.

Iblis bersumpah dengan Allah SWT bahawa dia akan mengganggu Bani Adam, dia akan menggoda Bani Adam, dia akan menyesatkan Bani Adam. Mereka akan berusaha melakukan itu secara berterusan, sejak kita kecil, dewasa hingga kembali kepada Allah SWT.

Ini masalah yang perlu kita hadapi. Adapun selain daripada itu anggaplah ia asam garam kehidupan.

Masalah yang kita lalui mematangkan jiwa kita, mematangkan akal kita, mematangkan peribadi kita.

Akhirnya orang yang sudah banyak melalui masalah, dia menjadi manusia yang tenang, kerana dia rasa lapang dengan segala penyelesaian yang dia hadapi.

Yakinlah dengan sebarang masalah diserahkan kepada Allah. Kita setakat berusaha, Allah jua yang menentukan.

- Artikel iluvislam.com

Rindunya..






Ramadan kini tiba. Hati mukmin tidak sabar lagi untuk mengambil peluang semaksima mungkin dibulan yang berkat ini demi mendapatkan bekalan iman dan meningkatkan diri. Dihujung Syaaban, Rasulullah saw berkhutbah mengingatkan para Sahabat ra tentang Ramadan. Di sini saya mengambil kesempatan mengingatkan diri saya dan kita sekelian berkenaan Ramadan dan persiapan untuk memasukkinya.

Kita memasuki bulan berkat dimana pahala dilipatkali gandakan bagi mereka yang mengharap ganjaran dan keredhaan Allah swt. Dengan ini hamba-hambaNya semakin bertaqarrub kepadaNya dan lebih berpeluang memasuki Syurga yang disediakan Allah swt. Dari Qutaibah, dari Ismail bin Jaafar dari Abi Suhail, dari ayahnya dari Abu Hurairah ra. sabda Rasulullah saw bermaksud, "Apabila datang Ramadan, dibukakan pintu-pintu Syurga" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Dengan berpuasa, kita menahan diri dari makan, minum, hubungan suami isteri, menjaga lidah, pemandangan dan hati hanya semata-mata kerana Allah. Oleh itu Allah sendiri yang akan membalasnya. Sabda Rasulullah saw bermaksud, "Sesiapa yang mendirikan (solat dan ibadah) di malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Didalam Ramadan, kita melipatgandakan ibadah solat kita, dan lebih membiasakan diri kita mendampingi surau, masjid dan para jemaah didalamnya yang beriman. Sabda Rasulullah saw berkenaan Ramadan bermaksud, "Sesiapa yang mendirikan (solat Tarawih) di bulan Ramadan, dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan untuknya akan kesalahan yang telah dikerjakannya" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Ramadan mengajar kita erti persaudaraan dan kesatuan umat Islam. Dari Ibnu Syahab, dari Urwah bin Az-Zubair, dari Abdul Rahman bin Abdul Al-Qari' berkata: Aku keluar bersama Umar Al-Khattab ra pada suatu malam Ramadan ke masjid dan mendapati orang ramai bersolat sendiri-sendiri dan berselerakan. Ada yang bersolat sendirian. Ada yang bersolat diikuti beberapa orang. Umar ra berkata bermaksud, "Aku lihat jika dikumpulkan mereka dibawah seorang imam, itu adalah lebih baik". Kemudian beliau melaksanakannya dan mengumpulkan orang ramai (bersolat) diimami oleh Ubay bin Kaab ra. Pada suatu malam yang berikutnya, aku pergi bersamanya ke masjid dan melihat orang ramai bersolat di belakang seorang imam mereka. Umar ra berkata, "Alangkah baiknya bid'ah ini"... (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Ramadan adalah bulan Al-Quran dimana Al-Quran diturunkan Allah swt pada bulan tersebut. Jibril menyemak bacaan dan hafazan Al-Quran Nabi saw dijuga dibulan ini. Oleh itu kita jadikanlah bulan ini bulan yang lebih meriah bagi kita bersama Al-Quran, dengan membacanya dan melaksanakan ajaran-ajaran yang terkandung didalamnya. Ramadan adalah bulan bersedeqah, berkasih sayang sesama umat Islam dan makhluk Allah swt. Kita perbanyakkanlah bersedekah dan menjamu orang lain. Ibnu Abbas ra berkata bermaksud, "Adalah Nabi saw orang yang paling pemurah dengan kebaikan. Dia saw. lebih pemurah lagi di dalam bulan Ramadan apabila didatangi oleh malaikat Jibril. adalah Jibril bertemu Nabi saw tiap malam di bulan Ramadan sehingga pagi dan mengemukakan Al-Quran kepada Nabi saw. Apabila Nabi saw bertemu Jibril, Baginda saw menjadi lebih pemurah dari angin yang bertiup" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

"Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadr. tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadr. Malam Lailatul Qadr lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dalam tiap urusan. Sejahtera malam tersebut hingga terbit fajar" (Al-Quran).

Mukmin dan mukminah sentiasa mengejar peluang yang disediakan Allah swt untuk hamba-hambaNya. Ini termasuklah ganjaran berlipatkali ganda Malam Lailatul Qadar dimana ia lebih baik dari 1000 bulan (83 tahun). Sabda Rasulullah saw bermaksud, "Dapatkanlah (dengan tekunlah beribadat) pada malam Lailatul Qadar pada Sepuluh Malam Terakhir dibulan Ramadan" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari). Dalam riwayat Al-Bukhari yang lain bermaksud, "Dapatkanlah (dengan tekunlah beribadat) pada malam Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil di Sepuluh Malam Terakhir dibulan Ramadan".

Ramadan adalah bulan Iktikaf, iaitu berada di masjid untuk memberi tumpuan sepenuhnya beribadah khusus kepada Allah swt. Iktikaf membersihkan hati dan akhlak kita, kerana kita berdamping dengan rumah Allah swt dan dapat tenang memuhasabah dan menilai diri kita yang sering alpa dan tergoda. Dari Urwah bin Az-Zubair ra dari Aisyah ra berkata bermaksud, "Sesungguhnya Nabi saw beriktikaf pada Sepuluh Malam Terakhir di bulan Ramadan sehingga Baginda saw diwafatkan Allah. Selepas kewafatannya, isteri-isterinya pula beriktikaf" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Ramadan adalah bulan Jihad dan Kemenangan. Di dalam bulan ini orang-orang beriman mencapai kemuncak ikhlas dan taqwa, kedua-duanya adalah resepi kemenangan dalam Jihad. Di dalam Ramadan orang-orang beriman memenangi Perang Badar (Tahun 2H), Perang Pembukaan Mekah (Tahun 8H) dan Perang Ain Jalut mengalahkan tentara Monggul.

Semoga Ramadan pada tahun ini merupakan Ramadan yang terbaik buat kita, berjaya kita lalui sepenuhnya dan mendapat rahmah (belas kasih Allah swt), maghfirah (keampunanNya) dan itqum minannar (selamat dari api Neraka). Ya Allah terimalah puasa, solat Tarawih, qiyamullail dan iktikaf kami dibulan yang mulia ini. Ya Allah, terimalah ibadah dan taqarrub (usaha mendekatkan hati dan diri) kami kepadaMu.

Ya Allah, jadikanlah kami diakhir Ramadan dikalangan hamba-hambaMu yang bertaqwa seperti firmanMu bermaksud, "Wahai orang-orang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa..." (Surah Al-Baqarah). Ameen.

Sumber Text: Ini Jalanku

قُلۡ شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُ‌ۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 185)