Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Sunday, April 17, 2011
Dunia Sementara
Dari Ibnu Ibnu Umar r.a katanya: rasulullah S.A.W memegang bahuku lalu ia bersabda: Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara). Dan adalah Ibnu Umar r.a berkata:Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau. (Riwayat Al-Bukhari)
Huraian Hadith:
1. Dunia adalah tempat untuk manusia beramal dalam sekian waktu yang ditentukan dan bukanlah tempat untuk bermukim, bersenang lenang sepanjang hayat kerana kedudukan seseorang itu di dunia ini adalah seperti pedagang atau pengembara yang akan pulang ke kampung halaman tempat asalnya iaitulah alam akhirat yang kekal abadi.
2. Untuk itu, tiap-tiap amal ada waktunya di mana apabila luputnya waktu sesuatu amal belum tentu waktu itu akan berulang kembali. Oleh itu orang yang mengerti nilai waktu akan menyedari bahawa waktu itu sebenarnya adalah umurnya yang jika habisnya suatu detik waktu maka berkuranglah jangka hayatnya dan berkurang pula tempoh amalnya. Selepas itu kekecewaan dan penyesalan tidak berguna lagi.
3. Oleh itu seseorang yang inginkan kebahagian yang kekal abadi hendaklah memelihara waktunya daripada terbuang dengan percuma atau sebelum tiba waktu yang menghalang seperti sibuk, sakit dan sebagainya.
يَـٰقَوۡمِ إِنَّمَا هَـٰذِهِ ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَا مَتَـٰعٌ۬ وَإِنَّ ٱلۡأَخِرَةَ هِىَ دَارُ ٱلۡقَرَارِ
"Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal."
(Surah Al-Ghafir 40: Ayat ke 39)
Saturday, April 16, 2011
Limpahkan Kasih dan Sayang
Sifat kasih sayang, persaudaraan dan prihatin sesama insan amat penting di dalam kehidupan umat Islam. Semangat ini yang berjaya dipupuk dan disemai pada bulan Ramadan dan Syawal yang lalu perlu diteruskan agar kesejahteraan dan perpaduan umat Islam dapat diwujudkan.
Islam sangat menekankan persaudaraan sesama Islam sehinggakan orang Islam itu diibaratkan oleh Rasulullah sebagai satu tubuh badan, apabila salah satu anggota sakit, maka keseluruhannya akan berasa sakit.
Dengan erti kata lain, orang yang hidup dalam serba kekurangan di dalam masyarakat mesti dibantu demi meringankan bebanan hidup yang mereka alami. Hidup manusia akan terbatas dan terkongkong apabila ada sekatan perasaan dan kejiwaan sesama manusia. Sebaliknya terbuka dan bebas (dalam peraturan dan undang-undang yang diperlukan) apabila ada kasih sayang dan saling mempercayai sesama insan.
Kasih Sayang
Kata Imam Hasan al-Banna r.a. (1908-1949m) dalam Risalah Ta'alimnya : "Maksudku dengan ukhuwwah (kasih sayang dan persaudaraan) adalah: Hati-hati dan ruh terikat dengan ikatan akidah. Ikatan akidah adalah ikatan yang paling kukuh dan mahal. Persaudaraan sebenarnya adalah persaudaraan iman dan perpecahan itu adalah saudara kepada kekufuran. Kekuatan yang pertama kepada kita adalah kekuatan kesatuan, tidak ada kesatuan tanpa kasih sayang.
Kasih sayang yang paling rendah adalah berlapang dada dan yang paling tinggi ialah martabat 'ithar' (melebihkan saudaranya dari dirinya sendiri). Firman Allah s.w.t. :
وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِيمَـٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ يُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَيۡہِمۡ وَلَا يَجِدُونَ فِى صُدُورِهِمۡ حَاجَةً۬ مِّمَّآ أُوتُواْ وَيُؤۡثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِہِمۡ خَصَاصَةٌ۬ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
(Surah Al-Hashr 59: Ayat ke-9)
Monday, April 11, 2011
Mukmin Itu Bersaudara
Keimanan sejati hanya akan wujud dengan adanya tali persaudaraan yang sebenar dan persaudaraan murni tidak akan bermakna jika seseorang muslim tidak pernah mahu ikut merasai kesedihan dan penderitaan saudaranya.
Rasa cinta dan belas kasihan di antara mereka ini membuahkan sikap saling bantu-membantu, tolong-menolong dan bergotong-royong dalam apa juapun tugas-tugas dan kewajipan yang dibebankan ke atas mereka, apatah lagi dalam keadaan susah dan penderitaan yang menimpa saudara-saudara mereka.
Bantulah Saudaramu
Jama'atul muslimin hakikatnya adalah wihdatul ummah. Ia merupakan batu asas bagi tegaknya bangunan khulafah. Jama'ah yang dengannya umat Islam bersatu tenaga untuk melaksanakan syariat Allah, merupakan realiti sejarah yang pernah dibuktikan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: "Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lainnya. Maka ia tidak akan menzalimi dan membiarkannya (menderita)." (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari)
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat
(Surah Al-Hujraat 49: Ayat ke 10)
Sunday, April 10, 2011
Iman Perlu Diusahakan
Banyak orang menyangka ia orang beriman. Tetapi bila diuji keimanan mereka oleh Allah menerusi solat, ibadat, kesusahan, penyakit dan sebagainya, ternyata mereka sebenarnya tidak beriman yang sebenar. Mereka menyangka mereka beriman kerana mereka beriman secara keturunan. Bapanya Islam, maka dia pun Islam.
Nilai dan Balasan Iman
Iman perlu diusahakan untuk mendapatkannya. Susah payah pasti akan diharungi. Pengorbanan perlu dilakukan. Siapa yang memperolehi iman secara mudah, contohnya seperti orang Melayu yang memperolehi iman secara keturunan, biasanya amat mudah pula mereka merosakkannya. Siapa yang memperolehi iman secara susah payah,maka dipeliharanya iman mereka.
CARA MEMELIHARA IMAN
Iman perlu dipelihara kerana ia akan dirosakkan oleh nafsu dan syaitan. Dengan itu ada orang beriman yang kemudiannya jadi tidak beriman kerana imannya telah dirosakkan. Cara memelihara iman:
1.Mengawal iman supaya tidak rosak.
Iman boleh rosak menerusi Iktiqad seperti meragui hadis Nabi, meragui hukum dan undang-undang Islam dan sebagainya.
Perkataan atau ucapan seperti menghina Rasulullah, tidak yakin hukum Allah dan sebagainya. Perbuatan seperti melakukan perbuatan syirik, memohon pertolongan kepada selain dari Allah.
2.Menjaga Iman
Iman yang telah ada pada kita kena dikawal dengan beberapa sifat diri kita. Yakin pada agama Allah dan perintahnya Ikhlas dalam melakukan amalan. Contohnya solat hendaklah atas niat taat kepada Allah bukan kerana menunjuk atau kerana malu atau kerana dipaksa. Selalu melakukan amalan sunat Istiqamah dalam ibadat. Ibadat yang kita lakukan hendaklah berkekalan, bukan dikerjakan secara bermusim, atau bila lapang baru buat. Beramal dengan penuh tertib dan khusyuk.
وَعِندَهُ ۥ مَفَاتِحُ ٱلۡغَيۡبِ لَا يَعۡلَمُهَآ إِلَّا هُوَۚ وَيَعۡلَمُ مَا فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِۚ وَمَا تَسۡقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعۡلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ۬ فِى ظُلُمَـٰتِ ٱلۡأَرۡضِ وَلَا رَطۡبٍ۬ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِى كِتَـٰبٍ۬ مُّبِينٍ۬
"Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan Syurga itu, mereka berkata: Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya) dan disediakan untuk mereka dalam Syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya."
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 25)
Kiblat Kita Yang Satu
Apa hikmah kiblat kita satu? Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui akan rahsia dan hikmah setiap perkara yang diperintahkan oleh Nya kepada hamba-hamba Nya. Begitu juga dengan arah kiblat. Ini kerana bagi seorang Muslim yang tidak mempunyai aqidah yang kukuh ataupun orang kafir, mereka berpendapat bahawa Kaabah itu untuk disembah oleh orang Islam. Sedangkan pada hakikatnya Kaabah itu bukan sebuah binaan yang kita sembah tetapi yang disembah adalah Allah SWT. Allah SWT telah menentukannya sebagai arah kiblat. Rahsia dan hikmahnya kiblat ialah ia merupakan salah satu faktor penyatu seluruh umat Muslimin.
Satu Ummah Satu Kiblat
Kaabah merupakan satu kiblat yang tunggal yang menyatukan seluruh umat Muslimin dari berbagai-bagai negara dan dari berbagai-bagai bangsa, bahasa dan warna kulit. Ia merupakan satu kiblat yang sama, di mana seluruh umat Muslimin menghala kepadanya di merata pelosok Timur dan Barat di bumi ini. Dan di sana mereka merasa diri mereka selaku satu jisim dan satu diri yang menghadap satu matlamat dan berjuang untuk menegakkan sistem hidup yang sama, iaitu sistem hidup yang lahir dari hakikat diri mereka menyembah Tuhan yang sama dan beriman kepada rasul yang sama menghadap kiblat yang sama.
Demikianlah Allah menyatukan umat Muslimin. Dia menyatukan mereka dari segi Tuhan mereka, rasul mereka, agama mereka dan kiblat mereka. Dia menyatukan mereka dari berbagai-bagai negara, bangsa, warna dan bahasa. Allah tidak menyatukan mereka di atas landasan negara, bangsa, warna dan bahasa malah Dia menyatukan mereka di atas landasan aqidah dan kiblat walaupun mereka berbeza dari segi negara, bangsa, warna dan bahasa. Itulah kesatuan dan perpaduan yang layak untuk makhluk insan, kerana insan seharusnya bersatu dan berpadu di atas landasan aqidah hati nurani dan kiblat ibadat, sebagaimana haiwan bersatu dan berpadu di padang ragut dan dalam lingkungan pagar dan kandang. (Tafsir Fi Zilalil Quran Jilid 1 – Asy-Syahid Sayyid Qubt Rahimahullah)
وَمِنۡ حَيۡثُ خَرَجۡتَ فَوَلِّ وَجۡهَكَ شَطۡرَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِۖ وَإِنَّهُ ۥ لَلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ
"Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidilharam (Kaabah) dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan."
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 149)
Taqwa Itu Apa?
Kalimah 'Taqwa' asal maknanya adalah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.
Menurut Syara', 'Taqwa' bererti : "Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta'ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat".[2]
Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda yang bermaksud :
"Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintah-Nya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepada-Nya dan tidak mengkufuri nikmat-Nya". ( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )
Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : "Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri? Jawab Umar: "Ya". Tanya Ubai lagi: "Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?".
Jawab Umar : "Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati". Balas Ubai : "Itulah yang dikatakan taqwa".
Menurut Ibnu Abbas r.a. : "Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta'atiNya".
Menurut Hasan al-Basri : "Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka".
Berkata Abu Yazid al-Bustami : "Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah".
Martabat Taqwa
Menurut Al-'Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri, taqwa ini mempunyai tiga martabat;
Martabat pertama : Membebaskan diri dari kekufuran
Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan "Kalimat at-Taqwa" dalam firmanNya :
"...lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu'min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa ...". (Surah Al-Fath. Ayat : 26)
Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah : "لا إله إلا الله محمد رسول الله" atau dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.
Martabat kedua : Menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.
Martabat ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah swt.
Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah;
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah swt )." (Surah Ali Imran. Ayat : 102)
Muslim yang Berjuang dan Bertaqwa
Merentasi era peradaban modern yang menyaksikan keruntuhan akhlak , moral dan aqidah ummah kini di paras bahaya , memerlukan kuasa taqwa yang tinggi untuk kembali membina struktur asas ummat Islam yang kian runtuh .
Taqwa adalah formula tepat untuk memproses penawar bagi memulihkan kecederaan iman yang sangat parah dewasa kini, khasnya dikalangan mereka yang mengaku muslim .
Kecederaan teruk di bahagian iman inilah yang meletakkan ummat Islam turut terjebak dalam kancah perlecehan akhlak, moral dan aqidah.
Saksikanlah, bagaimana dunia kini amnya dan negara kita khasnya dilanda kehancuran peradaban Insaniyyah, sehingga hilang peri kemanusiaan sebaliknya peri kebinatangan menguasai minda sebahagian besar ummat manusia.
Menyedari realiti dunia dan ummah hari ini, marilah kita mengambil kesempatan daripada ibadah puasa yang dijalani sebulan di bulan Ramadhan untuk membina syakhsiyyah muslim yang berjuang dan bertaqwa dengan mendidik jiwa, minda dan seluruh pancaindera agar tunduk dan patuh kepada Allah swt. serta siap untuk menjunjung tinggi segala tanggungjawab mempertahan dan memperjuangkan Islam di persada alam ini .
Kitalah selayaknya memikul tanggungjawab sebagai pejuang untuk menyelamatkan diri , dunia dan ummah dari bahana syahwah yang menyimpang jauh dari Manhaj Ilahi .
Pejuang yang dilengkapi sifat taqwa yang mantap sebagai alat keselamatan dan asas kekuatan diri demi memenangi pertembungan antara iman dan kufur , hak dan bhatil serta islam dan jahiliyyah.
- Artikel iluvislam.com
Evolusi dan Sejarah Kemunculan Blog
Pada tahun 2006 telah tercipta satu sejarah apabila majalah TIME menamakan komputer sebagai "Person Of the Year" atau tokoh tahun ini sekaligus menumbangkan beberapa individu terkenal yang sering ditonjolkan berdasarkan kepakaran dalam bidang masing-masing. Perkembangan ini ternyata hasil daripada ledakan pertumbuhan dan pengaruh hasil kandungan internet, terutama penggunaan blog semakin diiktiraf di peringkat global.
Pengaruh blog dan blogger juga diakui telah memberi impak besar kepada keputusan drastik pilihan raya umum ke-12 lalu yang telah merubah senario politik Malaysia, begitu juga dengan kemenangan bersejarah Barrack Obama di dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini. Kini, tidak siapa dapat menafikan bahawa media baru ini mempunyai kedudukan, fungsi serta tanggungjawab tersendiri dalam dunia maklumat.
Kira-kira 10 tahun dahulu, individu yang mengaku mempunyai laman blog sendiri atau menjadi penulis blog akan dianggap pelik seperti makhluk asing. Kini, kita boleh membaca lebih kurang 500,000 blog yang diwujudkan oleh blogger di negara ini sahaja. Kemuculan blog hanya hangat diperkatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan lebih memberi fokus kepada blog politik.
Sebelum wujudnya blog, terdapat beberapa bentuk komuniti-komuniti digital yang agak popular seperti Usenet iaitu satu sistem perbincangan maya di internet. Ia merupakan satu daripada sistem komunikasi rangkaian komputer tertua dan masih digunakan hingga ke hari ini.
Selain daripada itu terdapat juga perkhidmatan-perkhidmatan bersifat komersial dalam talian seperti Genie, BIX dan CompuServe, senarai emel dan sistem papan bulletin (BBS).
Sejarah kemunculan blog dikatakkan bermula sekitar tahun 1983-1990an kesan daripada perkembangan penggunaan Usenet. Ia merupakan perantara bersiri utama yang terangkum dalam takrif "Jaringan Sejagat" (WWW – World Wide Web) yang asal yang menonjolkan Kumpulan Berita Sederhana yang membenarkan semua pengeposan dikawal oleh individu atau sekumpulan kecil pengguna. Kebanyakan kumpulan berita tersebut hanya merupakan forum-forum perbualan sederhana.
Pada tahuan 1994, Brian E. Redman dan beberapa orang rakannya telah mula menghantar bahan-bahan yang dipetik dari laman-laman web lain dari internet secara tetap dengan gaya penerbitan jurnal bersiri yang hampir sama dengan bentuk blog masa kini serta menonjolkan pautan ke laman-laman web berkaitan yang lain.
Pada tahun 1994-2001, blog era moden telah berkembang bermula dengan buku-buku diari harian dalam talian yang digunakan untuk menyimpan huraian selari tentang kehidupan peribadi individu. Kebanyakan para penulis ketika ini telah menjadikan diri sendiri, wartawan atau penulis jurnal sebagai bahan rujukan.
Kelompok kecil penulis ini menggelarkan diri mereka sebagai eskribisionis (escribitionist).
Justin Hall yang menggunakan blog peribadi sejak tahun 1994 ketika masih belajar di Kolej Swarthmore boleh dianggap sebagai perintis blog yang awal bersama-sama rakannya iaitu Jerry Pournelle. Pada peringkat awal, kebanyakan weblog hanya merupakan komponen-komponen laman web biasa yang telah dikemaskinikan secara manual.
Walaubagaimanapun, kemajuan teknologi telah memudahkan penghasilan dan pemeliharaan rencana-rencana web yang diterbitkan mengikut tertib kronologi terbalik oleh individu yang kurang mahir dari segi keupayaan teknikal. Perkembangan ini akhirnya telah menyebabkan sebuah kelas penerbitan dalam talian yang terdiri berbagai rencana dan jurnal yang diakui pada hari ini sebagai blog.
Terkini, penggunannya telah dimudahkan lagi dengan bantuan beberapa perisian blog seperti WordPress, Movable Type, Blogger, liveJournal dan DreamHost.
Istilah "weblog" buat pertama kalinya telah dicipta oleh Jorn Barger pada 17 Disember 1997. Manakala singkatannya, "blog" pula dicipta oleh Peter Merholz secara tidak sengaja apabila beliau telah memisahkan perkataan weblog menjadi frasa we blog di palang sisi blog miliknya iaitu Peter.com pada April atau Mei 1999. Ia telah diterima baik sebagai kata nama mahupun sebagai "kata kerja", dalam bahasa Inggeris "to blog" bermaksud "mengedit weblog atau menghantar pesanan ke weblog".
Sejak itu jumlah laman blog telah menunjukkan peningkatan yang mendadak. Sebagai contoh, laman web Xanga yang dilancarkan pada tahun 1996 mempunyai hanya 100 kemasukan pada tahun 1997 tetapi jumlah itu telah menjadi lebih 20 juta pada bulan Disember 2005. Pada bulan November 2007, enjin carian blog Technorati telah menjejaki lebih 120 juta blog dalam internet, angka yang meningkat dua kali ganda berbanding penemuan awal Januari tahun yang sama.
Video: Blogging 101 - What is a blog?
Apakah Perbezaan Blog dan Laman Web?
Blog merupakan singkatan untuk weblog (singkatan untuk weblog dalam bahasa Inggeris), sebagaimana dibayangi oleh nama bahasa Inggerisnya, ialah diari dalam talian tentang sesuatu topik. Catatannya dipaparkan dengan tertib terbalik mengikut urutan tarikh. Antara ciri penting blog ialah pembaca mempunyai keupayaan untuk meninggalkan komen dalam format interaktif.
Secara umumnya, blog yang tipikal mengandungi teks dan imej serta pautan ke blog, laman web atau media lain yang berkaitan dengan sesuatu isu yang dibincangkan. Blog boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian bergantung kepada tumpuan penggunaannya. Antaranya ialah seperti berikut :
* Blog teks : Blog yang menumpukan teks atau penulisan.
* Blog foto : Blog yang menumpukan gambar foto.
* Blog MP3 : Blog yang menumpukan muzik.
* Vlog : Blog yang menumpukan video.
* Pempodkasan : Blog yang menumpukan audio.
Selain daripada itu, blog juga boleh dikelaskan berdasarkan fokus perbincangan yang diutarakan, misalnya isu politik tempatan dan luar negara, berita tempatan, perangkaian sosial, perkongsian resepi, sukan, hiburan dan sebagainya. Justeru itu ia dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti diari dalam talian, blog korporat, blog usaha sama, blog politik, blog projek, blok pendidikan dan banyak lagi.
Berbeza dengan blog, laman web boleh dikategorikan sebagai satu perantaraan atau medium yang menghubungkan pelayar internet dengan pemilik laman web. Pemilik laman web boleh terdiri daripada individu, kumpulan syarikat atau sesiapa sahaja.
Ia boleh didefinisikan sebagai satu koleksi fail web yang mengandungi pelbagai tajuk termasuklah fail permulaan yang dikenali sebagai homepage. Sebagai contoh, kebanyakan syarikat, organisasi atau individu ada mempunyai "Alamat Laman Web" atau dikenali sebagai IP Address seperti : www.ibm.com, www.lhdn.gov.my dan sebagainya.
Selain itu, laman web juga menggunakan teknologi hiperteks secara meluas yang merupakan bahagian daripada dokumen atas talian yang mana, apabila dipilih oleh pengguna ia akan terus membawa pengguna ke dokumen yang berkaitan. Teknik hiperteks ini membolehkan maklumat dikumpulkan sebelum ia dihubungkaitkan dalam satu struktur tautan multidemensi yang sesuai untuk dipersembahkan.
Fungsi laman web bergantung kepada objektif pemilik laman web tersebut. Untuk seseorang individu, laman web peribadi mungkin hanya untuk kegunaan peribadi sahaja iaitu sekadar untuk suka-suka atau sebagai salah satu cara untuk menonjolkan diri agar mudah untk mendapatkan pekerjaan, menambahkan kenalan dan untuk merapatkan silaturrahim.
Individu yang gemar merekabentuk laman web peribadi untuk mencuba teknologi web terkini seperti skrip terbaru yang canggih atau animasi Flash. Laman web juga digunakan untuk memaparkan dan menonjolkan identiti korporat sesuatu syarikat.
Pada zaman sekarang ini, sesebuah organisasi yang tidak mempunyai laman web sendiri mungkin akan turun nilainya pada pandangan mata orang ramai. Semakin banyak syarikat yang menjalankan perniagaan atau perdagangan secara internet sebagai salah satu strategi untuk memasarkan produk mereka.
Dalam era globalisasi, cara yang digelar e-dagang ini ternyata berkesan dalam meningkatkan hasil pendapatan syarikat disebabkan internet boleh dicapai di mana-mana sahaja dan peluang perniagaan adalah tidak terhad dan melangkaui sempadan.
Bahan Rujukan
* Abdul Razak Hamdan, Mohd Zakree Ahmad Nazri, Mohammad Faidzul Nasrudin, Hafiz Mohd Sarim, Mohd Shanudin, Yazrina Yahya, Mohd Zamri Murah ( 2004 ). Teknologi Maklumat dan Komunikasi : Mc Graw Hill Educatioan:Kuala Lumpur.
* Zawiyah Mohd Yusof, Nazura Abd Manap, Masnizah Mohd, Azizi Abdullah, Hafiz Mohd Saim, Tengku Mohd Tengku Sembok ( 2005 ). Teknologi Maklumat dan Komunikasi : Etika, Undang-undang dan Sosial : Mc Graw Hill : Kuala Lumpur.
* http://ms.wikipedia.org/Wiki/Blog
* Ziauddin Sharuddin, http://bharian.com.my/Penangan Blog.21 April 2008
* Rebecca Blood, http://www.rebeccablood.net/essays/weblog_history.html.september 2000
* Mark Brady, CHIMERA WORKING PAPER NUMBER: 2005: Blogging: Personal Participation In Public Knowledge- Building On The Web.
Subscribe to:
Posts (Atom)






