Sunday, April 10, 2011

Cinta Dunia dan Cinta Akhirat




Setiap manusia mempunyai perasaan cinta dan menyintai. Cinta itu juga mempunyai tafsiran yang luas dan berbeza-beza. Rasa cinta dan sayang itu bukanlah hanya terbatas kepada lelaki dan wanita sahaja. Cinta itu sangat universal dan boleh dizahirkan dalam apa jua bentuk dan apa jua keadaan. Rasa cinta itu boleh diterjemahkan kepada rasa cinta terhadap kerjaya atau kerja, harta, ilmu dan sebagainya.

Namun dalam dunia serba moden ini, apabila menyentuh mengenai cinta ia akan ditujukan kepada sama ada cinta antara lelaki dan wanita ataupun cinta manusia kepada kebendaan iaitu harta dan kemewahan. Pemikiran jumud begini boleh menjadikan manusia hamba duit tanpa memikirkan mengenai akhirat.

Namun begitu masih ada yang bijak menguasai dunia dan mengharapkan kebaikan di akhirat. Mereka ini adalah golongan yang beruntung kerana diberikan ni'mat untuk merasai kedua-duanya. Dan seharusnya mereka memperolehi keberkatan ini hanyalah kerana pencarian mereka yang seimbang antara dunia dan akhirat tanpa lalai walaupun dalam seminit.

Sesungguhnya mereka seperti ini telah disebutkan oleh Allah SWT yang bermaksud, "Dan bersabarlah kamu bersama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi hari dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batasnya ." (Surah al-Khafi : 28)

Sebagai seorang Muslim yang akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak perlu mempersiapkan diri untuk mendapat kecintaan yang hakiki di akhirat nanti. Memang benar, kehidupan di dunia juga perlu dititikberatkan bagi membawa satu imej yang hebat di mata-mata musuh Islam. Namun begitu, segala kekayaan dan kemewahan itu pula, hendaklah jangan kedekut untuk dibelanjakan bagi mencapai kesenangan di akhirat.

Itulah yang dinamakan keseimbangan antara kehendak dunia dan keperluan akhirat. Namun, ramai yang pada hari ini apabila sudah menemui kejayaan di dunia akan melupakan kehidupan selepas kematian nanti. Ketika itulah segala amalan di dunia akan diambil kira. Segenap 'sen' harta akan dihisap sama ada digunakan ke jalan Allah ataupun segala kemewahan itulah yang melalaikan hamba-Nya ini.

Penuhi amal dan iman

Satu jalan mudah untuk menjauhi sifat kedekut yang menandakan itulah perasaan terlalu cintakan dunia ialah penuhi dengan amal dan iman. Dua perkara ini mampu membersihkan jiwa dan hati daripada menjadi keras daripada hanya memikirkan dunia semata-mata.

Pernah berkata, Al-imam Sufyan al-Tsauri r.h.m. "Telah sampai kepadaku bahawasanya akan datang satu masa kepada umat manusia di mana pada masa itu semua hati-hati manusia dipenuhi oleh kecintaan terhadap dunia, sehingga hati-hati tersebut tidak dapat dimasuki rasa takut terhadap Allah SWT.Dan itu dapat engkau ketahui apabila engkau telah memenuhi sebuah bakul kulit dengan sesuatu hingga penuh kemudian engkau cuba memasukkan barang lain ke dalamnya namun engkau tidak mendapati ruang untuknya lagi,".

........................................................ Untuk mengikuti kesudahan artikel ini, sila dapatkan tabloid iluvislam Bil 57 : Cinta Dunia dan Cinta Akhirat.

Thursday, April 7, 2011

Konsep GIGO




Apakah GIGO? GIGO ni amat penting dalam kehidupan kita sebagai hamba ALLAH yang sentiasa inginkan kebahagiaan dalam hidup. Dimana letaknya kebahagiaan hidup sebagai seorang hamba di atas muka bumi ini? Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza. Kebahagiaan masing-masing juga terletak pada cara yang berbeza. Namun sedarkah kita dalam mencari kebahagiaan itu perlu disertakan dengan redha. Apa yang kita lakukan jika disertakan dengan redha ALLAH maka kita akan bahagia dan yang paling penting redha ALLAH terletak pada redha ibu bapa. Jadi jangan sesekali membelakangkan ibu bapa dalam membuat keputusan.

Garbage In Garbage Out atau akronimnya GIGO amat penting dalam kehidupan kita. Kalau diterjemahkan secara terus maka maksudnya masuk sampah keluar sampah. Tetapi maksud yang cuba saya sampaikan di sini adalah sekiranya input tidak elok maka output yang dihasilkan juga tidak elok. Semalam sempat saya membaca buku Pendidikan Anak-anak tulisan Saedah Siraj yang mementingkan Pendidikan Anak-anak menurut Islam. Tidak mudah ya ingin mendidik anak-anak, namun tidak sesukar mana jika kena acuannya. Ramai ibu bapa hari ini yang membesarkan anak-anak mereka bersama-sama syaitan. Kenapa saya cakap macam tu? Amboi sesedap rasa saja kan cakap mcm tu. Namun sedarlah bahawa untuk melahirkan anak-anak yang sempurna imannya bermula daripada diri ibu bapa itu sendiri.

Luqman Al-Hakim pernah menyebut "Aku mendidik anak-anakku 20 tahun sebelum mereka dilahirkan". Jadi bermula daripada pemilihan calon pasangan yang beriman akan menentukan hidup anak-anak sangat penting. Ya memang benar, IMAN TAK BOLEH DIWARISI dan AMAT MUSTAHIL JIKA IMAN BOLEH DIWARISI namun IBU BAPA ADALAH MODEL KEPADA ANAK-ANAK, yang menjadikan seperti iman itu diwarisi namun disebabkan asuhan ibu bapa yang sempurna maka lahirlah anak-anak yang sempurna imannya. Terdapat sebuah hadis yang menyatakan :

"Sebaik-baik perkara yang diwariskan para ibu bapa kepada anak-anak adalah adab (percakapan dan perbuatan yang baik)"

Rasulullah juga pernah bersabda,

"Tidak ada seorang pun yang dilahirkan kecuali dilahirkan di atas fitrah maka ibu bapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi"

Maksudnya di sini ibu bapa yang melatih anak dan mencorakkan kehidupan anak-anak seperti mana yang mereka mahukan. Oleh itu, ibu bapa perlu menjaga akhlak, personaliti dan ketrampilan diri kerana anak-anak yang dilahirkan ibarat kain putih yang mana jika ibu bapa tidak mencorakkan dengan baik maka persekitaran lain akan mencorakkan anak-anak yang mungkin akan menjadi tidak baik.

Jika kita lihat hari ini, ramai ibu bapa yang terlalu sibuk urusan di luar rumah sehingga mengabaikan kasih sayang kepada anak-anak di rumah yang menyebabkan anak-anak terjebak dengan perkara-perkara yang tidak elok (semata-mata mahukan perhatian ibu bapa).

Apabila berbincang mengenai soal didikan kepada anak-anak soal makanan yang diberikan kepada anak-anak tidak boleh dilupakan. Dari mana sumber makanan atau pendapatan yang diberikan kepada anak-anak kita. Adakah dari sumber yang halal atau syubhah? Makanan yang dimakan ni akan dibawa kemana-mana tau sebab akan bercampur dengan darah dalam badan kita (jadi daging).

Teringat satu dialog dengan kawan.

Tak ingat topik perbincangan kami, yang saya ingat dia kata, "Jom saya belanja awak makan. Hadiah la tu. Awak akan bawa hadiah tu kemana-mana, mungkin juga sampai mati".

Tapi pastikan hadiah yang diberi tu dari sumber yang halal ya. Jangan buat aniaya kat orang, kita juga yang akan disoal nanti kerana menjamu orang lain dengan makanan yang hasilnya dari sumber yang syubhah atau tidak halal. Nauzubillah.

Beri makan anak ni bermula sejak hari pertama anak dilahirkan. SUSU IBU.Halal ke susu ibu ni? InsyaALLAH halal jika sumbernya halal. Sebab apa saya cakap macam tu? Sebabnya kalau si ibu makan makanan yang haram, susu ibu yang diberikan kepada anak-anak akan mempengaruhi perangai dan sikap anak apabila mereka besar nanti kerana sumber makanan yang diberikan berasal daripada sumber yang haram dan diragui.

Itulah pentingnya GIGO. Garbage In Garbage Out. InsyaALLAH ibu bapa yang baik akan melahirkan anak-anak yang baik. Tapi nanti ada pula orang cakap, habis macam mana anak Tok Imam terlibat dengan maksiat? Huh,siapa nak jawab tu?

Jawabnya, bukan salah ibu mengandung. Itu sebab mereka yang hanyut dengan nafsu kerana janji syaitan dan iblis untuk menyesatkan manusia di muka bumi kerana syaitan tak pernah berputus asa untuk menyesatkan manusia . Jadi, kita yang waras ni. Pilihlah JALAN yng kita mahukan.

- Artikel iluvislam.com

Kanak-Kanak Palestin Sambut Hari Kanak-Kanak


Ratusan kanak-kanak Palestin dan keluarga mereka hari ini menghadiri festival menyambut Hari Kanak-kanak di Semenanjung Gaza yang diduduki Israel.

Kanak-kanak itu yang menerima kesan hebat daripada keganasan di wilayah mereka, mempersembahkan lagu-lagu kebangsaan dan tarian tradisional pada majlis yang diadakan oleh Pusat Al-Dameer bagi hak asasi manusia di Semenanjung Gaza.

Ketua pusat itu, Khalel Abu Shamala, berkata acara tersebut merupakan sebahagian daripada projek pusat, yang ditaja oleh Kesatuan Eropah (EU).

Beliau mengambil perhatian bahawa program tersebut bertujuan membantu kanak-kanak Palestin dan mengajar mereka untuk melahirkan perasaan dan fikiran mereka. Ia juga untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang hak-hak yang cerobohi akibat sekatan dan halangan.

Wakil EU, Ayman Futeha, berkata kesatuan itu komited untuk menyokong semua projek yang membantu kanak-kanak itu mencapai cita-cita mereka. Lobna Al-Najar, seorang pengarah dari Persatuan Selamatkan Kanak-kanak Sweden, menekankan pentingnya menghentikan keganasan terhadap kanak-kanak.

Al-Najar berkata kira-kira dua juta kanak-kanak yang tinggal di wilayah Palestin diduduki Israel menderita kekurangan bantuan manusia, baik akibat sekatan di Semenanjung Gaza atau halangan tembok di Tebing Barat. Pelajar perempuan Aya Roweka, 12, menyampaikan ucapan bagi pihak kanak-kanak Palestin.

Roweka menegaskan walaupun menghadapi kesulitan dan penderitaan, kanak-kanak Palestin itu tidak akan menyerah kalah.
"Kami akan terus berjuang hingga kami mendapat hak-hak kami, seperti kanak-kanak lain di dunia," katanya.

- Gaza, 6 April 2011

Wednesday, April 6, 2011

Saidina Ali Pakar Matematik


Saidina Ali digelar gedung ilmu oleh Rasulullah SAW. Bukan sahaja beliau bijak dalam permasalahan agama namun ramai diantara kita yang tidak tahu bahawa beliau juga merupakan seorang pakar matematik.

Kisah Pertama

Pernah seorang Yahudi yang berniat ingin memalukan Saidina Ali di hadapan orang-orang Arab bertanya kepadanya satu soalan.

"Wahai Imam Ali, berikan aku satu nombor bulat yang apabila dibahagi dengan nombor satu hingga sepuluh, jawapannya akan tetap nombor bulat dan bukan nombor pecahan," tanya lelaki Yahudi itu.

Saidina Ali menjawab, "Hitunglah bilangan hari dalam seminggu didarab dengan bilangan hari dalam setahun."

Yahudi itu pun mengira.

Kemudian, Yahudi itu menemukan hasilnya sebagai berikut:

- Jumlah hari dalam 1 Tahun = 360 (kalender Arab)
- Jumlah hari dalam 1 Minggu = 7
- Hasil darab dua angka diatas = 360×7 = 2520

Sekarang buktinya ...

2520 ÷ 1 = 2520
2520 ÷ 2 = 1260
2520 ÷ 3 = 840
2520 ÷ 4 = 630
2520 ÷ 5 = 504
2520 ÷ 6 = 420
2520 ÷ 7 = 360
2520 ÷ 8 = 315
2520 ÷ 9 = 280
2520 ÷ 10 = 252

Kisah Kedua

Dua pengembara sedang duduk bersama-sama untuk menikmati hidangan roti. Pengembara pertama mempunyai 5 keping roti dan pengembara kedua mempunyai 3 keping roti.

Kemudian datang seorang pengembara lagi, lalu diajaklah pengembara itu untuk makan bersama. Maka seorang pengembara memotong setiap keping roti kepada 3 bahagian yang sama besar (8×3=24). Oleh itu, seorang pengembara dapat menjamah 8 potongan roti (24/3=8).

Selesai menikmati hidangan roti tadi, pengembara ketiga itu meninggalkan mereka dan memberikan 8 dirham.

Pengembara pertama ingin membahagikan 8 dirham itu. Memandangkan dia tadi berkongsi 5 keping roti, maka dia mengambil 5 dirham dan bakinya 3 dirham lagi diberikan kepada pengembara kedua yang berkongsi 3 keping roti.

Tetapi, pengembara kedua tidak berpuas hati. Baginya, sepatutnya 8 dirham itu dibahagi dua antara mereka. 4 dirham seorang. Lalu mereka pun bertengkar.

Akhirnya, masalah ini dibawa ke hadapan Saidina Ali. Saidina Ali menyuruh pengembara kedua menerima pembahagian yang dilakukan oleh pengembara pertama kerana sememangnya pengembara pertama lebih berhak mendapat lebih disebabkan dia berkongsi bilangan kepingan roti yang lebih. Namun pengembara kedua masih tidak mahu mengalah.

Maka setelah itu, Saidina Ali pun berkata, "Sepatutnya anda hanya berhak mendapat satu dirham sahaja. 5 keping roti pengembara pertama dicampur 3 roti kamu menjadi 8.

Kemudian anda potong setiap roti kepada 3 bahagian. Maka ada 24 keping roti (8×3). Jadi 3 roti anda bila dipotong tiga setiap satu menjadi 9 bahagian, dan anda telah makan 8 bahagian. Lebih satu bahagian sahaja yang anda kongsi dengan pengembara ketiga.

Tetapi pengembara pertama, 5 rotinya dipotong tiga setiap satu menjadi 15 bahagian, dan dia telah makan 8 bahagian. Bakinya 7 bahagian lagi dikongsi dengan pengembara ketiga itu.

Jadi sepatutnya pengembara pertama harus mendapat 7 dirham dan anda hanya patut mendapat 1 dirham sahaja."

Kisah Ketiga

Sebelum meninggal, seseorang telah membuat wasiat:

"Saya ada 17 ekor unta. Jika saya meninggal dunia, bahagilah unta-unta itu antara 3 orang anak saya. Anak sulung saya, berilah dia 1/2 daripada bilangan unta saya. Anak kedua pula, beri dia 1/3 daripada bilangan unta saya. Anak ketiga saya, berilah dia 1/9 daripada bilangan unta saya."

Setelah beberapa ketika, si pembuat wasiat itu pun meninggal dan apabila anak-anaknya membaca wasiat yang ditinggalkan, mereka menjadi bingung. Macam mana nak bahagi 17 ekor unta tadi. Maka mereka pun berjumpa dengan Saidina Ali.

Saidina Ali setelah meneliti isi kandungan wasiat, berkata:

"Aku akan pinjamkan kamu seekor unta saya. Maka bilangan unta sekarang ada 18 ekor.

-Anak sulung dapat 1/2 daripada 18 ekor unta = 9 ekor
-Anak kedua dapat 1/3 daripada 18 ekor unta = 6 ekor
-Anak ketiga dapat 1/9 daripada 18 ekor unta = 2 ekor (9+6+2=17)

Dan sekarang aku ambil balik unta aku."

- Artikel iLuvislam.com

Kerasnya hati Hindun

TANPA bercerita kisah wanita yang seorang ini, pengetahuan kita terhadap sejarah Islam seolah-olah tidak akan menjadi lengkap dan sempurna.

Hindun binti Utbah, sebagaimana yang diketahui umum mempunyai watak yang sangat protagonis dalam Perang Uhud yang bakal kita lalui kisahnya.

Sehingga beliau digelar sebagai pemakan hati, iaitu umpama manusia kanibal yang sanggup mengunyah anggota badan manusia yang lain semata-mata untuk mendapatkan kepuasan diri.

Namun sangat menarik jika kita dapat mengenali watak ini dengan lebih dekat melalui pelbagai pihak yang bercerita mengenai Hindun yang begitu memusuhi Islam sejak zaman jahiliah.

Namun kita tidak akan menemui sebarang kisah yang mendedahkan sama ada Hindun seorang wanita yang jelita atau cantik pada zamannya.

Tetapi yang sering diceritakan ialah mengenai jiwanya yang kental, seorang yang pintar berkata-kata, berpendirian tegas dan sangat berpengaruh terhadap kaumnya. Pendek kata dia menepati ciri-ciri wanita bangsawan walaupun menimbulkan pelbagai konflik.

Imam Ibnu Abdil Jarir menyifatkan Hindun sebagai: "Hindun adalah seorang wanita yang berjiwa besar dan memiliki kehormatan."

Nama sebenar wanita ini ialah Hindun binti Utbah bin Robiah bin Abdi Syams bin Abdi Manaf Al Umawiyah Al Qurasyiyah.

Ibunya bernama Shafiyyah binti Umayyah bin Haritsah bin Al Auqashi bin Murrah bin Hilal bin Falih bin Dzikwan bin Tsa'labah bin Bahtah bin Salim.

Hindun mempunyai dua adik beradik lelaki iaitu Abu Hudhayfah bin Utbah dan Al Walid bin Utbah.

Dia digambarkan sebagai seorang wanita Arab yang sangat luhur di kalangan wanita-wanita lain. Dia dikatakan seorang yang sangat fasih ketika berbicara, sangat berani, kuat, berjiwa besar, seorang yang berfikir atau berpandangan jauh dan penyair yang baik serta bijak.

Pendek kata, dengan sifat-sifatnya itu Hindun dipandang sebagai wanita yang mulia, sekali gus mengangkat nama dan nasab keturunannya untuk disegani dan dihormati oleh seluruh penduduk Arab terutama di zaman jahiliah.

Anaknya yang sangat terkenal dalam sejarah Islam sebagai pengasas Dinasti Umayyah iaitu Muawiyah bin Abu Suffian pernah menceritakan mengenai ibunya itu: "Ibuku adalah wanita yang sangat berbahaya di zaman jahiliah tetapi di dalam Islam, beliau menjadi seorang wanita yang mulia dan baik."

Sebelum berkahwin dengan Abu Suffian, Hindun dikatakan pernah berkahwin dengan seorang pemuda bernama Al Fakih bin Mughirah Al Makhzumi sehingga melahirkan dua anak tetapi mereka kemudiannya bercerai.

Dalam hal ini Hindun berkata kepada orang tuanya: "Aku adalah wanita yang memiliki hak. Maka janganlah menikahkan aku lagi dengan seorang lelaki sebelum menawarkan dirinya kepada aku."

Lalu apabila dua orang lelaki datang meminangnya selepas itu, Hindun benar-benar memilih lelaki manakah yang terbaik untuk beliau jadikan suami.

Dia menolak lelaki pertama, iaitu seorang yang boleh dipengaruhi kerana kebodohannya walaupun dia dari kalangan keluarga terhormat.

Waima apa sekalipun yang Hindun akan lakukan kemudian hari, lelaki itu dikatakan akan tetap setia di samping Hindun.

"Kekurangan lelaki itu dapat dicukupkan (disempurnakan) dengan kecerdasanmu," kata bapa Hindun, Utbah.

Namun Hindun lebih memilih lelaki kedua yang meminangnya apabila mendapati lelaki itu menepati ciri-ciri yang dia kehendaki.

Antaranya, memiliki kehormatan yang tinggi, nasab dan kecerdasan yang tulin, sangat aktif pergerakannya, sangat berwibawa sehingga lelaki itu dikatakan dapat mengatur keluarganya sehingga seluruh anggota keluarga tunduk hormat terhadapnya

"Adapun lelaki pertama, dia adalah tuan yang akan lenyap kemuliaannya, akan membinasakan isterinya sendiri kerana akan hidup di bawah telunjuk isteri yang lebih berkuasa.

"Jika melahirkan keturunan, anak-anaknya pasti menjadi bodoh dan tidak mampu menunjukkan kehebatan.

"Maka jauhkan lelaki itu dariku dan tidak perlulah bapa memberitahu aku akan namanya.

"Sesungguhnya aku sangat tertarik dengan keperibadiannya dan dia boleh menjadi suami yang memiliki kemerdekaan yang sebenarnya di samping jika dilihat dari nasabnya maka tiada penghalang untuk kami berumahtangga.

"Tetapi siapakah lelaki itu wahai bapaku," tanya Hindun.

"Dia adalah Abu Suffian bin Harb," jawab Utbah.

Namun ada sumber sejarah lain yang cuba mempertikaikan keperibadian Hindun yang bangsawan itu dengan mengatakan wanita ini sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan ramai lelaki sebelum berkahwin dengan Abu Suffian, salah seorang pembesar ternama Quraisy Mekah.

Dengan lain perkataan, mereka menuduh Hindun sebenarnya seorang pelacur, malah hamil hasil hubungan dengan Abu Suffian menyebabkan Hindun terpaksa memberikan rasuah yang besar terhadap pembesar itu bagi membolehkan mereka berkahwin.

Hafaz al-Quran tugas murni

SATU-SATUNYA mukjizat Nabi Muhammad yang kekal hingga ke hari ini ialah al-Quran al-Karim. Nabi Muhammad SAW tidak meninggalkan dinar dan dirham, tetapi meninggalkan al-Quran dan sunnahnya.

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, jika kamu berpegang kepadanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al-Quran dan sunnahku". (riwayat Imam Malik)

Generasi pertama Islam iaitu para sahabat ra menjaga al-Quran dengan sempurna. Mereka berusaha memahami makna al-Quran, membaca, menghafaz dan melakukan segala ajaran al-Quran.

Bagi menjamin generasi kemudian dapat menghayati al-Quran, mereka telah mengambil satu tindakan yang tepat dengan membukukan al-Quran.

Kehebatan al-Quran yang dijamin penjagaannya oleh Allah SWT telah terbukti dengan ramainya umat Islam menghafalnya.

Mereka menghafal al-Quran dengan niat yang ikhlas hanya kerana Allah bukan mengharap balasan atau ganjaran dari makhluk. Di mana sahaja ada umat Islam di situ akan ada kelas-kelas al-Quran atau kelas tahfiz al-Quran.

Satu kisah yang selalu diceritakan oleh seorang pengarang kitab-kitab Qiraat yang masyhur iaitu Sheikh Abdul Fattah al-Qadi dalam siri-siri ceramahnya berkaitan kelebihan al-Quran.

Beliau mengesahkan tentang seorang lelaki beragama nasrani yang mengajak kawannya yang beragama Islam menghadiri kelas pengajian kitab agama mereka.

Lalu kawannya yang beragama Islam bertanya apakah kelebihan kitab agama Nasrani ini? adakah ia dihafal oleh penganut peringkat bawahan, pertengahan atau paling tidak pun pendeta mereka?

Lelaki Nasrani menjawab, kitab agama mereka tidak dihafal oleh penganut peringkat bawahan, pertengahan mahupun pendeta tetapi hanya dibaca sahaja.

Penganut Islam menjawab, kalau begitulah keadaannya bagaimana aku boleh hadir mendengar kuliah agama kamu dan meninggalkan al-Quran sedangkan al-Quran dihafal oleh umat Islam dengan jumlah yang ramai di seluruh dunia bermula di peringkat kanak-kanak, orang dewasa dan alim ulamanya.

Di Malaysia, kelas menghafaz al-Quran yang pertama ditubuhkan pada tahun 1965 bertempat di Masjid Negara di bawah arahan almarhum Tunku Abdul Rahman.

Guru yang diamanahkan untuk mendidik generasi pertama menghafaz al-Quran di Malaysia ialah Datuk Mohamad Nor Ibrahim iaitu bekas Mufti Kerajaan Negeri Kelantan.

Bermula dari Masjid Negara pada 1965, pusat tahfiz al-Quran terus berkembang. Kini, setiap negeri di Malaysia mempunyai maahad tahfiz al-Quran yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Selain itu, pada hari ini juga banyak maahad tahfiz yang ditubuh dan diurus tadbir oleh pihak persendirian dan mendapat sokongan masyarakat setempat.

Sesungguhnya menghafaz al-Quran adalah satu tuntutan dalam Islam. Paling tidak pun, umat Islam hendaklah menghafaz surah-surah yang pendek untuk dibaca dalam sembahyang.

Semoga kita tidak termasuk dalam kalangan orang yang tidak ada langsung dalam jiwanya walaupun sedikit al-Quran dan terselamat dari perumpamaan yang disabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya orang yang tidak ada langsung dalam jiwanya al-Quran seumpama rumah yang runtuh". (riwayat Termizi dan Ahmad)

Apabila halal dan haram bercampur

DALAM dunia perniagaan hari ini, kita kerap berhadapan dengan situasi percampuran antara halal dan haram. Situasi ini menuntut kita mengetahui hukum mengenainya supaya harta yang kita perolehi bersih dari elemen-elemen yang bercanggah dengan syariah.

Prinsip asas kepada situasi ini adalah: "Apabila bercampur halal dan haram, maka ia dikira haram."

Contohnya, institusi-institusi perbankan Islam berhadapan dengan masalah ini apabila terdapat pendeposit yang membuka akaun di institusi berkenaan bekerja di tempat yang haram seperti kelab malam atau premis perjudian.

Masalah ini juga dihadapi oleh pengendali takaful apabila terdapat pihak yang ingin menyertai pelan-pelan takaful bekerja di tempat yang haram atau syarikat-syarikat yang mempunyai aktiviti yang bercampur.

Sebagai individu yang hidup bermasyarakat, kita juga tidak dapat lari daripada situasi ini.

Antaranya, apabila kenalan yang bekerja di tempat yang haram menjemput kita kenduri atau jamuan. Ataupun, kenalan kita tersebut memberikan hadiah kepada kita.

Apakah boleh kita menerima undangan dan hadiah tersebut? Bagaimana pula sekiranya duit yang digunakan itu adalah hasil rasuah atau judi?

Terdapat perbezaan hukum bergantung kepada realiti serta sifat keharaman itu.

Jika harta haram itu diperolehi dengan menggunakan kaedah yang halal, maka harta tersebut boleh dimanfaatkan oleh pihak yang menerimanya.

Sebagai contoh, seseorang yang bekerja dengan syarikat yang menawarkan produk-produk riba, pendapatannya adalah haram. Namun, perolehan pendapatannya itu diusahakan melalui cara dan kaedah yang harus iaitu bekerja.

Maka jika individu tersebut memberi hartanya kepada pihak kedua dengan menggunakan urus niada yang halal seperti hadiah atau sedekah, maka pihak yang menerima harta berkenaan harus menggunakannya.

Ini kerana, harta haram tersebut dimiliki sendiri oleh pengusahanya dengan cara yang sah.

Imam Ibn Taimiah dalam Majmu' Fatawa mengistilahkan harta tersebut sebagai halal kerana pemilik meredai harta haram berkenaan berpindah milik kepada pihak yang mengusahakannya.

Ini bermakna, pekerja kilang arak layak mendapat gaji kerana ia berdasarkan usaha dan kerja yang dilakukan olehnya.

Dalam hal ini, pihak yang pertama tetap mendapat dosa kerana bekerja di tempat yang haram.

Namun, sesiapa yang diberi hadiah atau menerima jemputan kenduri daripada pekerja kilang arak berkenaan boleh mengambil dan menerimanya.

Dosa yang dilakukan oleh orang yang bekerja di tempat yang haram itu tidak terpalit kepada pihak yang kedua secara langsung.

Ini berdasarkan beberapa hujah. Antara dalil yang boleh menjadi rujukan adalah firman Allah SWT:

Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)…(al-An'am: 164)

Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a: Barirah telah diberikan daging. Rasulullah SAW datang dan bekas masakan berada di atas dapur. Lalu Nabi SAW dihidangkan dengan roti dan lauk yang telah sedia ada di rumah (tanpa hidangan daging tersebut). Rasulullah SAW bertanya, "Bukankah tadi aku melihat ada bekas masakan di atas dapur yang di dalamnya ada daging?" Mereka menjawab, "Ya, wahai Rasulullah. Daging itu ialah daging yang telah disedekahkan kepada Barirah. Kami merasa tidak senang untuk memberikan daging tersebut kepadamu (disebabkan Rasulullah tidak menerima sedekah). Lalu Baginda SAW menjawab, "Pemberiannya kepada Barirah adalah sedekah, dan pemberian Barirah kepada kita adalah hadiah". (riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa urusan pertama tiada kaitan dengan urusan kedua. Sekiranya pihak yang pertama memperolehi harta secara haram, dosa berkenaan tidak terkena kepada pihak kedua yang melakukan urusan secara halal dengan pihak yang pertama.

Mazhab Hanafi meletakkan kaedah perpindahan milik memestikan perubahan 'ain dari sudut hukum sekalipun 'ainnya adalah sama.