Monday, April 2, 2012

Hebat Sangatkah Solat?




Kota Constantinople yang menjadi kebanggaan bangsa Rom suatu ketika dahulu begitu kebal untuk dirobohkan apatah lagi untuk tentera islam menawan sepenuhnya kota yang berpangkalan di Turki itu. Tetapi akhirnya selepas 800 penantian ,kota gah itu berjaya ditakluk oleh Sultan Muhammad Al Fateh sekaligus mengembalikan zaman penuh kegemilangan untuk seluruh umat islam.

Tetapi di akhir zaman ini begitu ramai yang menanam kebencian kepada bangsa yahudi gara-gara kerakusan mereka membunuh dan menodai umat islam khususnya di Palestin, malah keinginan mereka untuk menakluk sepenuhnya negara tersebut juga buatkan "kebencian" umat islam semakin memuncak.

Kebencian yang ditanam pada hati kita buatkan segala bentuk cacian, sumpah seranah dan kemarahan dilemparkan kepada bangsa yang tidak pernah serik-serik untuk menjadikan Palestin sebagai negara mereka. Tidak kurang juga buat masyarakat islam yang langsung tidak pernah ambil tahu akan perkembangan semasa saudara islam disana kerana mereka lebih selesa berada dalam kepompong kehidupan sendiri.

Hakikatnya dengan kebencian yang ada dalam hati , apakah ia sudah melayakkan kita untuk menjadi seorang "pejuang islam" yang bersedia untuk menumpahkan darahnya demi islam yang tercinta? Apakah hanya cukup sekadar dengan membuat demontrasi ketidakpuasan hati terhadap bangsa jahanam itu? Atau adakah cukup dengan menonton konsert amal yang sering dianjurkan oleh pelbagai pihak yang kononnya hasil sumbangan dan kutipan dari jualan tiket diberikan kepada insan-insan yang sedang bertarung nyawa disana?

ADA APA DENGAN SOLAT?

Apakah jiwa pernah "terdetik" untuk mengkaji semula bagaimana bangkitnya islam di zaman Rasulullah dan para sahabat? Faktor umat islam di zaman lampau mampu menguasai 2/3 dunia kerana mereka bergantung dengan kekuatan yang utama iaitu "solat". Janganlah hanya bersemangat dengan lantang bersuara mencaci bangsa yahudi sedangkan solat kita sendiri langsung tidak sempurna. Mengapa solat dikaitkan dengan kekuatan islam? Hebat sangatkah solat?

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :

"Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman : "Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya"? Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain".
(Riwayat At-Tarmizi)



Hadith Rasulullah s.a.w tadi sudah cukup sempurna untuk menerangkan betapa pentingnya solat. Kekuatan umat terdahulu sememangnya bergantung sepenuhnya kepada solat dan ia juga ialah "tiang agama" . Tanpa asas yang kukuh iaitu "tiang agama" bagaimana untuk ummah pada hari ini menjadi muslim yang benar-benar digeruni oleh pihak musuh sedangkan pihak musuh sentiasa menunggu peluang untuk menghumban umat islam ke dalam kekufuran.

NIKMAT

Solat adalah tuntutan wajib untuk setiap umat islam yang mengaku dirinya sebagai umat nabi Muhammad s.a.w . Solat bukanlah hanya sebagai pelengkap kepada rukun islam semata-mata tetapi yang lebih penting solat adalah sebagai tanda kita mensyukuri segala nikmat yang diberikan Allah kepada kita selama ini.

Nikmat yang Allah berikan terlalu luas dan sebagai hamba yang selalu bergantung kepada pertolongan Allah pastinya semua itu tidak akan mampu dibayar nilainya oleh mana -mana manusia sekalipun. Kesenangan,kesihatan,kelapangan dan segalanya adalah nikmat dari Allah untuk kita sebagai hamba secara percuma. Belum lagi nikmat-mikmat lain yang Allah berikan kepada kita tanpa diduga, itulah kasih sayang pencipta kepada hambanya.

KITA KHIANATI AMANAH ALLAH

Masyarakat islam yang sakit dan pincang pada hari ini sememangnya merupakan satu cabaran getir untuk 'dunia islam" kembali menyinar dan gah seperti satu masa dahulu. Penyakit sosial yang terlalu parah bukan lagi mendekati anak –anak muda kita, sebaliknya ia adalah sebahagian dari cara hidup umat islam masa kini. Penyakit itu misalnya berzina, arak, judi, pembunuhan,rompak, rasuah dan banyak lagi dosa yang tidak boleh diterima akal dek angkara perbuatan jahil manusia.

Semuanya terjadi hanya kerana umat islam mengabaikan satu tuntutan yang wajib iaitu solat yang sebenarnya merupakan benteng keimanan yang menyelamatkan manusia dari lembah hina. Mayarakat islam pada hari ini tidak lagi memandang solat itu sebagai satu pekara yang mulia dan berharga. Jika dihayati kisah para pejuang Allah di zaman dahulu mereka akan mementingkan solat lebih dari segalanya.

Mereka misalnya Sultan Muhammad Al-Fateh dan seluruh tenteranya yang mengutamakan solat biarpun nyawa mereka terdedah dengan serangan musuh. Beliau dan tentera-tenteranya menunaikan solat berjemaah di hadapan tembok kota Constatinople dan disaksikan sendiri setiap musuh islam.Tentera musuh begitu tergamam melihat bertapa disiplinnya tentera islam yang bukan sahaja dalam peperangan malah dalam solat.

Malah kisah para pejuang Allah yang lain juga semuanya tidak jauh beza, semuanya mengutamakan solat sebagai landasan menuju kejayaan. Tidak seperti umat masa kini yang semakin melupakan perintah wajib ini dan ada juga yang tidak tahu langsung kewajipan bersolat.

Kelemahan umat islam masa kini juga bukanlah kerana kekuatan yahudi yang mengusai seluruh dunia tetapi kelamahan ketara umat islam kerana tidak menjadikan solat sebagai senjata untuk menyatukan ummah .

MULAKAN SEGERA!!

Jika dihayati kehebatan Rasulullah dan para sahabat selain solat 5 waktu mereka juga mengamalkan solat sunah tahjud di waktu malam .Solat ini dilakukan di hening malam sewaktu dunia ini sunyi dari hiruk pikuk manusia. Ulama juga berpendapat waktu yang paling afdal untuk menunaikan solat ini ialah ¾ malam iaitu diantara pukul 3 sehingga sebelum masuknya waktu subuh.

Sekiranya kita sebagai hamba Allah dan umat nabi Muhammad S.A.W tidak mampu untuk melakukan solat malam maka mulakanlah dengan melaksanakan dahulu solat 5 waktu dengan secukupnya. Solat menjanjikan ketenangan, kebahagian dan kekuatan dalaman . Manusia yang beriman kepada Allah akan merasa sayang untuk meruntuhkan tiang agama islam dengan tidak bersolat kerana sedar bertapa tanpa solat dirinya semakin terdedah dengan ancaman musuh seperti syaitan dan orang kafir yang mahu membolak balik akhidah umat islam.

Janganlah menangguh lagi untuk tidak bersolat tetapi mulakan segera langkah untuk bersolat dan cukuplah dahulu dengan menunaikan solat yang wajib . Janganlah dibibir mengaku sebagai umat islam tetapi dalam masa sama kita ialah musuh yang meruntuhkan agama sendiri.

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment