Tuesday, June 28, 2011

Hayati Israk Dan Mikraj Dalam Membentuk Peribadi Muslim





Datuk Seri Najib Tun Razak meminta umat Islam menghayati dan menginsafi peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah dalam membentuk keunggulan peribadi Muslim sebagai tunggak kepada kekuatan umat Islam di negara ini.

"Semoga seluruh umat Islam dapat menghayati dengan penuh insaf peristiwa agung ini untuk menjadikan kita sebagai umat terbaik dalam merintis perpaduan melalui kepelbagaian kaum dan agama.

"Keperibadian unggul Muslim akan melahirkan semangat perpaduan yang akan menatijahkan keamanan sesebuah negara.

“Tanpanya maka individu Muslim akan lemah, sentiasa sukakan perpecahan dan tidak pentingkan keharmonian, malah bencikan keamanan yang ada," kata Perdana Menteri dalam ucapan salam Israk Mikraj kepada semua umat Islam di Malaysia yang disiarkan dalam entri terbaru di blognya, www.1malaysia.com.my


Perdana Menteri juga mengajak rakyat Malaysia mengambil pengajaran daripada hikmah peristiwa Israk Mikraj Rasulullah sebagai panduan dalam perjalanan negara menuju Wawasan 2020.

Najib berkata dalam konteks negara, berahmatkan peristiwa Israk dan Mikraj, kita sedang meniti satu perjalanan hebat bersama-semua rakyat menuju Wawasan 2020.

"Kita sedang melaksanakan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi dari pelbagai bidang.

"Ini bagi membuktikan kemajuan dan kesungguhan kerajaan untuk membangunkan negara tercinta ini dengan transformasi ini juga memerlukan keberanian dan perubahan minda secara menyeluruh dan memerlukan pencapaian yang berganda dan luar biasa," katanya. Najib berkata dalam perjalanan Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab tahun Hijrah pada tahun ke-11 selepas kenabian Rasulullah, ia adalah dua misi perjalanan hebat sebagai anugerah kemuliaan dan mukjizat kepada Baginda sebagai bukti kekuasaan Allah SWT, katanya.

Peristiwa Israk merupakan perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan diiringi oleh malaikat Jibrail dan Israfil manakala peristiwa Mikraj pula perjalanan Rasulullah naik ke langit dengan ditemani malaikat Jibrail dan bertemu Allah.

Najib berkata semasa di Masjid Al-Aqsa, Allah telah memperlihatkan kepimpinan baginda Rasulullah yang menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para anbiya yang lainnya.

"Justeru, baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah kepada keseluruhan manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum dan bangsa yang telah menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia," katanya.

Najib berkata sesungguhnya kini hubungan Masjid al-Haram dengan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum bertukar ke Masjid al-Haram hingga hari ini.

"Selain itu, isu Palestin merupakan isu yang mesti diperjuangkan oleh umat Islam sebagai agenda penting dakwah bagi membela rakyat Palestin dari kekejaman rejim Israel," kata Najib.

Najib berkata pengajaran kedua terpenting menerusi peristiwa Israk dan Mikraj ini ialah perlaksanaan solat lima waktu.

Justeru Najib mengingatkan umat Islam seluruh negara supaya menitikberatkan perlaksanaan ibadat solat lima waktu sebagai wahana membentuk keunggulan peribadi Muslim dan tunggak kekuatan Islam.

Najib berkata sambutan mengingat Israk dan Mikraj sememangnya dinantikan seluruh umat Islam kerana kepentingannya dalam mendidik jiwa manusia ke arah kesempurnaan dan membongkarkan keimanan serta keyakinan umat manusia tentang kekuasaan Allah dan kebenaran kenabian baginda Muhammad SAW.

Kuala Lumpur, 28 Jun
Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

No comments:

Post a Comment