Thursday, May 27, 2010

Imam Muda Astro Oasis 2010...



SETELAH mencipta sejarah penyiaran, menjadi saluran TV pertama di rantau ini dengan siaran berita secara langsung dari Kota Suci Mekah sepanjang musim Haji tahun lalu, kini saluran gaya hidup Islam, Astro Oasis (saluran 106) terus mengorak langkah apabila menghasilkan sebuah lagi program memecah tradisi dengan rancangan terbaru Imam Muda!

Imam Muda adalah sebuah program siri pencarian tentang sekumpulan remaja lelaki Islam yang dihasilkan oleh Astro dengan bantuan dan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertujuan untuk mencari Imam Muda yang terbaik di Malaysia.

Senarai Peserta Program TV – Imam Muda

Sepuluh orang calon Imam Muda yang terpilih itu ialah Amiril Md. Banin, 25, Kuala Lumpur; Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26, Pulau Pinang; Ahmad Hazran Ahmad Kamal, 26, Negeri Sembilan; Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27, Kedah; Muhammad Khairul Azhar Ghazali, 21, Kedah; Nik Muhammad Adib Md Amin, 22, Kelantan; Nuri Ali Arbain, 25, Pahang; Sharafuddin Suaut, 26, Sarawak; Ahmad Syakir Zamri, 19, Kelantan; dan Mohd Taufek Mohd Noh, 27, Johor.

Program Imam Muda bertujuan mencari pelapis dan melahirkan pemuda berwibawa, berintergriti dan kredibiliti bagi memikul tanggungjawab bukan sahaja sebagai Imam malah sebagai pemimpin.

Selain itu, program Imam Muda bertujuan memartabatkan status Imam dan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tanggungjawab sebenar yang dipikul seseorang Imam di zaman yang penuh cabaran ini.

Di antara insentif menarik yang bakal menanti Juara Imam Muda ialah penajaan penuh biasiswa di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi dan tawaran sebagai jawatan Imam di salah sebuah masjid utama di Wilayah Persekutuan berserta sebuah kereta.

Bukan itu sahaja, Juara Imam Muda juga bakal membawa pulang wang tunai RM20,000 dan sebuah komputer riba Apple Macpro di samping pakej menunaikan haji.

Mantan Imam Besar Masjid Negara, Datuk Hasan Mahmud Al Hafiz telah diamanahkan untuk menjadi Mudir (pengetua) yang akan membimbing calon-calon Imam Muda ini dan dibantu oleh dua orang Murshyid (mentor) iaitu Ustaz Shahrizan Daud At Turabi; Ketua Imam di Masjid Muadz bin Jabal, Taman Setiawangsa dan Ustaz Syed Norhisyam Al Idrus; seorang penceramah bebas yang juga pernah terlibat dalam pelbagai program TV berunsurkan ilmu Islam.

No comments:

Post a Comment