Friday, June 28, 2013

Monolog Cinta

Dia merenung dalam bait tinta yang ditangkap lensa miliknya. Sepasang mata yang bening itu bergerak-gerak kiri ke kanan. Dia cuba untuk memahami kata-kata itu.
“Cinta bukan tujuan, tapi hanyalah jalan. Cinta itu bukan matlamat, tapi hanyalah alat…” – Ustaz A.Ubadillah Alias
Dahinya dikerutkan. Keningnya dirapatkan. Tanda dirinya sedang memikirkan sesuatu yang mengusik perasaan.
“Cinta bukan tujuan. Tapi jalan. Cinta bukan matlamat. Tapi alat..” Bait tinta itu bergema dalam sanubarinya.
“Apa ertinya?” Dia bermonolog.
Lama dia merenung. Sesekali, dia menghantar pandangan ke luar jendela. Dia menatap ke arah langit. Cerah. Subhanallah, indah ciptaan-Mu – Burung-burung berkicauan, tanda bertasbih kepada-Nya. Sang unggas bernyanyi riang, tanda memuji kepada-Nya. Segala yang ada di langit mahupun di bumi sujud pada keEsaan-Nya. Dalam asyik dia merenung keindahan ciptaan Tuhan, ada sesuatu yang mengusik kalbunya.





Cinta. Ya. Dia tahu dia masih muda remaja. Dia tahu masih banyak tanggungjawab yang harus digalasnya. Dia tahu masih banyak impian yang belum diraihnya. Dia tahu, umi dan abinya mengharapkan sesuatu daripadanya. Dia tahu perjalanan hidupnya baru bermula. Dia tahu dia tidak seharusnya leka dalam cinta dunia. Dia tahu dan dia mengerti segala-galanya. Namun, entah mengapa setiap kali dia cuba mengusir satu rasa yang bertamu di dada, tiap kali juga dia kalah melawan perasaannya.

Ya Allah, begitu kuat rasa itu hadir ke dalam kalbunya.
Apa yang perlu dia lakukan? Langkah apa yang perlu dia aturkan? Strategi apa yang perlu dia rencanakan?
Segala-galanya kelihatan suram. Segala-galanya kelihatan tidak berjalan. Hatinya kembali rawan. Mengapa dirinya tidak mampu melawan? Mengapa perasaannya seringkali kecundang? Mengapa hatinya seringkali bermusuhan dengan apa yang dia fikirkan? Hati dan akalnya tidak sehaluan.
Dia tidak mahu lemas dalam dakapan cinta yang melekakan. Dia hanya mahu lemas dalam dakapan cinta Tuhan. Tapi, makin kuat dia mencuba, makin kuat pula dia diduga.





Dia tahu, dia harus kuat menghadapinya. Dia tahu, dia harus melawan rasa cinta yang bertamu dalam hatinya. Dia tahu, dia harus mengusir rasa cinta pada manusia. Mengusir cinta bukan bererti membenci. Tetapi lebih kepada menjaga jarak antara dirinya dan dia. Hatinya cuma ada satu. Dia tahu, sakit rasanya apabila terluka. Pedih rasanya apabila kecewa. Pasti, dia akan berduka. Lalu, amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya akan terbang dan hilang entah ke mana.

Dia harus memilih. Ya. Memilih sama ada dia mahu terus berfantasi atau menjejak realiti? Mahu terus berada dalam mimpi atau mahu menjejak bumi? Dia sedar. Cinta manusia itu adalah sesuatu yang tidak pasti. Cinta yang hakiki adalah berpaksikan pada DIA Sang Ilahi.
Dia juga sedar, kehidupan kini penuh dengan ujian Ilahi. Jika iman tidak terus diasah, maka dia akan tersungkur rebah. Jika akidah tidak terus dipelihara, maka dia akan terus bergelumang dengan dosa. Jika ilmu-Nya tidak terus diteroka, maka dia akan terus terleka dalam arus dunia. Dia juga sedar. Perjalanannya masih jauh. Banyak lagi yang harus ditempuh. Jika ujian sebegini dia tidak mampu menempuh, apatah lagi ujian lain yang mewajibkan imannya untuk terus teguh.
Dia nekad. Segala rasa cinta yang hadir sebelum waktunya perlu segera diusir. Bimbang pula hatinya akan terus terusik. Kini dia memegang pada satu prinsip!
“Cinta itu fitrah. Ilmu itu amanah. Iman itu perlu diasah. Maksiat itu perlu dicegah!”
Ashadu Anla Ilahailallah Wa Ash Hadu Anna Muhammad Rasulullah. Hanya padaMu Tuhan, aku berserah…
- Artikel iluvislam.com





Friday, March 8, 2013

Senyum Selalu Seperti Rasulullah SAW

Bukan sukar untuk menghadiahkan senyuman tetapi kita sendiri menyukarkan senyuman itu terpamer di wajah. Hati mana tidak tenang apabila sedang dalam kekusutan, masih lagi boleh tersenyum kepada rakan. Senyuman itu adalah ciptaan indah Allah SWT, malah senyuman juga adalah kuntuman indah yang sentiasa dipersembahkan Rasulullah SAW, manusia sempurna yang patut diteladani segala sifat, sikap dan tingkah lakunya.

Ada beberapa hal menarik pada diri Baginda SAW yang jarang diungkapkan ramai iaitu mengenai senyumnya. Sepintas lalu, hal itu mungkin nampak kecil dan tidak bererti tetapi apabila dikaji, sebenarnya senyuman Rasulullah SAW memberi impak positif yang sungguh luar biasa. Hikmahnya, banyak kejayaan Rasulullah SAW dalam misinya sebagai penyebar risalah tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan Baginda.

Banyak Tersenyum
Disebabkan itu, Rasulullah SAW dapat mempengaruhi orang ramai sehinggakan Baginda dicintai dan disegani kawan, juga lawan. Sahabat adalah saksi kehidupan Rasulullah SAW yang penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang pernah menceritakan betapa indahnya senyuman Rasulullah SAW ialah Saidina Umar. Kata Saidina Umar,
"Rasulullah SAW tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling bagus giginya."
(Hadis diriwayatkan Ibnu Hibban)
Seorang lagi sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Al-Harist menyatakan,
"Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW."
(Hadis riwayat At-Tirmizi)
Cucu kesayangan Baginda SAW, Saidina Husein juga ada menggambarkan bagaimana sikap Rasulullah mana direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, beliau berkata,
"Aku bertanya kepada ayahku (Saidina Ali) mengenai adab dan etika Rasulullah SAW terhadap orang yang bergaul dengan Baginda. Ayahku mengatakan: Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, Baginda bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas."







Senyum Kepada Sesiapa Sahaja
Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan senyumannya hatta kepada orang yang tidak disukai. Perkara itu pernah direkodkan Imam Bukhari disebutkan bahawa Saiditina Aisyah berkata:
"Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Ketika Baginda melihat orang itu dari jauh, maka Baginda bersabda: Dia adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat. Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk, Baginda memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu. Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya dan menerima kedatangannya dengan baik hati. Kemudian Rasulullah bersabda: Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?"
Imam al-Khataby ketika mensyarahkan hadis itu berkata, "Hadis ini dilihat dari sudut adab dan ilmu". Ucapan Rasulullah SAW mengenai diri Uyainah sesuatu gambaran yang tidak disukainya secara jelas disebut Ghibah. Ghibah berlaku di antara sebahagian orang dari umat Islam terhadap sebahagian yang lain. Namun, perlakuan Baginda adalah menjelaskan dan mengungkapkannya dalam bentuk nasihat dan kasih sayang terhadap umatnya.
Kerana Baginda sudah dianugerahi sifat kemurahan hati dan akhlak yang baik, maka Baginda memperlihatkan wajah berseri dan tidak menghadapi kesukaran berhadapan orang tidak disukainya. Baginda bertindak sebegitu supaya umat Islam meniru perbuatan Baginda, supaya dapat dihindari keburukan yang boleh menimpa umatnya dan mereka boleh selamat daripada kejahatan dan tipu daya.
Begitu indah akhlak Rasulullah SAW, walaupun seseorang itu tidak disukai, Baginda tetap mempamerkan senyuman dan menyambut kedatangan Uyainah dengan ceria. Sebagai umatnya yang mengaku bahawa Baginda adalah sebaik-baik manusia dan seorang nabi dan rasul, tidakkah kita malu kerana tidak mengikut perbuatan Baginda yang sentiasa menghadiahkan senyuman kepada orang ramai.


Bertegas Bila Perlu
Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mengikuti perbuatan Rasulullah kerana harga senyuman tidak ternilai dengan wang ringgit. Ketegasan Baginda juga dapat dilihat dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim mengenai wanita dari kabilah Makhzumiyah yang mencuri. Kaum Quraisy bingung dengan permasalahan itu kerana mereka tahu hukuman pencuri mengikut undang-undang Islam ialah dipotong tangan (mengikut syarat ditetapkan).
Mereka bertanyakan kepada sesiapa yang berani berjumpa Rasulullah SAW memohon melepaskan wanita itu. Usamah disarankan bertemu Rasulullah SAW kerana Rasulullah menyayangi Usamah. Maka Usamah pergi dan berbicara kepada Rasulullah SAW untuk minta pembelaan atas wanita itu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda:
"Jadi kamu ingin memohon syafaat (pembelaan) terhadap salah satu dari hukum Allah?"
Setelah mengucapkan ayat itu, Baginda berdiri dan berkhutbah:
"Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat sebelum kalian ialah apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila mereka mendapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman kepadanya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya".
Oleh itu, marilah kita menjadikan senyuman dan ketegasan Rasulullah SAW sebagai panduan dan pada masa sama menilai hikmah di sebaliknya. Senyumlah, kerana senyuman tidak pernah mengurangkan rezeki sesiapa, malah dengan senyuman hati berasa tenang dan sentiasa disenangi orang lain. Sementara bertegaslah dalam keadaan perlu supaya agama tidak diperkotak-katikkan.
- Artikel iuvislam.com

Siapa Rasulullah Di Hati Kita?

Rindukah kamu pada Rasulullah?
Sayangkah kamu pada Rasulullah?
Cintakah kamu pada Rasulullah?
Tahukah kamu, bahawa Rasulullah sangat mencintai kita?
Di saat malaikat maut ingin mencabut nyawa, baginda tidak gembira dan tenang pergi bertemu Illahi sehingga mendengar melalui Malaikat Jibril bahawa Allah s.w.t. memberi jaminan bahawa tidak akan masuk syurga umat-umat lain melainkan umat Baginda s.a.w. dahulu memasukinya. Subhanallah... Begitu dalamnya cinta Baginda kepada kita.
Tahukah kamu, Rasulullah sangat menyayangi kita?
Di saat Malaikat Jibril datang kepada Baginda dan menerangkan sifat-sifat neraka jahanam, dan menerangkan bahawa bahagian yang paling atas dari semua tingkat neraka jahanam itu adalah untuk umat Nabi Muhammad yang berbuat dosa-dosa besar dan tidak sempat bertaubat, Baginda jatuh pengsan.
Baginda begitu sedih dan berdukacita. Baginda menangis sehingga Baginda tidak keluar rumah kecuali hanya untuk solat dan tidak berbicara dengan orang. Ya Allah....begitu besar kasih sayang Rasulullah kepada kita.
Tahukah kamu Rasulullah sangat merindui kita.?
Di saat malaikat maut ingin mencabut nyawa, nama kita disebut-sebut baginda.
"ummati...ummati...ummati..."
Tahukah kamu, Rasulullah sangat rindu bertemu dengan kita?
ketika Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda bertanya kepada sahabat.
"siapakah yang paling ajaib imannya?"
 Seorang sahabat menjawab, "malaikat..."
Baginda menjelaskan,  "bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka hampir dengan Allah.."
Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi,  "Para nabi.."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka.." jelas Rasulullah..
" Mungkin kami..." celah seorang sahabat...
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kamu.." Rasulullah menyangkal..
"kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-NYA sahaja yang lebih mengetahui.." jawab seorang sahabat..
"kalau kamu ingin tahu siapa mereka? mereka ialah umatku yang hidup selepasku..mereka membaca Al-Quran dan beriman dengan semua isinya..berbahagialah orang yang dapat bertemu dan beriman denganku...dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku.." jelas Rasulullah...
"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.
Sedarkah kamu. Tahukah kamu, siapakah 'ikhwan' Baginda? Siapakah yang Baginda rindu ingin bertemu?
Mereka adalah kita. Umat Rasulullah. Mereka yang belum pernah melihat baginda Rasulullah tetapi beriman dengan Baginda sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintai Rasulullah melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka.
Betapa Rasulullah ingin bertemu dengan kita. Betapa Rasulullah rindu akan kita.




Tapi kita...
Adakah kita cinta pada Rasulullah?
Adakah kita sayang pada Rasulullah?
Adakah kita rindu pada Rasulullah?

Kalimah sayang, cinta, rindu, sering meniti di bibir
Namun, mana buktinya?
Mana bukti kita sayang pada Baginda?
Mana bukti kita cinta pada Baginda?
Mana bukti kita rindu pada Baginda?
Tepuk dada, biarlah iman kita yang berbicara.
Ayuh sahabat, jangan hanya berkata-kata.
Ayuh buktikannya...
Buktikan bahawa kitalah yang Rasulullah cinta
Kitalah yang Rasulullah rindui dan ingin berjumpa
Bagaimana???
"Tak kenal maka tak cinta..."
Justeru, ayuh sama-sama kita kenali baginda Rasulullah SAW.
Kita ikuti sirah hidup baginda.
Jadikan baginda idola dalam hidup kita
maka...kita haruslah ikuti sunnah baginda.
dari awal kita celik mata sehinggalah kita pejamkan mata...
Ikut apa yang Rasulullah kata... "sampaikan dariku walaupun sepotong ayat" pesan baginda;
" Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamaya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku"
(Hadist riwayat Imam Malik bin Anas dalam al-Muwattha' - no: 1619)

Walau kemana kita pergi. Walau siapapun kita. Walau setinggi mana pangkat kita. Walau sebanyak mana harta kita,  ingatlah... Jangan pernah tinggalkan Al-Quran dan sunnah Baginda. Hidup  seiring dan landasilah ia pada Al-Quran dan Sunnah Baginda. Jadikan Al-Quran dan sunnah Baginda pegangan dan panduan hidup kita.
Semoga kita menjadi umat Nabi Muhammad yang Baginda rindu ingin bertemu. Semoga kita salah seorang yang mendapat syafaat Rasulullah di akhirat kelak. Semoga kita dapat bertemu dengan Rasulullah di taman syurga nan indah.
Salam Jumaat, Jum Selawat... " ِAllahumma solli 'ala Muhammad, wa'ala aali syaidina Muhammad"
- Artikel iluvislam.com


Thursday, December 27, 2012

Tuntut rebat telefon pintar mulai Selasa ini

KUALA LUMPUR – Belia yang berusia antara 21 dan 30 tahun boleh mula memohon rebat RM200 bagi pembelian telefon pintar 3G terpilih daripada pengedar berdaftar mulai Selasa ini. Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, permohonan di bawah Pakej Komunikasi Belia itu boleh dibuat menerusi pendaftaran dalam talian di http://nbi.skmm.gov.my/. Skim itu berasaskan siapa cepat dia dapat dan khas bagi 1.5 juta belia yang layak mendapatkan telefon pintar itu selagi stok masih ada, katanya dalam satu kenyataan semalam. Mohamed Sharil berkata, belia yang layak menikmati rebat RM200 itu boleh membeli telefon pintar 3G terpilih berharga sehingga RM500 daripada pengedar terpilih dan ejen yang dilantik oleh penyedia perkhidmatan. “Tujuannya ialah untuk memperluaskan insentif itu merangkumi belia berpendapatan rendah yang masih belum menggunakan telefon pintar dan tidak mampu untuk menaik taraf telefon lama 2G mereka kepada telefon pintar 3G yang asas,” katanya.

Takdir Itu KetentuanNya

Setiap orang mengimpikan sebuah perjalanan ke alam baitulmuslim yang sangat indah. Kita sentiasa merancang, tetapi pengakhirannya tetap bergantung kepada satu perkara iaitu takdir Allah SWT kerana sesungguhnya perancangan Allah itu mengatasi perancangan manusia itu sendiri.

Sebaik mana pun perancangan seseorang, namun perancangan Allah jualah yang lebih baik dan terbaik pada setiap keadaan dan waktu. Apa yang pasti, setiap perancangan dan ketentuanNya itu pastilah yang terindah walaupun di mata kasar seorang manusia, seribu manikam menikam sukmanya.

Dalam meniti usia senja, perancangan demi perancangan di bina dan di susun serapinya. Pada usia muda, pelajaran menjadi keutamaan. Namun dalam masa yang sama, tuntutan fitrah untuk membina hubungan halal turut meraih tempat dalam perancangan kita. Kita mula mengatur langkah dengan mencari bagi si teruna dan menanti bagi si puteri. Ada yang menanti dalam diam, dan ada juga yang sama-sama menongkah zaman. Menjadi 'berani' ke hadapan namun tetap berada di dalam jagaan 'malu' dan 'rapinya' seorang wanita. Lantas, orang tengah menjadi pengantara.

 Di saat kita mengatur langkah, merancang untuk menuju ke fasa yang penuh cabaran dan mehnah, adakah impian untuk membina baitulmuslim akan mempunyai pengakhiran yang indah belaka? Adakah niat kita untuk berbaitulmuslim benar-benar tepat dengan matlamat asalnya iaitu menikah di jalan dakwah? Takdir yang bakal tiba segalanya berada digenggamanNya. Kita hanya mampu bertanya namun, jawapannya akan terjawab tatkala kita sudah pun berada di'dalamnya' - alam berumahtangga. Terdapat beberapa kisah benar wanita solehah yang ingin ana kongsikan bersama-sama untuk dijadikan sebagai satu motivasi supaya akhowat tetap teguh sebagai seorang Da'ie di jalanNya. InsyaAllah.

 Kisah 1 Kagum sungguh dengan ukhti yang seorang ini. Sebelum ukhti ini berubah, dia pernah bercouple dengan seorang akhi. Dahulu kedua-duanya masih lagi di jalan kejahilan. Dan selepas Allah memberikan hidayah kepada ukhti ini terlebih dahulu dia terus-terusan bermujahadah di jalan Allah. Bertahun-tahun lamanya ukhti ini bermujahadah. Manakala akhi ini pula terus-terusan cuba untuk menganggu ukhti tersebut dan ingin mendapatkn kepastian mengapa dia ditinggalkan begitu sahaja. Dan akhirnya akhi ini pun mengalah dan dia pula diberikan hidayah oleh Allah. Masing-masing mula menyepi dan mantap di jalan dakwah. Selepas bertahun-tahun menyepi akhi ini mula mencari ukhti tersebut di facebook. Dan selepas ukhti ini melakukan istikharah, yakin dengan ketentuan yang diberikan olehNya, ukhti tersebut terus memulakan langkah perkenalan untuk ke langkah seterusnya. Alhamdulillah, baru-baru ini saya menerima walimatulurus daripada mereka berdua. Bersyukur ke hadarat Illahi kerana usaha mereka mujahadah bertahun-tahun lamanya akhirnya berbaloi juga. Allahuakbar.

Kisah 2 Seorang muslimah, alhamdulillah jodohnya ditetapkan awal oleh Allah. Menikah dengan seorang ikhwah. Yang kelihatan mantap di jalan dakwah. Gerak dakwah berterusan selepas perkahwinan sepertimana sebelum menikah. Namun kini kedua-duanya berhenti daripada terus bersama. Silapnya di mana? Wallahua'lam. Allah lebih tahu apa yang terjadi di tengah perjalanan perjuangan.

Kisah 3 Sudah beberapa tahun menunggu kedatangan seorang ikhwah. Namun belum datang bertandang. Dalam penantian, beberapa lamaran menjelma. Walaupun usia makin bertambah, namun setiap risikan dan lamaran ditolak dengan sebab lelaki tersebut bukan ikhwah yang didamba peribadinya. Sehingga sampai ke satu masa, akhirnya tibalah saat-saat yang dinanti. Datanglah permintaan berbaitulmuslim dari seorang ikhwah, yang sangat mantap dalam gerak dakwahnya. Dan akhirnya istiqamah sehingga kini. Saat ditanya, kenapa akak sanggup tunggu? Dia cuma tersenyum sambil berkata, "kerana akak yakin akan janji Tuhan. Dan akak akan tetap tunggu 'ikhwah' sampai bila-bila. Dan dalam baitul muslim, bukan bergantung kepada siapa yang kita suka, tetapi kita perlu bersedia menerima sesiapa sahaja, asalkan dia tetap berpegang kepada fikrah yang sama. Itu prinsip akak."

Kisah 4 Tetap juga menunggu beberapa tahun sehingga lewat 20-an. Akhirnya datang lamaran daripada seorang lelaki, yang bukan mantap agamanya. Dan keduanya bertunang. Beberapa bulan selepas pertunangan, datanglah beberapa risikan daripada ikhwah melalui ibu usrahnya. Namun takdir mendahului, sudah menjadi tunangan orang, yang bukan seorang ikhwah. Dan kini, alhamdulillah ukhti itu tetap bergerak, dan mendapat sokongan zaujnya walaupun bukanlah seorang pendokong. Namun tetap seorang penyokong yang baik. Demikianlah takdir susunan Allah pasti adalah yang terbaik. Yang tinggal adalah apa yang kita betul-betul inginkan. Adakah hanya sebuah rumahtangga untuk menghalalkan hubungan? Atau sebuah perkahwinan supaya tidak bersendirian? Atau sebuah baitulmuslim untuk sama-sama berjuang di jalan dakwah?

 Kesimpulannya, dalam merancang niat juga usah dilupakan. Niat awali lah ia hanya semata-mata kerana Allah. InsyaAllah, pastinya sebuah perancangan yang diniatkan keranaNya akan mendapat rahmat dan berkat dariNya. Jika seandainya perancangan kita itu tidak terjadi, pasti hati kita mudah merasa redha dan tenang menerimanya. InsyaAllah~ Wallahua'lam. - Artikel iluvislam.com

Saturday, June 23, 2012

Perbanyakkanlah berselawat di Bulan Sya'ban

Bulan Rajab telah berlalu dan, alhamdulillah, kini kita sedang berada di bulan Sya'ban dan moga-moga Allah sampaikan kita ke bulan Ramadhan. Ameen. Kalau di bulan Rajab, merupakan bulan yang berlaku padanya peristiwa Isra' wal Mi'raj dimana Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menerima perintah mengerjakan sholat langsung dari Allah Azzawajalla, maka di bulan Sya'ban pula terdapat beberapa peristiwa, diantaranya adalah: terjadinya peristiwa terbelahnya bulan yang sebagaimana tersebut dalam al-Quran di surah al-Qomar ayat 1turunnya perintah penukaran qiblat dari Masjidilaqso ke Masjidilharam sebagaimana yang dijelaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 144dan turunnya perintah supaya bersholawat ke atas junjungan mulia Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sebagaimana yang tersebut di surah al-Ahzaab ayat 56. Allah Azzawajalla berfirman: إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلاَئِكَـتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّ يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ صَلُّواْ عَلَيْهِ وَسَلِّمُواْ تَسْلِيماً Ertinya: Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya bersholawat keatas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bersholawatlah kamu keatas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya (surah al-Ahzaab: 56) Maka kerana itulah bulan Sya'ban ini dikenali sebagai Syahrussholati, kerana dibulan inlah turunnya ayat diatas. Tatkala turun ayat tersebut (ayat al-Ahzab: 56), maka shahabat bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bagaimana bersholawat kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم sebagaimana tersebut di dalam beberapa riwayat, maka Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda, antaranya: Kalian ucapkanlah: اللهم صل على محمد وعلى آل محمد كما صليت على آل إبراهيم، وبارك على محمد وعلى آل محمد، كما باركت على آل إبراهيم في العالمين، إنك حميد مجيد Maka memperbanyakkan sholawat kepada junjungan kita Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Adapun sighah (bentuk) sholawatnya terpulanglah. mahu bersholawat dengan sholawat Ibrahimiyyah ... silakan, bahkan inilah yang terbaik kerana ianya sighah yang terpilih untuk dibacanya di dalam tasyahhud akhir. Syaikh Yusuf an-Nabhani menyebut di dalam kitabnya Afdhalush Sholawaat 'ala Sayyidis Saadaat ketika membicarakan berkenaan sholawat ini, antara katanya:- Inilah sighah sholawat yang paling sempurna yang ma'tsur diriwayatkan daripada Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم Inilah sighah sholawat yang paling sempurna yang ma'tsur diriwayatkan daripada Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم Selain itu boleh juga bersholawat dengan sholawat Tafrijiyyah, Munjiyyah, Fatih, Tibbil Qulub dan sebagainya silakan. Semuanya punya kelebihan yang besar. sibukkanlah diri kita dengan memperbanyakkan sholawat .... Pilihlah mana-mana sholawat yang disukai. Diantara kelebihan bershalawat ini, menurut ulama shalawat ini mudah dikerjakan manakala pahalanya besar. Bahkan walaupun ianya dibaca dengan tidak hadir hatinya, atau dibaca dengan disertai rasa riya', ujub, atau dibaca dalam keadaan lalai dengan tidak menghadirkan dan menghayati maknanya atau lain-lainnya, tetap saja diterima Allah kerana ketinggian kedudukan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم disisi Allah kerana kecintaan Allah kepada صلى الله عليه وآله وسلم. Andaikata kita tidak mampu untuk memperbanyakkan ibadah-ibadah lain seperti sholat sunat terutamanya tahajjud, puasa maka bershalawatlah sebanyak-banyaknya. Perhatikan apa yang disebut Imam Ibnu 'AthoIllah as-Sakandari dalam kitabnya "Bahjatun-Nufus":- Orang yang tidak mampu memperbanyak berpuasa dan melakukan sholat malam (yakni sholat-sholat sunnat pada waktu malam) hendaknya menyibukkan diri dengan bersholawat ke hadrat Junjungan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Seandainya sepanjang hidup, engkau melakukan seluruh amal ketaatan, lalu Allah memberikan satu sholawat sahaja atasmu, tentu satu sholawat tersebut lebih berat dari semua amal ketaatan yang engkau lakukan selama tempoh tersebut. Sebab engkau bersholawat sesuai dengan kapasiti kemampuanmu, sedangkan sholawat daripada Allah adalah sesuai dengan sifat rububiyah (ketuhanan)Nya. Ini baru satu sholawat, maka bagaimana pula jika Allah membalasmu dengan sepuluh sholawat bagi satu sholawatmu ke hadrat Junjungan صلى الله عليه وآله وسلم seperti keterangan hadits ? Menurut Sayyidina Abu Hurairah رضي الله عنه, Junjungan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:- "Sesiapa yang bersholawat atasku sekali, Allah akan bersholawat ke atasnya sepuluh kali." Betapa indahnya hidup ini jika engkau isikan dengan taat kepada Allah, dengan sentiasa berzikir kepadaNya dan sibuk bersholawat atas Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم di setiap waktu disertai hati yang ikhlas, jiwa yang tulus, niat yang baik dan perasaan cinta kepada Junjungan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Sama-sama kita perbanyakkan selawat ke atas Nabi صلى الله عليه وآله وسلم di bulan ini dan di bulan-bulan seterusnya. إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلاَئِكَـتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّ يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ صَلُّواْ عَلَيْهِ وَسَلِّمُواْ تَسْلِيماً Ertinya: Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya bersholawat keatas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bersholawatlah kamu keatas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya (surah al-Ahzaab: 56) - Artikel iluvislam.com

Monday, April 2, 2012

Hebat Sangatkah Solat?




Kota Constantinople yang menjadi kebanggaan bangsa Rom suatu ketika dahulu begitu kebal untuk dirobohkan apatah lagi untuk tentera islam menawan sepenuhnya kota yang berpangkalan di Turki itu. Tetapi akhirnya selepas 800 penantian ,kota gah itu berjaya ditakluk oleh Sultan Muhammad Al Fateh sekaligus mengembalikan zaman penuh kegemilangan untuk seluruh umat islam.

Tetapi di akhir zaman ini begitu ramai yang menanam kebencian kepada bangsa yahudi gara-gara kerakusan mereka membunuh dan menodai umat islam khususnya di Palestin, malah keinginan mereka untuk menakluk sepenuhnya negara tersebut juga buatkan "kebencian" umat islam semakin memuncak.

Kebencian yang ditanam pada hati kita buatkan segala bentuk cacian, sumpah seranah dan kemarahan dilemparkan kepada bangsa yang tidak pernah serik-serik untuk menjadikan Palestin sebagai negara mereka. Tidak kurang juga buat masyarakat islam yang langsung tidak pernah ambil tahu akan perkembangan semasa saudara islam disana kerana mereka lebih selesa berada dalam kepompong kehidupan sendiri.

Hakikatnya dengan kebencian yang ada dalam hati , apakah ia sudah melayakkan kita untuk menjadi seorang "pejuang islam" yang bersedia untuk menumpahkan darahnya demi islam yang tercinta? Apakah hanya cukup sekadar dengan membuat demontrasi ketidakpuasan hati terhadap bangsa jahanam itu? Atau adakah cukup dengan menonton konsert amal yang sering dianjurkan oleh pelbagai pihak yang kononnya hasil sumbangan dan kutipan dari jualan tiket diberikan kepada insan-insan yang sedang bertarung nyawa disana?

ADA APA DENGAN SOLAT?

Apakah jiwa pernah "terdetik" untuk mengkaji semula bagaimana bangkitnya islam di zaman Rasulullah dan para sahabat? Faktor umat islam di zaman lampau mampu menguasai 2/3 dunia kerana mereka bergantung dengan kekuatan yang utama iaitu "solat". Janganlah hanya bersemangat dengan lantang bersuara mencaci bangsa yahudi sedangkan solat kita sendiri langsung tidak sempurna. Mengapa solat dikaitkan dengan kekuatan islam? Hebat sangatkah solat?

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :

"Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman : "Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya"? Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain".
(Riwayat At-Tarmizi)



Hadith Rasulullah s.a.w tadi sudah cukup sempurna untuk menerangkan betapa pentingnya solat. Kekuatan umat terdahulu sememangnya bergantung sepenuhnya kepada solat dan ia juga ialah "tiang agama" . Tanpa asas yang kukuh iaitu "tiang agama" bagaimana untuk ummah pada hari ini menjadi muslim yang benar-benar digeruni oleh pihak musuh sedangkan pihak musuh sentiasa menunggu peluang untuk menghumban umat islam ke dalam kekufuran.

NIKMAT

Solat adalah tuntutan wajib untuk setiap umat islam yang mengaku dirinya sebagai umat nabi Muhammad s.a.w . Solat bukanlah hanya sebagai pelengkap kepada rukun islam semata-mata tetapi yang lebih penting solat adalah sebagai tanda kita mensyukuri segala nikmat yang diberikan Allah kepada kita selama ini.

Nikmat yang Allah berikan terlalu luas dan sebagai hamba yang selalu bergantung kepada pertolongan Allah pastinya semua itu tidak akan mampu dibayar nilainya oleh mana -mana manusia sekalipun. Kesenangan,kesihatan,kelapangan dan segalanya adalah nikmat dari Allah untuk kita sebagai hamba secara percuma. Belum lagi nikmat-mikmat lain yang Allah berikan kepada kita tanpa diduga, itulah kasih sayang pencipta kepada hambanya.

KITA KHIANATI AMANAH ALLAH

Masyarakat islam yang sakit dan pincang pada hari ini sememangnya merupakan satu cabaran getir untuk 'dunia islam" kembali menyinar dan gah seperti satu masa dahulu. Penyakit sosial yang terlalu parah bukan lagi mendekati anak –anak muda kita, sebaliknya ia adalah sebahagian dari cara hidup umat islam masa kini. Penyakit itu misalnya berzina, arak, judi, pembunuhan,rompak, rasuah dan banyak lagi dosa yang tidak boleh diterima akal dek angkara perbuatan jahil manusia.

Semuanya terjadi hanya kerana umat islam mengabaikan satu tuntutan yang wajib iaitu solat yang sebenarnya merupakan benteng keimanan yang menyelamatkan manusia dari lembah hina. Mayarakat islam pada hari ini tidak lagi memandang solat itu sebagai satu pekara yang mulia dan berharga. Jika dihayati kisah para pejuang Allah di zaman dahulu mereka akan mementingkan solat lebih dari segalanya.

Mereka misalnya Sultan Muhammad Al-Fateh dan seluruh tenteranya yang mengutamakan solat biarpun nyawa mereka terdedah dengan serangan musuh. Beliau dan tentera-tenteranya menunaikan solat berjemaah di hadapan tembok kota Constatinople dan disaksikan sendiri setiap musuh islam.Tentera musuh begitu tergamam melihat bertapa disiplinnya tentera islam yang bukan sahaja dalam peperangan malah dalam solat.

Malah kisah para pejuang Allah yang lain juga semuanya tidak jauh beza, semuanya mengutamakan solat sebagai landasan menuju kejayaan. Tidak seperti umat masa kini yang semakin melupakan perintah wajib ini dan ada juga yang tidak tahu langsung kewajipan bersolat.

Kelemahan umat islam masa kini juga bukanlah kerana kekuatan yahudi yang mengusai seluruh dunia tetapi kelamahan ketara umat islam kerana tidak menjadikan solat sebagai senjata untuk menyatukan ummah .

MULAKAN SEGERA!!

Jika dihayati kehebatan Rasulullah dan para sahabat selain solat 5 waktu mereka juga mengamalkan solat sunah tahjud di waktu malam .Solat ini dilakukan di hening malam sewaktu dunia ini sunyi dari hiruk pikuk manusia. Ulama juga berpendapat waktu yang paling afdal untuk menunaikan solat ini ialah ¾ malam iaitu diantara pukul 3 sehingga sebelum masuknya waktu subuh.

Sekiranya kita sebagai hamba Allah dan umat nabi Muhammad S.A.W tidak mampu untuk melakukan solat malam maka mulakanlah dengan melaksanakan dahulu solat 5 waktu dengan secukupnya. Solat menjanjikan ketenangan, kebahagian dan kekuatan dalaman . Manusia yang beriman kepada Allah akan merasa sayang untuk meruntuhkan tiang agama islam dengan tidak bersolat kerana sedar bertapa tanpa solat dirinya semakin terdedah dengan ancaman musuh seperti syaitan dan orang kafir yang mahu membolak balik akhidah umat islam.

Janganlah menangguh lagi untuk tidak bersolat tetapi mulakan segera langkah untuk bersolat dan cukuplah dahulu dengan menunaikan solat yang wajib . Janganlah dibibir mengaku sebagai umat islam tetapi dalam masa sama kita ialah musuh yang meruntuhkan agama sendiri.

- Artikel iluvislam.com