Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Friday, July 15, 2011
Gangguan Syaitan: Antara Syirik Dan Sunnah
Sakit dan ketidak-ketenteraman yang terhasil dari gangguan syaitan bukan lagi sesuatu yang asing di dalam masyarakat kita. Walaupun masyarakat barat di masakini langsung tidak mempercayai kewujudan syaitan, apalagi mempercayai kesan buruk yang boleh diberikan syaitan kepada manusia, namun bukti yang 'membanjiri' mereka, hatta bukti yang datang secara saintifik, memaksa mereka mula untuk mengkaji dan mempercayai hal ini.
Keadaan ini mengingatkan penulis bahawa suatu ketika dahulu, saintis psikologi tidak mempercayai wujudnya fikiran kognitif, namun kehadiran psikologi kognitif telah menyangkal idea mereka secara mutlak. Begitu juga halnya dengan alam ghaib, atas bukti yang melampau banyaknya, tidak mustahil suatu hari nanti mereka akan menerimanya secara total.
Berbalik kepada tajuk asal kita. Apabila seorang dari kita diganggu jin atau syaitan, pada kebiasaannya kita akan merujuk kepada golongan-golongan yang lebih tahu di dalam selok belok hal ini, iaitu biasanya golongan ustaz. Penulis teringat kisah-kisah orang terdahulu, yang memandang segala bacaan atau teknik yang digunakan golongan ini langsung tidak akan dipersoal, kerana bagaimana carapun yang mereka gunakan, akan diterima oleh orang awam, atas nama 'ikhtiar'.
Alhamdulillah, kini telah wujud ramai golongan yang mula khuatir dengan kemurniaan aqidah mereka, adakah teknik perubatan yang digunakan oleh si fulan bertepatan dengan kehendak Al-Quran dan Sunnah yang sahih? Adakah teknik yang mereka gunakan tidak terlibat dengan najis syirik? Bagaimana impak teknik yang bercampur gaul dengan syirik itu ke atas keimanan kita?
Maka persoalan-persoalan inilah yang akan cuba dikupaskan di sini. Penulis juga akan turut membawakan beberapa isu lain yang dipandang berkaitan dengan perihal ini.
1) Pastikan bahawa sakit itu adalah sakit yang berpunca dari jin dan syaitan.
Ini merupakan perkara asas yang perlu dilakukan. Jikalau ada tanda-tanda sakit seperti batuk yang tidak terhenti, muntah tanpa diketahui punca, atau dengan kata-kata lain, tanda-tanda sakit yang mungkin juga berpunca dari sakit fizikal yang normal, cubalah bawakan dahulu berjumpa doctor, kerana jikalau sakit itu sakit fizikal, buruk padahnya jika lambat diubati. Hal ini penulis pandang sangat-sangat penting, kerana ramai penulis berjumpa orang yang asal sakit sedikit, 'ada orang buat', demam lambat sembuh, 'ada orang dengki lah tu', dan sebagainya. Akhirnya sakit yang ringan menjadi bertambah berat dan sampai ke tahap yang sukar diubati lagi.
Namun jikalau sakit itu benar-benar nyata keanehannya, seperti tanda kena cakar dan berdarah, muntahkan paku atau miang buluh, maka itu jelas perbuatan sihir. Yang penulis maksudkan di atas ialah tanda-tanda yang ada kemungkinan sakit fizikal.
Suka diingatkan di sini, hal-hal seperti ternampak lembaga yang menakutkan, atau mendengar bisikan-bisikan suara, itu juga ada kemungkinannya memerlukan perhatian pakar minda, seperti ahli psikologi. Pernah penulis terserempak dengan kes seorang pemuda berumur 15 tahun, yang asyik berkata dia nampak makhluk-makhluk dengan wajah yang menakutkan, dan dipercayai dia diganggu jin. Maka penulis menasihatinya berjumpa dengan pakar psikologi klinikal, dan alhamdulillah setelah mengambil ubat yang diberikan, fikirannya telah kembali seperti biasa, tanpa perlu bantuan 'bomoh' dan sebagainya. Tambahan pula, pelbagai bomoh telah dia upah, akhirnya ribuan ringgit habis dan penyakitnya tidak juga pulih!
Jikalau sudah pasti sakit tersebut bukanlah sakit fizikal atau mental, maka sakit itu besar kemungkinannya datang daripada gangguan anak cucu Iblis. Antara kesan-kesan daripada gangguan iblis dan syaitan adalah:
i) rasa tidak tenang hati, selalu rasa serba tidak kena.
ii) rasa takut yang tidak diketahui puncanya.
iii) Terlalu sukar untuk bangun solat.
iv) Jikalau sudah bersuami isteri, terasa tidak senang apabila bersama.
v) Selalu rasa cenderung kepada marah, walaupun tiada apa untuk dimarahkan.
Jikalau terdapat wujudnya tanda-tanda ini, maka ada kemungkinannya gangguan telah bermula.
2) Melawan sihir dengan sihir.
Jika ada di antara kita yang sakit, dan dibawakan kepada bomoh yang nyata-nyata menggunakan sihir di dalam berubat, maka ini adalah haram hukumnya. Kerana sihir itu termasuk di dalam amalan syirik, kerana sihir menggunakan perantaraan jin/syaitan di dalam berubat. Bagi orang awam, antara tanda-tanda bahawa si pengubat menggunakan sihir adalah:-
i) Pesakit dinasihati supaya menjauhkan diri dari air selama mana dia sakit. Ini jelas teknik sihir, kerana syaitan mahu menjauhkan kita dari wuduk dan mandi hadas, dan apabila kita tidak boleh berwuduk atau mandi hadas, jelas kita akan meninggalkan solat yang wajib!
ii) Menggunakan kemeyan dan asap. Sama sekali tidak ada di dalam teknik perubatan Rasulullah saw. Kaedah perubatan cara baginda S.A.W akan diterangkan di bahagian akhir artikel ini.
iii) Menggunakan jampi serapah yang tidak difahami. Khususnya jikalau si pengubat menggunakan perkataan seperti 'ya rijaalul ghaib' (wahai orang-orang ghaib!) dan juga 'ya arawaahal muqaddasah' (wahai roh-roh yang suci). Juga bukan dari kaedah Baginda Rasulullah S.A.W, kerana haram kita memohon pertolongan dari yang ghaib, selain Allah S.W.T.
iv) Meminta pengeras seperti telur ayam, ayam panggang, pulut kuning dan sebagainya.
Jikalau ada tanda-tanda di atas, maka jauhilah daripada meneruskan perubatan dengan orang tersebut.
Suka juga penulis ingatkan, selain daripada kaedah yang digunakan si pengubat, adalah penting bagi kita untuk melihat kepada keperibadian si pengubat itu sendiri. Jika amalan hariannya kita lihat sesuai dengan amalan Rasul S.A.W, seperti kerap berpuasa, solat sunat yang banyak, banyak berfikir tentang selok-belok agama, suka mengajarkan ilmu agama kepada orang lain, fasih membaca Al-Quran, bahkan memahami dan selalu menceritakan isi kandungannya kepada orang lain, menghayatinya, menyintai sunnah Nabi S.A.W, maka insya-Allah, dia adalah pengubat yang baik.
Sekiranya si pengubat rokok sentiasa di tangan, solat mengajinya jarang dilihat, jampi serapahnya sukar difahami, bunyinya pun karut marut, maka lebih baik dijauhi.
3) Hukum berubat dengan pengubat yang kita tidak tahu amalannya baik atau buruk, dan tidak diketahui kaedahnya sunnah atau tidak.
Ketika seorang daripada kita sedang sakit teruk, dan dibawakan kepada seseorang yang tidak kita ketahui bagaimana kaedahnya, adakah sunnah atau tidak, maka ini hukumnya HARUS, kerana kata ulama', kita di dalam keadaan darurat, sakit, takkan pula ketika itu kita sibuk menyuruh si pengubat bacakan jampinya bagi kita memastikan betul salahnya. Maka keadaan ini, harus hukumnya untuk berubat dengannya, dan kesalahannya, andaikata dia beramal dengan jampi yang salah, maka dosanya adalah di atas diri pengubat.
Terdapat si pengubat yang baru sahaja kita melangkah masuk ke rumahnya, dia terus berkata 'aku tahu apa yang telah terjadi pada engkau', sekiranya begitu sudah sah dan pasti pengubat tersebut adalah pengamal sihir. Kerana hatta Rasulullah S.A.W sendiri tidak tahu perkara ghaib seperti itu. Kerana itu jelas kita melihat di dalam sirah, tanpa pemberitahuan dari Jibrail as, Rasulullah S.A.W tidak akan tahu siapakah orang munafik di antara pengikutnya!
Ini kerana bomoh atau tukang tilik mengetahui perkara ghaib dari perkhabaran qarin, iaitu syaitan yang mendampingi kita setiap waktu. Di dalam hadis sahih bukhari, Rasulullah saw bersabda,
"Wahai Aisyah! Syaitanmu telah membuatmu berasa demikian", tanya Aisyah, "bersamaku ada syaitan?" Jawab baginda S.A.W, "Ya". Tanya Aisyah, "Adakah bersama semua manusia ada syaitan pendamping (qarin)?", jawab baginda saw, "Ya". Tanya Aisyah lagi, "Engkau juga ya Rasulullah?", jawab Rasulullah S.A.W. "Ya, tetapi dengan izin Allah aku terpelihara dari kejahatannya".
Qarin, atau syaitan pendamping inilah yang berhubungan dengan bomoh, iaitu qarinnya berhubung dengan qarin si pesakit, dari situlah bomoh mengetahui hal-hal yang telah terjadi kepada pesakit. Maka dengan ini, tahulah kita bahawa tipu daya syaitan itu sebenarnya lemah.
5) Kaedah perubatan Rasulullah S.A.W.
Di antara cara Rasulullah S.A.W bagi mengubati gangguan jin dan syaitan adalah:-
i) Membaca surah Al-Baqarah ke telinga si pesakit. Baringkan si pesakit dan bacakan surah Al-Baqarah di telinganya, kerana syaitan sangat takut kepada surah Al-Baqarah. Sabda Nabi saw di dalam musnad Ahmad Hanbal, "Janganlah jadikan rumah kamu sunyi seperti kuburan. Rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan".
ii) Membacakan surah Al-Falaq dan An-Naas, dan menyuruh pesakit mengamalkannya, seperti mana kita lihat di dalam hadis di atas.
iii) Membaca "a'uzu bikalimaatillah at-taammah, min syarrima khalaq", iaitu aku berlindung dengan kalam Allah, daripada kejahatan yang Dia ciptakan. Ini merupakan amalan yang diajarkan kepada Rasulullah saw kepada para sahabat. Juga dari amalan sunnah banyak membaca "A'uzubillahi minas syaitaanir rajiim".
iv) Membacakan Ayat Kursi sebelum tidur. Kata syaitan sendiri kepada Abu Hurairah ra, "Sesiapa yang membacakan Ayat Kursi setiap kali sebelum tidur, maka dia tidak akan dihampiri syaitan hingga ke pagi", dan amalan ini disahihkan oleh Rasulullah S.A.W.
v) Membacakan jampi Jibrail as ke atas pesakit, iaitu "Bismillahi arkiq, min kulli syai'in yukziq, wa min kulli sharrin haasid, Allahu yushfiq, bismillahi arkiq", yang bermaksud, "Dengan nama Allah aku jampikan engkau, dari segala apa yang mengganggu dirimu, dan dari segala kejahatan orang yang dengki, Allah lah yang menyembuhkan kamu, dengan nama Allah aku jampikan engkau". Jampi ini dibacakan Jibrail as ketika nabi terkena sihir, dan Rasulullah S.A.W sembuh setelah sekali bacaan. Jampi ini juga boleh dibacakan ke atas air, dan diberikan kepada pesakit untuk mandi dan minum.
vi) Menggunakan daun bidara untuk dijadikan air mandi kepada pesakit, atau diberikan kepada pesakit untuk di hidu. Kaedah ini dipelopori oleh Ibnu Taimiyah. Ini kerana beliau mendapati jin amat alah kepada bau daun bidara. Kaedahnya, ikatkan sedikit daun bidara kepada batu-batu kecil, dan rendamkan di dalam botol berisi air. Ambil sedikit air dari botol dan dicampurkan di dalam air mandian, paling kurang selama seminggu.
vii) Mencari punca sihir, sepertimana di dalam hadis, dan menghapuskannya. Ini merupakan kaedah yang paling berkesan di dalam mengubati sihir.
viii) Adapun cara yang terakhir tetapi juga terpenting, adalah si pesakit menyemak semula amalan dan disiplin dirinya menurut Islam. Jikalau ada di dalam hati perasaan hasad, dengki, enggan menutup aurat dan sebagainya, maka perbaikilah segera. Ini kerana syaitan, menurut Imam Ahmad Hanbal adalah seperti anjing yang kelaparan. Jika di tangan kita ada tulang dan daging, berapa kali kita halaupun anjing itu, ia akan datang kembali, kerana kegemarannya ada pada kita. Begitu juga syaitan. Syirik, bidaah, hasad dan sebagainya, adalah kegemaran syaitan, maka betapa baik si pengubat atau kaedah yang digunakan, jikalau si pesakit sendiri enggan berubah, maka tidak hairan jikalau gangguan datang semula.
Sesungguhnya tiada nasihat yang lebih baik dari perkataan Rasulullah S.A.W, dan tiada sunnah yang lebih baik dari sunnah Rasulullah S.A.W. Bagindalah sebaik-baik bapa, sebaik-baik suami, sebaik-baik jeneral peperangan, sebaik-baik guru, sebaik-baik pemimpin, sebaik-sebaik sahabat, dan sebaik-baik ciptaan. Dengan bantuan Al-Quran dan sunnah yang sahih, insya-Allah segala gangguan dapat kita hindari.
Ya Allah, jauhilah kami dari gangguan Iblis dan anak cucunya, laknatilah mereka, dan jauhilah mereka dari hamba-Mu yang soleh.
Ya Allah, tingkatkanlah kecintaan dan kefahaman kami kepada sunnah Muhammad S.A.W, leraikan prasangka kami terhadapnya andai ada, berikanlah kami kefahaman tentangnya dan jauhilah kami dari kejahilan tentangnya.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W , keluarga dan sahabat baginda.
Wallahualam.
-Artikel Iluvislam.com
Hakikat Sebuah Perjuangan
Berjuang itu memang pahit. Sebabnya? Kerana syurga itu manis. Bagi saya, itulah jawapan yang paling tepat dan seringkali menjadi pencetus dan pendorong motivasi buat diri yang diuji dengan onak duri sebuah perjuangan.
Sesungguhnya, umat manusia tidak terlepas daripada diuji di dalam kehidupan di dunia yang semakin ke penghujung ini. Kegagalan merupakan salah satu ujian dan cabaran yang menduga kekuatan hati seseorang.
Sekaligus ia menguji kecekalan semangatnya, iaitu sama ada dia mengambil keputusan untuk berputus asa begitu sahaja atau dia nekad untuk meneruskan perjuangannya.
Saya tertarik dengan petikan sajak yang terungkap dalam novel Tautan Hati, karya Fatimah Syarha yang begitu indah sekali maknanya.
Temanku,
Kau tidak bodoh andai kau gagal selepas berusaha,
Kerana itu satu ujian dan dijanjikan pahala,
Bakal mengangkat darjatmu di sisi-Nya,
Jika kau reda, sabar dan terus berusaha,
Tapi, kau sememangnya bodoh,
Jika kau langsung tidak berusaha,
Kerana pasti kau akan gagal dan menderita.
Tiada nilaian pahala dari-Nya,
Malah kau pula menanggung dosa,
Lantaran kau siakan amanah berharga.
Subhanallah, sememangnya perjuangan merupakan satu amanah yang begitu berharga! Satu amanah dan tanggungjawab yang tidak sewajarnya dipandang enteng dan sambil lewa.
Dalam meniti perjuangan suci, ujian dan tribulasi seringkali mengekori langkah. Saya teringat kata-kata puitis salah seorang pensyarah,
"Tiada kehidupan tanpa ujian, tiada kebahagiaan tanpa pengorbanan dan tiada cinta tanpa air mata..."
Bait-bait indah tersebut terpahat kemas di minda saya sehinggalah sekarang. Begitu hebat kan kuasa kata-kata? Subhanallah. Tiada kehidupan tanpa ujian, dan tiada kebahagiaan tanpa pengorbanan.
Tanpa ujian, tidak beertinya sebuah kehidupan dan kebahagiaan tidak akan datang bergolek tanpa adanya pengorbanan. Maka bersabarlah duhai sahabat, kuatkan semangat dan kukuhkanlah iltizam dalam hatimu.
Jangan kita berasa goyah dengan setiap ujian yang menimpa kita. Kerana ujian itu merupakan tanda kifarah dosa dan sebagai tanda kasih serta rahmat Allah daripada Allah kepada kita.
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya DIA mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah Al-Ankabut: 2-3)
Teguhkan hati dan kuatkan kesabaran di dalam sanubari, walaupun beribu rintangan mendatang dalam perjuangan ini. Sesungguhnya,
"Apa yang anda sabarkan anda akan memperoleh hasilnya kerana kesabaran itu akan menolong segala pekerjaan. Ketahuilah dalam kesusahan dan kepayahan itu tersembunyi nasihat-nasihat kebijaksanaan".
Ketahuilah bahawa apabila kita bersabar dan sentiasa meneguhkan kesabaran kita, maka akan timbul kekuatan dalam diri ini dan kita akan turut memperoleh pahala. Namun, apabila kita sentiasa berkeluh kesah, maka akan timbullah kelemahan dalam diri ini.
Ayuh sahabat,
Perjuangan ini perlu diteruskan kerana perjuangan kita terlalu jauh dan memakan masa yang sangat panjang. Entah di mana pengakhirannya. Bukan itu sahaja, dugaan dan tribulasi yang bakal dihadapi juga akan datang secara silih berganti.
Ia hanya dapat dicantas dan diatasi dengan keimanan yang kukuh di samping semangat yang tinggi. Inilah langkah kita duhai sahabat! Ingatlah, perjuangan yang berpaksikan semangat semata-mata tanpa disertai keimanan dalam jiwa akan gagal menepati jalan yang sewajarnya.
Penggabungan semangat dan keimanan amat perlu dalam diri kita dalam menjejakkan kaki ke medan perjuangan suci ini. Sebagai pengakhir kata, saya ingin memetik kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh, yang terkenal dengan kekuatan semangat spiritualnya. Begitu hebat sekali kata-kata dan semangatnya.
"Aku (Muhammad al-Fateh) mempunyai dua sifat. Sifat keras seperti batu iaitu keazamanku mencapai apa yang aku inginkan. Sifat lembut seperti air iaitu ketika aku memohon ampun kepada Tuhanku. Apakah dengan dua sifat ini aku masih tidak boleh mencapai kemenangan".
(Amru Khalid, pemikir Islam kontemporari dalam Kuasa Kepimpinan Al-Fateh, Muhammad Syaari Abdul Rahman, 2011: 95)
- Artikel iluvislam.com
Wednesday, July 13, 2011
Mari Mencari Ketenangan
Ketenangan..
Apa yang dimaksudkan dengan ketenangan?
Ketenangan ialah dimana suatu situasi yang merehatkan minda dari sebarang bebanan dan ianya membuatkan hati kita gembira dan bebas dari belenggu kerisauan.
Sudah pasti semua insan ingin berada di dalam kondisi yang tenang.
Ketenangan mudah untuk dicapai sekiranya kita pandai menggunakan peluang dan kesempatan yang diberikan oleh Allah S.W.T.
Salah satu kuncinya ialah "Apabila kita mengingati tuhan, hati kita akan pasti menjadi tenang".
Ketenangan yang diimpikan mampu kita perolehi. Kekuatan diri kita melawan nafsu dan mengawal emosi menjadikan kita seorang yang mampu untuk merasai ketenangan.
Pujuklah minda untuk memperolehi ketenangan
Apabila minda bertindakbalas akibat di dorong oleh hati maka hancurlah jadinya. Sebaliknya jika hati di dorong oleh syari'at menghala kepada akal untuk berfikir dengan cara yang terbaik sudah pasti ketenangan akan kita perolehi.
Secara peribadinya, saya sendiri pernah merasai situasi seperti ini iaitu apabila berasa sedih, saya terikut pujuk rayu hati hinggakan ketenangan yang dicari hilang pergi.
Sebaliknya apabila akal yang dipandu ke arah yang betul, ianya akan menjadi penenang hati dan sekaligus membuatkan hidup kita aman dan harmoni.
Didalam Surah Ar-Rad ayat-28 Allah berfirman:
"Ingatlah, dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang"
Ketenangan yang dicari berada di sebelah kita, samada mahu atau tidak itu semua terpulang pada diri kita.
- Artikel iluvislam.com
Mengapa Harus Bersedih?
Allah benar janji-Nya. Allah telah menentukan sesuatu. Yang hilang tidak bermakna binasa.
Yang pergi tidak bermakna kita hilang segala.
Kalau kita ukur - banyak mana yang Allah ambil, dibanding dengan banyak mana yang Allah telah beri kepada kita.
Firman Allah:
"Kalau kita cuba hitung nikmat Allah, nescaya tidak akan terhitung banyaknya." - [Ibrahim 14:34]
Mata, telinga, mulut, kaki dan sebagainya. Harta yang melimpah ruah. Pandang yang sekitarmu. Apa yang kurang?
Tidak ada apa yang kurang, saudara. Rumah, kereta, isteri, anak-anak, segalanya cukup.
Dan apabila musibah menimpa, Allah tarik balik sedikit sahaja dari kurnia-Nya, mengapa harus berdukacita?
Mengapa harus bersedih? Bukankah itu petanda bahawa Allah mungkin menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik?
Allah tarik sesuatu untuk Allah berikan sesuatu yang lain. Tidak mustahil.
Berlapang dada kepada Allah, bahawa Allah menentukan segalanya. Yakinlah.
Firman Allah:
"Jangan takut, jangan berdukacita." - [Al-Ankabut 29:33]
Kadang-kadang manusia merasa dukacita kerana beban hidup yang terlalu banyak. Penyakit yang menimpa.
Masalah keluarga yang banyak. Masalah anak, masalah isteri, masalah jiran, masalah kerja, masalah kereta, masalah itu dan sebagainya.
Maka dia bersedih, dia berdukacita, jiwanya tertekan.
Mengapa harus bersedih? Bukankah hidup ini penuh dengan perjuangan mengatasi segala masalah?
Hidup bermakna kita berdepan dengan masalah.
Orang yang tidak mahu berdepan dengan masalah maka dia tidak layak untuk hidup di dunia ini.
Masalah yang besar yang tetap akan kita hadapi ialah hasutan iblis dan syaitan. Tidak ada masalah yang lebih besar daripada itu.
Mungkin kita merasakan bahawa masalah anak yang terlalu menekan.
Anak kita nakal, anak kita degil, anak kita tidak mendengar cakap, anak kita suka melawan, dan sebagainya.
Saudara, bukankah itu mengajak kita berusaha berjihad mendidiknya?!
Dan setiap didikan kita kepada anak kita akan diberikan pahala oleh Allah SWT. Lantas berusahalah untuk mendidiknya, mengajarnya, mengasuhnya, dengan cara yang terbaik.
Apakah ada masalah yang lebih besar di dunia ini daripada masalah berdepan dengan hasutan syaitan, dengan iblis?
Syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk melakukan kejahatan, syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk melakukan maksiat.
Itu masalah yang besar. Sebab itu mujahadatun-nafs -- melawan nafsu, melawan syaitan, melawan iblis, itu adalah asas kepada perjuangan jihad manusia di muka bumi ini.
Iblis bersumpah dengan Allah SWT bahawa dia akan mengganggu Bani Adam, dia akan menggoda Bani Adam, dia akan menyesatkan Bani Adam. Mereka akan berusaha melakukan itu secara berterusan, sejak kita kecil, dewasa hingga kembali kepada Allah SWT.
Ini masalah yang perlu kita hadapi. Adapun selain daripada itu anggaplah ia asam garam kehidupan.
Masalah yang kita lalui mematangkan jiwa kita, mematangkan akal kita, mematangkan peribadi kita.
Akhirnya orang yang sudah banyak melalui masalah, dia menjadi manusia yang tenang, kerana dia rasa lapang dengan segala penyelesaian yang dia hadapi.
Yakinlah dengan sebarang masalah diserahkan kepada Allah. Kita setakat berusaha, Allah jua yang menentukan.
- Artikel iluvislam.com
Rindunya..
Ramadan kini tiba. Hati mukmin tidak sabar lagi untuk mengambil peluang semaksima mungkin dibulan yang berkat ini demi mendapatkan bekalan iman dan meningkatkan diri. Dihujung Syaaban, Rasulullah saw berkhutbah mengingatkan para Sahabat ra tentang Ramadan. Di sini saya mengambil kesempatan mengingatkan diri saya dan kita sekelian berkenaan Ramadan dan persiapan untuk memasukkinya.
Kita memasuki bulan berkat dimana pahala dilipatkali gandakan bagi mereka yang mengharap ganjaran dan keredhaan Allah swt. Dengan ini hamba-hambaNya semakin bertaqarrub kepadaNya dan lebih berpeluang memasuki Syurga yang disediakan Allah swt. Dari Qutaibah, dari Ismail bin Jaafar dari Abi Suhail, dari ayahnya dari Abu Hurairah ra. sabda Rasulullah saw bermaksud, "Apabila datang Ramadan, dibukakan pintu-pintu Syurga" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
Dengan berpuasa, kita menahan diri dari makan, minum, hubungan suami isteri, menjaga lidah, pemandangan dan hati hanya semata-mata kerana Allah. Oleh itu Allah sendiri yang akan membalasnya. Sabda Rasulullah saw bermaksud, "Sesiapa yang mendirikan (solat dan ibadah) di malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
Didalam Ramadan, kita melipatgandakan ibadah solat kita, dan lebih membiasakan diri kita mendampingi surau, masjid dan para jemaah didalamnya yang beriman. Sabda Rasulullah saw berkenaan Ramadan bermaksud, "Sesiapa yang mendirikan (solat Tarawih) di bulan Ramadan, dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan untuknya akan kesalahan yang telah dikerjakannya" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
Ramadan mengajar kita erti persaudaraan dan kesatuan umat Islam. Dari Ibnu Syahab, dari Urwah bin Az-Zubair, dari Abdul Rahman bin Abdul Al-Qari' berkata: Aku keluar bersama Umar Al-Khattab ra pada suatu malam Ramadan ke masjid dan mendapati orang ramai bersolat sendiri-sendiri dan berselerakan. Ada yang bersolat sendirian. Ada yang bersolat diikuti beberapa orang. Umar ra berkata bermaksud, "Aku lihat jika dikumpulkan mereka dibawah seorang imam, itu adalah lebih baik". Kemudian beliau melaksanakannya dan mengumpulkan orang ramai (bersolat) diimami oleh Ubay bin Kaab ra. Pada suatu malam yang berikutnya, aku pergi bersamanya ke masjid dan melihat orang ramai bersolat di belakang seorang imam mereka. Umar ra berkata, "Alangkah baiknya bid'ah ini"... (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
Ramadan adalah bulan Al-Quran dimana Al-Quran diturunkan Allah swt pada bulan tersebut. Jibril menyemak bacaan dan hafazan Al-Quran Nabi saw dijuga dibulan ini. Oleh itu kita jadikanlah bulan ini bulan yang lebih meriah bagi kita bersama Al-Quran, dengan membacanya dan melaksanakan ajaran-ajaran yang terkandung didalamnya. Ramadan adalah bulan bersedeqah, berkasih sayang sesama umat Islam dan makhluk Allah swt. Kita perbanyakkanlah bersedekah dan menjamu orang lain. Ibnu Abbas ra berkata bermaksud, "Adalah Nabi saw orang yang paling pemurah dengan kebaikan. Dia saw. lebih pemurah lagi di dalam bulan Ramadan apabila didatangi oleh malaikat Jibril. adalah Jibril bertemu Nabi saw tiap malam di bulan Ramadan sehingga pagi dan mengemukakan Al-Quran kepada Nabi saw. Apabila Nabi saw bertemu Jibril, Baginda saw menjadi lebih pemurah dari angin yang bertiup" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
"Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadr. tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadr. Malam Lailatul Qadr lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dalam tiap urusan. Sejahtera malam tersebut hingga terbit fajar" (Al-Quran).
Mukmin dan mukminah sentiasa mengejar peluang yang disediakan Allah swt untuk hamba-hambaNya. Ini termasuklah ganjaran berlipatkali ganda Malam Lailatul Qadar dimana ia lebih baik dari 1000 bulan (83 tahun). Sabda Rasulullah saw bermaksud, "Dapatkanlah (dengan tekunlah beribadat) pada malam Lailatul Qadar pada Sepuluh Malam Terakhir dibulan Ramadan" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari). Dalam riwayat Al-Bukhari yang lain bermaksud, "Dapatkanlah (dengan tekunlah beribadat) pada malam Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil di Sepuluh Malam Terakhir dibulan Ramadan".
Ramadan adalah bulan Iktikaf, iaitu berada di masjid untuk memberi tumpuan sepenuhnya beribadah khusus kepada Allah swt. Iktikaf membersihkan hati dan akhlak kita, kerana kita berdamping dengan rumah Allah swt dan dapat tenang memuhasabah dan menilai diri kita yang sering alpa dan tergoda. Dari Urwah bin Az-Zubair ra dari Aisyah ra berkata bermaksud, "Sesungguhnya Nabi saw beriktikaf pada Sepuluh Malam Terakhir di bulan Ramadan sehingga Baginda saw diwafatkan Allah. Selepas kewafatannya, isteri-isterinya pula beriktikaf" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
Ramadan adalah bulan Jihad dan Kemenangan. Di dalam bulan ini orang-orang beriman mencapai kemuncak ikhlas dan taqwa, kedua-duanya adalah resepi kemenangan dalam Jihad. Di dalam Ramadan orang-orang beriman memenangi Perang Badar (Tahun 2H), Perang Pembukaan Mekah (Tahun 8H) dan Perang Ain Jalut mengalahkan tentara Monggul.
Semoga Ramadan pada tahun ini merupakan Ramadan yang terbaik buat kita, berjaya kita lalui sepenuhnya dan mendapat rahmah (belas kasih Allah swt), maghfirah (keampunanNya) dan itqum minannar (selamat dari api Neraka). Ya Allah terimalah puasa, solat Tarawih, qiyamullail dan iktikaf kami dibulan yang mulia ini. Ya Allah, terimalah ibadah dan taqarrub (usaha mendekatkan hati dan diri) kami kepadaMu.
Ya Allah, jadikanlah kami diakhir Ramadan dikalangan hamba-hambaMu yang bertaqwa seperti firmanMu bermaksud, "Wahai orang-orang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa..." (Surah Al-Baqarah). Ameen.
Sumber Text: Ini Jalanku
قُلۡ شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 185)
Indah Penciptaan Adam Dan Hawa
Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa Hawa dijadikan oleh ALLAH S.W.T di saat Adam a.s tidur? Jawapannya seorang lelaki apabila kesakitan, maka dia akan membenci, manakala wanita sebaliknya.
Bagi wanita, saat dia kesakitan, maka semakin bertambah sayang dan cintanya. Seandainya Hawa diciptakan dari Adam As saat Adam terjaga, pastilah Adam akan merasakan sakit keluarnya Hawa dari tulang sulbinya, hingga dia membenci Hawa. Akan tetapi Hawa diciptakan dari Adam pada saat dia tertidur, agar Adam tidak merasakan kesakitan dan tidak membenci Hawa. Sementara seorang wanita akan melahirkan anak dalam keadaan terjaga, melihat kematian dihadapannya, namun semakin sayang dan cintanya kepada anak yang dilahirkan bahkan ia akan menebusnya dengan kehidupannya.
Sesungguhnya Allah menciptakan Hawa dari tulang rusuk yang bengkok yang tugasnya adalah melindungi qalbu (hati nurani). Oleh karena itu, tugas Hawa adalah menjaga qalbu. Kemudian Allah menjadikannya bengkok untuk melindungi qalbu dari sisi yang kedua. Sementara Adam diciptakan dari tanah, dia akan menjadi petani, tukang batu, tukang besi, dan tukang kayu. Wanita selalu berinteraksi dengan perasaaan, dengan hati, dan wanita akan menjadi seorang ibu yang penuh kasih sayang, seorang saudari yang penyayang, seorang putri yang manja, dan seorang istri yang penurut.
Dan wajib bagi Adam untuk tidak berusaha meluruskan tulang yang bengkok tersebut, seperti yang dikabarkan oleh Nabi Muhammad SAW, "jika seorang lelaki meluruskan yang bengkok tersebut dengan serta merta, maka dia akan mematahkannya." Maksudnya adalah dengan kebengkokan tersebut adalah perasaan yang ada pada diri seorang wanita yang mengalahkan perasaan seorang lelaki.
Maka wahai Adam janganlah merendahkan perasaan Hawa, dia memang diciptakan seperti itu. Apabila seseorang wanita mengatakan dia sedang bersedih, tetapi dia tidak menitikkan airmata, itu berarti dia sedang menangis di dalam hatinya. Apabila dia tidak menghiraukan kamu setelah kamu menyakiti hatinya, lebih baik beri dia waktu untuk menenangkan hatinya sebelum kamu meminta maaf.
Dan wanita sukar untuk mencari sesuatu yang dia benci untuk orang yang paling dia sayang.
- Artikel iluvislam.com
Ayuh Proses Hati
Malam itu damai. Angin bertiup seperti biasa.
Saya bersama lapan lagi sahibah seusrah duduk menikmati udara malam.
"Saidina Umar dulu, pernah beliau bawa sahabat duduk dalam satu bilik dan bertanya, kalaulah kamu diberi peluang membuat permintaan, apa yang kamu minta?" Saya bersuara. Satu persatu wajah sahibah saya pandang.
"Perabot."
"Keselesaan."
"Ukhwah."
Pelbagai jawapan yang muncul, menggamitkan suasana.
"Betul, semua betul. Mumtaz." Ayat saya berhenti sebentar di situ.
"Tapi... Sahabat menjawab, aku mahu bilik ini dipenuhi dengan emas, supaya aku boleh gunakannya untuk Islam. Saidina Umar berkata lagi, buatlah permintaan! Sahabat pun menjawab, aku mahu bilik ini dipenuhi dengan berlian supaya aku boleh gunakannya untuk Islam, dan sekali lagi Saidina Umar berkata, buatlah permintaan! Sahabat bingung dan membalas, Aku sudah tidak tahu mahu berkata apa lagi wahai Amirul Mukminin, apakah permintaanmu pula?"
Wajah semua sahibah saya tatap. "Agak-agak Saidina Umar nak apa?"
Semua diam, menanti bicara selanjutnya.
"Saidina Umar pun berkata, aku mahu bilik ini dipenuhi oleh manusia yang seperti Abu Ubaydah dan Muaz bin Jabal supaya aku boleh menghantar mereka untuk Jihad!"
Sahibah senyum, mengerti makna yang tersirat.
Sumber manusia adalah lebih penting dari kebendaan!
Proses Hati
Segala kemaksiatan dan jenayah yang berlaku rata-ratanya berpunca dari permasalahan hati. Hati yang rosak dan hitam, mana mungkin dapat merasai lagi segala dosa yang dilakukan. Sensitiviti yang ada pada hati sedikit demi sedikit hilang dek kebiasaan dosa.
Ibarat sebuah cermin
Cermin yang bersih dan bersinar, jika kita lihat ke dalamnya dan tiba-tiba pula ada jerawat baru di wajah kita, kita pasti nampak. Kita bolehlah picit, letak T3 ke.
Tapi, Jika cermin itu kotor dan berhabuk, kita lihatlah ke dalamnya, ada jerawat 5 biji baru naik pun susah untuk dilihat. Jadi payahlah untuk kita mengesan kekotoran di wajah.
Apabila hati kotor, dosa menjadi biasa, maksiat berleluasa.
Semuanya gara-gara sekeping hati yang sudah bertukar wajahnya. Hitam, kelam, sekelam masa depan yang semakin tenggelam.
Masyarakat yang kucar-kacir.
Pemimpin yang pecah amanah.
Pelajar yang memberontak sini-sana.
Kes bunuh diri.
Dan bermacam lagi.
Semua itu berpunca daripada satu perkara :HATI.
Kerana itu munculnya satu hadith,
Dalam setiap badan manusia itu ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah keseluruhannya, jika buruk daging itu maka buruklah keseluruhannya. Itu adalah HATI.
Umpama raja dalam diri. Kawallah raja itu, agar setiap masa bersama Ilahi, moga nanti badan bergerak seperti seorang manusiawi.
Bersihkan Hati
Dosa adalah ibarat racun yang memakan diri, manakala hati pula adalah salah satu perkara yang amat sukar untuk dijaga.
Tsabit bin Qurah berkata : Kerehatan badan adalah dengan kurangnya makan, kerehatan jiwa adalah dengan kurangnya dosa dan kerehatan lidah adalah dengan kurangnya bercakap.
Berilah setiap kerehatan itu kepada diri, moga kelak hati suci kembali.
Jika lalai ubatnya adalah dengan menyedari tugas yang Allah beri, Maka ubatlah hati yang penuh dosa dengan bertaubat kepada Ilahi!
Bersihkan hati, bersihkan diri. Ayuh menjadi 'sumber manusia' yang berharga untuk Islam.
Moga Allah meredhai.
Wallahu'alam
- Artikel iluvislam.com
Subscribe to:
Posts (Atom)






