Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Sunday, June 26, 2011
Teguran Itu Penting Dalam Kehidupan
"Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain."
Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah.
Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.
Membina dan Meroboh
Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur.
Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang memerlukan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.
Lain pula sekiranya seseorang yang tidak memerlukan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.
Orang yang Menegur
Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya.
Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.
Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.
Orang yang Ditegur
Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.
Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".
Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?
Ingat..
Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.
Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.
- Artikel www.iluvislam.com
Thursday, June 23, 2011
Benam Lebanon 2-1
MALAYSIA melangkah ke pusingan ketiga Kelayakan Olimpik 2012 selepas menewaskan Lebanon 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi meskipun terpaksa beraksi 10 pemain pada 40 minit terakhir.
Jaringan Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor pada separuh masa pertama sudah cukup untuk mengesahkan laluan Malaysia ke pusingan seterusnya meskipun Chadi Atie berjaya mengubah kedudukan kepada 2-1 pada separuh masa kedua.
Aksi skuad bimbingan Ong Kim Swee itu mendapat sokongan padu daripada 10,000 peminat tempatan.
Malaysia mara dengan agregat 2-1 setelah mencatat keputusan seri 0-0 pada aksi pertama di Beirut pada Ahad lalu.
Dengan kejayaan itu, Malaysia kini berada dalam kelompok 12 pasukan terbaik Asia yang akan dipecahkan kepada tiga kumpulan bagi merebut tiga slot automatik dan satu slot playoff ke Sukan Olimpik 2012 di London.
Pada aksi malam tadi, Kim Swee melakukan dua perubahan dengan Affize Faisal Mamat menggantikan Mahali Jasuli yang digantung satu perlawanan manakala Syahrul Azwari Ibrahim menggantikan tempat Izzaq Faris Ramlan.
Jurulatih Lebanon, Samir Saad pula hanya menukar seorang pemain iaitu Jad Noureddine yang diturunkan untuk mengambil alih posisi Hassan Chaito.
Malaysia tidak menunggu lama apabila memperoleh gol pertama seawal minit kelapan menerusi rembatan Irfan dari dalam kotak penalti selepas berlaku keadaan kelam-kabut berpunca daripada sepakan sudut Wan Zack Haikal.
Di sebalik penguasaan penuh Malaysia, Lebanon hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-36 tetapi rembatan kaki kiri pemain sayap, Mohamad Haidar sekadar menggegar palang gol.
Malaysia terus selesa apabila berjaya menambah gol kedua pada minit ke-40 hasil penyudah kemas Wan Zack selepas menerima lorongan baik Gary Steven Robbat dari bahagian tengah.
Namun malang menimpa Gary Steven apabila dia dibuang padang pada minit ke-50 selepas menerima kad kuning kedua akibat mengasari pemain Lebanon.
Akibatnya, Lebanon berjaya menghasilkan gol pertama pada minit ke-63 menerusi Chadi untuk menjadikan kedudukan 2-1 tetapi Malaysia kental bertahan sehingga wisel penamat.
Kim Swee yang tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas perlawanan itu menjelaskan:“Ini membuktikan walaupun kita beraksi 10 pemain pada 40 minit terakhir, pemain telah menunjukkan kesungguhan tinggi. Tapi ini baru permulaan, banyak lagi rintangan perlu diharungi pada peringkat kumpulan nanti,” kata Kim Swee pada sidang media selepas perlawanan.
Samir pula berkata: “Kami cuba cari gol penyamaan tetapi pemain Malaysia beraksi dengan semangat yang cukup tinggi disebabkan mereka mendapat sokongan padu penyokong.”
Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my
Sunday, June 12, 2011
Bertambah Ilmu Bertambah Amal
Jarang orang menganggap dirinya berdosa bila tidak mengamalkan ilmu yang pernah dipelajarinya terutamanya ilmu-ilmu fardhu 'ain, ilmu-ilmu memperbaiki diri. Padahal ilmu-ilmu yang kita pelajari yang tidak kita amalkan, atau tidak berniat untuk mengamalkannya, itu adalah satu dosa juga.
Berpandu dari Al Quran, jelaslah satu dosa yang nyata bagi orang yang tidak mengamalkan ilmunya. Sepatutnya kita selalu berdoa dan merintih kepada Allah agar kita dilindungi dari ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat dan tidak diamalkan.
Kadangkala terjadi pembaziran masa dan tenaga dalam menuntut ilmu. Ilmu-ilmu fardhu ain dan baiki diri tidak sungguh-sungguh dituntut sehingga ilmu fardhu ain tidak cukup. Manakala ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kehidupan di dunia seperti matematik, ekonomi , bilologi, kimia dan lain-lain walaupun tidak salah mempelajarinya tetapi dipelajari sampai berlebih-lebih.
Tetapi, jangan pula kita tidak mahu menuntut ilmu dunia dan juga ilmu akhirat kerana takut tidak mengamalkannya. Itu lebih teruk dan hina.
ڪَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ
Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
( Surah As-Saff 61: Ayat 3)
Sayang Kamu Kamu Kamu Dan Kamu
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Surah Al-Hujurat 49: Ayat 13)
Berkasih sayanglah kerana Allah. Mari cinta pada Allah, Rasul, ibu bapa, saudara mara, guru, dan juga sahabat.
Saturday, June 11, 2011
Tiket Ke Syurga
Setiap manusia pasti mengimpikan syurga. Membayangkan diri bertelekan di atas dipan-dipan yang indah atau membayangkan diri berjalan sambil berlagu merdu di taman yang segar penuh keharuman, menebarkan harumnya bunga-bungaan di taman firdausi. Sungguh mengasyikkan. Namun tidak mudah untuk kita memasukinya kerana terdapat pelbagai dugaan dan cabaran yang harus ditempuhi.
Sebagai hamba Allah, kita perlu sentiasa bermuhasabah diri dan sentiasa menjalankan syariat-syariat agama dalam usaha mencari keredhaanNya. Hadiah berupa tiket ke syurga ini adalah hadiah yang paling tinggi nilainya daripada segala kenikmatan di dunia. Oleh kerana manusia tidak akan pasti dapat masuk ke syurga, maka banyak insan yang keraguan,gelisah dan bimbang. Sepanjang zaman manusia selalu berdoa kepada Allah agar ditujukkan jalan yang lurus agar dapat menggapai syurga.
Kongsikan kepada kami produk anda, lokasi perniagaan, dan kehebatan tentang produk anda! Mari daftar di http://direktori.iluvislam.com sekarang! Serendah RM5 Sebulan* Promosi RM50 selama setahun!(Sah sehingga 30 Jun 2011)
Tunjukkanlah kami jalan yang lurus (Surah Al Fatihah:6)
Tunjukkanlah kami jalan yang lurus bererti tunjuki kami jalan ke syurga. Inilah idaman setiap insan. Inilah cita-cita setiap manusia yang berakal. Di syurga,Allah swt telah menjanjikan pelbagai kenikmatan yang tiada tolok bandingnya. Laksana taman-taman syurga di mana terdapat dua bentuk taman sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud:
01.Dua taman yang dicipta Allah dari perak dengan segala apa yang ada padanya.
02.Dua taman yang dicipta Allah dari emas dengan segala apa yangada padanya.
Subhanallah!Sahabatku,betapa indahnya kenikmatan syurga Allah ini yang disediakan khusus buat para muslimin dan muslimat.
Syurga itu bertingkat-tingkat,antara tingkat syurga adalah:
1. Syurga Firdaus
2. Surga 'Adn
3. Syurga Na'iim
4. Syurga Na'wa
5. Syurga Darussalaam
6. Daarul Muaqaamah
7. Al-Muqqamul Amin
8. Syurga Khuldi
Adapun tingkat syurga paling tinggi darjatnya dinamakan Al-Firdaus. Di atas Al-Firdaus inilah terletak Arsy Rahman (mahligai Tuhan). Subhanallah, syurga ini terletak di bawah Arsy.
Sahabatku, terdapat banyak keistimewaan syurga Al-Firdaus. Antaranya ialah penghuninya akan dapat melihat wajah Allah dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Inilah nikmat tertinggi yang boleh kita perolehi. Bukan itu sahaja, di tempat yang penuh dengan kenikmatan ini juga Allah telah menciptakan para bidadari yang menawan,cantik dan sempurna keanggunannya serta mempunyai wajah yang bersinar bagai bulan.
Sekurang-kurangnya, penduduk syurga itu memiliki 80,000 pelayan dan dikahwinkan dengan 72 isteri (bidadari) mereka diberi kekuatan 100 orang ketika makan, minum dan senggama. Bagaimana pula dengan makanan penduduk syurga? Penduduk syurga itu akan dihidangkan makanan dan minuman yang lazat dan sangat menyelerakan antaranya buah-buahan yang ranum dan pelbagai lagi hidangan yang tidak terbayang kelazatanya.
Alangkah indahnya jika ditakdirkan kita semua ke syurga.Kerana perkampungan akhirat itu adalah pasti,hendaklah kita bermohon kepada Allah untuk beroleh kenikmatan sebegini.Sebagaimana firman Allah SWT:
Ini adalah kehormatan(bagi mereka),dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa benar-benar(disediakan)tempat kembali yang baik (iaitu)syurga 'Adn yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka.Di dalamnya mereka bertelekan(di atas dipan-dipan)sambil meminta buah-buahan yang banyak dan minuman di syurga itu). (Surah Sad:49)
Semoga kita semua akan ditempatkan di syurga Allah SWT kelak serta sentiasa memperoleh rahmat dan keredhaanNya.
Amin..
-Artikel Iluvislam.com
Pencinta Buku: Bacalah Buku Berulang Kali..
Membaca kisah para Nabi dan para salafus soleh yang terdahulu merupakan salah satu daripada pembacaan yang cukup bermanfaat, kerana dengannya kita dapat mengambil teladan dalam menjalani kehidupan seharian. Meskipun mereka telah lama meninggalkan kita.
Ketika membaca sebahagian kisah ulama Islam di dalam buku-buku yang saya telaah daripada muka surat ke muka surat, antara perkara yang cukup menarik hati saya dan membuatkan saya takjub adalah apabila membaca tentang ulama yang mempunyai hafalan yang cukup menakjubkan; di mana di antara para ulama Islam ada yang membaca sebuah buku dengan sekali bacaan sahaja mampu menguasai dan menghafal apa yang terkandung di dalam buku berkenaan.
Suka untuk saya mendatangkan satu contoh di sini, sebagaimana yang dinukil dalam sebuah buku yang bertajuk Keajaiban Hafalan Bimbingan Bagi Mereka Yang Ingin Menghafal Al-Qur'an yang diterjemahkan daripada sebuah kitab arab karya Abdul Qoyyum bin Muhammad bin Nashir As-Sahaibani dan Muhammad Taqiyul Islam Qaariy, bahawa telah berkata Jamaluddin As-Sarmadi: "Di antara keajaiban pada masa ini dalam masalah hafalan adalah Ibnu Taimiyyah. Dahulu, dia menelaah satu kitab sekali sahaja, maka telah terpateri di dalam benaknya." Sememangnya kemampuan yang dimiliki oleh Ibnu Taimiyyah itu adalah satu perkara yang menakjubkan bagi saya.
Sebagai seorang yang minat membaca, saya selalu berharap saya mampu menguasai apa yang terkandung dalam buku dengan hanya sekali bacaan sahaja, sebagaimana sebahagian ulama pada zaman dahulu. Saya percaya, di luar sana tidak sedikit daripada kalangan pencinta buku yang mempunyai keinginan yang sama seperti saya.
Namun, hakikatnya diri saya hanyalah insan biasa, bukanlah genius dan sedemikian hebat; mampu menguasai isi yang hendak disampaikan dalam sebuah buku dengan sekali bacaan semata-mata. Terkadang selepas membaca sebuah buku, saya seakan-akan tidak begitu ingat apa yang telah saya baca, bak kata orang 'masih kabur'. Mungkin anda pun memiliki masalah yang sama.
Namun itu bukanlah penghalang untuk saya untuk terus membaca dan membuat saya putus asa sehingga berhenti membaca.
Adalah menjadi kebiasaan saya sebelum ini, apabila telah selesai membaca buku dengan sekali bacaan, maka saya tidak akan mengulangi untuk membaca buku berkenaan daripada muka surat pertama sehinggalah ke muka surat yang terakhir, kerana saya beranggapan perkara itu adalah perbuatan membuang masa. Itulah sikap saya sebelum ini. Satu "mind set" sebenarnya perlu dinilai semula.
Baru-baru ini saya membaca sebuah buku bertajuk Kelebihan dan Keutamaan Menuntut Ilmu, yang asalnya sebuah kitab arab bertajuk Kaifa Tatahammas Li Thalabil 'Ilmisy Syar'ie karya Abul Qa'qa Muhammad bin Shalih, kemudian diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Di dalam buku berkenaan dimuatkan 102 metode bagaimana untuk memotivasikan seseorang dalam menuntut ilmu syar'ie yang dicedok daripada kehidupan para ulama Islam.
Antara perkara yang saya dapat jadikan iktibar daripada buku berkenaan, kejayaan tidak akan datang bergolek dan manusia tidak akan memperolehi ilmu dengan bersenang-senangan. Apatah lagi bermalas-malasan.
Sebagai mana kata-kata seorang ulama, ilmu itu tidak akan diperolehi dengan tubuh yang bersenang-senangan dan bermalasan-malasan.
Sekiranya ingin menguasai apa yang terkandung dalam sebuah buku, maka kita tidak boleh bosan untuk membaca sebuah buku berulang kali. Usaha membaca berulang kali perlu dilakukan, barulah apa yang kita baca dapat kita kuasai dan fahami dengan sebaiknya. Inilah yang dilakukan oleh para ulama terdahulu.
Saya percaya, di luar sana ada ramai sudah maklum dan faham perkara ini dan tidak perlu untuk saya beritakan. Namun, bukanlah tujuan utama saya untuk memberitakan yang sedemikian, tetapi yang pertama sekali, saya tujukan penulisan ini buat diri saya sendiri. Semoga saya tidak mudah melupakannya.
Insya-Allah, seterusnya saya akan sebutkan sedikit contoh mengenai sikap para ulama dalam usaha membaca sebuah kitab berulang-ulang kali.
Abul Qa'qa Muhammad bin Shalih menyatakan dalam bukunya Kaifa Tatahammas Li Thalabil 'Ilmisy Syar'ie: Imam an-Nawawi ketika menulis biografi Imam Abdul Ghafir bin Muhammad Al-Farisi, telah berkata: "Al-Hafiz al-Hasan as-Samarqandi membaca Sahih Muslim lebih daripada 30 kali. Dan Abu Sa'id Al-Buhairi membaca Sahih Muslim di hadapannya lebih daripada 20 kali."
Disebutkan lagi dalam buku berkenaan, seorang ulama yang bernama Abu Bakar al-Abhari, telah membaca kitab Mukhtasar Ibnu Abi Hakam sebanyak 500 kali, As-Asadiyah sebanyak 75 kali, Mukhtasar al-Barqi sebanyak 70 kali, Al-Mabsuth sebanyak 70 kali dan Al-Muwaththa karya Imam Malik sebanyak 45 kali.
Dr. 'Aid Abdullah al-Qarni menyatakan dalam kitabnya Miftahun Najah yang telah diterjemahkan dengan tajuk Kunci Kejayaan Minda, seorang alim daripada Andalusia telah mengkhatamkan bacaan Sahih Bukhari sebanyak 700 kali dan anak murid Imam Asy-Syafi'e, iaitu Al-Muzani telah mengkhatamkan bacaan kitab Ar-Risalah karya gurunya itu sebanyak 500 kali!
Sekian sahaja penulisan yang serba ringkas ini, semoga ia akan memberikan manfaat terutamanya kepada diri saya sendiri, seterusnya kepada anda yang membaca penulisan ringkas ini.
Akhir sekali saya tinggalkan anda dengan kata-kata seorang bloggers wanita daripada jomsewabuku.blogspot.com dengan katanya: "Saya ingin anda membaca dan terus mengulangi dan mengulanginya sehinngalah buku itu lusuh!"
Wallahu'alam.
Rujukan:
• Dr. 'Aid Abdullah Al-Qarni, Miftahun Najah (Edisi Terjemahan: Kunci Kejayaan Minda, Penterjemah: Abdul Arham Mat), Telaga Biru Sdn. Bhd, Cetakan pertama, 2008.
• Abul Qa'qa Muhammad bin Shalih, Kaifa Tatahammas Li Thalabil 'Ilmisy Syar'ie (Edisi Terjemahan: Keutamaan dan Kelebihan Menuntut Ilmu, Penterjemah: Nurul Mukhlisin), Crescent Sdn. Bhd, 2010.
• Abdul Qoyyum bin Muhammad bin Nashir As-Sahaibani dan Muhammad Taqiyul Islam Qaariy, Keajaiban Hafalan Bimbingan Bagi Yang Ingin Menghafal Al-Qur'an (Penterjemah: Ummu Abbas), Pustaka Al-Haura', Cetakan kedua, 1430 Hijriah.
• Jomsewabuku.blogspot.com.
-Artikel Iluvislam.com
Sains Islam Dan Sains Barat
Islam tidak pernah mengetepikan sains. Sains mengikut Encarta Encyclopedia ialah,"Systematized knowledge in any field, but applied usually to the organization of objectively verifiable sense experience." Ia bermaksud, "Sains dalam skop yang luas bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh secara sistematik berdasarkan pengalaman deria yang dapat dibuktikan secara objektif."
Secara umumnya, sains boleh didefinisikan sebagai ilmu yang dihasilkan melalui cerapan (iaitu analisis dengan menggunakan panca indera) serta fahaman yang lahir daripadanya. Ia juga boleh diertikan sebagai huraian secara sistematik tentang fenomena tabii atau alam semula jadi. Huraian secara sistematik melibatkan penggunaan intelek di samping kaedah yang dapat diukur (quantitative). Jika diamati definisi-definisi ini, ia memang telah ditekankan oleh Islam berdasarkan dalil-dalil dan nas yang telah disebutkan sebelum ini.
Ilmu sains melahirkan teknologi. Teknologi (mengikut Merriam-Webster Dictionary, The American Heritage Dictionary of the English Language: Fourth Edition dan WordNet Dictionary), boleh didefinisikan sebagai, "Pengaplikasian atau penggunaan ilmu terutamanya ilmu sains secara praktikal dan digunakan terutamanya dalam bidang perdagangan dan industri untuk kemanfaatan manusia." Justeru, ilmu sains merupakan alat penting untuk membina teknologi namun ilmu sains bukanlah teknologi. Sebagai contoh, sains membicarakan tentang teori atom dan daripada itu lahirlah teknologi yang menghasilkan kuasa atom.
Keterbatasan Sains
Islam memberi kebebasan kepada para saintis untuk mengkaji, namun ia menyedari keterbatasan intelek yang dimiliki manusia. Justeru, sains Islam menjadikan wahyu sebagai sumber rujukan yang tertinggi. Dalam erti kata yang lain, dalam Islam, wahyu mengatasi akal kerana wahyu datang daripada kuasa tanpa batas sedangkan akal terbatas. Sains tidak boleh mengatasi wahyu. Apa-apa konklusi yang bercanggah dengan dasar-dasar wahyu dianggap sebagai konklusi sains yang salah dan apa-apa yang selari dengannya bolehlah diterima. Dalam hal ini Allah berfirman dalam surah al-Jathiyah ayat 20,
"Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini."
Justeru, sains dalam Islam ialah sains yang berkonsepkan tauhid. Sains dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip yang ditetapkan Allah melalui rasulnya. Sains dalam Islam tunduk kepada al-Quran.
Di barat konsep yang merujukkan sains kepada Tuhan, wahyu dan kuasa ghaib dikenali sebagai creationism. Kadang kala ia dikenali juga sebagai intelligent design. Konsep-konsep ini ditolak oleh ramai saintis di barat. Sebagai contoh, para saintis daripada Akademi Sains Kebangsaan di Amerika (The U.S. National Academy of Sciences) menegaskan bahawa "sebarang kenyataan yang menetapkan bahawa asal usul kehidupan ini ada perkaitan dengan kuasa ghaib (supernatural intervention) tidak boleh diiktiraf sebagai sains." Hal ini dinyatakan dalam Science and Creationism: A View from the National Academy of Sciences, Second Edition, terbitan National Academy of Sciences tahun 1999.
Dalam kes Kitzmiller lawan Dover Area School District pada tahun 2005 (Case No. 04cv2688. December 20, 2005), sebuah mahkamah persekutuan di Amerika memutuskan mana-mana sekolah yang mengajar sains dan mengaitkan kejadian kehidupan dengan kuasa ghaib dan mengetepikan teori evolusi, ia dianggap telah melanggar perlembagaan Amerika.
Matlamat dan Metodologi Sains
Dalam Islam, sains mempunyai matlamatnya. Matlamat jangka pendek ialah mengenali hakikat kejadian alam serta manusia dan memanfaatkan ilmu itu untuk kebaikan semua. Sebagai contoh, melalui sains kita mengetahui bahawa seks kromosom lelaki menentukan kejantinaan seseorang bayi, kejadian bayi bermula dengan persenyawaan antara sperma lelaki dan ovum wanita, kejadian bumi berlaku selepas kejadian bintang-bintang di langit dan yang seumpamanya. Namun akhirnya yang menjadi keutamaan ialah matlamat jangka panjang iaitu mengagungkan dan membesarkan Allah. Hal ini terserlah dalam surah al-Mukminun ayat 14 yang bermaksud,
"Kemudian Kami menjadikan benih nuthfah itu alaqah. Kemudian daripada alaqah Kami jadikan mudghah. Kemudian daripada mudghah Kami jadikan tulang dan Kami tutup tulang itu dengan daging. Kemudian Kami jadikannya makhluk berbentuk lain. Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta."
Perhatikanlah ayat ini dengan baik. Selepas Allah menceritakan fasa-fasa kejadian bayi (dan hal ini dapat disahkan oleh sains), Allah mengakhiri ayat itu dengan ungkapan, "Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta." Inilah matlamat asasi sains, iaitu untuk mengagungkan Allah.
Untuk mencapai matlamat ini metodologi yang digunakan perlulah betul. Sains berkonsepkan tauhid melahirkan metodologi atau pendekatan yang mengambil kira syariat. Kepatuhan kepada syariat tidak menghalang kreativiti dan inovasi kerana kebebasan untuk mengkaji telah pun diberikan Islam berdasarkan sabda nabi yang bermaksud, "Kamu lebih tahu tentang urusan duniamu." Yang dituntut ialah kepatuhan kepada prinsip-prinsip syariat yang akan mencantikkan sains. Sebagai contoh syariat mengutamakan nyawa manusia. Justeru kajian sains dan teknologi yang terhasil daripadanya tidak boleh digunakan untuk memusnahkan nyawa. Syariat juga melarang kemudaratan dilakukan berdasarkan sabda nabi yang bermaksud,
"Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan."Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Malik, Al-Hakim, Baihaqi dan Ibn Majah.
Islam juga menekankan tentang akhlak. Antara akhlak yang wajib dihayati ialah sikap bertanggungjawab ataupun amanah. Amanah ini melibatkan individu, alam sekitar dan masyarakat secara amnya. Lihatlah apa yang berlaku pada hari ini apabila sains dan teknologi terbabas daripada nilai-nilai amanah dan agama. Sebagai contoh, bidang bioteknologi telah melahirkan satu konsep baru yang dikenali sebagai kejuruteraan genetik (genetic engineering). Teknologi ini mampu memindahkan bahan genetik yang bernama DNA dari satu spesies ke spesies yang lain. Walau bagaimanapun untuk berjaya, proses ini memerlukan bantuan virus tertentu agar DNA daripada spesies yang berbeza dapat mengenali antara satu sama lain. Penggunaan kuman-kuman virus ini akhirnya menyebabkan kelahiran pelbagai kuman serta penyakit baru yang mampu membunuh manusia. Mengikut Dr Mae-Wan Ho, pengarah Bioelectrodynamics Laboratory di Open University, United Kingdom, kejuruteraan genetik telah menyebabkan wabak kolera menyerang India pada tahun 1992, wabak kuman streptococcus di Tayside pada tahun 1993 dan wabak kuman E. Coli 157 di Scotland.
Justeru, kepatuhan kepada syariat adalah penting agar sains tidak terbabas daripada landasan kebenaran dan kesejahteraan.
* Dr.Danial Zainal Abidin merupakan seorang pengurus dan pengamal perubatan di klinik Syifa' Gelugor, Pulau Pinang. Beliau juga adalah pengarah urusan kepada Syarikat Danial Zainal Consultancy. Di samping itu beliau juga merupakan seorang pakar motivasi undangan di radio,penceramah dan penulis buku yang berkaitan Islam dan Sains.
Sumber artikel : www.danialzainalabidin.com
-Artikel iluvislam.com
Subscribe to:
Posts (Atom)






