Wednesday, May 4, 2011

Allah SWT penolong hakiki




Hanya kepada Allah tempat kita berserah diri dan memohon segala pertolongan.


APABILA kita katakan adalah dibenarkan memohon syafaat daripada Nabi SAW, ini tidak menafikan kepercayaan kita dengan keyakinan yang kuat dan lazim, tanpa syak dan ragu bahawa asal sesuatu pertolongan, permohonan, doa dan permintaan itu hanyalah kepada Allah SWT.

Pada hakikatnya, Dialah Maha Penolong, Maha Pembantu dan Mengkabulkan sesuatu permintaan.

Prinsip ini ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah; yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia. (Yunus: 106-107)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya (daripada dunia) hinggalah hari kiamat. (al-Ahqaf: 5)

Jadi, segala bentuk ibadah semestinya ditujukan kepada Allah sahaja. Tidak harus sesuatu ibadah itu ditujukan kepada selain Allah SWT, dalam apa jua bentuk sekalipun.

Maka tidak ada nazar yang boleh dibuat kecuali kerana Allah; tidak ada doa yang dipanjatkan kecuali kepada Allah; tidak ada sembelihan yang dilakukan kecuali untuk-Nya; tidak boleh memohon pertolongan dan perlindungan kecuali kepada-Nya; tidak ada sumpah kecuali atas nama-Nya; dan tidak boleh bertawakal atau berserah diri, kecuali kepada Allah Yang Maha Suci dan Maha Tinggi daripada apa yang disifatkan oleh golongan yang mensyirikkan-Nya.

Kita mempercayai bahawa Allah adalah Pencipta semua hamba-Nya dan segala perbuatan mereka. Tidak ada satu makhluk pun selain Allah; baik yang masih hidup, mahupun yang telah mati, yang mempunyai pengaruh dan kesan dalam penciptaan tersebut.

Maka Pengurus dan Pentadbir sebenar di dalam alam ini hanyalah Allah SWT. Tidak ada satu makhluk pun yang memiliki dan menguasai walau sedikit kecuali jika Allah memberikan milik dan kekuasaan itu kepadanya dan memberikan keizinan kepadanya untuk menguruskannya.

Tidak ada seorang manusia pun yang mampu memiliki suatu manfaat atau mudarat untuk dirinya. Apatah lagi untuk orang lain, begitu juga untuk mematikan dan menghidupkan atau membangkitkan, kecuali atas apa yang dikehendaki oleh Allah mengikut keizinan-Nya.

Justeru, kemampuan memberikan manfaat atau menolak kemudaratan, semuanya itu dibatasi dengan had ini dan diikat dengan ikatan ini (kehendak dan izin daripada Allah).

Penisbahan atau penyandarannya kepada makhluk, hanyalah sebagai tasabbub (penyebab) dan takassub (pengusaha). Bukannya sebagai pencipta atau yang mengadakan, atau yang mempunyai kesan, atau sebab, atau kekuatan.

Penisbahan atau penyandaran ini pada hakikatnya hanyalah penyandaran atau penisbahan majazi (simbolik), atau kiasan belaka, bukan menurut hakikatnya.

Namun demikian, manusia berbeza-beza cara dalam mengungkapkan hakikat perkara ini. Ada di antara mereka yang keterlaluan menggunakan dan menggambarkan ungkapan majazi sehingga terjerumus ke dalam kesamaran lafaz.

Namun, ia berlepas diri daripada lafaz yang samar-samar dan tidak jelas maksudnya itu dan hatinya juga bersih serta berpegang atas tauhid yang sempurna dan menyucikan Allah daripada segala sifat yang tidak layak bagi-Nya.

Ada pula di antara mereka yang berpegang teguh dengan hakikat lafaz secara berlebihan daripada had sederhana. Maka dengan ini, sampai menyusahkan, membingungkan dan mengusutkan pemikiran orang lain untuk mengikut mereka.

Bahkan, mereka membawa orang lain kepada maksud yang tidak sebenarnya dan memaksa mereka melakukan sesuatu yang tidak diingininya. Lebih teruk lagi, mereka menghukum orang lain dengan suatu hukum yang tidak benar, sedangkan mereka membebaskan diri daripada perkara tersebut.

Sepatutnya, mereka ini mengambil sikap pertengahan, bukan sikap yang ekstrem seperti itu. Maka sikap seperti ini lebih menyelamatkan agama dan lebih berhati-hati dalam menjaga kedudukan tauhid. Wallahu a'lam.

Akhlak terpuji Luqman al-Hakim


Makam luqman al-Hakim, seorang manusia yang dianugerahkan hikmah oleh Allah SWT kepadanya.




AHLI hikmah dari Habsyah (Ethiopia) ini bernama Luqman al-Hakim. Menurut al-Quran, Allah SWT menganugerahkan hikmah kepadanya sehingga beliau digelar Luqman al-Hakim (Luqman yang dianugerahi hikmah).

Nama penuhnya ialah Luqman bin Baura. Beliau berketurunan Azar, ayah Nabi Ibrahim a.s. Dalam Tafsir al-Kasysyaf (karya al-Zamakhsyari), Luqman digambarkan sebagai seorang lelaki yang berkulit sangat hitam dan berwajah buruk dengan bibir yang sangat tebal.

Namun, hati dan akhlaknya tidak seburuk wajahnya. Hatinya amat tulus dan akhlaknya sangat terpuji. Kata-kata hikmah sebagai nasihat selalu keluar dari bibirnya.

Menurut cerita tradisi Bani Israel, Luqman selalu mengeluarkan kata-kata hikmah (ucapan yang sesuai dengan kebenaran) sehingga akhirnya banyak diketahui masyarakat.

Seseorang pernah bertanya kepadanya, "Bukankah kamu bekas hamba si fulan?" Luqmanmenjawab, "Benar". Orang itu lalu bertanya lagi, "Tetapi apa yang membuat kamu terkenal seperti sekarang?"

Beliau menjawab, "Kekuasaan Allah SWT. Aku selalu berkata benar dan meninggalkan sesuatu yang tidak berfaedah serta selalu menunaikan amanah yang diberikan kepadaku".

Dalam tafsir al-Qurtubi, tertulis bahawa ada tiga orang yang berkulit hitam tetapi sangat terkenal dalam sejarah, iaitu Bilal bin Rabah, Mahja' (hamba Umar bin al-Khattab), dan Luqman al-Hakim.

Ada riwayat yang menyebut bahawa pada suatu hari seseorang terkejut melihat susuk tubuh Luqman yang hitam legam dan berbibir tebal.

Pada waktu itu, Luqman mengatakan: "Sekalipun bibirku ini tebal, tetapi apa yang keluar dari mulutku adalah kata-kata hikmah. Dan sekalipun kamu terkejut melihat kulitku yang hitam legam, namun hatiku putih bagaikan kaca bersih".

Isteri majikan Luqman pernah marah kepada suaminya. Suaminya lalu mencari juadah (makanan yang lazat) untuk isterinya, kemudian meminta Luqman untuk menyerahkan makanan itu kepada kesayangannya (maksudnya isterinya).

Setibanya di rumah, Luqman memberikan juadah itu kepada anjing majikannya, bukan kepada isterinya.

Setelah pulang majikannya bertanya kepada isterinya adakah beliau sudah menerima juadah yang dikirim melalui Luqman. Isterinya berkata, "Luqman tidak membawa sesuatu pun untukku". Suaminya marah lalu memanggil Luqman.

Luqman menjawab, "Hamba telah memberikan juadah itu kesayangan tuan seperti yang tuan pesan, iaitu anjing tuan".

Luqman menambah, "Anjing itulah yang seharusnya disayangi kerana sekalipun dihina dan disakiti, ia tidak meninggalkan tuan, manakala isteri tuan sebenarnya bukanlah kesayangan Tuan kerana beliau sering meminta cerai sekalipun tidak dihina, apalagi dipukul".

Kemuliaan seseorang di hadapan Allah SWT tidak terletak pada keturunannya, tetapi pada ketakwaan dan akhlaknya. Luqman adalah salah seorang yang bertakwa dan berakhlak mulia.

Ketakwaan dan kemuliaan akhlaknya dijadikan teladan dalam al-Quran. Ketakwaannya kepada Allah SWT ditunjukkannya melalui nasihat kepada anak lelakinya, An'am atau Asykam, misalnya tidak menyekutukan Allah SWT kerana perbuatan itu merupakan kezaliman yang amat besar (Q.31: 13).

Kemuliaan akhlaknya ditunjukkan melalui nasihat supaya tidak bersikap sombong dan angkuh kepada sesama manusia (Q.31: 18) dan perkataan lembut kerana seburuk-buruk suara adalah suara keldai (Q.31: 19).

Sebarkan Doa dan Sejahtera






Sesungguhnya salam itu merupakan sunnah terdahulu sejak zaman Nabi Adam 'alaihi salam sehingga ke hari kiamat, dan salam merupakan ucapan para penghuni syurga, Dan ucapan mereka di dalamnya adalah salam. Salam merupakan sunnah para Nabi, tabiat orang-orang yang bertakwa dan semboyan orang-orang yang suci. Namun, dewasa ini, benar-benar telah terjadi kekejian yang nyata dan perpecahan yang terang di tengah-tengah kaum muslimin! Jikalau engkau melihat mereka, ada saudara semuslim yang melintasi mereka, mereka tidak mengucapkan salam kepadanya. Sebahagian lagi hanya mengucapkan salam hanya kepada orang yang dikenalinya sahaja, bahkan mereka merasa aneh ketika ada orang yang tidak dikenalinya memberi salam kepadanya, mereka mengingkarinya dengan menyatakan "Apakah anda mengenali saya?".

Marilah Kembali Mengimarahkan Syiar Memberi Salam

Sedangkan yang sedemikian itu merupakan penyelisihan terhadap perintah Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa sallam, sehingga menyebabkan semakin menjauhnya hati-hati mereka, semakin merebaknya perangai-perangai kasar dan semakin bertambahnya perpecahan. Bersabda Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam: "Tidaklah kalian akan masuk syurga sehingga kalian beriman, dan tidaklah kalian dikatakan beriman sehingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan kepada sesuatu yang jika kalian mengamalkannya nescaya kalian akan saling mencintai, iaitu tebarkan salam di antara kalian." (HR Muslim).

Di dalam hadits Muttafaq 'alaihi, ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa sallam, "Islam bagaimanakah yang baik?" Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa sallam menjawab, "Memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenali mahupun yang tidak engkau kenali." (Muttafaq 'alaihi).

Maka yang demikian ini merupakan suatu anjuran untuk menyebarkan salam di tengah-tengah kaum muslimin, dan bahawasanya salam itu tidaklah terbatas kepada orang yang engkau kenali dan sahabat-sahabatmu sahaja, namun untuk keseluruhan kaum muslimin.

Adalah Abdullah Ibnu 'Umar Radhiallahu 'anhu pergi ke pasar pada pagi hari dan berkata : "Sesungguhnya kami pergi bertolak pada pagi hari adalah untuk menyebarkan salam, maka kami mengucapkan salam kepada siapa saja yang kami jumpai."

Salam itu menunjukkan ketawadhu'an seorang muslim, ia juga menunjukkan kecintaan kepada saudaranya yang lain. Salam menggambarkan akan kebersihan hatinya daripada dengki, dendam, kebencian, kesombongan dan rasa memandang rendah kepada orang lain. Salam merupakan hak kaum muslimin antara satu dengan lainnya, ia merupakan sebab tercapainya rasa saling mengenali, bertautnya hati dan bertambahnya rasa kasih sayang serta kecintaan. Ia juga merupakan sebab diperolehnya kebaikan dan sebab untuk seseorang masuk syurga. Menyebarkan salam adalah salah satu bentuk menghidupkan sunnah Mustofa Shalallahu 'alaihi wa sallam.

Bersabda Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam: "Lima perkara yang wajib bagi seorang muslim ke atas saudaranya, menjawab salam, mendo'akan orang yang bersin, memenuhi undangan, menjenguk orang sakit dan menghantarkan jenazah." (HR Muslim).

1. Disunnahkan tatkala bertemu dua jenis orang di jalan, iaitu orang yang berkenderaan supaya memberi salam kepada yang berjalan kaki, yang sedikit kepada yang ramai dan yang muda kepada yang tua. Bersabda Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam : "Hendaklah salam bagi yang berkenderaan kepada pejalan kaki, yang berjalan kaki kepada yang duduk dan yang sedikit kepada yang ramai." (HR. Muslim).

2. Sayogiyanya orang yang hendak memberikan salam kepada kaum muslimin dengan mengucapkan salam dan bukan dengan ucapan 'selamat pagi' atau 'selamat datang' ataupun 'hello', hendak dia memulainya dengan salam kemudian baru dia boleh menyambutnya dengan sapaan yang diperbolehkan di dalam Islam.

3. Disukai bagi seorang muslim yang akan masuk ke rumahnya, mengucapkan salam terlebih dahulu, kerana sesungguhnya berkah itu turun beserta salam, bersabda Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam : "Jika engkau hendak masuk ke rumahmu, hendaklah engkau salam, nescaya berkah akan turun kepadamu dan keluargamu." (HR Turmudzi). "Dan jika tidak ada seorangpun di dalamnya, maka ucapkan, Assalamu'alainaa 'ibaadillahish shaalihin." (HR Muslim).

4. Sayogiyanya mengucapkan salam itu dengan suara yang dapat didengar namun tidak mengganggu orang yang mendengar dan membangunkan orang yang tidur. Dari Miqdad Radhiallahu 'anhu berkata : "Kami mengangkat untuk Nabi bahagiannya daripada susu, dan beliau tiba saat malam, mengucapkan salam dengan suara yang tidak membangunkan orang yang tidur dan dapat didengar oleh orang yang jaga." (HR Muslim).

5. Dianjurkan untuk memberikan salam dan mengulanginya lagi jika terpisah daripada saudaranya, walaupun hanya dipisahkan oleh tembok. Dari Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, Rasulullah bersabda, "Jika seseorang di antara kalian bertemu dengan saudaranya, hendaklah dia memberinya salam, dan jika terpisah antara keduanya oleh pohon, tembok ataupun batu besar lalu bertemu kembali, hendakla kalian mengucapkan salam lagi kepadanya." (HR Abu Dawud).

6. Ramai ulama' memperbolehkan seorang lelaki mengucapkan salam kepada seorang wanita, dan sebaliknya, selama aman daripada fitnah, sebagaimana seorang wanita mengucapkan salam kepada mahramnya, maka wajib juga atasnya untuk menjawab salam daripada mereka. Demikian halnya seorang laki-laki kepada mahramnya wajib atasnya menjawab salam dari mereka. Jika dia seorang ajnabiyah (wanita bukan mahram), maka tidaklah mengapa mengucapkan salam kepadanya ataupun membalas salamnya jika wanita tersebut yang mengucapkan salam, selama aman daripada fitnah, dengan syarat tanpa bersentuhan tangan/jabat tangan dan mendayu-dayukan suara.

7. Daripada hal-hal yang tersebar di kalangan manusia adalah menjadikan salam itu berbentuk isyarat atau memberi tanda dengan tangan. Jika seseorang yang mengucapkan salam itu jauh, maka mengucapkan salam sambil memberikan isyarat tidaklah mengapa, selama dia tidak dapat mendengarmu, kerana isyarat ketika itu menjadi penunjuk salam dan tidak ada pengganti selainnya, juga demikian dalam membalasnya.

8. Dianjurkan bagi orang yang duduk mengucapkan salam ketika dia hendak berdiri di dalam majlisnya. Sebagaimana sabda Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam, "Jika kalian mendatangi suatu majlis hendaklah memberi salam, dan jika hendak berdiri seyogiyanya juga memberi salam, dan tidaklah yang pertama itu lebih berhak daripada yang terakhir". (HR. Abu Dawud)

9. Disunnahkan berjabat tangan ketika memberi salam dan memberikan tangannya kepada saudaranya. Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam bersabda : "Tidaklah bertemu dua orang muslim kemudian berjabat tangan kecuali Allah akan mengampuni dosanya sebelum berpisah". (HR. Abu Dawud dan Turmudzi).

10. Menunjukkan wajah yang ceria, bermanis muka dan tersenyum ketika salam. Sebagaimana sabda Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam : "Senyummu kepada saudaramu itu sedekah", dan sabdanya pula "Janganlah engkau remehkan suatu kebajikan sedikitpun, walaupun hanya bermanis muka terhadap saudaramu". (HR. Muslim)

11. Disunnahkan memberi salam kepada anak-anak sebagaimana Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa sallam sentiasa melakukannya, dan yang demikian ini adalah suatu hal yang menggembirakan mereka, menanamkan rasa percaya diri dan menumbuhkan semangat menuntut ilmu di dalam hati mereka.

12. Tidak diperbolehkan memulai salam kepada orang kafir sebagaimana di dalam sabda Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam : "Janganlah mendahului Yahudi dan Nasrani dengan ucapan salam, jika engkau menemui salah seorang daripada mereka di jalan, desaklah hingga mereka menepi dari jalan". (HR. Muslim) dan bersabda pula Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam : "Jika ahli kitab memberi salam kepadamu maka jawablah dengan wa'alaikum" (mutafaq alaihi).

Maka hidupkanlah, wahai hamba Allah sunnah yang agung ini di tengah-tengah kaum muslimin agar lebih mempereratkan hati-hati kalian dan menyatukan jiwa-jiwa kalian serta untuk meraih ganjaran dan pahala di sisi Allah. Semoga salam dan shalawat senantiasa tercurahkan atas Nabi, keluarga baginda dan shahabat-shahabat baginda seluruhnya. Amin.

Sumber Text: Abu Amran (Terjemah Bahasa Melayu Oleh Abu Usamah)

Semoga kita semua beroleh ucapan Salam dari RabbulA'lamin InsyaAllah

سَلَامٌ قَوْلًا مِن رَّبٍّ رَّحِيمٍ
"(Kepada mereka dikatakan): ""Salam"", sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang."
(Surah Yasin 36: Ayat ke 58)

Cintaku kerana...







Tidak salah menyintai wanita bergelar isteri, selagi mana cinta itu didasari oleh satu makna yang padu: AGAMA. Lantaran Nabi SAW sahaja sudah memperingatkan, agar jodoh itu direalisasikan, dengan menjadikan agama sebagai sandaran dan landasan. Jika demikian agama itu hilang daripada peribadi si isteri, kecintaanmu padanya juga harus bertukar, agar cintamu tersemai seadanya sahaja.

"Cintailah manusia itu seadanya. mungkin suatu hari kamu akan membencinya .Bencilah manusia itu seadanya, mungkin suatu hari nanti kamu akan mencintainya". (Hadith riwayat at-Tirmidzi)

Demikian pula, tidak salah menyintai kerjaya dan pekerjaan, asal saja ia boleh menuntun kita untuk kekal beribadah dan segar dalam keimanan, lantaran perjuangan itu memang memerlukan kewangan yang utuh dan kepakaran yang jitu, untuk memacu agama kembali kepada keagungannya.

Bila agama itu hilang daripada pekerjaan , hingga saja menyebabkan ibadah kita terhalang, semangat dakwah padam, keistiqamahn terbelenggu, maka ucapkanlah "selamat tinggal" duhai pekerjaan, kerana harta mahu pun keluarga , tak akan boleh untuk memadamkan dasar pembina mahligai cinta: AGAMA.

Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi.(Surah al-Munafiqun [63];9)

Sekiranya agama mendasari setiap urusan kehidupan, setiap sendi pergerakan kita , setiap ruas kehidupan kita, setiap sudut ruang yang berpijak dibumi, setiap nafas yang menyegarkan tubuh kita, maka tidak ada lagi yang boleh memadamkan maraknya cinta di hati terhadap pada perjuangan ini. Tiada gunung maupun lautan berapi, yang boleh menjadi penghalang antara cinta kita berdua; aku dan dirimu ya Ilahi.

Maka sedarilah kembali keberadaan kita di muka bumi, bak ungkapan puitis seorang Muhammad Iqbal;-
"Aku ragu akan ada dan tiadaku. Namun, cinta mendeklarasikan bahawa aku ada."

Bahasa mudah ," jika amalan hidup berlandakan islam, aqidah mentauhidkan Allah lenyap dari dalam diri mu, maka cinta ku juga berakhir di situ." Selamat tinggal romeoku...

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُلۡهِكُمۡ أَمۡوَٲلُكُمۡ وَلَآ أَوۡلَـٰدُڪُمۡ عَن ذِڪۡرِ ٱللَّهِ‌ۚ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡخَـٰسِرُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
(Surah Al-Munafiqun 63: Ayat 9)

Merci Allah




'Merci ' [terima kasih] itulah perkataan yang sering saya gunakan sewaktu melawat kota Paris dahulu, kerana itu antara perkataan yang penting serta mudah diingati, dan yang selebihnya bertutur dalam 'Manglish' sambil di rojak dengan bahasa isyarat sahaja. Terasa kelakar pula bila dikenang kembali. .... ALLAHuakbar..

Merci Allah

Kembali kepada tajuk kita. Apakah yang akan diucapkan sekiranya kita diberi penghargaan? Merci .. Syukran jazilan... Terima Kasih...ya... terima kasih dan terima kasih. Semakin banyak penghargaan yang diberi, semakin banyak juga perkataan terima kasih yang dituturkan. Rasa berterima kasih ini akan mudah hadir tanpa dipaksa dan tidak perlu di asuh kerana ia adalah fitrah.

Justeru sifat berterima kasih kepada orang yang berjasa yang lahir pada diri seorang insan itu adalah juga suatu tuntutan syarak. Dari sifat berterima kasih ini akan lahirlah perasaan kasih sayang dan kemesraan. Namun apabila perasaan ini hilang (atau tidak wujud?), ia hanya mengundang kebencian dan perpecahan.

Bukan itu sahaja.Rasulullah SAW telah menjadikan sikap berterima kasih sesama manusia ini sebagai tanda seorang itu bersyukur kepada Allah. Sabda baginda SAW daripada Abu Hurairah r.a:

Mafhumnya: "Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak mensyukuri Allah". (Hadith riwayat Ahmad dan At-Tirmizi. Kata Al-Albani: Sahih)

Itu sesama kita.

Bagaimana pula kita dengan ALLAH SWT yang Maha Memberi Nikmat kepada seluruh mahkluk-Nya? Dialah pemberi nikmat yang sebenar, malah menjanjikan tambahan nikmat kepada yang sentiasa bersyukur/ berterima kasih sebagaimana Dia menjanjikan azab yang keras untuk yang tidak bersyukur.

وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡ‌ۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.
(Surah Ibrahim 14 : Ayat ke 7)

Seharusnya sebagai seorang muslim tidak kira apa juga situasi samada di bantu, di beri nikmat malah apabila di timpa musibah dan pelbagai lagi situasinya, haruslah sentiasa berterima kasih/bersyukur kepada ALLAH, kerana didalamNya terkandung 1001 pelajaran dan peringatan buat mereka yang sentiasa berfikir.

Sedarkah kita bahwa ALLAH menjaga kita siang dan malam, menjaga kita 24 jam. ALLAH melayani kita baik saat kita sedar atau ketika kita tidur, ketika kita ingin melangkahkan kaki, ALLAH menggerakkah kaki kita, ketika kita ingin memegang sesuatu ,Allah pun menggerakkan tangan kita, ketika kita ingin merasakan makan ALLAH membantu kita memasukkan sampai kedalam perut kita sehingga kita bisa merasakan kenyang. Bayangkan apa jadinya bila ALLAH menarik nikmat-nikmat ini kembali? Semuanya jadi serba tidak kena.

SubhanALLAH..ALLAHuakbar

Oleh itu, berterima kasihlah dan sentiasa bersyukur, tapi jangan hanya syukur dimulut, tetapi perlu dirasakan dalam hati, tidak hanya didiucapkan tetapi dihayati, dirasakan sampai didalam hati, dalam rasa kita akan lebih baik lagi bila kita bersyukur dengan memperbaiki kualiti dan kuantiti ibadah kita, meningkatkan kekusyukan dalam solat wajib, meningkatkan solat sunnah, berdzikir dan pelbagai lagi. Semoga Allah menjadikan kita hamba yang bersyukur dan menganugerahkan nikmat-Nya yang melimpah ruah. Juga mudah-mudahan kita menjadi umat yang bersatupadu diikat oleh perasaan kasih sayang dan disulami rasa terima kasih sesama kita....’Merci ALLAH’

Monday, May 2, 2011

Tenang yang dicari







Kata pujangga, hidup dimulakan dengan tangisan, dicelahi oleh tangisan dan diakhiri oleh tangisan. Maksudnya hidup ini penuh dengan masalah, kesukaran dan kepahitan. Lihatlah betapa seorang bayi dilahirkan ke dunia dengan tangisan, apabila dewasa nanti hidupnya akan dicelahi oleh tangisan dan akhirnya dia akan mati lalu dihantar ke kubur dengan tangisan juga.

Mereka yang pesimis dengan hidup sering mengatakan bahawa hidup hanyalah untuk menyelesaikan masalah (life is to solve problems). Sebaik selesai satu masalah, masalah baru akan menjelama. Tidak lebih daripada itu. Malah ada yang lebih pesimis lagi dengan mengatakan hidup hanyalah untuk menderita!

Itu bukan sikap seorang muslim. Jika kita mengutuk hidup bererti kita mengutuk Penciptanya (Allah). Sedangkan Allah tidak menjadikan hidup ini untuk menderita. Maha Suci Allah, Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hakikatnya, kita diciptakan untuk menikmatinya dan kemudian pulang ke akhirat untuk merasai kenikmatan yang abadi. Tetapi kita mesti berjuang untuk itu. Jadi, hidup sebenarnya untuk berjuang, bukan untuk menderita. Berjuang untuk menikmati kebahagian yang sementara demi mencapai kebahagian yang abadi!

Hidup di dunia ini penting kerana adanya akhirat. Justeru, kita mesti memanfaatkan kehidupan di dunia sebagai jambatan kebahagiaan akhirat. Hukama ada berpesan, dunia diciptakan untuk manusia, manusia dicipta untuk akhirat. Soalnya, bagaimana memanfaatkan kehidupan dunia ini untuk akhirat? Apakah yang perlu kita cari dan perjuangan dalam kehidupan yang sementara ini?

CARILAH HATI YANG SEJAHTERA

Dalam hidup yang sementara ini kita dituntut mencari hati yang sejahtera (qalbun salim). Inilah kualiti hidup yang perlu dicari dan dinikmati. Dan ini jugalah 'syurga dunia' sebelum syurga akhirat. Malangnya ramai yang pentingkan kuantiti harta berbanding kualiti jiwa. Siang malam, manusia bertungkus-lumus menumpuk harta tanpa memperdulikan kesucian jiwa. Rumah semakin besar tetapi jiwa semakin sempit. Harta semakin melimpah tetapi hati semakin sakit.

Kualiti jiwa yang rendah menyebabkan timbulnya sifat mazmumah. Ini akan menimbulkan masalah kepada pemiliknya dan orang lain. Sifat marah, dendam, sombong, iri hati, hasad dengki dan sebagainya membunuh ketenangan dalam diri. Ini menyebabkan penyakit-penyakit lahiriah seperti darah tinggi, lemah jantung, ulser, kanser, diabetes dan lain-lain. Hubungan antara kesihatan hati (psikologi) dengan fisiologi ini telah lama diakui oleh pakar-pakar perubatan.

Tanpa ketenangan tidak ada gunanya kesenangan. Harta, wang, kuasa dan pangkat tidak boleh ditukar ganti dengan ketenangan jiwa. Sebaliknya kekurangan harta, rendahnya jawatan atau pangkat, dapat ditampung oleh ketenangan jiwa.

Orang miskin yang sabar masih boleh menikmati kehidupan yang tidak boleh dinikmati oleh orang kaya yang ego. Sebaliknya, tanpa sifat qanaah, sihartawan sekalipun akan terus tersiksa oleh kemiskinan jiwanya. Itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw melalui sabdanya bahawa kaya sebenar ialah kayanya jiwa.

IMAN MAMPU MENAMPUNG KEKURANGAN

Ada enam perkara yang sangat penting dan kritikal dalam kehidupan manusia. Jika keenam-enam perkara itu stabil maka stabillah seluruh kehidupan. Perkara-perkara itu adalah kesihatan, kewangan, kerjaya, ilmu pengetahuan, perhubungan dan kekeluargaan. Jika semua perkara itu dapat dicapai dan berada dalam keadaan stabil, maka kehidupan juga akan stabil.

Sungguhpun begitu, dalam realiti kehidupan adalah sangat sukar untuk mencapai kestabilan dalam semua perkara itu. Jarang benar ada orang yang dapat mencapai semuanya. Ada yang kaya tetapi kesihatan terganggu. Ada pula kesihatannya baik tetapi ada masalah dengan perhubungan sesama anggota masyarakat.

Begitulah lumrah dunia, tidak ada seorang manusia pun yang memiliki segala-galanya. Jika demikian, apakah jalan keluar kita untuk mencapai kestabilan dalam hidup? Jawabnya, kuatkanlah iman. Ini kerana iman akan dapat menampung kekurangan dalam perkara-perkara yang lain. Jika seorang itu miskin, sakit, berpangkat rendah dan lain-lain kekurangan maka iman akan menampung kekurangan-kekurangan itu dengan sifat sabar, redha, qanaah, lapang dada dan tawakal.

Namun, tanpa iman segala kelebihan yang dimiliki akan tidak berguna. Tanpa iman, sikaya akan tamak dan tidak akan merasa cukup dengan kekayaannya, yang berkuasa akan menindas dan menzalimi, yang sihat akan lupa diri dan membuat kejahatan, yang banyak ilmu akan angkuh dan menghina orang lain.

Semua ini akan mengundang kebencian, ketidak puas hatian, kemarahan, kedengkian sesama manusia yang akhirnya akan menimbulkan krisis antara yang simiskin dengan yang sikaya, yang berkuasa dengan rakyat jelata, buruh dengan majikan dan lain-lain. Tegasnya, kualiti jiwa yang rendah (tanpa iman) itulah yang mencetuskan kemusnahan dalam hidup manusia. Dan untuk mengatasinya, tidak ada jalan lain kecuali dengan meningkatkan kualiti hati!

KUALITI HATI

Mengapa soal hati sangat penting? Hati adalah kuasa penggerak di dalam diri manusia. Jika hati dikuasai kebenaran, nescaya ia menjana kebaikan. Sebaliknya jika hati dipenuhi kebatilan, ia akan melahirkan kejahatan. Hati yang dipenuhi kebaikan dan kebenaran adalah hati yang berkualiti. Ia mampu menghadapi apa juga cabaran atau masalah dalam hidup. Manakala hati yang dikuasai kejahatan dan kebatilan, adalah hati yang lemah. Ia akan goyah menghadapi masalah dan cabaran dalam hidup.

Bila hati tidak berkualiti, segala yang dilihat, difikir, dirasa dan dibuat serba tidak kena dan tidak puas. Yang kaya, berkuasa dan ternama akan terus memburu kekayaan, keseronokan dan hiburan sehingga sanggup menempuh jalan yang salah untuk mencapai maksud yang tidak pernah puas. Mereka ini umpama meminum air laut, makin diminum semakin haus. Atau memburu fata morgana – bahang yang sangat panas disangka air.

Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan "membaca" kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.

Sumber Text: Gentar Rasa

إِلاَّ تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُواْ ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لاَ تَحْزَنْ إِنَّ اللّهَ مَعَنَا فَأَنزَلَ اللّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُواْ السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: ""Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita."" Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Surah At-Taubah 9: Ayat ke 40)

Sunday, May 1, 2011

Nilai Persahabatan Sebenar





Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w. bersabda:
"Seseorang insan adalah terikut-ikut dengan adat kebiasaan sahabatnya.
Maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu bersahabat'.
(Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)

Benarlah kata-kata hikmah yang selalu kita dengar iaitu "sahabat yang tidak jujur itu ibarat dapur yang berhampiran. Jikalau pun kamu tidak terkena jelaganya sudah pasti akan terkena asapnya.Sahabat yang setia itu bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah."

Sahabat suka dan duka kita kongsi bersama
silaturrahim kita hanya kerana Allah.
engkau ajarkanku erti hidup hanya untukNya
memberi keranaNya
menerima seadanya
Hidup bukan hanya untuk dunia semata
tapi untuk akhirat yang lebih utama..
ukhuwahfillah..

Mari sama-sama berlari untuk menjadi sahabat terbaik..untuk menggapai redha Allah.

Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan.

Ambillah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.

Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan.

Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan.

Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Allah Swt.

Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan.

Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah musik yang menggetarkan hati.

Ambillah waktu untuk memberi, itu adalah membuat hidup terasa bererti.

Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan.

Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju syurga..

فَلَمَّا أَحَسَّ عِيسَى مِنْهُمُ الْكُفْرَ قَالَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللّهِ آمَنَّا بِاللّهِ وَاشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ
Maka tatkala Isa mengetahui keingkaran mereka (Bani Israel) berkatalah dia: ""Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku untuk (menegakkan agama) Allah?"" Para hawariyyin (sahabat-sahabatsetia) menjawab: ""Kami lah penolong-penolong (agama) Allah. Kami beriman kepada Allah; dan saksikanlah bahwa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berserah diri.
(Surah Ali-Imran 3: Ayat 52)