Sunday, January 30, 2011

Persatuan Mahasiswa OKU Diperkuatkan


Kementerian Pengajian Tinggi bercadang memperluaskan penubuhan Persatuan Mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi membela nasib golongan itu, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata setakat ini hanya terdapat dua IPT iaitu Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang mempunyai persatuan seumpama itu.

"Golongan OKU sama seperti orang lain dan juga maju dalam pendidikan yang perlu diberi pembelaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan dan peralatan persekolahan 1Azam Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada lebih 90 pelajar sekolah menengah kawasan Parlimen Temerloh di sini, hari ini.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat 321 mahasiswa OKU di IPT seluruh negara. Katanya kementerian akan memberi bantuan wang tunai berjumlah RM20,000 kepada setiap OKU yang berdaftar dalam persatuan berkenaan bagi tempoh empat tahun.

- Temerloh, 29 January 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

Sarawak Usaha Tarik Pelabur Untuk Hub Halal


Para pelabur Teluk perlu menimbangkan untuk melabur di hab halal dan industri berat Sarawak, kata Ketua Menterinya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang sedang dalam misi di sini bagi mempromosikan negeri itu sebagai satu destinasi pilihan para pelabur Timur Tengah.

Kini, tahap pelaburan dari Timur Tengah tidak signifikan, katanya. Taib, yang mengetuai misi pelaburan 30 anggota ke Emiriah Arab Bersatu
(UAE), berkata kini hanya terdapat satu pelaburan dari Timur Tengah, iaitu di dalam sektor kelapa sawit di negeri itu.

"Kami berada di dalam pelbagai peringkat perundingan dengan (para pelabur) Arab Saudi dan negara lain (di Timur Tengah) kerana kami ingin mengambil kesempatan daripada jaringan kewangan Islam di rantau ini," katanya kepada media Malaysia di luar forum "Invest Malaysia 2011" semalam, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sarawak sedang cuba menarik para pelabur bagi Hab Halal Tanjung Manisnya (TMHH), yang merupakan satu pembangunan bersepadu yang disifatkan sebagai salah satu inisiatif pembangunan terbesar di negeri itu.

Taib melahirkan harapan bahawa TMHH akan menarik lebih ramai pelabur Timur Tengah.

Semalam, TMHH menandatangani tiga memorandum persefahaman (MOU) yang terdiri daripada pelaburan bernilai kira-kira RM650 juta.
MOU itu melibatkan Tanjung Manis Food and Industrial Park Sdn Bhd dan Perigon Advisory WLL, Borneo Agriculture yang berpangkalan di New York dan Focus International.

Invest Malaysia 2011 disertai oleh ratusan ahli perniagaan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang mewakili 200 syarikat swasta, syarikat dana kekayaan berdaulat serta agensi kerajaan.

Para peserta itu termasuk Mubadala Development Company, Aabar Investment, Al Ghurair Group, Abu Dhabi National Oil Corporation, Al Futtaim Group dan Emirates Aluminium Company.

GCC dianggotai UAE, Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Bahrain dan Oman.

Misi pelaburan Sarawak itu adalahn yang pertama di Timur Tengah yangmenyasarkan untuk menarik para pelabur dari GCC.

Taib berkata konsep hab halal akan menjadi lebih menarik kepada masyarakatIslam di Eropah dan Amerika kerana ia menekankan mengenai makanan yang mematuhi syariah.

"Kami sedang mengusahakan penjenamaan bagi produk hab halal kami ke pasaran Eropah," katanya.

Bagaimana pun, Taib berkata kini masih terlalu awal bagi menetapkan sasaran berkaitan pelaburan dari Timur Tengah. Sungguh pun begitu, katanya maklum balas yang diterima membayangkan para pelabur Timur Tengah lebih menyedari mengenai peluang pelaburan di selatan Asia, khususnya Malaysia.

TMHH, satu projek di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) diilhamkan untuk memastikan Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2020, sambil bekerjasama seiring dengan wawasan dan sasaran program Transformasi ekonomi (ETP) negara.

Sehingga ini, kerajaan negeri Sarawak telah melabur sehingga RM1.3 bilion di Tanjung Manis untuk membangunkan dan memodenkan infrastruktur jaringan awamnya, yang menarik kepada komuniti pelabur Timur Tengah.

Ia merupakan satu projek impak ekonomi yang tinggi bagi keselamatan makanan dan telah diberi sokongan penuh kerajaan negeri, yang menyifatkannya sebagai projek keutamaan.

Pada masa yang sama, ia akan menempatkan Sarawak sebagai salah satu destinasi halal paling menarik di dunia.

TMHH menjangka menerima pelaburan RM10 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang di dalam pelbagai komponen seperti infrastruktur, pembangunan dan perniagaan industri dari sektor swasta.

- Abu Dhabi, 31 Januari 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

Hijrah Diri

Di keheningan fajar ini, aku rasakan seluruh tubuh dan jiwaku berada dalam situasi yang damai dan menenangkan. Selama ini tidak pernah sekelumitpun ku rasakan perasaan seindah ini.

Terima kasih Allah, kerana Engkau masih memberi ruang kepada hambaMu yang sangat hina ini untuk menikmati perasaan ini. Saat inilah baru aku tersedar bahawa diriku ini sangat mencintai dan merinduiMu.

Saat ini baru ku rasakan betapa nikmat dan manisnya cinta dan rindu kepadaMu. Baru kini ku merasakan hebatnya kuasa cinta ini, Ya Allah.

Syukur padaMu ya Allah kerana Engkau telah memilih diri ini untuk menerima hidayah dan cintaMu. Sesungguhnya aku benar-benar menyedari betapa hinanya aku pada pandanganMu.

Betapa dosaku maha luas meliputi ruang langit dan bumi. Kosongnya amalanku ini untukku persembahkan kepadaMu nanti. Terlalu banyak sifat mazmumah dalam diriku sehinggakan tidak mampu ku perhitungkan lagi. Kerasnya hatiku sehingga hidayahMu sukar untukku menerimanya. Ku tahu tiada nilaianku di sisiMu, ya Allah.

Namun sesungguhnya, Engkau Maha Pengasih ya Allah. Engkau masih memberi peluang kepada diriku ini untuk melakukan transformasi diri. RahmatMu maha luas ya Allah. Syukur yang tidak terhingga ku panjatkan kepadaMu.

Dikesunyian fajar ini, air mataku laju menuruni terataknya membasahi sejadahku lagi. Kesilapan lampau terbayang-bayang mengisi ruang ingatan satu persatu. Episod silam membawaku ke lembah kehinaan yang membuatkan aku digelumangi debu-debu dosa.

Betapa menyesalnya aku ya Allah. Kenapa selama ini aku leka dan lalai? Kenapa selama ini hatiku buta ya Allah. Terlalu banyak masa yang telah aku persia-siakan. Selama ini aku mempermainkan taubat kepadaMu ya Allah. Selama ini ibadatku bukanlah untukMu ya Allah, tetapi kerana sifat menunjuk-nunjuk dan riak yang hadir dalam diriku. Aku terlalu menyesal ya Allah.

Aku pohon kepadaMu ya Allah, kurniakanlah kepadaku kekuatan untuk melakukan hijrah ini. Aku ingin berhijrah ya Allah, hijrah keranaMu. Bukanlah hijrah kerana manusia, bukan juga hijrah untuk mendapatkan dunia tapi hijrah yang sebenar-benarnya.

Aku ingin berhijrah untuk mendapatkan cinta dan redhaMu. Sambutlah cinta dan rinduku ini ya Allah. Akan ku tatang hidayahMu ini dengan ilmu. Ilmu yang akan aku manfaatkan untuk memperbaiki hati dan diriku, yang dapat memberi cahaya kepada jiwa dan hidupku.

Ilmu yang akan aku persembahkan untukMu adalah ilmu yang akan membawa diriku menuju cintaMu. Ilmu yang dapat menjadikan hatiku ini lembut dan syahdu. Ilmu yang dapat mengubah seluruh kehidupanku. Kurniakanlah kepadaku ilmu yang dapat membuat diriku semakin mencintaiMu ya Allah.

Semoga kita digolongkan dalam golongan manusia yang dipilih Allah untuk menerima hidayahNya. Betapa bertuahnya kita seandainya dipilih. Membuktikan betapa luasnya rahmat dan kasih sayang Allah. Lihatlah betapa kerdilnya kita di muka bumi ini, tetapi sayangnya dalam kalangan kita masih ada manusia yang sombong.

Marilah kita sama-sama melakukan hijrah diri. Hijrah yang dapat mengubah hati dan jiwa kita. Hijrah yang dapat meruntuhkan keegoan dan sikap takbur manusia . Hijrah yang dapat meruntuhkan hati dan jiwa yang keras. Hijrah yang memberi kesedaran kepada kita bahawa segala yang kita lakukan di dunia ini adalah semata-mata untuk mendapatkan cinta dan redha Allah.

Lakukanlah hijrah diri ini ketika kita masih mampu melakukan amal ibadat. Lakukan hijrah tatkala Allah memberi kelapangan masa dan kesihatan kepada kita. Lakukan hijrah diri ini ketika diri masih diberi peluang. Lakukan hijrah diri ketika diri masih muda. Lakukan hijrah diri ini tatkala nyawa kita masih belum sampai di halkum. Kelak, jika hijrah diri ini tidak disambut, kitalah manusia yang paling rugi dan paling malang di dunia dan di akhirat. Marilah kita berhijrah bersama-sama.

Bacalah!


Dia menarik dan mendakapku hingga aku berasa kepayahan untuk bernafas.Lalu dia melepaskanku dan berkata,"Bacalah...!" "Aku tidak dapat membaca...!" Dia menarik dan mendakapku lagi sehingga aku berasa sukar untuk bernafas. Kemudian dia melepaskan sambil berkata,"Bacalah...! Aku menjawab, "Aku tidak dapat membaca...!" Untuk yang ketiga kalinya, dia menarik dan mendakapku sehingga aku merasa kepayahan untuk bernafas, lalu ia melepaskanku dan berkata, " Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah...! Dan Tuhanmulah yang paling Pemurah, yang mengajarkan manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak ia ketahui." (Surah Al-'Alaq 96: 1-5)

Peristiwa Rasulullah menerima wahyu:
- Wahyu pertama diterima Rasulullah pada hari isnin, 17 ramadan (6 ogos 610 M)
- Ketika itu Rasulullah berusia 40 tahun.
- Wahyu tersebut diterima baginda di Gua Hirak al-Jabar Nur.
- Surah al-Alaq, wahyu pertama yang berbunyi "Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."

Begitulah gambaran yang diceritakan oleh RasululLah S.A.W kepada Khadijah isteri tercinta, ketika datang Jibrail A.S. Tentu ada sesuatu yang tersirat dan besar di sebalik peristiwa Iqra' yang terkenal ini. Mengapa disuruh baca sedangkan apakah yang hendak dibaca? Pertamanya, Allah telah memberi isyarat yang jelas kepada kita tentang kepentingan ilmu dengan kalimah "Bacalah...!" bukan "Ingatlah...!" atau"Sujudlah...!" atau sebagainya.

Betapa pentingnya lagi, kalimah iqra' telah diulangi sebanyak dua kali sebagai bukti perhatian Allah S.W.T. Menurut Al-Imam Ghazali, kewajiban membaca bergabung dalam dua keperluan iaitumaqru'ah (Al-Quran) dan manzurah (alam dan segala ciptaan Allah) yang membentuk ilmu naqli (Al-Quran dan Hadis) dan aqli (Sains, Matematik, Ekonomi dll).

Gabungan dua ilmu ini sebenarnya perlu dipunyai oleh khalifah yang diamanahkan Allah kepada manusia bagi mentadbir dunia ini. Sebarang pemisahan dan pengasingan kedua bentuk ilmu ini, akan membuka ruang dan memberi masalah besar kepada moral masyarakat Islam kita hari ini. Kemungkaran berleluasa, kerosakan akhlak, kebebasan tanpa had, kepunahan sistem hidup telah dikatakan hebat dan moden...! Sebaliknya, percubaan mengamal cara hidup Islam yang syumul, dikatakan kolot, jumud dan ketinggalan.

Inilah akibat daripada pengambilan hanya ilmu aqli tanpa mengakui keperluan ilmu naqli. Kesempurnaan ilmu naqli dan aqli merupakan jaminan ke arah kesejahteraan hidup manusia di dunia yang tersimpan dalam pengertian kalimah iqra' itu sendiri. Iqra' yang bererti"menghimpunkan" terkandung istilah menyampaikan, menelaah, membaca, meneliti dan mengetahui ciri-ciri sesuatu yang mencakupi persoalan alam, diri masyarakat dan lain-lain.

"Bacalah..., dengan menyebut nama Tuhanmu yang Menciptakan...!", memberi erti kesempurnaan membaca ialah dengan menyertakan nama-Nya, dorongan membaca dimulai dan digarapi dengan penghayatan ketauhidan terhadap Allah S.W.T. Jelaslah, kesempurnaan ilmu itu berlaku apabila perjalanan pengetahuan diserapi bersama pengakuan terhadap keEsaan dan Kebesaran Pencipta kita.

Kata Imam As-Syafie, "Jika kamu inginkan dunia, hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Dan jika kamu inginkan kedua-duanya juga dengan ilmu...!"

Nota Cinta


Allah....

Ingin sekali aku menulis nota cinta untukMu,
Nota cinta yang sudah lama tidak kutuliskan untuk Mu,
Bersama embun titisan air mata cinta pada Mu.

Allah...

Ingin sekali aku mengarang nota cinta buat Mu,
Nota cinta yang sudah lama tidak kukarang buat Mu,
Bersama bunga perasaan rindu yang menggebu-gebu.

Allah...

Ingin sekali aku mengirim nota cinta padaMu,
Nota cinta yang sudah lama tidak dikirim padaMu,
Bersama wangian kesetiaan yang yakin dan padu.

Allah...

JIka ku tulis, ku karang lalu kirim padaMu,
Masihkah Kau sudi membacanya seperti dulu?
Suatu nota dari seorang aku,
Yang hina lagi jahil malah kaku,
Dalam menanggapi erti cinta sejati dariMu.

Allah...

Jika ku tulis, ku karang lalu kirim padaMu,
Sudikah Kau membalasnya buat diriku?
Sebuah nota pada seorang aku,
Yang curang tak bererti lagi buntu,
Dalam menanggapi erti kehambaan padaMu.

Allah...

Ingin sekali aku memberikan nota cinta untukMu,
Tapi aku malah jadi tidak tahu,
Mahu bermula dari mana,
Mahu mengakhirkan bagaimana.

Allah...

Apakah masih pantas untuk mulutku yang hina ini,
Menyebut namaMu Yang Agung itu,

Dari...
Al-Faqiirah Wa al-Haqiirah Ilayka...

-Artikel iluvislam.com

Kalkulator Cinta


Dalam duduk bersendiri melayan mata yang belum mengantuk malam tadi, hati saya berbisik sendiri.

Berulangkali.

Membaca beberapa komen teman-teman lewat status saya di fb, semakin menambah kekuatan saya berimaginasi.

Angan-angan saya, alangkah baiknya, jika ada satu alat yang berfungsi seperti sebuah mesin kira-kira, yang boleh digunakan untuk aktiviti tambah, tolak, darab dan bahagi. Cuma kelainannya ialah subjek yang dihitung bukanlah satu benda, tetapi adalah sebuah cinta.

'Kalkulator cinta'.

Saya cuba membayang-bayangkan aplikasinya.

Andai seorang suami melafazkan puji-pujian kepada isteri tersayang, disertai ucapan, 'I love you my dear', maka aktiviti tambah akan berlaku kepada kalkulator cinta mereka. Ini kerana, ucapan cinta menambah bahagia, membuatkan seorang isteri rasa dikasihi dan dihargai.

'Suami, ucapan cinta, romantik + CINTA = isteri gembira = rasa bahagia.'

Saya berangan-angan lagi.

Andai seorang suami menegur gaya berpakaian isteri sebelum keluar membeli di pasar tani dengan kata-kata : 'Cantiknya awak hari ni! Macam nak pergi mengurat mamat benggali!'.

Maka aktiviti tolak akan berlaku kepada kalkulator cinta mereka. Ini kerana, kata-kata yang kasar amat dibenci oleh seorang isteri, walaupun teguran yang diberi adalah benar demi kasih dan cinta suami kepada isteri.

'Suami, sindir, perli – CINTA = isteri terasa hati = masam mencuka wajahnya sehari.'

HATI SEORANG ISTERI

Saya sebenarnya tidaklah terlalu serius memikirkan keperluan wujud atau tidak alat sedemikian. Sekadar berfikir separa santai dalam menanggapi sekian banyak kemelut rumahtangga yang berlaku hari ini.

Salah satu darinya diutarakan melalui ruangan komentar pada artikel saya seblum ini : Renungan buat suami dan isteri. Beliau yang menamakan diri sebagai Lynn meluahkan isi hati :

"Saya suka membaca perkongsian ini. Saya sedang menghadapi kemelut rumahtangga. Sudah sekian lama berkahwin (hampir 5 tahun), suami tidak pernah memujuk, berbual, berkomunikasi (hanya bila mahukan hubungan intim) malah tidak pernah memberitahu apa yang disukai atau apa yang tidak disukai."

Saya bagai hidup dengan 'stranger' setiap hari saya menangis mengenangkan hal ini. Saya tidak mahu 'selfish', anak saya sudah 3 orang walau saya masih muda (belum menjangkau 30 tahun). Saya sayangkan rumahtangga ini dan anak-anak, cuma sedih kerana rasa langsung tidak dihargai kecuali bila suami mahukan hubungan intim. Saya bukan wanita berkerja, saya korbankan karier untuk mencurahkan sepenuh perhatian kepada suami dan anak-anak. Dunia saya hanya suami dan anak-anak. Bila jadi begini, saya rasa amat tertekan dan rasa 'useless'. Apa yg patut saya buat/fikirkan?

Banyak kali saya berbincang dengan suami namun jawapan yang diberikan hanya 1 :

"Maaf abang tak tahu nak cakap apa."

Saya sangat kecewa. Saya tak pernah berhenti berdoa dengan harapan suami akan menyayangi saya.

Saya pernah suarakan, jika suami mempunyai kekasih hati/pilihan lain saya izinkan dia berkahwin. Mungkin suami akan berubah kepada yang lebih baik dengan cara ini tapi tiada jawapan dari suami dan hubungan kami berterusan hambar beku seperti ini.

Harap ustazah sudi memberikan pandangan.

WANITA DAN KATA-KATA CINTA

Saya bersimpati dengan kemelut perasaan yang sedang dihadapi oleh Puan Lynn. Sebagai seorang wanita, saya maklum, belaian jiwa dari seorang suami yang dijelmakan melalui kata-kata seperti ucapan sayang, bicara yang lembut, mahupun sekadar lafaz terima kasih, banyak memberi kesan dan ransangan yang positif terhadap keutuhan rumahtangga yang dibina.

Isteri mana yang tidak bahagia dengan kata-kata yang menggambarkan penghargaan dari suami tercinta. Sesaat lafaz sayang diperdengarkan, sudah cukup meredakan keletihan isteri berbakti untuk anak-anak dan suami. Sepatah ucapan terima kasih diberikan, sudah cukup menjadi penawar yang meredakan resah isteri berdepan rutin yang sama di kebanyakan hari.

Hanya semudah itu, seorang suami dapat mengungguli emosi isteri yang dikasihi. Ia tidak banyak memakan masa, menagih kudrat dan tenaga dan tidak juga menelan belanja yang tidak terjangka nilainya.

Cukup hanya sekadar kata-kata mesra.

Namun begitu, sebagaimana kata-kata yang saya titipkan di laman fb, sebagai peringatan kepada teman-teman, juga untuk tatapan dan renungan diri sendiri, saya menukilkan :

"ALLAH SWT tidak memberikan semua yang kita inginkan, tetapi DIA memberi apa yang kita perlukan."

Saya akur, bukan semua wanita, bertuah dapat menikahi jejaka yang 'cukup' serba serbi. Seorang yang soleh dan bertaqwa, pandai pula berlawak jenaka, mahir memikat dengan aksi dan gaya yang menambat sukma, juga bertanggungjawab terhadap anak dan isteri di bawah seliaannya.

Tidak semua lelaki memiliki pakej lengkap sebegini!

Kerana itu, saya melontarkan satu persoalan :

"...antara suami yang romantik dan bertanggungjawab, yang manakah menjadi dambaan?"

IF MAN COULD TALK

Demikian satu judul buku yang dikarang oleh Dr Alon Gratch, seorang pakar psikologi klinikal dan juga seorang pensyarah di dalam bidangnya. Beliau banyak menulis untuk pelbagai penerbitan termasuk New York Times dan Wall Street Journal.

Manurut Dr Gratch, lelaki bukan tidak boleh berbicara, hanya saja mereka lebih mudah berkata-kata dengan bahasa yang berbeza. Tidak sebagaimana kaum perempuan, yang umumnya terbuka dengan perasaan mereka, kebanyakan lelaki merasa sangat sulit untuk 'membuka' diri untuk orang lain. Oleh sebab itu, pada dasarnya, kaum lelaki sering terlihat jauh dan terasing serta sukar difahami, atau dalam banyak keadaan, agak keras dan menjengkelkan.

Oleh kerana itu juga, lelaki lebih mudah mewakilkan luahan kasihnya melalui sejambak bunga, atau paling tidak mereka akan memilih sekeping kad yang telah dipenuhi dengan berbaris ayat dan madah pujangga supaya ruang untuk mereka menulis menjadi lebih terhad dan tidak terlalu luas.

Justeru, saya berpandangan bahawa seorang isteri yang sentiasa menginginkan kebahagiaan dan ketenangan di dalam rumahtangganya pasti akan berusaha mengerti, meneliti secara jujur dan yakin diri bahawa tanda-tanda cinta seorang suami terhadap isteri ada pelbagai sudut dan segi.

Kasih sayang seorang suami bukan hanya boleh dinilai dengan kata-kata cinta dan ucapan mesra semata-mata (verbal), akan tetapi lebih penting dari itu ia harus dibuktikan melalui perbuatan dan tingkahlaku (non-verbal).

Kasih sayang, sama ada ia boleh diimplimentasikan dengan kalimah indah dan menyejuk jiwa, ia juga boleh dijelmakan dari perilaku yang baik, pandangan yang mendamaikan, juga sentuhan dan belas ihsan. Dan yang paling utama, peranan dan tugasnya sebagai ketua keluarga telah dilaksana sebaik-baiknya.

Walau tanpa bicara, ia cuba untuk menterjemahkan perasaan dalamannya yang dipenuhi rasa cinta dan kasih mesra terhadap isteri dan cahaya matanya dengan cara yang diyakininya. Sungguhpun cara ini mungkin kelihatan agak sederhana pada penilaian ramai wanita, tetapi ia tetap bernilai secara makna, lebih-lebih lagi kepada sebuah institusi keluarga.

Justeru itu, pandanglah keadaan 'tanpa suaranya' ini sebagai satu kelebihan, kerana seorang suami yang memiliki upaya sebegini adalah seorang suami yang punya keistimewaan tersendiri. Dia sebenarnya seorang yang penyayang tetapi kasihnya ditunjukkan dalam diam. Tanpa bicara, tidak melalui kata-kata.

BAHASA TUBUH RASUL JUNJUNGAN

Rasulullah SAW sendiri sebagai contoh tauladan terbaik seorang suami yang menyintai dan menghargai isteri, banyak menunjukkan kasih sayangnya dalam bentuk non-verbal ini. Situasi ini dapat dilihat dari sekian banyak hadis-hadis baginda, di antaranya :

* Bersegera menemui isteri jika tergoda. Dari Jabir, sesungguhnya Nabi SAW pernah melihat seorang wanita, lalu baginda masuk ke tempat Zainab, lantas baginda menumpahkan keinginan baginda kepadanya. Setelah itu, baginda keluar dan bersabda : "Bila seseorang di antara kamu melihat seorang wanita yang menarik, hendaklah ia mendatangi isterinya, kerana pada diri isterinya itu ada hal yang sama dengan yang ada pada wanita tersebut." (Hadis riwayat Tirmidzi)

* Bergiliran minum pada tempat yang sama. Dari 'Aisyah r.a, dia berkata : "Aku biasa minum dari cawan yang sama ketika haid, lalu Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat aku meletakkan mulutku, lalu baginda minum, kemudian aku mengambil cawan, lalu aku menghirup isinya, kemudian baginda mengambilnya dariku, lalu baginda meletakkan mulutnya pada tempat aku meletakkan mulutku, lalu baginda pun menghirupnya." ( Hadis riwayat 'Abdurrazaq dan Sa'id bin Manshur)

Hadis-hadis di atas menggambarkan betapa indah kemesraan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada isteri baginda, sekaligus menyatakan bahawa Islam sangat mementingkan komunikasi non-verbalini, kerana sememangnya bahasa tubuh, dalam banyak situasi dan kondisi, lebih efektif menyatakan cinta dan kasih sayang antara suami isteri.

PRO-AKTIF

Saya bersetuju, andai menginginkan suami romantik, tidak salah jika isteri yang memulakan langkah pertama. Bersikap pro-aktif dalam persoalan rumahtangga dan kebahagiaan ikatan perkahwinan tidak akan merugikan pihak isteri. Sebaliknya, bak kata pepatah Inggeris :

'What you give, you get back'.

Dengan senyuman yang manja, sentuhan yang lembut diiringi tutur kata yang sopan bersahaja, pasti dapat menjadi pemangkin buat seorang suami yang pendiam untuk berbicara sepatah dua.

Walau masa yang diambil, mungkin bertahun lamanya, namun usaha yang ikhlas kerana ALLAH, demi kelansungan ikatan perkahwinan dan keharmonian rumahtangga, pasti akan beroleh bantuan dari Yang Maha Esa. Memang tidak mudah, tetapi dengan kesabaran dan mujahadah beserta penyerahan yang tuntas kepada ALLAH, segalanya impian akan menjadi nyata, InsyaALLAH.

Ini sifir yang saya yakini ketepatannya.

Selebihnya, mungkin perkongsian pengalaman dari dua wanita ini, dapat membuka mata dan hati wanita lain yang membaca.

Itu harapan saya.

KALKULATOR CINTA

Akhirnya, buat Puan Lynn dan para isteri di luar sana, saya suka berkongsi beberapa ayat yang sangat memberi kesan kepada diri ini untuk terus memuhasabah sikap, tindakan dan perlakuan saya sehari-hari, terutama dalam menunaikan hak suami dan pelaksanaan tanggungjawab sebagai isteri.

Firman ALLAH SWT :

وَنَضَعُ الْمَوَازِينَ الْقِسْطَ لِيَوْمِ الْقِيَامَةِ فَلَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا وَإِن كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِّنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا وَكَفَى بِنَا حَاسِبِينَ

Maksudnya : "Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahala) nya. Dan cukuplah Kami sebagai Pembuat perhitungan." ( Surah al Anbiya' ayat 47 )

Dan firman-Nya lagi :

كُلَّ إِنسَانٍ أَلْزَمْنَاهُ طَآئِرَهُ فِي عُنُقِهِ وَنُخْرِجُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كِتَابًا يَلْقَاهُ مَنشُورًا

Maksudnya : "Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya. Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka." (Surah al-Israa ayat 13)

اقْرَأْ كَتَابَكَ كَفَى بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا

Maksudnya : "Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu." (Surah al-Israa ayat 14)

Saya mengakhiri coretan di ruang fb dengan komen balas berisi sedikit renungan buat diri sendiri dan teman-teman :

"Dalam mempersoalkan tentang hak, adalah lebih baik kita (isteri) bertanyakan diri tentang tanggungjawab yang kita telah, sedang dan akan berikan buat yang berhak (suami).

Fokus kepada apa yang kita perlu buat sebagai seorang isteri dari menumpukan kepada apa yang kita patut dapat dari seorang suami.

Bimbangnya diri ini, andai di akhirat nanti, kita menjadi musuh kepada diri sendiri atas kecuaian dan kelalaian sebagai isteri ketika hayat di dunia ini."

Realitinya, kalkulator cinta suami isteri di dalam Islam tidak berkisar sekadar luahan cinta dan kata-kata yang indah membelai jiwa semata. Ia tidak terhenti hanya pada kiraan secara lahiriah dan fizikal sahaja, tetapi ukuran cinta yang hakiki adalah berlandaskan taqwa, ikhlas dan menuruti sunnah Nabi yang diperakui Ilahi. Keredhaan ALLAH, matlamat utama cinta mereka. Walau sekecil apa pun usaha yang dilakukan demi menjamin ikatan yang ada tidak terlerai dan bubar, ia pasti diberikan ganjaran setimpal oleh Yang Maha Esa.

Sedikit doa :

"Ya Allah, Engkau mengetahui bahwa hati-hati ini telah berhimpun dalam cinta pada-Mu, telah berjumpa pada menunaikan ketaatan pada-Mu, telah bersatu dalamberdakwah untuk kembali pada-Mu, telah berpadu dalam membela syariat-Mu.

Kukuhkanlah ya Allah ikatannya. Kekalkanlah cintanya. Tunjukilah jalan-jalannya. Penuhilah hati-hati ini dengan nur-Mu yang tidak pernah pudar. Lapangkanlah dada-dada kami dengan limpahan keimanan kepada-Mu dan keindahan bertawakal di jalan-Mu."

Ameen ya rabbal alamin.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

- Artikel iluvislam.com

Lagi Sayang... Lagi Diuji


"Abang, betul ke kalau Allah sayang kita, Dia akan uji kita dengan banyak ujian?" satu soalan singgah ke peti masuk mesej telefon saya.

"Macam mana kalau tak betul?"

Kepada adikku, inilah jawapan abangmu.

Adikku,

Apabila kamu persoalkan kasih sayang manusia kepada kamu, maka abang sangat berlapang dada bahawa manusia ini memang terlalu nipis lapis kasih dan sangat kecil pula kotak sayang yang mereka miliki. Banyak terjadi bayi kecil dibuang ke serata pelusuk yang tidak layak, para pemimpin pula sibuk mengeringkan tabungan rakyat laksana buaya lapar yang dahagakan mangsa.

Tetapi yang kamu persoalkan ini adalah kasih sayang Tuhan-Mu. Dia yang dengan jelas menyebut diri-Nya sebagai Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, di setiap surah di dalam Al-Qur'an. Adakah sejak abang ke sini lantas kamu juga meringankan tilawah yang wajib ini?

Jika benar, maka mari abang mengajakmu supaya kita sama-sama menyelak kembali lembaran suci yang setiap ayatnya membersihkan jiwa ini. Perhatikan, bahawa Allah telah memberi peringatan kepada kita dengan firman-Nya:

"Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa. Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman." (Surah Ar-Rum: 36-37)

Ujian Kesempitan Adalah Hasil Kecuaianmu

Adikku,

Apakah rasamu mendengarkan ayat Alllah di atas? Tidakkah kamu melihat kesenangan dan kemudahan hidup sebagai ujian Allah, sama seperti kesempitan hidup yang kamu dakwakan sedang Allah timpakan kepada kamu sekarang?

Fikirkan juga wahai adikku, semua kesusahan yang kamu deritakan ini hanyalah berpunca dari kelalaianmu sendiri. Kamu gagal mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaanmu, bukankah itu natijah dari kemalasan dan kekurangan strategimu dalam mengulangkaji pelajaran? Atau kamu masih angkuh menafikannya?

Kemudian, kamu sibuk mengatakan ummi asyik marahkan kamu, kawan-kawan pula gemar menaikkan darahmu, kenanglah semula wahai adikku. Sejauh mana kamu berakhlak dengan mereka? Apakah kamu benar-benar berlaku adil dengan mereka? Bahkan sekalipun kamu sudah berakhlak sebaiknya dengan mereka, sepatutnya kamu ingat kepada baginda Nabi sebagai manusia yang luar biasa akhlaknya tetap juga dilukai manusia.

Namun, jika ujianmu benar terlalu berat, tiada apa yang dapat abang nasihatkanmu melainkan mengajakmu supaya sentiasa bersabar. Bersabar, bersabar, dan teruslah bersabar kerana untuk orang-orang yang bersabar, ganjarannya adalah seinfiniti pahala. Itu janji Tuhan. Bersabarlah kerana deritamu ini sangat sedikit berbanding kehidupan akhirat nanti. Adakah dapat kamu bayangkan kesusahan dunia sekitar empat, lima tahun, puluhan tahun sekalipun jika dibandingkan dengan kebahagiaan akhirat yang tahunnya tidak akan habis?

Hidup ini bukanlah selama-lamanya, bahkan bukan lama pun. Apabila kamu sudah merasai kehidupan, maka bersedialah pula untuk mati. Ingatlah kepada kematian, fikirkanlah tentang akhirat, kamu akan insaf nanti.

Ujian Ini Nikmat Keimanan

Adikku, tidakkah kamu mengaku bahawa kamu ini orang beriman. Sedangkan jika benar, pastinya kamu pernah mendengar firman Allah ini,

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." (Surah Al-Ankabut: 3-4)

Sekarang, persoalkan dirimu sendiri, mana bukti keimananmu? Adakah layak kamu mengaku beriman kepada Allah, kepada rasul-Nya, sedangkan kamu tidak yakin bahawa ujian ini daripada-Nya untuk menguji keimananmu?

Para sahabat nabi, mereka membenarkan iman mereka dengan menyediakan leher-leher mereka di medan perang untuk mengembangkan Islam. Bahkan seluruh para tabiin, hidup mereka tiada keseronokan melainkan dalam keasyikan bersama ujian dan tarbiyah daripada Allah. Maka jika ini menjadi bukti keimanan mereka, mengapa kita tidak sanggup membuktikan keimanan dengan menghadapi ujian hidup ini bersama kesabaran terhebat yang mampu kita persembahkan?

Alangkah Baiknya Bahawa Yang Mengatur Adalah Allah

Adik, hidup kita semalam, pagi tadi, dan sekarang Allah yang atur. Malah kalau kita mati sekejap lagi, itu pun Allah yang atur. Bukankah sangat baiknya hidup kita ini yang mengaturnya adalah Allah?

Atau fikirmu bahawa kamu sendiri dapat mengaturkan hidupmu dengan cara yang kamu sendiri mahu? Urusan kebahagianmu kamu uruskan sepenuhnya, tanpa cahaya petunjuk daripada Allah. Begitukah yang kamu mahu?

Jika kamu menjawab tidak, maka kembalikanlah keyakinanmu. Tuhan tidak mengujimu dengan sia-sia. Bahkan dia merancang untuk kamu kebaikan yang tidak dapat kamu bayangkan.

Pernah suatu hari Saiyidina Umar datang menghadap nabi dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu apabila dia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan, dia terus mengambil bayi itu lalu mendakapkannya ke perut untuk disusui.

Lalu Rasulullah saw. bersabda: Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? Para sahabat menjawab: Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya. Rasulullah saw. bersabda: Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya.

Adik, ummi sayangkan kamu pun tidak sampai 0.001 peratus daripada Tuhan sayangkan kamu!

- Artikel iluvislam.com