Alhamdulillah, malam ini saya berjaya memaksa diri saya untuk menulis sedikit untuk iluvislam walaupun pelbagai kerja lain perlu dibuat dalam usaha memajukan iluvislam. Saya yakin jika kita menulis dengan baik, ia mampu membantu manusia lain untuk berubah menjadi seorang hamba Allah yang lebih dekat dengan Islam dan Allah.
Hujung minggu lepas, semasa saya memberikan ceramah motivasi selama 2 hari kepada mahasiswa-mahasiswi Institut Kemahiran Islam Sarawak (IKMAS), Vice President (VP) Event & Training iluvislam.com Wan Mohd Firdaus Wan Yusof memperkenalkan saya dengan sebuah lagu yang menarik. Apabila saya dengar kembali lagu tersebut malam ini, ia sangat menusuk kalbu saya.
Memimpin dan menguruskan hampir 10 orang staf sepenuh masa dan lebih 300 sukarelawan seluruh dunia pastinya penuh dengan cabaran. Namun saya melihat ia sebagai peluang untuk terus memajukan diri dan organisasi.
Alhamdulillah,syukur sebab tak semua orang dapat peluang ini.
Kerja kuat sebagai pemimpin dan pengurus pastinya memerlukan kekuatan dalaman yang sangat tinggi. Saya percaya kekuatan itu hanya dapat diperoleh apabila saya rapat dengan Allah. Jika saya jauh dengan Allah, sukar bagi saya untuk mendapatkan momentum yang besar.
Sebagai seorang peminat muzik terutamanya nasyid, lagu Rabithah nyanyian Izzatul Islam yang diperkenalkan oleh Wan ini sungguh 'inspiring'. Lagu ini mendidik diri saya bahawa saya hanyalah seorang hamba Allah yang lemah dan sentiasa perlukan bimbingan dan pertolongan Allah.
Ia juga mengingatkan saya bahawa iluvislam bukan sahaja sebuah laman web, usaha dakwah, peluang perniagaan dan menguruskan event - tetapi ia lebih daripada itu. Ia adalah sebuah perjuangan. Ya, sebuah perjuangan menyatupadukan umat Islam dan mengajak ummah untuk lebih mengenali Islam, sayang Islam, kenal Allah, dekat dengan Allah dan cintai Allah. Saya dan krew iluvislam bersatu dan berjuang untuk itu.
Jauh dalam lubuk hati saya, jika Allah takdirkan saya mati dalam usaha memajukan iluvislam, saya harap sangat Allah kira mati saya sebagai mati syahid di jalan-Nya.
Saya dan krew-krew iluvislam perlu usaha keras lagi kerana syurga impian kita bukanlah untuk orang-orang biasa. Tempat yang indah, luar biasa hebat dan mewah di dunia sana pastinya hanya layak untuk mereka yang cemerlang membuat persiapan dan menyediakan modal untuk akhirat. Marilah kita sama-sama berusaha!
Semoga perjuangan ini dapat diteruskan oleh anak-anak saya dan anak-anak kalian semua. Yakinlah Islam akan kembali gemilang - dengan izin Allah. Persoalannya, apakah sumbangan kita ke arah itu? Mulakanlah langkah jika hanya masih melihat dari jauh.
Semoga lagu ini mampu menaikkan semangat jihad semua, insyaAllah.
Sesungguhnya Engkau tahu
bahwa hati ini telah berpadu
berhimpun dalam naungan cintaMu
bertemu dalam ketaatan
bersatu dalam perjuangan
menegakkan syariat dalam kehidupan
Kuatkanlah ikatannya
kekalkanlah cintanya
tunjukilah jalan-jalannya
terangilah dengan cahayamu
yang tiada pernah padam
Ya Rabbi bimbinglah kami
Lapangkanlah dada kami
dengan karunia iman
dan indahnya tawakal padaMu
hidupkan dengan ma'rifatMu
matikan dalam syahid di jalan Mu
Engkaulah pelindung dan pembela
With luv,
Im Koyube, Presiden iluvislam.com
Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Sunday, January 30, 2011
Didik Anak Jadi Pejuang

"Israel tu jahat ke, mama?" tanya Zaki kepada ibunya.
"Ya, Zaki. Israel memang jahat. Dia halau orang Islam Palestin. Lepas tu dia bunuh orang Islam yang lawan." Jawab ibunya dengan tenang.
"Ooh", jawab Zaki. "Zaki perasan tak tengok iklan McD kat TV", tanya si ibu.
"Ya Mama, Zaki ada tengok", kata Zaki.
"Tahu tak, kalau kita makan dekat McD bermakna kita tolong beli peluru kepada Israel untuk tembak orang Islam" terang Mama.
"Kenapa pula, Mama" Tanya Zaki dengan wajah hairan.
"Macam ni. Duit yang kita bayar tu sebahagiannya diberikan kepada Israel. Lepas tu Israel gunalah untuk beli senjata bunuh orang Islam", jawab si ibu dengan bersemangat.
"Ooh, baru Zaki faham" kata Zaki sambil mengangguk kepala.
Demikianlah perbualan seorang ibu dengan anaknya. Pernahkan anda bercerita demikian dengan anak-anak? Pernahkah anda jelaskan kepada anak-anak tentang masalah ummah? Masalah-masalah seperti penindasan dan penderitaan umat Islam. Anak-anak sememangnya amat perlukan pendedahan awal tentang masalah ummah. Agar mereka menjadi cakna ummah sejak dari kecil.
Hero Khayalan
Mungkin anda berfikir bahawa anak-anak anda masih kecil untuk didedahkan dengan perkara-perkara yang besar ini. Anda juga mungkin berfikir negatif dengan menganggap soal ini adalah terlalu berat untuk dilonggokkan dalam minda anak-anak. Tanggapan ini jelas silap. Anak-anak sejak dari kecil sudah boleh didedahkan dengan soal-soal masalah ummah. Jika anda tidak mulakan dari sekarang untuk mengisi mindanya dengan soal yang penting ini, kelak mindanya akan dipenuhi dengan perkara-perkara lain yang tidak berfaedah.
Hari ini anak-anak cukup mudah diulit dengan hero-hero khayalan, serta 'perjuangan' palsu yang dipropaganda oleh televisyen dan permainan komputer. Minda dan ilusi bercampur baur antara kenyataan dan kepalsuan. Potensi akal mereka yang segar lagi bersih itu dibebankan dengan watak-watak hero palsu seperti Ultraman, Superman, Batman; serta watak-watak ilusi seperti Spongebob, Miki, Doraemon, Shrek dan pelbagai lagi. Akhirnya perilaku watak-watak ini yang diolah melalui kaca televisyen mempengaruhi minda, sikap dan tindakan anak-anak kita. Anak-anak menjadi 'pejuang' di medan khayalan dengan misi mustahilnya untuk mencapai imiginasi pencipta watak-watak palsu itu. Alangkah indahnya jika potensi perjuangan anak-anak itu dihalakan kepada realiti dan tuntutan perjuangan sebenar untuk memartabatkan agama dan maruah ummah.
Biar Berhikmah
Oleh sebab itulah, anda perlu yakin bahawa anak-anak sebenarnya sudah bersedia untuk menghayati konsep-konsep perjuangan, jihad, dakwah dan pengorbanan sejak dari kecil lagi. Cuma soalnya ialah bagaimana kaedah penerapan dan pendedahan itu dibuat.
Sebelum anda melangkah lebih jauh, perlu anda memahami realiti kemampuan anak-anak memahami konsep perjuangan:
• Anak-anak gemar proses penghayatan berasaskan personaliti yang boleh menjadi ikon dalam kehidupan. Konsep hero dan heroin amat penting bagi anak-anak. Hero perlu punya segala macam kehebatan yang membanggakan, dan akhirnya berjaya menumpaskan kebatilan. Oleh itu pendekatan ketokohan ini perlu diserap melalui menghayatan tokoh-tokoh pejuang Islam seperti para Nabi dan Rasul serta para sahabat dan ulama. Mereka perlu dipaparkan sebagai hero yang ulung dan disanjung.
* Anak-anak lebih cepat menguasai sesuatu penerangan yang bersifat hidup iaitu yang ada gambar, pergerakan dan suara berbanding dari penerangan bertulis atau lisan semata-mata. Maka bahan-bahan berguna berbentuk multi-media seperti tayangan, animasi dan seumpamanya amat sesuai untuk menjadi bahan tatapan anak-anak untuk memahami perjuangan. Contohnya, filem animasi perjuangan Nabi Muhammad dapat menjadi bahan pelajaran buat anak-anak menghayati perjuangan Baginda.
* Anak-anak akan lebih menghayati erti perjuangan jika ia dikaitkan dengan apa yang dilalui seharian. Ertinya ibubapa perlu sentiasa mengambil peluang mengaitkan soal perjuangan, dakwah dan masalah ummah ketika makan, bermusafir, ke sekolah, beriadhah, menonton televisyen dan lain-lain. Di sini memerlukan keprihatinan dan kreativiti ibu bapa.
* Anak-anak kebiasannya menilai dunia ini mempunyai dua realiti yang bertentangan: putih dan hitam, baik dan jahat, kebenaran dan kebatilan. Ibubapa perlu berhati-hati agar anak-anak tidak terkeliru. Kadang-kadang sesuatu perkara terpaksa dihuraikan dengan lebih mendalam bagi membantu mereka melihat dari perspektif yang lebih adil. Dari saat ini jugalah nak-anak sudah boleh mengenali musuhnya yang mengancam Islam dan umat Islam.
* Anak-anak sukakan kisah-kisah teladan dan cerita. Berceritalah dengan anak-anak tentang tokoh-tokoh pejuang Islam, para pendakwah dan syuhada' sepanjang sejarah panjang perjuangan Islam.
* Anak-anak mempunyai kemampuan akal yang cerdas dan mampu menanggapi persoalan yang sulit, jika disampaikan dengan cara mudah. Maka ibu bapa perlulah bersedia untuk mendedahkan anak-anak dengan perjuangan melalui penyampaian berkesan dan berterusan.
Anak-anak yang cakna dengan masalah ummah dan menghayati perjuangan Islam akan lebih matang, bijak, punya matlamat hidup yang jelas dan berketrampilan di kalangan rakan sebaya. Mereka tidak akan mudah terjebak dengan dunia khayalan dan hiburan tanpa batas. Mereka juga mudah untuk didorong untuk belajar kerana mereka sudah mempunyai gambaran asas tentang matlamat hidup di atas muka bumi Allah ini. Selain itu, sifat-sifat keprihatinan dan cakna ummah ini menjadikan mereka mudah untuk menghulurkan bantuan kepada orang lain dengan penuh keinsafan dan kesedaran.
Penonton Bisu
Rasulullah SAW sendiri membuktikan bahawa Baginda telah membentuk cakna ummah di kalangan anak-anak muda yang mendokong perjuangan Baginda. Sayyidina Ali KWJ contohnya, telah diajak oleh Rasulullah untuk menggalas beban dakwah dan perjuangan sejak beliau masih diawal remaja lai. Demikianlah sahabat-sahabat kanak-kanak seperti Rafi' bin Khudayj dan Samurah bin Jundub yang berjaya menyertai misi perjuangan Uhud setelah berusaha sedaya upaya memujuk Rasulullah SAW. Bahkan ramai kanak-kanak lain yang turut bersemangat untuk mengikutinya tetapi diminta pulang oleh Rasulullah kerana masih terlalu muda. Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa kesedran jihad dan perjuangan ini telah ditanam oleh Rasulullah SAW ke dalam hati anak-anak muda sejak mereka kanak-kanak lagi.
Hari ini, dengan keadaan umat Islam ditindas di Palestin, Chechnya, Eropah dan di bumi lain, kesedaran perjuangan amat mustahak. Penghinaan kepada Allah, Rasulullah dan agama Islam perlu kepada kesedaran dan pengorbanan generasi umat Islam. Jika kita lalai untuk meniupkan kesedaran cakna ummah ini, tidak mustahil anak-anak kita nanti hanya menjadi penonton bisu dan pekak kepada serius macam polemik yang menimpa ummah.
Tegasnya, anak-anak hari ini menentukan masa depan Islam dari esok. Membina cakna ummah perlu bermula saat mereka masih muda, agar minda mereka yang segar itu dihiasi dengan kesedaran beragama dan disirami dengan semangat perjuangan Islam. Membina cakna ummah akan lebih mudah dan lancar jika ibu bapa sendiri terlibat dalam perjuangan Islam. Anak-anak akan cepat belajar kerana ibu bapa mereka menjadi contoh di depan mereka. Maka, alangkah ruginya jika ibu bapa sibuk dengan urusan kehidupan duniawi tanpa melibatkan diri dalam perjuangan mengangkat agama Allah SWT.
Selamat membina cakna ummah dalam diri anak-anak, moga anak anda menjadi pejuang ulung esok nanti!
- Artikel iluvislam.com
Penempatan 1,950 Graduan Ijazah Perguruan IPGM Diketahui 1 Feb

Seramai 1,950 graduan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan daripada Institut Pendidikan Perguruan Malaysia boleh melapor diri di sekolah-sekolah yang ditetapkan pada 7 Feb ini selepas urusan penempatan tempat mereka mengajar diselesaikan sebelum akhir bulan ini.
Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menyelesaikan urusan pengiktirafan mereka semalam dan Jabatan Pelajaran Malaysia (JPM) sedang dalam proses menguruskan penempatan mereka. "Semalam Bahagian Pengurusan Sekolah Kementerian Pelajaran telah terima surat daripada MQA memaklumkan pengiktirafan itu dan mereka telah terus memaklumkan kepada JPM bagi menguruskan di mana graduan PISMP akan dihantar mengajar.Graduan boleh menyemak portal JPM mulai 1 Feb untuk mengetahui di mana mereka akan ditempatkan," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini.
Wee berkata 1,950 graduan terbabit merupakan kumpulan perintis lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan(PISMP) di IPGM yang mengambil masa selama lima setengah tahun, termasuk satu setengah tahun kursus pra-universiti. Mereka menamatkan pengajian akhir mereka di IPGM, yang dahulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan akhir tahun lalu.
Beliau berkata masalah tidak timbul melibatkan graduan lepasan PISMP daripada universiti tempatan memandangkan pengajian mereka tamat pada bulan Ogos atau September setiap tahun dan MQA mempunyai masa sehingga empat bulan untuk menguruskan pengiktirafan terbabit.
"Ini merupakan kes yang unik selepas kita meminda undang-undang sedia ada bagi membolehkan IPGM menawarkan PISMP enam tahun lalu dan mereka ini merupakan kumpulan pertama yang tamat pengajian akhir tahun lalu. Kita telah berusaha sedaya upaya untuk mempercepatkan urusan penempatan mereka," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap tidak ada pihak yang akan mempolitikkan isu terbabit. Dalam sidang media yang sama, Wee turut menafikan terdapat usaha oleh Kementerian Pelajaran untuk menyatukan kelas-kelas di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) apabila murid kurang daripada 35 bagi satu kelas.
"Saya telah mendapat laporan, kecuali sekolah-sekolah yang mendapat kebenaran JPM untuk pecah dua kelas. Apa yang berlaku adalah ada yang tak sampai 35, tetapi nak pecah juga dan pihak sekolah tidak mendapat kebenaran JPM terlebih dahulu. Ini menyebabkan mereka diarahkan dicantumkan semula," katanya.
Mengenai permintaan daripada pertubuhan-pertubuhan Cina di Labis dan Segamat untuk kerajaan membuka semula Sekolah Menengah Persendirian Cina Seg Hwa yang ditutup pada 1960, Wee berkata perkara itu sedang dikendalikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran. "Timbalan Perdana Menteri akan berbincang dengan presiden MCA untuk mencari jalan penyelesaian. Ia merupakan satu proses yang berterusan. Kita perlu membuat kajian teliti dan perlu melihat daripada pelbagai sudut. "Kita tidak mahu apabila sekolah ini dibuka, sekolah menengah persendirian lain diketepi disebabkan kekurangan pelajar," katanya.
- Labis, 27 January 2011
Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.
Thursday, January 27, 2011
"Akak.. Bagaimana Cinta Dan Kahwin Kerana Allah?"

"Kahwin kerana Allah, bukan kerana nafsu... macamana tu, kak? Realitinya ada keadaan macam ni?" Menarik juga persoalan yang masuk ke dalam mesej pesanan ringkas saya dan saya ingin berkongsi pendapat tentangnya dengan pembaca iluvislam. Isu ini cukup menarik dibincangkan terutama sempena bulan Februari tidak lama lagi, di mana seluruh dunia menyebut tentang Hari Kasih Sayang atau Valentine yang jatuhnya pada 14 Februari. Walau apapun, Februari atau tidak, menyambut Hari Kasih Sayang atau tidak... isu cinta, kasih sayang dan perkahwinan adalah isu sejagat yang tetap segar sepanjang zaman.
Persoalan cinta, kasih sayang dan perkahwinan tanpa 'dicemari' nafsu adalah konsep ideal, indah serta menjanjikan kebahagiaan sejati yang ingin sekali dinikmati serta diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kekeliruan melanda fikiran ketika kita mahu mempraktik atau merealisasikannya dalam kehidupan seharian. Akal sering tersilap menilai dan mata lahir pula sering tertipu. Garis pemisah antara niat 'kerana Allah' dan 'kerana nafsu' dalam proses membuat keputusan untuk bernikah, sama ada 'cinta sebelum nikah' atau 'cinta selepas nikah' begitu kabur kerana ia adalah 'soal hati' yang sukar dijangkau akal biasa dan mata lahir.
Rumahtangga, rumah dan bilik air
Istilah 'rumahtangga' menggambarkan rumah berserta keluarga yang menghuninya. Rumah sahaja adalah bangunan fizikal yang tidak banyak maknanya tanpa manusia yang menghuninya. Keluarga tanpa rumah tempat berlindung, walaupun rumah itu kecil atau dhaif, pasti tidak lengkap dan sempurna. Rumah adalah keperluan untuk perlindungan dari hujan dan panas, tempat istirehat fizikal, fikiran dan juga perasaan.
Dalam rumah terdapat beberapa... bilik tidur, dapur, serambi, ruang tetamu, bilik bacaan, bilik air dan beberapa bahagian tambahan yang lain. Sedar atau tidak, bilik air adalah keperluan yang sangat kritikal dalam sebuah rumah. Bilik air mungkin tidak 'popular' dan bukan pilihan utama untuk dijadikan tempat berlama-lamaan, namun kehidupan manusia menjadi resah dan tidak selesa tanpa 'mengunjunginya'. Kelegaan yang dirasa selepas qadha hajat di bilik air memberi kesan kepada semua aktiviti yang digemari dalam rumah tersebut.
Antara membina rumah dan membina bina bilik air
Saya suka mengambil sebuah rumah fizikal sebagai metafora untuk menggambarkan rumahtangga yang didirikan atas niat 'kerana Allah' atau 'kerana nafsu'. Ketika membina rumah, hasrat utama adalah untuk ada tempat berlindung dari hujan dan panas, supaya keluarga dapat hidup dengan selesa. Keseluruhan bahagian rumah tersebut umpama rumahtangga yang dibina. Tanpa bilik air pasti tidak lengkap. Namun tentu suatu yang tidak kena jika rumah dibina dengan hasrat utamanya untuk membuat bilik air semata-mata dan bahagian rumah yang lain sebagai sampingan. Metafora inilah yang cuba saya gunakan untuk membezakan niat antara kahwin 'kerana Allah' dengan 'kerana nafsu'.
Jika bilik air sebagai niat utama, ini ibarat kahwin 'kerana nafsu'. Jika demikian maka pembinaan 'rumah' itu adalah semata-mata untuk buang air. Sebaliknya, jika niat utama adalah membina sebuah rumah yang lengkap dengan semua bahagian termasuk bilik air, ini ibarat niat kahwin 'kerana Allah'. Dalam keadaan niat seperti ini, buang air adalah pelengkap kepada keseluruhan fungsi utama rumah sebagai tempat perlindungan. Niat ini lebih menyeluruh dan mengambil kira banyak faktor.
Tambahan lagi, manusia tidak membina rumah bermula dengan membina bilik air, tetapi dimulakan dengan asas atau foundation yang kukuh, lantai, dinding dan bahagian-bahagian utama. Begitu juga dengan pembinaan rumahtangga – ia mesti bermula dengan asas yang cukup kukuh supaya tidak mudah runtuh. Misi dan visi pembinaan rumahtangga seharusnya diambil kira sejak dalam proses memilih pasangan.
Misi dan Visi Perkahwinan
Ikatan perkahwinan merupakan ikatan antara dua manusia berbeza jantina, maka semestinya ia mesti berlandaskan misi dan visi penciptaan manusia itu sendiri iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah di mukabumi. Selaras dengan dua misi penciptaan manusia, maka misi dan visi perkahwinan adalah sebagai pembentukan keluarga sebagai 'team work' melaksanakan misi hamba dan khalifah dalam perjalanan menuju akhirat. Inilah asas yang paling kukuh dan niat yang paling murni 'kerana Allah'. Ini bermakna perkahwinan adalah suatu tanggungjawab.
Untuk memikul pertanggungjawan sebagai hamba dan khalifah, pastinya pelbagai halangan, rintangan dan beban yang terpaksa dipikul bersama. Oleh itu, sangat penting wujud rasa cinta dan kasih sayang sebagai pengikat antara suami, isteri, anak-anak dan seluruh keluarga. Cinta dan kasih sayang adalah anugerah dari Allah yang Ar Rahman dan Ar Rahim kepada hamba-hamba-Nya. Ikatan rasa cinta dan kasih sayang menyebabkan beban yang terpikul di bahu terasa ringan, kemarahan yang mungkin timbul antara pasangan dapat diredakan dengan kemaafan.
Ekpresi kasih sayang antara manusia terluah dalam banyak bentuk termasuklah hubungan seksual yang dihalalkan melalui akad ijab dan kabul. Persepsi 'nafsu' dalam kefahaman kebanyakan manusia dikaitkan dengan hubungan seksual serta isu-isu berkaitan dengannya. Dengan lafaz akad nikah, ekpresi kasih sayang dalam bentuk hubungan seksual dihalalkan, malah diiktiraf oleh Allah sebagai ibadah dan pahala kebajikan. Tanpa ijab kabul, hubungan seksual meyandang label jijik, kotor dan hina.
Kerana Allah – merujuk kepada peraturan-Nya
Niat 'kerana Allah' dalam percintaan dan perkahwinan direalisasikan dengan merujuk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t di setiap peringkat prosesnya. Keredhaan Allah sebagai asas ketika memilih pasangan untuk membentuk 'team work' rumahtangga, patuhi segala suruhan dan tinggalkan larangan termasuk dalam aspek pemenuhi tuntutan fitrah keperluan seksual.
Khalifah-khalifah dan hamba-hamba Allah yang lahir dari perkongsian hidup dalam perkahwinan tersebut adalah tanggungjawab pasangan tadi supaya generasi baru ini membesar menjadi manusia yang berfungsi menjadi pemakmur bumi, bukan perosak mukabumi.
Pencemaran dalam niat
Niat 'kerana nafsu' digambarkan oleh keadaan dimana perkahwinan adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan fitrah seksual. Sedar tak sedar, niat 'menghalalkan' hubungan seksual dalam ekspresi cinta dan kasih sayang secara lahiriah kelihatan begitu 'murni'. Ya, sememangnya ini tidak salah... namun jika semata-mata kerana itu, ia ibarat membina rumah bermula dengan membina bilik air sebagai asas utama. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya ada juga peraturan Allah yang diambil kira.
Rumahtangga begini tidak akan kukuh, cepat runtuh, mudah goyah dan akab berkubur begitu sahaja. Persoalan tanggungjawab dengan mudah akan diketepikan. Kebahagiaannya tidak berpanjangan. Rumahtangga akan selalu bermandikan pergaduhan dan konflik. Anak-anak yang lahir dalam suasana ini ini tidak berkembang menjadi khalifah dan hamba Allah yang berfungsi untuk memakmurkan bumi, malah mungkin menjadi generasi perosak muka bumi. Kesudahannya bukan syurga di akhirat malah kesengsaraannya bermula di dunia lagi. Na'uzubillah!.
Kerana Nafsu semata – membujur lalu melintang patah
Ekpresi cinta dan kasih sayang atas dorongan nafsu semata-mata tergambar dalam kehidupan seharian ketika peraturan Allah tidak diendahkan, batas hukum syarak diketepikan, sehingga andai berlaku pertembungan antara hukum Allah dengan keinginan nafsu, hukum Allah diketepikan dan tuntutan nafsu dipenuhi. Membujur lalu, melintang patah... inilah gambaran niat semata-mata 'kerana nafsu'. Anugerah cinta dan kasih sayang dari Ar Rahman dan Ar Rahim dikhianati dengan ekspresi dalam bentuk zina.
Sifat Maha Pengampun Allah dijadikan pertaruhan dalam permainan nafsu
"Allah fahamm... kan dia yang ciptakan kita. Lagipun Allah kan Maha Pengampun..." demikian kata-kata yang lahir dari dorongan nafsu yang bertopengkan nama Allah.
Peluang taubat di eksploitasi semahu-mahunya sehingga terlupa bahawa Allah juga ada sifat Maha Menghukum. Dalam pengaruh nafsu, syurga dan neraka seolah-olah tidak wujud.
Semoga Allah melindungi kita dari pengaruh cinta nafsu semata-mata.
Destinasi akhir ekspresi cinta
Stesen terakhir cinta kerana Allah dalam ikatan rumahtangga adalah syurga yang kekal abadi di akhirat. Sebaliknya, stesen terakhir cinta kerana nafsu adalah neraka yang penuh siksaan. Allah serahkan pilihan di tangan kita yang diberi selendang sebagai khalifah muka bumi.
Allah sediakan syurga untuk manusia tinggal dan Dia ciptakan Neraka sebagai peringatan bahawa ada risiko menanti jika manusia memilih untuk tidak tunduk kepada-Nya. Pilihan yang Allah buka juga berlaku dalam soal ekpresi cinta dan kasih sayang... Semoga Allah memimpin dan memberi taufik dan hidayah untuk kita menikmati anugerah cinta dari Dia yang Ar Rahman dan Ar Rahim.
- Artikel iluvislam.com
Permata Buat Suamiku

"Sudah lima tahun Man, lima tahun! Sudah lama benar kau kahwin dengan perempuan itu! Jangankan tiga, seorang cucu pun Mak tak dapat lagi!"
Datin Syuhada sudah tidak dapat bersabar lagi. Sikap acuh tidak acuh Azman benar-benar membuatkan dia naik darah. Ini bukan kali pertama Datin Syuhada naik angin. Sudah hampir seratus kali agaknya Azman mendengar bebelan yang sama setiap kali dia datang menemui ibunya itu.
"Dulu Mak dah cakap. Jangan kahwin dengan perempuan itu. Dia tu mandul! Tengok muka dia pun Mak dah tahu dia tu tak sihat. Tapi kau tak pernah nak dengar cakap Mak. Kau kahwin juga dengan dia. Sekarang kau terimalah padah akibat ingkar kata-kata Mak. Orang lain baru dua tahun kahwin pun dah ada dua orang anak, engkau ni dah lima tahun kahwin, seorang anak pun tak ada!"
Datin Syuhada terus-menerus melayan amarahnya. Betapa emosinya pada waktu itu dikuasai oleh syaitan laknatullah yang ligat menghembuskan hasutan dan kata-kata keji ke dalam hati wanita berusia separuh abad itu.
" Rezeki tu di tangan Allah Mak. Mungkin belum sampai waktunya lagi. Kalau Man sebagai suami boleh bersabar, mengapa Mak tak boleh? Susah sangat ke, Mak?", sedih Azman apabila terpaksa bertelagah dengan ibunya setiap kali mereka bersua muka.
Bukan senang untuknya mencuri masa bertemu dengan ibunya. Namun, setiap kali ada peluang bertemu, pasti isu zuriat yang akan dibangkitkan. Kadangkala Azman terfikir, andai saja ayahnya masih ada, pasti ibunya tidak akan bersikap sebegitu.
Pemergian Datuk Rosmi telah membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka. Terutama sekali terhadap ibunya. Ibunya kini bukan lagi seorang insan penyayang, bukan lagi seorang insan yang lembut dan sopan, juga bukan lagi seorang insan yang halus bicaranya.
Secara jujurnya, perubahan pada sikap Datin Syuhada benar-benar menyiksa batin Azman. Ayahnya pergi dengan membawa bersama sinar cahaya yang dahulunya menjadi penerang di kala siang, pelita di kala kelam.
Kewibawaan dan kehebatan Datuk Rosmi sebagai nakhoda kepada bahtera yang mereka layarkan ke lautan Ilahi benar-benar menjadikan beliau sanjungan isteri serta waris tunggalnya. Azman, satu-satunya permata yang mampu diberikan oleh Datin Syuhada dibentuk dan diasuh dengan penuh kasih sayang serta perhatian walaupun amat sibuk dengan pelbagai urusan di luar kota.
Datuk Rosmi dan Datin Syuhada sentiasa memastikan waris tunggal mereka mendapat segala yang diperlukan bagi mendepani dunia yang penuh fatamorgana yang mampu menyesatkan jiwa-jiwa yang kosong. Sejak kecil lagi, Azman dibentengi dengan ilmu serta pengetahuan dalam bidang agama. Tidak lupa juga pengetahuan duniawi yang membantunya berjaya di dunia ini.
Sungguh kiamat itu benar, dan atas kepercayaan itulah Datuk Rosmi tidak pernah leka dalam memastikan ahli keluarganya bersedia untuk menerima kedatangan hari itu nanti. Dia tidak mahu keluarganya tergolong dalam kalangan manusia-manusia yang kerugian.
Namun, sejak beliau pergi menyahut panggilan Ilahi, segala-galanya telah berubah. Rumah besar yang dahulunya terang menjadi gelap-gelita. Sunyi dan sepi tanpa cahaya Ilahi. Tidak ada lagi kehangatan serta kasih sayang di dalam rumah itu. Pernah suatu ketika dahulu Azman tersesat dari jalan yang dahulunya pernah dia lalui bersama arwah ayah tercinta. Imannya cukup rapuh ketika itu. Serapuh besi berkarat yang yang boleh hancur dengan hanya sekali jentik sahaja. Namun, cepat-cepat dia tersedar lalu membetulkan landasannya.
Alhamdulillah...Kehadiran Syakila ke dalam hidupnya memudahkan lagi usahanya kembali ke jalan Allah. Syakila, sekuntum bunga indah yang dia temui di rumah Allah terus di angkat menjadi zaujahnya sebaik sahaja dia mengenalinya melalui seorang Ustaz.
Syakila hidup sebatang kara. Hidupnya di bumi ini menumpang kasih Allah yang disalurkan melalui seorang insan mulia seperti Ustaz Hasan. Dengan keyakinan bahawa Azman akan membimbing Syakila ke jalan syurga, Ustaz Hasan dengan rela hatinya menyerahkan Syakila kepada Azman. Tidak ada sedikit pun keraguan di hatinya terhadap jejaka soleh seperti Azman. Doanya agar mereka berjaya di akhirat kelak.
***********
" Ila, Mak dah tak boleh sabar lagi! Mak dah ada calon untuk Azman. Dah lima tahun kau kahwin dengan Azman, tapi kau tak mampu nak berikan Mak walau seorang cucu pun. Mak dah tak tahan bermenantukan perempuan cacat macam kau. Sekarang kau pilih sendiri. Sama ada kau beri Mak cucu dalam masa tiga bulan ni, atau kau izinkan Azman kahwin lagi. Ingat, Ila! Azman tu satu-satunya anak Mak. Mak tak boleh terus berdiam diri andai keturunan Mak dibiarkan tak bersambung begini. Lagi satu! Kalau sampai Man tahu hal ni, kau tahulah nasib kau nanti!”
Panggilan tersebut hampir saja membuatkan Syakila rebah menyembah bumi. Berkecamuk hati wanitanya apabila kata-kata keras seperti itu dituturkan kepadanya. Hati wanita mana tidak sedih jika menerima panggilan seperti itu.
"Astarghfirullahal ‘azim..." Beristirghfar panjang Syakila sebaik saja menerima amaran keras tersebut. Sungguh tidak dia sangka, ibu mertua yang selama ini disanjungnya bagai ibu kandung sendiri sanggup menuturkan kata-kata tersebut terhadapnya. Syakila sedar siapa dirinya. Wanita yang serba kekurangn, wanita yang tidak sempurna.
Bukan dia tidak pernah berusaha. Sudah bermacam -macam ikhtiarnya dengan Azman. Namun, tidak satu pun usahanya menunjukkan hasil yang diinginkan. Syakila redha, mungkin Allah masih ingin mengujinya. Ujian ini adalah suatu tarbiah buatnya. Bibirnya tidak pernah putus berdoa kepada Allah. Doanya agar suatu hari nanti Allah akan mengurniakannya seorang permata yang bakal mendoakan dia dan suaminya di saat mereka sudah tidak ada lagi di dunia ini.
Nabi Ibrahim a.s. yang mendapat tempat khusus di sisi Allah tidak pernah mengeluh walaupun dikurniakan dengan cahaya mata hanya ketika usianya sudah lanjut. Inikan pula dirinya. Dirinya yang hanya merupakan makhluk yang lemah lagi hina di sisi Allah. Syakila yakin bahawa ujian yang didatangkan kepadanya tidak sia-sia. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Sama seperti pelangi indah yang muncul sesudah hujan di siang hari.
***********
Syakila menyambut kepulangan cinta hatinya dengan senyuman yang paling manis. Dia tidak mahu bermuram durja apabila sedang bersama suaminya. Syakila cuba memaniskan wajahnya semanis yang mungkin. Walaupun begitu, ada kesedihan di mata beningnya yang terkesan oleh Azman. Segera Azman mencari puncanya.
" Ila, kenapa ni? Kenapa isteri Abang sedih hari ni? Patutlah air panas yang Abang minum ni pun terasa sejuk je. Rupa-rupanya, ada orang tengah berduka ni....", lembut sekali bicara Azman terhadap ratunya itu. Diselitkan sedikit jenaka dalam kata-katanya tadi. Dia cuba memancing tawa Syakila.
Syakila menjadi sedikit gugup. Sungguh dia gagal menjadiaktres terbaik setiap kali berdepan dengan suami tercinta. Walaupun begitu, dia tidak semudah-mudahnya meluahkan segala rasa pahit yang sedari tadi dipendamnya jauh di lubuk hati yang paling dalam. Biarlah hempedu itu dia telan sendiri. Dengan suara yang manja, Syakila membalas gurauan suaminya.
" Abang tu la... Keluar tak ajak Ila pun. Lepas tu, tinggalkan Ila lama-lama kat sini. Sorang-sorang pula tu. Ila rindu tau..."
Azman ketawa besar. Sikap manja yang ditunjukkan oleh isterinya yang terkadang tegas itu benar-benar mencuit hatinya. Dia merangkul erat permaisurinya itu. Sungguh dia kasih akannya. Tidak pernah sekali pun dia menyesali pernikahannya dengan Syakila. Kehadiran sekuntum bunga indah ke dalam hidupnya sudah cukup untuk membuatkan Azman mengucap syukur kepada Allah di setiap hembusan nafasnya. Mereka bahagia walaupun setelah lima tahun, rumah itu masih belum dihiasi dengan tawa riang anak kecil.
*********
Lena Syakila malam itu ditemani air mata duka. Ditatapnya puas-puas wajah tenang yang sedang lena diulit mimpi di sebelahnya. Bila difikirkan semula, ada betulnya juga kata-kata ibu mertuanya tadi petang. Azman perlu meneruskan keturunannya. Syakila mula memikirkan kembali akan keputusan besar yang harus dia hadapi nanti.
Lama dia beristikharah malam itu. Pintanya agar dia diberi kekuatan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan yang sebaiknya. Kasihnya pada Azman terlalu tinggi. Andai seorang zuriat mampu menyerikan lagi hidup Azman, Syakila rela. Dia rela berkongsi kasih meskipun hatinya bakal terluka. Apa yang penting baginya adalah kebahagiaan Azman.
"Ya Allah... Berikanlah hamba-Mu ini kekuatan dalam mengharungi cabaran dari-Mu...", rintih hati kecil Syakila. Air matanya bercucuran mengenangkan suami yang mungkin akan dikongsikan bersama wanita lain nanti.
Andai saja dia bisa menjadi sekuat Sarah. Sarah, isteri milik Nabi Ibrahim a.s. Wanita mulia yang cukup kuat untuk berkongsi kasih sayang suami tercinta bersama seorang wanita lain bernama Hajar. Wanita mulia yang akhirnya dikurniakan Allah seorang zuriat atas kesabaran serta keteguhannya.
*********
Dua bulan berlalu. Pertemuan Azman dan ibunya tidak lagi diisi pertelingkahan apabila Azman membawa Syakila dengan sebutir permata yang sedang membesar di dalam rahimnya. Sejak hari itu, sikap Datin Syuhada terhadap Syakila berubah serta-merta. Rajin sekali dia menjaga Syakila. Sungguh dia kini kasih pada menantunya itu. Menantu yang dahulu dia caci maki dek kerana kekurangannya sebagai seorang wanita. Sungguh Allah itu Maha Mendengar. Doa Syakila serta Azman yang bertahun-tahun lamanya termakbul jua.
"Ila, Abang redha Ila sebagai isteri Abang selama ini. Abang halalkan makan minum Ila. Abang ampunkan segala dosa-dosa Ila. Abang tunggu Ila kat sini. Abang tunggu Ila datang dengan permata kita. Abang sayangkan Ila.”
Azman mengucup lembut dahi isterinya yang bakal dibawa masuk ke wad bersalin sebentar sahaja lagi. Syakila tetap tersenyum manis walaupun kesakitan yang dia tanggung hanya Allah sahaja yang tahu.
Tempoh sembilan bulan menunggu kehadiran si permata cukup membahagiakan buat Azman. Kasihnya pada Syakila kian mekar sepanjang tempoh itu. Anak yang mereka gelarkan permata itu seringkali mereka perdengarkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran setiap malam. Sungguh kasihnya mereka kepada zuriat mereka yang bakal lahir itu.
**********
Tiga jam berlalu begitu sahaja. Tangisan bayi perempuan yang memenuhi ruang tersebut cukup menggembirakan Azman. Namun, hatinya tidak keruan kerana tangisan itu tidak datang sendirian. Ada tangisan lain yang mengiringinya. Azman kenal suara itu. Cukup kenal.
Dia segera merempuh ke dalam wad tanpa menghiraukan para jururawat yang sedang bertugas. Dilihatnya Syakila sedang tidur. Dia tersenyum senang. Dihampirinya jasad lemah itu. Dikucupnya dahi Syakila dalam-dalam. Namun, saat dia memberikan kucupan tersebut, dia tidak dapat mengesan hembusan nafas Syakila. Ditatapnya wajah itu puas-puas. Jasad itu sudah kaku. Tidak bergerak lagi.
Azman tersungkur di hadapan jasad kaku tersebut. Sesungguhnya, Syakila telah syahid dalam pertarungan agung itu.
- Artikel iluvislam.com
20 Program Baru Radio IKIM.fm

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), melancarkan tujuh lagi rancangan baru dan 13 rancangan sedia ada diberi nafas baru sebagai hiburan alternatif untuk menarik minat golongan muda mengikuti siaran radio IKIM.FM.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata antara program baru itu ialah "Worldview of Islamic Economics" iaitu perbincangan ekonomi dalam bahasa Inggeris mengikut pandangan Islam, 'Dimensi Al-Zahra' yang menemu bual tokoh-tokoh wanita dan drama Nur Hikmah 12 siri yang akan disiarkan 15 minit setiap hari Jumaat pukul 2.30 petang.
Program baru yang lain termasuk 'Baiti Jannati', 'Youth and the Inner Dimensions, 'Dunia Al-Atfal', dan 'Durus Arabiah' manakala program yang diberi nafas baru termasuk rancangan temu bual 'Islam itu Indah' dan rancangan temu bual saudara baru 'Islam Agamaku', katanya pada sidang media selepas melancarkan program-program radio IKIM.Fm hari ini.
Beliau turut melancarkan laman web rasmi radio itu www.ikimfm.my yang dijangkakan dapat menambah pendengar baru dan juga mengeratkan lagi hubungan pendengar dengan stesen radio itu.
- Kuala Lumpur, 27 Januari 2011
Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.
Syirik Khafi (Syirik Tersembunyi) Batalkan Amal, Rosakkan Iman

Kita memang sudah mengelak daripada menyembah tokong dan berhala, tetapi bagaimana pula dengan penyembahan manusia kepada 'berhala-berhala' hati? Itulah bahayanya syirik khafi yang tersembunyi di dalam hati.
Kita begitu yakin dan mengakui masih kebal iman dalam diri dan sama sekali tidak syirik terhadap Allah SWT apabila tidak pernah menyembah berhala dan apa jua dewa. Sebabnya perbuatan tersebut sudah diketahui umum boleh menyebabkan seorang Muslim menjadi murtad dan keluar dari Islam. Mudahnya, kebanyakan masyarakat Islam meletakkan perkara itu sebagai sempadan dari terjadinya hal yang merosakkan keimanan. Dan ada juga yang faham, hanya perbuatan sedemikian sahaja boleh sebabkan syirik.
Itu syirik jali yang setiap umat Islam cuba elak daripada melakukannya. Tetapi dalam berjaga-jaga itu, syirik khafi atau syirik tersembunyi sebenarnya dilakukan setiap hari oleh kebanyakan orang Islam. Kita memang sudah mengelak daripada menyembah tokong dan berhala, tetapi bagaimana pula dengan penyembahan manusia kepada 'berhala-berhala' hati? Itulah bahayanya syirik khafi yang tersembunyi di dalam hati. Ini terjadi dan dilakukan samaada kita sedari atau dilakukan didalam keadaan tidak sedar.
Menurut penerangan para Arifin Billah (pakar agama), antara sembahan-sembahan hati yang paling lumrah bagi manusia ialah:
i) penyembahan kepada nafsu/diri sendiri
ii) penyembahan kepada dunia dan perhiasannya
iii) penyembahan kepada pangkat dan kekayaan
iv) penyembahan kepada kedudukan dan jawatan
v) penyembahan kepada wanita
vi) tawakal kepada kekuatan diri atau kekuatan makhluk
vii) tawakal kepada kehebatan sains dan teknologi dan lain-lain
Segelintir umat Islam menganggap syirik khafi sebagai perkara kecil sahaja. Namun pandangan sebeginilah yang mengundang bahaya yang lebih besar. Menurut tafsiran ulama-ulama tasawuf, syirik khafi walaupun tidak membatalkan iman namun memberi kesan kepada amal dan boleh merosakkan keimanan jika dibiarkan berlaku dan menjadi pakaian umat sehari-hari.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Syirik yang dilakukan umat ku lebih tersembunyi daripada semut halus yang merayap di atas batu yang besar." (Riwayat Al Hakim)
Penyembahan kepada berhala-berhala hati ini juga menyebabkan manusia menjadi bongkak dan riak tanpa disedari. Terlalu yakin terhadap kelebihan diri sendiri. Perbuatan sebegini sebenarnya mengundang resah kepada Rasulullah sebagaimana sabdanya:
"Sesungguhnya yang paling aku khuatirkan atas kamu sekalian adalah syirik kecil (syirik khafi), riya'. Pada hari kiamat, ketika memberi balasan manusia atas perbuatannya, Allah berfirman, "Pergilah kalian kepada orang-orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia. Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?" (Riwayat Imam Ahmad)
Benar dalam kehidupan, kita selalu memandang hal yang besar tanpa mempedulikan perkara-perkara kecil. Namun perlu diketahui yang kecil dan halus itulah lebih mudah menyerang dan merebak sehingga akhirnya kita terperangkap tanpa sedar. Sungguhpun syirik khafi tidak membatalkan iman seseorang, tetapi jika dibiarkan ia boleh mencederakan tauhid dan pengesaan terhadap Allah.
Jangan terlampau yakin bila kita tidak pernah menyembahkan tuhan lain selain Allah, kita bebas dari melakukan syirik. Ketahuilah bahawa perjuangan melawan sifat-sifat jahat dalam hati terutamanya syirik khafi adalah jihad sepanjang hidup. Jangan terhenti dari jihad ini kerana sejarah telah membuktikan manusia-manusia alim juga boleh tewas dengan rayuan iblis dan syaitan. Sehingga hati dan iman menjadi binasa.
Oleh itu berhati-hatilah dengan perbuatan, pengungkapan serta kata hati kita setiap hari. Apa jua yang terjadi dan berlaku semuanya atas kehendak dan kuasa Allah SWT jua. Bukan atas kehebatan dan keupayaan diri sendiri, benda mahupun makhluk lain yang sebenarnya tidak punya kuasa apa-apa!
Bentuk-Bentuk Syirik Khafi
Terlalu banyak syirik khafi berlaku meliputi diri kita sendiri atau yang bersangkut dengan makhluk lain. Kebanyakannya berlaku dalam keadaan kita lalai daripada mengingat Allah.
1) Bergantung Hati Kepada Sesuatu Selain Allah
Syirik khafi jenis ini sangat lumrah dalam urusan kehidupan seharian. Apabila seseorang melihat dirinya melakukan ibadah yang banyak,atau melihat dirinya mempunyai kebijaksanaan dan kehebatan sehingga berjaya memperoleh suatu kebaikan.
Atau menyandarkan sesuatu kebaikan yang diperoleh disebabkan manusia lain atau benda lain yang di jadikan oleh Allah seperti ubat-ubatan atau ketinggian sains dan teknologi dan sebagainya.
Contoh 1 :
Seorang lelaki yang telah sembuh dari sakit, merasakan ubat yang dimakan itulah yang menyembuhkan penyakitnya.
Contoh 2 :
Seorang Pengarah Syarikat yang berjaya membawa kejayaan kepada syarikat merasakan kejayaan tersebut dicapai hasil usahanya dan dibantu oleh pekerja-pekerja lain.
2) Ujub
Menurut pengertian yang diberi oleh Imam Al-Ghazali ;
"Ujub adalah rasa hairan dengan diri atau membanggakan diri atau merasai aman dengan adanya suatu kelebihan nikmat pada diri seseorang. Terjadi 'ujub adalah didalam hati, tanpa terzahir sifat rasa bangga dirinya pada tingkah laku atau perkataan."
Contoh 1 :
Seorang melakukan solat larut malam lalu berkata di dalam hati, " Hairan aku dapat melakukan ibadat yang begitu banyak."
Contoh 2 :
Seseorang wanita yang cantik berasa betapa hebatnya diri dengan kecantikan tersebut.
3) Riya'
Riya' dalam beramal adalah melakukan sesuatu amal atau kebajikan dengan niat mendapat pujian makhluk atau bertujuan mendapat pangkat dan kedudukan.
Tiga keadaan berlaku Riya' pada hati seseorang yang melakukan beribadat/melakukan kebajikan.
Niat hati seseorang perlu di awasi pada 3 keadaan ketika beramal.;
1) Pada permulaan melakukan ibadat.
2) Ketika sedang melakukan ibadat.
3) Setelah selesai melakukan ibadat.
Kebanyakan orang beramal biasanya ikhlas pada permulaan ibadatnya. Tetapi gangguan riya' datang ketika sedang beramal atau sesudah beramal. Dengan demikian seseorang wajib berhati-hati dengan bisikan syaitan yang sentiasa cuba mewaswaskan hati supaya berubah niat.
4) Takabbur (Membesarkan Diri)
Takabur adalah membesarkan diri, merasai diri lebih hebat, lebih mulia, lebih tinggi dari orang lain. Sifat ini lahir dari hati dan ada kalanya terzahir dalam perkataan dan perbuatannya. Takabur adalah mencabar kekuasaan Allah : Sabda Rasulullah SAW, Firman Allah idalam Hadis Qudsi,
"Takabur itu selendangku dan Kebesaran itu kain sarung Ku. Maka barang siapa bertengkar dengan Aku pada salah satu dari yang dua itu, nescaya Aku campakkan dia dalam neraka jahannam. Dan Aku tidak pedulikan." (Riwayat Muslim)
Punca wujudnya takabur pada diri seseorang adalah disebabkan wujudnya suatu kelebihan atau dia merasa kesempurnaan berbanding manusia lain.
1. Takabur dengan Ilmu.
2. Takabur dengan Amal
3. Takabur dengan tubuh badan – kecantikan, kekuatan dan lain-lain
4. Takabur dengan harta, anak dan kekayaan dunia.
5. Takabur dengan banyak pengikut
6. Takabur dengan kemuliaan keturunan.
7. Takabur dengan kekuasaan
- Artikel iluvislam.com
Subscribe to:
Posts (Atom)