Monday, December 20, 2010

Fahaman Syiah : Pengenalan


Syiah di Malaysia merupakan satu kelompok pecahan dari umat Islam yang merangkumi lebih kurang 10% dari seluruh umat Islam di dunia. Golongan Syiah ini berpecah kepada beberapa kumpulan. Tetapi di sini hanya disebut tiga (3) kumpulan yang terbesar iaitu:

i. Syiah Imam Dua Belas (ja'fariyah)

Kumpulan ini merupakan golongan Syiah yang terbesar di Iran dan merangkumi hampir 60% daripada penduduk Iraq. Golongan ini juga menjadi kumpulan minoriti di beberapa buah negara seperti Pakistan, Afghanistan, Lebanon dan Syria.

ii. Syiah Zaidiyah

Kumpulan yang dikenali dengan nama Syiah Imam Lima ini berkembang di Yaman dan hampir 40% daripada penduduk negara tersebut adalah pengikut Syiah Zaidiyah*.

iii. Syiah Ismailiyah

Kumpulan ini mempunyai Imam Tujuh dan pengikutnya dianggarkan seramai 2 juta orang. Kumpulan ini sekarang berpusat di India dan bertaburan di sekitar Asia Tengah, Iran, Syria dan Timur Afrika1.

Di Malaysia terdapat tiga (3) kumpulan Syiah yang berkembang semenjak beberapa tahun yang lalu iaitu:

i. Syiah Taiyibi Bohra (Dawood Bohra)

Kumpulan ini berasal dari India dan di Malaysia ia dikenali dengan golongan yang memiliki Kedai Bombay. Kumpulan yang berpusat di daerah Kelang ini mempunyai tanah perkuburan dan masjidnya sendiri dan pengikutnya dianggarkan seramai 200 hingga 400 orang (tahun 1996).

(1 Fakta ini dipetik dari buku "The Concise Encylopedia of Islam" oleh Cyril Glasse th.1989 hal. 364-365. Mengikut statistik Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Syiah di negeri Iraq ialah 49%.)

ii. Syiah Ismailiah Agha Khan

Kumpulan yang dikenali dengan nama Kedai Peerbhai ini bergerak di sekitar Lembah Kelang. Jumlah pengikut tidak diketahui tetapi bilangannya lebih kecil dari kelompok Bohra.

iii. Syiah Ja'fariyah @ Imamiah Ithna Assyariyyah (Imam Dua Belas)

a) Kumpulan Syiah ini dipercayai mula bertapak di Malaysia selepas kejayaan Revolusi Iran pada tahun 1979. Pengaruh ajaran dan fahaman kumpulan ini menular ke negara ini melalui bahan-bahan bacaan dan orang perseorangan sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran.

b) Fahaman Syiah ini bertambah meruncing apabila beberapa orang pensyarah universiti tempatan telah memainkan peranan untuk menyebarkan fahaman Syiah Ja'fariyah secara serius kepada para pelajar di Institut Pengajian Tinggi.

c) Beberapa buah kitab utama Syiah telah dijadikan bahan rujukan dan sebahagiannya telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia, antaranya:

i) Kasyf al-Asrar
Oleh: Ayatullah al-Khomeini

ii) AI-Hukumah al-Islamiah
Oleh: Ayatullah al-Khomeini

iii) Al-Sabah Min al-Salaf
Oleh: Ayatullah al Murtadza az- Zubaidi

iv) AI- Usul Min al-Kaft
Oleh: al-Sheikh Muhammad bin Yaacob al-Kulaini (thn. 1338H)

v) Tahrir al- Wasilah
Oleh: Ayatullah al-Khomeini

vi) Al-Murajaat
Oleh: al-Sheikh Abdul Husin Syarafuddin al-Musawi

vii) Peshawar Nights
Oleh: al-Sayyid Muhammad Rais al-Wahidin

viii) Mafatih al-jittan
Oleh: Sheikh Abbas al-Qummi

ix) Minhaj Kebenaran dan Pendedahannya (Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan ljtihad)
Oleh: al-Hasan bin Yusuf al- Mutahhar al-Hulliyy, diterjemahkan oleh Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim (thn. 1993)

x) Mengapa Aku Memilih Ahlul Bait a.s?
Oleh: Syeikh Muhammad Mar'i al-Amin al-Antaki - diterjemah oleh Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim (thn. 1993)

xi) Al-Sahabah
Oleh: Haidar

xii) Ahlu al-Bait
Oleh: Dr. Mahfuz Mohamed

Pengaruh fahaman Syiah ini kian menular ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, antaranya Kelantan, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan dan Selangor. Di Malaysia, pengikut kumpulan ini dianggarkan antara 300 hingga 500 orang.

Antara gejala-gejala Syiah yang timbul akibat dari fahaman dan ajaran Syiah ini ialah:

i. Adanya usaha menghantar pelajar-pelajar melanjutkan pelajaran ke Iran.

ii. Wujudnya kes kahwin Mut'ah.

iii. Meluasnya penyebaran buku-buku Syiah

iv. Wujudnya sokongan dari golongan tertentu kepada pengaruh Syiah terutama golongan ahli politik.

v. Wujudnya kesamaran dan keraguan orang ramai terhadap ajaran dan pegangan Islam yang sebenar, contohnya dalam aspek perkahwinan, pengkebumian dan sebagainya.

- Artikel iluvislam.com

- Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Friday, December 17, 2010

Genap Umurku 22 tahun (Sekilas Penghayatan Kehidupan)


Aku bukan insan yang sudah cukup lama hidup di muka bumi. Aku juga bukan insan yang arif dalam hal duniawi apatah lagi akhirat. Tetapi aku juga manusia biasa yang mempunyai kehidupan. Sekilas aku melihat, manusia tidak pernah lekang dari ujian Allah.

Ujian Allah ada bermacam bentuk, ada yang diuji dengan kekayaan dan sememangnya manusia mana yang tidak berasa suka dan gembira dengan nikmat kemewahan yang diberikan. Sayang sekali ada yang bongkak, angkuh dan membangga diri dengan kemewahan/nikmat yang Allah telah anugerahkan. Namun tidak semua, andai manusia tahu erti bersyukur, pasti kemewahan itu diuruskan dengan sebaik-baiknya ke jalan Allah. Itu juga adalah ujian Allah terhadap hamba-Nya yang beriman.

Sesungguhnya, setiap yang beriman akan diuji oleh Allah dengan ujian yang tidak pernah diduga. Paling perit apabila, manusia itu diuji dengan musibah/bencana yang sangat berat untuk diterima dan ditempuh. Semestinya saat diuji, kesabaran yang tinggi amat diperlukan. Pada waktu itulah, kita memerlukan sokongan keluarga, saudara dan sahabat handai yang paling akrab untuk memberikan sokongan.

Sudah menjadi lumrah manusia, kita akan menangis apabila merasakan ujian Allah itu tidak tertanggung. Ingin sahaja hati ini ingin memberontak. Tetapi ingatlah kembali, sesungguhnya kita hanya hamba yang lemah. Pada suatu ketika, kita akan berada di atas, di mana kita tidak tahu bersyukur dan tidak berfikir dari mana datangnya kesenangan itu, pastinya kita berada dalam kerugian kerana melupakan Allah yang pemberi segala nikmat.

Pada suatu ketika, kita manusia akan berada di bawah, saat Allah menarik kembali kesenangan yang diperolehi maka pada saat itu, kita manusia akan menadah tangan kepada Allah dan bertanya mengapa ujian berupa derita diberikan kepada kita dan pada saat itulah baru kita ketahui wujudnya Allah sebagai Tuhan yang berkuasa dalam menentukan segalanya.

Ketahuilah, setiap yang terjadi mempunyai sebab dan semestinya perkara yang telah terjadi akan mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Sesungguhnya manusia tidak tahu apa yang terbaik disediakan untuk manusia yang lain. Tetapi, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita berbanding diri kita sendiri. Kerap kali kita akan mengeluh memikirkan takdir yang menimpa diri, kesedihan akan mula menguasai diri, kemalasan menguasai diri dan berasa malas untuk bangun meneruskan kehidupan, sehinggakan terkadang melupakan tanggungjawab ibadah solat terhadap Allah s.w.t.

Percayalah, Allah akan menurunkan sesuatu ujian bertepatan dengan kemampuan hamba-Nya. Setiap kita pernah merasai kesusahan, kesedihan, di mana kita sendiri merasa sukar untuk diri kita sembuh setelah berlakunya bermacam perkara yang melunturkan semangat kita. Sebagai manusia yang dikurniakan akal, sebagai pesanan untuk diri sendiri juga, semestinya kita perlu berfikir, mengapa Allah menguji kita sebegitu rupa? Jawabnya tidak lain, itulah tandanya Allah masih sayangkan kita dan supaya kita sentiasa ingat kepada-Nya. Cuba kita imbas kembali, berapa banyak kita mengingati-Nya? Dengan kerja yang berlambak, soal keduniaan kerapkali menjadi keutamaan. Allah sentiasa mengingati kita, tetapi kita lalai mengingatinya.

Allah mahu kita berfikir. Kita sendiri tahu, setiap yang berlaku tersimpan pengajaran. Maka jadikanlah pengajaran itu sebagai pedoman di masa yang akan datang. Mungkin hari ini kita dalam kesedihan dan kesusahan, tetapi akan ada masanya Allah akan memberikan kita kesenangan dan kebahagiaan yang kita sendiri tidak pernah jangka. Teruskanlah berdoa kepada-Nya, berserah kepada-Nya setelah berusaha.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar doa hamba-Nya yang berada dalam kesusahan. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan percayalah bahawa janji Allah itu pasti. Dalam apa-apa keadaan pun, ingatlah Allah sebagai tempat pergantungan kita yang mutlak. Tanpa izin-Nya tidak akan terjadi apa yang kita mahukan. Hiduplah untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Moga hati kita menjadi tenang dalam menempuh segala jenis ujian yang diturunkan oleh-Nya.

Semoga hidup kita sentiasa diberkati dan mendapat rahmat yang berpanjangan dari-Nya. Sesungguhnya manusia itu tidak lekang dari melakukan kesalahan, maka selaku sudara sesama Islam, berpesan-pesanlah kita sesama umat manusia. Jika ada hati yang merintih, mengadulah kepada-Nya dan kita di dunia laksanakanlah amanah sesama umat, bantu selagi terdaya kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang membuat kebaikan demi mendapat keredhaan Allah.

Segala keburukan datangnya dari diri ini, tiada niat untuk berbangga diri. Tiada niat menunjuk hanya sekadar berkata-kata, kerana aku juga manusia biasa yang belajar dari kehidupan di bawah naungan Pencipta. Semoga beroleh manfaat dan maafkanlah andai tersilap kata dan menyinggung rasa kerana kebaikan dan kesempurnaan mutlak itu datangnya dari Allah s.w.t. Marilah bersama-sama menghayati erti kehidupan dan fikirlah betapa Allah itu sentiasa ada untuk makhluk ciptaan-Nya sama ada semasa susah dan senang. Wallahua'alam.

- Artikel iluvislam.com

18 Disember 2010 (12 Muharram 1432H)


Ujian Allah datang dalam pelbagai bentuk. Dahulu aku melihat orang lain sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan. Sakit, kehilangan harta benda, kehilangan orang tersayang. Itu tandanya Allah masih ingat akan kita. Dia mahu menguji hambanya supaya jika kita bersabar, insyaAllah kita kan mendapat ganjaran.

Dan aku tertanya, kenapa aku tidak pernah diuji dengan segala cabaran yang aku lihat terpaksa dipikul oleh orang lain? Lupakah Allah kepada aku?
Atau Allah sudah tidak sayang kepada aku?

Kemudian aku tersedar, yang ujian Allah itu juga boleh datang dalam bentuk kesenangan. Dan kadang-kadang kesenangan itu lebih berat ujiannya daripada kesusahan. Oh, aku sedang diuji waktu itu tanpa aku sedari.

Persoalannya, luluskah aku dengan ujian itu? Hanya Allah yang tahu.

Dan sekarang, mungkin Allah mahu aku merasa ujian yang aku pernah 'minta' dahulu. Ujian dalam bentuk kesusahan.
Susahnya kehidupan seorang pelajar.

Tidak pernah diduga oleh aku yang Allah akan menguji aku dalam bentuk ini. Kerana dahulu, soal pelajaran tidak pernah menjadi satu masalah.

Tetapi aku tahu. Allah tidak akan pernah menguji hamba-Nya dengan ujian yang tidak terdaya oleh kita. Persoalannya, mampukah aku lulus dengan ujian ini?

Setiap perkara yang berlaku, baik buruk mahupun baik, ada hikmahnya. Andai aku gagal dalam ujian ini, mungkin ada hikmahnya. Allah ada perancangan yang lebih baik untuk aku, lebih baik daripada perancangan manusia untuk aku.

Namun, aku hidup dengan manusia. Terarah dengan jangkaan, harapan dan sangkaan manusia. Sedar atau tidak, aku terpasa memenuhi semua tuntutan itu. Sehingga aku mungkin lupa yang kehendak Allah jauh melangkau segalanya.

- Artikel iluvislam.com

6 Petua Untuk Berjaya


Apakah sifat-sifat istimewa yang dimiliki oleh orang-orang yang berjaya dan berhemah tinggi? Mengapakah mereka terus menempa kejayaan demi kejayaan sedangkan dalam masa yang sama orang lain terus dilanda masalah?

Jawapannya ialah bagaimana mereka melihat setiap masalah yang dihadapi. Mereka mengendali setiap masalah secara betul dan praktikal. Mereka juga memahami enam prinsip yang berhubungkait dengan jenis masalah.

Penulis yang menemui jawapan ini dalam buku "Tough Times Never Last, But Tough People Do" oleh Dr. Robert H. Schuller ingin berkongsi dengan semua pembaca iluvislam.com tentang bagaimana untuk menuju kejayaan. 6 petua ini dipetik daripada buku tersebut.

1. Setiap Insan Yang Hidup Mempunyai Masalah

Apakah masalah anda? Anda tidak mempunyai pekerjaan? Mungkin anda berfikir bahawa setelah mendapat pekerjaan semua masalah akan lenyap. Mereka yang mempunyai pekerjaan juga bermasalah. Mereka mengeluh kerana terpaksa bangun pagi untuk ke tempat kerja setiap hari kerja. Dan ratusan, mungkin ribuan pekerja mendapat kerja yang tidak mereka sukai.

Sesetengah orang pula beranggapan bahawa masalah mereka timbul kerana terpaksa melapor diri kepada seorang ketua. Tetapi ramai ketua yang menghadapai masalah, sama ada dari segi perhubungan atau pun pengurusan kakitangan.

Jadi bagaimanakah keadaan dengan mereka yang berjaya? Adakah mereka terkecuali daripada menghadapi masalah? Sebenarnya setiap kejayaan tidak menghapuskan masalah, ia melahirkan masalah yang baru. Terimalah ini sebagai satu hakikat hidup seharian.

2. Setiap Masalah Mempunyai Jangka Masa Yang Terhad

Setiap masalah akan berakhir. Lambat laun ia akan pergi jua.

Ketepatan kenyataan ini adalah jelas kalau kita menoleh kebelakang melihat sejarah manusia. Tamadun manusia menghadapi detik-detik kegemilangan dan juga kejatuhannya. Institusi kamanusiaan yang menghadapi suasana kemelesetan akan satu ketika nanti menuju kemercu kejayaan secara perlahan-lahan.

3. Setiap Masalah Harus Mempunyai Pengaruh Positif

Setiap masalah mengandungi bahan atau ramuan rahsia potensi yang kreatif, sama ada untuk diri anda atau pun orang lain. Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh dijadikan modal perniagaan yang menguntungkan untuk orang lain. Contohnya, seseorang yang pernah diisytiharkan muflis oleh mahkamah boleh bertindak sebagai seorang panasihat kepada mereka yang akan diumumkan sebagai muflis.

Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh memberi kesempatan atau peluang baik kepada orang lain.

4. Setiap Masalah Boleh Mengubah Sikap Anda

Sebagai contoh, kita kadang kala tersua dengan seorang jurujual yang berjaya. Tetapi bila diselidiki, ia berkelulusan dalam bidang sejarah dan pendidikan yang tidak ada kaitan dengan kerjayanya.

Sebenar ia dahulunya bekerja sebagai guru. Tetapi sebagai seorang guru yang menjemukan, ia telah menimbulkan banyak masalah kepada majikannya hingga ia diberhentikan kerja. Kerana marah disebabkan pemberhentian kerjanya, ia berazam untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa ia juga boleh berjaya dalam hidup.

Kini ia bersyukur kerana dibuang kerja kerana peristiwa itu membuat ia sangat marah hingga bertekad untuk terus berusaha hingga berjaya.

5. Anda Boleh Buat Pilihan Untuk Mengawal Masalah

Anda mungkin tidak dapat mengawal masalah. Tetapi anda boleh merancang tindakan balas terhadapnya. Sekiranya anda mengawal rancangan tindakan balas terhadap masalah hidup, bermakna anda telah dapat mengawal masalah yang melanda diri sendiri.

Masalah boleh membuat anda lemah atau sebaliknya. Ia juga boleh membuat anda hidup dengan lebih baik ataupun menderita. Semuanya bergantung kepada diri anda.

6. Setiap Masalah Mempunyai Tindak Balas Yang Negatif dan Positif

Akhir sekali, orang-orang yang cekal hati boleh terus hidup walaupun dalam keadaan yang menyulitkan. Kerana mereka memilih untuk bertindak balas secara positif dalam keadaan sulit atau berbahaya walaupun ia bukan satu perkara yang mudah.

Misalnya, apakah tindak balas positif jika seseorang itu menghadapi masalah kewangan yang rumit? Dalam situasi ini apakah tindakan positif yang harus diambil? Larikan diri daripada penagih hutang? Mencari jalan keluar seperti minum hingga mabuk atau sebagainya?

Tidak! Tindakan balas negatif itu hanyalah penyelesaian sementara yang boleh membuahkan lain-lain masalah baru.

Tindakan positif terhadap masalah itu memerlukan semangat yang kuat untuk membuat langkah pertama. Ia memerlukan keberanian untuk bersemuka dengan penagih hutang dan berunding secara jujur dan terus terang. Jika mereka berkeras, maka jalan paling baik yang harus diambil secara undang-undang dan terhormat ialah menerima diisytiharkan sebagai muflis oleh mahkamah.

Pendek kata "Sekiranya anda tidak dapat selesaikan masalah, maka anda harus mengendalikannya".

- Artikel iluvislam.com

Cinta Buat Ibuku


Menyayangimu
Bagaikan hatiku tiada sempadan
Aliran jiwaku mengalir bersama arus sungai cinta

Ditempoh kerikil batu-batu tanpa sesak dan kesusahan
Oh sungguh indahnya perasaan itu
Mengasihimu ibuku
Meluaskan kecilnya ruang hatiku
Menyegarkan lesunya jiwaku
Menegangkan uratku yang kian melemah
Dek keringnya dari siraman cintamu

Andaikata aku dapat bernyanyi
Burung merak pasti mahu mendedangkannya bersamaku
Menceritakan keceriaan dihatiku di saat aku bersamamu
Walaupun cume seketika..
Tetapi kebahagiaannya terasa hingga mencapai penjuru langit sejagat

Indahnya kasih itu
Apabila ia menjadi dinamo kepada semangat
Dan penyuntik ilham
Serta penerang obor cahaya
Kepada berlikunya jalanku ini...

- Artikel iluvislam.com

Anak Muda Bercerai: Siapa Yang Terkena?


Dalam sebuah risalah yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid yang bertajuk 'Berwaspada!!!Perceraian Di Usia Muda; Anak Menderita' dengan jelas mendatangkan butiran-butiran dan fakta-fakta yang berkaitan dengan statistik perceraian di kalangan pasangan Melayu Islam di Malaysia yang semakin parah.

Apa yang lebih mengejutkkan ialah peningkatan mendadak jumlah perceraian di kalangan pemuda-pemudi yang baharu dan dianggap pucuk sahaja dalam arena berumahtangga. Belum pun sempat mengenal hati budi masing-masing sebahagian daripada mereka terpaksa mengambil langkah drastik iaitu bercerai bagi menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Nyata kesan akibat perceraian itu akan memalitkan luka yang dalam kepada mereka yang terlibat.

Pada penulis perceraian adalah satu jenayah terhadap anak-anak yang masih kecil serta memerlukan sepenuh kasih sayang daripada kedua orang tua mereka. Anak-anak yang tidak mempunyai ibu atau ayah ketika membesar akan lebih berisiko untuk terdedah kepada masalah psikologi yang serius lantas mengakibatkan rantaian kepada gejala-gejala sosial lain.

Statistik perceraian di Malaysia

Merujuk kepada risalah yang dinyatakan di atas, statistik semasa daripada JAKIM menunjukkan bahawa kadar perceraian di Malaysia adalah amat membimbangkan.

Dengan jumlah keseluruhan perkahwinan antara tahun 2005 hingga 2008 yakni sebanyak 491,470, jumlah perceraian pula adalah sebanyak 80,564 kes seluruh negara.

Jumlah perceraian saban tahun jelas menunjukkan peningkatan, bermula 2005 dengan 17,749 diikuti tahun 2006, 19,475. Pada tahun 2007 pula telah meningkat kepada 21,051 kes dan ianya terus meningkat pada tahun berikutnya dengan jumlah sebanyak 22,289.

Data juga menunjukkan bahawa perkahwinan kurang dari 10 tahun paling banyak menghadapi kes perceraian saban tahun. Lingkungan umur individu yang terlibat dalam kes perceraian usia rumah tangga yang setahun jagung ini adalah dalam lingkungan 31-35 tahun.

Ini jelas menunjukkan bahawa dalam umur perkahwinan yang kurang 10 tahun itu jugalah zuriat daripada ibu bapa masing-masing sedang memerlukan sepenuh perhatian dan kasih sayang dalam membentuk dan mendidik mereka.

Tidak terbayang kesannya kepada mereka ini dek kerana terpaksa memikul bebanan psikologi di usia yang masih amat hijau itu akibat daripada perceraian kedua orang tua mereka. Akhirnya kerana mereka terlepas dari menerima curahan kasih sayang dan perhatian dari kedua orang tua mereka akan lebih mudah terdedah dengan anasir-anasir bobrok(dilapidated) sosial semasa.

Mencegah Penceraian

Mencegah adalah lebih baik daripada mengubat. Falsafah klise ini seakan sangat sinonim dengan rakyat Malaysia amnya. Malah ada ungkapan yang serupa dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab, walaupun kita kurang pasti hak milik siapa sebenarnya perumpaan tersebut. Namun nilainya tetap wajar untuk diambil sebagai iktibar.

Persiapan untuk menghadapi sepak terajang dalam berumah tangga sepatutnya telah dibuat sebelum berada di dalam arena itu lagi. Kita sangat memuji pihak kerajaan kerana telah memperkenalkan kursus kahwin yang wajib dihadiri oleh bakal pasangan pengantin yang mendedahkan pelbagai perkara untuk persiapan ke alam berumahtangga dalam masa dua hari.

Sebenarnya ia dikira tidak mengcukupi kerana ilmu berkenaan ibadat rumahtangga ini perlu sentiasa dipelajari dan dihayati oleh pasangan dari masa ke semasa. Modulnya juga harus sentiasa dipantau dan ditambah baik bersesuaian dengan kepesatan dan kemajuan semasa.

Pihak penganjur tidak boleh memandang keuntungan semata-mata kerana di sinilah ruang dakwah secara langsung terbentang luas. Penceramah seharusnya memainkan peranan seoptimum mungkin, pengalaman kita mengatakan bahawa peserta kursus akan datang secara berpasangan kebiasaannya kerana kelas dijalankan secara unisex. Penceramah pula tidak lebih dari berlawak jenaka yang berbau lucah sahaja. Akhirnya peserta hanya akan mendapat sekeping sijil pengesahan perkahwinan untuk mengcukupkan syarat perkahwinan mereka yang ditetapkan oleh jabatan agama.

Arahan mewajibkan pasangan yang bakal berkahwin untuk mengambil ujian HIV juga amat digalakkan dan harus diberi pujian kepada jabatan agama sekaligus pihak kerajaan. Pada peringkat awalnya, hanya beberapa negeri sahaja yang menjalankan dasar itu namun kini ianya adalah diwajibkan ke seluruh negeri di dalam negara Malaysia. Ini adalah teknik pengcegahan yang berkesan.

Mad'u-mad'u yang sedia datang menyerah diri ini jika dibelai dengan penuh hikmah maka akan terjalinlah ikatan berpanjangan dengan para penganjur dan tawarkanlah khidmat kaunseling dari masa ke semasa bahkan sehingga mereka menjejak ke alam rumah tangga sekalipun.

10 Persiapan bakal suami mahupun isteri

Apabila diperhatikan secara dalam, antara punca kepada perceraian di usia perkahwinan dan usia pasangan yang muda adalah kerana mereka boleh dianggap sedikit terburu-buru dengan berkahwin tanpa persediaan yang sepatutnya dari sudut fizikal, mental dan mungkin juga material.

1. Pasangan yang bakal berkahwin perlu tahu dan faham skop tanggungjawab masing-masing dalam memainkan peranan sebagai suami mahupun isteri. Kewajipan melaksanakan amanah tersebut adalah kewajipan dan menjadi tuntutan agama, malah ia akan dihisab di padang Mahsyar kelak.

2. Pasangan yang bakal berkahwin juga mesti mendalami ilmu agama secara berterusan terutama untuk bakal suami, kerana menjadi kewajipan suami kelak untuk mendidik isteri dengan ilmu agama. Jika tidak mampu cadangkan dan doronglah mereka untuk menghadiri kuliah-kuliah agama. Jangan pula kita menghalang mereka daripada menuntut ilmu agama tersebut.

3. Perlu adanya satu ketetapan sebelum perkahwinan bahawa walauapapun yang terjadi di dalam rumahtangga (selagi tidak memudaratkan keselamatan), maka jangan sampai ianya melibatkan orang ketiga termasuk kedua ibu bapa atau mentua sekalipun. Berdepanlah secara lemah lembut dan berhikmah dengan pasangan, insya-Allah keharmonian rumahtangga menjadi habuan.

4. Perlunya pasangan itu memahami adat resam budaya tempatan pasangannya jika perkahwinan mereka berbentuk rentas budaya(cross-cultural). Sentiasa menghormati dan cuba salami dan asimilasikan adat resam budaya belah pasangan, anda tentu akan menjadi kebanggaan bakal mentua.

5. Keterbukaan dan perbincangan tuntas secara berterus terang mampu untuk memahamkan pasangan masing-masing jika bakal pengantin tersebut menghadapi masalah seksual. Kerana adalah lebih baik berterus terang dan bagi hak untuk diri pasangan memilih samada untuk terus bersama atau sebaliknya kerana jika hal ini hanya diketahui selepas berkahwin maka pasangan akan rasa tertipu dan yakinlah implikasinya akan bertambah buruk.

6. Buat persediaan yang mantap dari sudut ekonomi, kita tidak nafikan Allah menjamin rezeki kita apabila kita sudah berkahwin dan ini sudah dinukilkan di dalam lembaran kalamnNYA. Namun janganlah pula tunggu sehingga masalah ekonomi memangkin kepada punca krisis rumahtangga. Sebenarnya sikap bertanggungjawab dan berusaha yang paling penting, dan yakinlah Allah tidak akan sia-siakan usaha kita untuk melakukan perkara yang disuruh oleh-Nya.

7. Kerjaya yang merujuk kepada pangkat, pada hari ini menjadi kebiasaan wanita yang lebih bekerjaya mengahwini lelaki yang berjawatan biasa. Di sini sifat sabar pihak suami perlu dioptimumkan dan sifat ego pihak perempuan perlu diminimumkan. Hormatlah pasangan sebagai suami atau isteri kita nescaya kehidupan kita akan harmoni.

8. Kesihatan adalah faktor yang agak penting dalam proses pembinaan rumahtangga kerana penyakit kronik hanya akan dianggap menyusahkan pihak yang satu lagi. Jagalah kesihatan untuk orang yang tersayang, jauhilah amalan merokok dan pemakanan serta gaya hidup yang merisikokan diri kita kepada penyakit kronik. Jika penyakit itu terjadi selepas perkahwinan hanyasalah kepada pasangan perlu bersabar dengan sebenarnya, yakinlah Allah tidak akan menguji hambanya jika ujian tersebut tidak mampu kita tanggung.

9. Hiasilah diri kita dengan akhlak dan perangai yang dianjurkan oleh Islam. Mampirkanlah sikap-sikap yang mahmudah yang tempiskanlah bersikap dengan perangai mazmumah. Sungguh tidak rugi jika kita menjadi orang yang baik-baik kerana kelak orang juga akan baik-baik sahaja dengan kita, 'what you give you get back' adalah kata-kata yang sesuai untuk motivasi dalam kehidupan.

10. Cubalah belajar untuk berkomunikasi dengan cara yang betul. Hampir 80% peratus kegagalan rumahtangga berpunca pada asalanya kerana masalah komunikasi. Krisis ini muncul apabila pasangan mendapati dirinya tidak difahami oleh pasangannya dan ini akan menimbulkan rasa tidak diambil berat lantas mencetuskan pemberontakan dalaman. Ini jelas boleh dilihat dan didengar, bacalah buku motivasi komunikasi rumahtangga yang bertajuk 'Mens Are From Mars, Womens Are From Venus' dan sambungannya 'When Mars and Venus Collide' karangan John Gray.

Kesimpulan

Bahagia atau tidak adalah pilihan kita sendiri. Kita berhak utuk ,membuat pilihan samada ingin bahagia dan gembira atau sebaliknya. Allah sendiri sudah nyatakan bahawa tidak akan diubah sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri. Ini bermaksud walaupun qada dan qadar kita sudah ditetapkan, namun kerana ianya bersifat ghaibiyah dan tidak diketahui kesudahannya maka menjadi kewajipan kita sebagai hambanya untuk sentiasa berusaha mengikut lunas-lunas agama Islam yang benar.

Dan yakinlah hanya kembali kepada al-Quran dan Sunnah yang sebenar-benarnya akan menjamin ketenangan, keabadian, kegembiraan, keindahan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

- Artikel iluvislam.com

Israel Musnahkan Rumah Warga Baitulmaqdis


Khamis, 16/12/2010 – Tentera Israel memusnahkan sebuah rumah warga Palestin di pinggiran kota Al-Amoud Ras di Baitulmuqaddis berdekatan bandar Silwn, pada Selasa lalu dengan alasan tiada permit.

Sumber-sumber tempatan berkata bahawa sekumpulan besar pasukan keselamatan mengawal pasukan tentera Israel tersebut, dan menambah bahawa mereka mengelilingi daerah tersebut dan menyekat laluan masuk dan keluar sebelum perumahan itu dimusnahkan.

Anggota keluarga warga Baitulmaqdis terpaksa berhadapan dengan pasukan keselamatan, yang bertindak kejam ke atas mereka.

Netanyahu Disiasat Atas Kes Rasuah

Khamis, 16/12/2010 – Parti Kadema sebagai parti pembangkang dalam pemerintahan Zionis meminta perdana menteri Israel, Benyamin Netanyahu disiasat atas kemungkinannya terlibat dalam kes rasuah dengan salah seorang anggota Knesset di parlimen Israel, Urey Ariel. Namun Kadema tidak menyokong usul pembentukan kumpulan penyiasat rasmi (TPF), berkaitan insiden kebakaran Karmel.

Ketua jawatankuasa urusan pengawasan negara di parlimen, Yoil Hasun dari parti Kadema mengatakan, pihaknya telah mengirimkan surat kepada peguam negara untuk menyiasat Netanyahu berkaitan isu dana bernilai 22 juta shekel untuk memperbaiki sekolah agama di bawah badan keagamaan nasional Israel, sebagai imbalan atas meluluskan keputusan pembentukan jawatankuasa pemeriksaan terhadap insiden Karmel yang melibatkan 43 warga Zionis terbunuh.

Pasukan rejim Zionis Menyerbu Rumah Ahli Parlimen Halaika

Khamis, 16/12/2010 – Tentera Penjajah Israel (IOF) menyerbu rumah ahli parlimen Samira al-Halaika di Pekan Shuyukh, daerah al-Khalil pada tengah hari Selasa, kata ahli parlimen itu.

Dia menambah bahawa empat kenderaan IOF berhenti di hadapan rumahnya dan memanggilnya bersama anaknya, Osama dan seorang tentera memberitahunya bahawa mereka datang untuk mengucapkan 'Selamat Hari Raya.

Penggubal undang-undang itu berkata bahawa dia menolak ucapan itu dan berkata tidak ada perayaan pada hari itu dan menambah bahawa itu satu tindakan provokatif di jalan awam.

Dia memberitahu bahawa askar itu meletakkan penghalang di depan rumahnya dan memberhentikan sepuluh kereta dan menyoal semua yang berada di dalam kereta itu.

Pegawai keselamatan di Ramallah pada Isnin dan Selasa memanggil ratusan penduduk Palestin di al-Khalil termasuk suami ahli parlimen bersempena ulangtahun penubuhan ke-23 HAMAS. Anaknya Anas, masih di dalam tahanan IOF untuk hari ke 34 di pusat soal siasat Jalama.

Berita terkini berkenaan Palestin di iLuvislam.com adalah kerjasama di antara iLuvislam.com dengan pihak Palestinkini. Berita diterjemah dan disunting oleh pasukan penterjemah Palestinkini.

Sumber Grafik : Palestinkini.info