Friday, October 28, 2011

Pelangi Cinta

Indah sungguh pelangi ini. Namun yang berkuasa menciptanya pasti jauh lebih indah. Sudah tentu, kan Dia Maha Indah? Sudah tentu cinta-Nya pun indah juga.....

"Allah sangat mencintai kita." Lihat ke atas. Lihatlah langit. Siapa yang cipta? Jawapan: Allah. Lihat pula awan yang berarak. Kalau malam, lihat bintang. Siapa pula yang cipta? Allah juga. Tengok pula matahari yang terang benderang. Waktu malam, lihat bulan yang bersinar. Siapa yang bagi sinaran mereka? Masih Allah. Bernafaslah, hirup udara yang segar dalam-dalam. Siapa pula yang cipta udara? Tetap Allah.

Pandang ke sekeliling pula. Pokok-pokok, tenang sahaja bila melihat mereka. Pokok itu yang mengeluarkan udara. Siapalah agaknya yang cipta mereka ya? Allah lagi. Haiwan-haiwan. Burung terbang, kucing, kura-kura, ikan, gajah, arnab, banyak lagi. Siapa yang jadikan mereka? Mestilah Allah. Bawah. Tanah. Daripada situlah tumbuh pokok-pokok, haiwan-haiwan berpijak, kita berdiri. Macam-macam lagi. Siapakah penciptanya? Masih Allah juga.

Ada banyak sangat tanda kekuasaan Allah. "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal." [Qs. Ali-Imran, 3:190]

Tak cukup lagi? Fikir lagi. Pandang badan kita pula. Tangan kita boleh bergerak. Ada bermacam receptor (stimuli detector) macam heat, cold, touch, pain, pressure. Ada 3 layer, epidermis, dermis dan fat layer. Sangat complex, dengan sweat glands, dan macam-macam lagi. Siapa yang cipta itu semua? Mestilah Allah, habis siapa lagi?

Kaki pula. Sangat tahan lasak. Lapisan epidermisnya sangat tebal. Cuba kira, dah berapa banyak tapak kasut kita yang haus? Tapi pernah tak tapak kaki kita haus pula? Manalah tahu, hehe. Siapa yang cipta? Allah juga. Mata kita, ada banyak bahagian. Ada choroid, retina, eye lens, pupil, iris dan banyak lagi. Masing-masing ada tugas sendiri. Masih soalan yang sama, siapa cipta? Allah juga. Mana ada yang lain.

Telinga. Ada bermacam bahagian. Cara perjalanan bunyi hendak sampai ke otak, begitu kompleks. Perlu ditukar kepada getaran di eardrum, kemudian dikuatkan di ossicles, malalui oval window, kemudian ditukar kepada nerve Impulse di cochlea, baru dihantar ke otak. Siapa yang cipta? Allah.

Dalam kepala kita, ada satu cecair khas dipanggil serebrospina. Cecair inilah yang menampung berat otak supaya dapat diseimbangkan di atas tengkuk. Masih lagi, siapa yang cipta? Tetap Allah, tiada yang lain.

"Klai ini saush sikiedt. Mneruut peenliitan praa alhi, msekpiun huurf daalm sbeuah ktaa di uabh, ktaa tresbeut maish bsia di bcaa dnegan mduah, asaalkn psoisi huurf pretmaa dan treakihr tiadk di uabh. Ini menjuunkkan keheabtan oatk ynag leibh heabt diarpdaa mnaa-mnaa koputmer."

Siapa yang cukup hebat menciptanya? Allah lah, takkan ada manusia yang hebat boleh cipta perkara macam ini. Cukup banyak? Fikirkan lagi, sesungguhnya terlalu banyak tanda kekuasaan Allah di sekeliling kita. "Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?" [Qs. Az-Dzariyaat, 51:20-21]

"Tidakkah terdetik di hati kita untuk mencintai-Nya?" Cuba nilai diri kita. Berapa khusyuk kita mengingat Allah berbanding ingat kepada buah hati (jika ada)? Atau khusyuk main game? Berapa banyak masa kita guna untuk solat berbanding masa untuk bermain di padang? Berapa banyak masa kita gunakan untuk baca Al-Quran berbanding baca komik dan novel? Berapa banyak masa kita gunakan untuk berzikir, beristighfar berbanding bersembang-sembang kosong? Berapa kerap kita mendengar majlis ilmu berbanding tengok movie? Atau dengar lagu? Berapa seriusnya kita lakukan aktiviti akhirat berbanding aktiviti dunia?

Berapa? Berapa? Berapa banyak? Berapa kerap? Berapa fokus? Bak kata orang melayu, tepuk dada. Bukan Tanya selera, tapi Tanya hati. Tanya iman. Kita mungkin boleh berbohong dengan orang lain, tetapi tidak kepada diri kita sendiri. Bayangkan. Bagaimana perasaan kita, seandainya seseorang memberikan RM 1,000,000,000 kepada kita? Satu billion ringgit. Apa yang kita akan lakukan?

Wah, puji bukan main lagi. Muka senyum seikhlas mungkin. Kalau baru lepas mati anak pun tetap tersenyum, nak bodek lah katakan. Siap kilatkan kasut orang tu, peluk dia, sampai cium kaki, macam-macam lagi. Masa itu, macam-macam ayat keluar daripada mulut. Kawan terbaik lah, penyelamat hidup, sang matahari, aku sayang kau selamanya, jasamu dikenang, macam-macam lagi. Tapi kita sedar tak, berapa juta billion, entah trillion agaknya, nilai nikmat Allah pada kita?

"Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)." [Qs Ibrahim, 14:34]

Kita takkan dapat kira nikmat Allah yang telah Dia berikan kepada kita. Namun mengapa kita masih tidak bersyukur?

"Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalam (tubuh)nya roh (ciptaan)Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, [tetapi] kamu sedikit sekali bersyukur." [Qs. As-Sajadah, 32:9]

Cuba kita fikirkan kembali. Apa kita ini layak untuk masuk ke syurga? Dengan cara hidup seperti ini?

"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar." [Qs. Ali-Imran, 3:142]

Ayuhlah saudara-saudariku. Hubungkan kembali keterikatan kita dengan Allah. Susah? Ya, ana tak nafikan. Memang tak mudah. Namun itulah harga sebuah kenikmatan. Mujahadah memang sukar. Namun biarlah kita seperti, kata orang melayu (lagi), Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Bukan berenang-renang ke hulu, lepas tu dihanyutkan arus deras. Bersenang-senang dahulu, lepas tu baru nak menyesal.

Biarlah kita terseksa sedikit, demi sebuah kebahagiaan. Demi sebuah kenikmatan. Demi sebuah syurga. Demi sebuah cinta. Cinta kepada Sang Pencipta Cinta. Ingatlah, hanya itulah cinta yang abadi. Cinta yang diredhai.

Kadang-kadang Allah tutup matahari,
Allah datangkan hujan dan guruh yang menyeramkan.
Kita tertanya-tanya, "ke mana perginya matahari? Kenapa Allah uji aku sampai macam ini?"
Namun, selepas itu, Allah memberi kita pelangi.
Indahnya pelangi itu.
Ya, Itulah pelangi cinta.
Cinta yang paling indah.
Itulah cinta ilahi.

Oleh:
Megat Shahrul Imran Bin Ismail,
Novice software engineer,
MARA Junior Science College PDRM
http://semogaallahmencintaiku.blogspot.com/

وَأَقِيمُواْ الصَّلاَةَ وَآتُواْ الزَّكَاةَ وَمَا تُقَدِّمُواْ لأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللّهِ إِنَّ اللّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Dan dirikanlah salat dan tunaikanlah zakat. Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahalanya pada sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 110)

Detik Akhir dan Iktikad Itu

Nanti akan ada satu detik,
Nafasku kohor,
Kulitku rekah,
Uratku longgar,

Segala gerak seakan payah,
Lelah untuk mengorak langkah,
Namun tidak terhenti iktikad.

Adakah kau setia menanti,
Lantunan suara yang kian kelam,
Tenggelam pada bibir yang kontang,
Dimamah getir usia?

Apakah kau mampu hayati,
Kalimah tauhidkan Yang Esa,
Terbang bersama sayap makrifat,
Menjelajah langit abadi?

Aku sesekali tidak mudah luntur,
Aku tidak akan mudah goyah,
Pada detik yang merobek riwayatku.

Aku akan terus berjihad,
Aku akan terus beriktikad,
Hingga laungan Izrail menggema ke diri.

Sampai detik akhir itu,
Dengan desir kasih-Nya,
Titipkan doamu buatku selalu.

- Artikel iluvislam.com

Monday, October 17, 2011

Hari-Hari Ada Exam






Nabi s.a.w bersabda: "Tidak ada seseorang Islam yang ditimpakan sesuatu yang menyakiti, iaitu penyakit atau lainnya, melainkan Allah gugurkan dengan sebab itu dosa-dosanya, sebagaimana pokok menggugurkan daunnya (pada musimnya yang tertentu)." Riwayat: Abdullah bin Mas'ud r.a

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut. Riwayat al-Hakim

Tribulasi atau ujian adalah seiringan dengan perjuangan. Oleh itu ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah. Ujian dijadikan Tuhan untuk mengukur sama ada keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaranNya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut sahaja. Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafiq yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya. Semuanya ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.

Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan ia merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana dengan mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah dan terbitnya perasaan kecewa dan putus asa sedangkan Allah SWT berfirman dengan maksudnya:Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (al-Insyirah:6) 5. Tanpa masalah atau ujian tidak akan wujud kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan.

Setiap hari kita ada ujian. Dalam bentuk yang pelbagai seperti pilihan nafsu, akal, atau mengikut Al-quran.

فَإِذَا مَسَّ الْإِنسَانَ ضُرٌّ دَعَانَا ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنَاهُ نِعْمَةً مِّنَّا قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ بَلْ هِيَ فِتْنَةٌ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami ia berkata: ""Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah karena kepintaranku"". Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui
(Surah Az-Zumar 39: Ayat 49)

Kenali Diri Kenal Pencipta






Mengenal Allah s.w.t adalah fardhu Ain atas tiap-tiap mukallaf dengan mengetahui namaNya dan sifat-sifatNya yang bertepatan dengan syarak yang berlandaskan ajaran para Nabi dan Rasul.

Firman Allah Taala(surah ke-45,al-Jaathiyah:3-4)

"Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya. "

Firman Allah Taala(surah at-Thuur,surah ke-35:35-36):

"(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? .Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya). "

ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ‌ۚ لَا تَأۡخُذُهُ ۥ سِنَةٌ۬ وَلَا نَوۡمٌ۬‌ۚ لَّهُ ۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۗ مَن ذَا ٱلَّذِى يَشۡفَعُ عِندَهُ ۥۤ إِلَّا بِإِذۡنِهِۦ‌ۚ يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡ‌ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىۡءٍ۬ مِّنۡ عِلۡمِهِۦۤ إِلَّا بِمَا شَآءَ‌ۚ وَسِعَ كُرۡسِيُّهُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ‌ۖ وَلَا يَـُٔودُهُ ۥ حِفۡظُهُمَا‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 225)

Wahai Jiwaku Yang Tenang





Hari ini dia kelelahan lagi. Kelelahan kerana rasa itu yang tunda menunda di dalam hati.

Suatu bunga rasa yang merobek tangkai jiwa, mencarik-carik segumpal daging bernama hati menjadi cebisan-cebisan kecil. Lantas luka itu dicurah dengan air laut, sungguh pedih, sungguh resah, sungguh lelah!

Entah kali ke berapa rasa itu menyeksa nalurinya. Sungguh galau. Mengapa begini? Hairan sungguh. Seingatnya, dia tidak pernah begini. Rasa itu tidak pernah menyinggah hatinya. Alangkah begininya perasaan itu. Alangkah! Mungkin kecewa dengan diri, atau mungkin sebenarnya lebih dari itu, bahagia dengan kuntuman rindu dan penuh harap.

Ah! Akhi itu benar-benar membuatnya cemas dan tewas. Dia tidak pernah berperasaan begini seingatnya. Sudahnya, dia hanya diam sahaja. Biarlah rasa itu dia simpan kemas sendiri. Sekejap. Erat. Hanya antara dia dan Allah S.W.T. Dan pada setangkai doa yang diraut, diadu, diratap di hadapan Allah S.W.T dalam lena dan dalam jaga.

BULAN BERUBAH WARNA

Hari itu dia kesiangan. 7.30 pagi! Belum pernah dia bangun untuk solat Subuh selewat itu. Dalam penyesalan dan istighfar dia meraup mukanya, lantas mengatur langkah ke bilik air.

"Ya Allah, apa sudah jadi ni." bisik hati kecilnya.

Pagi itu, akhirnya Mardhiyyah mengangkat takbir dengan hati yang sebal dan penuh persoalan. Kenapa boleh jadi begini? Biasanya dialah orang pertama yang akan bangun bertahajjud, seterusnya mengejutkan teman sebiliknya, lantas berjemaah di surau kolej. Kebetulan pula Aina Fasihah menghadiri seminar tiga hari di JAKIM, dan Nurin uzur syar'ie.

"Erm.. terlewat bangun ke? Maaf tak kejut. Biasanya awak bangun awal." Nurin menggosok-gosok matanya.

"Eh, tak mengapa, bukan salah Nurin. Mungkin sebab tidur lewat semalam." suara Mardhiyyah kedengaran lemah.

Selebihnya dia bermonolog sendirian dalam diam.

Ya Allah, mungkinkah disebabkan sebelum tidur tadi aku teringatkan Fawwaz dan tidak mengingati dan menyebut nama-Mu?

Dan aku terlupa membaca al-Mulk. Ya Allah, maafkan aku.

Bagaimana dengan solat Tahajudku?

Semenjak hayat kedewasaanku ini, sudah jarang aku meninggalkan solat malam.

Memang semalam dia teringatkan Fawwaz sebelum tidur. Biasanya sebelum tidur dia akan membaca al-Mulk dan membaca doa-doa serta surah-surah pendek sebagai pendinding diri. Namun pulang sahaja dari 'meeting' semalam, sekitar jam 11.45 malam, khusus membincangkan tentang gerak kerja Pilihan Raya Kampus yang bakal menjelang, dia merasa sungguh letih.

Letihnya di tahap luar biasa, dengan kuliah dan tutorial seawal jam lapan pagi. Juga letih serta lelah malah sakit mencengkam lubuk jiwa. Mengapa dalam 'meeting' itu dia harus juga hadir!

Usai sampai ke bilik, dia menghenyakkan tubuhnya ke katil. Sungguh penat dan lelah. Namun Mardhiyyah tersenyum jua. Memandang wajah akhi itu mendatangkan ketenangan ke lubuk jiwanya yang terdalam.

"Sudah dua hari aku tercari-cari wajahnya. Mungkin jodoh aku bertemunya malam ini."

Sudahnya, dia mengambil mp3 playernya dan menyumbatnya ke telinga. Biasanya tangan mulusnya akan dipetik ke 'folder' bacaan al-Quran. Itu yang biasa dilakukan jika dia tidak dapat melelapkan mata.

Menghayati bacaan Syeikh Saad Sa'id Al-Ghamidy atau As-Sudaisy yang menggetarkan dan mengharukan itu, juga Qari 'favourite'nya, Syeikh Tawfeqh As-Sayegh; terkadang dia turut larut tenggelam dalam bacaan bersama linangan air mata. Atau sekadar melayani celoteh DJ stesen radio pilihannya, IKIM.fm, dengan info dan tazkirah penyubur jiwa.

Tetapi, tangannya terhenti pada lagu itu. Albi Nadak. Bayangan Fawwaz dalam meeting itu menerpa kembali. Seperti biasa, dengan kewibawaannya berhujah dan memberi pendapat. Belum dikira renungan dan senyuman spontannya.

Lik

Ana milkilik.......

Alangkah indahnya andai dia menjadi milikku. Dan aku akan mempunyai seorang mujahid yang akan sama-sama berjuang bersamaku. Akanku kuatkannya tika dia goyah, dan pastinya dia akan selalu membisikkan kata-kata perjuangan buat membakar semangatku.

Akan kulahirkan tunas-tunas comel yang akan mewarisi perjuangan kami, bahkan sebenarnya merupakan rintisan perjuangan Baginda S.A.W.

Akan kusayangi dia sepenuh jiwa dan ragaku. Kerana pasti aku yang akan merasa pedihnya kehilangan insan sepertinya. Akanku sedaya upaya cuba untuk menghadiahkan 'solehah'ku padanya, agar sejuk mata hatinya dalam bahtera rumahtangga kami. Tentu sekali aku kan bahagia.

Mana mungkin aku tidak akan bahagia. Peribadinya cukup meyenangkan. Senyumannya cukup mendamaikan. Penampilannya sederhana dan memikat kalbu. Sentiasa tawadhuk. Paling aku terpikat pada karakternya yang nampak serius di luar. Namun sebenarnya boleh tahan kelakar.

Dan paling mengharukan, dia seorang Hafiz! Apa lagi yang diperlukan dari seorang peribadi bernama Fawwaz. Pendek kata, aku tidak sanggup untuk mencintai orang lain selain darinya. Sungguh hatiku bernyanyi begitu."

Dan nyanyian jiwanya yang sarat itu berlagu-lagu di dalam lenanya tanpa dakapan al-Mulk dan tiga Qul, tanpa selimut air wudhuk dan tanpa sinar Qiamullail.

WAHAI JIWAKU YANG TENANG!

Pagi sehening itu, Mardhiyyah mengatur langkah ke surau kolej. Di saat ini hatinya sudah tidak keruan lagi. Kalau ditoreh dengan belati tentu sudah tidak berdarah lagi. Kalau dihempap dengan gunung pun entah bagaimana halnya. Yang ada di fikirannya adalah dia. Hanya dia.

"Ya Allah, aku rindukan dirinya. Aku inginkan dirinya untukku. Betapa beratnya perasaan ini Ya Allah."

Dalam sedu sedan istikharah penuh harap, Mardhiyyah mengadu pada Ilahi Rabbi. Air matanya bercucuran merindukan akhi itu. Sudah lama dia tidak melihat Fawwaz. Mengikut cerita teman-teman, dia pulang ke kampung.

Ah, mengapa ramai benar yang suka bercakap tentangnya. Jika namanya terluncur di bibir akhi lain, hatinya bergetar hebat, dan saat namanya disebut di kalangan sahabat muslimatnya, hatinya sungguh hancur dan resah.

Mengapa ramai benar yang menyukainya?

Dia berjalan longlai. Usai mandi pagi itu, dia terus mengatur langkah ke surau. Masih awal rupanya. Waktu Subuh belum tiba. Suara unggas-unggas sungguh hening dan hiba, sehiba hatinya yang kerinduan. Sebelum ini, kerap juga dia terserempak dengan akhi itu di hening Subuh begini. Berpapasan ke surau.

Di kala begitu, dia melambatkan langkah, biar saja akhi itu mendahuluinya. Ataupun mana-mana muslimin lain. Tidak pantas seorang muslimat untuk berjalan dan buru-buru di hadapan lelaki ajnabi.

Biar saja mereka berjalan dulu. Itu lebih afdhal. Seperti halnya yang dilakukan Nabi Musa saat berjalan bersama Shafra yang menjemputnya.

Sesampai di surau, ternyata tiada siapa-siapa. Tiada sahabat muslimin apatah lagi muslimat. Hatinya terasa sunyi dan pilu, sepertimana sunyinya keadaan surau di waktu fajar itu. Dia masuk dan lantas mengambil senaskah al-Quran, lalu duduk bersimpuh.

Mardhiyyah memeluk al-Quran itu lantas menciumnya. Matanya terasa panas dan hangat. Dia membuka al-Quran untuk mencari petunjuk. Awal pagi sebelum tidur semula tadi dia usai solat istikharah. Hatinya berkecamuk kerana tiada petanda.

Mungkinkah hatinya sungguh berkarat dan berlumut, lalu Allah memberi hijab?

Air matanya tumpah. Mengapa murah benar air matanya dua tiga hari ini? Mungkin rindu sungguh. Ah, sungguh penasaran. Hati yang sungguh berkecamuk dan diadun seribu satu rasa. Lantas dia teringat pada coretan ringkas yang dibuat di hujung nota Falsafah Islam semalam.

Dua tiga hari ini aku tidak melihatmu. Di mana-mana kucari wajahmu. Namun kau tiada.

Di mana dirimu?

Bagaimana keadaanmu?

Lalu aku melalui jalan-jalan kerinduan nan hiba namun kau tiada jua. Allah sampaikan perasaan ini pada dia. Harapanku, semoga benar aku dari rusuknya.

Dia membuka kitab suci itu secara rawak. Lantas membaca ayat yang dipilih secara rawak mengikut gerak hati. Inilah yang dibiasakannya jika dia dalam kebuntuan dan keresahan. Ternyata hal ini biasa menjadikannya tenang.

"Pada hari ketika kamu melihat orang mukmin laki-laki dan perempuan, sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka: "Pada hari ini ada berita gembira untukmu, syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, yang kamu kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang besar.

Ayat ini ternyata menyejukkan mata hatinya. Syurga untuk mukmin laki-laki dan perempuan? Tentu sekali juga untuk suami dan isteri yang berkasih sayang kerana Allah. Bibirnya menguntum senyum sekilas. Lantas dia membelek lagi naskah al-Quran itu mengikut kata hatinya. Dan tangannya terhenti.

"Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang , maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang kami kehendaki bagi orang yang kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka jahannam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir."

Nalurinya bergetar. Mardhiyyah merasa sungguh terkesan.

Neraka? Kehidupan sekarangkah yang kuinginkan? Mengigaukan seseorang yang bukan hak? Ah, dia jadi buntu.

Dia membelek buat kali ketiga. Saat ini air matanya semakin galak. Gerun dengan gambaran neraka yang maha azab. Adakah selama ini dia sudah tersasar jauh? Matanya tertancap pada Surah al-Mukmin, ayat 55:

"Maka bersabarlah kamu, kerana sesungguhnya janji Allah itu benar, dan mohonlah ampunan untuk dosamu dan bertasbihlah seraya memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi."

Ah, serasa pujukan Allah S.W.T itu mengena jiwanya.

Adakah aku sudah salah selama ini?

Perasaan yang suci ini adakah sudah tercemar?

Mungkinkah aku yang tidak sabar, atau akukah yang tidak yakin dengan janji Allah S.W.T?

Tangisannya semakin melebat diikuti esakan kecil. Namun, dia mencuba menahan esakannya, kerana lampu di bahagian lelaki sudah terpasang. Mungkin sudah ada yang datang untuk menjadi imam.

Seketika azan dilaungkan penuh syahdu. Ini suara yang kurindui selama ini! Air matanya kembali melebat. Kenapa sekarang perlu hadir pula.

Ya Allah, apakah maksud dari segala ini? Hatinya berkecamuk dan fikirannya berpusing.

Usai azan, suasana kembali hening. Mardhiyyah mengangkat takbir untuk solat sunat Qabliyyah, sambil menyeka air mata yang berbaki. Namun hatinya masih dalam kebingungan bernada riang.

Usai solat qabliyyah, masih tiada jemaah muslimat yang datang. Di bahagian muslimin, turut senyap dan sunyi. Namun itulah fenomena dasawarsa ini pada atmosfera kampus.

Tarbiah dan program ilmiah tidak mendapat sambutan. Namun, pada program dan aktiviti berunsur hiburan dan liburan, sungguh ramai warga kampus berpusu-pusu! Suatu kebobrokan intelektualisma dan insaniah!

Tiada laungan Iqamat. Aneh.

"Assalamualaikum, erm.. enti dah solat?"

Ya Allah, hatinya tersentak. Itu memang suaranya! Seseorang yang dirindui seputar tiga empat hari ini. Dia seperti mahu menangis semula.

"Waalaikumusslam.. erm.. belum.." Mardhiyyah menjawab dengan baki suara yang ada bercampur nada serak.

"Baguslah, boleh solat jemaah bersama, sebab muslimin lain tak ada.." balasnya.

"Erm..ya.." jawab Mardhiyyah ringkas.

Entah mimpi apa, aku solat jemaah dengannya pagi itu. Bukan tidak selalu aku solat diimamkan olehnya, namun hari ini kami berdua sahaja! Tanpa orang lain. Hatiku berbunga bahagia. Alangkah indahnya solat berjemaah dengan orang yang dicintai! Hanya berdua. Gambaran rumahtangga yang sakinah dan dirahmati terapung di mindaku.

Saat Ahmad Fawwaz Auza'iy mengangkat takbir penuh ketenangan, hati Mardhiyyah al-Hasanah diamuk perasaan yang mencengkam. Sungguh hening keadaan tika itu. Dan tika dia mula membaca al-Fatihah, Mardhiyyah larut dalam bacaannya yang penuh teratur.

Terasa ada hembusan yang sejuk turun dari langit dan menyentuh ubun-ubun, lantas menyelinap ke rongga jiwa. Pada rakaat kedua, Fawwaz membaca surah al-Fajr.

Bacaannya sungguh lembut dan mendamaikan. Sesekali ditekan, menyebabkan sesiapa yang mendengarnya terasa syahdu, dan kelopak mata terasa hangat, bergetar hati dengan bacaan ayat Ilahi.

Dan tiba ke beberapa potongan ayat terakhir, jiwa Mardhiyyah tersentak hebat.

Ya ayyatuhannafs al-muthmainnah,

Irji'i ila rabbiki raadhiyatan mardhiyyah,

Fadkhuli fi 'ibadi,

Wadkhuli jannati.

Hai jiwa yang tenang,

Kembalilah Kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya,

Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku,

Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.

Saat bibirnya lembut menuturkan kalimah 'Mardhiyyah', hatiku bertambah derunya. Kalimah itu seolah-olah penuh nasihat yang lembut. Sungguh jiwaku tidak tenang selama ini. Aku menjadi pemburu bayang-bayang yang tidak pasti dapat kugapai. Terkadang aku ke program dan kuliah untuk menjadi pemerhatinya yang setia.

Walau dia dekat denganku, namun boleh jadi dia bukan untukku. Terdapat pelbagai kemungkinan yang sedia direncana oleh Allah S.W.T. Bukankah aku sendiri yang selalu berdoa usai Ma'thurat, agar janganlah nasibku ditentukan oleh diriku sendiri walau sekelip mata cuma. Alangkah jika dia bukan tercipta untukku.

Alangkah. Lalu, bagaimana pula halnya dengan insan yang hak untukku nanti?

Tidak adil untuknya bukan?

Seketika itu, air mataku tambah melebat. Dan aku menghabiskan solat fajar itu dengan air mata yang aku tahan.

Begitu jua saat akhi itu berdoa tulus, muzakarah usrahku pada hari Selasa yang lepas terngiang-ngiang menerpa.

"Jikalau begitu kak Husna, berdosakah untuk berperasaan sebegitu? Ternyata itu perasaan suci anugerah Ilahi, suatu fitrah insani." Aku pura-pura bertanya secara umum.

"Ya, perasaan yang suci, bernada ujian buat hamba-Nya yang dikasihi. Terserah untuk kita bagaimana. Yang penting, ternyata ketenangan itu tidak ada jikalau kita terlalu menurut hawa nafsu sendiri. Sudahnya kita kelelahan. Hindarilah dari terlalu berharap, bimbang kecewa nanti. Bimbang jika perasaan itu memenuhi ruang lebih dari perasaan kita pada Allah. Yang pastinya, Allah bakal mengabulkan permintaan itu jikalau sememangnya dia pantas untuk kita. Berdoa sahajalah yang terbaik untuk diri, walau siapapun dia. Kita tidak tahu akan rahsia Allah S.W.T. Sesungguhnya Dia Maha Tahu apa yang tersirat, siapalah kita yang lemah dan hina ini."

Begitupun saat akhi itu melantunkan bacaan bernada tarannum usai solat Subuh tersebut, sedang aku menahan esak tangisku di belakang. Dan pagi Ahad yang hening itu, aku beriktikaf di surau sehingga membawa ke waktu Zohor.

"Pergilah akhi. Biarkan hatiku sendiri. Maafkan aku akhi. Tidak aku sangka aku pernah senyum, menangis dan kegelisahan keranamu. Maafkan aku wahai bakal rafiq hidupku. Walau siapapun engkau, dari mana pun engkau, doakanlah aku di sini, untuk kuat menyimpan hati ini padamu. Ya Allah, penuhkan cinta-Mu dalam qalbuku agar aku tidak lemas dalam cinta yang tidak halal untuk diriku."

Hai jiwa yang tenang,

Kembalilah kepada Tuhanmu.

Dan ternyata hal itu boleh membuatkan dirinya tenang! Dan ikhlas dalam perjuangan!

-Artikel iluvislam.com

Saturday, October 15, 2011

Benarkah Cinta?





Mahabbah dalam ertikata yang sebenarnya ialah kasih dan sayang di antara satu dengan lain semata-mata kerana Allah swt.

Cinta kepada Allah dan Rasul adalah setinggi-tinggi nilai cinta yang dimiliki manusia. Di dalam hadis Rasulullah -shallallahu 'alaihi wasallam- menegaskan; Iman seorang hamba tidak akan sempurna selagi ia tidak meletakkan dalam hatinya kecintaan kepada Allah dan RasulNya melebihi dari cintanya kepada harta, anak dan diri sendiri.

Dengan mengingati segala nikmat Allah kepada kita bermula dari nikmat kewujudan kita di atas muka bumi ini, nikmat kesihatan dan kesejahteraan, tubuh badan yang sempurna, dikurniakan keluarga dan sahabat handai yang menyayangi kita dan bermacam nikmat lagi. Namun nikmat terbesar yang Allah kurniakan ialah nikmat iman dan amal soleh. Semua manusia berkongsi nikmat hidup, nikmat sihat dan nikmat keindahan tubuh badan (ahsani taqwim), namun sedikit sahaja dari mereka yang dipilih Allah untuk diberi nikmat iman, amal soleh, berterusan beramal soleh, nikmat kesungguhan untuk meningkatkan iman, nikmat kecintaan kepada Allah dan RasulNya.

Dari 6000 juta manusia di atas muka bumi ini, kita telah dipilih oleh Allah untuk diberikan nikmat khusus tersebut. Dengan mengingati nikmat-nikmat tersebut akan bertambahlah cinta kita kepada Allah. Adapun Nabi Muhammad, di antara yang boleh kita ingati semoga bertambah cinta kita kepada baginda ialah dengan mengingati jasa baginda menyampaikan risalah Allah kepada kita, jihad baginda, kesabarannya, keinginan baginda untuk melihat kesejahteraan kita dunia dan akhirat, kesungguhan baginda untuk menyelamatkan kita dari neraka dan supaya kita dapat masuk syurga dengan kurniaan Allah.

Adapun Rasulullah, sifat-sifatnya menggambarkan kesempurnaan seorang manusia. Baginda adalah seorang yang pengasih, tidak pernah kedekut, suka berkorban, sentiasa manis muka, berani, berlumba kepada kebaikan, penyabar dan sifat-sifat seterusnya yang tidak dapat kita jelaskan kesemuanya di sini. Sesiapa sahaja yang dengan penuh insaf membaca sirah hidupnya, ia pasti akan jatuh cinta kepada baginda.

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Ali-Imran 3: Ayat ke 31)

Saturday, October 8, 2011

Pandangan Ilmuan Islam Berkenaan Bajet 2012





Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarganya, sahabat dan seluruh umat yang menurutinya dalam kebaikan dan keimanan.

Bajet 2012 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam menyediakan peruntukan RM232.8 bilion dengan defisit 4.7 peratus. Secara umumnya kami mengakui bahawa bajet yang dibentangkan secara umumnya adalah baik dan memberi perhatian yang banyak serta agak komprehensif kepada kemaslahatan rakyat dari pelbagai genap lapisan dan sektor.

Pun begitu, agak merungsingkan apabila bajet ini masih kekal defisit, tahun lalu defisit adalah sebanyak 5.4 peratus. Perlu difahami unjuran hasil kerajaan pada tahun 2012 hanyalah RM 186.9 billion dan ini bermakna kerajaan perlu membuat hutang dalam negara yang baru sebanyak RM 45.9 billion.

Kami dengan ini, menyuarakan kebimbangan kami terhadap trend menambah hutang dalam mengurus dan membangun Negara tercinta ini. Menurut Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah pun mencecah RM437 bilion dan meningkat 11.9 peratus kepada RM455.75 billion bagi hujung tahun ini.

Berhutang itu bukanlah perkara yang sihat untuk diteruskan tanpa sebarang plan konkrit untuk menyelesaikannya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

"Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

Juga sabda baginda:-

"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? ; Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari." ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )

Berdasarkan hasil perbincangan telus, sederhana akademik dan sifat non-partisan di antara beberapa peserta pertemuan ilmuan Islam dan pendakwah terlibat dalam pertemuan berkala ini, pihak kami menyambut Bajet Negara 2012 dengan perasaan bercampur-campur.

Secara ringkas dan mudah dan berdasarkan kemampuan kami yang sederhana, berikut adalah respons kami terhadap beberapa isi penting terpilih dari Bajet 2012 yang dibentang pada 7 Oktober 2011:-

A) Sokongan sepenuhnya

Kami memberikan sokongan sepenuhnya terhadap item-item berikut:-

1. Kewujudan Dana Perusahaan Kecil Sederhana secara Patuh Shariah bernilai RM2 billion yang akan diagihkan melalui institusi kewangan Islam yang terpilih.
2. Potongan cukai kepada sukuk terbitan wakalah, sebelum ini telah diberikan kepada sukuk mudarabah, BBA, Istisna', murabahah, ijarah.
3. Pengecualian cukai bagi urusniaga sukuk bukan ringgit sebagai galakan perkembangan industri kewangan Islam.
4. Skim pembelian kereta baru jenama tempatan bagi pemilik teksi individu dengan beberapa tawaran nilai lupusan bagi jangka hayat kereta yang berbeza. Ini juga baik, bagi menggalakkan kualiti teksi sedia ada, sekaligus mengurangkan risiko pengguna dan menaikkan imej negara.
5. Potongan dua kali belanja syarikat bagi yang menyediakan latihan internship. Langkah ini juga disokong khususnya latihan teori dan peperiksaan di universiti semata sememangnya tidak mampu menghasilkan tenaga kerja yang cekap dan mahir, justeru tawaran ini dikira mampu meningkatkan kecekapan tenaga kerja muda di Malaysia disamping menaikkan produktiviti syarikat terbabit dengan tenaga kerja yang lebih menjimatkan.
6. Mana-mana pemberi biasiswa dari kalangan syarikat swasta akan memperolehi pengecualian cukai.
7. Pertukaran gaji kepada sistem satu lapis dan kenaikan gaji, iaitu pada kadar RM80 – RM320 atau opsyen skim SBPA dengan faedah kenaikan gaji pad akadar 7-13 peratus.
8. Bonus setengah bulan kepada kakitangan awam dan bantuan RM500 kepada pesara.
9. Dana Pengkomersialan Inovasi bagi PKS sebanyak RM 500 juta melalui pembiayaan patuh Shariah.
10. Yuran sekolah rendah & menengah dimansukhkan.
11. Sumbangan orang ramai kepada rumah ibadah dan sekolah swasta akan mendapat potongan cukai.
12. Pelbagai program membangun hal asasi di luar Bandar melalui dana bernilai RM5 bilion untuk jalanraya, air bersih, elektrik, tangki air, felda diperbaiki sistem pengairan dengan bajet RM400 juta lagi.
13. Umur bersara lanjut ke 60 tahun.
14. Jadual dan jumlah jam kerja pegawai perubatan di ubah kepada purata hanya 60 jam seminggu sahaja, ditambah dengan sistem elaun oncall pada kadar RM30 ke RM 80 semalaman.
15. Bajet biasiswa bagi galakan penjawat awam menyambung pelajaran di peringkat BA, MA dan PhD
16. Naik pencen 2 peratus setahun.
17. Baiki rumah nelayan dari dana sumbangan bernilai RM 300 juta.
18. Bantuan guaman bagi yang tertuduh tidak mampu. Bajet RM 15 juta diperuntukan.
19. Hospital kanak-kanak dan wanita RM 700 juta.
20. Warga emas berumur 60 ke atas dikecualikan dari caj hospital kerajaan sebagai pesakit luar. Selain itu juga diberikan 50% diskaun tambang LRT dan Monorel
21. Orang ramai boleh menggunakan RM 1300 dari wang KWSP mereka untuk mendapatkan kuota haji melalui kaedah ring-fencing.
22. Peruntukan meningkatkan sumber makanan melalui pertanian dengan nilai 1.1 billion.
23. Baucar buku RM 200 bagi pelajar matrikulasi, IPTA, IPTS dan tingakatan enam.
24. Galakan sistem bina kemudian jual, diperuntukan melalui perbankan Islam bagi rumah bernilai RM 600,000 ke bawah. Ertinya, hanya apabila rumah siap, barulah pelanggan diperlukan untuk membuat bayaran bulanan.

B) Sokongan dan nota perhatian

Berikut pula adalah item yang disokong, namun dengan dengan sedikit nota:-

1. Pengecualian cukai duti import dan duti eksais untuk kereta elektrik dan hybrid. Namun pihak kami merasakan pihak kerajaan sewajarnya meluaskan lagi galakan ini dan bukan sekadar terhad kepada dalam industri automatif, malah juga wajar diberikan potongan cukai atau insentif yang sesuai kepada mana-mana perusahaan dan perkilangan yang mampu beroperasi secara bersih dan kurang pencemaran melalui sistem 'teknologi hijau', selain itu kami juga ingin mencadangkan agar kerajaan mengkaji bagi mengenakan cukai penalti atau khas kepada mana-mana kenderaan dan kilang yang mengakibatkan sebaran 'carbon emission' berlebihan kepada persekitaran.
2. Pengecualian cukai bagi francais tempatan bagi mengalakkan perkembangannya. Dengan kelebihan ini, pihak kami menyeru agar harga khidmat, servis dan makanan yang disediakan oleh francais terlibat tidak dinaikkan bagi mengelakkan tambahan beban bagi rakyat, juga diharapkan pihak kerajaan mampu mengambil inisiatif menasihatkan pihak francias menaikkan kualiti perkhidmatan mereka.
3. Skim rumah pertama bagi kakitangan berpendapatan di bawah RM 3000, dibenarkan untuk membeli rumah pada harga maksimum RM 400 ribu berbanding RM220 ribu sebelum ini, dengan kebenaran menggabung nama suami isteri. Kami berpendapat kenyataan ini hanya merawat sebahagian masalah pemilik rumah pertama sedang ia tidak mampu menyelesaikan masalah harga rumah yang tinggi kepada golongan ini. Selain itu, pengumuman ini dijangka boleh mengakibatkan galakan tidak langsung penjual untuk menaikkan harga rumah lalu menambahkan risiko kemampuan peluang golongan ini memperolehi rumah.
4. Amanah ikhtiyar – 2.1 billion bagi tujuan 'micro credit', namun diharapkan agar ia mampu disalur juga melalui dana patuh Shariah.
5. Sistem bas di luar Bandar RM 150 juta. Namun begitu, bajet kali ini mengalpakan peruntukan dan tumpuan untuk pengemaskinian dan sistem transportasi dalam bandar yang masih belum berkesan.
6. Menggalakkan Doktor, akauntan, guaman dan lain-lain professional buka perkhdimatan di luar Bandar dengan dana RM100 juta bagi pinjaman riba 4 peratus. Ia disokong namun mengapa tiada pilihan dana patuh Shariah? Juga disarankan agar kerajaan bukan hanya mengehadkan kepada badan professional tetapi juga badan-badan kebajikan dan sukarela yang ingin mengadakan khidmat sepertinya.
7. SME 'revitalization fund' untuk SME bermasalah. Pinjaman mudah 1 juta boleh diberikand dari dana bernilai RM 100 juta yang disediakan. Walau bersetuju namun pihak kami merasakan keperluan kerajaan memberi pilihan perkhidmatan Patuh Shariah melalui perbankan Islam.
8. Bantuan RM500 kepada isu rumah berpendapatan bulan RM3000 dan ke bawah dalam usaha meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak mereka. Kami bimbang bantuan ini akan mencetuskan lambakan tunai ke dalam masyarakat yang boleh mengakibatkan peningkatan kadar inflasi akibat kenaikan harga barangan, justeru pihak kami mengharapkan kerjaaan mampu merancang tatacara yang boleh digunakan bagi mengawal kenaikan harga barang agar tidak dinaikan sewenangnya akibat pengumuman ini, khususnya apabila ditambah dengan pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji. Juga pihak kami juga menegaskan bahawa agak ramai keluarga berpendapatan kurang dari RM 3000 yang tidak akan mendapat bantuan ini lantaran mereka tidak berdaftar dengan LHDN, juga tidak jelas sama ada individu yang tidak pernah membayar cukai LHDN boleh berdaftar tahun ini lalu terus mendapat kemudahan ini.
9. Pemilik teksi individu dan kereta sewa dikecualikan dari duti eksais dan cukai jalan sebanyak 100 %. Ini adalah baik bagi menggalakan lagi tekanan syarikat kepada pemandu teksi. Pun begitu, kami juga merasakan adalah bertambah jika kerajaan dapat juga mempertimbangkan pemberian permit-permit teksi kepada individu dengan lebih banyak.
10. KARISMA: Untuk warga emas miskin RM 300 sebulan, kanak-kanak miskin RM 100 sebulan, kurang upaya RM 150-350 sebulan. Kami bersetuju cuma melihat agar perlu ada peruntukan bagi OKU untuk mendapatkan peluang pekerjaan di dalam perkhidmatan awam, menaikan fasiliti asasi mereka di tempat awam selaras dengan dasar OKU, selain itu sewajarnya kerajaan memberikan pengecualian cukai kepada syarikat swasta yang mengambil OKU bekerja (jika belum ada)

C) Komentar umum

Berikut pula komentar umum kami terhadap bajet 2012 :-

1. Belanjawan defisit berterusan melebihi 5 tahun bukanlah sesuatu yang sihat. Defisit menyebabkan keperluan kerajaan untuk meminjam dengan faedah riba, apabila setiap tahun pinjaman bertambah maka jumlah hutang-hutang sebelum ini yang 'outstanding' pasti akan semakin menyesakkan. Bajet kali ini masih tidak menjelaskan plan kerajaan untuk menaikkan hasil dan pendapatan bagi mengelakkan belanjawan defisit.
2. Tiada sama sekali peruntukan untuk pembangunan urusan hal ehwal Islam sebagai agama rasmi melalui agensi-agensi kerajaan. Ini patut dikaji segera oleh kerajaan kerana bajet sepatutnya memberi perhatian dan sokongan kepada resolusi yang dicapai dalam Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia bagi membangunkan pengurusan hal ehwal Islam.
3. Peruntukan bagi sekolah-sekolah agama rakyat tiada disebut dan diabaikan.
4. Peruntukan untuk mengatasi gejala sosial yang semakin meruncing juga tiada diberikan perhatian sama sekali. Peruntukan patut disediakan sama ada melalui sekolah, agensi kerajaan terbabit, NGO dan yang layak.
5. Pemberian konsesi dan kontrak kepada beberapa pengendali lebuh raya yang akan dibuat sebagaimana diumum di dalam bajet mestilah diurus dengan penuh integriti agar tidak lagi klausa perjanjian yang merugikan rakyat akibat menjamin kenaikan wajib setiap tahun.
6. Di dalam keadaan defisit dan pemotongan pelbagai cukai terhadap pelbagai perkara, kerajaan sangat wajar mengenakan kembali 'import tax' untuk barang mewah yang pernah dihapuskan sebelum ini.
7. Terlalu banyak agihan perlu sampai segera kepada masyarakat yang mengharap dari bajet ini, tanpa sikap efisyen tinggi dan tiada badan khas yang dipertanggungjawab, ia mungkin hanya tinggal pengumuman sahaja. Justeru, kami mencadangkan bagi membuktikan ketelusan dan keikhlasan bukan sekadar pilihanraya, kerajaan mewujudkan badan pemantau khas dianggotai wakil kementerian, NGO & ahli politik untuk mencatat setiap agihan yang diumumkan di dalam bajet, lalu melaporkannya secara suku tahunan (quarterly) kepada parlimen bagi pengetahuan rakyat.
8. Pengecualian cukai bagi projek dan syarikat-syarikat KLIFD yang diberikan sehingga 10 tahun adalah terlalu panjang yang merugikan Negara khususnya apabila kewangan negara berada di dalam kedaaan defisit, justeru kami mencadangkan ia dikaji semula dan diubah kepada lima tahun sahaja.
9. Sekuriti dan isu keselamatan rakyat tidak diperuntukkan dengan peruntukan yang mencukupi, walaupun ada bajet untuk polis namun kita perlukan peruntukan khusus untuk sistem tekonologi sekuriti lebih baik seperti CCTV dan lain-lain sistem bagi memudahkan polis membantu keselamatan rakyat jelata.
10. 'Green tax' sekali lagi ingin kami highlightkan, pengecualian cukai bagi syarikat mampu mengurangkan pencemaran dan kenakan cukai bagi yang membuat pencemaran diperlukan.
11. Bagi mengelak spekulasi di dalam pemilikan perumahan, kami berharap kerajaan mampu mengkaji lagi sistem yang telah diperkenalan sebelum ini iaitu pembelian rumah ketiga dan seterusnya, institusi kewangan diminta untuk memberi pinjman sehingga 70 % sahaja, namun bagi merendahkan terus peluang spekulasi yang menyebabkan harga rumah meningkat sehingga menyukarkan pembeli rumah pertama dan pembeli untuk tujuan penginapan (bukan pelaburan), kami meminta pembiayaan dan pinjaman untuk pembelian rumah ketiga dan ke atas dihadkan kepada 50 % sahaja berbanding 70 % sebelum ini.
12. Peruntukan bagi mengemaskan dan menaiktaraf sistem pengangkutan dalam bandar tidak disebut di dalam bajet kali ini.
13. Selain memberikan tumpuan kepada hospital baru, naik taraf hospital swasta dan klinik, perlu juga perlu juga mengkaji khidmat di hospital swasta yang kian meningkat kos khidmat mereka.
14. Transformasi sepatutnya tidak hanya terhad kepada plan agihan yang baik tetapi plan kerajaan untuk tingkatkan integriti, kesungguhan dan keazaman mengelak ketirisan yang mengakibatkan perbelanjaan mengembang.
15. Tidak disebut kali ini berkenaan cukai barangan 'dosa' ke atas rokok, arak, judi dan sepertinya. Ini diperlukan bagi memperolehi pendapatan Negara dalam keadaan defisit dan mengecilkan jumlah mereka yang ingin terjebak di dalam masalah terbabit.
16. Kedai 1Malaysia (KRIM) adalah baik namun perlu disedari peruncit kecil terpaksa bersaing dengan harga barangan jualan KRIM yang 40% lebih rendah dari harga pasaran, jika tidak dikawal lokasinya boleh 'membunuh' kedai-kedai runcit milik peniaga kecil dan sederhana, justeru kami mencadangkan agar kedai ini benar-benar ditempatkan lebih banyak di kawasan luar bandar atau di kawasan yang dikenalpasti didiami kumpulan pendapatan rendah seperti PPRT di kawasan bandar atau universiti.
17. Kadar keuntungan cukai harta tanah, di dalam lampiran bajet 2012 disebutkan niat kerajaan adalah untuk mengekang spekulator hartanah dari berleluasa lalu cukai ke atas keuntungan jualan harta tanah dinaikkan dari 5 % ke 10 % bagi pelupusan dalam tempoh kurang dari 2 tahun, kami mencadangkan agar kerajaan mengembalikannya kepada jadual cukai asal iaitu 30% secara berperingkat dwi tahunan agar masalah ini dapat dibendung dengan lebih efektif. Selain itu, jualan harta tanah setelah 5-10 tahun pula dicadangkan agar tidak dihapuskan terus, maka boleh diletakkan cukai minima sekitar 1 peratus, ia dijangka penting untuk menjana pendapatan kerajaan.

Akhirnya, kami menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam fasa penyampaian dan perlaksanaan segala inisiatif yang telah dimaktubkan dalam belanjawan yang diumumkan agar bersifat amanah dan menzahirkan accountability yang tinggi agar setiap inisiatif yang dijanjikan benar-benar dirasai manfaatnya oleh para kumpulan sasaran. Kami mengingatkan seluruh stakeholders yang terbabit dengan Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat". (An Nisa:58)

"Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya. (Al-Qasas : 26)

Sabda Rasulullah SAW:

"Tiada iman pada orang yang tidak beramanah." (Riwayat Ahmad)

Dari kami untuk khidmat masyarakat,

Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Mursyid)

Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)

Ustaz Dr. Maszlee Malik

Ustaz Dr Zahazan Muhammad,

Ustaz Syed Mohd Norhisyam

Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,

Ustaz Hj Mohammad Nidzam Abdul Kadir,

Ustaz Hj Aizam Mas'ud,

Ustaz Hj Hasrizal Abdul Jamil,

Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,

Ustaz Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan,

Ustaz Ramadhan Fitri Elias,

Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,

Ustaz Zamri Zainuldin 'Mantop'

Ustaz Abdullah Bukhari Al-hafiz

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Ustaz Shauqi Othman

Ustaz Dr Firdaus Mohd Hatta

Dr. Mohd Nizam Barom

Mintalah Pengampunan





RASULULLAH SAW pernah bersabda kepada Aisyah r.a., "Jika engkau melakukan dosa dan bukan merupakan kebiasaan, maka mohonlah ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya, kerana apabila seorang hamba mengakui dosanya, kemudian dia bertaubat kepada Allah, nescaya Allah akan mengampuni dosanya."
(HR. Bukhari, Muslim dan Ahmad).

Wahai saudaraku! Bertaubat kepada Allah adalah merupakan jalan yang terbaik supaya dosa-dosa akan diampunkan oleh-Nya. Tidak ada yang dapat memberikan keuntungan bagi orang-orang yang beruntung pada hari akhirat kecuali hanya taubat yang sungguh-sungguh, yang padanya terkandung keikhlasan kepada Allah semata dan dengan cara menjauhi apa-apa yang tidak disukai-Nya.

Taubat itu adalah merupakan ubat yang dapat diperoleh bagi setiap orang yang terkena penyakit jiwa dan perbuatan-perbuatan yang buruk. Sedangkan makna taubat menurut pengertian bahasa ialah kembali". Maksudnya ialah kembali taat kepada Allah SWT setelah sebelumnya durhaka kepada-Nya.

Wahai saudaraku! Perhatikanlah ayat-ayat Al Quran yang menyerumu supaya bertaubat. Firman Allah:

قُلۡ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Az-Zumar 39: Ayat ke 53)

Islam Dalam Kehidupan




KESEDARAN manusia untuk kembali di bawah nilai murni Islam sangat ketara sejak kebelakangan ini. Kesedaran ini lahir selepas ada manusia yang gagal mengubah nilai hidup mereka ke arah yang lebih baik dan selesa serta selamat daripada ancaman.

Walaupun kesedaran ini lahir bukan kerana dirasakan perlunya kepada satu sistem hidup pilihan, tetapi ia lebih didorong rasa tanggungjawab dan tuntutan Islam itu sendiri. Tambahan, sistem nilai murni kehidupan Islam bukanlah satu sistem pilihan yang boleh direka sesuka hati, tetapi adalah satu sistem Ilahi yang unggul. Keunggulan yang mencakupi kebahagiaan dunia dan akhirat serta tidak dapat dibandingkan dengan sistem hidup pilihan lain yang ada di dunia ini.

Perkataan Islam berasal daripada perkataan Arab (aslama, yuslimu, islaman) yang bermaksud tunduk, patuh dan ia juga bermaksud selamat, sejahtera serta damai.

Nama Islam itu sendiri adalah diberi oleh Allah, Tuhan sekalian alam. Agama Islam adalah agama yang mentauhidkan Allah dan telah lama wujud bermula dengan Nabi Adam a.s. sehingga Nabi terakhir Nabi Muhammad s.a.w.

Cuma yang membezakan (antara nabi-nabi) adalah dari segi syariat. Islam dari segi istilah Islam adalah cara hidup. Cara bagaimana manusia perlu mengatur hidup mereka di atas dunia.

Ia adalah agama wahyu yang diperturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui malaikat Jibril a.s. Ia juga bermaksud apabila manusia di bumi ini menerima Islam dalam segenap aspek kehidupan mereka, maka Allah SWT tidak rasa ragu-ragu untuk memberi keselamatan kepada mereka, kerana Dialah sahaja yang Maha memberi keselamatan dan boleh menarik semula keselamatan itu apabila manusia sudah semakin ingkar kepada arahan dan larangan-Nya.

Islam adalah cara hidup Islam yang sifatnya sempurna kerana ia adalah agama Allah Yang Maha Sempurna, adalah satu cara sistem hidup manusia yang berpaksikan kebenaran. Kesempurnaan sistem hidup ini merangkumi aspek pendidikan dan pembelajaran, kekeluargaan, kemasyarakatan, politik, ekonomi, ketenteraan dan sebagainya.

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَـٰمُ‌ۗ وَمَا ٱخۡتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡعِلۡمُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡ‌ۗ وَمَن يَكۡفُرۡ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
(Surah Ali-Imran 3: Ayat ke 19)

Istiqamah Dalam Beriman





Daripada Abu 'Amru - atau digelar juga Abu 'Amrah - Sufian ibn Abdullah r.a. beliau berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah. (Hadith riwayat al-lmam Muslim)


Hadith menuntut agar seorang mukmin sentiasa mengambil berat soal lman, tauhid dan aqidahnya, selalu memperbaharui imannya kepada Allah, seterusnya beristiqamah menunaikan tuntutan lman yang didakwa itu.

lstiqamah bererti melalui suatu jalan yang lurus, jitu dan tepat.lstiqamah dalam menunaikan tuntutan lman adalah suatu jihad. Ramai orang lslam yang hanya mengaku beriman namun gagal lstiqamah menunaikan tuntutan lman.

lman dan lslam mempunyai konsep pelaksanaan yang mudah tanpa berbelit-belit atau sukar difahami. Seseorang hanya dituntut beriman kemudian beristiqamah melaksanakan lslamnya tanpa berfalsafah. Amal dan lstiqamah menjadi sulit hanya apabila iman yang diukir hanya di bibir atau di hujung lidah semata-mata.

والَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِالآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al Qur'an) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 4)

Super Iman





Keimanan merupakan nikmat tertinggi yang dianugerahkan Allah kepada manusia. Keimanan ibarat motor penggerak dalam diri manusia. Ia berfungsi untuk mengendalikan perkataan, perbuatan, gerak langkah hingga getaran hati. Malah lintasan-lintasan dalam diri seseorang juga sangat bergantung pada kemantapan dan ketegaran imannya.

Keimanan yang berintikan lafaz La ilaha illallah, bukanlah kata-kata tanpa makna. Bukan pula janji kosong tanpa tindakan susulan. Kalimat ini merupakan pintu masuk ke dalam 'bangunan' Islam, yang membezakan muslim dengan ghairu nuslim (bukan Islam).Kalimah ini mampu mempengaruhi kehidupan insan yang menghayatinya. Seseorang yang memahami kalimah ini secara benar dan bermuamalah dengannya akan dapat menempuh hidup ini penuh dengan perhitungan dan pertimbangan. Setiap gerak dan diamnya merupakan realisasi ikrar bagi kalimah yang telah diucapkannya. Inilah kalimat yang memberikan kekuatan, keteguhan, kesabaran, keberanian dan keyakinan yang dalam ketika meniti kehidupan.

وَبَشِّرِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ‌ۖ ڪُلَّمَا رُزِقُواْ مِنۡہَا مِن ثَمَرَةٍ۬ رِّزۡقً۬ا‌ۙ قَالُواْ هَـٰذَا ٱلَّذِى رُزِقۡنَا مِن قَبۡلُ‌ۖ وَأُتُواْ بِهِۦ مُتَشَـٰبِهً۬ا‌ۖ وَلَهُمۡ فِيهَآ أَزۡوَٲجٌ۬ مُّطَهَّرَةٌ۬‌ۖ وَهُمۡ فِيهَا خَـٰلِدُونَ
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan Syurga itu, mereka berkata: Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya) dan disediakan untuk mereka dalam Syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 25)

Pada Celahan Rumput Itu





"Kita tidak seharusnya mencari yang terbaik, jadilah yang terbaik, nescaya akan datang pada kita yang terbaik."

Namun, dasar seorang manusia, kita sering tergugah dengan sesuatu kebaikan, kita lupa, kebaikan itu luas, subjektif.

Justeru, kita akan sering teringin untuk mencari yang terbaik, hingga, kadang-kadang kita lupa, kita ini siapa untuk mencari yang terbaik itu? Layakkah kita?

Sebagai seorang remaja, normal dan biasa, tidak terlepas juga untuk saya diduga dengan lintasan-lintasan hati yang sangat menguji.

Pernah saya menyoal pada seorang sahabat, apakah lintasan-lintasan ini? Sekadar duga, atau petanda? Apa hikmahnya?

Jika ini ujian, ya saya terima, tapi apa hikmahnya? Apa yang ingin Tuhan bicarakan dengan saya?

"Bila sampai seru, takdir, maka yang pelik akan menjadi biasa." Abang Fuad malam itu penuh lagak bercerita, sambil menunggu makanan yang dipesan di restoran itu.

"Maksudnya?" Saya mula menagih penjelasan.

"Jika ditakdirkan jodoh, hari ini berkenalan, esok sudah bernikah, Allah boleh buat apa sahaja, itulah takdir." Dia menyambung.

"Ooo, ok, saya nak tanya sedikit boleh?"

"Mengenai apa?"

Tersenyum, saya sudah lama menyimpan soalan ini.

"Kenapa kadang-kadang kita ada lintasan rasa yang sangat sukar ditepis, apa tandanya?"

Abang Fuad agak selamba mendengar. Saya kira dia sudah faham, atau buat-buat tidak faham.

"Maksudnya, cuba terangkan lagi soalan itu." Saya sudah agak.

"Bagaimana jika sesuatu lintasan rasa terhadap kita itu, mahu ditentukan sebagai suatu ujian, atau suatu petanda?" Saya cuba berselindung lagi.

"Semua petanda, adalah ujian. Begitulah sebaliknya. Jika rasa yang hadir itu lain daripada yang lain, maka, eloklah beristikharah." Senang sahaja jawapannya.

"Cepatnya?"

"Tidak, ini untuk mencari keputusan hati, istikharahlah, mana tahu, mungkin itu takdirnya."

"Bagaimana kita nak pastikan, bahawa itu yang terbaik buat kita?" Saya bertanya lagi.

Sahabat-sahabat yang lain sedang khusyuk menonton permainan bola sepak secara langsung. Saya kira mereka tidak menyedari perbualan 'hangat' kami ini.

Saya teringat suatu kisah, yang saya dapat daripada Abang Fuad juga.

Pada suatu hari di sekolah, seorang pelajar bertanya kepada gurunya. Ketika itu, guru tersebut sedang mengajar mengenai kasih sayang.

Pelajar itu bangun dari kerusi duduknya, "Cikgu, bagaimana kita ingin memilih seseorang yang terbaik sebagai orang yang paling kita sayang?"

Guru tersebut tersenyum, "Ok, kamu ikut apa yang cikgu suruh. Kamu pergi ke padang, kamu berjalan di atas rumput sambil memandang rumput yang terbentang di depan kamu. Pilihlah rumput yang paling cantik, tanpa menoleh ke belakang lagi walaupun sekali. Petiklah rumput yang kamu rasakan ianya paling cantik. Kemudian bawa ke kelas."

Apabila pelajar tersebut pulang semula ke kelas, tiada sehelai rumput pun di tangannya. Guru itu bertanya, "Kenapa tiada rumput yang dipilih?"

Jawab pelajar itu, "Tadi, semasa saya tengah berjalan, saya sudah pun mencari rumput yang paling cantik. Memang ada, banyak sekali rumput yang cantik tapi cikgu cakap, petik yang paling cantik. Maka saya pun teruskan berjalan ke depan sambil mencari rumput yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang walaupun sekali. Sehinggalah saya tiba di hujung padang, saya tidak juga menjumpai rumput yang paling cantik. Mungkin rumput di antara belakang saya tadi ada yang cantik, tapi, disebabkan cikgu tidak benarkan saya menoleh ke belakang semula, maka tiadalah rumput yang paling cantik untuk saya petik."

Agak-agak, apakah jawapan yang bakal guru itu berikan?

Usahlah mencari yang terbaik, apa yang ada di depan itulah yang terbaik. Usah mencari yang terbaik, tapi jadilah yang terbaik. Usah menoleh ke belakang lagi, teruskan mara.

Apa yang sudah ketinggalan, biarpun ada di antaranya yang terbaik, usahlah cuba berharap lagi. Apabila kita sudah bertemu dengan seseorang, usahlah kita berusaha untuk mencari yang lebih baik lagi daripada dia. Kita patut hargai insan yang berada di depan kita sebaik-baiknya.

"Kita ini terlalu lemah dalam memilih."

Sambar Abang Fuad menyedarkan saya dari khayalan cerita tadi. Ya, benar, kita terlalu lemah dalam memilih.

"Bersikap matanglah, ini bukan soal pilihan lagi, ini ialah soal perasaan." Tambahnya.

"Abang tiada jawapan untuk soalan tadi, namun, jika benar-benar untuk tahu, beristikharahlah, abang harap, kita tidak lemas dalam lautan perasaan, terkapai-kapai, hingga tenggelam."

"Kita ibarat pelajar yang mencari rumput tercantik, akhirnya..."

Saya menyimpulkan..

"Tidak usah terlalu berfikir, kita masih jauh dalam permusafiran, perkara-perkara begini, seperti yang pernah abang cakapkan, subjektif dan infiniti."

"Ya abang, saya masih cuba berenang dalam lautan perasaan yang dalam ini, agar tidak lemas." Saya sengaja menilai diri sendiri.

Berikanlah yang terbaik, bukan mencari yang terbaik. Saya berbicara dalam adaptasi sebuah kisah dan dialog.

Untuk saya bercakap seorang diri tentang hal ini, siapalah saya. Kisah ini, adalah untuk sahabat yang setakah dengan saya, alam remaja, klimaks sebuah noda.

Pada celahan rumput itu, kita mencari sesuatu. Tapi biar bertepatan pada waktu, usah terlalu menunggu.

Perasaan akan sentiasa melintas, umpama padang akan sentiasa ditumbuhi rumput. Usah dicari perasaan yang hakiki, kerana semuanya dugaan yang berhikmat tinggi.

Pada celahan rumput itu, terlalu mencari, akan menyusul kecewa berganti. Jika kita benar-benar menyedari, pada hemat sebuah rasa, maka, kenapa kita perlu takut untuk tidak mengendahkan. Perasaan akan sering hadir, jerihlah kita untuk sentiasa melayani.

Mungkin ada di antaranya satu hikmah berganda, tapi, seperti biasa, berselambalah. Jadilah lelaki, bukan romeo, bukan juga majnun. Jika romeo, maka, itu bukti bahawa kita telah lemas dalam lautan perasaan.

Jika majnun, itu buktinya bahawa kita sudah gila. Justeru, usah menjadi mereka, tapi jadilah kita. Jika ada rasa yang kuat mendesak, beristikharahlah.

Jika kita tidak mendapat apa yang kita suka, maka, kita perlu suka apa yang kita dapat.

Pada celahan rumput itu, pasti ada, rasa yang benar hakiki. Pelajar itu pun buntu mencari, begitu juga kita. Cuma, mohon ditetapkan hati. Mohon, agar, segalanya bererti, bukan hanya, mainan sebuah kehidupan dan perasaan.

- Artikel iluvislam.com

Friday, October 7, 2011

Tenang Sentiasa Terus Berdoa





Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Bukankah aku telah memberitahu kamu semua tentang orang yang diharamkan masuk ke neraka atau orang yang diharamkan ke atasnya neraka? Mereka ialah orang yang berdamping rapat dengan orang ramai (baik pergaulannya), hatinya tenang, berlemah lembut serta mudah dibawa berunding." Riwayat at-Tarmizi.

Setiap Muslim hendaklah sentiasa beramal dengan ajaran Islam yang sebenar serta bergaul rapat dengan masyarakat dengan menggunakan budi bahasa yang lembut, selalu bertolak ansur, tolong menolong dan bantu membantu dan tidak melakukan perkara-perkara yang menimbulkan sakit hati orang lain dan mendatangkan dosa seperti berbuat khianat, merompak, menipu dan seumpamanya.

Tabiat manusia adalah berhubungan rapat dengan keteguhan iman dan kesabarannya. Jika baik akhlak seseorang itu maka dia akan selamat daripada balasan api neraka dan begitulah sebaliknya kerana baik buruknya seseorang terletak pada sejauhmana pandangan masyarakat umum terhadap dirinya selain daripada penilaian yang dihitung oleh Allah S.W.T sendiri.

هُوَ الَّذِي أَنزَلَ السَّكِينَةَ فِي قُلُوبِ الْمُؤْمِنِينَ لِيَزْدَادُوا إِيمَانًا مَّعَ إِيمَانِهِمْ وَلِلَّهِ جُنُودُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana
(Surah Al-Fath 48: Ayat 4)

Tenang Sentiasa Baca Al-Quran






Daripada al-Barra r.a katanya : " Di kala seorang lelaki membaca surah al-Kahfi tiba-tiba ia melihat binatang peliharaannya berlari dan ia melihat bagaikan sekumpulan mega atau awan lalu ia datang menemui Rasulullah SAW dan menyebutkan mengenainya kepada Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW bersabda : " Itu adalah as-Sakinah (ketenangan) yang turun bersama al-Quran atau turun di atas al-Quran." (al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)


Dalam surat al-Kahfi, diceritakan tentang kisah Ashaabul Kahfi, (pemuda-pemuda beriman), kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir a.s serta kisah DZulkarnain dan Ya'juj dan Ma'juj. Dalam beberapa hadith, Rasulullah SAW menggalakkan kita agar membaca dan menghafal surah ini kerana dengan membacanya dapat menghindarkan diri dari fitnah (musibah).

Di dalam surah al-Kahfi ini terkandung isyarat penting mengenai Hari Akhirat, seperti mana yang dipelajari daripada kisah-kisah yang dipaparkan iaitu pengalaman Ashabul Kahfi yang tinggal dalam sebuah masyarakat yang kufur kepada Allah SWT, Nabi Musa a.s yang banyak belajar daripada Khidr dan tentang sebuah pemerintahan dalam kisah Dzulkarnain yang kesimpulannya dapat memberikan kita pengertian tentang nilai-nilai keimanan yang sebenar.

Semua ini perlu direnungkan oleh seluruh umat Islam kerana apabila surat ini dibaca secara keseluruhannya akan tergambar kepada kita tentang perkaitannya dengan realiti semasa yang melalui yang tahap-tahap yang berbeza iaitu permulaan, perkembangan, dan berakhirnya dunia ini dengan kedatangan nabi Isa a.s sebelum kemunculan Hari kiamat.

وَٱصۡبِرۡ نَفۡسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ رَبَّہُم بِٱلۡغَدَوٰةِ وَٱلۡعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجۡهَهُ ۥ‌ۖ وَلَا تَعۡدُ عَيۡنَاكَ عَنۡہُمۡ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُ ۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُ ۥ فُرُطً۬ا
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
(Surah Al-Kahfi 18: Ayat 28)

Tenang Sentiasa Pergi Ke Masjid



Daripada Wabisah bin Makbud
Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:

"Adakah engkau datang kerana hendak bertanya mengenai kebajikan? Aku menjawab 'ia' maka sabdanya lagi mintalah fatwa (pertimbangan) hatimu sendiri, kebajikan itu ialah apa yang membawa ketenangan kepada jiwa dan ketenangan hati. Dosa ialah perasaan bimbang dalam jiwa serta perasaan ragu-ragu didalam dada (hati) sekalipun orang ramai telah memberi fatwa kepadamu dan sekalipun kamu telah diberi fatwa oleh mereka"Riwayat Ahmad & ad-Darami

Setiap perbuatan kebaikan atau kebajikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan menyebabkan jiwanya menjadi tenang.

Orang yang melakukan berbagai kesalahan dan dosa sentiasa berada didalam keadaan serba salah, curiga dan takut diketahui oleh manusia. Ia sentiasa memikirkan bagaimana bentuk pembalasan azab seksa yang akan diterima diakhirat kelak.

Amal soleh yang dilakukan oleh seseorang tetap mendapat pahala, manakala kejahatan, penipuan, kemungkaran, dan sebagainya yang dilakukan akan mengundang dosa, dan membawa keresahan jiwa walaupun orang telah memberikan fatwa kepadanya.

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ
Hai jiwa yang tenang
(Surah Al-Fajr 89: Ayat ke 27)

Mutiara Khalifah



"Setiap orang yang musafir mesti memperlengkapi bekalannya. Siapkanlah taqwa dalam perjalanan kamu dari dunia menuju akhirat. Pastikan dirimu sama ada mendapat pahala atau siksa, senang atau susah."

"Jangan biarkan masa berlalu sehingga hatimu menjadi keras dan musuh sempat mengoda. Sebaik-baiknya saudara menganggap bahawa hidup pada petang hari tidak akan sampai ke pagi hari dan hidup pada pagi hari tidak akan sampai ke petang hari. Memang tidak jarang terjadi kematian di tengah-tengahnya."

"Saudara-saudara dapat menyaksikan sendiri bahawa ramai orang yang tertipu dengan dunia, padahal orang yang layak bergembira tidak lain kecuali orang yang selamat daripada siksaan Allah SWT dan orang yang lepas dari tragedi hari qiamat."

"Sementara orang yang tidak mahu mengubati yang sudah luka, kemudian datang lagi penyakit lain, bagaimana mungkin mahu bergembira? Aku berlindung kepada Allah SWT daripada perbuatan yang tidak aku pegangi dan amalkan sendiri. Seandainya begitu, alangkah rugi dan tercelanya aku. Dan jelaslah tempatku nanti pada hari yang jelas kelihatan siapa yang kaya dan siapa yang miskin."




"Di sana nanti akan diadakan timbangan amal serta manusia akan diserahi tanggungjawab yang berat. Seandainya tugas itu dipikul oleh binatang-binatang nescaya ia akan hancur, jika dipikul oleh gunung nescaya ia akan runtuh, kalau dipikul oleh bumi nescaya bumi akan retak. Saudara-saudara belum tahu bahawa tiada tempat di antara Syurga dan Neraka? Kamu akan memasuki salah satu daripadanya."

"Ada seorang lelaki yang mengirim surat kepada rakannya yang isinya : "Sesungguhnya dunia ini adalah tempat bermimpi dan akhirat barulah terjaga." Jarak pemisah antara keduanya adalah mati. Jadi, kita sekarang sedang bermimpi yang panjang."

Kata-kata di atas adalah kata-kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz, khalifah Bani Umayyah ke-6.

- Artikel iluvislam.com

Kehidupan Dan Cinta





Melangkah ke alam 20-an sememangnya membawa insan bernama remaja untuk berfikir lebih jauh mengenai erti sebuah kehidupan. Terbentang dihadapannya seribu satu pilihan yang akan menentukan corak masa hadapan. Semuanya terletak di tangan masing-masing. Pilihan yang mana harus digarap terlebih dahulu.

Pelajaran, perhubungan, percintaan, perkahwinan adalah topik-topik yang tidak akan pernah lari dalam perbualan remaja normal seperti saya. Sering saya berkongsi cerita dengan ummi setiap kali berbual.

"Ummi, kak fatin dah kahwin!" jawapan yang diterima.

"Belajar dululah kak."

Niat di hati sengaja saya mahu bercerita, namun respon yang diterima berbeza pula. Saya tahu, ummi mahu saya fokus dalam pelajaran terlebih dahulu. Usah bermain-main dengan perasaan.

Ummi saya berkaca mata. Pernah saya bercerita lagi kepada Ummi.

"Umi, semalam ada seorang kawan akak, dia YM dengan seorang kawan lelaki ni. Budak laki ni mulakan perbualan. Salam sayang, pelik akak dibuatnya, macam bukan pelajar agama. Kalau tengah bercinta memang macam tu ya? "

" Mana ada erti cinta sebelum kahwin. Kalau dah berdua dalam YM, samalah juga macam duduk berdua bersama-sama tanpa orang lain. Yang ketiga siapa? Mestilah SYAITAN bukan?"

Pesan Ummi, " Kalau nak dapat anak soleh tu mesti permulaannya baik dan betul."

Tipulah kalau saya cakap saya tak pernah rasa suka dengan seseorang. Perempuan memang cepat jatuh hati. Sangat bahaya!.

Sangat normal untuk seseorang itu jatuh hati/ taruh perasaan/ minat dengan orang lain. Saya tidak terkecuali. Ya, saya berkongsi cerita dengan Ummi.

Bagaimana saya boleh asyik, suka, minat. Pesan umi, solat tahajjud minta Allah tetapkan hati.

Tetapi dalam masa yang sama, saya takut kalau-kalau saya menjadi fitnah kepada saudara tersebut. Kakak perlu doa pada Allah seperti ini :

Ya Allah aku mohon ampun sekiranya perlakuanku menyebabkan dosa kepada saudaraku.

Saya takut saya ini melalaikan saudara saya daripada Allah. Memang perlu rasa seperti itu, supaya kita takut dengan Allah. Doa pada Allah supaya hati kita terpelihara daripada gangguan syaitan itu.

Saya takut perasaan minat saya hanyalah membuatkan saya lebih jauh daripada Allah. Kalau ada teringat-ingat itu cepat istighfar. Selagi tidak ada yang sohih jangan rosakkan hati kita.

Resah, gelisah, semuanya bergaul dalam diri. Saya seolah-olah mahu menafikan rasa suka saya terhadap saudara tersebut. Tiba-tiba rasa cemburu dengan kawan-kawan yang rapat dengannya. Rasa 'insecure.' Rasa mahu cepat-cepat uraikan belitan perasaan ini.

Diakah untuk saya?

Siapa saya untuk dia?

Jika dia pun suka sama suka dengan saya, apa perlu saya buat?

Saya takut saya akan turut bercinta seperti kawan saya yang lain. Nah, mungkin saya pula akan teruji begitu? SAYA TAKUT!

Serabut sangat perasaan itu. Rencana Allah itu indah. Rupanya Allah lontarkan masalah yang serupa kepada seorang sahabat di Mesir. Kami punya fikrah yang sama. Masing-masing takut dengan perasaan ini.

Sedang berlari-lari melalui hari dalam perasaan ini, banyak pula post dan artikel mengenai cinta bertebaran di laman web kunjungan saya.

Banyak juga tazkirah dan peringatan mengenai perihal cinta. Saya dan sahabat selalu bertukar cerita, selalu mengingatkan diri masing-masing tentang matlamat hidup anak perantauan menuntut ilmu.

Sehinggalah hati saya ini terusik dengan serangkap kata-kata hikmah yang akhirnya menenangkan gundah tidak sudah.

Jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan agenda mencari si soleh, tetapi berusahalah menjadi yang solehah.

Bertemu yang soleh, belum tentu kekal, mungkin boleh berubah solehnya. Kerana si soleh adalah insan biasa.

Perkahwinan adalah sebuah proses menjadi dan bukannya mencari.

Orang kata, cinta itu tidak semestinya memiliki bukan? Lebih baik cinta dalam diam.

Semoga setiap pilihan kita itu dibawah bimbingan-Nya. Selalu kita mahukan sesuatu untuk memenuhi kehendak diri kita, tapi sering kita lupa, Allah tidak akan berikan setiap yang kita mahu tetapi Dia berikan setiap yang kita perlu.

Jadi, sekarang saya akan fokuskan diri, gandakan usaha untuk menjadi seorang ummi yang berjaya.

Kelak kekanda saya akan tiba jua. Kalau bukan di dunia, akan ketemu jua di syurga sana. Biiznillah...
Glosari

1) Sohih=Betul 2)Biiznillah= Dengan izin Allah

-Artikel iluvislam.com

Kami Hamba






Tiada lafaz seindah syahadah,
Tiada kata seagung namaMu,
Dengan bismillah aku mulakan,
NamaMu ku seru Ya Tuhan.

Wahai hamba,
Seandainya engkau Nabi,
Takkan pernah sekali,
Aku menyusun kata,
Memberi nasihat bermakna,
Walaupun engkau manusia,
Tetapi engkau maksum.

Wahai hamba,
Seandainya engkau Malaikat,
Takkan pernah sekali,
Aku menutur kata,
Memberi teguran penuh hikmah,
Walaupun engkau hamba,
Engkau seorang yang taat,
Tak pernah buat silap.

Namun,
Sayangnya,
Engkau bukanlah Rasul,
Bukan jua seorang malaikat,
Engkau adalah manusia biasa,
Tidak terlepas dari melakukan dosa,
Maka hak aku mengingatimu
Dengan berpesan-pesan,
Hak kamu juga mengingatiku,
Dengan kalimah penuh hikmah,
Mengatur kalam redha,
Menuju jannahNya
Yang kekal abadi

-Artikel iluvislam.com